Artikel "Utama" Terkini
Terengganu FC Tak Mahu Ganggu Tumpuan Faisal
KUALA NERUS, 1 Januari - Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Abd Rasid Jusoh tidak mahu mengulas lanjut isu membabitkan pasukan Terengganu FC dan penyerang kebangsaan, Mohd Faisal Halim.
Jelasnya, pihaknya tidak mahu mengganggu tumpuan pemain itu yang kini sedang menggalas tugas negara dalam saingan Piala AFF 2022.
"Kita ucapkan tahniah kepada Faisal, bekas pemain pasukan ini yang berjaya memakai lilitan kapten skuad kebangsaan dan itu bukan sesuatu perkara yang mudah.
"Teruskan dengan tumpuan dengan aksi pasukan kebangsaan, kita 'move forward'.
"Kami tidak mahu mengulas lebih lagi berkaitan isu ini, cukuplah apa yang telah dimaklumkan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani penajaan bersama Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd di pejabat TFCSB, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Sabasun bakal merealisasikan tajaan bernilai RM250,000 bagi tahun 2023.
01 Jan 23
1181
Sabasun Kembali Hiasi 'Dada' Terengganu FC
KUALA NERUS, 1 Januari - Selepas 10 tahun, pasar raya terkemuka Terengganu, Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, kembali meletakkan nama mereka di 'dada' pasukan bola sepak Terengganu apabila menaja Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) bagi tahun 2023.
Sabasun pernah memeriahkan arena bola sepak Terengganu setelah menjadi penaja pasukan T-Team pada tahun 2013.
Pengarah Urusan Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim memaklumkan, pihaknya bakal merealisasikan tajaan kategori Silver bernilai RM250,000 dalam bentuk tunai.
"Hasil sokongan dan dukungan tidak berbelah bahagi rakyat Terengganu, kami terpanggil untuk memberi pulangan melalui penajaan kepada pasukan.
"Kami merasa sangat berbesar hati kepada pihak TFSB kerana memberi peluang dan ruang untuk kami bersama-sama sebagai penaja tahun ini
"Mudah-mudahan, kerjasama ini akan terbentuk dalam rangka lebih luas lagi disamping usaha kami berjuang di bidang ekonomi," katanya ketika ditemui selepas menandatangani usahasama penajaan di pejabat TFCSB, hari ini.
Majlis menandatangani penajaan tersebut disempurnakan Che Salmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abd Rasid Jusoh.
Dalam pada itu, Abd Rasid merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas penajaan pasar raya terbabit.
"Setakat ini, kita telah menerima 15 penajaan secara keseluruhannya dengan nilai tajaan sebanyak RM9 juta melibatkan tunai, barangan dan lain-lain.
"Saya juga mengumumkan nilai kutipan tiket (gate collection) sepanjang beraksi di halaman sendiri pada saingan 2022 adalah sebanyak RM3.2 juta," tambahnya.
01 Jan 23
1940
Che Adam Pegang Rekod Penderma Darah Pertama Tahun 2023
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – “Saya ingin menjadi rakyat Malaysia pertama menderma darah untuk tahun 2023 dan akhirnya impian itu tercapai pada hari ini,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Beliau yang sudah 88 kali menderma darah sejak berusia 21 tahun telah menderma darah tepat pada pukul 8 pagi di Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
“Saya telah mendaftar secara atas talian dalam ‘Blood Bank Information System’ (BBIS) pada pukul 12.05 tengah malam tadi sebagai menyokong kempen menderma darah Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat negara ini menjadikannya sebagai rutin amalan mereka.
“Semoga usaha kecil ini dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ memperbanyakkan stok bekalan darah untuk membantu ramai pesakit yang memerlukan seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia dan wanita yang tumpah darah selepas bersalin,” katanya.
Che Adam berkata, akan menderma darah sekali dalam tempoh tiga bulan dan rutin itu dianggap sebagai amal jariah sebagai usaha menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan.
"Saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini dan bersyukur berpeluang memberikan bakti kepada mereka yang memerlukan darah kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah.
“Derma tidak semestinya dari segi kewangan sahaja, kita boleh salurkan sumbangan mengikut kemampuan yang ada.Selain menyelamatkan nyawa orang lain, pada masa yang sama amalan ini juga baik untuk kesihatan,” katanya lagi.
Beliau juga berharap lebih ramai individu terutamanya generasi muda tampil menjadi penderma darah jika tidak berhalangan dan proses itu hanya mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit bergantung situasi tubuh seseorang.
Sementara itu, rekod Che Adam sebagai rakyat Malaysia pertama yang menderma darah untuk tahun 2023 itu disahkan oleh Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr. Muhaimin Kambali setelah membuat semakan di sistem BBIS yang mempunyai data dari seluruh negara.
