Artikel "Utama" Terkini
THT Mampu Bergelar Juara Liga Esok
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mampu bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) jika berjaya memungut tiga mata dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tewas atau seri dalam perlawanan terakhir esok (Khamis).
THT kini berada di kedudukan kedua liga yang hanya ketinggalan satu mata berbanding pendahulu liga, UniKL dengan 16 mata.
Dalam perlawanan kelima kelmarin, THT terus menghimpit UniKL selepas melakar kemenangan 6-1 ke atas Nurinsafi HT/Sports.
Ketua Jurulatih THT, K Rajan berkata, pasukannya mengharapkan tuah memihak sepenuhnya kepada Maybank bagi perlawanan bertemu pendahulu liga UniKL.
“Keputusan perlawanan penentuan di antara UniKL bertemu Maybank menjadi penentu buat THT.
“Jika kedua-dua pasukan ini terikat seri, kita hanya perlu menang dengan TNB untuk menjadi juara liga. Itu sasaran kita,” ujarnya.
Namun, keupayaan TNB tidak seharusnya dipandang mudah kerana berdasarkan keputusan perlawanan terdahulu pasukan itu mampu mengikat Maybank 1-1 dalam saingan terdahulu.
Perlawanan THT menentang TNB akan bermula pada jam 8 malam dan disiarkan secara langsung di RTM Sport.
Manakala, sebelumnya, pada pukul 6 petang, UniKL dijadualkan bertemu Maybank.
24 Mar 21
1912
‘Biar SPRM Siasat, Jangan Buat Spekulasi’ - MB
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap penahanan seorang pengarah yayasan, dua pengarah syarikat dan seorang penjawat awam di Terengganu sejak kelmarin.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kes itu masih dalam siasatan awal pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat. Biarlah pihak berkuasa menjalankan kerja mereka, sebarang spekulasi dibimbangi akan menimbulkan fitnah.
“Ia juga boleh mengakibatkan proses siasatan terganggu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebentar tadi.
Ahmad Samsuri.
Semalam, pengarah yayasan terbabit ditahan di rumahnya pada jam 4.30 petang.
Lelaki berusia 55 tahun itu kemudiannya direman selama tujuh hari kerana disyaki menerima suapan berkaitan usahasama bagi projek pengeluaran pelitup muka bernilai RM9 juta
Difahamkan, pengarah itu didakwa menerima suapan daripada pengarah syarikat lain sebagai balasan mencadangkan pelaburan usahasama.
Manakala, penjawat awam berusia 59 tahun dan dua pengarah syarikat berumur 49 serta 51 tahun pula telah ditahan serta direman lebih awal iaitu pada 22 Mac berhubung siasatan kes sama.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa.
24 Mar 21
16858
Cuaca Buruk, Lima Pemancing Tidak Pulang
KEMAMAN, 24 Mac - Sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan lima orang pemancing tidak dapat dihubungi sejak semalam, selepas keluar ke laut pada 22 Mac dan sepatutnya pulang pada hari ini.
Dikhuatiri bot mereka mengalami kerosakan berikutan cuaca perubahan monsun.
Keenam-enam mangsa yang berusia antara 19 hingga 29 tahun tinggal di Kampung Paya Berenjut dan Kampung Gong Pauh.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang ahli keluarga mangsa semalam, sekitar jam 8.50 malam.
Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan serta mengkoordinasikan operasi carilamat (CARILAMAT) di laut dengan menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset Maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan.
Operasi turut dibantu oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turut melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Raya Kuala Kemaman dan bertemu dengan keluarga mangsa yang terlibat, hari ini.
"Saya mengharapkan agar seluruh keluarga mangsa dapat bersabar dan minta semua untuk mengadakan solat hajat. Saya juga akan meminta beberapa masjid dan surau untuk mengadakan solat hajat.
"Semoga pihak maritim dapat menemui kesemua mangsa dengan selamat dan membawa pulang seberapa segera," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.
24 Mar 21
3490
Skim Hafaz Al-Quran : Peruntukan RM3.9 Juta Sejak 2018
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan lebih RM3.9 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi melaksanakan program Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka sejak 2018.
Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zulkefli Othman berkata, skim itu melibatkan 713 peserta yang melalui ujian tertentu dan sabit hafaz.
Katanya, masing-masing 275 orang peserta pada tahun 2018, 302 pada tahun 2019 dan 136 orang pada tahun lepas, sekali gus menafikan fitnah bahawa skim itu dihapuskan.
“Mereka yang menyertai skim ini terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berumur tidak kurang dari 18 tahun. Permohonan untuk menyertai skim ini adalah berdasarkan juzuk yang dipohon oleh peserta, iaitu 7 hingga 30 juzuk.
“Jumlah keseluruhan pembayaran yang dibuat bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM1,543,548 melibatkan RM814,260 pada penggal pertama dan RM729,288 pada penggal kedua, manakala tahun 2019 adalah sebanyak RM1,677,228 membabitkan RM881,068 pada penggal pertama dan RM796,160 pada penggal kedua.
“Pada tahun 2020, ujian bagi skim ini telah dijadualkan pada bulan April tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan COVID-19 di seluruh negara.
"Oleh yang demikian, ujian hanya dapat dilaksanakan bagi satu penggal sahaja dan ujian ini telah diadakan pada bulan September 2020, melibatkan pembayaran sebanyak RM766,180”, katanya ketika ditemui UPDI di pejabat JHEAT pagi tadi.
Tambah Zulkefli, peserta akan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing.
"Contohnya, peserta yang sabit hafaz (lulus) bagi kategori 30 juzuk dibayar RM800 (jika tiada sumbangan) atau RM1,000 (ada sumbangan) sebulan dan bayaran dibuat adalah bagi satu penggal (6 bulan), iaitu peserta akan dapat bayaran berjumlah RM4,800 atau RM6,000.
“Sumbangan yang dimaksudkan adalah para hafiz dan hafizah hendaklah memberi sumbangan dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas fardhu ain atau pengajaran al-Quran secara sukarela tanpa dibayar gaji atau imbuhan," katanya lagi.
Mengulas tentang pelaksanaan skim pada tahun ini, Zulkefli berkata, permohonan akan dibuka selepas Majlis Tilawah Al-Quran Tahun 1442H/2021M berakhir.
Katanya, JHEAT akan mengeluarkan iklan/hebahan bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim ini melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing.
"Kepada mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat agama di daerah masing-masing untuk penggal pertama.
"Insya-Allah, Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka pada tahun ini akan laksanakan dua penggal seperti biasa, penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur tidak kurang dari 18 tahun," tambahnya lagi.
24 Mar 21
668
Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu
SETIU, 24 Mac - Muhammad Muaz Mokhtar dan Rozilah Yaacob masing-masing dinobatkan sebagai Qari dan Qariah bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 2021 yang berlangsung malam tadi.
Seramai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang menyaksikan penyertaan empat lelaki dan dua wanita pada majlis tilawah tahun ini yang diadakan di Perkarangan Pejabat Majlis Daerah Setiu, Bandar Permaisuri.
Muaz yang mengalunkan bacaan Surah Al An'am yang membawa lagu wajib Soba dan Rast itu berkata, penyertaan tahun ini merupakan kali yang kedua selepas 2019.
Katanya, ketika itu beliau hanya mendapat saguhati dan penyertaan tahun ini sangat berbaloi selepas diangkat sebagai johan.
"Saya mendapat latihan terus melalui ayah mertua yang juga imam di masjid Kampung Ladang Bari dan membentuk jiwa Al-Quran dalam diri saya lebih-lebih lagi dalam bidang fasohah, tajwid dan taranum," katany ketika ditemui UPDI semalam.
Sementara itu, Rozilah pula yang membacakan Surah Ali Imran berkata, pada mulanya beliau tidak mahu menyertai tilawah pada kali ini tetapi atas saranan dan nasihat kawan-kawan beliau membuat penilaian dan diterima masuk.
"Saya berlatih dalam masa dua hari selepas mendapat surah apa yang nak dibaca dan saya kena buat latihan lagi bagi peningkatan bacaan selepas ini".
