lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu, Korea, China Bekerjasama Dalam Sektor 'Renewable Energy'
Terengganu, Korea, China Bekerjasama Dalam Sektor 'Renewable Energy'
KUALA TERENGGANU, 11 November – Terengganu menjalin kerjasama pelaburan melalui pertemuan kerajaan negeri bersama duta dan pelabur dari China dan Korea. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah bertemu dengan Duta Korea Selatan ke Malaysia H.E. Yeo Seung-bae pada Rabu. “Ia adalah perberbincangan lanjut mengenai potensi Terengganu membawa masuk pelabur Korea dalam bidang 'hydrogen energy', 'floating solar', pendidikan dan bahasa. “Ini juga adalah perbincangan kali kedua antara saya dan HE Duta Korea mengenai tajuk yang sama,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman telah mengadakan perbincangan bersama pelabur dari China pada Jumaat. Dalam perbincangan tersebut, beberapa potensi bidang yang mungkin dapat kita bekerjasama dengan pelabur ini. “Sepertimana yang telah disebut oleh Menteri Besar bahawa Terengganu akan memfokuskan dan memperkasakan dalam beberapa bidang. "Antaranya, pengeluaran Hydrogen Hijau, industri hiliran Silica dan pemerkasaan Infrastruktur Ekonomi Digital. “Ketiga-tiga bidang tersebut dipersetujui untuk diterokai dengan lebih mendalam. “Insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan mewujudkan persefahaman dan perancangan agar ianya berlaku pada awal tahun 2024 nanti,” ujarnya.  
12 Nov 23
347
Terengganu FC II Dinobat Juara Sulung Piala MFL
Terengganu FC II Dinobat Juara Sulung Piala MFL
KUALA LUMPUR, 11 November - Terengganu FC II muncul juara sulung Piala MFL apabila mengatasi Johor DT II dengan skor 1-0 pada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. Pada perlawanan akhir itu, jaringan tunggal pemain gantian, Muhammad Isa Raman pada minit ke-88 menggamatkan sorakan penyokong. Sebelum perlawanan, skuad Harimau Selatan dilihat memiliki kelebihan apabila tiga pemain dari skuad utamanya iaitu Oscar Aribas, Shane Lowry dan Endrick dos Santos membarisi kesebelasan utama pasukan. Manakala, Sang Penyu memanggil kembali Safwan Mazlan, Syahmi Zamri dan Ubaidillah Shamsul Fazili yang dipinjamkan ke skuad 'abang' sebelum ini bagi membantu pasukan mengimbangi kekurangan itu. Skuad kendalian Hairuddin Omar bermula garang seawal minit pertama menerusi Syahmi Zamri yang merembat deras umpanan Nur Azfar Fikri, menggegarkan sisi gawang. Seminit kemudian, sepakan sudut Nur Azfar menemui Jordan Mintah, tetapi tandukannya didakap kemas penjaga gol Johor DT II, Zulhilmi Sharani. Anak-anak buah Echeverria Mariano cuba mengatur serangan namun, beberapa percubaan ke kubu Terengganu FC II berjaya dipatahkan pertahanan. Keputusan kekal tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan jaringan. Pada minit ke-62, Mintah memiliki peluang terbaik dalam kotak penalti lawan, namun umpanannya tidak berjaya disudahkan Syahmi. Johor DT II berjaya menyerang menerusi Oscar dan Ramadhan Saifullah pada minit ke-67 dan ke-68, tetapi rembatan kedua-dua pemain itu tersasar. Peluang terbaik Harimau Selatan hadir pada minit ke-80 apabila sepakan percuma Oscar tepat menuju bucu gawang, namun penjaga gol, Zulhilmi Sharani cemerlang menafikannya. Ketika perlawanan seakan-akan berakhir seri, Isa Raman memecah kebuntuan jaringan dengan rembatan deras setelah pertahanan, Aysar Hadi gagal menampan kemas bola hantaran penjaga gol pada minit ke-88. Keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan dan menyaksikan Hairuddin berjaya meraih piala pertama sebagai jurulatih.
