Artikel "Utama" Terkini
UMT, Penang Port Jalin Kerjasama Martabat Industri Maritim
KUALA TERENGGANU, 19 November- Universi Malaysia Terengganu (UMT) dan Penang Port Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan kecekapan bidang maritim dan pelabuhan.
Kolaborasi itu dilakukan hasil siri kunjungan daripada kedua-dua pihak bagi melihat potensi dan peluang serta fasiliti yang boleh dimanfaatkan secara bersama.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama yang dimeterai itu merupakan suatu pengiktirafan daripada pemain industri yang meletakkan kepercayaan kepada UMT selaku sebuah universiti peneraju dalam bidang marin dan sumber akuatik.
“Ini adalah komitmen UMT untuk membantu pihak industri dan negara amnya dalam memperkasakan pembangunan sektor industri maritim khususnya dalam penyediaan dan pembangunan sumber manusia yang tersedia dengan kemahiran teknikal yang tinggi yang diperlukan oleh sektor maritim negara.
“Sesuai dengan status universiti berfokus ilmu kelautan dan sumber akuatik, UMT telah dinamakan sebagai universiti peneraju bagi Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) bagi Kluster Maritim dan merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan graduan institusi pengajian tinggi tersedia dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja dalam sektor maritim negara," ujarnya ketika berucap di majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangusng di kampus UMT, di sini.
Majlis menandatangani perjanjian MoU itu menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Penang Port Sdn Bhd, Mohamed Shaffi Khatri Abdullah bagi mewakili agensi masing-masing menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian.
Katanya, selain mengutamakan akademik pelajar, UMT turut menggalas tanggungjawab dalam membantu memperkasakan pertumbuhan sektor maritim negara.
“Kita mempunyai kepakaran dalam bidang maritim seperti pengurusan maritim, pengurusan logistik, perundangan laut, bidang teknikal maritim serta senibina kapal.
“Sebagai sokongan kepada pembangunan industri logistik dan maritim negara, UMT juga telah berkerjasama dengan The Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia (CILT Malaysia) untuk menubuhkan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) di UMT," jelasnya.
Menurutnya, penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri (IcoE) Kluster Maritim di universiti itu bagi mendokong lima teras berkaitan industri maritim seperti pemerkasaan modal insan, pangkalan data maritim, jaringan industri, inisiatif perkongsian teknologi dan program endowmen.
Mengulas lanjut katanya, kewujudan MaLTraC-CILT yang berfungsi sebagai pusat latihan profesional dan bertauliah di kampus itu secara tidak langsung membuka peluang kepada UMT untuk menonjolkan kepakaran yang boleh menyumbang kepada bidang maritim melalui Program Data Kargo Nasional dan juga penawaran perkhidmatan untuk industri logistik dan pengangkutan negara melalui penyelidikan, latihan dan forum perbincangan di kalangan pakar akademik dan industri serta badan profesional dalam ekosistem yang kondusif.
19 Nov 23
226
Dr Sam Mahu Hantar Mesej Penting ke Parlimen
KEMAMAN, 19 November - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman medan untuk rakyat memilih wakil yang boleh membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.
Calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai fokus yang akan diberi keutamaan dalam membangunkan ekonomi daerah berkenaan.
“Antaranya adalah memastikan penggunaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, memperbesarkan pelabuhan Kemaman dan pelbagai industri yang akan masuk ke daerah ini.
"Perkara tersebut akan disusun dengan baik dan akan menjadikan Kemaman Sebuah tempat yang sangat berjaya maju,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyantuni masyarakat dan melawat Markaz Unit Daerah Mengundi (UDM) Chukai, Kemaman di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai perkara telah dicapai di daerah Kemaman ini.
Tambahnya lagi, Ahli Parlimen yang lalu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik yang telah menghantar mesej penting daripada Kemaman ke Dewan Rakyat.
“Perkata tersebut tidak dinafikan tinggal lagi aspek yang perlu ditambah baik.
“Di samping, perlu dilihat beberapa perkara yang sebelum ini dibuat keputusan di peringkat persekutuan untuk dilaksanakan di daerah Kemaman dan daerah-daerah lain.
“Namun, tidak dilaksanakan apabila bertukar kerajaan di peringkat Putrajaya baru-baru ini.
“Oleh sebab itu, perlu dibuat rombakan pimpinan di peringkat pusat serta kita mahu hantar mesej yang jelas di dewan rakyat,” ujarnya.
