Artikel "Utama" Terkini
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Di Terengganu Tertinggi Sejak 10 Hari
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Terengganu terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 tertinggi dalam negara lebih 10 hari sejak 18 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi laman Facebooknya, berkata negeri Terengganu mendahului senarai dengan 1.33 diikuti Kelantan (1.26) serta Sabah dan Pulau Pinang (1.25).
Katanya, R-naught COVID-19 di Malaysia turut merekodkan peningkatan pada Rabu, dengan kadar 1.16, berbanding 1.14 pada hari sebelumnya.
“Sembilan lagi negeri lain mencatat kadar di antara 1.04 hingga 1.22 iaitu Sarawak, Melaka, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor dan Kedah.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Sementara itu, dua lokaliti di Kemaman akan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini sehingga 13 Ogos setelah diumumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Ini melibatkan Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak di daerah itu," katanya dalam satu kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.
29 Jul 21
575
TNB Marang Sambung Bekalan Elektrik Rumah Nelayan
MARANG, 29 Julai - Inisiatif 60 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Marang menginfaqkan sumbangan dengan menyambung bekalan elektrik rumah seorang nelayan Yusri Musa, 49 wajar dipuji.
Ketua Teknikal TNB Marang, Ahmad Aswadi Lawi @ Ali berkata, pada masa sama turut menghulurkan kelengkapan rumah termasuk, dapur memasak, pengisar, periuk nasi serta barangan dapur.
Pemasangan meter yang dibantu oleh pihak TNB
"Sumbangan ini bukanlah yang pertama di mana pernah dilaksanakan, malah turut membantu keluarga lain yang sangat memerlukan.
"Walaupun di Daerah Marang, tidak mempunyai program rasmi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), namun ini adalah merupakan salah satu kaedah memberikan bantuan kepada komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyerahkan sumbangan keperluan dapur dan perabot dapur kepada Yusri Musa di Kampung Kelulut.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung.
Keadaan rumah lama Yusri Musa yang uzur
Sementara itu, Nasaruddin Samsudeng berkata pihaknya sungguh berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada TNB Marang serta semua staf yang terlibat dalam menyumbang bantuan tersebut.
"Besar sungguh sumbangan mereka walaupun di peringkat Daerah Marang tidak mempunyai projek CSR secara rasmi, namun mereka tetap membantu dengan melakukan amal jariah ini.
"Jika hari ini mereka terangkan rumah keluarga ini, maka di sana nanti engkau terangkan lah kubur mereka, mudah-mudahan kerja buat mereka diganjari kelak," tambahnya lagi.
Sebelum ini, Yusri Musa adalah penerima rumah bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak dapat tinggal di rumahnya kerana tidak mampu menyambung bekalan elektrik dan air bersih.
29 Jul 21
1634
Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
TOKYO, 29 Julai - Jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengekalkan momentum kemenangan setelah menundukkan pesaing dari China, Wang Dapeng dengan keputusan 6-5 di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berjaya mengulangi pusingan kalah mati pertama dengan tembakan ‘bulls-eye’ 10 manakala Dapeng hanya membidik 9, dengan keputusan keseluruhan (25-28, 28-28, 27-26, 29-26, 26-27).
Kemenangan oleh anak jati Kemaman itu adalah sambungan daripada perlawanan di antara wakil Finland, Antti Vikstrom dalam dua percubaan dramatik setelah terikat pada kedudukan 5-5 dengan pusingan pertama dan kedua di Yumenoshima Final Field.
"Alhamdulillah, saya memenangi kedua-dua perlawanan hari ini walaupun diakhiri dengan ‘shoot-offs'. Saya tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana hilang fokus seketika. Untuk perlawanan pusingan ketiga saya, saya akan lebih tumpu.
"Saya memang merasakan tekanannya, tetapi saya harus fokus 100 peratus untuk menangani tekanan atau keadaan angin dengan cermat.
“Tuah mengikuti saya kerana berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas busur lawan saya dari Finland patah,” katanya seperti mana dilaporkan News Straits Times.
Pemain Malaysia berusia 29 tahun itu akan mara menentang pemain Korea Selatan, Kim Woo Jin pada 16 perlawanan terakhir pada hari Sabtu ini.
29 Jul 21
1043
Terengganu Kesan Kes Pertama Varian Delta
KUALA NERUS, 28 Julai - Terengganu mengesan kes pertama varian Delta yang disahkan positif baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkembangan itu amat membimbangkan.
Justeru, beliau menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan khususnya apabila muncul varian yang berasal dari India itu.
