Artikel "Utama" Terkini
PRK Kemaman : Signal Rakyat Tolak PH-BN
SHAH ALAM, 22 Oktober - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman akan menjadi signal rakyat menolak kerajaan PH-BN yang ternyata tidak berupaya untuk mengurus dan mentadbir negara dengan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, keadaan semasa akan memberi kelebihan kepada PAS untuk terus mengekalkan kemenangan dan mencapai majoriti yang lebih besar.
"Saya telah melakukan tinjauan di seluruh peringkat sama ada dalam kalangan anak muda, bertemu dengan nelayan, peniaga di pasar penjawat awam kerajaan dan swasta semuanya memberikan jaminan akan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).
"Kerana mereka bosan dengan kerajaan yang apabila bercakap akan berbohong setakat ini dilihat tidak menunaikan satu perkara pun.
"Kemarahan rakyat Terengganu lagi bertambah apabila wang royalti dinafikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Muktamar Tahunan Ke-69, di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini dilihat PHBN tidak berupaya untuk mengemukakan calon yang berwibawa.
"Apa yang ada ialah calon yang telah pun ditolak rakyat, dan telah kalah besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 samada peringkat parlimen mahupun peringat negeri.
"Lebih memberi tambah keyakinan rakyat untuk terus berpihak kepada PAS ialah kejayaan menunaikan 20 manifesto serta sepanjang pemerintahan tidak ada lagi pemimpin yang didakwa terlibat rasuah," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, jawatankuasa pilihan raya telah dibentuk.
"Saya kira kita menunggu masa sahaja untuk menghadapi PRK pada kali ini.
"Kita sama -sama berdoa, agar PRK pada kali ini sekali lagi kita diberikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar," ujarnya lagi.
22 Oct 23
340
Anak Penoreh Getah Terima Anugerah Pelajaran Diraja
KUALA NERUS, 22 Oktober – Kejayaan seorang anak penoreh getah menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Terengganu (UMT)membuktikan kecemerlangan pelajar bukanlah berpunca dari latar belakang keluarga yang kaya mahupun ibu bapa yang berpelajaran tinggi.
Mohamad Mukramin Samrah, 24, dari Kuala Lipis, Pahang, merupakan pelajar program Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi berkata keinginan tinggi untuk mengubah kehidupan menjadi kekuatan buatnya untuk tekun belajar hingga berjaya
Anak ketujuh dari lapan adik beradik itu berkata, bapanya, Samrah Abu Bakar, 74, hanya seorang penoreh getah manakala ibunyaLaila Abdul Rahman, 60, merupakan surirumah sepenuh masa seringkali memberi dorongan serta menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
“Saya masih ingat lagi pada tahun pertama belajar di UMT, ayah masih melakukan kerja-kerja menorah getah semata-mata untuk membayar yuran pengajian sebelum saya berjaya mendapatkan pinjaman.
“Kakak pula sering menasihatkan saya untuk fokus belajar bermula tahun pertama supaya impian untuk bergelar graduan terbaik akan tercapai,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini.
Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang kaunselor juga membuktikan walaupun dilahirkan dari keluarga kurang kemampuan, dia berjaya meraih Sijil Kepujian Dekan selama lapan semester berturut-turut.
Selain kecemerlangan akademik, Mohamad Mukramin turut bergiat aktif di luar kuliah dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum terutama dalam badan beruniform Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswa (Kor SUKSIS).
Seorang lagi graduan, Ow Suk Theng dari Taiping, Perak merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), turut menerima anugerah sama,
“Bapa saya seorang juruteknik manakala ibu saya suri rumah, mereka berdua tidak memberikan sebarang tekanan kepada saya dan hanya mahu melihat saya belajar dengan baik.
“Saya cukup gembira dengan kejayaan ini kerana segala usaha yang dilakukan selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Kejayaan ini bukan sekadar daripada semangat percaya dengan kemampuan diri, tetapi ia juga hasil daripada memberi tumpuan semasa kuliah, mengulang kaji dan aktif dalam persatuan,”ujarnya lagi.
Sepanjang pengajian, beliau sangat aktif menyertai pelbagai pertandingan malah telah berjaya menempa nama sehingga ke peringkat kebangsaan. Anugerah Sijil Kepujian Dekan yang diraih selama enam semester berturut-turut membuktikan beliau juga unggul dalam bidang akademik.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Audit Associate I di Ernst & Young dan turut mendapat tajaan biasiswa daripada The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) bagi memperoleh kelayakan professional qualification dan menjadi seorang akauntan yang bertauliah
22 Oct 23
573
Sultanah Nur Zahirah Titah Graduan Jaga Nama Baik Universiti
KUALA NERUS, 22 Oktober- Graduan diingatkan agar sentiasa menjaga citra dan nama baik universiti.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah, sebagai duta kecil dalam masyarakat, graduan perlu menunjukkan adab dalam kehidupan bermasyarakat serta hidup dengan pekerti yang mulia sebagaimana filsafat seni motif flora ukiran Melayu.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertitah, graduan perlu gunakan ilmu yang diperoleh sebaik-baiknya agar dapat memberikan manfaat kepada manusia dan hidupan sejagat.
