lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rakyat Diminta Terus Bersedia Sebarang Kemungkinan Banjir
Rakyat Diminta Terus Bersedia Sebarang Kemungkinan Banjir
BESUT, 26 November – Rakyat dinasihatkan agar sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata terutamanya kepada mereka yang berada di kawasan yang berisiko banjir. Katanya, ia berikutan ramalan cuaca mengatakan bahawa hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu sehingga Isnin. “Rakyat juga diminta untuk mendengar dan patuh arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. “Sekiranya diminta untuk berpindah maka hendaklah disegerakan supaya mengelakkan berlaku perkara yang lebih musibah,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Terengganu bertempat di Kota Putra Square, Besut di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Muhamad Noh Abdullah. Tambah Maliaman, beliau mendoakan agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku dan keadaan cuaca di Terengganu bertambah baik. Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Terengganu sehingga Isnin ini (27 November). Kenyataan itu memaklumkan, Terengganu melibatkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang. MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan tahap buruk bagi tempoh sama di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.                    
26 Nov 23
63
Ikan Tapah Bersaiz Mega Bukan Petanda Berlaku Bah Besar Pada Tahun Ini
Ikan Tapah Bersaiz Mega Bukan Petanda Berlaku Bah Besar Pada Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 26 November - Kemunculan beberapa ekor ikan tapah yang bersaiz melebihi 70 kilogram baru-baru ini bukalah satu-satunya petunjuk terhadap banjir besar akan berlaku di Terengganu pada tahun ini. Ikan berkenaan telah ditangkap oleh penduduk yang menahan pukat di Sekitar Kawasan di Kampung Kuala Belara sebagaimana yang tular di media sosial pada minggu lalu. Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universtiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Amiruddin Ahmad berkata, perkara berkenaan tidak perlu mendatangkan perasaan panik di kalangan orang awam kerana spesies ikan termasuk jenis berkenaan yang bersaiz besar masih wujud di sungai-sungai utama. Ujarnya, ia jarang ditemui kerana jumlahnya semakin berkurangan menjadikan ia dianggap perkara luar biasa. "Di Malaysia, masih belum ada kajian mengenai proses migrasi ikan terutama induk yang bersaiz besar ini ke dataran banjir (foodplain) dan sungai-sungai yang lebih kecil untuk tujuan mengawan dan bertelur. "Namun dari sudut biologi dan habitat, ikan bersaiz mega kebiasaannya akan mencari dataran banjir atau sungai-sungai yang ditenggelami banjir untuk berterlur," katanya ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Dr Amiruddin berkata setakat ini tiada dapatan sains yang boleh mengaitkan penemuan ikan besar menjadi petanda akan berlakunya banjir besar. "Setakat ini kita di Malaysia, masih tiada kajian mengenai ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan, pengalaman, ramalan atau firasat yang boleh dikaitkan kebenarannya dengan Sains. "Namun tidak salah untuk kita semua, sentiasa berwaspada dengan jangkaan besar kerana dalam teknologi dunia yang semakin canggih ini, banyak maklumat berkaitan perubahan cuaca boleh diperoleh agar kita semua selamat dari perkara tidak diingini. "Cuma janganlah terlalu taksub dengan kiasan-kiasan tular seperti ini," ujarnya lagi.
26 Nov 23
222
Lebih 500 peserta Sertai Bulan Keluarga Kebangsaan Terengganu
Lebih 500 peserta Sertai Bulan Keluarga Kebangsaan Terengganu
BESUT, 26 November – Seramai lebih 500 peserta mengambil bahagian dalam program Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Besut di sini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata bulan November telah diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan pada 25 Jun 2012.  Katanya, November adalah bulan untuk kita bersatu hati dengan satu inspirasi demi keluarga besar Malaysia yang kita sayangi. “Justeru, program anjuran bersama kerajan negeri dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bertujuan bagi memelihara dan memperkukuhkan kesejahteraan keluarga sehingga berterusan. “Di samping, bagi menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri mengiktiraf institusi keluarga sebagai tunjang kepada kestabilan sosial di negara kita,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Terengganu bertempat di Kota Putra Square, Besut di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah. Tambah Maliaman, beberapa pameran agensi yang terlibat dan pertandingan juga disediakan di peringkat kana-kanak sehingga dewasa dengan matlamat bagi mengeratkan lagi institusi pembinaan keluarga. Beliau berkata, jutaan terima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan. “Saya dimaklumkan juga beberapa negeri turut sama menyambut dan melaksanakan Sambutan ini secara serentak di negeri Pahang, Johor dan Melaka. "Kerajaan Negeri melalui Portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu telah mengangkat cadangan dalam pelbagai bentuk pelaksaanaan program pengukuhan institusi keluarga. "Antaranya inisiatif pengukuhan institusi keluarga yang dirancang adalah Karnival Keluargaku Syurgaku (K-Jannati), Kem Keibubapaan Hebat (KEMAH 2024) dan pelbagai lagi program yang bakal diadakan. "Saya berharap agar semua rakyat dapat mengambil peluang dan menyertai program pengukuhan institusi keluarga yang dilaksanakan oleh semua jabatan memberi perkhidmatan berkaitan kekeluargaan, kebajikan, perpaduan kaum dan pembangunan wanita," ujarnya.    
