lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu FC Terus Kemarau Jaringan
Terengganu FC Terus Kemarau Jaringan
KUALA NERUS, 5 Mac- Terengganu FC gagal memanfaatkan kelebihan tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0 menentang Kuala Lumpur City FC (KLCFC) pada aksi ketiga Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini. Beraksi di halaman sendiri, Tomislav Steinbruckner melakukan sedikit rombakan dengan menurunkan Rahadiazli Rahalim sebagai benteng utama pasukan. Di awal permainan, KLCFC bermula garang apabila berjaya menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-8 menerusi Paulo Josue hasil hantaran satu dua bersama Herlison Caion, bagaimanapun gol tersebut dibatalkan pengadil kerana Caion didapati berada pada kedudukan offside terlebih dahulu. Skuad kendalian Bojan Hodak sekali lagi berpeluang mendahului pada minit ke-14, tetapi rembatan Caion tinggi melewati palang. Pada minit ke-24, Syafik Ismail melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri kubu lawan namun tandukan Liridon Krasniqi tersasar tinggi dari gawang. Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke -30 apabila sepakan percumanya deras menuju gawang pelawat, tetapi Kevin Mendoza lebih cemerlang menampan bola tersebut. Keputusan kekal tanpa jaringan sehingga masa pertama ditamatkan. Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling meningkatkan momentum serangan. Sekalipun tuan rumah lebih menguasai perlawanan, pelawat dilihat lebih banyak mengancam apabila melakukan serangan. Zhafri Yahya berjaya melakukan percubaan dari jarak dekat namun dapat ditampan Rahadiazli dan dikeluarkan pertahanan pada minit ke-56. Memasuki minit ke-62, Azam Azmi Murad melihat peluang di luar kotak penalti lawan, sayang rembatannya hanya sedikit melewati palang. Seminit kemudian, Josue yang menerima hantaran di dalam kotak penalti melakukan tolakan ke gawang, namun Rahadiazli sempat menafikan ancaman KLCFC. Terengganu FC semakin rancak menyerang sehingga minit-minit terakhir perlawanan. Memasuki masa tambahan, Ivan Mamut memanfaatkan kelebihan keadaan kelam-kabut di depan gawang dengan lambungan ke arah gol, tetapi Kevin Mendoza sempat menepis bola keluar untuk kedudukan terikat 0-0 sehingga wisel penamat ditiupkan. Terengganu FC meneruskan kemarau jaringan namun berjaya memungut satu mata dalam perlawanan ini. Gergasi pantai timur itu bagaimanapun kekal di dasar liga setelah tiga perlawanan. Terengganu FC akan melayan kunjungan PDRM FC yang masih segar dengan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC, pada 11 Mac ini.  
05 Mar 23
403
Didik Masyarakat dengan Hiburan Selari Syariat
Didik Masyarakat dengan Hiburan Selari Syariat
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Masyarakat perlu dididik dengan hiburan yang berlandaskan panduan ditetapkan dan bersesuaian dengan agama serta adat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mempersoal sesetengah pihak yang merosakkan cara berhibur dengan membawa masuk hiburan kebaratan. Zuraida hairan mengapa diperlukan hiburan ala hedonisme yang menampilkan artis yang terkinja-kinja menari di pentas dengan pakaian yang mencolok mata, sedangkan negara kita majoriti penduduknya adalah Melayu-Islam. Beliau dalam masa yang samamemuji penganjuran program hiburan yang mengambil kira garis panduan syariat dan lebih bertepatan dengan adab sopan setempat misalnya seperti penganjuran Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini. "Di saat ada belahan dunia yang lain, subur dengan konsert hiburan yang tidak berlandaskan syariat, kita bawa hiburan yang sesuai dan selari dengan syariat. "Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, tidak gagal memberi hiburan kepada kaum majoriti muslim. "Bahkan hiburan sebeginilah yang sewajarnya buat kita yang dididik dalam suasana penuh kesopanan berkat agama Islam dan adat ketimuran itu sendiri," ulasnya lagi. Zuraida berkata demikian dalam satu hantarannya di media sosial Facebook, semalam. Jelasnya, baru-baru ini, Terengganu mengadakan Pertandingan Tadarus & Hafazan Al-Quran di Dataran Pejabat Tanah dan Daerah Marang dan ia mendapat sambutan ramai. "Ini bukti bahawa masyarakat kita sokong dan hadir sahaja majlis yang sebegini, majlis yang selari syariat," tambah beliau lagi.  
