lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KMI Tandatangani SSA Bersama Hospital Bersalin Razif
KMI Tandatangani SSA Bersama Hospital Bersalin Razif
KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Anak syarikat penjagaan kesihatan TDM Bhd Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) bersama Hospital Bersalin Razif (HBR) di sini hari ini. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata perjanjian itu adalah bagi pemerolehan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam HBR oleh KMI Healthcare. Katanya, pemeteraian perjanjian antara kedua pihak merupakan satu lagi kejayaan besar bagi Kumpulan dan akan menjadi pemangkin untuk KMI Healthcare agar terus berkembang maju. "Hospital Bersalin Razif akan menjadi hospital ke enam di bawah rangkaian KMI Healthcare melalui pengembangan ‘brownfield’ nya. "Ia mempunyai kapasiti katil sebanyak 35 dengan lebih 20 tahun kehadiran di Klang, Selangor,"ujarnya. Sementara itu, satu majlis makan malam penghargaan untuk 200 pemegang kepentingan di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur turut diadakan. Acara itu dihadiri oleh ramai pemain industri termasuk syarikat insurans, syarikat pentadbiran pihak ketiga (TPA), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakan kongsi dan pelanggan, lembaga pengarah dan warga pekerja Kumpulan. Tengku Seri Bijaya juga berkata KMI Healthcare berbangga menjadi salah satu bahagian perniagaan yang pesat berkembang di bawah sayap pelaburan TDM Berhad. "Ini termasuk sebagai Syarikat sekuriti patuh Syariah yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.  "Sejak penubuhannya, kapasiti katil di hospital KMI telah berkembang secara progresif untuk mempercepatkan kelajuan ke pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang," ujarnya lagi. Dalam masa sama, bagi perancangan masa hadapan, KMI Healthcare berazam untuk mencapai lebih kejayaan dengan strategi dan rancangan perniagaan yang kukuh, menambah lebih nilai kepada perkhidmatannya.
24 Oct 23
325
Terengganu Bakal Perkenal Permit Khas Selam Skuba di Lokasi Kapal Karam
Terengganu Bakal Perkenal Permit Khas Selam Skuba di Lokasi Kapal Karam
MARANG, 24 Oktober - Kerajaan negeri akan mewujudkan  prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengenalan permit khas bagi aktiviti selaman skuba di lokasi kapal karam di Pulau Kapas yang akan dikuatkuasakan mulai tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata, pengenalan SOP ini bukan untuk  menyusahkan pelancong, tetapi bagi menjaga kepentingan artifak dalam laut di Terengganu. "Kita nak buat permit bagi memastikan artifak dan tinggalan di kapal tersebut dijaga rapi dan  menghalang aktifak berharga daripada dicuri. "SOP dibuat ini sama seperti mana dijalankan di tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong di mana nak pergi ke kawasan tersebut kena ada permit khas. "Namun kerajaan tidak mahu terlibat dalam urusan mengenai caj sebaliknya menyerahkan urusan mengenai caj tersebut kepada pihak yang mengendalikan selam skuba," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak kapal karam di perairan Pulau Kapas, di sini, semalam. Razali berkata kapal karam tersebut merupakan satu khazanah yang cukup berharga dan salah satu aset pelancongan negeri dalam pakej aktiviti selam skuba arkeologi. "Berdasarkan cerita daripada penduduk tempatan, kapal yang dipercayai milik tentera Jepun diserang dan dibom menyebabkan ia terbakar dan karam pada Perang Dunia Kedua... kini berada pada kedalaman 40 meter di dasar laut. "Malah sebahagian artifak berharga di dalam kapal karam terbabit sudah hilang dipercayai dicuri sejak puluhan tahun lalu tanpa sebarang tindakan dari mana-mana pihak,"katanya. Justeru itu, beliau berhasrat membawa keluar sebahagian aktifak dari kapal karam itu yang mempunyai nilai  tinggi dan perlu dijaga sebaik mungkin di Galeri Arkeologi Maritim Terengganu yang bakal dibuka tahun hadapan bagi menjamin kelestariannya. Tambahnya, lokasi cadangan galeri setakat ini di Taman Tamadun Islam (TTI) kerana kedudukannya strategik dan ia juga antara lokasi pelancongan utama di negeri ini.      