19 Nov 23
229
Undang-undang Syariah Cuba Dirobek Musuh
KUALA NERUS,19 November - Status undang-undang syariah berada di tahap membimbangkan apabila wujud usaha pihak tertentu yang cuba menggugat enakmen syariah di negeri dan negara ini.
Peguam Syariah, Wan Rohimi Wan Daud berkata, ada satu gerakan dikenali sebagai 'Stategic Litigation' yang berjuang puluhan tahun untuk merungkai sendi-sendi agama dan pelaksanaan syariah.
"Ada satu kumpulan yang melakukan perancangan yang berstrategik daripada awal 90-an untuk mencari kes-kes atau membina kes-kes yang boleh mematahkan atau merungkaikan sendi-sendi syariah dalam negara kita.
"Satu ketika dahulu kita boleh berbangga kerana negara akhirnya menerima perjuangan para pencinta pejuang undang-undang syariah dalam negara yang diketuai almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim yang meminda perlembagaan dengan memasukkan perkara 1A kepada perkara 121 perlembagaan persekutuan untuk memberikan bidang kuasa eksklusif kepada mahkamah syariah tanpa campurtangan mahkamah sivil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus baru-baru ini.
Turut menjadi panel dalam wacana terbabit, Pensyarah Undang-undang UIAM, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dan Peguam Bela dan Peguam Cara, Sallehudin Harun.
Sementara itu, seorang peserta wacana tersebut, Ahmad Rozi Sakiman berkata seluruh masyarakat, khususnya umat Islam dalam negara ini perlu bangkit mempertahankan undang-undang Islam.
"Kita perlu mengambil kefahaman dan kecaknaan terhadap setiap isu serta perihal berkaitan Perundangan Syariah, kesan-kesan dan implikasinya terutamanya kepada umat Islam.
"Perbicaraan kes cabaran Nik Elin di Mahkamah Persekutuan pada 20 November (Isnin) nanti secara tidak langsung akan memberi impak kepada keutuhan Perundangan Syariah di negeri Terengganu ini khususnya, dan di seluruh negara secara umumnya.
"Marilah seluruh umat Islam di seluruh pelusuk Malaysia, bersama kita hadir berhimpun di Pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya pada pagi 20 November nanti (esok), sebagai tanda solidariti kita umat Islam, mempertahankan pelaksanaan Perundangan Syariah
di atas tanah air kita ini," ujarnya lagi
19 Nov 23
184
Terengganu Pandang Serius Isu Individu Cabar Enakmen Syariah
Oleh : Pak Abbas
KUALA NERUS, 18 November - Kerajaan Negeri memandang serius isu berkaitan individu yang mencabar Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) negeri Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata jika diperhalusi sebenarnya terdapat beberapa peruntukan dalam enakmen Kanun Syariah Negeri Terengganu hampir sama dengan peruntukan yang dicabar.
“Justeru, sedikit sebanyak, keputusan kepada kes itu akan memberi impak atau kesan kepada Perundangan Syariah di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus pada Khamis, 16 November.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Dr Khalil berkata ia bertujuan untuk mengajak seluruh umat Islam agar bersama-sama mempertahankan hak berkaitan Undang-Undang Syariah di Malaysia.
“Di samping, menunjukkan kesatuan umat Islam dalam menanggani isu-isu yang timbul berkaitan kes Enakmen Syariah di Malaysia,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).
Selain itu, memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS yabg juga Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nik Elin Zurina, ia sekali gus akan bermakna semua enakmen jenayah syariah di 14 negeri dianggap batal.
“Ini adalah isu umat Islam yang cukup besar dan ia boleh dianggap 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana menyentuh isu agama,” katanya.
18 Nov 23
207
Terengganu, Kelantan Dijangka Banjir Mulai Esok - JPS
KUALA TERENGGANU, 18 November - Banjir diramal melanda beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan mulai awal pagi esok, susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil simulasi model ramalan banjir, JPS meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di dua daerah di Terengganu termasuk Besut iaitu di kawasan-kawasan sekitar Kampung (Kg) La, Kg Seberang La dan Kg Pengkalan Nangka, selain Setiu (kawasan sekitar Kg Che Mohid), sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di kawasan terbabit.
"Di Kelantan pula, kejadian banjir diramal boleh berlaku di beberapa kawasan di Tanah Merah dan Pasir Mas.
"Di Tanah merah, kawasan yang diramal dilanda banjir termasuk kawasan-kawasan sekitar Kg Kajang, Kg Nibong dan Kg Air Bujing.
