lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tiga Pekerja Dikhuatiri Tertimbus Dalam Runtuhan Bangunan Resort Persendirian
Tiga Pekerja Dikhuatiri Tertimbus Dalam Runtuhan Bangunan Resort Persendirian
BESUT, 9 November -  Tiga warga Indonesia dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan resort persendirian yang sedang dalam pembinaan di Pulau Perhentian dekat sini pagi ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 7.34 pagi tadi. "Seramai tujuh mangsa terlibat dalam kejadian itu dan empat mangsa berjaya diselamatkan dan mereka mereka hanya mengalami kecederaan dan luka di beberapa anggota badan. “Manakala tiga mangsa lagi masih terperangkap di bawah runtuhan dan usaha menyelamatkan mangsa terlibat sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, mangsa yang terselamat telah dibawa ke Klinik Pulau Perhentian sebelum ke Jeti Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Besut. Tambah beliau, JBPM juga telah memohon bantuan Unit Anjing Pengesan K9 serta Unit Udara untuk digerakkan ke lokasi kejadian.
09 Nov 23
407
Bayi 17 Bulan Maut Disyaki Didera Rakan Lelaki Ibu
Bayi 17 Bulan Maut Disyaki Didera Rakan Lelaki Ibu
BESUT, 9 November – Seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan maut dipercayai didera oleh teman lelaki kepada ibu mangsa..  Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan dari Klinik Kesihatan Kampung Raja, di sini pada 8 November yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di klinik itu. “Hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah diserahkan ibunya yang berusia 27 tahun kepada suspek pada Selasa lepas untuk dijaga pada kira-kira 4 petang. "Mangsa kemudian dihantar semula kepada ibunya pada 7.30 pagi semalam bagaimanapun dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan," katanya dalam kenyataan hari ini. Menurut Abdul Rozak, hasil bedah siasat awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati terdapat kebocoran pada usus kecil mangsa yang dipercayai menyebabkan kematian bayi itu. Namun begitu, beliau berkata,  punca kebocoran usus belum dapat dipastikan sama ada di sebabkan trauma atau jangkitan kuman dan memerlukan sampel di hantar ke makmal. Susulan itu, polis telah menahan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal bagi membantu siasatan dan akan direman hari ini.Pihak polis juga sedang mengesan rakan lelaki suspek. "Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 20,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya. "Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh menghubungi ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222," katanya.
09 Nov 23
441
Kerajaan Negeri Lancar Kenyir Geopark
Kerajaan Negeri Lancar Kenyir Geopark
KUALA TERENGGANU, 9 November- Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pelancongan terus memperkasa kempen promosi Beautiful Terengganu menerusi penyertaan di World Travel Market (WTM London) 2023 yang berlangsung selama tiga hari berakhir 8 November lalu di ExCel Hall, London. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengetuai delegasi itu berkata, penyertaan Kerajaan Negeri diharap mampu melonjakkan lagi imej Terengganu sebagai destinasi percutian yang mampu menawarkan pelbagai keunikan dan keindahan Malaysia. “Pada WTM London kali ini, Kerajaan Negeri turut mempromosikan produk-produk pelancongan eko yang terdapat di Terengganu selari dengan tema kempen promosi yang dibawa Tourism Malaysia, “Discover the charms of Terengganu’s Nature”. “Selain melancarkan logo Kenyir Geopark sebagai usaha penjenamaan promosi destinasi pelancongan eko tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, penjenamaan semula kluster pelancongan iaitu Tasik Kenyir kepada Kenyir Geopark diharap dapat memberikan dimensi baharu pelancongan dalam mempromosikan Kenyir Geopark sebagai destinasi pelancongan eko terkemuka dalam negara. “Diiktiraf secara rasmi sebagai tapak geopark pada 31 Mei lalu, Kawasan Geopark Kenyir berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau.  “11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah. Termasuk Gua Bewah sebagai tapak geoarkeologi terpenting dalam pembentukan geopark,” jelasnya. Untuk rekod, seramai 2.8 juta pelancong telah hadir ke Terengganu sepanjang tahun ini (bermula Januari hingga Ogos 2023) , manakala statistik kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian dari tahun 2020 sehingga Ogos 2023 adalah seramai 431,656 pelancong. Sejumlah 96,298 pelancong asing turut direkodkan hadir kedua pulau tersebut pada tempoh sama.  