11 Nov 23
356
Sumber Nadir Bumi Malaysia bernilai lebih RM800 bilion
Sumber Nadir Bumi Malaysia bernilai lebih RM800 bilion
KUALA TERENGGANU, 11 November – Malaysia dilimpahi dengan kekayaan sumber asli baharu seperti sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang bernilai lebih RM800 bilion.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata kerajaan seharusnya bersungguh untuk memanfaatkan sumber REE sebagai satu sumber baharu untuk pacu ekonomi negara.  “Industri nadir bumi merupakan industri yang amat kritikal dan strategik dalam pembangunan tenaga bersih, tenaga hijau, kenderaan elektrik, industri pemangkin, pertahanan, elektronik dan lain-tain.  “Potensi dan kebolehan yang ada pada Lynas akan dapat membantu negara untuk menarik pelaburan yang berpotensi tinggi bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika bual bicara belanjawan : Rakyat Terbela? di Gombak TV baru-baru ini. Tambah Amzad, REE merupakan komponen terpenting dalam penghasilan semikonduktor berteknologi tinggi yang bahagian penting dalam penghasilan supercharger, superbattery dan supermagnet. Katanya, negara mempunyai ramai saintis jurutera yang terlatih dan memperoleh ilmu serta pengalaman dalam pemprosesan nadir bumi ekoran kehadiran industri nadir bumi di Lynas di Pahang. “Memajukan REE memerlukan kemasukan pelaburan yang besar yang memerlukan usaha meyakinkan pelabur tentang risiko pelaburan. “Saya melihat keputusan pendidikan yang telah dibuat oleh UPM, UKM dan MARDI berhubung dengan Condisoil sangat berpotensi untuk pertanian negara.  “SIRIM, MARDI, UPM dan UKM telah menguji Condisoil dan mendapati ia selamat digunakan di dalam tanah, air, tisu tumbuhan dan juga makanan ruji kita,” ujarnya.      
11 Nov 23
271
PAS Mesyuarat Esok Tentukan Calon PRK Kemaman
PAS Mesyuarat Esok Tentukan Calon PRK Kemaman
KEMAMAN, 11 November – Parti Islam Se-malaysia (PAS) akan mengadakan mesyuarat pada Ahad, 12 November bagi menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.  Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata mesyuarat tersebut bakal berlangsung di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur. Katanya, bagaimanapun pihaknya akan mengumumkan calon tersebut pada Khamis depan di Chukai. “Jentera kami juga telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK ini. “Kita juga yakin dapat menambah majoriti lebih tinggi hingga 30,000 undian berbanding yang dicapai sebanyak 27,000 undi sebelum ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ceramah jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P040 Kemaman bertempat di Padang Astaka, Chukai semalam. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru. Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini. PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.    
11 Nov 23
73
Kuala Nerus Juara Pertandingan Memasak Singgang Terengganu
Kuala Nerus Juara Pertandingan Memasak Singgang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kuala Nerus telah dinobatkan sebagai johan 'Pertandingan Juara Singgang Terengganu 2023'. Pertandingan kali pertama yang dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu itu menjadikan makanan tradisi turun temurun rakyat negeri ini sebagai menu untuk rakyat Terengganu beradu kemahiran dan kepakaran bagi menyediakan Lauk Singgang. Mewakili Kuala Nerus, Nor Mazura Abdul Malik berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertamanya berjaya menambat hari juri untuk muncul sebagai juara. "Terima kasih kepada Majlis Daerah Kuala Nerus yang memberikan kepercayaan kepada saya bersama dua orang adik saya, Muhammad Faizal Izuddin, Ahmad Faez Saharuddin serta seorang anak perempuan saya Nurul Najwa Rosfaizal bagi menyertai acara ini. "Tiada apa-apa resepi rahsia, cuma kami cuba pertahankan masakan ini dengan mengikut betul-betul resepi orang Terengganu punya, saya tekun mempelajari cara masakannya. "Mungkin perbezaan yang saya lakukan ialah hanya meletakkan bawang putih sahaja bersama asam keping, lengkuas dan lada, bagi menyertai pertandingan ini saya mengambil masa seminggu untuk melakukan persiapan dan persediaan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas diumumkan sebagai juara pada Pertandingan Juara Singgang, di Dataran Dato' Setia Wangsa Kompleks Muzium negeri, di sini, hari ini. Perasmiaan penutup dan penyampaian hadiah itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan nasional negeri, Maliaman Kassim. Acara pertandingan berkenaan telah diadili oleh bekas tukang masak Istana Syarqiyyah. Nazrul Hazel Mohd Nor (Chef Nazrul) sebagai ketua juri. Juara dari Kuala Nerus itu telah memenangi wang tunai sebanyak RM1,000, sementara itu Marang pula telah muncul sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM750, diikuti Hulu Terengganu di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM500. Manakala Kemaman, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Dungun menerima sagu hati dengan masing-masing menerima wang tunai RM300. Dalam pada itu, Maliaman berharap agar pertandingan itu tidak hanya sekadar mencari juara tetapi mampu untuk mengangkat martabat makanan tradisi itu ke tempat yang lebih tinggi dan tidak hanya dikenali oleh rakyat negeri ini. "Terima kasih kepada pihak muzium negeri kerana mengadakan pertandingan seumpama ini dalam usaha mengangkat tradisi dan warisan makanan negeri Terengganu," ujarnya.  