26 Nov 23
208
PAS Lapor Polis BN Salah Guna Agensi Kerajaan
PAS Lapor Polis BN Salah Guna Agensi Kerajaan
KEMAMAN, 26 November - PAS akan membuat laporan polis berhubung beberapa perkara berkait kesalahan dilakukan BN sepanjang kempen PRK Kemaman. Ahli Dewan Undangan Negeri Paka yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, pihaknya mendapati BN menjalankan aktiviti kempen dengan menyalahi peraturan pilihan raya membabitkan penggunaan jentera dan agensi kerajaan. "Ia melibatkan program Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek bersama warga Felda yang berlangsung dalam tempoh kempen," katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS di sini semalam. Ujar Satiful lagi, terdapat juga Jualan Rahmah di Kemaman bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh PRK Kemaman. “Ini sama seperti Jualan Rahmah di DUN Pelangai yang berhadapan PRK pada September lepas. “Kali ini ia berlangsung di empat dewan undangan negeri (DUN) dalam Parlimen Kemaman,” jelasnya.
25 Nov 23
162
Terengganu Rebah Dilanggar Sang Badak
Terengganu Rebah Dilanggar Sang Badak
KUALA NERUS, 24 November- Terengganu FC mempamerkan aksi longlai dalam cuaca hujan apabila tewas 0-4 ditangan Sabah pada perlawanan Liga Super Malaysia di halaman sendiri, malam tadi. Pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner sejak awal sudah menjangkakan aksi sukar berikutan terpaksa melupakan khidmat empat pertahanan utamanya yang mengalami kecederaan. Membariskan tiga tonggak pertahanan menentang pasukan keempat liga itu, Terengganu FC bolos seawal minit keenam hasil jaringan Ramon Machado yang menyambar bola lintang Rizal Ghazali dengan sepakan menarik. Tuan rumah cuba bangkit menerusi kapten pasukan, Habib Haroon tetapi rembatan dari luar kotak penalti itu melangkaui pintu gol lawan. Sang Badak hampir menjarakkan kedudukan pada minit ke-11, namun rembatan Park Teasu diselamatkan tiang gol. Bagaimanapun, Sabah berjaya menambah jaringan hasil gerakan solo pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani sebelum beliau melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-29. Sepuluh minit kemudian, Sang Badak terus mengganas apabila Miguel Cifuentes menyudahkan umpanan Rizal untuk gol ketiga pelawat. Terengganu FC nyaris bolos lagi pada minit ke-43, tetapi Suhaimi cemerlang menafikan peluang satu lawan satu berdepan Ramon Machado. Sabah FC mendahului tiga gol sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, pelawat sekali lagi menunjukkan taringnya apabila Jafri Chew yang menggantikan Saddil menjaringkan gol keempat perlawanan pada minit ke-47. Tuan rumah cuba bangkit dengan menggandakan asakan. Pada minit ke-73, pemain muda meningkat naik, Muslihin Atiq cuba memecahkan kebuntuan pasukan, namun rembatannya ditampan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat. Keputusan kekal tanpa jaringan tambahan sehingga wisel penamat dibunyikan. Selepas ini, Terengganu FC akan berkunjung ke Australia menentang Central Coast Mariners FC dalam saingan Piala AFC. Kredit foto: Terengganu FC   
24 Nov 23
101
Akademi DUAT Bakal Perkukuh 'Alignment' Persada Dakwah
Akademi DUAT Bakal Perkukuh 'Alignment' Persada Dakwah