24 Oct 23
195
Malaysia Perlu Desak Israel Dihadap ke Mahkamah Jenayah
Malaysia Perlu Desak Israel Dihadap ke Mahkamah Jenayah
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - kerajaan Malaysia digesa agar menjadi pihak yang lantang mendesak Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ia bagi memastikan rejim zionis dan sekutunya diadili kerana penindasan yang dilakukan berlarutan sejak sekian lama. "Perlu berani walaupun (negara) kita kecil, berani kerana menyatakan kebenaran. "Mendesak sehingga mereka yang terbabit dalam keganasan Israel dan sekutunya dihadapkan ke ICJ. "Ini sangat penting dan mesti dilakukan bersungguh-sungguh," ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini. Dalam pada itu, Abdul Hadi secara sinis turut mempersoalkan ketegasan perundangan antarabangsa yang terlalu rapuh serta tidak berupaya mengekang keganasan. "Perundangan antarabangsa tidak jadi apa-apa biarpun ICJ itu ada, ini macam sarang labah-labah, (musnah) dirempuh binatang besar, sebaliknya hanya serangga kecil yang melekat," katanya.
24 Oct 23
57
Atlet Terengganu Terima RM44,500 Insentif SWARA, SHAKE
Atlet Terengganu Terima RM44,500 Insentif SWARA, SHAKE
KUALA NERUS, 24 Oktober - Kerajaan Negeri menyampaikan insentif berjumlah RM44,500 kepada 17 atlet serta dua pegawai dari Terengganu yang mewakili negara pada Temasya Sukan Asia Hangzhou, China 2023, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak dua jenis insentif disampaikan kepada semua atlet dan pegawai terlibat. "Penyampaian Skim Wakili Negara (SWARA) berjumlah RM28,500 telah kepada sebahagian atlet yang hadir hari ini. Dari jumlah 32 pingat yang berjaya dibawa pulang oleh Kontinjen Malaysia, empat orang atlet Terengganu iaitu Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisham (gimnastik), Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudden (pelayaran), Azreen Nabila Alias (olahraga) dan Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), masing-masing menyumbang pingat gangsa. Ini melayakkan mereka menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) berjumlah RM16,000," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan tersebut di Ar Riyadah Residence, hari ini. Hadir sama, timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.            
24 Oct 23
308
Projek Bekalan Air Marang Capai Tahap Lebih 97 Peratus
Projek Bekalan Air Marang Capai Tahap Lebih 97 Peratus
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Proses pemasangan paip 900mm dari Loji Rawatan Air Kepong 2 ke Tangki MIEL dan Tangki Gondang Daerah Marang di bawah Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara telah mencapai tahap 97.73 peratus. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar laporan tersebut telah dimaklumkan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU). "Katanya, pemasangan paip ini akan meningkatkan bekalan air terawat dari LRA Kepong 2 ke Daerah Marang dari 65 JLH kepada 95 JLH kepada pengguna di Daerah Marang. "Dengan siapnya pemasangan paip air ini, isu gangguan bekalan air berjadual di Daerah Marang akan dapat diselesaikan, Insya-Allah," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, beberapa proses yang sedang dalam pelaksanaan adalah berkaitan kerja-kerja pemasangan paip di beberapa kawasan terlibat. Selain itu, kerja-kerja disinfeksi sehingga ujian sampel kualiti air, penurapan jalan dan pemeriksaan akhir serta penyerahan sistem agihan. "Tahniah pasukan SATU atas usaha memberi keselesaan kepada penduduk dan terima kasih buat penduduk atas kesabaran kalian selama diuji gangguan bekalan air," ujarnya.      