11 Nov 23
567
2,000 Sertai Terengganu Drawbrdge Half Marathon
2,000 Sertai Terengganu Drawbrdge Half Marathon
KUALA TERENGGANU, 11 November - Seramai 2,000 peserta menyertai Terengganu Drawbridge Half Marathon yang julung-julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Ariffin berkata, program yang pertama kali diadakan itu mendapat sambutan tidak hanya daripada rakyat Terengganu bahkan dari seluruh negara. Ujarnya, acara larian itu bermula pada jam 6.30 pagi di Dataran Batu Burok. "Membabitkan tiga kategori iaitu 21 kilometer (KM), 20 km dan 5 KM, bermula di sini melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu menuju ke Pantai Teluk Ketapang, acara larian ini tamat pada jam 9.00 pagi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang menyempurnakan perasmian penutup acara yang diadakan dengan penuh gilang gemilang itu. Dalam pada itu, Saiful Nizam berkata program berkenaan akan diadakan sebagai acara tahunan di masa akan datang. "Kita yakin akan menerima lebih ramai peserta, sebenarnya pada kali ini di awalnya kita menjangkakan yang akan menyertai seramai 1,000 orang, namun yang hadir adalah seramai 2,000 orang. "Ini merupakan satu kejayaan walaupun kali pertama ia dianjurkan, lebih menarik peserta dari luar Terengganu mereka bukan sahaja tertarik untuk menyertai acara ini semata-mata, dalam masa yang sama mereka membawa keluarga mereka untuk melancong dan menikmati keindahan negeri Terengganu," ujarnya lagi.  
11 Nov 23
655
34 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga Ayam
34 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga Ayam
KUALA TERENGGANU, 10 November- Sebanyak 34 notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjual ayam pada harga terlalu tinggi sejak penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuatkuasa 1 November lalu.  Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi berkaitan kenaikan harga tersebut tetapi maklumat berkaitan diperolehi hasil tinjauan daripada pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga. Menurut beliau, hasil pemantauan pihaknya mengesan sebahagian besar peniaga di pasar awam menjual ayam standard pada harga terlalu tinggi antara RM10.50 sehingga RM11 sekilogram (kg). "Kita telah membuat pemeriksaan dan telah keluarkan notis tunjuk sebab kepada peniaga untuk berikan maklumbalas kenapa peningkatan harga sedemikian. "Selepas kita mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis ada penurunan harga selepas itu, " ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, di Mydin Mall di sini, semalam.  Majlis pengumuman SHMMP Deepavali 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman. Katanya, tidak dinafikan terdapat paras harga terlalu tinggi bagi ayam standard di negeri ini dan ia membabitkan peniaga pasar basah yang mengalami masalah berkaitan kaedah perniagaan.  "Di pasaraya pula tidak ada masalah kerana dengan kaedah perniagaan yang digunapakai, mereka boleh tawarkan harga yang rendah berbanding penetapan harga yang dibuat sebelum ini. Justeru katanya, adalah penting untuk pengguna itu sendiri bersama-sama memainkan peranan bagi menurunkan harga mengikut permintaan pasaran.
