lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Wanita Terengganu Akan Terus Diperkasa
Wanita Terengganu Akan Terus Diperkasa
KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan negeri dengan kerjasama Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) melalui Dasar Wanita Terengganu sentiasa menambah baik strategi dan perancangan bagi memastikan penglibatan wanita secara optimum dan sistematik. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata bagi merealisasikan lagi agenda pemerkasaan wanita di Terengganu, melalui USWA dan kerjasama agensi berkaitan beberapa program telah dirangka dan dirancang mengikut beberapa strategi. “Antaranya ialah penerapan budaya ilmu dalam kalangan wanita Terengganu, penjenamaan Sayyidatina Aisyah sebagai ikon wanita Terengganu, mendedahkan dan melengkapkan pelbagai kemahiran untuk peningkatan taraf hidup wanita, transformasi budaya hidup wanita Terengganu ke arah kesejahteraan, penubuhan Pusat Pembangunan Wanita Terengganu serta strategi melahirkan wanita Terengganu yang berakhlak mulia dengan nilai ketimuran.  “Program-proram yang di telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan berdasarkan strategi tersebut, antaranya ialah Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu (WINTER), Karnival Orang Puang Terengganu, Suara Hati Wanita, Jelajah Untukmu Wanita, Wanita Terengganu Bertadarus, ‘Fitness Centre’ dengan tema "Wanita Sihat, Wanita Sejahtera” , pelaksanaan Hari Sayyidatina Aisyah dan Pembinaan Modul Sayyidatina Aisyah untuk rakyat Terengganu,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil  berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Manir, Hilmi Harun  dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Jelas Maliaman, pihaknya juga akan melaksanakan pelan strategik bagi melaksanakan dasar wanita kepada semua peringkat agensi dan badan berkanun. Tambahnya lagi, seiring dengan mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu pelan pemberdayaan suri rumah Terengganu, beberapa strategi dibuat khusus buat golongan suri rumah. “Ia bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dari agenda pemerkasaan wanita di negeri ini dilaksanakan melalui program Spa Percuma Suri Sejahtera, Konvensyen Suri Terengganu, Kelab Suri Sejahtera dan Bengkel Kemahiran Suri Terengganu,” ujar beliau.  
28 Nov 23
178
Terengganu Sedang Siapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar
Terengganu Sedang Siapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri sedang menyediakan pelan tindakan bandar pintar melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan Marang melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan kajian bandar pintar. "Matlamat kajian ini adalah bagi penyediaan dasar-dasar berkaitan dengan bandar pintar, selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon untuk dijadikan panduan utama serta hala tuju kepada agensi-agensi kerajaan negeri serta pihak-pihak berkepentingan yang lain. "Selain daripada itu juga, kerajaan negeri sangat komited dalam membangunkan bandar-bandar baharu seperti Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Bandar Baru Bukit Besar, Bandar Baru Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, Bandar Baru Kijal dan Bandar Lestari Kuala Terengganu dengan menerapkan elemen-elemen perbandaran baharu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, penyediaan pelan tindakan itu turut melibatkan kerjasama antara unit 'smart city' Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Ibu Pejabat dengan jabatan dan agensi berkepentingan negeri. "Kajian 'blueprint' ini dilakukan secara 'in house' dan ia sangat penting bagi memastikan pembangunan bandar-bandar baharu yang akan mengambil kira elemen-elemen perbandaran baharu yang selari dengan hala tuju di peringkat nasional dan juga antarabangsa. "Dilaksanakan melalui peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM150,000 sedang berada di peringkat draf laporan awak dan akan dilaksanakan dalam tempoh sepuluh bulan," ujarnya. Dalam pada itu katanya, sesi soal selidik bagi mendapatkan pandangan awam, agensi serta pandangan pemain industri telah bermula pada 26 oktober sehingga 16 November yang lalu. "Bagi mendapatkan input terhadap cabaran dan perkhidmatan perbandaran serta tahap kesediaan daripada aspek penggunaan digital, kepuasan serta kefahaman berkaitan dengan bandar pintar. "Sesi libat urus bersama orang-orang awam, PBT, agensi negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain juga akan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kesediaan pelaksanaan bandar pinta melalui inisiatif yang sedang dirancang atau dalam pelaksanaan," katanya.