Oleh : Haida Al-Ayyash KUALA NERUS, 24 November - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) optimis  menampilkan pendekatan dakwah yang lebih segar dan kontemporari buat rakyat negeri ini berbanding penggal sebelumnya. Pengarah Akademi DUAT, Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah berkata, ianya bertepatan sepertimana hasrat penubuhan DUAT oleh kerajaan negeri yang mana salah satunya membudayakan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat.  Menurut beliau, pihaknya nekad memperbaiki ‘alignment’ kelompangan yang ada di dalam DUAT demi menyahut seruan Menteri Besar Terengganu yang mahu 'memandu' negeri terus ke 'gear' tiga.  “Kita (DUAT) juga sama, bergerak bukan sahaja pada 'gear' tiga, tetapi ekspres dan agresif namun dalam masa yang sama juga tidak mahu keciciran di tengah jalan lantaran proses "realignment"  tayar tidak diperbaiki terlebih dahulu. “Dek kerana itulah, kita adakan Pelan Perancangan Strategik dan Pemantapan Akademi DUAT bagi Tahun 2023-2026 ini yang menglibatkan kakitangan DUAT demi kelangsungan dakwah yang berimpak tinggi buat semua kategori rakyat di negeri ini,” ucapnya bersempena Majlis Perasmian Penutup Bengkel, dekat sini, semalam. Turut hadir dalam menjayakan bengkel ini yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ialah Timbalan Pengarah Centre of Excellence PITAS (CoE PITAS), Zulhilmi Abd Rahman.  Tambah beliau lagi, beberapa pembaharuan dan strategi pelaksanaan program dan aktiviti Akademi DUAT telah diformulasikan dan dirancang ke arah memperkasakan usaha Islamisasi negeri Darul Iman. Justeru itu, bagi mencapai keberkesanan perlaksanaan proses tersebut, setiap DUN di Terengganu ditempatkan seorang pegawai DUAT yang berperanan menghidupkan komuniti setempat dengan kefahaman dan penghayatan Islam yang lebih komprehensif.
24 Nov 23
341
Lantik DDW, DDR Tambah Had Simpanan Bekalan Sepanjang Banjir
Lantik DDW, DDR Tambah Had Simpanan Bekalan Sepanjang Banjir
KUALA TERENGGANU, 24 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melantik 86 pemborong utama (DDW) dan 162  peruncit terpilih (DDR) di setiap daerah di Terengganu bagi memastikan keperluan asas mencukupi ketika musim banjir.   Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL pada bulan Mac 2024. "Penyelarasan telah dibuat melibatkan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) bagi memastikan keberadaan bekalan sentiasa mencukupi bagi menghadapi bencana bajir termasuk tempoh sebelum, semasa dan pasca banjir. "Dalam melaksanakan pelan kontigensi banjir, pihak KPDN telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam Lesen Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA)," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, di sini, hari ini. Sementara ituz beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata,  semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang terbabit dengan banjir disarankan untuk mengemas kini senarai ketua isi rumah (KIR) yang terlibat serta-merta ekoran terdapat PPS yang telah ditutup di beberapa negeri termasuk Terengganu. Tambahnya, JPBD dinasihatkan agar bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan PPS untuk memastikan perekodan maklumat yang lengkap dapat dibuat semasa mangsa berada di PPS untuk membolehkan proses semakan dapat dibuat pada kadar segera.  “Rekodkan maklumat KIR yang terlibat secepat mungkin, dapatkan pengesahan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), selaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk senarai tersebut diteliti bagi memudahkan saluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa. “Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan asas kepada agensi di peringkat negeri yang boleh digunakan serta-merta untuk menyalurkan BWI kepada KIR sebaik sahaja senarai nama itu telah disemak dan disahkan," katanya lagi. Menurut Armizan, NADMA juga memberikan komitmen untuk menyalurkan peruntukan bagi penyaluran BWI sekiranya peruntukan diperlukan mengambil kira jumlah KIR yang terlibat.
