lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Hulur Bantuan Keperluan Asas Ke Johor
Terengganu Hulur Bantuan Keperluan Asas Ke Johor
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM200,000 kepada mangsa banjir di Johor. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan berupa kelengkapan diri, air mineral, tilam serta lain-lain akan dihantar ke negeri itu pada Khamis (esok). Selain itu katanya, seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu turut digerakkan dalam misi tersebut. “Dalam misi membantu mangsa banjir di Johor ini, selain fokus kepada bantuan tenaga kerja untuk melakukan pembersihan oleh para sukarelawan, kita turut membawa sumbangan barangan untuk diedarkan kepada mereka yang terjejas. “Pagi tadi, kita telah membuat pelepasan para sukarelawan ke kawasan Segamat, Simpang Renggam dan beberapa daerah lain yang boleh dimasuki dari Terengganu, manakala esok kita akan sambung lagi dengan misi menghantar barang-barang keperluan asas,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insurans kematian kepada waris atlet lawan pedang Terengganu di Kampung Telaga Daing, disini, hari ini. Katanya, diharapkan dengan bantuan barangan dan penghantaran sukarelawan oleh kerajaan negeri, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri Johor yang berdepan bencana banjir. “Beberapa hari lepas Menteri Besar Terengganu telah berhubung dengan Menteri Besar Johor, selain ucapan takziah, beliau juga berjanji untuk menghantar misi sukarelawan dan bantuan ke Johor,” ujarnya.
08 Mar 23
333
Waris Atlet Lawan Pedang Terima Pampasan RM52,000
Waris Atlet Lawan Pedang Terima Pampasan RM52,000
KUALA TERENGGANU, 8 Mac- Keluarga kepada seorang atlet pelapis sukan lawan pedang Terengganu, Allahyarham Muhammad Amirul Zulkafli yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Tanjung, Seberang Takir pada 21 Ogos 2020, menerima pampasan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) berjumlah RM52,000. Pampasan melalui Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Berkelompok daripada MPI Generali Insurans Berhad itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada bapa allahyarham Zulkafli Mohd,61, di kediaman keluarga mangsa di Telaga Daing, di sini, hari ini. Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui MSNT sebelum ini menyediakan skim perlindungan insurans kemalangan secara berkelompok untuk semua atlet di bawah jabatan itu. "Setiap atlet MSNT dilindungi insurans sebagai bukti kecaknaan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka. Dengan adanya pampasan seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada atlet," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan wang pampasan insurans termasuk pengurusan jenazah bernilai RM52,000 itu. Turut hadir, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya. Dalam kejadian malang tersebut, Allahyarham Muhammad Amirul yang ketika itu berusia 15 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama enam rakannya di pantai tersebut dan salah seorang rakan Allahyarham, Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan turut lemas. Sementara itu, Hasmaliza Omar, 40, yang merupakan ibu kepada Allahyarham  Muhammad Amirul berkata, dia akan menggunakan wang pampasan berkenaan untuk kebajikan allahyarham termasuk membuat tahlil dan sebahagiannya akan disedekahkan kepada rumah anak yatim. "Kami bersyukur dan terkejut ketika dimaklumkan MSNT, sebenarnya tidak menyangka akan menerima wang pampasan ini kerana kejadian menimpa anak saya bukan dalam tempoh latihan atau sertai kejohanan. “Wakil MSNT juga ada maklumkan supaya kami tidak berharap, apa-apapun kami sangat berterima kasih dengan pemberian ini,” ujar ibu kepada tiga anak itu.  
08 Mar 23
485
Tanah Rizab Melayu Terengganu Meningkat 1,542 Peratus
Tanah Rizab Melayu Terengganu Meningkat 1,542 Peratus
KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Kerajaan negeri berjaya menambah keluasan tanah rizab melayu (TRM) di Terengganu sebanyak 1,542 peratus atau daripada 118 kepada 1,938.32 hektar sepanjang empat tahun pemerintahan. Perkara itu disahkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini. Jelas kenyataan itu, setakat tahun 2018 Terengganu hanya memiliki 118 hektar TRM iaitu di Pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu. “Ia sudah ditingkatkan, jumlah keseluruhan TRM sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak 1938.32 hektar,” kata kenyataan itu. Untuk rekod, selain TRM, Terengganu turut mempunyai satu lagi jenis milikan tanah orang Melayu yang tidak terdapat di negeri lain, iaitu ‘tanah pegangan Melayu’ (TPM), merangkumi sekitar 62 peratus tanah orang Melayu di Terengganu. Difahamkan TPM tidak boleh ditukar milik kepada orang selain daripada Melayu.  Pada PRU14 lalu, PAS telah membuat janji dalam 20 perkara manifesto untuk menambah keluasan TRM kepada 1,000 hektar.