28 Nov 23
530
Jangan Terperangkap Dengan Budaya Politik Lama-Dr Sam
Jangan Terperangkap Dengan Budaya Politik Lama-Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 27 November- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berpendapat, negara mahupun negeri tidak boleh bergerak ke hadapan sekiranya parti-parti politik masih lagi terperangkap dengan budaya politik lama. Katanya, sekiranya parti-parti politik yang ada tidak ‘update’ dengan perkembangan semasa dan masih lagi mengekalkan cara lama seperti politik permusuhan, kata mengata, fitnah dan sebagainya, mereka masih terperangkap dengan zaman itu. “Sebab itu saranan saya kita mencuba sebaik mungkin bagi pihak PAS untuk membawa budaya politik baru. “Soal ‘lawan’ kita yang masih lagi hendak peteh kaki itu kita hadapi je lah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi pembentangan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu mengulas mengenai gerak kerja kempen, beliau yang juga calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menegaskan tetap mengambil langkah cermat sepanjang tempoh berkempen. “Saya sendiri tak pergi berkempen ke tempat-tempat yang sensitif seperti masjid, kedai makan dan lain-lain lokasi yang boleh dikategorikan salah di bawah akta pilihan raya,” katanya. Tambah Ahmad Samsuri, berbaki beberapa hari lagi tempoh berkempen, beliau optimis dengan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN-PAS) mampu meraih kemenangan lebih besar pada PRK Kemaman 2 Disember ini.
27 Nov 23
183
Populasi Penyu Agar Terengganu Paling Tinggi Semenanjung Malaysia
Populasi Penyu Agar Terengganu Paling Tinggi Semenanjung Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 November – Populasi penyu agar yang terdapat di pantai-pantai seluruh Terengganu mempunyai bilangan tertinggi di semenanjung Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan memberi penumpuan yang lebih kepada penjagaan dan perlindungan sumber spesies penyu itu. Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) telah melaksanaan pelbagai program bagi tujuan berkenaan. “Antaranya, program pendidikan penyu yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, program gotong-royong membersihkan pantai pendaratan penyu (sebelum musim pendaratan penyu) dan pelbagai lagi program yang dilaksanakan. “Ini bagi memastikan semua spesies penyu khususnya penyu agar sentiasa terpelihara daripada ancaman pupus,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman hari ini. Berkenaan soalan yang ditanya berkaitan populasi penyu belimbing yang kian pupus di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata antara faktor kejadian tersebut berlaku kerana aktiviti perikanan di perairan negeri semasa musim bertelur pada sekitar tahun 80-an. “Kegiatan tersebut menyebabkan banyak ibu penyu belimbing itu mati," katanya. Selain itu, jantina anak penyu juga dipengaruhi oleh suhu panas dan sejuk di pasir tempat penyu bertelur namun maklumat tersebut saintis baru temui lewat tahun 90-an. Tambahnya lagi katanya, kumpulan penyu yang bersifat koloni sebagai contoh koloni asal di Rantau Abang yang tidak bercampur dengan koloni asalnya di luar negara. "Sekiranya pupus, maka tamat lah koloninya dan di Asia Tenggara koloni yang masih ada adalah Papua Barat dan Utara Sulawesi Indonesia. “Hingga sekarang, tiada seorang pun pakar yang membuat cadangan bagi pemuliharaan semula sumber penyu belimbing di Rantau Abang. "Barangkali, tiada contoh projek seumpama itu di dunia dan tiada pakar yang berilmu untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.                              