24 Oct 23
388
Graduan OKU Fizikal Berjaya Genggam Ijazah Bersama Kembar
Graduan OKU Fizikal Berjaya Genggam Ijazah Bersama Kembar
KUALA NERUS, 23 Oktober – Memegang status Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal, tidak menghalang Wan Nursolehah Wan Mohd Fauzi ,25, menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Dengan Kepujian. Lebih membanggakan, Wan Nursolehah berkongsi detik manis tersebut bersama pasangan kembarnya Wan Nurfatihah yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sama dan bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21, hari ini. Menurut anak ketiga kelahiran Kelantan dan dibesarkan di Johor itu, kakak kembarnya dilahirkan normal tetapi dia mengalami sedikit kecacatan dimana tangan dan kaki kirinya pendek. Berkongsi kisah, Wan Nursolehah berkata, disebabkan memiliki minat yang sama dalam bidang psikologi, masing-masing sepakat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Kaunseling di UMT dan berjaya bergraduasi dengan Purata Gred Kumulatif 3.50. Mengakui kadang kala tiada keyakinan diri dan malu berdepan dengan orang ramai yang melihatnya kurang sempurna berbanding kembar dan rakan-rakan lain, namun tetap bersyukur kerana diberikan nikmat kasih sayang dari keluarga dan rakan seperjuangan tanpa membezakan fizikalnya. "Emak pesan agar saya yakin dan reda dengan pemberian Allah. Pesan emak akan sentiasa saya semat dihati sampai bila-bila. Sejak dulu saya berazam mahu jadi lebih baik daripada kakak (kembar).   “Bagaimanapun saya menjadikan kakak sebagai pembakar semangat dan saingan tambahan kami belajar dalam bidang yang sama dan selalu bersaing untuk mendapat markah paling tinggi setiap kali peperiksaan,” ujarnya. Katanya, kesukaran menyesuaikan diri di kampus antara cabaran perlu dilalui apabila kolej kediaman dengan fakulti agak jauh dan menyukarnya untuk bergerak tetapi dia bersyukur kakak kembarnya banyak membantu selain keprihatinan pihak universiti menyediakan kemudahan untuk OKU sepertinya. Bagi Wan Nursolehah, kekurangan diri tidak menghalangnya untuk berjaya dalam akademik.  “Ianya bukan halangan, bahkan pemangkin semangat untuk berjaya dan dapat membanggakan ibu dan bapa,” katanya yang merupakan antara 2,388 graduan UMT diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula semalam hingga Selasa ini.  
23 Oct 23
511
UMT Rai 2,388 Graduan
UMT Rai 2,388 Graduan
KUALA NERUS, 23 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan 2,388 graduan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula 22 hingga 24 Oktober depan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, UMT semalam. Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, ia membabitkan 46 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah, 150 orang penerima Ijazah Sarjana, 2081 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 111 orang penerima Diploma.  Katanya, buat julung kali UMT memperkenalkan Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)   kepada pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam bidang pengajian mereka di UMT. "UMT kini telah beralih dari fasa transisi daripada universiti baharu kepada universiti yang lebih matang. Banyak cabaran dan perubahan yang telah kita lalui untuk berada di tahap ini.  "Bagi memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai sebuah universiti marin berfokus, UMT tekad untuk terus komited, berkembang dan kekal menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi," katanya dalam ucapan alu-aluan. Tambahnya, UMT juga meraikan Graduan Sulong bagi Program Sarjana Muda Operasi Maritim Dengan Kepujian seramai 13 orang, Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih) seramai 19 orang dan Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) seramai 33 orang.  Beliau berkata,  UMT berbesar hati untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, kepada Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato Dr. Abdul Latiff Mohamad. "UMT juga turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, kepada Yang Berbahagia Dato Sri (Dr.) Michael Tio. "Anugerah-anugerah ini diberikan bagi mengiktiraf sumbangan tokoh dalam bidang masing-masing," katanya. Dalam majlis ini juga UMT turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor (Terbaik Pusat Pengajian). Manakala Anugerah Khas PTPTN dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen UMT.  