09 Nov 23
286
Terengganu, Jepun Jalin Kerjasama Pelaburan
Terengganu, Jepun Jalin Kerjasama Pelaburan
KUALA LUMPUR, 8 November - Terengganu menjalin kerjasama antara beberapa pelabur di Jepun melalui pertemuan dalam lawatan kerja di sini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata pihaknya telah bertemu dengan beberapa pelabur daripada Jepun yang bakal mendirikan kilang di Kemaman. “Kilang tersebut berfokuskan pada ‘Lithium-ion batteries’ dan komponen utama untuk ‘Electric Vehicle (EV)’. “Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Meiwa Corporation yang telah memilih Terengganu sebagai destinasi pelaburan.  “Kita mengharapkan pelaburan ini dapat direalisasikan dan insya-Allah pada pertengahan tahun depan akan dimaklumkan keputusannya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Nurkhuzaini, Meiwa Corporation telah ke Teluk Kalong iaitu lokasi kilang yang bakal dibina pada malam semalam. “Pada hari ini kami bertemu sekali lagi di Kuala Lumpur sebelum mereka berlepas balik ke Tokyo. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada EPIC, ECERDC dan MIDA yang banyak membantu bagi memudahkan dan merealiasasikn pelaburan ini di negeri Terengganu," katanya.  
08 Nov 23
1104
Bacaan Qunut Nazilah, Solat Hajat di Masjid Seluruh Terengganu
Bacaan Qunut Nazilah, Solat Hajat di Masjid Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 November – Semua Masjid di seluruh Terengganu diminta untuk mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah setiap kali lepas solat bermula Jumaat ini. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata arahan tersebut telah dimaklumkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Masjid di lapan daerah negeri ini.  Katanya, ia berikutan situasi terkini yang berlaku kepada umat Islam di Palestin. “Serta memohon kepada Allah SWT agar memberikan keselamatan kepada umat Islam di sana,” katanya dalam kenyataan pada hari ini. Pertempuran antara Hamas, pihak berkuasa di Semenanjung Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. Setakat ini, angka kematian penduduk Palestin akibat pengeboman Israel secara berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 10,328 orang.            
08 Nov 23
385
Sultan Terengganu Berkenan Kurnia Hadiah Pertandingan Sultan Mizan Underwater Photography
Sultan Terengganu Berkenan Kurnia Hadiah Pertandingan Sultan Mizan Underwater Photography
KUALA TERENGGANU, 8 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Award 2023. Majlis yang bermula pada jam 3 petang itu berlangsung di Dewan Santapan Diraja Istana Syarqiyyah, di sini semalam. Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Dalam majlis itu, Sultan Mizan bertitah, Terengganu sememangnya terkenal dengan adanya pulau-pulau yang indah antaranya Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah. “Semua lokasi itu mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menjadi tarikan pelancong asing mengunjungi Terengganu. “Oleh itu, Program Underwater Photography Award 2023 amat sesuai dianjurkan di negeri ini “Ia secara tidak langsung mempromosikan sektor pelancongan negeri di mata dunia,” titah baginda pada majlis berkenaan. Sultan Terengganu kemudiannya berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang pertandingan dan turut berkenan melawat ruangan pameran fotografi pertandingan tersebut. Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan. Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Puteri Daulath Raja berangkat dari majlis sekitar jam 5.00 petang.    
08 Nov 23
275
Banjir : MB Minta Rakyat Ambil Langkah Berjaga-jaga
Banjir : MB Minta Rakyat Ambil Langkah Berjaga-jaga
KUALA TERENGGANU, 8 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi bencana banjir. Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri bersama-sama agensi terlibat telah menggerakkan persiapan lebih awal hingga peringkat komuniti bagi tujuan tersebut. "Kami telah mendengar taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkaitan persiapan banjir. “Apa yang penting setiap kelompok masyarakat terutama rumah mereka yang berada di tepi sungai dan tempat yang sentiasa dinaiki banjir. “Mereka haruslah mengambil langkah berjaga-jaga dan keutamaan anak-anak mestilah sentiasa dalam pengetahuan ibu bapa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah semalam. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 dan sehingga Mac 2024. Katanya, sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.                