04 Mar 23
199
Projek Ikan Keli Basmi Miskin Tegar
Projek Ikan Keli Basmi Miskin Tegar
BESUT, 3 Mac - Projek penternakan ikan keli dalam tangki simen, di bawah program Basmi Miskin Tegar (BMT) dijangka dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40). Mentor program tersebut, Rohaizat Junaidi Jusoh, 40, berkata program di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu sudah berjaya membantu 13 penduduk dari Kampung Pengkalan Atap untuk menambah pendapatan sampingan. "Terhasilnya projek penternakan ikan keli ini adalah disebabkan negeri di Pantai Timur, khusunya Terengganu kekurangan bekalan ikan keli. Jadi sebagai salah satu inisiatif, kami cuba untuk jalankan projek penternakan ikan keli ini. "Hari ini sebagai pelancaran kita masukkan 30 ribu ekor anak ikan keli ke dalam tangki simen dan hasilnya akan mula dikutip setelah empat bulan setengah. Rohaizat Junaidi Jusoh, Mentor Projek Penternakan Ikan Keli "Anggaran sasaran pengeluaran paling minima adalah lebih kurang 700 kilogram sehingga 1 tan sebulan, dengan harga pasaran RM6 sekilo. Sekiranyanya sasaran pengeluaran tersebut tercapai, peserta akan mendapat hasil keuntungan hampir RM6 ribu sebulan," katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi melepaskan anak ikan keli ke dalam sangkar. Menurut Rohaizat lagi, dia akan membimbing kesemua peserta dari 'A hingga Z', bermula daripada pengeluaran hasil kepada fasa pemasaran dalam tempoh dua tahun sehingga semua peserta boleh berdikari menguruskan projek tersebut sendiri. Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh (tengah) Sementara itu salah seorang peserta program tersebut, Zulkifli Ibrahim, 37, meluahkan rasa syukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang peserta. "Saya sebagai salah seorang peserta yang terpilih rasa sangat bersyukur dan saya ucap jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta program ini. Terutamanya kepada pegawai-pegawai yang terlibat, Azbi dan Mentor program ini," ujarnya dengan penuh rasa terharu.
03 Mar 23
788
Restoran Milik MAIDAM Tawar Harga Murah
Restoran Milik MAIDAM Tawar Harga Murah
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Restoran Infaq Lil Wafi, Wakaf Tok Pelam yang merupakan hak milik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menawarkan menu makanan dengan harga murah Yang Dipertua MAIDAM, Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, harga ditawarkan serendah RM5.00 di sini. Katanya, sebanyak lapan kiosk yang menjual menu tersebut daripada pelbagai jenis makanan dan minuman di restoran ini. "Antara kiosk yang menawarkan menu Rahmah adalah Has Aneka Nasi-Nasi Putih, Has Yong Tau Fu, Dapor Laki-Bini Nasi Goreng Ikan dan pelbagai lagi. "Inisiatif ini diambil bagi kemudahan masyarakat setempat terutama golongan yang terkesan dengan kos sara hidup sekarang," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah bertempat di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam di sini baru-baru ini. Perasmian tersebut disampaikan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Tambah Syeikh Harun, di samping, mereka yang berkunjung di sini boleh infaq di tabung yang disediakan bagi membantu dari sudut pelaburan ekonomi Restoran. Justeru, perkhidmatan jualan murah ini sentiasa terjamin dengan cara pelaburan tersebut bagi membantu semua orang. Pada program yang sama, turut berlangsung penyerahan sumbangan Bakul Rahmah kepada 20 penerima asnaf dengan setiap bakul bernilai RM150.  
03 Mar 23
443
Sultan Mizan Titah Rakyat Cakna Al-Quran
Sultan Mizan Titah Rakyat Cakna Al-Quran
MARANG, 3 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya masyarakat mengambil serius akan urusan Al-Quran bermula dari membaca, memahami serta menghayati seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.  Baginda bertitah bahawa kitab suci Al-Quran merupakan panduan dan dasar bagi umat Islam dalam mengendalikan segenap aspek dan keperluan kehidupan. “Intipati Al-Quran mestilah diterjemahkan dalam bentuk dakwah untuk memandu ummah khususnya pada zaman sekarang yang sangat memerlukan pendakwah yang benar-benar berilmu serta selari dengan pendekatan Al-Quran dan Sunnah. “Berdampinglah dengan Al-Quran serta fahami dan hayatilah isi kandungannya tambahan pula mushaf-mushaf mudah didapati di mana-mana,” titah baginda. Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/ 2023M di sini semalam. Keberangkatan tiba baginda ke majlis berkenaan turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dari pelbagai kategori yang dipertandingkan dalam majlis tersebut. “Beta berharap semoga kita semua dapat memanfaatkan peluang keemasan berada dalam bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi dengan sebaik mungkin untuk mentadabbur Al-Quran serta memaknai setiap isi kandungannya dalam kehidupan seharian demi meraih redha Allah,” titah baginda.        
