lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Fokus Perkasa Usahawan Tempatan Lonjak Produk Tradisional ke Pasaran Lebih Luas
Terengganu Fokus Perkasa Usahawan Tempatan Lonjak Produk Tradisional ke Pasaran Lebih Luas
PATTANI, 28 Julai – Kejayaan perniagaan ayam tempayan di Pattani membuktikan bahawa makanan tradisional mampu dikomersialkan sebagai jenama serantau menerusi penjenamaan konsisten dan pemasaran digital berkesan. Hidangan ayam panggang berempah itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah tular di media sosial, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan di selatan Thailand. Melihat potensi besar tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu kini giat memperkasakan usahawan makanan dan produk tradisional negeri itu agar dapat menembusi pasaran lebih luas. Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan YPU, Zulkifli Yunus berkata, antara perniagaan yang wajar dicontohi ialah Ahlam Ayam Tempayan yang diusahakan oleh usahawan Muslim, Khozali Dusamok di Chana, Thailand. “Perniagaan ini menggunakan kaedah tradisional memanggang ayam dalam tempayan tanah liat dan berjaya menjual kira-kira 1,000 ekor ayam setiap hari, meningkat kepada 3,000 hingga 4,000 ekor semasa bulan Ramadan. “Biarpun baru beroperasi sejak lima tahun lalu, Ahlam Ayam Tempayan kini memiliki dua cawangan dan menggaji lebih 80 orang pekerja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis itu, di sini, baru-baru ini. Lawatan rasmi itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato' Ariffin Deraman, bersama delegasi seramai 30 wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pusat. Zulkifli berkata, banyak yang boleh dipelajari daripada kejayaan usahawan di Pattani, khususnya dari aspek penjenamaan visual yang menarik, promosi digital menerusi platform seperti TikTok dan Facebook, serta kualiti produk yang konsisten. “Dengan bimbingan latihan, kemudahan pembiayaan dan sokongan digital, YPU yakin usahawan Terengganu juga mampu menyaingi kejayaan tersebut, khususnya dalam mengetengahkan makanan tradisional sebagai aset dagangan yang berdaya saing di peringkat serantau. “Usahawan makanan tradisional seperti pengusaha sata, keropok lekor, nasi dagang dan ayam percik perlu mengambil inspirasi daripada model perniagaan ini,” katanya. Beliau berkata, pendekatan penjenamaan moden, pembungkusan profesional dan promosi digital berkesan mampu membuka ruang kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran pelancongan dan eksport ke negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
28 Jul 25
152
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Seramai 110 Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu memulakan persidangan mereka di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu hari ini, bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia di negeri dan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata MPBN yang ditubuhkan sejak 1971 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berperanan sebagai wadah utama menyuarakan inspirasi serta pandangan belia, sekali gus menjadi platform penting untuk menyelaras dasar pembangunan generasi muda. “Majlis ini bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi satu sesi libat urus dan persidangan intelektual yang menggabungkan kerjasama serta sinergi antara kerajaan dengan kepimpinan pertubuhan belia. “Melalui platform ini, setiap pandangan, idea, teguran dan cadangan daripada golongan belia dapat disalurkan secara berkesan, sekali gus diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang lebih dinamik,” katanya ketika merasmikan MPBN Peringkat Negeri Terengganu, Sidang Pertama Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026, di sini, hari ini.  Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Dato’ Abdul Kahar Abdul Latif; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad; serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad. Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MPBN terbukti berkesan memainkan peranan dalam merangka hala tuju pembangunan belia sejak penubuhannya. “Bagi memperkukuh peranan tersebut, MPBN turut diperluas ke peringkat daerah bagi meneliti secara lebih dekat intipati, permasalahan serta idea berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja MPBN yang terdiri daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, badan gabungan dan urus setia persidangan yang telah memastikan kelancaran penganjuran. “Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah merancang dan menjayakan persidangan yang penuh bermanfaat ini,” katanya.  