08 Nov 23
233
Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Diwartakan Januari 2024
Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Diwartakan Januari 2024
KUALA TERENGGANU, 8 November - Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 seperti perbomohan dan sihir akan diwartakan pada Januari 2024. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada masa ini pindaan yang diluluskan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu dalam proses untuk diwartakan. “Kita baru sahaja bermesyuarat di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pemerkasaan Syariah di mana untuk Negeri Terengganu alhamdulillah, kita mempunyai enakmen jenayah syariah yang merupakan enakmen ibu yang telah diluluskan dan digunapakai sejak tahun 2001. “Pada hari ini, kita telah membuat beberapa pindaan untuk diperkasakan enakmen tersebut, di mana pindaan-pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2022. Jadi ia masih lagi dalam proses untuk diwartakan dan akan digunapakai setelah melalui proses seterusnya dengan entiti yang lebih tinggi,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, JHEAT, MAIDAM, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Pejabat Penjara Negeri Terengganu. Mengulas lanjut katanya, pindaan tersebut yang pertamanya ialah melibatkan 17 peningkatan kadar hukuman. “Di mana dalam enakmen yang lalu (enakmen 2001), hukuman-hukuman itu telah ada tetapi tidak boleh menjangkau hukuman ‘356’ iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan. “Kesemua kesalahan-kesalahan takzir yang melibatkan unsur-unsur mempersendakan agama Islam, pemujaan, sihir dan seumpamanya kita tingkatkan semaksima mungkin. Maknanya, maksimum di situ ialah hukuman ‘356’ yang saya sebutkan tadi,” jelasnya. Tambah beliau, antara pindaannya juga dimasukkan seksyen-seksyen baharu dalam pindaan ini iaitu berkait dengan perbomohan dan sihir dikira sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman takzir. “Ketiganya, ialah pindaan terhadap peruntukan sedia ada,” ujarnya. Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memartabatkan syariah Islam di Negeri Terengganu ini mengikut kadar kemampuan yang dimiliki.  
08 Nov 23
311
SG4 Wujud Kerjasama Perkasa Kaum Wanita
SG4 Wujud Kerjasama Perkasa Kaum Wanita
KUALA TERENGGANU, 8 November - 'State-Government 4' (SG4) melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sedang melakukan perbincangan bagi menjalin kerjasama untuk memperkasakan kaum wanita. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, usaha itu bakal menaikkan martabat wanita ke mata dunia jika direalisasikan dengan baik. "Dalam perbincangan bersama negeri Kelantan, kami mengutarakan isu memperkasakan lagi wanita membabitkan di masa depan. "Sekarang ini dua buah negeri telah melancarkan Dasar Wanita iaitu negeri Terengganu dan Kelantan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program kunjung hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim di Mabna MBI Kompleks Kota Darul Naim, pada semalam. Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim dan Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu, Wan Hilmi.   Mengulas mengenai perbincangan itu, Sakinah berkata, kunjungan hormat itu juga adalah untuk saling bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang berkepentingan. "Hubungan dua buah negeri di antara Terengganu dan Kelantan yang bakal memberi manfaat bersama," ujar Sakinah lagi.
08 Nov 23
208
PAS Umum Calon PRK Kemaman 16 November
PAS Umum Calon PRK Kemaman 16 November
KUALA TERENGGANU, 8 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dijangka bakal diumumkan pada 16 November depan. Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu akan diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan dalam tempoh terdekat. Katanya, majlis pengumuman calon tersebut kemungkinan diadakan di Chukai, Kemaman. “Saya difahamkan, cadangan tarikh pengumuman calon ialah pada 16 November depan. “Apapun kita tunggu pengumuman rasmi dari Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atau kepimpinan PAS negeri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah semalam. Tambah Ahmad Samsuri, PN masih belum muktamadkan siapakah calon yang sesuai bertanding pada 2 Disember depan. Apabila ditanya sama ada adakah beliau calon yang bakal bertanding di PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat kepimpinan tertinggi parti. Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini. PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.  
08 Nov 23
213