03 Mar 23
442
PSMZA Hasilkan Produk Inovasi Pembinaan
PSMZA Hasilkan Produk Inovasi Pembinaan
DUNGUN, 3 Mac- Sekumpulan penyelidik Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menghasilkan produk inovasi pembinaan dengan mencipta produk yang sejajar keperluan teknologi pembinaan terkini. Dalam satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat PSMZA memaklumkan, projek Public Private Research Network (PPRN) itu diketuai oleh Ts Yuzha Usof dengan kerjasama KLV Engineering. Menurut Ts Yusha, mereka telah mendapat geran PPRN 2022 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menghasilkan produk Flexi Steel Mould for Pre-stressed Half Slab. "Produk Flexi Steel Mould for Pre-stressed Half Slab ialah merupakan projek inovasi yang boleh dilaras mengikut saiz, tahan lasak dan dilengkapi dengan alat penggetar (vibrator) untuk proses pemadatan konkrit yang mana fungsinya adalah lebih efisyen dan dapat memberi banyak kelebihan berbanding kaedah konvensional,"katanya. Sementara itu Pengarah PSMZA, Zamra Derahman mengucapkan terima kasih kepada KLV Engineering iaitu pihak industri yang sudi berkongsi kepakaran dan komitmen dalam menjayakan projek tersebut. "Syabas dan tahniah PSMZA atas kejayaan penghasilan produk yang komprehensif ini.  "Produk ini berjaya dihasilkan mengikut spesifikasi dalam tempoh lima bulan dengan kos keseluruhan sebanyak RM32,340," katanya.  Zamra berkata demikian di Majlis Penyerahan Projek Public Private Research Network (PPRN) Jabatan Kejuruteraan Awam(JKA) PSMZA yang disempurnakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, JPPKK, Dr Riam A/P Chau Mai yang diadakan di PSMZA di sini baru - baru ini.  Turut hadir Pengarah Urusan KLV Engineering, Encik Hasniro Hasbullah.
03 Mar 23
859
Bilal Masjid Putih Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
Bilal Masjid Putih Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
MARANG, 3 Mac – Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, 30 dari Kuala Terengganu dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di sini. Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abd Rahman, 32 yang berasal daripada daerah Setiu. Pada majlis yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu, Abdul Hadi memperoleh markah 89.2 peratus manakala Nor Hidayah meraih 88.6 peratus. Sekali gus, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala dan sijil penyertaan. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini semalam. Turut berkenan berangkat, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan tiga kali dan naib johan tiga kali. "Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya," katanya. Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini. Selain itu, tidak malu untuk membaca Al-Quran dengan berlagu sepertimana di Mesir yang menjadikan tilawah itu sebagai hiburan di setiap tempat dan menjadikan budaya mereka. “Penganjuran Tilawah ini sangat baik kerana dapat menarik minat orang ramai terhadap kesenian tilawah sekali gus dapat mendekatkan diri masyarakat dengan Al-Quran serta menjadi ikutan," ujarnya.      
03 Mar 23
1573
TMBS Bukti Kejayaan Kerajaan Terengganu
TMBS Bukti Kejayaan Kerajaan Terengganu
DUNGUN, 2 Mac – Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk memaklumkan kepada rakyat tentang kejayaan negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mengenai kejayaan pelaksanaan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dari pelbagai sudut mahupun permasalahan sepanjang tempoh empat tahun mentadbir negeri ini. Katanya, inisiatif ini juga merupakan medan bagi mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat. “Di samping, medan mendidik, menyampaikan ilmu dan tempat aduan permasalahan yang dihadapi kepada agensi yang berkaitan. “Sekali gus, memberi ruang bagi rakyat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) DUN Sura bertempat di Dewan Arena Merdeka, Dungun di sini semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Tambah Dr Samsuri, melalui interaksi bertemu mata, maka timbullah rasa kasih dan sayang sesama kita. “Slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ bukanlah sekadar sebutan di mulut sahaja melainkan satu ikhtiar dan komitmen untuk masa depan yang baik, bukan sahaja di dunia bahkan akhirat jua," katanya. Mengulas lanjut mengenai program, karnival TMBS peringkat Dun Sura itu yang telah diadakan bermula dari 2 hingga 4 Mac 2023 menerima penyertaan melebihi 5,000 orang. Beliau berharap, program sebegini dapat memberi manfaat kepada orang ramai serta pelbagai hadiah dan cabutan bertuah disediakan kepada pengunjung yang hadir.                
