lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Konsert Coldplay Patut Dibatalkan - Mufti Terengganu
Konsert Coldplay Patut Dibatalkan - Mufti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 November – Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November depan sepatutnya dibatalkan. Mufti Terengganu, Prof Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata ia berikutan situasi terkini yang berlaku kepada umat Islam di Palestin. Katanya, umat Islam perlu menzahirkan rasa simpati terhadap kesengsaraan serta kesedihan yang ditanggung oleh mereka di sana. “Konsert ini sepatutnya dibatalkan ketika isu memboikot sumbangan terhadap Israel kini sedang heboh diperkatakan. “Oleh itu, sumbangan kepada elemen-elemen negatif yang dikaitkan dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta yang berkaitan juga perlu diboikot sama," jelasnya Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis. Tambah Sabri, dalam tempoh kempen memboikot atau himpunan sebagai tanda solidariti kepada saudara Islam di Palestin. Beliau berkata, adalah perlu untuk umat Islam bagi meningkatkan lagi amal ibadah khususnya melibatkan tumpuan kita di masjid-masjid di negara ini. “Seharusnya kita umat Islam mengimarahkan masjid dan majlis ilmu untuk memperbaiki ibadah kita ke tahap yang lebih baik pada setiap hari dan tidak terhenti setakat itu sahaja. “Usaha boikot pun tidak seharusnya dibuat secara bermusim dan secara berterusan. "Ia bagi mengukuhkan lagi usaha kita ke arah membebaskan Palestin yang kini dibelenggu kezaliman,” ujarnya.                      
17 Nov 23
174
Razali Sedia Beri Keterangan Isu SPRM Dikawal Kerajaan
Razali Sedia Beri Keterangan Isu SPRM Dikawal Kerajaan
KEMAMAN, 17 November - Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris bersedia dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjawab isu berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikawal kerajaan semasa. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata pihaknya boleh membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah benar. "Saya bersedia dengan hujah-hujah yang mengiakan (membenarkan) apa yang saya kata. "Insya-Allah ibu pejabat polis daerah (IPD) Kemaman teleh telefon (menghubungi) saya dan bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk memastikan perjalanan siasatan akan berkeadaan lancar selancarnya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, semalam. Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan laporan berkenaan isu berkaitan Ketua Penerangan BERSATU itu telah dilaporkan kepada polis. Mengenai satu hantaran yang dibuat pada Rabu melalui aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin 11 yang memaparkan kenyataan Razali sewaktu pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 10 November lalu yang menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan semasa.    
17 Nov 23
146
Peluang Ahmad Samsuri Bawa Isu Rakyat Lebih Luas
Peluang Ahmad Samsuri Bawa Isu Rakyat Lebih Luas
KEMAMAN, 17 November - Peluang untuk membawa isu rakyat akan lebih meluas jika calon PAS bagi PRK Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman. Menteri Besar Terengganu itu berkata, pencalonan beliau di Parlimen itu tidak akan menjejaskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, sebaliknya menambah ruang untuknya mengangkat permasalahan rakyat. Katanya, prinsip yang dibawa dalam penampilan sulong sebagai ahli parlimen ialah memberikan khidmat terbaik termasuk dengan membawa permasalahan rakyat negeri dan negara ini ke peringkat  lebih tinggi. "Kita boleh membawa permasalahan Kemaman ke peringkat nasional dan sebagai Menteri Besar saya percaya bukan sekadar isu daerah ini sahaja boleh dibawa tetapi isu-isu berkaitan seluruh negeri Terengganu. "Jadi sudah tentulah peranannya ini besar serta sangat memberi impak dan manfaat kepada rakyat negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberi semasa sidang media, di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, Di Dewan Terbuka Arena Square, di sini, semalam. Tambah Ahmad Samsuri, sebelum ini di peringkat parlimen telah ada tiga Menteri Besar masing-masing dari negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, yang turut berperanan sebagai ahli parlimen. "Mereka masih dapat melaksanakan tugas dengan baik hatta di negeri yang dilihat sibuk sekalipun seperti Pulau Pinang dan Selangor dilihat mampu untuk menjalankan tugas dengan baik sebagai ahli parlimen dan juga menteri besar," ujarnya.