"Pikullah amanah dan tanggungjawab dalam memberi khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama," titah Baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-21 UMT Tahun 2023 (Sidang Pertama), di sini, hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat untuk meraikan graduan pada majlis itu.
Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin kepada Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff Mohamad.
Baginda turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti Pengajian Maritim kepada Dato' Seri (Dr.) Michael Tio.
Pada majlis konvokesyen UMT kali ini, seramai 2,388 graduan diraikan, terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah iaitu 46 graduan PHD dan 150 graduan sarjana.
Manakala seramai 2,192 graduan pra siswazah terdiri daripada 2,081 graduan sarjana muda dan selebihnya 111 graduan diploma.
Titah Sultanah Nur Zahirah, sebagai Canselor, Baginda berbangga dengan pencapaian ditempa UMT yang telah berjaya meraih pencapaian 5 Bintang dalam Penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) pada tahun 2022.
"Pencapaian ini telah membuktikan, walaupun pada usia yang masih muda UMT sudah setanding dengan universiti-universiti terkemuka di negara ini.
"Beta juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada UMT yang telah dipilih sebagai hos penempatan Penyandang Kursi Sains Antartika Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai Dana
Pemula Aktiviti Kursi ini.
"Beta berharap ini akan menyemarakan lagi
kecemerlangan akademik dalam bidang Sains Antartika di UMT dan memberikan impak yang membanggakan kepada penyelidikan Antartika Malaysia di peringkat antarabangsa, " titah baginda.
Baginda bertitah, graduan yang dilahirkan oleh UMT diharap dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di industri, bukan hanya di peringkat tempatan bahkan di peringkat global.
22 Oct 23
441
Anak Tuaran Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT
KUALA NERUS, 22 Oktober - Anak juruteknik antara graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dengan kepujian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , di sini, hari ini.
Brendon Vun Man Fook, 24, dari Tuaran, Sabah juga merupakan penerima Anugerah Pingat Emas Canselor yang disampaikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Canselor UMT pada sidang pertama majlis konvokesyen berkenaan di Dewan Sultan Mizan, UMT.
Brendon Vun berkata, dia mendedikasikan anugerah itu kepada bapa, Vun Fook Nam @ Peter dan ibunya Lisda Lutong yang juga suri rumah serta para pensyarah kerana tidak jemu membantu serta mendorongnya sehingga tamat pengajian.
“Saya sangat gembira, pencapaian ini di luar jangkaan saya dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT,” ujarnya kepada pemberita.
Anak kedua dari lima beradik itu adalah antara 2,388 graduan UMT yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula hari ini hingga Selasa depan.
Berkongsi kisah, Brendon Vun berkata, di UMTlah dia menggunakan sepenuhnya peluang yang ada dan memperoleh pencapaian akademik yang sangat cemerlang dengan meraih Sijil Kepujian Dekan sebanyak enam semester sepanjang tempoh pengajian.
“Dulu dulu saya kurang sedikit dari segi belajar sebab bagi saya yang dari luar bandar ini, isu pendidikan di pekan tempat saya tinggal agak mencabar.
“Kita budak luar bandar, kurang ‘role model’, jadi bila dapat peluang sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, saya mula ‘expose’ dan cabar diri bahawa pendidikan itu sepatutnya diterima sama rata oleh semua dan saya sangat bertuah pensyarah UMT banyak mainkan peranan dan setiasa beri peluang dan sokong pelajar," ujarnya.
Brendon Vun berkata, dia memulakan pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Sin, Tuaran, dan seterusnya menyambung persekolahan ke peringkat menengah di Sekolah Menengah St. John, Tuaran.
Kecemerlangan yang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah melayakkannya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan seterusnya menyambung pengajian dalam program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dengan kepujian di Fakulti Sains Sekitaran Marin (FSSM), UMT pada sesi akademik 2019/2020.
Bukan itu sahaja, Brendon Vun juga telah beberapa kali mewakili negara ke peringkat antarabangsa dengan menyertai Intravarsity Leadership Programme 2023 yang diadakan di Indonesia, “Make The Case” Student Case Study Competition 2022 yang dianjurkan oleh City University of Hong Kong dan SMART 3.0 Online Pitch Competition 2021 anjuran National Cheng Kung University, Taiwan.