28 Jul 25
103
Tour Gateh D' Tranung 2025 Kembali Jelajah Seluruh Terengganu
Tour Gateh D' Tranung 2025 Kembali Jelajah Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Tour Gateh D' Tranung (TGDT) 2025 akan kembali menampilkan perlumbaan di kesemua lapan daerah di seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berbanding lima daerah pada tahun lalu, penganjuran kali ini melibatkan lapan daerah membabitkan jarak keseluruhan sepanjang  910.5 kilometer. "Kejohanan kita akan bermula pada 26 Oktober sehingga 3 November bermula di Kuala Nerus dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai lokasi peringkat terakhir. "Penyertaan negara luar buat masa ini amat menggalakkan di mana kita telah menerima banyak pasukan-pasukan baru, melebihi jumlah yang kita tetapkan," katanya. Tambahnya, setakat ini sebanyak 12 pasukan iaitu pasukan Kebangsaan Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong Kong, Grant Thornton Cycling Team (Thailand), Jakarta Pro Cycling Team (Indonesia), Asc Monster Indonesia, Standard Insurance Philippines Continental, Velofit  Australia, Global Cycling Team (Belanda), Specialized Mavericks Singapore, Asia Cycling Team (Jepun), Ride Revolution Coaching (United Kingdom) dan CCN Factory Racing Hong Kong. Beliau berkata demikian ketika sidang media TGDT 2025 di Wisama Darul Iman, hari ini. Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya dan Setiausaha Persatuan Lumba Basikan Terengganu (PLBT), Ahmad Sabri Mustafa. Menurut Hishamuddin, antara faktor utama yang 'memikat' minat pelumba luar negara adalah keindahan negeri Terengganu sendiri, selain rakyatnya yang ramah dan kebanyakan pengguna jalan raya di sini memahami keperluan acara berbasikal. "Ini semua memberikan keselesaan untuk pelumba beraksi di Terengganu walaupun penganjuran ini tidak meletakkan mata dalam ranking pasukan. "Peningkatan peringkat perlumbaan juga diputuskan setelah kita mengambil maklum balas daripada peserta sebelum ini," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Shahrizal memaklumkan, penglibatan pasukan tempatan terpaksa dibuat melalui pemilihan berikutan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan penyertaan maksimum 25 pasukan sahaja bagi setiap kejohanan.    
28 Jul 25
842
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
Aspirasi Bandar Pintar Diperkukuh Melalui Pembangunan Intelligent Pole
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pintar kini memasuki fasa baharu apabila pembinaan replika 'Intelligent Pole' berada di peringkat akhir, sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek perintis dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, struktur itu dibangunkan oleh Colla Connecting Edge bersama vendornya sebagai rujukan awal sebelum pelaksanaan sepenuhnya dijalankan. "Saya berkesempatan melawat replika Intelligent Pole yang kini berada di fasa akhir pembinaannya di negeri Terengganu. "Setelah mendengar penerangan secara terperinci, Intelligent Pole adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk dilaksanakan di negeri Terengganu. Intelligent Pole tidak hanya berfungsi sebagai menara telekomunikasi yang biasa. "Ia juga dilengkapi dengan lampu jalan pintar, antena telekomunikasi, pembesar suara (public announcement), skrin digital pengiklanan dan kamera CCTV yang boleh mengambil data secara terus dengan adaptasi kecerdasan buatan Artificial Intelligent (AI). Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang telah dimuatnaik dalam satu hantaran Facebook rasminya. Tambahnya, setiap kelengkapan itu berfungsi secara serentak dalam satu struktur, sekali gus membolehkan proses pengumpulan data, komunikasi, keselamatan dan pengiklanan dilaksanakan dengan lebih cekap dan pintar.   Jelasnya lagi, sekiranya projek perintis ini berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki teknologi sedemikian. "Pilot project dijangka akan bermula dalam masa terdekat. Sekiranya berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki Intelligent Pole seumpama ini. "Ini satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang selamat, cekap dan berdaya saing dalam era digital," ulasnya. Dalam pada itu, beliau turut memohon sokongan semua pihak agar inisiatif tersebut dipermudahkan dan dapat memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang.
28 Jul 25
169
Graduan INSTEP Mahu Bantu Keluarga
Graduan INSTEP Mahu Bantu Keluarga
KUALA NERUS, 28 Julai – Rata-rata graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024 berharap akan memperoleh pekerjaan yang bersesuaian setelah berjaya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP). Bagi Muhammad Iman Zulhaqim Mohd Sukizam, 24, dari Paka, Dungun berkata, dia mula mengenali tentang program TEP Plus melalui rakan dan kenalan yang sering bermain sukan bersama, selain jiran tetangga di kawasan perumahan mereka. Malah jelasnya, lokasi kediaman yang berdekatan dengan kawasan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minatnya terhadap industri tenaga. “Sebagai anak tunggal, dengan ayah yang bekerja jauh sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, saya rasa tanggungjawab besar untuk menyokong ibu dan keluarga saya.  “Kehidupan yang dekat dengan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minat saya terhadap industri tenaga. Melalui program TEP Plus, saya berharap dapat memperolehi kemahiran yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kami sekeluarga,” ujarnya. Sementara itu, Muhammad Riduan Azman, 26, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang mengakui, hanya melalui pendidikan dan kerja keras, dia mampu mengubah nasib keluarga.  Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, asbab dibesarkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan ayahnya bekerja ‘kampung’ dan ibunya bekerja sebagai tukang cuci di SJK(C) Chong Hwa Wakaf Tapai menjadikannya kuat.  “Ada hari dapat wang saku, ada hari tak. Kalau tak ada, saya bawa bekal dari rumah. Keluarga saya bukan senang, tapi kami sentiasa bersyukur,” ujar Riduan. Kunjungannya ke reruai PETRONAS semasa karnival kerjaya membuka peluang baharu dalam hidupnya apabila diperkenalkan kepada program INSTEP.  Tanpa berlengah, beliau memohon dan akhirnya terpilih sebagai peserta Program TEP-Plus, khusus dalam bidang ‘Production’.  “Saya ada diploma dalam bidang elektronik dari Sekolah Vokasional Wakaf Tembesu. Apabila tahu pasal program ni, saya nekad nak cuba. Saya anak sulung, tanggungjawab saya besar, saya nak bantu keluarga,” ujarnya. TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan. Program selama 18 bulan yang ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) itu merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.   