23 Oct 23
277
Usia dan Kesibukan Kerja Bukan Penghalang Genggam PhD
Usia dan Kesibukan Kerja Bukan Penghalang Genggam PhD
KUALA NERUS, 22 Oktober – Meskipun ayahnya sudah tiada di dunia, Dr. Abdullah Sulaiman  tetap menunaikan impian arwah yang mahu melihatnya belajar sehingga ke peringkat tertinggi. Beliau yang baru sahaja mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 di sini meluahkan rasa terharu dan syukur. Abdullah, 54, berasal dari Pasir Mas, Kelantan menyifatkan pengorbanan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi demi menyahut cita-citanya sejak dibangku sekolah selain menunaikan hasrat ibu dan arwah ayah untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan. "Ayah hanya seorang penoreh getah dan ibu, Siti Jarah Che Jusoh pula menjadi guru al-Quran di kampung. Hidup memang sudah umpama 'kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang'...makan bercatu itu sudah menjadi lumrah kami sekeluarga. “Kami ingat pesanan ayah yang menggalakkan kami untuk belajar setinggi yang mungkin.. katanya pelajaran boleh mengubah nasib hidup sebab itu walaupun terpaksa menelaah menggunakan pelita ayam dan mandi perigi serta makan bercatu, ayah tetap tak nak kami adik beradik keciciran dalam pelajaran. “Tiap pagi bangun sebelum subuh membawa pelita ayam ke perigi untuk mandi. Bergilir-gilir sehingga kesemuanya selesai mandi barulah balik ke rumah. Itulah rutin harian kami setiap hari sebelum ke sekolah. Waktu tu kampung saya masih belum ada bekalan elektrik dan air sehinggalah pada tahun 1984 semasa saya di tingkatan tiga,”ujarnya. Tambahnya, jika arwah ayah mereka masih hidup, pasti dia tersenyum bangga melihat kami lapan beradik akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dua antaranya berjaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan Amerika Syarikat. "Saya harap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi kepada golongan miskin di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian mereka. “Dengan ilmu kita mampu mengubah nasib keluarga”, ujar bapa kepada tujuh orang anak ini Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berpegang teguh kepada prinsip ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China’.  Berpengalaman dalam bidang geologi selama 30 tahun serta mempunyai kepakaran dalam geologi marin selama 25 tahun, kepakaran Abdullah diangkat oleh UMT dengan melantikknya sebagai Profesor Adjung UMT pada Januari 2022 dan ditempatkan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS). Abdullah  kini merupakan Ahli Geologi profesional dan membawa gelaran Professional Geologist (P.Geol). Antara sumbangan beliau ialah  melalui kerjasama JMG dan UMT pada tahun 2019 hingga tertubuhnya jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.  