“Katakan pertemuan kita dalam masa lima saat pun, ia boleh menjangkiti orang lain dan jangkitannya adalah melalui udara berbanding Varian sebelum ini yang hanya boleh dijangkiti melalui titisan air liur dan seumpamanya.
"Dulu kita kata, jarak satu meter sudah cukup, tapi apabila virus melalui udara kita kena jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan varian tersebut boleh masuk di mana sahaja bahagian muka, samada hidung, mulut, atau mata walaupun memakai pelitup muka," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Tambah beliau, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga masih menunggu beberapa lagi keputusan 'Genome Test' dari Kuala Lumpur bagi menentukan jenis varian apa selepas hasil pemeriksaan.
"Kita harap tidak ada lagi kes varian baharu seperti ini insya-Allah.
"Oleh itu, suka saya nasihatkan orang ramai, sekiranya tiada urusan penting jangan keluar rumah melainkan jika terpaksa pastikan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi," ujarnya.
Setakat hari ini, Terengganu mencatatkan 490 kes positif baharu dan 2,357 kes masih dalam rawatan serta satu kes kematian harian.
28 Jul 21
14653
Penduduk PKPD Di Teluk Menara Terima Bantuan Bakul Makanan
Oleh : Ahmad Mawardi
HULU TERENGGANU, 28 Julai - Seramai 515 Ketua Isi Rumah (KIR) dari dua zon hulu dan hilir di Teluk Menara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bakul makanan daripada Pusat Khidmat Khidmat PKM ADUN Manir.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir Ustaz Suqiman Tahar berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD.
"Pelaksanaan PKPD di kampung berkenaan bermula semalam menyebabkan penduduk yang terlibat kuarantin tidak dapat keluar untuk bekerja.
"Oleh itu sebagai tanda kecaknaan, hari ini, sebanyak 200 bakul makanan asas diagihkan melibatkan zon hulu dari kawasan berisiko kes dan selanjutnya esok akan diedarkan ke seluruh rumah di kampung berkenaan,"ujarnya.
Suqiman yang juga Ketua Unit Bantuan Khas PKPD Teluk Menara berkata demikian ketika hadir pengagihan bantuan berkenaan petang tadi.
Tambahnya lagi, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, agihan secara berperingkat-peringkat akan dilaksanakan untuk memastikan penduduk terlibat sentiasa mempunyai bekalan makanan mencukupi.
28 Jul 21
1038
Kes Harian Melonjak 490, Kluster Baharu Bertambah
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Kes harian COVID-19 di Terengganu semakin parah selepas merekodkan 490 kes baharu di samping satu kematian hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melaporkan, Kemaman kekal mencatat angka tertinggi dengan 179 kes positif baharu disusuli Dungun (148), Kuala Terengganu (56), Hulu Terengganu (33), Kuala Nerus (29), Setiu (19), Marang (15) dan Besut (11).
Sementara itu, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Taman Selesa.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kluster terbabit merupakan kluster komuniti hasil saringan yang dijalankan terhadap bergejala.
Hingga kini 532 individu telah disaring dengan 65 daripadanya dilaporkan positif.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di negara ini mencatatkan 1.14 nilai Rt berdasarkan kes harian yang dilaporkan semalam.
Beliau menjelaskan, negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (RT 1.30), diikuti oleh Kelantan (RT 1.27) dan Johor, Sabah serta Kedah masing-masing nilai RT 1.23.
28 Jul 21
2865
Rawat, Bina Kerjaya Bekas Penagih
MARANG, 28 Julai - Tanpa pagar berduri, kawalan keselamatan yang ketat serta kerahan atau arahan tegas serta keras, ramai berpendapat tentunya agak pelik untuk membimbing serta merawat penagih dadah terutama yang kronik apatah lagi pernah menghuni tirai besi beberapa kali.
Tetapi itu tidak mustahil bagi Pusat Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah (PDB) yang kini mula melatih 30 peserta dari pelbagai daerah, termasuk Besut dan Kemaman.
Penubuhan PDB hasil manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 itu diwujudkan seolah-olah pengajian pondok di mana tempat bekas penagih menuntut ilmu agama dan menjalankan ibadat.
Pada masa sama perlu mengikuti ibadat asas seperti solat fardu berjemaah dan solat sunat, zikir, mengaji al-Quran dan puasa, selain sesi ceramah dan aktiviti fizikal untuk memupuk motivasi serta jati diri.
Projek yang bertempat di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih, Cador, Marang itu telah disusun dengan sistem dan silibus terbaik melibatkan Yayasan Islam Terengganu, pelbagai badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia.
