lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Majlis Daerah Marang Raih Anugerah Dunia
Majlis Daerah Marang Raih Anugerah Dunia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Majlis Daerah Marang (MDM) mencipta nama di peringkat antarabangsa setelah meraih Anugerah Emas Di Geneva, Switzerland baru-baru ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan tahniah kepada MDM yang diketuai oleh Pengarahnya Zuwislan Awang atas anugerah tersebut. Katanya, Inovasi Adjustable Loader yang dibawakan oleh MDM telah membanggakan Negeri Terengganu apabila menggapai Anugerah Emas dan 3 Anugerah Khas dalam pertandingan 48th International Exhibition of Invention of Geneva di Switzerland. “Pertama kali penyertaan terus menempa nama di peringkat antarabangsa. “Pastinya ia adalah hasil usaha keras ahli pasukan yang berani mencuba dan tidak kenal erti putus asa,” katanya dalam kenyataan facebook miliknya semalam. Tambah Dr Samsuri, sebanyak 1,002 penyertaan yang melibatkan 46 negara pada pertandingan tersebut. "Pertandingan yang berlangsung lima hari dan berakhir pada 30 April 2023 di Geneva, Switzerland," ujarnya. Untuk rekod, MDM menerusi kumpulan VCLEAN yang mempertaruhkan inovasi ‘Adjustable Loader’ merupakan satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf daerah yang berjaya mewakili negara dan juga Kerajaan Negeri Terengganu.  
03 May 23
406
Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Landa Terengganu
Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Landa Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di negeri Terengganu hingga jam 5 petang, hari ini. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan bahawa amaran keadaan cuaca tersebut membabitkan tujuh daerah di negeri ini. "Daerah yang terkesan adalah di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman,” kata kenyataan itu hari ini. Menurutnya, amaran ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. “Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas METMalaysia.    
02 May 23
212
Kesan Strok Haba Kepada Manusia
Kesan Strok Haba Kepada Manusia
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Strok haba berlaku apabila badan seseorang itu kekurangan air hingga suhu di dalam badan meningkat menyebabkan individu terbabit berpeluh lebih daripada biasa. Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Noriah Mahmud berkata sekiranya pendedahan badan kepada cuaca terlalu panas ia menyebabkan kehilangan air badan yang banyak. Maka katanya, ia boleh mengakibatkan kesan yang buruk seperti kekejangan otot, kelelahan dan peringkat yang lebih teruk apabila sistem badan sendiri gagal mengawal suhu badan. “Justeru, berlaku peningkatan badan yang sangat tinggi sehingga terjadinya strok haba. “Strok haba merupakan satu keadaan kecemasan yang perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan sebarang kemungkinan sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemubual oleh Terengganu FM pada hari ini. Dalam pada itu ujar Dr Noriah, antara gejala dan simptom strok haba adalah suhu badan tinggi iaitu suhu badan teras 104'F (40'C) atau lebih tinggi, yang diperoleh dengan termometer rektum, adalah tanda utama strok haba. "Keadaan mental atau tingkah laku yang berubah seperti kekeliruan, kegelisahan, ucapan yang tidak jelas, kerengsaan, kecemasan, kejang dan koma semuanya boleh disebabkan oleh penyakit panas. "Seterusnya, perubahan pada pola peluh disebabkan oleh cuaca panas menyebabkan kulit terasa panas dan kering dengan sentuhan," jelasnya. Menurut beliau lagi, kadar jantung pantas juga boleh berlaku disebabkan denyutan nadi yang meningkat dengan ketara kerana tekanan haba. Ujarnya, strok haba boleh diramal dan icegah melalui langkah yang telah diwawarkan dan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) dengan mengurangkan aktiviti luar rumah ketika suhu panas. "Selain itu, pakai baju longgar dan pakaian ringan kerana apabila pakaian ketat tidak akan membenarkan tubuh anda menjadi sejuk dengan effisien. "Di samping, minum banyak air supaya anda kekal terhidrat dan menstabilkan suhu tubuh yang normal. "Serta melindungi diri daripada selaran matahari kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan tubuh untuk menyejukkan diri dan pelbagai lagi langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan diri dari terkena strok haba," tambah beliau.  