Pada majlis itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada pemenang.
Masing-masing membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan, plat penghargaan dan piala pusingan.
Terdahulu majlis perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim.
Hadir sama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri dan Langkap serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
24 Mar 21
1245
Pengadil Perlawanan Terengganu Menentang Sabah Dihukum
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pengadil Liga Super, Khirulazuan Kidam yang mengadili perlawanan Terengganu FC menentang Sabah FC baru-baru ini digantung tugas selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' S. Sivasundaram memaklumkan, pengadil terbabit didapati menunjukkan prestasi kurang memuaskan sepanjang perlawanan Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu.
“Tindakan ini berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut.
“Justeru, pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.
“Khirulazuan juga akan mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah merujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Khairulazuan akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.
Terdaahulu, mutu pengadilannya dikritik ramai selepas dia membatalkan jaringan pertama Jordan Mintah atas alasan penyerang import itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol lawan.
Dalam perlawanan itu, Terengganu FC tewas 1-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama sebelum Mintah meledak jaringan pertama TFC.
Selepas perlawanan itu juga, TFC difahamkan telah menghantar bantahan rasmi kepada FAM.
Berdasarkan rekod pada 2016, Khirulazuan pernah digantung tiga bulan oleh FAM kerana gagal membuat keputusan dengan tepat ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara pasukan kelab T-Team (Terengganu) dengan FELDA United yang diakhiri dengan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.
23 Mar 21
6834
Tuduhan Skim Hafazan Dihapuskan Adalah Fitnah
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Tuduhan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri menafikan atau menghapuskan Skim Hafazan Dewasa adalah fitnah berniat jahat.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zahari Sulong berkata, program itu berjalan seperti biasa pada tahun 2018, 2019 dan 2020.
"Cuma bagi tahun ini ia belum dilaksanakan lagi ekoran kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan sekarang PKP Pemulihan.
"Insya-Allah dalam bulan April nanti, program itu kita akan mulakan dan iklankan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi UPDI sebentar tadi.
Menurut Zahari, maklumat lengkap tentang program terbabit sejak 2018 hingga 2020 akan dikeluarkan esok.
"Insya-Allah nanti esok kami bagi jawapan yang lengkap tentang jumlah peserta dan kos yang diperuntukkan," tambah beliau. - Gambar fail.
23 Mar 21
1574
Tarif Air Terengganu Kedua Terendah
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Terengganu merekodkan tarif air kedua terendah berbanding negeri lain dengan kadar 0.42 sen bagi setiap 0 sehingga 20,000 liter penggunaan air untuk kediaman.
Kadar itu masih kekal dan tidak disemak sejak 20 tahun lalu walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membenarkan untuk membuat semakan dalam tempoh tiga tahun sekali.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya dengan arahan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar harga lama walaupun terpaksa menanggung kos operasi yang sangat tinggi pada setiap tahun.
Katanya, antaranya termasuk pembelian bahan kimia, kadar elektrik dan kos penggantian dan penyelenggaraan peralatan dan aset.
“Pengguna sewajarnya bersyukur dan tidak banyak merungut kerana kadar yang dikenakan itu sudah terlalu murah.
“Jika difikirkan secara logik harga sebotol air mineral 1.5 liter boleh mencecah harga RM3.00 sedangkan air yang perlu dibayar untuk kegunaan harian termasuk memasak, membasuh dan membersih diri hanya 0.42 sen bagi 1,000 liter,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat Malaysia Water Industry Guide (MWIG) 2018, purata kos merawat dan mengagih setiap 1,000 liter air kepada pengguna domestik adalah RM2.31.
“Namun purata harga yang dibayar pengguna untuk setiap 1,000 liter air bagi 20,000 liter pertama adalah RM0.42 sahaja.
“Baki selebihnya perlu ditanggung oleh SATU dan itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan melengkapkan industri dengan teknologi terbaharu, termasuklah menambah baik loji rawatan mahupun menukar paip yang uzur,” katanya.
.