Pengurus perkampungan terbabit, Alif Mahari berkata kebanyakan mereka yang berdaftar adalah yang benar-benar mahu berubah, ada yang hadir secara bersendirian, ada juga bersama ibu dan bapa serta ada juga isteri yang hantar.
“’Mereka berusia dalam lingkungan 21 sehingga 49 tahun itu mempunyai pelbagai latarbelakang dan sejarah tersendiri, ada yang sudah berumahtangga dan ada juga yang duda.
“Semuanya kita terima secara ikhlas hati , tanpa bayaran asalnya benar-benar mahu berubah dah bertaubat.
“Berdasarkan temubual bersama pelatih, mereka mengakui tiada kekuatan untuk berubah secara bersendirian kerana mengalami tekanan dan masih ada pengaruh rakan lama, itu antara alasan yang diberikan peserta,” katanya.
Menurutnya, PDB menjangkakan mampu membimbing sekurang-kurangnya 50 bekas penagih bagi fasa pertama dan 100 pelatih sehingga akhir tahun depan.
“Bermungkinan akan bertambah secara berperingkat-peringkat hingga ke angka 300 pelatih pada masa hadapan, memandangkan kawasan ini sangat luas iaitu berkeluasan 40 ekar.
“Biarpun tidak sampai 15 hari beroperasi, pihak kami ada menerima lebih hampir 50 permohonan, termasuk golongan wanita,” katanya.
Alif berkata dia yakin hasil bimbingan tenaga pengajar yang turut dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) terlatih di perkampungan itu, pelatih akan mula sedar dan insaf dengan kisah silam masing-masing dalam tempoh antara empat hingga enam bulan.
Katanya, walaupun benar-benar berubah tempoh itu, PRS tetap terus mendidik, membimbing dan memberi motivasi secara islamik kepada setiap pelatih supaya genap setahun tempoh pemulihan.
“Selepas itu, pelatih boleh memilih jalan-jalan kehidupan masing-masing tetapi PDB tetap memantau supaya tidak terjerumus kembali dalam kehidupan lampau,” katanya.
Menurut seorang PRS, Wan Luqman Wan Zulkifli berkata, berkata setiap pelatih perlu mengikuti jadual yang ditetapkan di mana perlu menjalani kuarantin diri sepanjang tempoh dua minggu (merawat diri dan mental secara bersendirian).
“Sebulan hingga tiga bulan pertama diwajibkan mengikuti kem ibadah dan program taubat, sebaik benar-benar temui jalan kebenaran, pelatih diberi pilihan untuk mengikuti program pertanian atau penternakan (tiga hingga enam bulan tempoh bimbingan),” katanya.
Katanya, kemudianya, bagi tempoh enam hingga sembilan bulan, pelatih akan diajar menguruskan hasil tanaman dan ternakan masing-masing sehingga menemui pasaran.
“Seterusnya bagi tempoh sembilan sehingga 12 bulan, mereka akan dididik bagaimana menguruskan perniagaan, cara berurusniaga dan pembangunan kendiri serta keluarga.
“Lebih menarik, sebelum tamat tempoh pemulihan, PDB akan mendapatkan sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan untuk bantuan dan pinjaman perniagaan,” katanya.
28 Jul 21
1498
Keberkesanan Ivermectin Perlu Bukti Saintifik
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Keberkesanan penggunaan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi perlu dibuktikan melalui kajian saintifik sebelum diluluskan oleh Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata sebagai kerajaan nyawa rakyat tidak boleh diambil mudah dengan mengarahkan agensi terbabit meluluskan begitu sahaja tanpa melihat piawaian yang perlu dipatuhi.
"Dalam kelulusan penggunaan vaksin sebagai contoh, sekali pun kerajaan mahukan kelulusan yang cepat. kerajaan tidak semudah itu mengarah untuk diluluskan segera.
" Sputnik V misalnya, walaupun berada dalam senarai vaksin yang menjadi pilihan kerajaan dan terdapat data klinikal yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet yang menjadi rujukan seluruh dunia, sampai sekarang masih belum diluluskan kerana mempunyai senarai pematuhan yang perlu dipenuhi," ujarnya dalam satu kenyataan pada hari ini,
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata sekiranya diluluskan begitu sahaja kerajaan berisiko menghadapi pelbagai masalah serius pada jangka masa panjang yang akan dibangkitkan rakyat termasuk apabila berlaku kes kematian.
"Bagaimana bentuk keterangan yang boleh diberikan dalam sebarang kes mahkamah tanpa adanya bukti tentang kesesuaian penggunaan Ivermictin untuk rawatan Covid 19?.