"Di Pasir Mas pula, kawasan sekitar Kg Kubang Rambutan; Kg Bagus; Kg Degung; Kg Limau Purut; Kg Pengkalan Telok; Kg Rasal; Kg Tersang; Kg Lubok Gong; Pekan Rantau Panjang; Kg Gelang Mas dan Kg Kalor," katanya menurut kenyataan itu.
PRABN turut memaklumkan, kejadian banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," katanya.- BERITA HARIAN
18 Nov 23
971
Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam
KEMAMAN, 18 November- Isu tempatan dan nasional menjadi fokus calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam membentuk manifesto yang mahu ditawarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS akan perkukuh dan perkemaskan segala kerja kebajikan untuk rakyat.
"Isu tempatan dan isu nasional akan menjadi fokus kita dan saya percaya PAS mampu untuk menggerakkan isu tempatan mahupun isu nasional di Kemaman ini.
"Urusan banjir contohnya, kita tidak tunggu pilihanraya, sejak beberapa bulan lepas kita telah adakan simulasi, perbincangan, libat urus bersama dengan JPKK dan sebagainya, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kemaman di Pusat Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.
Katanya, isu tempatan meliputi urusan-urusan semasa yang diuruskan oleh pihak kerajaan negeri bersama ahli-ahli yang berhormat di kawasan masing-masing.
Sementara itu katanya, PAS juga akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU-15 lalu.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
18 Nov 23
210
PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah
KEMAMAN, 18 November- Pentas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kini bermula membuka tirai apabila proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.
PAS yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman diwakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.
Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen berkenaan yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata beliau mewakili rakyat Kemaman akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada PAS.
"Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk kekalkan kemenangan)... insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 2 Disember nanti.
"Saya yakin dan percaya Dr Sam akan menang dengan bergaya dan capai sasaran 30 ribu majoriti iaitu lebih besar dari PRU15, ketika penyandangnya, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi pada ketika itu.
"Ia ditambah dengan majoriti yang PAS perolehi ketika PRN baru-baru yang mana keempat-empat DUN juga menang dengan bergaya," ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
18 Nov 23
176
Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi
KEMAMAN, 18 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu meletakkan jawatannya setelah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi malah Menteri Besar juga boleh memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama.
Katanya, beliau sendiri pernah menjadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Marang) iaitu pembangkang (1999).
"Ada beberapa Menteri Besar yang menjadi ahli Parlimen seperti Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pulau Pinang (Chow Kon Yeow).
"Tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan. (Saya percaya) kita akan lihat perubahan politik akan berlaku.
"Kita pilih Ahmad Samsuri kerana nak menambahkan kekuatan Perikatan Nasional. Insya-Allah, parti akan berusaha mendapat majoriti lebih besar lagi berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Proses Penamaan Calon Bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama di Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri secara berseloroh menyifatkan kenyataan Menteri Undang-Undang itu tidak berasas.
"Mungkin (Datuk Seri) Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu.
"Saya percaya dapat mengurus dan mentadbir negeri dengan baik dan membawa suara rakyat ke Dewan negara jika diberi peluang," katanya.
Semalam, Azalina dalam satu program berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu manabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar dan mendesaknya meletakkan jawatan tersebut.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, PAS juga dilihat ketandusan pemimpin apabila mencalonkan Ahmad Samsuri untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK tersebut.
18 Nov 23
390
Pertembungan Dua Penjuru di PRK Kemaman
KEMAMAN, 18 November- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Perikatan Nasional (PAS-PN).
Manakala bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mewakili parti Barisan Nasional (BN).
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini pada jam 10.15 pagi ini.
Ahmad Farhan memaklumkan Ahmad Samsuri, 53, yang diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menyerahkan borang pencalonan jam 9. 04 pagi.
Diikuti Raja Mohamed Afandi, 66, empat minit kemudian dengan diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.
Sebaik proses pencalonan selesai pagi ini, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu meliputi Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi.
18 Nov 23
217
Selawat Dan Takbir Iringi Dr Ahmad Samsuri
KEMAMAN, 18 November - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon PAS-Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, sempena hari penamaan calon di sini pada Sabtu.
Beliau tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, dekat sini, jam 8.30 pagi ditemani pimpinan tertinggi parti dan lebih 3,000 penyokong.
Turut kelihatan, beberapa pemimpin PN, antaranya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Difahamkan kedua-dua penyokong hadir seawal jam 6.30 lagi lagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba tiba kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.
Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
PRK Parlimen bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan diikuti kempen yang berlangsung sehingga proses pengundian pada 2 Disember ini.
Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
18 Nov 23
402