Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Terengganu Tanggung Sewa 'Rumah Sementara' Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Semua mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut yang hilang tempat tinggal akan diberikan penempatan sementara atau rumah sewa yang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, seramai 53 mangsa melibatkan 12 keluarga kurang bernasib baik bakal menerima manfaat tersebut selepas proses penelitian dibuat.
Kataya, langkah itu sedang diambil dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi meringankan beban golongan terbabit.
"Mesyuarat Exco semalam memutuskan Maidam perlu menyediakan penempatan sementara bagi 12 keluarga yang hilang tempat tinggal terbabit.
"Bayaran sewa untuk setiap rumah terlibat akan ditanggung Maidam selaku badan pelaksana kerajaan negeri," jelasnya.
Kata Hanafiah, Maidam juga akan berusaha membantu membina semula rumah baharu kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Terdahulu, media melaporkan sehingga jam 8 pagi ini seramai 53 mangsa membabitkan 12 keluarga masih berlindung di PPS di Besut kerana tiada tempah berteduh walaupun cuaca sudah baik.
“Difahamkan mangsa yang berada di PPS itu tidak dapat pulang selepas kediaman mereka roboh akibat banjir teruk yang melanda daerah itu,” ujarnya.
29 Dec 22
617
Sewa Lori, Jengkaut Selesai Masalah Sampah Pasca Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Kerajaan negeri melaksanakan mobilisasi sumber perkhidmatan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah pasca banjir di kawasan dilanda bencana itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut termasuk sewaan lori oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing.
“Kebiasaannya selepas banjir akan berlaku situasi dimana banyak sampah-sampah pukal seperti perabot, tilam rosak dan lain-lain yang dilonggokan di tempat pembuangan sampah domestik sekali gus menambahkan lagi jumlah sampah yang terpaksa diangkut oleh kontraktor yang dilantik.
“Untuk mengatasi masalah ini, saya telah mengarahkan Pejabat DUN untuk menyewa lori dan jengkaut swasta bagi membantu mengangkut sampah dan dibuang di tapak pelupusan sampah yang sepatutnya,” ujarnya bagi mengulas isu longgokan sampah selepas banjir ketika ditemui pemberita di Duyong Marina Resort, hari ini.
Beliau memaklumkan, semua kos sewaan tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Pusat pelupusan sampah utama di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus yang ditenggelami air baru-baru ini juga telah dibuka semula.
“Justeru, dengan kombinasi jentera pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dilantik serta sewaan oleh Pejabat DUN, masalah longgokan sampah ini akan selesai dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, laluan ke pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan yang dinaiki air ketika banjir baru-baru ini turut menyebabkan berlaku kesesakan di pusat pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang.
“Disebabkan pusat pelupusan sampah di Sungai Ikan tidak boleh operasi ketika itu, jentera Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan kontraktor dilantik terpaksa menghantar sampah di pusat pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang.
“Oleh kerana jarak agak jauh dan bilangan lori bertambah dari dua daerah melibatkan Marang dan Kuala Terengganu maka berlakulah kesesakan lori ditempat pelupusan sampah di Marang yang mana pemandu-pemandu terpaksa beratur panjang dan memperlahankan urusan.
“Jarak yang jauh juga menyebabkan jumlah ‘trip’ yang dapat dipenuhi untuk satu hari itu berkurangan, menyebabkan kontraktor tidak dapat mengangkut keseluruhan sampah dengan segera sebagaimana biasa,” ujarnya.
Justeru, beliau mengharapkan rakyat faham dengan situasi banjir luar jangka pada kali ini yang menyebabkan seluruh daerah terjejas.
27 Dec 22
651
Hanya Besut Masih Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Hanya daerah Besut sahaja yang masih terjejas banjir apabila 138 mangsa masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada 41 keluarga.
“Sebanyak dua PPS yang masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa tersebut dalam daerah berkenaan.
“Manakala daerah Kemaman, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus telah pulih sepenuhnya,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Jelasnya lagi, dua PPS yang masih dibuka iaitu di Masjid Kampung La dan Balairaya Kampung Pantai.
“Masing-masing menempatkan sebanyak 126 dan 12 mangsa daripada 38 dan tiga keluarga.
“Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung,” katanya
27 Dec 22
321
MAIDAM Salur RM2 Juta Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu hari ini, menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Terengganu bagi menyokong usaha membantu mangsa-mangsa banjir negeri itu.