28 Jul 25
85
Selangor Kekal Ratu National 7s 2025
Selangor Kekal Ratu National 7s 2025
KUALA NERUS, 27 Julai - Selangor mempertahankan gelaran juara terbuka wanita dalam Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s ) 2025 apabila menewaskan pasukan tuan rumah, Terengganu dalam perlawanan akhir sebentar tadi. Pada aksi di Stadium Tengku Muhammad Ismail itu, Selangor melakukan lima try dan dua conversion menumpaskan Terengganu, yang tampil buat kali pertama dalam kategori itu dengan mata 29-0. Juara bertahan itu unggul dengan tiga try pada separuh masa pertama, sebelum melenyapkan harapan Terengganu untuk bangkit dengan 14 mata pada separuh masa kedua. Selangor turut mengungguli kategori wanita bawah 21 tahun selepas menewaskan Terengganu, juga dengan skor 29-0. Pasukan itu membawa pulang hadiah kejuaraan berupa piala, pingat dan hadiah wang tunai RM3,000.  
27 Jul 25
78
Kelantan 'Rampas' Kejuaraan National 7s 2025
Kelantan 'Rampas' Kejuaraan National 7s 2025
KUALA NERUS, 27 Julai - Skrip berbeza ditampilkan dalam saingan terbuka lelaki Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2025 apabila juara bertahan tahun lalu, Johor tumpas kepada pasukan pantai timur, Kelantan dalam perlawanan akhir sebentar tadi. Kelantan mendahului 10-5 pada separuh masa pertama dalam aksi sengit antara kedua-dua pasukan. Memasuki separuh masa kedua, Johor tidak menunggu lama untuk melakukan satu try dan menyempurnakan conversion bagi mendahului 12-10. Pada minit terakhir perlawanan, Kelantan berjaya melakukan satu try dan conversion menerusi pemain kebangsaan, Amar Zamri sekaligus menutup kebangkitan Johor dengan skor 17-12. Menurut jurulatih Kelantan, Mohamad Syarif Sudin, pasukannya berjaya membawa pulang kembali piala National 7s selepas tujuh tahun. "Tahun 2018 di Ipoh adalah kali terakhir kita bawa pulang piala dan Alhamdulillah, kita berjaya bawa kembali piala ke Kelantan kali ini. "Kita menduduki tempat ketiga pada tahun 2023. Manakala, tahun lalu kita hanya dapat hantar pasukan junior untuk bermain di kategori terbuka lelaki. "Kemenangan ini amat besar (maknanya) untuk negeri Kelantan, di bawah exco yang baru ramai pemain bersemangat kembali bermain untuk Kelantan. "(Ragbi) Kelantan bermula dengan landasan yang baik. Insya-Allah, kita akan kekalkan momentum ini untuk ke peringkat seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tadi. Dalam pada itu, pasukan Kelantan turut menduduki tempat ketiga bagi kategori bawah 21 tahun lelaki. Kelantan membawa pulang hadiah berupa piala dan piala pusingan National 7s, pingat dan wang tunai RM5,000.  
27 Jul 25
218
"Langkah Kecil, Harapan Besar" - Dr. Sam
"Langkah Kecil, Harapan Besar" - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Walaupun berdepan pelbagai keterbatasan, kerajaan negeri terus mencari ruang untuk membantu rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan, dengan memperkenalkan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah. Menyifatkan inisiatif ini sebagai 'langkah kecil, harapan besar', Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bernilai RM844,000 ini mungkin kecil dari segi angka, namun cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk menjana pendapatan. "Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah ini mungkin kelihatan kecil pada angka, tetapi cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki, tak kira sebagai penghantar makanan, kurier, penjaja kecil, dan pekerja sektor e-dagang. "Sebanyak RM844,000 telah diperuntukkan bagi membantu 160 orang di seluruh negeri. Lima orang di setiap DUN akan dikenal pasti, bukan kerana keistimewaan mereka, tetapi kerana kesungguhan mereka untuk bangkit dan berdikari. "Bagi kerajaan negeri, motosikal ini bukan sekadar kenderaan. Ia adalah alat usaha. Ia melambangkan harapan. Ia membawa makna bahawa walau kecil sumbangan kami, kami tetap mahu berdiri di sisi rakyat yang tidak pernah putus asa. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook rasminya, di sini, hari ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan berusaha menyalurkan apa yang termampu dengan penuh tanggungjawab. Dalam pada itu, Samsuri turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus memberikan kepercayaan dan ruang kepada pihak kerajaan negeri. "Insya-Allah, kami akan terus berusaha menambah baik apa yang termampu, selagi diberi amanah," ujarnya. Terdahulu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM844,000 bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki motosikal bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan. Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman pada 20 Julai yang lalu.