08 Mar 23
1924
'Tea Peng King' Penaja Baru TFC
'Tea Peng King' Penaja Baru TFC
KUALA NERUS, 8 Mac - Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) mengumumkan produk Tea Peng King Legacy (TPK) sebagai rakan penaja baharu pasukan itu untuk musim 2023. Pengurus Operasi TPK Legacy, Mohd Farhanuddin Salleh berkata keputusan itu dibuat bertujuan untuk membawa kelainan dari sudut mempromosikan produk TPK ini. Katanya, beliau amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan TFC yang merupakan sebuah syarikat gergasi yang terkenal di negeri ini. “Tercedusnya idea untuk menjadi penaja bagi pasukan TFC ini adalah melalui perbualan dan ajakan daripada rakan kerja yang ingin melakukan sesuatu perubahan yang lebih besar terhadap jualan TPK ini. “Inisiatif ini diambil adalah untuk kepentingan produk kami supaya mendapat hasil yang lebih berkembang justeru kami yakin bahawa TFC merupakan 'platform' yang terbaik untuk mempromosikan produk ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penaja antara Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan Tea Peng King Legacy (TPK) bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh, Ketua Pegawai Operasi TFCSB, Sabri Abbas dan Pengurus pemasaran TPK LEGACY, Amri Salleh. Tambah Mohd Farhanuddin, jumlah penajaan adalah sebanyak RM70,000 untuk semusim namun bergantung kepada komisen, bilangan penonton, permainan dan sebagainya. "Kami berharap TPK Legacy dapat bersama dengan TFC selama yang boleh serta dapat menjalin hubungan yang baik antara kedua-dua belah pihak," katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata kerjasama penajaan ini amat dialu-alukan oleh pihak TFC bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak di negeri ini. Di samping, dapat mempromosikan produk serta jualan masing-masing selaku penaja. Setakat ini, sebanyak 20 Syarikat telah bersama menjadi rakan penaja bagi pasukan TFC untuk musim 2023 dan mungkin akan bertambah. “Berbeza pada musim 2022 yang hanya mendapat bilangan penaja sebanyak 15 Syarikat,” ujarnya.  
08 Mar 23
990
Pernah Dihina, Kini Masliza Teraju Mi Wantan Halal Di Terengganu
Pernah Dihina, Kini Masliza Teraju Mi Wantan Halal Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Walaupun pernah dihina namun wanita ini berjaya bangkit semula dan berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hari ini. Pengasas Mi Wantan Annur, Nur Masliza Abdullah, 60, berkata, cercaan daripada seorang pelanggan dijadikan pembakar semangat untuk berusaha lebih keras. Katanya, tanggungjawab sebagai seorang muslim menjadikan dia lebih kuat dan cekal tekad untuk menerokai pasaran mi wantan halal di Negeri Terengganu. Beliau yang merupakan seorang muallaf berbangsa cina yang telah 27 tahun memeluk agama Islam, memulakan perniagaan membuat mi sejak 15 tahun yang lalu. Puan Nur Masliza Abdullah. "Kami sudah menceburi bidang ini selama hampir 15 tahun, bermula dengan berniaga kecil-kecilan bagi menjana ekonomi keluarga. "Kelebihan produk kami ialah kami tidak menggunakan bahan kimia, sebaliknya hanya menggunakan bahan yang selamat dan organik. "Mi kami menggunakan bahan seperti saffron, kismis, habatussauda, za'atar (oregano) dan air beralkali yang mengandungi natrium dan serta mineral lain," ujarnya yang kini mempunyai lapan pekerja. Beliau berkata demikian ketika ditemuramah di Kilang Mi Wantan Annur miliknya yang terletak di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) Kubang Jela, Manir. Menurut Masliza lagi, mereka menggunakan tepung tanpa peluntur yang diluluskan oleh SIRIM (Standard and Industrial Research Institute of Malaysia), bebas benzoate, asid borik, bahan pengawet, pewarna tiruan, plumbum dan sulfur.   Demonstrasi pembungkusan mi wantan. Selain itu katanya, perencah mi tersebut juga turut menjalani proses Rnd (penyelidikan dan pembangunan) selama dua tahun dan tidak menggunakan MSG (monosodium glutamate). "Produk kami semuanya dihantar untuk menjalani ujian makmal bagi memastikan ianya selamat untuk dimakan. "Sebab itu produk kami boleh dimakan oleh kanak-kanak autisme ataupun ekzema," tambahnya lagi. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor bersama-sama ahli Persatuan Usahawan Wanita Negeri Terengganu (SAHANITA) telah mengadakan lawatan ke kilang tersebut. Ahli rombongan SAHANITA. Zuraida memuji kerja keras pemilik Mi Wantan Annur dan menyifatkan usaha tersebut adalah sebahagian daripada jihad memartabatkan makanan yang halal dan toyyib (baik). "Hari ini kita mengadakan kunjungan bagi menunjukkan sokongan kepada produk muslim di samping kita nak menjejaki usahawan wanita dalam Negeri Terengganu. "Saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama menyokong produk yang berkualiti ini, insya-Allah ini sumbangan besar kita kepada agama kita," ujarnya. Zuraida ketika mengadakan lawatan ke kilang pembuatan Mi Wantan Annur.  
