Artikel "Utama" Terkini
SRIDI, SMIDI Tawaran Baharu Pendidikan
MARANG, 22 November - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam (SMIDI) merupakan tawaran baharu supaya masyarakat mempunyai pilihan sama ada belajar di sekolah arus perdana atau sekolah kerajaan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata ekolah berteraskan agama yang dibina kerajaan Terengganu itu turut mengajar mata pelajaran Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
"kedua-dua jenis sekolah berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk menjadi pilihan rakyat negeri Terengganu yang berkembang dari peringkat pra sekolah dan akan berlanjutan ke peringkat universiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Wanita Cakna dan Cintakan Negara bertajuk Anak Muda Sayang Terengganu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Wan Nur Sakinah Din, Timbalan Pengerusi NGO HANEES, Sumayyah Zakaria, Ahli Panel Forum, Dr Hamidah Harun.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil seterusnya berkata anak muda hari ini perlu berdisiplin, pandai membawa diri, cerdik dan tidak lagi bergantung pada ibu dan bapa.
"Siapa yang ada disiplin, pengetahuan, pandai komunikasi, akan berjaya tapi yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut arus yang berlaku akhirnya terjebak dengan perkara yang tidak sepatutnya," ujar beliau.
Justeru beliau menasihatkan supaya anak muda hari ini membuang keseronokan bersifat sementara dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran di samping tidak membiarkan agama dihina sesuka hati.
22 Nov 23
273
Warga Emas Lega 'Banjir Tak Jadi'
BESUT, 22 November - Sepasang warga emas dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, menarik nafas lega apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan kawasan rumah mereka terjejas banjir akibat hujan lebat yang berterusan.
Fatimah Muhammad, 78, menzahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Azbi.
"Syukur keadaan kembali seperti biasa, terima kasih kepada semua yang membantu.
"Beberapa hari hujan turun tanpa henti hujan, saya tidak dapat makan dan tidur dengan tenang kerana risau banjir akan melanda," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Sementara itu, menurut Azbi, kawasan Kampung Tok Saboh mengalami kenaikan air disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna.
"Oleh sebab itu saya menyewa jentolak untuk menggali parit dan membuka saluran air baru.
"Hasilnya, air surut dalam masa satu jam selepas tindakan tersebut diambil dan kini kawasan perumahan tersebut dilindungi daripada bahaya banjir.
"Alhamdulillah, air tidak akan memasuki rumah-rumah di sini. Saya akan terus berusaha untuk membantu dan mengurangkan risiko banjir di kawasan ini," kata Azbi Salleh.
Beliau juga memberi nasihat kepada semua warga Kuala Besut, khususnya yang mungkin terjejas banjir, agar bersedia untuk berpindah jika menerima arahan dari pihak berkuasa.
"Pentingnya kerjasama untuk berpindah lebih awal demi mengelakkan kemungkinan kemalangan yang tidak diingini," katanya.
22 Nov 23
291
Satu Sungai Lepasi Paras Bahaya, 3 Peringkat Waspada
KUALA TERENGGANU, 22 November - Satu sungai di Terengganu melepasi paras bahaya manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada susulan hujan berterusan sejak tiga hari lepas.
Ia membabitkan paras air sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus merekodkan bacaan 3.93 meter (m) berbanding paras normal 1.5 m.
Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my sehingga 9.00 pagi ini, tiga sungai di tiga daerah direkodkan melepasi paras waspada iaitu Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman.
Sehingga jam 10.00 pagi ini, sebanyak 31 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di lima daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah pada malam tadi yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.
22 Nov 23
263
Rakyat Tidak Setuju Tindakan BN Fail Petisyen - Kajian
KEMAMAN, 21 November - Hasil tinjauan mendapati sebanyak 61 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen membatalkan kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Kemaman yang lepas.
Kajian yang dilaksanakan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) itu turut mendapati 53 peratus responden menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya terhadap keputusan petisyen adalah tidak konsisten.
Jelas TSIS, 52 peratus responden pula beranggapan bahawa keputusan tersebut adalah didorong oleh motif politik.
"Manakala, majoriti 58 peratus responden juga berpendirian bahawa pemberian bantuan tunai oleh Kerajaan Negeri kepada beberapa kumpulan penerima golongan rentan tidak menjadi masalah.