Selain itu, Brendon Vun bersama-sama ahli kumpulannya turut menjuarai pertandingan Ocean Challenge bagi kategori antarabangsa yang diadakan di Taiwan pada 2022.
Pada tahun 2022 juga, dia telah menjadi salah seorang fasilitator dalam Akademi Impact 2022 - Edisi Jaguh Bumi! yang bekerjasama dengan Youth Environment Living Labs (YELL), sebuah program kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan United Nations Children’s Fund (UNICEF) dengan sokong Amanah Lestari Alam (ALAM).
Sepanjang bergelar mahasiswa, bakat kepemimpinannya amat terserlah dan telah diberi kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan antaranya ialah Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022, EXCO Protokol Kelab Mahasiswa/wi Sabah (KEMASIS) selain menganggotai Majlis Tertinggi bagi beberapa program antaranya Jiwa Anak Malaysia 2022 dan Minggu Jalinan Mesra kemasukan Diploma & Asasi sesi 2021/2022.
22 Oct 23
2284
5,000 Orang Kunjung Pameran Kejayaan Terengganu
SHAH ALAM, 22 Oktober – Kira-kira lebih 5,000 orang mengunjungi pameran kejayaan Terengganu yang dikelola Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sempena Karnival Usahawan di sini.
Urus Setia Pameran, Wan Nabilah Farhana Kamaruddin berkata jumlah itu berjaya direkodkan setelah lima hari program berlangsung.
Katanya, pameran itu turut mendapat kerjasama lima agensi kerajaan negeri yang lain.
“Kesemua unit tubuh tersebut terdiri daripada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Urusetia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA).
“Turut disediakan hadiah kepada semua pengunjung yang datang ke pameran kami yang disertakan dengan maklumat-maklumat berkaitan kejayaan negeri Terengganu sejak penggal lepas,” jelasnya.
Dia berkata demikian ketika sidang media di dataran pameran bertempat di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.
Tambah Nabilah, pameran tersebut berlangsung selama lima hari bermula 18 hingga 22 Oktober 2023.
“Kesemua pengunjung yang datang menunjukkan reaksi positif dan tertarik apabila urusetia menerangkan berkaitan kejayaan yang dicapai oleh negeri ini.
“Terutamanya menerusi anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), dari sudut pelaburan yang masuk dan pelbagai lagi,” ujarnya.
22 Oct 23
1205
MB Terengganu Kekal Naib Presiden PAS
SHAH ALAM, 22 Oktober – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan secara rasmi menang tanpa bertanding (MTB) bagi jawatan Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) bagi penggal 2023-2025.
Turut mengisi barisan Naib Presiden PAS iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Kesemua mereka dikekalkan bagi jawatan berkenaan pada Majlis Pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 bertempat di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dato' Dr Abdul Halim Tamuri di sini pada Ahad.
Sementara itu, empat pimpinan dari Terengganu yang terdiri daripada seorang Ahli Parlimen, dua orang exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Ahli Jawatan kerja PAS Pusat.
Kesemua mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor.
22 Oct 23
209
TFC Bawa Kelebihan Satu Gol ke Gong Badak
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Terengganu FC (TFC) berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur City (KL City) dengan jaringan (2-1) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan di tempat lawan.
TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KL City dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 16 menerusi Hakim Hassan namun berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza.
Pada aksi tersebut, TFC membuka tirai jaringan memasuki masa tambahan babak pertama, menerusi penyerang import, Ivan Mamut yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk TFC mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, pada minit ke 59, Engku Nur Shakir hampir menambah derita tuan rumah apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Ivan Mahmud.
Pada minit ke- 67, penyerang muda, Nik Sharif yang masuk menggantikan Hakim Hassan tidak menunggu lama untuk menguji kubu lawan namun ditepis oleh Kevin.
Pada minit ke 83, Nik Sharif sekali lagi menguji Kevin namun penjaga gol KL City itu terus cemerlang menepis rembatannya.
Berselang 7 minit kemudian, Nik Sharif menggamatkan sorakan lebih 4,210 penyokong di stadium dengan gol kedua TFC melalui umpanan cantik Syahmi Zamri.
Pada masa kecederaan babak kedua, Skuad KL City dihadiahkan sepakan penalti selepas Syahmi Zamri menjatuhkan pemain lawan.
Penyerang import KL City, Tchetche Kipre berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu tidak membawa pulang bekalan lebih selesa.
Kedua-dua pasukan akan mengharungi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 3 November ini.
