lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dr Sam Mula Tugas Menteri Besar Terengganu
Dr Sam Mula Tugas Menteri Besar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kembali memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Terengganu. Ahmad Samsuri tiba di Bangunan Wisma Darul Iman pada jam 8.45 pagi tadi dan mengetip kad perakam waktu pada jam 9.07 pagi. Beliau sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas. Ahmad Samsuri mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15 di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada selasa lalu. Sultan Mizan berkenan melantik Ahmad Samsuri sebagai menteri besar selepas beliau mendapat kepercayaan keseluruhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) berjaya mempertahankan kerusi Dun Rhu Rendang apabila memperoleh majoriti 17,286.  Ahmad Samsuri memperoleh 20,927 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang memungut 3,641 undi.        
16 Aug 23
817
Perubahan Portfolio Suntik Momentum Pentadbiran Terengganu
Perubahan Portfolio Suntik Momentum Pentadbiran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos- Beberapa perubahan besar dalam portfolio pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dilakukan bagi menambah baik tugas dan pelaksanaannya oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau meluangkan masa semalam, meneliti portfolio sedia ada dan menyelesaikan beberapa perubahan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin awal pagi ini. "Beberapa perubahan dengan mengambil kira kewajarannya, termasuklah supaya ada keselarasan dengan kedudukan badan-badan dan agensi di peringkat kementerian untuk memudahkan pelaksanaan program kerajaan supaya tidak bertembung antara ahli-ahli MMKN. "Ini adalah mesyuarat pertama di mana semua exco-exco yang mengangkat sumpah semalam, dimaklumkan tentang porfolio masing-masing untuk membolehkan mereka terus bergerak menjalankan tugas masing-masing. "Saya rasakan ini mesyuarat MMKN yang paling cepat diadakan bagi enam negeri yang di mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini," katanya. Dalam MMKN yang berlangsung pagi tadi, Dato' Satiful Bahri Mamat kekal memegang portfolio melibatkan pendidikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan. Begitu juga dengan ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim yang kekal menerajui Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi. Selain itu, berlaku perubahan pada lapan portfolio lain di mana, Wan Sukairi Wan Abdullah kini menyandang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, portfolio yang pernah dipegang ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak. Manakala mantan timbalannya di Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim kini dilantik menguruskan portfolio berkenaan. ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjadi 'muka baharu' yang mengetuai Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah. Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula kini memegang amanah mengurus Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau.  Ariffin Deraman memegang peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, dan Hanafiah Mat mengetuai portfolio Infrstruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar serta diberi kepercayaan mengetuai Pengurusan Bencana. Dua lagi 'muka baharu' iaitu Maliman Kassim dan Datuk Razali Idris, masing-masing mengetuai Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional serta Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. 
16 Aug 23
611
Kubu Umno DUN Langkap Kini Milik PAS
Kubu Umno DUN Langkap Kini Milik PAS
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos -  DUN Langkap sebelum daripada ini merupakan kubu kuat Umno kini menjadi milik PAS apabila menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Terengganu ke-15 pada 12 Ogos baru ini. Calon PAS/ PN DUN Langkap yang menang dalam PRN 12 Ogos, Azmi Maarof berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan undi PAS adalah orang Umno meluat dengan pimpinan mereka. “seorang pemimpin perlu bercakap jujur kepada rakyat tetapi ahli dan penyokong Umno peringkat bawah ada yang tak terima pemimpin tertinggi Umno. “tindakan kerjasama Umno dan DAP menyebabkan para pengundi mengalih sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Terengganu ke-15 Sabtu lalu,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini. Katanya, beliau berjanji akan menyelesaikan masalah rakyat di DUN ini  yang belum selesai antaranya adalah berkenaan dengan permohonan tanah haram masih banyak belum selesai. "Buka rancangan tanah berkelompok tapak rumah dan pertanian serta menyelesai rumah mampu milik (RMM) untuk generasi ke 2 Felda Chalok Barat. "Bina Rumah Mampu Milik (RMM) tapak yang telah kenal pasti untuk warga Langkap dan membina sebuah sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) DUN Langkap," ujarnya. Menurutnya, kebajikan rakyat DUN Langkap sentiasa terjaga, semenjak tahun 2018 selepas PAS memerintah negeri Terengganu, antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan. “Selama lima tahun PAS memerintah kita bergerak aktif dan cakna serta kebajikan rakyat diutamakan,"katanya. Beliau akan menjaga kebajikan rakyat miskin dan membantu para penjaga kecil di kawasan ini. Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang mengundi parti PAS sehingga mendapat kemenangan besar pada kali ini. "Ini adalah satu amanah besar dari parti dan pengundi DUN Langkap dan insya Allah akan pikul amanah ini sebaik mungkin. "Mohon kerjasama semua pihak dan saya sedia terima teguran sekiranya ada perkara yang salah," tambah Azmi. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera parti di semua peringkat yang bertungkus- lumus bertugas sepanjang kempen pilihan raya ini. Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi DUN Langkap, PAS memperoleh 9,553 menewaskan pencabarnya calon BN yang mendapat 6,819 undi.
