lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KETENGAH Serah 120 Geran Hak Milik Rumah
KETENGAH Serah 120 Geran Hak Milik Rumah
DUNGUN, 28 Mac – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyerahkan suratan hak milik (geran) kepada 120 orang pemilik rumah kos rendah melibatkan kos berjumlah RM3,000,000. Pengerusinya, Dato’ Razali Idris  berkata penyerahan melibatkan penghuni yang telah melangsaikan bayaran harga rumah iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) 37 orang, Bukit Besi (14), Ketengah Jaya (14), Seri Bandi (27) dan Ceneh Baharu serta Kampung tradisi lima orang. Katanya, sebanyak 737 buah sahaja lagi yang masih dalam proses pemberian hak milik dan dalam proses penyediaan geran dari semasa ke semasa dari jumlah keseluruhan rumah  iaitu 3940 buah di seluruh wilayah ketengah. “Ketengah terus berusaha dari semasa ke semasa dalam memastikan sebarang isu berkaitan hak milik dapat diselesaikan dengan segera. “Dalam penelitian kami, dijangka sehingga akhir September tahun ini, jumlah mereka yang akan memperolehi suratan hak milik ini dijangka akan mencapai 81 peratus, manakala pada tahun 2024 Ketengah dijangka mampu menyelesaikan 90 peratus urusan pemberian hak milik. InsyaAllah,”katanya. Beliau berkata demikian di Program Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik (Geran) Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa (Pkd) Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di sini hari ini. Tambah Razali lagi, kerajaan negeri dan jabatan yang berkaitan juga sentiasa berusaha untuk memastikan urusan hak milik diselesaikan dengan kaedah yang terbaik demi kebaikan bersama. “Ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terpelihara.  “Adalah diharapkan usaha yang dilaksanakan kerajaan ini dapat membantu penduduk luar bandar hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan seterusnya meningkatkan taraf hidup yang merupakan salah satu keutamaan dalam agenda pembangunan Wilayah KETENGAH,” ujarnya.
28 Mar 21
728
Pendapatan Suku Keempat TDM Melonjak 14 Peratus
Pendapatan Suku Keempat TDM Melonjak 14 Peratus
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Pendapatan Suku Keempat 2020 TDM Berhad melonjak sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu kepada RM129.7 juta daripada RM114.1 juta. TDM dalam satu kenyataan berkata, bagi tahun berakhir 31 Disember 2020, TDM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM9.1 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. “TDM juga merekodkan pendapatan sebanyak RM442.9 juta bagi tempoh 12 bulan, peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding RM425.1 juta pada tempoh yang sama di tahun sebelumnya,” jelas TDM. Sementara itu, hasil perniagaan yang baik bahagian perladangan serta dorongan purata harga CPO dan PK turut menjadi penyumbang peningkatan terbabit. “Perniagaan bahagian perladangan TDM di Malaysia telah mencatatkan EBITDA sebanyak RM19.5 juta pada suku tersebut, berbanding RM7.8 juta pada suku yang sama tahun lalu. “Sementara itu, bagi FY2020, perniagaan bahagian perladangan merekodkan pendapatan sebelum cukai sebanyak RM23.3 juta, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM24.5 juta pada tahun sebelumnya.  “Pencapaian ini didorong oleh harga CPO dan PK yang lebih tinggi, masing-masing pada kadar 33 dan 29 peratus. Bahagian perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM87.4 juta, berbanding RM39.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.  Jelas Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin, pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd (TDM-YT), telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penjualan CPO dan PK pada suku tersebut. “Pihak pengurusan telah mengenal pasti Pelan Penciptaan Nilai untuk TDMYT dan kini melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi ladang tersebut. Pengambilalihan ini telah memberi sumbangan positif terhadap prestasi TDM,” katanya Sementara itu, meskipun masih berdepan pandemik COVID-19, pemulihan di bahagian penjagaan kesihatan telah membantu meningkatkan pendapatan sebanyak 14 peratus berbanding suku sebelumnya.  Ini adalah disebabkan peningkatan bilangan pesakit luar dan pesakit dalam, masing-masing pada kadar 11 dan 19 peratus lebih tinggi. “Pihak syarikat akan terus mempelbagaikan tawaran produk dan perkhidmatan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perniagaan berikutan pendemik COVID-19.  “Kami telah merumuskan beberapa strategi bagi mengatasi cabaran melalui pelan kesinambungan perniagaan dan pemulihan perniagaan. Secara keseluruhannya, TDM tetap optimis untuk mencapai prestasi operasi yang memuaskan pada tahun kewangan semasa,” kata Raja Idris.  