02 May 23
519
Tips Guna Elektrik Berhemah Semasa Cuaca Panas
Tips Guna Elektrik Berhemah Semasa Cuaca Panas
PETALING JAYA : Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkongsi beberapa tips kepada pengguna mengenai penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh pe­ningkatan titis panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini. TNB melalui kenyataan memaklumkan, penggunaan elek­trik kemungkinan meningkat disebabkan cuaca panas yang dihadapi ketika ini iaitu semasa pengguna sedang berada dalam sambutan Aidilfitri. Menurutnya, antara langkah penjimatan diambil oleh pengguna adalah menerusi ruang tamu, luar rumah, bilik tidur, dapur dan bilik mandi. “Antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan di ruang tamu dan luar rumah adalah mematikan penyaman udara, kipas serta lampu di dalam bilik yang kosong. Selain itu, mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya. “Di bilik tidur, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik pada waktu malam dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik selain kerap diselenggara. “Di bahagian dapur, elakkan meletak petis sejuk di tempat yang panas seperti tempat terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak dan susunkan barang-barang di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan ia untuk membiarkan pengudaraan udara sejuk. “Elakkan juga suis alat pemanas air di dalam bilik mandi terbuka tanpa digunakan. Selain itu, mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air bagi membantu badan terasa lebih segar,” katanya. Saranan TNB tersebut merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di beberapa kawasan dengan cuaca berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah Celsius. Tambahnya, pengguna digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang atau melalui portal dan aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik secara langsung. “Layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak,” katanya. – UTUSAN
02 May 23
276
Terengganu Inc Taja Hakim Danish
Terengganu Inc Taja Hakim Danish
KUALA TERENGGANU, 30 April – ZK Racing mengumumkan bahawa Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menaja pelumba cilik dari Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli untuk saingan musim ini. Penajaan ini melibatkan perbelanjaan Hakim Danish di dalam Kejohanan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan juga Kejuaraan European Talent Cup. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata keputusan itu dibuat kerana melihat potensi yang sentiasa ada dalam diri Hakim Danish serta keazamannya untuk berjaya. Katanya, kejayaannya itu akan membawa kebanggaan kepada rakyat Terengganu dan Malaysia sekali gus mengharumkan nama negara. “Terengganu Inc percaya dengan membina hubungan melalui sukan ini dapat membawa perubahan positif kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Dalam pada itu, Hakim Danish meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih diatas penajaan tersebut. “Saya akan terus memberikan yang terbaik dari segi prestasi diri dan motivasi untuk melangkah lebih tinggi dan berjaya dalam karier saya,” ujarnya. Red Bull MotoGP Rookies Cup ialah siri perlumbaan motosikal yang dipertandingkan bagi penunggang muda tidak berpengalaman dalam Grand Prix motosikal. Untuk makluman, Hakim Danish merupakan pelumba negara pertama yang mencipta sejarah setelah menjuarai Kejuaraan Asia Talent Cup sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2014.
30 Apr 23
740
Singapura Puji Sektor Pelancongan Terengganu
Singapura Puji Sektor Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 April - Kerajaan Singapura memuji negeri Terengganu sebagai model tadbir urus yang cemerlang dalam sektor pelancongan. Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman berkata melihat potensi pelancongan dan kerjasama ekonomi boleh dijalin dengan kerajaan Terengganu. Katanya, Pulau Redang dan Pulau Perhentian merupakan antara destinasi yang menjadi pilihan pelancongan warga Singapura. “Melalui pertemuan dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kunjung hormat pada 19 April lepas. “Pelbagai perbincangan telah diadakan mengenai kerjasama di pelbagai sektor termasuk pelancongan, teknologi pertanian dan sebagainya. “Pihak kami juga sedia menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu untuk melawat Singapura,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Kunjung Hormat Menteri Besar Terengganu di Laman Facebook Rasminya baru-baru ini. Tambah Dr Maliki, ia amat seronok melawat negeri Terengganu yang indah, dan saya berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Terengganu atas layanan yang baik kepada kami. Tambahnya lagi katanya, beliau akan sentiasa mengingati slogan terkenal Terengganu dengan perasaan sayang iaitu ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangya baik-baik’. Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semoga jalinan kerjasama antara Terengganu dan Singapura dapat terus diperkukuhkan dan diperluaskan untuk manfaat rakyat kedua-dua pihak. “Jika ada umur yang panjang, harap kita dapat bertemu lagi dan selamat menikmati keindahan negeri ini,” ujarnya.  