15 Aug 23
486
Dr. Samsuri Angkat Sumpah MB Terengganu
Dr. Samsuri Angkat Sumpah MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, hari ini. Dr. Samsuri, 53, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu bagi penggal kedua pentadbiran PAS di negeri tersebut pada jam 3.15 petang. Naib Presiden PAS itu dilantik semula memimpin pentadbiran negeri Terengganu setelah parti PAS 'menyapu bersih' 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15, Sabtu lalu. Dalam kemenangan bersejarah PAS di negeri berkenaan, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa itu turut mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang memperoleh 20,926 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang mendapat 3,621 undi dengan majoriti 17,295 undi. Sebelum ini, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas menewaskan dua calon lain daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawi Sulong, dengan majoriti 6,028 undi. Dalam majlis sama, seramai 10 exco dilantik daripada kalangan ADUN yang menang turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Istiadat Penisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.  
15 Aug 23
345
Primula Teruskan Budaya ‘Kucar Bubur Sure’
Primula Teruskan Budaya ‘Kucar Bubur Sure’
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Tradisi mengacau bubur Asyura atau ‘Sure’ sempena bulan Muharram sememangnya sudah menjadi kelaziman bagi warga Primula Beach Hotel. Pengurus Besar Primula, Suaibah Harun berkata, pihaknya menerapkan  budaya 'kucar bubur sure' setiap kali menjelang Muharam bertujuan mewujudkan semangat bekerjasama dan maufakat  yang kini  dilihat semakin pudar. Katanya, pada tahun ini sebanyak tiga kawah bubur disediakan turut membabitkan 25 kakitangan hotel sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. "Untuk menghasilkan tiga kawah bubur, sebanyak 20 kilogram (kg) beras digunakan, ikan selayang (15kg), daging (10kg), ayam (3kg), santan (15kg) dan bahan-bahan sampingan lain seperti ubi, kerisik dan rempah asyura menghasilkan 500 bekas bubur 'sure'. "Acara memasak bubur ini bermula pada jam 8.30 pagi dan pengagihan bermula pada jam 3.15 petang kepada surau dan beberapa agensi kerajaan berdekatan serta warga kerja hotel," katanya kepada pemberita. Tambah Suaibah, walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keharmonian sesama individu dapat dilihat semasa mereka, menyediakan bahan keperluan dan mengacau bubur asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya.
15 Aug 23
261
Empat 'Muka Baharu' Dilantik Exco Negeri Terengganu
Empat 'Muka Baharu' Dilantik Exco Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos- Empat 'muka baharu' diketengahkan bagi memperkukuh barisan pentadbiran negeri Terengganu bagi penggal kali ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat; Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan PAS Terengganu yang memenang kerusi DUN Tepoh; Hishamuddin Abdul Karim antara dua yang dilantik. Selain itu, Yang Dipertua PAS Hulu Terengganu sekaligus ADUN Ajil; Maliaman Kassim serta ADUN Kijal, Dato' Razali Idris yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut menerima lantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Pelantikan tersebut melengkapkan senarai MMKN bersama enam exco lama dalam barisan kepimpinan baharu yang dilantik, hari ini. Exco- exco yang dikekalkan ialah Dato' Mohd Satiful Bahri Mamat, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ariffin Deraman,,Dr Azman Ibrahim, Hanafiah Mat dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Barisan exco yang dilantik turut melafaz sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin setelah dipersembahkan oleh Menteri Besar Terengganu yang baru dilantik, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.  