21 Oct 23
362
Dr Sam Rai Lebih 800 Perantau Terengganu
SHAH ALAM, 21 Oktober – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan lebih 800 perantau Terengganu pada Program Bekwoh dan Hari Sukan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.
Ahmad Samsuri berkata program itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan saling mengenal sesama anak-anak Terengganu di perantauan.
“Walaupun duduk berjauhan namun kerajaan tidak akan melupakan golongan perantauan, semuanya dalam hati kami.
“Program ini akan sentiasa diadakan bagi membantu dan mengeratkan lagi hubungan kerajaan dan golongan perantauan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bekwoh dan Hari Sukan Perantau bertempat di Dataran Dewan Alamanda, Seksyen 20, Shah Alam di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Pengarah program, Wan Mohd Ariffuddin Wan Omar berkata penganjuran selama dua hari berlangsung itu berjalan lancar dengan sokongan penuh kerajaan negeri.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perantau Lembah Klang berkata sebanyak seekor lembu ditumbangkan yang memberi manfaat lebih 800 orang peserta yang terlibat.
“Turut disediakan cabutan bertuah dan hadiah kepada para peserta dengan hadiah utama berupa sebuah Televisyen dan voucher penginapan dari Paya Bunga Hotel.
“Program tersebut berjalan lancar walaupun pada hari kedua hujan sedikit turun” ujarnya.
21 Oct 23
711
SG4 Tarik Pelabur Jepun, Korea dan China
SHAH ALAM, 21 Oktober - Penglibatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam 'State Goverment Four' (SG4) berjaya menarik minat pelabur dari negara maju terutamanya Jepun, Korea dan China untuk melabur di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negara berkenaan telah menghubungi SG4 dan menyatakan minat untuk melabur selepas Tun Mahathir berkunjung ke negara berkenaan.
Katanya, selepas ini Tun Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan negara daripada Timur Tengah.
"Apabila kita melibatkan Tun Mahathir beliau telah banyak melakukan libat urus di semua-semua negeri ini.
"Beliau sendiri telah bertemu dengan pelabur-pelabur dari negara luar ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika sidang media pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69, di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata beliau sangat terbuka menerima nasihat daripada mana-mana pihak tanpa mengira perbezaan parti dalam memastikan SG4 dapat digerakkan dengan baik bagi memacu kemajuan di empat negeri ini.
"Termasuklah jika Tan Sri Lim Kit Siang nak berikan pandangan dan kemukakan idea-idea, kami terbuka.
"Kalau nak bercakap tentang politik dari pagi sampai malam, 24 jam dan tentang perbezaan politik, saya rasa Malaysia ini tidak akan boleh bergerak ke hadapan.
"Saya pernah sebut kepada Perdana Menteri semasa majlis hari raya, ada perkara yang perlu non-partisan, non-political tetapi komitmen ataupun cooperation daripada pelbagai pihak," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyifatkan SG4 adalah seperti kerjasama kumpulan negara yang wujud seperti G7, G8, D20 dan blok ekonomi seperti BRICS.
21 Oct 23
1075
Anwar Perlu Tumpu Masalah Rakyat, Bukan Sekadar Bercakap
SHAH ALAM, 21 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberikan sepenuh perhatian untuk menangani pelbagai masalah dalam negara dengan perancangan teliti bukan hanya sekadar bercakap dan berjanji.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika pihak kerajaan Persekutuan tidak fokus kepada masalah kesannya rakyat akan menderita.
''Bukan (juga) terbang (mengadakan lawatan) ke sana ke mari, sekejap Amerika, sekejap Dubai, ke Arab Saudi, ke China (maka) tidak akan ada solusi bagi menangani pelbagai isu diharapi rakyat.
''Kena duduk dan tengok masalah dihadapi rakyat bukan hanya berkata-kata ini dilihat kalau bercakap (bohong), lembu pun boleh terbang,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ceramah 4 Menteri Besar, pada Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69, di sini, semalam.
Tegas Ahmad Samsuri, apa yang perlu disedari tugas memimpin negara perlu dibuktikan dengan pelaksanan serta perancangan yang tuntas.
''Kalau hendak memerintah negeri hanya melalui percakapan, baik dicari orang yang boleh duduk bersembang di kopi tidak perlu melakukan apa-apa.
''Tetapi tugas memeritah negeri dan negara kena duduk berbincang dan melaksanakan segala apa yang telah dijanjikan bukan hanya sekadar berjanji.
''Segala perkara akan menjadi mudah sahaja, tetapi kerana banyak sangat dalam kepala (pemikiran) yang hendak dibuat (Anwar) sampai tidak boleh buat apa, maka akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat,'' ujarnya lagi.
21 Oct 23
176