27 Nov 23
377
Belanjawan 2024 Terengganu Garis 10 Sasaran Utama
Belanjawan 2024 Terengganu Garis 10 Sasaran Utama
KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri menggariskan 10 sasaran dan strategi utama untuk diusahakan dan dicapai menerusi peruntukan belanjawan 2024. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam situasi pertumbuhan global dan nasional diunjur menyederhana pada tahun 2023 dan 2024, KDNK Terengganu harus kekal mengembang antara 3.5 hingga 4.1 peratus. "Subsektor perdagangan borong dan runcit mesti diperkukuh dengan pelbagai inisiatif pengupayaan perniagaan dan pembangunan usahawan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, kerajaan negeri turut mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang berjaya. "Sekurang-kurangnya 80 orang menerusi pemerkasaan program pembangunan usahawan dengan hasil jualan berjumlah sehingga RM4. 2 juta sekali gus menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan. " Selain peluang dan penempatan pekerjaan perlu diselia dengan lebih bersepadu supaya kadar penganguran di negeri ini berada di paras sekitar 3.3 peratus hingga 3.6 peratus sahaja," ujarnya. Dalam pada itu katanya, industri pelancongan juga perlu diperkasa dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan bermacam-macam sumber untuk menarik 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong, iaitu 20 hingga 30 peratus lebih ramai berbanding tahun lalu. Katanya, rancangan dan usaha bagi menambah baik infrastruktur dan logistik di kesemua 28 kawasan perindustrian serta meneroka dan mengeksploitasi kelebihan di kawasan sempadan negeri dan stesen-stesen ECRL mesti dipergiatkan bagi merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik. “Hal ini penting supaya jumlah dan imbangan dagangan dapat ditingkatkan antara lima hingga tujuh peratus berbanding pada tahun 2022 untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan ekosistem pelaburan yang lebih kompetitif,” jelasnya. Mengulas lanjut katanya, projek-projek kecil DUN perlu dilaksanakan mengikut senarai dan keutamaannya, spesifikasi dan jadual yang telah ditetapkan bagi memenuhi keperluan penduduk, menangani impak bencana dan memangkin pertumbuhan sosioekonomi setempat.  “Peruntukan yang disediakan mesti dioptimumkan sepenuhnya. Kemajuan projek- projek perumahan mampu milik juga mesti dipantau dan dikawal dengan lebih tegas supaya dapat disiapkan dan diagihkan pada waktu yang sepatutnya,” ujarnya. Sementara itu katanya, institusi keluarga mesti terus diperkukuh kerana ia adalah nadi kesejahteraan masyarakat.  “Usaha untuk meredakan kadar perceraian di bawah paras 1.5 bagi setiap 1,000 penduduk perlu lebih aktif, terutamanya melibatkan pasangan berumur antara 32 hingga 40 tahun.  “Selari dengan itu, ikhtiar untuk mengurangkan bilangan penyalahguna dan penagih dadah, bilangan kes jenayah indeks dan jenayah syariah juga mesti dipergiatkan menerusi program kesedaran, aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang,” jelasnya lagi. Tambah beliau, menjelang Ogos tahun hadapan, atlet-atlet Terengganu mesti dipersiapkan fizikal, mental dan moral mereka ke tahap yang terbaik supaya dapat kembali merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya SUKMA 2024 nanti.  Disamping itu, jelas beliau, rencana untuk menambah hasil cukai dan hasil bukan cukai sebanyak 10 peratus setahun mesti dilaksanakan dengan lebih strategik, agresif dan bersepadu.  Manakala katanya, semua jabatan dan agensi, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan perlu mencapai tahap kepuasan pelanggan melebihi 90 peratus dan 90 peratus aduan yang dikemukakan juga mesti diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja. Katanya, semua sasaran dan strategi yang digariskan itu tidak terhad hanya untuk portfolio atau jabatan dan agensi tertentu sahaja. "Sebaliknya, pelbagai pihak mesti saling bekerjasama untuk menjayakannya termasuklah menggerakkan sepenuhnya potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menerusi gugusan SG4," ujarnya.