29 Apr 23
1004
Projek Jangka Panjang Air Marang Siap 85 Peratus
Projek Jangka Panjang Air Marang Siap 85 Peratus
MARANG, 28 April – Projek naik taraf bekalan air Marang untuk penyelesaian jangka masa panjang yang bernilai hampir RM60 juta kini siap 85 peratus.  Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata projek bermula tahun lepas itu mengambil sedikit masa kerana terpaksa melalui laluan sukar seperti merentasi sungai dan jalan raya. “Kami akan cuba sedaya upaya bagi memastikan kontraktor dapat menyelesaikan gerak kerja dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. "Insya-Allah selepas selesai, masalah air yang berlaku akan dapat diatasi," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas lawatan & mendengar taklimat di Pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) Daerah Marang, Rhu Rendang di sini semalam. Tambah Dr Mamad, Marang merupakan satu-satunya daerah di Terengganu yang masih belum mempunyai loji air sendiri sejak sekian lama. Disebabkan itu jelasnya, penggunaan air di Marang terpaksa bergantung dengan sokongan air dari loji daerah lain. “Ini mengakibatkan berlaku masalah gangguan air di beberapa kawasan terutamanya pada musim perayaan dan waktu puncak akibat pertambahan penggunaan serta penduduk," katanya. Mengulas mengenai penyelesaian jangka pendek yang diambil pihaknya berhubung masa air di Aidilfitri, beliau berkata Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menyediakan 34 tangki statik bersama dua buah lori. "Ia khusus untuk beberapa tempat di daerah Marang yang mengalami masalah bekalan air. "Selama ini, Marang menerima bantuan bekalan air daripada Kuala Terengganu namun akibat permintaan yang tinggi bekalan tersebut tidak dapat ditunaikan dalam jangka masa itu. “Ia menyebabkan beberapa tempat di Marang seperti Rusila, Bukit Payung dan beberapa tempat lagi tidak dapat bekalan air. “Manakala di kampung Wakaf Tapai juga mengalami nasib yang sama yang menerima bantuan air daripada Hulu Terengganu,” ujarnya.  
28 Apr 23
328
Padah Buat Aksi 'Wheelie', Dua Remaja Ditahan
Padah Buat Aksi 'Wheelie', Dua Remaja Ditahan
HULU TERENGGANU, 27 April - Tindakan dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun yang melakukan aksi 'wheelie' membawa padah apabila ditahan dalam operasi OP Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar daerah ini. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, polis berjaya mengesan sebuah motosikal  ditunggang bersama seorang pembonceng melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) pada jarak kira-kira 50 meter. "Suspek berjaya ditahan di bahu jalan hadapan Empangan Jenagor, Kuala Berang kira-kira jam 6.15 petang dan dibawa ke  Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut. "Suspek juga telah dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk lakukan ujian air kencing dan hasil saringan terhadap suspek adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan disini hari ini. Katanya, dua remaja terbabit disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan, yang mana aksi itu amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Tambah Hasmerra lagi,  sebanyak tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal dan sebuah motosikal turut disita. "Antara kesalahan yang berjaya dikesan antaranya melibatkan lesen kenderaan motor (LKM) yang telah tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, menunggang motosikal bawah 16 tahun, aksesori tidak sempurna dan tidak memakai topi keledar,"ujar beliau.