07 Mar 23
1433
Bukan Tujuh, Tapi Sepuluh!
Bukan Tujuh, Tapi Sepuluh!
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Selepas Liverpool dan Johor DT, Pasukan Hoki Terengganu (THT) pula memeriahkan minggu 'pesta gol' apabila meratah UITM HA-KPT (UITM) 10-0 dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL), hari ini. Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk yang terkenal sebagai kubu THT, anak-anak buah Seo Jongho tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan. Seawal minit ke-8, Jang Junghyun menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti. Lima minit berselang, THT melebarkan kedudukan kepada 2-0 dengan gol dijaringkan Ismail Abu, juga menerusi pukulan sudut penalti. Memasuki minit ke-25, pelawat sekali lagi bolos melalui pukulan sudut penalti, kali ini Jang merekodkan gol keduanya dalam perlawanan ini. Tiga minit kemudian, Ismail yang menerima umpanan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran mudah melakukan kuisan untuk gol keempat tuan rumah. THT mendahului 4-0 sehingga separuh masa pertama ditamatkan. Memasuki babak kedua, UITM terus longlai apabila bolos buat kali kelima dengan Muhammad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol melalui pukulan deras ke gawang lawan. Jang kemudian meneruskan pesta gol dengan meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan minit ke-50 untuk menjarakkan mata skor kepada 7-0. Belum sempat UITM mengatur langkah, THT sekali lagi merobek gawang dengan jaringan kelapan oleh Faizal Saari seminit kemudian. THT terus garang dengan jaringan gol kesembilan daripada Faizal (minit ke-57) dan Ismail, seminit sebelum perlawanan ditamatkan. Kemenangan besar dengan 10 jaringan tanpa balas itu mengekalkan THT di tahta liga MHL dengan 34 mata.        
07 Mar 23
1514
Kreativiti, Inovasi' Agenda Utama Pendidikan Madrasah DAR
Kreativiti, Inovasi' Agenda Utama Pendidikan Madrasah DAR
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Sekolah Rendah Islam (DAR) menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai agenda utama dalam perancangan strategik memperkasakan institusi berkenaan agar terus menjadi pilihan utama rakyat negeri ini. Pengarah Jabatan Persekolahan dan Tarbiah DAR Terengganu, Ibrahim Tahir berkata usaha berkenaan berupaya menyumbang kepada perubahan amalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) demi menjamin kemenjadian murid selari dengan matlamat mencari keredaan Allah. Ujarnya, bagi memastikan ia dapat direalisasikan pihaknya akan meningkatkan penyelidikan dalam pendidikan bagi memenuhi matlamat dan dasar kurikulum Madrasah Dar Terengganu agar terus relevan pada masa sekarang. "Bagi memastikan keberhasilan kemenjadian murid dimaksimumkan, Madrasah DAR Terengganu berperanan memastikan murid dididik secara holistik melalui pengurusan sekolah yang cekap, berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran. "Serta berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupyaan mencapai kesejahteraan diri, pendidikan al-Qur'an yang menjadi asas kekuatan pendidikan Madrasah DAR Terengganu perlu diperkasakan dengan bijaksana. "Cabaran pendidikan semasa perlu ditangani dengan sebaiknya melalui pendekatan holistik agar harapan membentuk murid yang bijak melalui al-Quran dan mengamalkannya sebagai sumber 'dustur kehidupan' berjaya direalisasikan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Resolusi Simposium Penyelidikan Madrasah DAR negeri Terengganu (SiPDAR) , di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang Dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Tererengganu, Ismail Osman. Mengulas lanjut Ibrahim berkata selain menekankan bahasa Arab di insititusi berkenaan ke arah melahirkan pelajar yang memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan, pembelajaran dalam bidang akademik juga turut diberikan perhatian. "Bagi menghasilkan pelajar yang seimbang dan mampu menterjemahkan wajah muslim sejati seperti hasrat kerajaan negeri, dalam merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya lagi.  