27 Nov 23
459
Mesin 'Asher' Selesai Isu Sisa Pepejal di Pulau Redang
Mesin 'Asher' Selesai Isu Sisa Pepejal di Pulau Redang
KUALA TERENGGANU, 27 November - Satu unit mesin asher  ditempatkan di Pulau Redang bagi menyelesaikan masalah sistem pengurusan sisa domestik dan pepejal yang telah membelenggu pulau peranginan itu sejak sekian lama. Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan pengoperasian dan penyelenggaran mesin berkenaan dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Ujarnya, mesin berkenaan membantu mengurangkan kapasiti sisa pepejal yang dikumpulkan di pulau tersebut kemudian dibawa balik ke daratan melalui kaedah sedia ada menggunakan pengangkutan kapal ataupun bot. "Selain itu, antara inisiatif yang dilakukan adalah pembinaan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu di Pulau Redang yang menempatkan mesin kompos ataupun kitar semula. "Mengagihkan tong sampah awam serta aktiviti pembina keupayaan bersama dengan komuniti setempat bersama pengusaha-pengusaha resort dan chalet seperti pelaksanaan program gotong royong, ceramah serta juga penerangan berkaitan dengan pengasingan sisa pepejal, demontrasi teknik dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Ridhuan Mohd Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, projek 'Integrated Island The Waste Management' (IIWM) turut dilaksanakan di pulau utama. "Seperti Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian dan juga Pulau Kapas dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Besut dan juga Majlis Daerah Marang," katanya. Tambahnya, di antara usaha yang dijalankan kerajaan bagi menangani masalah sisa pepejal dengan membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pembiayaan peruntukan bagi tujuan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di pulau-pulau pelancongan utama.
27 Nov 23
335
Tiga Identiti Digariskan Menuju Era Baharu Terengganu
Tiga Identiti Digariskan Menuju Era Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri menggariskan tiga identiti bagi memperkukuhkan keberkesanan kerajaan dalam menuju era baharu Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketiga-tiganya(identiti) mesti dimiliki oleh kerajaan, para pemimpin, pegawai dan penjawat awam serta seluruh rakyat. Katanya, kerajaan negeri perlu menjadi sebuah kerajaan yang lebih berkesan dengan memberi perhatian dan prihatin serta meringkaskan pelbagai prosedur; selain menerima guna teknologi dalam banyak perkara. "Semua pemimpin, pegawai-pegawai kerajaan bermula saya sendiri mesti menjadi inspirasi kepada para kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat melalui pelaksanaan intergriti, 'walk to talk' dan berhubungan baik dengan semua. "Manakala kakitangan kerajaan juga diingatkan supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab agar perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih cekap dan cepat kepada rakyat. "Selain itu, rakyat juga harus diperkasakan yang mana rakyat mesti bermaklumat, mengambil bahagian dalam isu-isu dan aktiviti kemasyarakatan serta menjadi lebih berdikari dengan keupayaan sendiri," ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Menurut Ahmad Samsuri lagi, era baharu Terengganu membolehkan sumber kekayaan dinikmati oleh semua melalui pengagihan yang saksama dan pengurusan lestari. Tambahnya, pembangunan fizikal dan sosial perlu berjalan seiring dan seimbang untuk memenuhi keperluan semasa termasuk tuntutan masa hadapan. "Mudahnya, Terengganu menjadi contoh 'negeri yang diredhai Tuhan dan disegani orang' ; adil, prihatin dan berkebajikan," ujar beliau.
27 Nov 23
241
Sekat Royalti Sebab Takut Terengganu Maju?
Sekat Royalti Sebab Takut Terengganu Maju?