27 Apr 23
247
Anak Jati Terengganu Catat Rekod Dunia
Anak Jati Terengganu Catat Rekod Dunia
KUALA TERENGGANU, 27 April - Pelari Maraton terkenal yang berasal daripada Kuala Terengganu, Mohd Syahidan Alias atau lebih dikenali sebagai Edan Syah melakar sejarah baharu Guinness World Records pada Ahad lalu. Beliau telah memecahkan rekod kategori Fastest Marathon in Traditional Malay Dress (Male) dalam acara yang merupakan perlumbaan jalan raya tahunan kedua terbesar di United Kingdom (UK). Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau yang telah mengharumkan nama negara. “Bertambah menarik apabila saudara Edan menyertai acara itu dengan pakaian kebanggaan kita, baju Melayu. “Terima kasih kerana telah buat kami warga Malaysia berbangga dengan saudara, semoga terus maju dan mencoret lebih banyak anugerah di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebooknya pada hari ini. Pada perlumbaan tersebut, Edan Syah telah menamatkan larian sejauh 42.2 kilometer (km) dengan catatan masa dua jam 49 minit 22 saat dengan memakai persalinan lengkap baju Melayu, samping dan songkok. Sebelum ini, beliau pernah menyertai Maraton Boston iaitu acara maraton tahunan tertua dan paling berprestij di dunia sebanyak dua kali pada 2015 dan 2017. Tambah menarik, anak muda kebanggaan Terengganu juga merupakan pemegang Guinness World Records sebagai pelari Maraton Terpantas yang berpakaian bendera kebangsaan (lelaki) dengan catatan masa dua jam 54 min 34 saat di Blackmores Sydney Running Festival pada 16 September 2018.    
27 Apr 23
431
Kerajaan Berbudi, Perantau Berbahasa
Kerajaan Berbudi, Perantau Berbahasa
KUALA TERENGGANU, 25 April- Seiring kecaknaan kerajaan negeri kepada anak-anak Terengganu di perantauan, ramai dikalangan perantau anak negeri tampil menyumbang idea dan kemahiran dalam membangunkan negeri ke arah lebih baik. Setiausaha Agong Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), merangkap Setiausaha Sekretariatnya, Awasi Mohamad memaklumkan, kerajaan Terengganu kini banyak membantu anak-anak negeri di luar melalui pelbagai insentif sebagaimana yang diberikan kepada rakyat di dalam negeri. "Kami nampak kerajaan Terengganu prihatin kepada perantau. "Banyak perkara yang anak-anak rantau dapat daripada kerajaan negeri. Sekarang ini, hampir semua yang rakyat Terengganu dapat, kita dapat antaranya insentif-insentif daripada Yayasan Pembangunan Usahawan, juga i-Perantau dan bantuan-bantuan lain seperti Tabung Darul Iman yang membiayai sebahagian kos perubatan. "Begitu juga apabila kami menerima musibah, pimpinan sendiri turun ke lapangan menyantuni perantau," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Raya Anak-anak Perantau Terengganu di Taman Tamadun Islam, malam tadi. Sehubungan itu jelasnya, ramai anak-anak negeri mula tampil memberikan kerjasama dan idea-idea dalam memperkemaskan pentadbiran kerajaan negeri. "PERANTAU membuat beberapa hubungan dengan anak-anak rantau, secara langsung dan tidak langsung kita menerima 'input' daripada anak-anak Terengganu yang profesional dalam bidang masing-masing. "Banyak sebenarnya yang berjaya dalam bidang korporat di luar dan mereka tampil memberi 'input' terutama dalam Belanjawan, Manifesto, lalu kami mengumpulkannya dan menyalurkan kepada kerajaan negeri. "Bahkan, perantau sendirit terlibat dalam merangka PITAS 2030," katanya. Dalam majlis berkenaan yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dianggarkan lebih 5,000 tetamu hadir menikmati hidangan yang disediakan. "Bagi pihak Perantau, kita amat terharu dengan sambutan ini dan dari segi kecaknaan kerajaan negeri sendiri kepada perantau. Sebenarnya, penerimaan para tetamu amat diluar jangkaan. kita sasarkan sekitar 2,000 tetamu tetapi saya anggarkan sekurang-kurangnya 4,000 telah hadir, tetamu datang seawal 7.30 ptg tadi dan ada yang balik awal barangkali kerana tidak cukup tempat. "Insya-Allah, akan datang kita cuba dapat tempat yang lebih luas," katanya.        
25 Apr 23
344