Yang di-Pertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah banjir agar dapat memulihkan kehidupan seperti biasa.
"Sumbangan melalui sinf al-Ghamirin ini merupakan bantuan bagi orang-orang berhutang, yang mana mangsa-mangsa banjir kehilangan harta dan dibolehkan layak mendapatkan bantuan ini.
"Bantuan ini kita serahkan kepada kerajaan negeri supaya dapat diselaraskan dan menampung keperluan mereka secara lebih bersasar.
"Selain itu, suntikan kewangan membolehkan mereka membeli atau membaiki peralatan rumah dan kenderaan yang rosak," katanya.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Rozali Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Dr. Ahmad Azrin menambah, bantuan hari ini merupakan bantuan awal diberikan oleh agensi itu.
"Sekiranya ada keperluan dalam hal lain seperti penggantian rumah dan sebagainya, kita akan terus berhubung dengan kerajaan negeri," katanya.
Gelombang kedua banjir yang negeri berkenaan minggu lalu, membabitkan 41,021 mangsa terpaksa dipindahkan ke 296 pusat pemindahan sementara (PPS).
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, banjir kali ini merupakan situasi terburuk pernah dialami Terengganu dengan kesemua lapan daerah dalam negeri itu terjejas dalam tempoh yang sama.
"Kerajaan negeri juga akan menyamlaikan bantuan tunai kepada seramai 11,308 ketua isi rumah (KIR) terlibat sebagaimana diumumkan baru-baru ini," katanya.
26 Dec 22
840
PBSNT Tunggu Tindakan Faisal, Sedia Berbincang
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, pihak persatuan akan menunggu tindakan lanjut penyerang kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim sebelum mengambil sebarang tindakan secara rasmi.
Jelas Menteri Besar Terengganu itu, PBSNT telah mendapatkan penjelasan daripada Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) berhubung isu tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan secara baik.
"Ada perkara yang sedang berlaku sebenarnya dan kita menunggu surat daripada pihak beliau untuk mendapatkan penjelasan dan kita akan berkomunikasi secara rasmi dengannya.
"Ada salah faham yang berlaku, yang dia (Faisal) pun tahu bahawa ada perkara yang tidak patut dibuat tetapi telah berlaku, dan ada tindakan yang ditangguhkan pada peringkat awal namun diambil tindakan selepas itu, apapun kita berbincanglah.
"Kita hendak selesaikan secara baik, cuma kita kena sedar apa yang salah tetap salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan PBSNT 2022 di Primula Beach Hotel, hari ini.
Tambahnya, perkara itu boleh diselesaikan oleh kedua-dua pihak dengan baik.
Beliau bagaimanapun menyatakan, perkara itu tidak memberi kesan kepada persediaan pasukan Terengganu FC untuk musim hadapan.
"Ada isu-isu yang perlu diselesaikan sebenarnya dan kita tunggulah surat daripada beliau, beliau boleh membuat rayuan tiada masalah dan kita boleh berbincang dari situ," jelasnya.
Dalam kongres berkenaan, Samsuri menggariskan beberapa langkah yang dipersetujui untuk memajukan bola sepak di Terengganu.
Antara yang diutarakan ialah penganjuran liga peringkat bawah umur dalam negeri.
"Kita akan mengadakan liga untuk peringkat bawah umur, bagi mencungkil bakat baru dari daerah- daerah ke peringkat tinggi.
"Kita akan bincang dalam peringkat jawatankuasa terutama berkenaan kewangan dan masalah-masalah lain untuk menjayakan perkara ini," katanya.
26 Dec 22
1364
Raja Muda Terengganu Cemar Duli Ziarah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir pada hari kedua di daerah Hulu Terengganu dan Dungun di sini semalam.
Terdahulu, pada hari pertama baginda telah melawat mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu dan Setiu.
Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut serta, Setiausaha Kerajaan Terengganu Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja.
Lokasi pertama dilawati baginda dan rombongan iaitu di PPS Balai Raya Kampung Kemat, Hulu Terengganu yang menempatkan 82 keluarga yang berjumlah 255 mangsa.
Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Adnan Abdullah menyampaikan taklimat ringkas sebelum majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir.
Sejurus kemudian, rombongan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kua, Pengkalan Ajal untuk menyerahkan sumbangan keperluan kepada 147 keluarga di PPS berkenaan.