"Antaranya, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang dikaitkan dalam dakwaan-dakwaan Pempetisyen adalah tidak menyalahi undang-undang atau ajaran agama.
"Hasil kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 29 Oktober hingga 9 November," ujar TSIS menurut kenyataan media pada hari ini.
Tambah TSIS, kajian itu dijalankan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu mengisytiharkan bahawa PRU Parlimen Kemaman (P.040) yang diadakan pada 19 November 2021 adalah tidak sah dan terbatal.
"Parti dari BN mendakwa berlakunya perbuatan penyogokan dan rasuah, pihak TSIS telah melaksanakan kajian bagi meninjau persepsi rakyat terhadap keputusan ini.
"Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temu bual secara dalam talian dan panggilan telefon serta secara tatap muka ini adalah melibatkan seramai 1,356 responden.
"Ia terdiri daripada 1,279 orang Melayu, 71 orang Cina dan 6 orang India; 686 orang lelaki dan 670 orang wanita, iaitu bersifat representatif kepada komposisi sebenar pengundi bagi kawasan pilihan raya ini.
"Mengenai pilihan raya yang akan diadakan semula bagi Parlimen Kemaman (P.040) pada 2 Disember ini, sejumlah besar iaitu 74 peratus responden mengatakan bahawa mereka akan keluar mengundi," jelasnya.
Justeru tegas TSIS, suatu undang-undang atau peraturan atau garis panduan yang jelas mengenai pemberian semasa pilihan raya ini perlu diperkenalkan dan dikuatkuasakan.
22 Nov 23
269
Mangsa Banjir Terengganu Cecah 4,476 Orang
KUALA TERENGGANU, 21 November – Mangsa banjir terus meningkat sebanyak 4,476 orang yang melibatkan 1,170 keluarga di Terengganu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari enam daerah.
Katanya, daerah tersebut melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Dungun dan Marang.
Setakat jam 10.30 malam, sebanyak 31 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka keenam-enam daerah berkenaan.
Besut dan Dungun merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan jumlah mangsa direkodkan sebanyak 637 dan 23 orang daripada 148 dan lima keluarga.
Kesemua mangsa tersebut ditempatkan di lima PPS dalam daerah tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,486 mangsa daripada 388 keluarga yang berada di 13 PPS.
Manakala, Marang dan Kuala Terengganu merekodkan seramai 1,227 dan 1,095 mangsa daripada 307 dan 319 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.
Tambahnya, Setiu pula menempatkan seramai lapan penghuni daripada tiga keluarga dan dibuka satu PPS dalam daerah berkenaan.
Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
21 Nov 23
135
Utamakan Keselamatan, Elak Episod Malang Tidak Berbau
Oleh : Pak Abbas
KUALA TERENGGANU, 21 November - Rakyat diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika berlakunya banjir yang menyebabkan mangsa terpaksa berpindah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, golongan terjejas banjir perlu mengutamakan diri serta keluarga terlebih dahulu sebelum menyelamatkan harta benda.
Kata beliau, dalam masa yang sama pihaknya sentiasa menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir.
"Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk sendiri menyediakan beberapa bot.
"Ia bertujuan bagi memindahkan penduduk yang kediamannya terjejas banjir ke tempat yang lebih selamat seperti di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata demikian ketika tinjauan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di sini hari ini.
Tambah Dr Khalil, setakat pagi tadi Daerah Kuala Terengganu dan DUN Batu Buruk mengalami banjir yang teruk.
"Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering menempatkan seramai 156 mangsa banjir sebanyak PPS dibuka.
"Apabila mangsa banjir melebihi jumlah fasiliti yang disediakan, maka akan dipindahkan ke tempat yang kedua," ujarnya.
Beliau berkata, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang seterusnya ke PPS ketiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Tok Nasek.
21 Nov 23
249
Bah di Terengganu Makin Buruk, 3,374 Mangsa Banjir di Lima Daerah
KUALA TERENGGANU, 21 November - Hujan berterusan selama dua hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di lima daerah terus meningkat di Terengganu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri memaklumkan sejumlah 3,374 orang berada di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang hari ini.
Kuala Nerus masih menjadi daerah mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,297 orang daripada 337 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS, termasuk di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan SK Bukit Nanas.
Di Kuala Terengganu pula, seramai 851 mangsa daripada 252 keluarga berlindung di empat PPS manakala di Setiu, dua PPS dibuka menempatkan 26 mangsa daripada dua keluarga.