27 Jul 25
247
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Skuad ragbi wanita Terengganu membuktikan potensi pemain akar umbi masih 'berkuasa' apabila membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) dengan dua kemenangan meyakinkan, meskipun tidak dibarisi pemain kebangsaan bertaraf elit. Beraksi dalam kategori Wanita Terbuka, pasukan tuan rumah yang rata-ratanya terdiri daripada bekas pemain Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu mempamerkan keserasian tinggi apabila menewaskan Melaka 46-00 sebelum membenam Sarawak 50-00 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pengurus pasukan, Ahmad Sujairi Johari berkata, kejayaan hari pertama itu adalah hasil keyakinan pasukan terhadap kekuatan dalaman yang dibentuk sejak dari peringkat remaja. "Kami tidak meletakkan skuad wanita Terengganu ini selaku pasukan pilihan bagi National 7s kali ini di mana kami hanya membariskan bekas-bekas pemain SUKMA terdahulu termasuk beberapa pemain lain untuk melengkapkan pasukan ini. Juga pasukan kami tidaklah didominasi oleh pemain-pemain berstatus kebangsaan. "Melihat pada keputusan perlawanan hari pertama ini, komunikasi serta keserasian dalam pasukan menjadi kelebihan buat kami ketika ini. "Cabaran sebenar untuk kami adalah pada keesokkan hari bagi penentuan peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan akhir pada Ahad ini," ujarnya. Prestasi cemerlang ini dilihat sebagai cerminan kepada keberkesanan program pembangunan sukan wanita di Terengganu yang konsisten melahirkan bakat-bakat berdaya saing walaupun tanpa pendedahan antarabangsa secara langsung. Meskipun tanpa status sebagai pasukan pilihan, skuad wanita Terengganu kini dilihat memiliki semangat dan momentum yang tepat untuk mencipta kejutan.
26 Jul 25
402
Usahawan Terengganu Perlu Contohi Kejayaan Thailand Tembusi Pasaran Serantau
Usahawan Terengganu Perlu Contohi Kejayaan Thailand Tembusi Pasaran Serantau
HATYAI, 25 Julai - Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu disaran mencontohi kejayaan model perniagaan di Thailand dalam usaha memperluas pasaran produk halal dan beridentitikan negeri ke peringkat serantau. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, kejayaan usahawan Thailand menembusi pasaran global bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan pelan perniagaan yang tersusun. Menurutnya, antara kekuatan utama mereka adalah kemampuan menjelaskan nilai sesuatu produk kepada pelanggan, sekali gus meyakinkan pengguna tentang manfaat dan kualiti yang ditawarkan. “Pendekatan ini membolehkan pelanggan memahami fungsi produk dengan jelas dan bersedia membayar harga berpatutan. “Inilah yang mendorong pertumbuhan pesat sektor PKS di Thailand, terutamanya dalam industri makanan halal, produk kesihatan dan pertanian moden,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa pusat pengeluaran produk herba dan madu di Hatyai, hari ini. Kunjungan itu melibatkan lebih 30 wakil jabatan dan agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan bagi meneroka potensi pasaran PMKS Terengganu ke Thailand dan negara serantau lain. Dalam masa sama, Ariffin berkata, kejayaan usahawan Thailand juga banyak bergantung kepada penggunaan strategi pemasaran digital, model francais dan pembangunan jenama secara konsisten.  “Usahawan Terengganu perlu manfaatkan platform seperti Asean Mall dan memperkuatkan kehadiran produk tempatan di pasaran luar. “Kerajaan negeri juga menyediakan bantuan teknikal seperti pembungkusan, pelabelan dan latihan industri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU),” ujarnya. Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri komited memperkasakan produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan mengadaptasi pendekatan yang dilaksanakan di Thailand. “Kita ada banyak produk berkualiti seperti batik, songket dan makanan tradisional seperti keropok lekor yang boleh diketengahkan ke pasaran antarabangsa. “Namun usaha ini perlu disokong dengan modal, latihan digital dan jaringan pasaran yang kukuh,” katanya lagi.
25 Jul 25
101