28 Mar 21
654
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 28 Mac – Seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Rumah Rakit Cik Na, Jeram Harimau, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu, petang semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata mangsa, Ami Azzizol  Abu Bakri, 22, berasal dari Dungun dikatakan sedang bercuti bersama-sama isteri dan ahli keluarganya di rumah rakit berkenaan. “Pihak Polis menerima maklumat pada pukul 6.20 petang semalam mengenai kejadian tersebut. “Ketika kejadian, mangsa dikatakan  berenang dari rumah rakit Cik Na ke dalam sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan. “Tidak lama kemudian beberapa saksi termasuk isteri mangsa ternampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Salah seorang saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mohd Adli berkata seramai  46 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam menyertai operasi mencari mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.  
28 Mar 21
1580
Peranan Wanita Wajar Dihargai
Peranan Wanita Wajar Dihargai
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Wanita sama ada ibu, isteri atau guru perlu dihargai dengan penuh kasih sayang sebagai lambang penghormatan dan penghargaan terhadap peranan mereka dalam kehidupan seharian. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, wanita adalah penyumbang kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang. Katanya, sifat kelembutan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk terus mara ke hadapan malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan utuh dan bersemangat waja. “Meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19, kepayahan demi kepayahan mengajar golongan wanita  tetap bangkit mendepani cabaran. Hayatilah tema hari wanita “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”yang sinonim dengan keadaan semasa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu kelmarin. Sempena majlis itu, Pertandingan Penulisan Kreatif Sempena Hari Sayyidatina Aisyah 2020 bermula pada Mac 2020 turut diadakan dengan membuka peluang kepada semua rakyat Terengganu yang mempunyai bakat atau berminat dalam penghasilan esei, cerpen, puisi, sajak dan pantun. Juara bagi pertandingan esei yang bertemakan 'Sayyidatina Aisyah Sumber Inspirasi Srikandi Ummah' adalah Ruhiyah Sakinah Kayati, 30, dari Kampung Teluk Pasu, Manir. Ruhiyah berkata, dia terharu dengan kepercayaan urus setia program sehingga melayakkan karya miliknya, A'isyah Insprirasi Ummah' diterbitkan. “Kemenangan itu memberi semangat untuk saya terus  berkarya dan memperbanyakan kajian tentang  isi kandungan al-Quran dan seterusnya jika diizinkan Allah turut menerbitkan buku berdasarkan kajian itu. “Apa yang dimenangi ini juga seiring dengan cita-cita mahu menjadi penulis buku,” kata pelajar Ijazah Doktor Falsafah Psikologi  Universiti Malaysia Terengganu.  
27 Mar 21
782
Rumah Reput, Warga Emas Terima Kediaman Baharu
Rumah Reput, Warga Emas Terima Kediaman Baharu
SETIU, 27 Mac - “Paling membimbangkan saya sekiranya hujan, ia mengakibatkan atap zink bocor dan dinding kayu banyak yang reput, rumah akan selalu basah," luah Rokiah Ibrahim atau Kak Yah, 70, dari Kampung Banggol di sini. Kata ibu tunggal itu, rumah yang didiaminya sebelum ini terbiar dan bertambah usang, manakala lantai dan dinding pula reput akibat dimakan anai-anai. "Saya tidak mampu membaikinya kerana hanya bergantung pada pemberian wang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sahaja,” kata Kak Yah kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebelum menerima rumah baharu di bawah Bantuan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit baru-baru ini. Jelas Rokiah, dia berasa amat lega dan bersyukur selepas ada pihak yang sudi membantu dan membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan selamat. “Terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu ‘menghadiahkan’ saya sebuah rumah baharu. "Walaupun rumah ini kecil tetapi ia mempunyai bilik yang memberi keselesaan kepada saya.  “Syukur kepada Allah SWT, jika dahulu saya tinggal di rumah usang  kini kehidupan saya lebih selesa setelah menerima sumbangan rumah baharu daripada Kerajaan Terengganu," ujarnya. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, perancangan awal adalah untuk membaik pulih rumah Kak Yah dengan menggunakan Bantuan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit. Namun katanya, selepas melihat pelbagai faktor pihaknya berpendapat sebuah rumah baharu perlu dibina. “Pembinaan rumah ini memakan masa selama tiga minggu bermula pada 20 Februari dan siap sepenuhnya pada 5 Mac lalu,” katanya.