17 Nov 23
154
Menteri Besar Terengganu Calon Parlimen Kemaman
Menteri Besar Terengganu Calon Parlimen Kemaman
KEMAMAN, 16 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman. Nama calon parlimen itu telah diumumkan Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, malam ini. Pengumuman calon tersebut juga telah menamatkan teka-teki calon PAS bagi kerusi parlimen terbabit. Sebelum ini, beberapa nama besar diramalkan menjadi calon PAS termasuk Tan Sri Annuar Musa. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember  ini manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November. PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September, yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15. Pada PRU15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
16 Nov 23
808
Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah
Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah
KUALA NERUS, 16 November- Kerajaan negeri akan memperhebat program berbentuk penerangan di semua peringkat dalam usaha memberi kefahaman mengenai perundangan syariah kepada seluruh umat Islam di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya diterjemahkan melalui penganjuran program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang julung kali diadakan.  "Antara objektif wacana ini adalah untuk memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah semasa kepada masyarakat. "Selain mengajak umat Islam untuk bersatu dalam memberi sokongan dan bersolidariti dalam isu pencabaran undang-undang syariah yang sedang berlaku di Kelantan ketika ini, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang disempurnakan oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus di sini, hari ini. Menurutnya, negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) akan memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah dalam skala yang lebih besar selepas ini. "Cabaran yang berlaku terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah menggubal dan meluluskan enakmen jenayah syariah memberi implikasi yang besar kepada negeri yang lain. "Enakmen di Kelantan juga mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu dan apa sahaja yang berlaku nanti (keputusan Mahkamah Persekutuan) akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain khususnya di Terengganu," katanya. Pada program wacana tersebut, lebih 1,000 peserta terdiri dari penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir yang menampilkan tiga pembentang dalam mengupas isu cabaran terhadap undang-undang syariah yang berlaku di negara ini. Pembentang yang dijemput ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz;  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembangunan, Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud serta Peguam Bela dan Peguam Cara iaitu Sallehudin Harun. Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, solidariti pada hari ini akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak yang sentiasa berusaha mengganggu gugat undang-undang Islam di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya. "Program ini akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain dan kita mempertimbangkan penganjuran acara lebih besar seperti Munajat Perdana yang dilakukan kerajaan Negeri Kelantan," katanya.
16 Nov 23
203
750 Anggota APM Terengganu Sedia Hadapi Monsun Timur Laut
750 Anggota APM Terengganu Sedia Hadapi Monsun Timur Laut
HULU TERENGGANU, 16 November - Seramai 750 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga awal Mac 2023. Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, aset darat dan air membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta bot kini bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir. Pada MTL kali ini, kita menyediakan pelbagai aset termasuk kekuatan logistik membabitkan 15 buah ambulans, 63 buah bot pelbagai saiz dan lapan buah lori serta aset yang lain. "Selain itu, kita telah mengenal pasti antara 42 hingga 44 buah kampung yang berada di kawasan pantai di seluruh Terengganu dan mungkin terjejas sekiranya berlakunya air pasang besar dan hujan lebat. "Pihaknya juga akan menjalankan rondaan dan pemantauan selepas METMalaysia mengeluarkan amaran berlakunya hujan lebat akan melanda di negeri itu. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir di Residensi TNB di sini hari ini. Dalam masa sama, beliau menasihatkan seluruh masyarakat di Terengganu sentiasa peka dengan amaran cuaca dari semasa ke semasa dan apabila menerima amaran segera berpindah untuk mengelak sebarang risiko yang tidak diingini berlaku. Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan. Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan dilaporkan, berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Barat Sarawak.
16 Nov 23
137
Ajaran Mohib Khouli Difatwakan Sesat
Ajaran Mohib Khouli Difatwakan Sesat
KUALA TERENGGANU, 16 November - Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam negeri melalui Jawatankuasa Fatwa, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengeluarkan fatwa  bahawa ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat. Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali Ke-15 yang bersidang pada 30 Ogos lalu telah memutuskan bahawa ajaran itu berlaku percanggahan dengan tonggak akidah Islam, al- Asya'irah dan al-Matrudiyyah. "Ciri-ciri penyelewengan termasuklah mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu, oleh sebab itu jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya, Dia Maha Bekuasa menciptanya. Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam. "Kerana memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak dan kerana Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT mengkehendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya. "Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. Selain itu Sabri berkata, Mohib Khouli juga telah mendakwa pentakwilan ayat-ayat sifat Allah SWT yang diterima pakai oleh aliran ulama al-asya'irah dan al-Maturidiyyah seperti 'istiwa', 'wajh', 'yad' dan seumpanya adalah sesat sama kedudukan seperti ajaran muktazilah dan jahmiyyah yang sesat. Di samping itu juga katanya, ajaran Mohib Khouli yang turut mendakwa golongan al-asyairah adalah sama dengan golongan yahudi, jahmiyyah, muktazailah dan penyembah lembu adalah sangat menyimpang. "(Juga) mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah telah mati dalam keadaan kufur dan tidak sah solat di belakang imam yang memegang mazhab al-Asyairah, dengan perlu mengulangi solatnya dengan solat Zohor," katanya. Justeru itu ujar beliau, berdasarkan fatwa yang telah ditetapkan mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran berkenaan adalah haram serta didapati merupakan fahaman ekstremis yang boleh mengancam keselamatan negara. "Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat termasuk melalui penulisan atau penerbitan bahan bercetak," ujarnya. Mereka yang selama ini telah berpegang dan mempercayai ajaran sesat tersebut, menurut Mohd Sabri perlu segera bertaubat termasuk mereka yang menyebarkan atau mengamalkan dan pihak berautoriti berhak mengadakan sesi pemulihan untuk mereka. "Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah menghidandari diri daripada terlibat dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem," katanya.