02 Mar 23
299
Pendaftaran Lesen Motosikal Percuma Dibuka
Pendaftaran Lesen Motosikal Percuma Dibuka
KUALA NERUS, 2 Mac- Pendaftaran permohonan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) akan dibuka mulai 6 Mac ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, program yang merupakan salah satu daripada manifesto Kerajaan PAS Terengganu itu diteruskan dengan bantuan pembiayaan bernilai RM300 seorang bagi mendapatkan lesen motosikal di negeri berkenaan. Jelasnya, LMTS siri ketiga itu akan diadakan dengan sasaran 15,000 penerima melibatkan kos sebanyak RM4.36 juta. "Program ini memberi peluang kepada semua belia beliawanis Terengganu berumur 16 hingga 40 tahun "Permohonan LMTS 2023 insya-Allah akan mula dibuka pada 6 Mac hingga 20 Mac dan boleh dimohon secara dalam talian (online) di https://ibantuan.terengganu.gov.my. "Kita sasarkan untuk laksanakan program ini bermula April hingga Disember 2023 melibatkan 12 Institut Memandu (IM) di seluruh negeri," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini. Tambah Wan Sukairi, permohonan juga dibuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang layak memohon lesen B2. "Mereka ini ada beberapa kategori terutama yang memerlukan keperluan dan bantuan lebih spesifik. Kita akan menyenaraikan jumlahnya dahulu, saya yakin mereka tidak ramai dan mungkin akan dilaksanakan program khas sebagaimana saranan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya. Untuk rekod, sebelum ini LMTS dilaksanakan sebanyak dua siri dengan yang pertama (2019/2020) melibatkan 25,000 penerima dengan kos sebanyak RM6.85 juta. Manakala, siri kedua (2020/2021) melibatkan kos RM4.25 juta untuk 15,000 penerima.                                                                                            
02 Mar 23
7880
Galeri Khairunnisa’ Bantu Pasarkan Produk Usahawan Terengganu
Galeri Khairunnisa’ Bantu Pasarkan Produk Usahawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Penubuhan Galeri Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Bekas Wakil-Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') yang beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu, Manir secara tidak langsung membantu usahawan dan komuniti kraf khususnya untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna. Pengerusinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, beliau yakin Galeri Khairunnisa’ yang bertindak sebagai pusat aktiviti dan pameran, jahitan dan aksesori serta jualan hasil kraftangan yang memaparkan identiti Negeri Terengganu mampu menarik minat orang ramai untuk melihat barangan yang dijual. “Idea penubuhan galeri dan pusat aktiviti ini tercetus daripada penganjuran  program jejari emas oleh Persatuan Kharunnisa’, di mana kita bersama-sama turun padang untuk ajarkan kemahiran menjahit kepada penduduk di kampung-kampung seluruh Terengganu. “Justeru, kita ingin lihat adanya satu galeri untuk membantu memasarkan produk dari mereka (orang kampung) tanpa sebarang cas dan penyertaan daripada penduduk yang berminat memasarkan apa sahaja produk yang diusahakan sangat dialu-alukan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Galeri Khairunnisa’ yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini, hari ini. Katanya, Persatuan Khairunnisa’ juga bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama Portfolio Pelancongan Negeri bagi menjadikan galeri berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan. “Kita selalu menerima rungutan daripada orang luar di Terengganu ini tidak ada satu pusat yang menyediakan kepelbagaian produk Negeri Terengganu, kita cuba buka untuk tujuan itu dan bila bila orang datang nak cari produk Terengganu seperti kraf tangan, batik, anyaman dan sebagainya boleh datang ke sini,” ujarnya. Tambah beliau, pusat aktiviti wanita yang beroperasi di galeri tersebut juga banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitar termasuk membuka peluang kepada mereka mengikuti kelas yang dianjurkan. “Antara aktiviti yang disediakan seperti kelas menjahit, dandanan dan masakan. Aktiviti sebegini sedikit sebanyak sebenarnya boleh menjana pendapatan kepada mereka khususnya suri rumah,” jelasnya. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan Persatuan Khairunnisa’ menubuhkan gelari dan pusat aktiviti terbabit. “Tahniah saya ucapkan kepada usaha murni pihak persatuan yang telah menjadi peneraju untuk membantu memasarkan produk usahawan khususnya dalam pembuatan kraf dan seumpamanya. “Dengan adanya galeri sebegini kita dapat ketengahkan lagi hasil usahawan Terengganu kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri. “Penduduk sekitar juga boleh ambil manfaat untuk pasarkan produk masing-masing kerana ramai yang saya jumpa mereka boleh menghasilkan produk tetapi agak gagal untuk memasarkan dan sayang kerana produk-produk mereka ini sebenarnya berkualiti,” ujarnya.  
02 Mar 23
669