27 Mar 21
423
Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal
Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal
KEMAMAN, 27 Mac- Pencemaran sungai di Terengganu tidak begitu serius jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan seluruh sungai di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal. "Kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi persekutuan di bawah Jabatan Alam Sekitar sentiasa terjalin. "Kami dari semasa ke semasa berunding dan berbincang bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan tiada pencemaran air yang berlaku ke atas sungai di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas isu pencemaran sungai selepas menyempurnakan  Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Bersempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Sungai Sekilir, Kemasik, hari ini. Turut hadir, Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak dan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam,  Utiliti Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili. Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air (KASA) dan agensi-agensi dibawahnya telah menganjurkan Program Gotong Royong Perdana yang melibatkan sungai-sungai di seluruh negara pada hari ini.  "Bagi Negeri Terengganu, selain Sungai Sekilir (Kemaman) program gotong- royong ini juga berlangsung serentak di enam lagi lokasi di seluruh Terengganu iaitu di Sungai Mercang (Marang), Sungai Tenang (Besut), Sungai Tersat (Hulu Terengganu). "Juga melibatkan Sungai Hiliran (Kuala Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Setiu (Setiu), " ujarnya  Menurut beliau, program gotong-royong ini secara khususnya bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air. Tambah beliau, sambutan Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993.  "Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat di dunia untuk menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.  "Sambutan Hari Air Sedunia ini adalah bertujuan untuk memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), yang dilancarkan pada 2015 oleh PBB, iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030, menjadikan air sebagai isu utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar," jelasnya.
27 Mar 21
448
Enam Pemancing Hilang Ditemui Selamat
Enam Pemancing Hilang Ditemui Selamat
KEMAMAN, 27 Mac - Enam pemancing yang dikhuatiri telah hilang sejak Selasa lalu ditemui selamat di perairan Pahang, semalam. Komander Zon Maritim Malaysia Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot pemancing tersebut telah ditunda oleh bot nelayan Pahang yang menjumpainya. "Berdasarkan maklumat awal, pemancing tersebut turut memberitahu bot mengalami kerosakan pada kipas enjin bot yang tercabut dan menyebabkan bot mereka hanyut," ujarnya ketika ditemui pemberita. Dalam pada itu, kepulangan enam pemancing tersebut yang selamat tiba di Balai Polis Chukai lewat petang semalam turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Hanafiah memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas penemuan semula enam pemancing itu. "Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak sama ada daripada agensi kerajaan, Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman, Nelayan Pahang dan lain-lain yang turut sama membantu urusan dalam pencarian mangsa hilang ini.  "Terima kasih juga buat jemaah masjid dan surau yang telah mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kepulangan enam orang pemancing ini," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai. Hanafiah dalam pertemuan itu turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai buat semua pemancing itu.
27 Mar 21
685
PKM Rhu Rendang Buka Kaunter Bergerak, Tingkatkan Kesedaran Pendaftaran Vaksin
PKM Rhu Rendang Buka Kaunter Bergerak, Tingkatkan Kesedaran Pendaftaran Vaksin
MARANG, 27 Mac - Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan vaksin, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah membuka kaunter bergerak di beberapa tempat. Perkhidmatan ini mula dibuka di perkarangan Pasar Marang, semalam bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi dengan dibantu petugas daripada Institu Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, usaha ini adalah bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat bagi membendung penularan wabak covid-19. “Seperti masa seruan kerajaan, vaksin ini merupakan satu ikhtiar yang boleh diambil dan telah mendapat kelulusan dari pihak kesihatan dan dari segi syarak, " “Untuk pengetahuan, peratus pendafataran vaksin di Marang masih lagi rendah di kalangan masyarakat, jadi kita harap dengan usaha ini dapat membuka mata masyarakat,',"kàtanya. Menurutnya, kaunter yang dibuka ini mampu memudahkan urusan pendaftaran lebih-lebih lagi melibatkan orang ramai yang kurang arif untuk mengisi atau mendaftar. “Mungkin ada yang tidak tahu, tidak pandai atau tidak mempunyai kemudahan asas capaian internet, sekaligus membantu golongan seperti ini,"katanya. Katanya kauter ini akan dibuka di empat kawasan berlainan pada 26 Mac iaitu hari ini, dan tiga kawasan lagi sebelum menjelang ramadhan. “Antaranya pada 4 Mac di Pasar Malam Sungai Kerak, 8 April di Pasar Gong Merawang dan terakhir pada 10 April 2021 di Pantai Pulau Kekabu. "PKM juga mendapat kerjasama baik daripasa pihak Majlis Daerah Marang. Seramai hampir 100 orang telah mendaftar di kaunter bergerak tersebut," tambahnya lagi.