23 Oct 23
468
Kumpulan Terminus, China Mahu Melabur Di Negeri SG4
Kumpulan Terminus, China Mahu Melabur Di Negeri SG4
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyifatkan pertemuan beliau dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu sebagai positif dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri. Menurut beliau, pertemuan bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya itu turut dihadiri oleh wakil dalam 'State Goverment Four' (SG4) iaitu Kelantan, Perlis, Kedah. “Antara perkara yang turut dibincangkan dalam satu pertemuan khas yang disusun oleh Tun M bersama-sama negeri SG4 adalah mengenai unsur nadir bumi ataupun Rare Earth Element (REE) dan pelabur dari China yang menunjukkan minat untuk melabur di empat negeri ini. “Mengenai REE, satu taklimat telah dibentang oleh penasihat Tun M sendiri yang telah buat kajian mengenai REE dan ekonomi yang boleh dikuasai melalui REE. Termasuk potensi kerana ada tiga negeri dalam SG4 iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikatakan mempunyai unsur REE ini. “Diceritakan sedikit sebanyak dari segi hasil yang perlu kita terokai supaya perkara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh negeri masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Sementara itu katanya, delegasi dari China iaitu Kumpulan Terminus yang mempunyai kepakaran dalam ekonomi digital turut sama dalam pertemuan SG4 bersama Tun M telah membincangkan peluang pelaburan syarikat serta berminat untuk berkerjasama dengan keempat-empat negeri terbabit. “Mereka ingin melabur dalam apa jua yang kita kehendaki terutamanya bidang ‘smart city’. “Bagi Negeri Terengganu, kita letakkan sasaran kita supaya pelabur melihat macam mana, kita banyak bahan mentah tetapi kita tidak boleh optimumkan pendapatan ke arah maksimum, kita hanya jual ‘raw material’ tetapi kita mahu ‘speed over’ ekonomi itu sampai ke ‘down stream’. “Kita minta mereka tengok ruang mana, kita ada bauksit, REE, bijih besi, silica, jadi nak ke arah supaya kita boleh jana ekonomi daripada hasil bahan mentah yang kita ada,” ujarnya. Mengulas lanjut, beliau berkata, Kumpulan Terminus menunjukkan reaksi yang positif dan sudi berkongsi kepakaran yang mereka miliki. “Selepas ini kita akan wujudkan jawatankuasa di peringkat negeri (SG4) masing-masing untuk lebih fokus lagi berbincang mengikut keperluan negeri dengan Kumpulan Terminus ini,” katanya. Justeru katanya, diharapkan dengan kedatangan pelabur akan mempercepat dan merancakkan lagi pembangunan di Negeri Terengganu khususnya dalam bidang ekonomi digital. “Dari sudut REE pula, kita perlu bergerak pantas untuk belajar, benda ini baru, banyak kepakaran dan maklumat yang diperolehi jadi harapan kita pasukan dari Negeri Terengganu dapat wujudkan pasukan yang mantap dari segi pemahaman, teknologi pun kita perlu cari kerjasama dengan negara-negara yang lebih ke depan,” ujarnya.
23 Oct 23
998
Sambutan Hari Statistik Negara Sedia Kerjaya Untuk Graduan
Sambutan Hari Statistik Negara Sedia Kerjaya Untuk Graduan
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Sambutan Hari Statistik Negara 2023 yang dianjurkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu menampilkan sedikit kelainan apabila turut menyediakan peluang kerja buat graduan. Menurut DOSM Terengganu dalam satu kenyataan, program anjuran bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu turut mengadakan Career, Entrepreneurship & Education Fair 2023 selama dua hari bermula 21 hingga 22 Oktober lalu. "Karnival ini dianjurkan melalui Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT), UniSZA dan Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MyGRAD). "Kita mahu menyediakan graduan yang mampu mengisi keperluan industri tempatan dan global seiring dengan dinamika ekonomi dan teknologi serta membangunkan bakat graduan bagi peningkatan sosio ekonomi negara yang seimbang dan mampan," ujar kenyataan itu. Tambah DOSM lagi, karnival itu membabitkan lebih 40 majikan dan 1,000 peluang pekerjaan kepada graduan dan komuniti. "Pihak agensi dan industri yang turut terlibat termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Securities Industry Development Corporation (SIDC), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Gleneagles Hospital, CelcomDigi, PTPTN, Perodua, Hong Leong Takaful, Asia Pacific University, Terengganu Skills Development Centre (Tesdec), XOX, pcari.my, Artiseni Sdn Bhd, dan Warnakala Studiosi. "UniSZA merupakan Universiti Awam pertama yang membangunkan kandungan metaverse di dalam aktiviti karnival kerjaya melalui metaverse seminar bersama CelcomDigi dan permainan realiti maya. "Pembangunan kandungan metaverse itu katanya selaras dengan Teras Pendigitalan Universiti di dalam Pelan Strategik Universiti 2023-2030," kata kenyataan tersebut.
23 Oct 23
416