15 Aug 23
515
Mekanisme Semak dan Imbang DUN Tanpa Pembangkang
Mekanisme Semak dan Imbang DUN Tanpa Pembangkang
Oleh : Mohd Eikhwan Ali, Ketua Jabatan Pengurusan Strategik & Advokasi Dasar TSIS. Walaupun tiada pembangkang di DUN Terengganu, fungsi 'check and balance' masih boleh diwujudkan menerusi beberapa mekanisme. Antaranya telah disebut oleh YB Dato' Haji Yahaya Ali, Yang DiPertua DUN Terengganu dan YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu di Rusila pada Sabtu lepas. YB Dato' Haji Yahaya Ali secara umum menekankan tentang keperluan rakyat untuk berperanan sebagai 'watchdog' manakala YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara lebih khusus menjelaskan berkenaan tugas 'government backbenchers' untuk memantau perjalanan dan mengawal keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri.  YB Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang juga ada merumuskan hubungan tanggungjawab antara rakyat dan pemimpin ini dengan memetik ucapan Saidina Abu Bakar R.A setelah dilantik sebagai khalifah, "Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku". Selain itu, beberapa usaha lain juga wajar dirintis supaya wujud mekanisme yang benar-benar efektif bagi menghalang penumpuan kuasa dan memastikan Kerajaan Negeri beroperasi secara telus dan bertanggungjawab. Beberapa pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut : (1) Kaedah yang diperuntukkan dalam Fasal 27(2) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Pertama), selain dalam situasi apabila "...tidak ada orang bukan Islam atau wanita dipilih...", ia wajar diperluaskan kepada senario apabila "...tidak ada wakil parti pembangkang dipilih..." bagi membolehkan wakil parti pembangkang ini sekurang-kurangnya bercakap dan menyertai perbahasan. (2) Mengambil kira peruntukan dalam Fasal 110 Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Bagi Negeri Terengganu, melantik wakil daripada parti pembangkang sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri atau setidak-tidaknya berstatus "Dijemput Hadir" atau "Turut Dijemput Hadir". (3) Membenarkan wakil parti pembangkang mengemukakan soalan-soalan di DUN untuk dijawab secara lisan atau bertulis dengan mempertimbangkan fasal-fasal berkaitan "Soalan-soalan" dalam Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Bagi Negeri Terengganu. (4) Mewujudkan sebuah jawatankuasa pemantau bebas yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk wakil daripada parti pembangkang dan dengan 'term of reference' yang diperakui oleh DUN atau Kerajaan Negeri. (5) Meningkatkan kebolehcapaian rakyat kepada maklumat berkaitan perlaksanaan dan keberhasilan sesuatu program / projek yang diumumkan dalam Enakmen Perbekalan atau Ucapan Belanjawan Tahunan. Walaupun beberapa pendekatan ini boleh membentuk "semak dan imbang" dalam situasi ketiadaan pembangkang di DUN, tetapi ia mungkin tidaklah sekuat apabila adanya pembangkang yang rasmi di DUN.  Namun, keberkesanan mekanisme ini juga bergantung kepada kesediaan mereka yang berada dalam kerajaan untuk terlibat secara serius dalam dialog terbuka dan dengan nilai ketelusan dan akauntabiliti yang merupakan prinsip penting sistem demokrasi.  