01 Jan 23
199
Belia Puji Kerajaan Negeri Pelbagaikan Program Keagamaan
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Program keagamaan yang diadakan sepanjang tahun 2022 di negeri ini telah berjaya membentuk diri anak muda ke arah kebaikan.
Asyraff Najhan Azman, 19, berpendapat bahawa golongan muda dilihat sebagai representasi utama bagi membentuk individu untuk mencintai majlis ilmu.
Katanya, program Terengganu Bermunajat pada malam ini kebanyakannya dihadiri oleh golongan muda.
“Program sebegini amat penting untuk diadakan bagi membersihkan diri dalam persiapan untuk Menghadapi tahun hadapan,” jelasnya.
Dia berkata demikian selepas Program Terengganu Bermunajat bertempat di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini semalam.
Sementara itu, Muhammad Ariffuddin Muhammad Fauzi, 20, turut berpandangan bahawa sambutan tahun baru ini amat bertepatan dengan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ dengan mengadakan program bermunajat.
Dia berkata, pimpinan kerajaan sekarang amat menitikberatkan program keagamaan seperti ini.
“Ianya amat baik untuk generasi sekarang supaya dididik untuk mencintai ilmu.
“Harapan saya agar kerajaan Terengganu meneruskan lagi program sebegini agar dapat membentuk diri orang muda melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
01 Jan 23
649
'Terengganu Bermunajat’ Pada Malam Tahun Baru
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Program ‘Terengganu Bermunajat' menghiasi Sambutan Tahun Baharu 2023 di negeri ini pada malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata program itu diteruskan dengan harapan supaya kehidupan rakyat diberkati oleh Allah S.W.T serta dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan hidup.
“Berbagai-bagai ujian yang telah kita lalui pada tahun 2022 dengan penuh liku-liku kehidupan yang penuh mencabar.
“Semoga kita termasuk golongan yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita semua,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Terengganu Bermunajat bertempat di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini semalam.
Tambah Mohd Nor, beliau berharap agar rakyat mengambil kesempatan untuk berdoa kepada seluruh pimpinan di negeri ini.
Jelasnya lagi, supaya Allah S.W.T memberi kekuatan kepada mereka agar amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan lebih baik pada tahun hadapan.
Justeru, bagi mendapat kebaikan dan kesejahteraan kepada negeri, rakyat dan agama di dunia mahupun akhirat.
31 Dec 22
438
Mangsa Banjir Tak Berdaftar Layak Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Mangsa banjir yang tidak berdaftar di negeri ini tetap layak menerima bantuan tunai yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kelayakan itu akan dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mengesahkan penduduk di sesuatu kawasan benar-benar terkesan sepanjang tempoh berlakunya bencana terbabit.
"Ada beberapa syarat yang berdaftar serta tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu memang layak dapat, termasuk mereka yang daftar tetapi tidak tinggal di PPS.
"Jadi untuk mereka yang terkepung banjir, kawasan rumah dikelilingi banjir walaupun kediamannya tidak dinaiki air serta disahkan memang rumahnya tidak selamat oleh pihak keselamatan terutamanya polis tetapi dia tidak berpindah boleh buat permohonan melalui JPKK.
"JPKK yang akan mengesahkan sama ada mereka benar-benar terlibat banjir ataupun tidak kemudian namanya akan diangkat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diproses bagi menerima bantuan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.
Sementara itu, Hanafiah menyatakan pihak Kerajaan Negeri juga sedang menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah hakisan pantai daripada terus berlaku.
"Menteri yang baharu dilantik perlu menyelesaikanya segera kerana semasa Kerajaan dahulu telah dibuat penelitian untuk diselesaikan perkara ini," katanya.
30 Dec 22
1608
Saling Membantu, Perkukuh Hubungan Antara Negeri
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kini giliran Terengganu pula menerima bantuan dari negeri-negeri yang pernah dibantu ketika berhadapan musibah yang sama sebelum ini, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara Terengganu dengan negeri lain khususnya Selangor, Kedah serta Pahang.
Menteri Besar Terengganu, Dato'. Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia merupakan suatu perkara yang sangat baik dalam memastikan hubungan setiap negeri dalam negara ini berjalan dengan baik.
"Saya percaya hubungan baik ini sangat dinanti-nantikan oleh semua pihak, bantuan yang datang tidak hanya dalam bentuk kewangan tetapi telah ramai sukarelawan dari Selangor telah datang membantu termasuk negeri-negeri lain.
"Ketika Selangor dilanda musibah yang sama kita juga telah menghantar bantuan bersama sukalewan yang digerakkan untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Negeri Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.
Penyerahan bantuan RM500,000 itu telah disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari.
Sehubungan itu Ahmad Samsuri berkata, bantuan itu akan disalurkan terus dengan mengutamakan mangsa yang paling terjejas serta terkesan.
"Saya mengambil kesempatan pada pagi Jumaat yang mulia ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Selangor, yang sudi bertanding ke negeri ini.