16 Nov 23
2355
Khidmat Malaysia Siap Siaga Hadapi Banjir
Khidmat Malaysia Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 16 November - Badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu mengarahkan seluruh jentera dan agensi bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November lepas dan dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan. Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya sentiasa berwaspada dengan sebarang pemakluman yang dikeluarkan sebagai langkah persediaan termasuk menyantuni mangsa banjir dan menghulur bantuan, sama ada sumbangan barangan keperluan atau dalam kerja pembersihan. Beliau berkata, taburan hujan lebat luar biasa berlaku apabila Terengganu mula memasuki peralihan monsun timur laut (MTL) setiap tahun sehingga boleh menyebabkan kawasan rendah terutama yang berada di tepi sungai berisiko dilanda banjir. Katanya, Khidmat Malaysia Terengganu akan memantau dan berhubung bagi mengetahui keadaan serta keperluan semasa mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir. “Saya juga memberi komitmen yang kami di Terengganu akan membantu untuk proses pasca banjir termasuk membersihkan kediaman dan sebagainya. “Saya berharap pada tahun ini rakyat sudah bersedia kerana pelbagai ramalan terutamanya daripada Jabatan Meteorologi yang menjangkakan banjir  yang akan berlaku pada bulan November ini sehingga Mac 2024,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu turut menasihatkan agar anggota Khidmat Masyarakat sentiasa berhubung dengan Ketua Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum memulakan operasi semasa banjir bagi menjaga keselamatan masing-masing. Dalam masa sama, pihaknya bersama agensi kerajaan yang lain bersedia untuk memberikan bantuan kepada seluruh rakyat dalam menghadapi risiko banjir ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman nanti. MetMalaysia dalam satu kenyataan pada 6 November lepas menjangkakan MTL atau musim tengkujuh di Malaysia bermula pada Sabtu (11 Nov) lepas dan berterusan hingga Mac depan, dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.  
16 Nov 23
214
Abdul Hadi Menang Petisyen Marang, Tiada Unsur Rasuah
Abdul Hadi Menang Petisyen Marang, Tiada Unsur Rasuah
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerusi Ahli Parlimen Marang kekal menjadi milik Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sekali gus menafikan dakwaan BN yang membawa naratif wujudnya unsur sogokan untuk mempengaruhi undi. Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Mahkamah Rayuan petang ini secara sebulat suara menolak rayuan UMNO/BN tanpa perintah kos. Keputusan itu dicapai selepas Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan pihak-pihak selama lebih 3 jam awal hari ini. Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian secara sebulat suara. Serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyen pilihan raya bekas calon BN, Jasmira Othman. Pada prosiding itu, Jasmira diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Yusfarizal Yussoff berhujah bagi pihak Ahli Parlimen Marang itu. Calon BN itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyennya untuk membatalkan kemenangan Abdul Hadi bagi kawasan itu. Pada 27 Jun lalu, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai hakim pilihan raya memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Untuk rekod Abdul Hadi menang kerusi Parlimen Marang dengan majoriti lebih 41,000.
15 Nov 23
182
Tiga Raja Muda Berkenan Hadir Makan Malam Sidang Komander
Tiga Raja Muda Berkenan Hadir Makan Malam Sidang Komander
KUALA TERENGGANU, 15 November - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat ke Majlis Makan Malam Sempena Sidang Komander Askar Wataniah siri 34/2023, di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Amirul Karin Sallehuddin. Keberangkatan Baginda turut diiringi Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Timbalan Panglima Tentera Darat,  Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Nara Setia. Tengku Seri Temenggong Raja berkata, sidang tersebut merupakan forum yang bertanggungjawab sebagai penasihat kepada panglima tentera darat mengenai perihal pembangunan askar Wataniah.  “Saya berharap, agar sidang ke-34 yang diadakan di bumi Terengganu Darul Iman ini akan dapat mencapai objektif yang digariskan serta terus mendokong dasar pertananan negara yang telah menetapkan dua komponen di dalam Angkatan Tentera Malaysia merangkumi pasukan tetap dan pasukan simpanan bagi melengkapkan konsep angkatan menyeluruh ataupun ‘total force concept’,” ujarnya. Justeru itu, beliau berharap  penganjuran sidang itu akan memberi pendedahan kepada kesemua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta rakyat negeri Terengganu yang juga perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi mengukuhkan pertahanan dan keselamatan negara seperti mana yang telah digariskan di dalam konsep pertahanan menyeluruh.  
15 Nov 23
372