24 Nov 23
104
Giliran 160 Rakyat DUN Rantau Abang Terima Geran RTB
Giliran 160 Rakyat DUN Rantau Abang Terima Geran RTB
Oleh : Wan Al Affan Bassam Wan Manam DUNGUN, 24 November - Kini tiba giliran 160 rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima dokumen hak milik geran kekal setelah masing-masing menjelasakn bayaran Borang 5A. ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, mengikut jumlah sebenar masih ada sebahagian lagi masih belum menyelesaikan bayaran bagi mendapatkan geran berkenaan disebabkan faktor ekonomi semasa. "Saya meminta kepada penerima Borang 5A ini untuk menyelesaikan bayaran dengan sedaya upaya, berusaha untuk menjelaskan bayaran ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Doukumen,  RTB bagi tapak kediaman dan pertanian, di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun, di sini, kelmarin. Turut hadir, ADUN Mantan Rantau Abang, Alias ​​Harun, Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani dan Ketua Penolong Pentadbiran Tanah, Nasran Abd Halim. Mengulas lebih lanjut, Fadhli berkata seramai 160 penerima itu melibatkan 95 orang RTB ByPass Batu Tiong, 38 pula merupakan penerima geran RTB Pertanian Belakang Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Padang Pulut, penerima RTB Kampung Wa Sejahtera pula seramai 18 orang. Selebihnya tujuh orang menerima geran RTB Batu Putih dan dua orang merupakan penerima geran hakmilik RTB Pengkalan Jering. Dalam pada itu, Fadhli berkata pihaknya akan memastikan penerima RTB Tapak Kediaman akan cuba berusaha sedaya upaya bagi memenuhi hasrat memiliki rumah idaman masing-masing. "Insya-Allah akan berusaha untuk memohon peruntukan bagi keperluan infra bagi memenuhi hasrat peneima geran untuk membina rumah kediaman,''ujarnya.
24 Nov 23
336
Duta Qatar Kunjungi Abdul Hadi, MB Terengganu
Duta Qatar Kunjungi Abdul Hadi, MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 November – Duta Qatar ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Salah Mohammed Al-Sorour, membuat kunjungan hormat di Terengganu pada hari ini sempena lawatan kerja beliau ke negeri tersebut. Beliau telah mengadakan pertemuan bersama Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Abdul Hadi berkata antara topik yang dibincangkan adalah mengenai situasi terkini rakyat Palestin dan tindakan yang wajar dilakukan oleh pemimpin dunia Islam. “Saya juga merakamkan penghargaan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang menjadi pemain utama dalam menjayakan gencatan senjata di Gaza.  “Semoga pertemuan hari ini memberi natijah yang baik kepada hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Qatar,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang peluang yang berpotensi antara Qatar dan Terengganu. Katanya, ia bagi memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua Negara tersebut. “Terima kasih kerana sudi datang ke negeri Terengganu yang aman damai ini, sehingga bertemu lagi di masa hadapan," ujarnya.      
23 Nov 23
587
Dedah Isu Semasa Kepada Anak Muda
Dedah Isu Semasa Kepada Anak Muda
MARANG, 23 November - Anak muda pada hari ini perlu diberikan pendedahan mencukupi terhadap pelbagai isu semasa yang sedang berlaku di tanah air untuk memastikan mereka kekal terkini dan berwawasan. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, ia membantu mereka membentuk pandangan yang matang dan bersedia untuk berperanan secara positif, melalui kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap realiti sosial dan ekonomi di tanah air. "Program Anak Muda Sayang Terengganu ini diadakan bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan sifat patriotik, serta definisi yang tepat mengenai politik dan kepimpinan.  "Selain itu, bertujuan untuk menghapuskan stigma buruk mengenai politik dan kepimpinan, juga bagi melahirkan pelapis kepimpinan yang berilmu, kompeten dan berdaya tahan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Anak Muda Sayang Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Marang pada semalam. Menurutnya, Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman mengenai situasi politik negara, terutamanya di kalangan anak muda Terengganu. "Perlu difahami bahawa agenda utama dalam mengurus tadbir negeri tak lain tak bukan adalah untuk menyampaikan Islam. "Mengurus tadbir negeri daripada sudut pelancongan, ekonomi, undang-undang, hiburan dan banyak lagi, mengikut acuan Islam," ujarnya. Katanya lagi, wanita turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah negeri antaranya membantu untuk mengimbangi sudut pandang dan mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat.  "Memberikan perhatian kepada aspek-aspek kemanusiaan dalam pembuatan keputusan kerana wanita mempunyai kepekaan social yang tinggi.  "Wanita mendapat peluang untuk bersuara dan menyuarakan keperluan," katanya. Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agar menyokong dan memberi peluang yang setara kepada wanita dalam pentadbiran kerajaan.
23 Nov 23
153