23 Mar 21
1547
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keadaan sebuah rumah yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Raja Chendering telah uzur dan hampir runtuh akibat dimakan anai-anai.
Pemiliknya, Che Ku Sanuwa Che Ku Man, 52, memaklumkan, keadaan lantai rumah tersebut yang rapuh telah mengancam keselamatan beliau sekeluarga.
Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah pernah menerima bantuan tahunan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menampung kos sara hidup.
Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun merasmikan gimik penyerahan rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa hari ini.
Menurut beliau, kos bagi membaikpulih rumah yang uzur tersebut sangat tinggi dan hampir sama nilainya dengan pembinaan rumah yang baharu.
Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah membuat permohonan bagi membina rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa.
“Rumah merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia walau di mana sekalipun mereka berada.
“Justeru, pihak kami terus berhubung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak Parlimen Kuala Terengganu untuk mempermudahkan kelulusan permohonan rumah baharu ini,” katanya.
Kos pembinaan rumah tersebut telah ditanggung oleh Kementerian Pembangungan Luar Bandar dan agensi Giat Mara yang telah mengambil perjalanan dalam membina rumah tersebut.
“Semoga pembinaan rumah baharu ini dapat menghilangkan kegusaran dan memberikan keselesaan kepada tuan rumah sekeluarga.
“Saya ucapkan terima kasih semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” tambahnya lagi.
22 Mar 21
1840
Rakyat Lega, Rawatan Kesihatan Percuma Ringankan Beban
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Inisiatif kerajaan Terengganu yang melaksanakan pakej rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih melalui program Kad Sejahtera berjaya membantu mengurangkan ‘derita’ rakyat.
Bagi seorang peniaga kedai, Md Bidin Muda, 67, memberitahu, subsidi berkenaan mampu mengurangkan perbelanjaan perubatan kencing manis dihidapinya yang mencecah ribuan ringgit.
Menceritakan detik awal ketika penyakit itu mula merebak, dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Din berkata, pada Jun 2019 kakinya terkena tongkat motosikal sehingga menyebabkan pendarahan teruk di bahagian atas kaki.
“Akibat kejadian itu saya terlantar di hospital lebih seminggu dan terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang kuman-kuman di bahagian dalam kaki.
“Ketika itulah pihak hospital memberitahu saya bahawa penyakit itu mula membarah dan berkemungkinan besar kaki saya terpaksa dipotong,” ujar bapa kepada empat orang anak itu.
Namun kata Pak Din, dia berkeras tidak mahu membuat pembedahan memotong kaki itu sebaliknya bersetuju hanya kuman dicuci dan isi kotor dibuang.
“Alhamdulillah, sekarang saya beransur pulih, ditambah pula dengan bantuan rawatan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan sudah pasti ia mengurangkan beban kos yang saya dan keluarga tanggung, dengan kad ini saya boleh membeli ubat asa untuk sakit saya,” jelasnya
Sementara itu, menurut seorang lagi penerima Kad Sejahtera, Salina Abdul Ghani atau Kak Na, 54, menyifatkan bantuan tersebut akan memudah dan menyenangkan orang ramai untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka terutamanya warga emas di kawasan luar bandar.
“Nilai dalam Kad Sejahtera berjumlah RM500, penerima dan ahli keluarga apabila hendak mendapatkan rawatan di klinik panel, hanya perlu membawa kad ini sahaja dan nilai akan dipotong mengikut kadar kos rawatan.
“Kak Na sendiri mengalami penyakit kulit (gatal-gatal), setiap kali mendapatkan rawatan di klinik saya dikenakan caj sebanyak RM30, alhamdulillah dengan kad ini ia sedikit sebanyak meringankan kesusahan kami sekeluarga,” katanya.
Tambah Kak Na, ibunya juga menghidapi penyakit saraf dan darah tinggi yang memerlukan rawatan berterusan.
“Insya-Allah ubat-ubatan tidak akan terputus kerana kami boleh membayar melalui kad sejahtera ini,” ujar ibu tunggal terbabit.
Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun permulaan dan RM10 juta pada 2021.
Ia juga merupakan manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
22 Mar 21
1012