14 Aug 23
686
Ekonomi, Pelancongan dan Sosial Jadi Fokus Azbi
Ekonomi, Pelancongan dan Sosial Jadi Fokus Azbi
BESUT, 13 Ogos - Sektor ekonomi rakyat, pelancongan dan sosial masyarakat setempat akan menjadi fokus utama yang akan diberi tumpuan, ujar Azbi Salleh. Wakil PAS yang baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut itu berkata, amanah itu sangat besar bagi dirinya memandangkan beliau menang dengan majoriti agak selesa. "Ini tanggungjawab cukup besar untuk menjadi wakil rakyat di Kuala Besut, saya pada mulanya menjangkakan akan menang dengan majoriti sekitar 2,000 tapi mengejutkan saya dapat 4,119. "Atas sokongan padu rakyat Kuala Besut insya-Allah saya akan buat yang terbaik, fokus utama saya adalah berkait isu ekonomi rakyat seperti peniaga, isu pelancongan dan sosial masyarakat juga akan diberi perhatian sewajarnya," katanya kepada media semalam. Jelas beliau lagi, tiga segmen itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan sepanjang lima tahun sebelum ini ketika menjadi pegawai penyelaras ia sudah diberi tumpuan.   "Sejak 2018 saya sudah bekerja bertemu rakyat dan sebagainya, pelbagai isu sudah diselesaikan, saya akan teruskan. "Termasuk isu pelancongan memandangkan di Kuala Besut ada Pulau Perhentian," jelasnya. Terdahulu, beliau berterima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut, termasuk yang telah memberi kepercayaan kepada dirinya. Dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri semalam, Azbi memperoleh 11,496 undi berbanding calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang hanya mendapat 7,377.    
14 Aug 23
290
Kerajaan PAS Terengganu Tiada Pembangkang
Kerajaan PAS Terengganu Tiada Pembangkang
KUALA NERUS, 13 Ogos – Parti Islam Se-malaysia (PAS) berjaya cipta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri setelah menang keseluruhan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus tiada pembangkang dalam kerajaan negeri. Kejutan juga berlaku ke atas dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dari Barisan Nasional (BN) tewas kepada pencabar masing-masing. Menteri Besar penggal lalu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula berjaya mempertahankan kerusi Dun Rhu Rendang dengan memperoleh majoriti 17,286.  Ahmad Samsuri memperoleh 20,927 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang memungut 3,641 undi. Berdasarkan keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Negeri, PAS memenangi 32 keseluruhan kerusi DUN dan satu kerusi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. Calon Pas, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim menerima 68,369 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang mendapat 21,103. Amzad memenangi majoriti 47,266 undi berbanding majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
13 Aug 23
433
DUN Telemung, Hadiah Istimewa Buat Pejuang PAS, Bersatu
DUN Telemung, Hadiah Istimewa Buat Pejuang PAS, Bersatu
HULU TERENGGANU, 13 Ogos - "Saya hadiahkan kemenangan ini kepada parti PAS dan juga  Bersatu, yang telah berusaha sekian lama untuk menumbangkan Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung," ujar Zawawi Ismail,  Katanya, pertandingan  yang agak sengit dan dia tidak menyangka DUN Telemung akan dimenangi PAS pada peringkat awal. Beliau yang pada mulanya seperti tidak percaya juga pada peringkat awalnya, walaubagaimanapun, akur apabila aura kemenangan mula dapat dilihat dengan kehadiran ramai pengundi-pengundi  luar yang mana mereka merupakan penyumbang utama yang memberi undi kepada parti PAS. "Kita sedia maklum kawasan N21 ni kawasan yang umpama pasukan ataupun yang pemainnya 'heavyweight' macam  nak lawan Mike Tyson la... bukan senang nak dapat tumbang. "Jadi kita nampak kesungguhan daripada penyokong-penyokong PAS serta ahli-ahlinya dan juga orang-orang yang mahu melihat satu perubahan bagi DUN Telemung itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kemenangannya di Dewan Sivik Kuala Telemong, semalam. Tambahnya, yang menyifatkan kemenangan itu satu anugerah daripada  Allah SWT, meletakkan dirinya sebagai jambatan untuk mencapai cita-cita menawan DUN Telemung yang tidak pernah kalah sejak 60 tahun. "Bayangkan, tidak pernah menang, ini hari yang sangat bersejarah bagi mereka yang telah berkorban macam -macam sejak sekian lama sebab itu kemenangan ini sekali lagi saya hadiahkan untuk perjuangan mereka," ujar beliau lagi. Zawawi  memperoleh 8,380 undi menewaskan Datuk Rozi Mamat, yang juga Setiausaha UMNO negeri yang memperoleh 8,085 undi. Dalam masa sama, PAS berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu, hasil pilihan rakyat. Sejarah turut tercipta menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mendapat tempat dalam DUN Terengganu  
13 Aug 23
398