Manakala di Marang, empat PPS yang menempatkan 826 mangsa daripada 32 keluarga.
Sementara itu, Besut merupakan daerah terbaharu dilanda banjir, dengan satu PPS dibuka menempatkan 374 mangsa daripada 84 keluarga.
21 Nov 23
853
Jumlah Mangsa Banjir Seberang Takir Meningkat
KUALA NERUS, 21 November - Berikutan hujan lebat yang berterusan, jumlah mangsa banjir di Seberang Takir terus meningkat.
Pengerusi JPKK Pak Tijah, Zainal Lasim memaklumkan sejumlah 300 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Tok Jembal setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 154 orang semalam manakala di beberapa PPS lain juga berlaku pertambahan.
"Waspada dengan keadaan cuaca monsun timur laut yang dan percaya keadaan yang lebih teruk berlaku jika 'trend' hujan ini berterusan.
"Ketika ini pihak Tenaga Nasional Berhad tidak memutuskan bekalan kerana pencawang elektrik berada di tempat tinggi namun sentiasa berjaga-jaga dengan segala kemungkinan," ujarnya ketika ditemui di PPS SK Tok Jembal selepas Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi PPS tersebut hari ini.
Seorang mangsa banjir, Rohani Abu Bakar ketika ditemui berkata, persediaan menghadapi banjir tahun ini lebih awal dari tahun-tahun lepas dan tahun ini adalah paling teruk.
"Tidak sangka, dulu taman ini sekitar 80 buah rumah sahaja dimasuki air tetapi banjir kali hampir 200 buah terlibat dan tidak dapat menggunakan bilik air serta tandas," katanya.
Sementara itu Guru Besar SK Teluk Ketapang, Rosita Ahmad berkata,murid-murid yang bersekolah akan ditempatkan sementara di dalam makmal bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
"PPS di SK ini juga berlaku pertambahan iaitu 40 orang berbanding 16 orang semalam," tambahnya.
21 Nov 23
621
MB Terengganu Puji Petugas, Kerjasama Agensi Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 21 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memuji kerjasama agensi dalam menghadapi banjir di negeri itu.
"Saya rasa pengurusan terbaik, semua agensi dan individu yang bekerja menangani bencana ini melaksanakan tugas dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam kunjungannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini.
Tambahnya, situasi itu dapat dilihat dalam kunjungannya ke PPS SK. Bukit Gasing awal pagi tadi yang memperlihatkankerjasama dari semua pihak berjalan lancar.
"Cuma, kita hendak pastikan bekalan terutama bahan makanan dalam keadaan boleh digunakan.
"Saya rasa, bekalan telah dihantar lebih awal oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ia tiada masalah (sekiranya banjir berlarutan)," ujarnya.
Dalam pada itu, calon PAS bagi Pilihan Raya Kawasan (PRK) Kemaman itu menegaskan proses kempen yang dijalankan tidak akan mengganggu tugasan dalam menguruskan bencana banjir di negeri itu.
"Tiada, tiada (timbul isu), insya-Allah.
"Dari segi kempen, tetap akan dijalankan melalui pelbagai cara.
"Jentera parti melaksanakan tugas dengan baik sekali. Mereka telah merancang dua minggu sebelum penamaan calon dan bekerja dengan baik," katanya.
21 Nov 23
158
UniSZA Pindahkan Pelajar Yang Terlibat Banjir ke Asrama
KUALA NERUS, 21 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak sedang giat memindahkan pelajar ke asrama selepas rumah sewa mereka dinaiki air.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar terbabit ke asrama selepas kediaman mereka dimasuki air.
“Syukur Alhamdulillah, setakat ini proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan.
"Petugas banjir UniSZA membawa 49 pelajar yang menyewa di sekitar Kuala Nerus ke asrama pelajar kampus di Gong Badak selepas dihubungi mangsa yang terlibat dan kita sentiasa bersedia untuk membantu dan menjaga keselamatan pelajar”, katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengangkutan bagi warga UniSZA yang terjejas.
Untuk sebarang urusan berkaitan hal ehwal banjir, sila hubungi Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan mengikut kampus di Talian 24 Jam iaitu Kampus Gong Badak (09 668 7750) dan Kampus Besut (096993222 - Pos Pengawal) dan (01158883389 - Bilik Gerakan).
21 Nov 23
244