KUALA TERENGGANU, 27 November – Tindakan Kerajaan Persekutuan yang berdolak-dalik dalam menunaikan hak rakyat atau hasil petroleum Terengganu dipercayai kerana bimbang negeri itu akan bertambah maju dan kuat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berharap agar Kerajaan Persekutuan menghormati tanggungjawabnya selaras dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan. "Jangan sampai tindakan menyempitkan hasil royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang sedang berlaku ketika ini boleh menyebabkan mungkin akan ada rakyat Terengganu bangun daripada ‘hibernasi’ mereka.  “Sehingga boleh berjangkit ke seluruh negara dalam gelombang yang kita semua tidak tahu kesannya,” beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Terengganu bertemakan Meneraju Era Baharu Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tegas beliau, perkara itu adalah soal asas dan prinsip, jika bersikap sebaliknya atas rasa curiga serta ragu-ragu, ia adalah langkah ke belakang dalam membina sebuah negara Malaysia yang merdeka. “Ya, saya lebih sukakan pendekatan ‘bincang-bincang’ sama ada secara formal atau tidak formal. “Kerana kita semua sama ada negeri atau Persekutuan berdepan dengan tanggungjawab menjaga rakyat tanpa mengira fahaman atau undi parti politik dalam pilihan raya,” tegasnya.  Untuk rekod, sehingga Oktober Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan hak rakyat negeri Terengganu sekitar RM1.5 bilion. “Tetapi Kerajaan Negeri hanya menerima RM510 juta, jumlah ini adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022. "Terimaan ini juga jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690. "Harus diingat, yang sebenarnya mengalami penderaan adalah rakyat, mereka telah menikmati hak milik ini mereka sejak sekian lama," jelasnya.
27 Nov 23
561
Terengganu Terima Pelaburan Berjumlah RM3.292 Bilion
Terengganu Terima Pelaburan Berjumlah RM3.292 Bilion
KUALA TERENGGANU, 27 November - Nilai pelaburan yang berjaya masuk ke negeri Terengganu pada tahun 2023 adalah berjumlah RM3.292 bilion. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut berjaya dicapai bermula Januari sehingga Oktober 2023. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu, antara sektor yang terlibat adalah Produk Galian Bukan Logam iaitu sebanyak RM3.145 bilion. "Selain itu, sektor Kayu dan Produk Kayu serta Jentera dan Produk, masing-masing berjaya memperoleh RM94.7 Juta dan RM28.75 Juta. "Manakala, sektor Fabrikasi dan Produk Logam pula berjaya mengutip RM21.61 Juta "Perkhidmatan sokongan pula menyumbang RM623,500, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.292 bilion," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, persoalan tentang kemungkinan berlaku pertindihan peranan antara agensi-agensi persekutuan dengan usaha yang dijalankan kerajaan negeri bersama State Goverment 4 (SG4), Dr. Samsuri menjelaskan, pendekatan SG4 bukan sahaja tiada pertindihan bahkan tiada perlawanan antara peranan pihak kerajaan negeri dengan mana-mana agensi persekutuan. "SG4 akan menjadikan satu usaha bersifat nilai tambah bagi membantu peranan sedia ada yang dilaksanakan dengan lebih baik antara negeri dan pusat beserta pelbagai agensi. "Pihak kerajaan juga bersifat terbuka untuk menerima apa jua pandangan, kritikan atau saranan daripada pelbagai pihak merentasi sempadan politik dan sebarang sentimen. "Apa yang penting, kita melaksanakan usaha berterusan dan agresif untuk memastikan pelabur dapat masuk ke negeri Terengganu dengan lebih efisien," ujarnya.
27 Nov 23
2557
Terengganu Bentang Belanjawan 2024 Bernilai RM1.860 Bilion
Terengganu Bentang Belanjawan 2024 Bernilai RM1.860 Bilion
KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan 'Meneraju Era Baharu Terengganu' berjumlah RM1.860 bilion bagi perbelanjaan mengurus. Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM500 juta sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. "Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM84.77 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.775 bilion bagi perbelanjaan bekalan iaitu sebanyak RM278.30 juta untuk emolumen, RM251.48 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM23.86 juta untuk aset, RM1.220 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap RM1 juta untuk lain-lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Ahmad Samsuri berkata, dibawah Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM425.19 juta diperuntukkan untuk sektor sosial, RM44.10 juta untuk pentadbiran dan RM30.71 juta untuk sektor ekonomi. Bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.860 bilion iaitu sebanyak RM80.06 juta daripada hasil cukai, RM169.01 juta dari hasil bukan cukai dan RM1.610 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk dana khas kerajaan persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.
27 Nov 23
243