"Juga perlu berhadapan dengan keterangan saintifik yang bertentangan hasil kajian yang telah dilengkapkan oleh agensi kawal selia pelbagai negara lain, (termasuk) pendirian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan yang terbaru kajian saintifik oleh Universiti Oxford," katanya.
Ujarnya, pendirian syarikat pengeluar Ivermectin itu sendiri juga perlu diteliti untuk digunakan sebagai perawatan Covid-19.
"Mengapa dibiarkan dia digunakan secara 'óff label', setakat mana keputusan kajian yang mereka ada dan adakah dibuat kajian?.
"Tidakkah sepatutnya pengeluar lagi beruntung jika ia dibuktikan secara saintifik berkesan dan selamat untuk rawatan Covid-19," ujarnya.
Sebagai syarikat yang besar dan berkemampuan katanya, sewajarnya telah diadakan desakan oleh penyokong tetap yang mendesak ia diluluskan secara meluas.
Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, keputusan ujian klinikal berhubung keberkesanan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi dijangka akan diketahui pada September ini.
Kajian keberkesanan rawatan Ivermectin pada pesakit berisiko tinggi Covid-19' telah dipersetujui Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (MREC).
28 Jul 21
445
Terengganu Capai 40 Peratus Kadar Vaksinasi Akhir Ogos
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Terengganu optimis mampu mencapai kadar vaksinasi sebanyak 40 peratus menjelang akhir Ogos nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kadar itu diperlukan untuk Terengganu beralih ke fasa ketiga dan mengurangkan penularan COVID-19.
"Kita menjangkakan bahawa kita mampu menyuntik sekitar 12,000 hingga 14,000 sehari.
"Rekod suntikan kita yang paling tinggi adalah sebanyak 14,220 sehari pada 24 Julai lalu, ini adalah pencapaian tertinggi kita setakat ini.
"Biasanya hanya sekitar 10,000 hingga 14,000 sahaja sehari mengikut kemampuan tenaga yang kita ada," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam.
Jelanya, kerja keras semua pihak terutamanya petugas barisan hadapan akan menjayakan sasaran terbabit.
"Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada 'frontliners' kita kerana bekerja 'hold out', hari raya haji juga bekerja, hari cuti juga bekerja, tiada cuti hujung minggu, hanya untuk mempercepatkan pemberian vaksin ini.
"Berdasarkan jumlah suntikan harian semasa, jika kita mampu menyuntik sehari sebanyak 14,000 orang, kita mampu memberikan suntikan sebanyak 98,000 orang seminggu.
"Apabila dicampur dengan jumlah penerima dos pertama semasa, kita menjangkakan pada awal ogos seramai 382,563 orang akan menerimanya, ini bermaksud kita telah mencapai 47 peratus penerima dos pertama.
"Kita juga berharap pengujung bulan Ogos atau awal bulan September kita dapat beralih ke fasa ketiga," jelasnya.
28 Jul 21
533
Kadar Vaksinasi Harian Malaysia Terpantas Di Dunia
PUTRAJAYA, 28 Julai - Kadar vaksinasi harian di Malaysia merupakan yang terpantas di dunia dengan kapasiti suntikan mencecah 500,000 dos sehari mengatasi beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Menteri Penyeleras Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini kira-kira 18.4 juta rakyat telah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Univerisiti Oxford.
Langkah itu katanya bakal mempercepatkan sasaran Malaysia mencapai imuniti kelompok pada Oktober sekali gus menghalang penularan wabak berkenaan yang meningkat dengan begitu drastik dan membimbangkan.
"Kadar harian vaksinasi semalam telah mencatatkan jumlah tertinggi apabila 553,871 dos berjaya diberikan di seluruh Malaysia menyaksikan pemberian vaksin harian mencapai angka melebihi 500,000 bagi dua hari berturut-turut.
"Menjadikan jumlah pemberian bagi dua hari ini, sebanyak 1,07 juta dengan penambahan penerima dos pertama dua peratus populasi Malaysia atau bersamaan 692,000 orang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan mengenai PICK pada persidangan khas Dewan Rakyat, pada hari ini.
Katanya, kerajaan optimis dapat merealisasikannya sasaran imuniti kelompok apabila telah membuka 2,313 Pusat pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
Mengulas lanjut mengenai gambaran kejayaan vaksinasi itu katanya, sehingga kini fasa pertama seramai 695,000 petugas barisan hadapan telah menerima dos lengkap manakala 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas sudah menerima vaksin pada fasa kedua.
28 Jul 21
255