27 Mar 21
511
Terengganu Bakal Haramkan Jualan Telur Penyu
Terengganu Bakal Haramkan Jualan Telur Penyu
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Terengganu bakal mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu di negeri ini bagi memastikan spesies itu terus terpelihara. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, larangan itu akan terpakai selepas Enakmen Pemuliharaan Penyu 1951 (Pindaan 1987) dipinda dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan. "Enakmen sedia ada tidak melarang penjualan telur penyu. Sebelum ini, larangan hanya melibatkan telur penyu belimbing tetapi spesies lain (agar, lipas dan karah) dibenarkan menyebabkan ia dijual secara terbuka termasuk di Pasar Payang, Kuala Terengganu "Sebelum ini juga kadar hukuman terlalu rendah dan tidak mampu berfungsi sebagai enakmen yang mampu mencegah dan menakutkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemuliharaan Penyu di Pantai Mak Kepit, Pulau Redang, di sini semalam. Susulan itu katanya, dalam tempoh berbaki sebelum akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya, para penjual yang terlibat digesa bersedia. Menurut Dr Azman, kerajaan negeri serius melaksanakan perkara itu bagi memastikan ikon pelancongan Terengganu tersebut dipelihara kerana ia menjadi penyebab kedatangan pelancong. "Langkah ini menerima maklum balas yang sangat baik daripada pelbagai pihak sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkait alam sekitar juga institusi pengajian tinggi," jelasnya. Dalam pada itu, Dr Azman memaklumkan, sempena Tahun Pertanian Negeri, RM300,000 telah diperuntukkan kepada 10 pusat pemuliharaan dan konservasi reptilia berkenaan  Untuk rekod Pusat Konservasi Pantai Mak Kepit yang mula diwartakan sejak tahun 1992 merupakan lokasi kedua tertinggi jumlah pendaratan penyu dan menetas secara semula jadi. Tahun lalu, sebanyak 1,032 sarang telah direkod oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.    
25 Mar 21
1703
Tiga Beradik OKU, Main Game Jana Duit
Tiga Beradik OKU, Main Game Jana Duit
MARANG, 25 Mac -  Tiga adik beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghidap sakit lumpuh, mampu menjana pendapatan sendiri dengan menceburi bidang e-Sport Gaming walaupun keadan fizikal mereka tidak seperti orang lain yang normal. Dikhabarkan, ketua keluarga ini Omar Salleh, yang tinggal di kampung Paya, kehilangan isterinya kira-kira enam tahun lepas. Dia mempunyai tujuh orang anak di mana empat daripada mereka menghidapi penyakit saraf dan lumpuh anggota badan. Mohd. Adnan Omar, 35 berkata, dia bersama dengan abang, Osmanna Aziz, 53, serta kakak perempuannya, Nor Aini, 51 mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 dalam permainan secara atas talian. "Kebiasaannya kami bermain permainan yang hanya menggunakan tetikus, kerana tidak mampu menggunakan papan kekunci disebabkan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan. "Di kalangan peminat permainan secara atas talian 'Crusader', terdapat beberapa perkara yang melibatkan aliran wang dan jual beli untuk mendapatkan sesuatu dalam permainan tersebut, jadi di situ lah kami meraih sumber pendapatan. Menurutnya, peralatan komputer dibelinya secara sedikit demi sedikit untuk mencapai spesifikasi yang diperlukan bagi menceburi bidang tersebut. Katanya ketika menerima satu kunjungan daripada pihak agensi dalam program Mobile Team bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menyalurkan bantuan di Dun Rhu Rendang. Antara agensi yang turut hadir adalah Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Tabung Darul Iman (TDI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya memuji inisiatif yang dilakukan bagi mencari sumber pendapatan buat keluarga ini. "Walaupun mereka tidak dapat bergerak secara sempurna seperti orang lain, mereka tetap berusaha mencari jalan untuk melakukan sesuatu apatah lagi dalam hal seperti ini. "Untuk pengetahuan, salah seorang daripada mereka yang lumpuh mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Salah seorang daripada mereka mula menderita penyakit ini hampir 15 tahun yang lalu." "Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Omar, iaitu Osmana Osman, Nor Aini, Osmanna Aziz dan Mohd. Adnan masing-masing lumpuh ketika berusia 28, 24, 21 dan 43 tahun. "Yang paling menyedihkan sekarang ini, Pak Omar sekarang ini juga memerlukan pampers kerana turut diserang penyakit lumpuh, tambahnya lagi. Sebelum ini, keluarga ini telah menerima bantuan daripada agensi tertentu seperti bantuan baik pulih rumah, bantuan am bulanan, pamper dan susu di samping pernah dikunjungi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.    
25 Mar 21
1083