10 Nov 23
352
Air Mata Gugur Saat Terima Hak Milik Tanah
Air Mata Gugur Saat Terima Hak Milik Tanah
SETIU, 10 November - Linangan air mata membasahi pipi penerima dokumen hak milik tanah, Rohaya Mat Salleh, 41, selepas cita-citanya untuk memiliki tanah tercapai. Ibu tunggal dari Kampung Bintang Bandar Permaisuri itu berkata, dia sudah lama berusaha untuk memiliki tanah tetapi baru sekarang memperolehnya daripada kerajaan negeri. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana mengurniakan tanah yang selama ini saya inginkan," jelasnya kepada media. Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi tapak rumah dan pertanian di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarong di sini semalam. Rohaya menangis dalam kegembiraan apabila hasrat memiliki tanah tercapai di bawah pemerintahan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut menyokong kenyataan Rohaya adalah, Safie Hussin, 43, buruh binaan dari Kampung Alor Serdang dan Muhammad Ridhwan Othman, 29, mekanik dari Kampung Alor Pasir Bintang masing-masing dari Bandar Permaisuri. Menurut Rohaya, dia berjanji akan berusaha membina rumah di atas tanah tersebut bagi menyahut seruan kerajaan agar tidak menjadikan tanah itu sebagai tanah terbiar Terdahulu, seramai 418 penduduk di daerah ini menerima dokumen hak milik RTB bagi tapak rumah dan pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu seramai 271 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Langkap (147). "Jumlah penerima tersebut antara yang terbesar diagih dalam satu kawasan (di Daerah Setiu)," katanya. Menurut beliau, banyak lagi urusan pemberian tanah belum selesai diagihkan kepada rakyat Terengganu. "Urusa tersebut akan diselesaikan berperingkat dan berterusan dari semasa ke semasa. "Kerajaan Terengganu yang memikul amanah akan menguruskan perkara ini dengan seadilnya dan harapan kerajaan kepada rakyat supaya tanah ini dimakmur dan dimajukan setelah mendapat geran hak milik, sesuai dengan syarat tanah yang diberikan," ujarnya. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, jika syarat tanah untuk pertanian, rakyat diharapkan supaya memajukan tanah itu untuk mendokong visi dan hala tuju kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan. "JIka syarat tanah untuk tapak rumah, bangunkanlah rumah di atas tanah berkenaan dengan kadar sederhana supaya tanah itu tidak dikategorikan sebagai tanah terbiar," ujarnya lagi.
10 Nov 23
570
Bangunan Runtuh : Pasukan Penyelamat Masih Mencari Mangsa Terakhir
Bangunan Runtuh : Pasukan Penyelamat Masih Mencari Mangsa Terakhir
BESUT, 9 November - Misi mencari mangsa terakhir dalam satu kejadian runtuhan bangunan di sebuah resort di Pulau Perhentian masih giat dijalankan sehingga kini oleh pasukan penyelamat. Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, operasi itu membabitkan 84 anggota. "Empat mangsa diselamatkan pagi tadi, manakala dua pekerja lelaki warga Indonesia berjaya diselamatkan petang ini. "Masing-masing berusia 33 dan 48 tahun dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Besut," katanya kepada media. Sementara itu ADUN Kuala Besut, Azbi Salleh turut hadir ke lokasi kejadian untuk memberikan sokongan dalam usaha mencari mangsa terakhir yang belum ditemui. "Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak berkuasa yang bertungkus lumus mencari mangsa terakhir. "Terutamanya Bomba, Polis dan Jabatan Pertahanan Malaysia (APM). Harapan saya semoga mangsa terakhir ini ditemui dalam keadaan selamat," ujar beliau. Terdahulu, laporan diterima pada jam 6 pagi dari orang awam yang memberitahu tentang runtuhan di resort tersebut yang melibatkan tujuh mangsa. Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa ketika penyelia sedang tidur, dia terdengar bunyi dentuman dari bangunan restoran yang runtuh.
09 Nov 23
1016
Daging Kambing, Kacang Dal Antara Lapan Barangan Harga Kawalan Deepavali
Daging Kambing, Kacang Dal Antara Lapan Barangan Harga Kawalan Deepavali
KUALA TERENGGANU, 9 November- Lapan barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, berkuat kuasa bermula 9 hingga 15 November ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, barangan lain ialah bawang merah besar import, bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.  “Tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan. “Selain daripada barang-barang di bawah harga kawalan maksimum sedia ada, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini.  “Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga,” ujarnya pada sidang media pengumuman SHMMP Deepavali 2023 di Mydin Mall di sini, hari ini. Katanya, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran seperti ekonomi global. “Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri. “SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujarnya. Tambah beliau, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my. “Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDN Terengganu akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” ujarnya.
09 Nov 23
336