"Secara simboliknya telah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor kepada Terengganu bagi kegunaan membantu meringankan beban rakyat yang menghadapi musibah tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin yakin bantuan berkenaan dapat membantu kerajaan Terengganu meringankan beban mereka yang terkesan ketika dilanda musibah berkenaan.
"Jadi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita lakukan serta (menyemarakkan) semangat kerjasama antara Kerajaan negeri sebagaimana yang berlaku tahun lepas di Selangor, Terengganu serta negeri-negeri lain datang membantu," ujarnya.
Tambah beliau, Selangor turut bersedia bagi mengerakkan sukarelawan jika berlaku bencana itu sekali lagi pada Januari ini.
"Kerana dijangkakan ada gelombang baru pada awal bulan tersebut, dengan persefahaman yang telah dibentuk antara pegawai-pegawai negeri dapat memudahkan kita untuk membantu penyelarasan jika ada keperluan nanti untuk sokongan dan mengerakkan sukarelawan dari Selangor ke negeri ini," ujarnya.
30 Dec 22
314
Jalan Rosak Di Jajahan Gua Musang, Bukan Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Kerosakan jalan yang tular di media sosial berikutan bencana banjir minggu lepas sebenarnya bukan di Hulu Terengganu tetapi jajahan Gua Musang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata jalan tersebut telah ditutup sejak tahun lepas.
“Jalan Aring-Kenyir telah ditutup pada tahun lepas bagi pembinaan jambatan di Section 52 sehingga siap pada 2023.
“Disebabkan banjir yang melanda pada minggu lepas terdapat kerosakan berlaku di Section 103 dan 78, ia berada dalam pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tindakan pembaikan daripada konsesi terlibat,," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang turut menjelaskan bahawa lokasi kejadian mendapan jalan tersebut adalah dalam kawasan projek Menyiapkan Jalanraya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang Pakej 6A; Aring ke sempadan Kelantan-Terengganu.
“Laluan tersebut masih belum dibuka untuk laluan awam dan bukan laluan utama dari Aring-Kuala Berang.
“Pembaikan sementara juga telah dilakukan bagi membolehkan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak Perhilitan menghantar bekalan makanan gajah,” tambahnya.
Terdahulu, banjir besar yang melanda negeri ini telah mengakibatkan beberapa jalan utama rosak dan runtuhan tanah berlaku.
29 Dec 22
2420
YDSM Sahkan Surat Tawaran Ladang Cahaya Ikhtiar Palsu
Oleh : Aqilah Mohd Jafri/Fatimah Din/Adilatul Akmal Mohd Azhar/Nor Farzana Muhammad
KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menafikan pihaknya terlibat dalam urusan Ladang Cahaya Ikhtiar secara pajakan bertempoh seperti yang terpapar dalam surat tawaran tular di media.
Melalui jurucakap YDSM atau Setiausaha Kerjanya, Mohd Azrul Ismail, surat tersebut adalah palsu dan sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan YDSM.
"Kami menafikan perkara tersebut sekeras-kerasnya, ia tiada hubung kait langsung dengan YDSM.
"Pihak kami juga ingin menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mempercayainya," katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.
Menurut Mohd Azrul, menerusi surat tawaran palsu yang diedarkan itu, YDSM kononnya telah menawarkan kepada pihak tertentu untuk menguruskan Ladang Cahaya Ikhtiar.
Katanya, sebenarnya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama YDSM secara tidak sah.
“Surat tersebut telah tular di media sosial menawarkan kepada Jugra Properties Sdn Bhd untuk menguruskan Ladang Cahaya Ikhtiar secara pajakan bertempoh,” ujarnya.
29 Dec 22
838
Sampah di Pantai Batu Buruk Sedang Dibersihkan - MBKT
KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Sampah yang mencemari Pantai Batu Buruk pasca banjir sedang dalam proses pembersihan, ujar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT).
Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif berkata sampah itu terjadi akibat fenomena air pasang besar luar biasa baru-baru ini.
Katanya, beberapa hari lepas pihak MBKT telah turun padang untuk memantau dan membersihkan sampah-sampah yang dihanyutkan di pantai tersebut.
"Fenomena tersebut telah berlaku sejak Jumaat lalu justeru menyebabkan pencemaran pantai sejauh kira-kira tiga kilometer.
“Kejadian seperti ini telah biasa terjadi tetapi pada kali ini agak luar biasa dengan jumlah sampah yang begitu meningkat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Rosli Latif, pantai sejauh kira-kira tiga kilometer itu dipenuhi dahan dan ranting kayu serta botol bekas minuman.
Tambahnya lagi, timbunan sampah tersebut boleh mencemarkan kawasan tarikan pelancong di kawasan tersebut.
Beliau berkata, pada Jumaat, 30 Disember pihak MBKT akan menyambung kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan pantai itu sehingga selesai.
29 Dec 22
445