07 Mar 23
329
Klasik, Ikonik... Kedai Kopi Buruk Kembalikan Nostalgia
Klasik, Ikonik... Kedai Kopi Buruk Kembalikan Nostalgia
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Pasti ramai antara kita tidak pernah membayangkan betapa nikmatnya secangkir kopi kampung panas dapat dihirup di sebuah kedai kopi dengan suasana yang nostalgik. Dan, duduk bersantai di situ tidak sempurna kiranya minuman yang anda nikmati itu tidak ‘digandingkan’ dengan sekeping roti bakar atau kuih muih tradisi. Bagi mereka yang merindui suasana ini boleh berkunjung ke Kedai Kopi Buruk di Kampung Wakaf Beruas yang baru sahaja beroperasi sebulan yang lalu dan sekarang ini telah menjadi bualan warga Terengganu amnya. Pemiliknya, Ahmad Zulhisyam Awang, 35, berkata dia bersama adiknya, Asraff Awang, 29, sudah lama bercita-cita untuk membuka kedai berkonsepkan klasik dan mula serius sejak lima tahun yang lalu. Berkongsi cerita, dengan bermodalkan lebih RM60,000, dia dan adiknya mengubahsuai bangunan yang disewa dan membuat beberapa penambahbaikan untuk menghasilkan sebuah kedai yang mempunyai aura . “Sebelum ini, saya telahpun berniaga dengan menjual minuman di Pantai Batu Buruk pada 2019 menggunakan kenderaan antik, Volkswagen selain pada waktu yang sama mengumpul bahan-bahan untuk dipamerkan. “Dalam tempoh itu, saya gunakan untuk mencari dan mengumpul barangan lama dan klasik dari beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang selain mendapatkan koleksi dari tempat besi buruk. “Selepas hampir lima bulan membuat persediaan, akhirnya terbina tempat makan dengan suasana klasik ada auranya tersendiri. Tak hanya menawarkan hidangan yang cukup menyelerakan, malah hiasan dalaman yang serba antik dan padat dengan nostalgia buatkan ia menarik untuk dikunjungi,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui. Tidak seperti kedai kopi atau kopitiam lain, dekorasi dan menu ‘orang lama’ yang diketengahkan di sini mampu menggamit memori silam atau membuatkan tetamunya mengimbau kembali hidangan dan persekitaran yang pasti pernah dirasai ketika zaman kanak-kanak dahulu. Pengunjung yang datang ke sini bagai merentas masa kembali ke zaman silam berikutan dekorasi laman kedai yang berasaskan barang-barangan antik. Kedai makan kayu lama yang dihiasi aneka barangan antik pastinya menerbitkan rasa nostalgia pelanggan. Deretan tin kopi, botol air lama, kerusi dan meja, majalah, gambar-gambar lama di ruang utama termasuk basikal serta vespa diluar kedai  menjadi tumpuan tarikan pengunjung yang datang dari jauh dan dekat.    Menurut usahawan muda yang juga bekas pekerja di sebuah syarikat cari gali minyak dan gas dari Itali itu, selain reka bentuk dan susun atur premis, tarikan utama Kedai Kopi Buruk adalah terletak pada minuman yang dibancuh khas menggunakan gabungan kopi terpilih bagi menghasilkan aroma yang lebih istimewa. Katanya, kedainya menyajikan pelbagai minuman seperti kopi buruk, kopi nisan butter, kopi butter dan kopi O disamping itu pelanggan juga boleh menikmati lempeng nyior, laksam, laksa, roti bakar, mi kari dan nasi putih ayam cincang. Mengenai nama Kedai Kopi Buruk itu, Ahmad Zulhisyam berkata, dia menggunakan nama yang sama ketika berniaga di Pantai Batu Buruk sebelum ini kerana nama itu mempunyai nilai komersial dikalangan peminatnya "Lagipun, ia juga sesuai dengan konsep kedai saya yang memang berkonsepkan barangan lama dan klasik," katanya.            