Yang di-Pertuan Muda bersama rombongan kemudiannya ke PPS SK Pulau Serai Kuala Dungun bagi menyampaikan sumbangan kepada 116 keluarga.
Lawatan berakhir di PPS Tebing Tembah, Dungun dengan penyampaian sumbangan kepada 236 keluarga.
26 Dec 22
752
1,438 Mangsa Banjir Masih Di PPS
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Seramai 1,438 mangsa banjir daripada 385 keluarga masih berada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut daripada empat daerah di negeri ini.
Katanya, sebanyak 12 PPS yang masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa manakala Kemaman, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu pula telah pulih sepenuhnya semalam.
“Kuala Nerus merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,090 mangsa daripada 312 keluarga yang masih berada di empat PPS.
“Manakala di Besut mencatatkan seramai 183 mangsa daripada 51 keluarga yang ditempatkan di lima PPS ,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya, Marang dan Kuala Terengganu pula menempatkan seramai 76 dan 86 penghuni yang masih tinggal di tiga PPS di daerah berkenaan.
“Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung,” jelasnya.
26 Dec 22
141
PTA Service Tawar Servis Peralatan Elektrik Percuma
BESUT, 25 Disember - PTA Sales & Service Sdn Bhd (PTA Service) cawangan Kampung Raja menawarkan perkhidmatan servis peralatan elektrik percuma buat mangsa banjir.
Pengurus PTA Service, Mohd Azam Ramia berkata tawaran secara percuma ini terbuka buat semua mangsa banjir terpilih sehingga Rabu (28 Disember) ini.
“Misi ini pertama kali diadakan pihak PTA Service melihatkan kepada keadaan bencana teruk kali ini.
“Sebagai tanda keprihatinan PTA Service, kami menawarkan bantuan berupa khidmat servis barangan elektrik secara percuma khas buat mangsa banjir,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
PTA Service menerima apa-apa barangan elektrik dan elektronik ke ousat operasi kami di Besut.
Sebarang persoalan boleh diajukan terus kepada pihak PTA Service di talian 011-51134656.
25 Dec 22
652
Mangsa Banjir Tinggal 5,810 Orang
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Seramai 5,810 mangsa banjir daripada 1,651 keluarga masih berada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada tujuh daerah di negeri ini.
Katanya, sebanyak 44 PPS yang masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa manakala Kemaman pula telah pulih sepenuhnya semalam.
“Kuala Nerus merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 2,210 mangsa daripada 574 keluarga yang masih berada di 11 PPS.
“Manakala Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu masing-masing mencatatkan seramai 1288 dan 916 mangsa daripada 482 dan 259 keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya, sebanyak 13 PPS di yang menempatkan mangsa di dua daerah berkenaan.
“Dungun pula masih mempunyai 773 mangsa daripada 207 keluarga yang berada di 10 PPS,” katanya.
Beliau berkata seramai 421 mangsa daripada 105 keluarga masih berada di tujuh PPS di Besut.
“Setiu dan Marang menempatkan seramai 126 dan 76 penghuni yang masih tinggal di tiga PPS di daerah berkenaan,” ujarnya.
25 Dec 22
101
Manfaatkan Cuti Dengan Sertai Misi Banjir
BESUT, 24 Disember - Sukarelawan T-Volt bawah kelolaan Urus Setia Belia Sukan dan NGO negeri (UBSNT) memanfaatkan hari cuti bekerja dengan menyertai misi bantuan pasca banjir.
Mardhati Husna Mohd Zailani, 23, berkata dia mendaftar sebagai sukarelawan T-Volt selepas mendapati penyertaan dibuka melalui media sosial rasmi UBSNT.
“Saya terkejut dan sedih ketika bencana ini menimpa negeri kita. Terkejut kerana tidak menyangka paras banjir itu tinggi dan sedih kerana banyak harta benda rosak.
“Jadi kebetulan cuti hujung minggu, sata rasa perlu untuk tolong sebab banyak tempat di Besut yang terkesan,” katanya ketika ditemui di Misi Bantuan Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuh Kawah, Besut hari ini.
Sementara itu, Anis Sakinah Mohd Zubir, 23, menjelaskan dia terpanggil untuk turut serta bagi memberikan sumbangan tenaga dan bantuan emosi buat mangsa terlibat.
Pasukan T-Volt hari ini dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyalurkan bantuan tenaga bagi mangsa banjir seluruh negeri dalam misi melakukan operasi pasca banjir.
24 Dec 22
239