07 Mar 23
1032
Tabung Kemanusiaan Turkiye Lepasi Sasaran RM500,000
Tabung Kemanusiaan Turkiye Lepasi Sasaran RM500,000
KUALA NERUS, 6 Mac - Tabung kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' setakat hari ini dijangka akan melebihi sasaran RM500,000. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan kutipan berkenaan akan terus bertambah. "Insya-Allah kita akan melihat jumlah sebenarnya selepas 15 Mac nanti, setakat hari ini telah dapat mengumpul lebih daripada setengah juta dan kita mengharapkan dalam beberapa hari lagi yang masih berbaki ini jumlahnya akan terus bertambah. "Sekarang ini kita masih lagi dalam proses mengutip dana daripada semua pihak termasuk jabatan, agensi kerajaan dan swasta serta anak-anak syarikat kerajaan negeri serta orang ramai. "Dengan jumlah ini kita telah pun melebihi sasaran yang pada awalnya dianggarkan jumlah kutipan RM500,000 dan kita anggap ini sebagai bonus, menandakan keprihatinan serta solidariti rakyat Terengganu terhadap rakyat Turki yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melancarkan pasukan ketiga yang ditubuhkan Aid4Turkiye & Syria, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LMTS), di sini hari ini. Mengulas mengenai delegasi yang diketuai Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, Wan Sukairi berkata ia akan turut disertai oleh 11 doktor pakar dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malysia (PAPISMA), Warga Cakna dan beberapa NGO lain yang akan menghantar misi bantuan perubatan. "Pasukan ini akan turut dibantu oleh sukarelawan dari Dewan Ulama dan Dewan Muslimat PAS Pusat, Liputan Media pula akan dibantu daripada Kelab Aktivis Media Insipirasi (KAMI) dan Radio Penyiaran Manis FM," ujarnya. Dalam pada itu menurutnya, delegasi kerajaan negeri akan ke Turkiye pada 17 Mac hadapan yang akan diketuai olehnya sendiri. "Saya turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan gempa bumi Turkiye-Syria ini untuk terus sama-sama bersolidariti dengan menyumbang ke Tabung bantuan mangsa gempa bumi melalui Sekretariat Aid4Turkiye&Syria ini. "Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Sejagat Relief yang bernombor : 12122010040554 (Bank Islam Malaysia Berhad),"ujarnya lagi,
06 Mar 23
317
Rider E-Hailing Sebagai Ejen Dakwah
Rider E-Hailing Sebagai Ejen Dakwah
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Pekerja penghantar makanan (rider) ‘E-Hailing’ wajar dianggap sebagai ejen dakwah berikutan perkhidmatan mereka adalah secara langsung bersama masyarakat . Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata rider turut berpeluang membuat kebaikan seperti kategori pekerja di bahagian lain. “Penghantar makanan juga adalah mad’u (sasaran dakwah) dan da’ie (pendakwah) walaupun hanya dengan senyuman bagi gambaran kebaikan Islam. “Selain itu, kita turut mencadangkan agar mereka menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) bagi wujudkan hubungan langsung dengan kerajaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Semarak Dakwah E-Hailing di Dataran Berbumbung Syahbandar, Kuala Terengganu di sini hari ini. Program tersebut dianjurkan Instoitut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) menghumpulkan sekitar 70 orang rider sebagai salah satu sasaran dakwah mereka.  Dalam pada itu, seorang penghantar makanan, Mohd Fadhli Sidek, 43, menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan negeri kerana cakna terhadap golongan pekerja tersebut. “Saya mula menjadi seorang penghantar pesanan sejak Disember 2020, sebelum ini bekerja sendiri sebagai peniaga. “Program seumpama ini sangat baik buat para rider kerana ruang penerangan dakwah turut diberikan,” tambahnya. Fadhli turut menjadi penerima tunggal sebuah motosikal apabila kenderaannya bagi menghantar pesanan pelanggan rosak setelah hampir 30 tahun berbakti. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi WaN Abdullah, Pengarah i-MITS, Kamaruzzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said. Program Semarak Dakwah bersama rider E-Hailing itu turut dilengkapkan dengan sesi taklimat caruman oleh PERKESO serta agihan pek makanan asas buat para rider.
06 Mar 23
374