lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pasang 'Culvert' Atasi Banjir Termenung
Pasang 'Culvert' Atasi Banjir Termenung
MARANG, 20 Disember – Kerajaan negeri sedang berusaha mengatasi masalah banjir termenung di Kampung Rawai dengan memasang ‘culvert’ di tempat air tersekat dan mengenal pasti punca kejadian tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rawai menyedari kejadian itu lebih awal sebelum tibanya musim tengkujuh. "Antara usaha dibuat sebelum musim tengkujuh ialah bekerjasama dengan pihak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk membuka laluan air sepanjang kawasan kerja landasan kereta api itu termasuk memasang ‘culvert’ di tempat air tersekat," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas kejadian banjir termenung di kampung berkenaan. Menurut ADUN Alur Limbat, antara usaha semasa musim tengkujuh pula, pihak ECRL telah membuka laluan untuk tempoh sementara di kawasan terlibat bagi membolehkan pengaliran keluar air hujan dari kampung berkenaan. “Pejabat ADUN Alur Limbat akan memasang ‘culvert’ (tambahan) sepanjang 50 kaki untuk membuat sambungan longkang utama tepi jalan Kampung Rawai berhadapan Masjid Rawai bagi mengatasi masalah banjir termenung itu,” jelasnya. Sebelum itu beliau bersama JPKK Rawai, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Marang turun ke kampung berkenaan bagi mengenal pasti punca berlakunya kejadian tersebut. Tambahnya, kerajaan mengambil maklum senario hujan sangat lebat, berlaku dalam tempoh yang singkat menjadi faktor utama berlakunya air termenung di samping kesan pembangunan di sekitar kampung tersebut. “Lokasi perumahan terbabit (yang menerima kesan kejadian itu) berada di kawasan terendah berbanding, di samping kawasan sekeliling yang telah ditambak menambahkan lagi kesan buruk kejadian itu. “Hampir keseluruhan sekeliling perumahan tersebut adalah merupakan tanah milik persendirian yang menyulitkan untuk pihak berkuasa membuat longkang konkrit kekal untuk mengalihkan aliran air ke parit atau sungai yang berdekatan,” ujarnya.  
20 Dec 23
314
KUTT Dilantik Agensi Hentian Setempat
KUTT Dilantik Agensi Hentian Setempat
KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan negeri melantik Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) secara rasminya sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) untuk semua permohonan permit bagi kerja-kerja korek gali di seluruh Terengganu. Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata KUTT bertanggungjawab membangunkan Koridor Utiliti negeri Terengganu termasuk membangun pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti merangkumi tenaga elektrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan. “Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai royalti kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan media sempena Sesi Penyerahan ‘Mock Cheque’ KUTT kepada Kerajaan Terengganu bagi Bayaran Royalti Tahun 2023 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir Ts Ahmad Azhan Suhaili menyerahkan ‘mock cheque’ kepada Hanafiah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata KUTT memproses sejumlah 296 permohonan mendapatkan permit korek gali jalan dengan jumlah bayaran sebanyak RM13.97 juta sehingga 30 November lalu. Menurutnya jumlah pembayaran royalti (kontribusi) kepada Perbendaharaan Negeri Terengganu bagi jarak bersih keseluruhan permohonan diterima sepanjang 943,801.50 meter ialah sebanyak RM1.42 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini. Katanya, KUTT mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan, hasil prestasi cemerlang dari semua bahagian membolehkan syarikat itu sekali lagi berpeluang mengembalikan royalti lebih besar untuk kerajaan negeri Terengganu berbanding hanya RM447,749.97 tahun lalu dan RM250,732.50 tahun sebelumnya. Tambah beliau, pembayaran royalti yang mampu diberikan KUTT secara berterusan mencerminkan keupayaan syarikat itu dalam menguruskan aset dan bekerjasama di dalam memacu pertumbuhan penyediaan utiliti di seluruh negeri walaupun syarikat tersebut baru berusia tiga tahun. “Selain itu ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mapan bagi setiap pelaburan yang dimanahkan,” jelasnya. Di samping itu katanya, KUTT turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Negeri Terengganu dengan mengeluarkan sejumlah keuntungan kepada Tabung Darul Iman (TDI). KUTT juga katanya menyumbang RM300,000 di bawah peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai satu cara menyalurkan peruntukan kepada rakyat negeri Terengganu melalui TDI. “Dengan dorongan usaha proaktif KUTT, industri ini diyakini mampu memberi kesan kepada ekonomi negeri melalui nilai tambah dalam pekerjaan, pembangunan kemahiran, menambah baik proses kepada pihak berkepentingan dan perolehan data maklumat utiliti negeri yang lebih lengkap dan terperinci,” ujarnya.
20 Dec 23
203
ATM Bantu Mangsa Banjir Pulang Kediaman Dungun
ATM Bantu Mangsa Banjir Pulang Kediaman Dungun
DUNGUN, 20 Disember - Seramai dua pegawai dan 25 anggota lain-lain Pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu mangsa banjir pulang rumah di sekitar Kampung Pelandang, Dungun pada hari ini. Kesemua mangsa yang dihantar pulang itu merupakan mereka daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pelandang dimana PPS tersebut ditutup secara rasminya pada jam 12.00 tengahari tadi.  Pemindahan mangsa ini diketuai oleh Leftenan (LT) Muda Mohd Hafiz Hakim Abd Ghani bersama anggota 18 RAMD PARA yang telah diatur gerakkan ke Daerah Dungun sejak 15 Disember lalu. Kerja-kerja ini adalah sebahagian daripada Op MURNI yang dilaksanakan oleh Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Para yang berpangkalan di Kem Seri Pantai, Kuala Nerus. Mereka telah melaksanakan bantuan pemindahan mangsa banjir di kawasan yang tidak boleh dimasuki kerana paras air yang tinggi dengan menggunakan bot yang disediakan oleh ATM. Meskipun semua PPS di Terengganu telah ditutup namun pasukan 18 RAMD PARA akan ditempatkan di Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Bersama aset perairan bagi bersiap sedia menghadapi gelombang yang akan datang.  
20 Dec 23
146
JPKK DUN Ajil Komited Laksana Tugas
JPKK DUN Ajil Komited Laksana Tugas
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali HULU TERENGGANU, 19 Disember - Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) AJIL perlu komited menjadi penggerak hasrat kerajaan dalam menyampaikan maklumat mengikut saluran yang ditetapkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong , Mohd Zawawi Ismail berkata , JPKK adalah orang tengah yang membantu memudahkan segala urusan di setiap kampung. "Tujuan kita adakan majlis watikah pelantikan pengerusi JPKK DUN AJIL ini adalah untuk memperkukuhkan tanggungjawab anggota JPKK yang telah diamanatkan dengan kepercayaan secara rasmi untuk melaksanakan tugas mereka. "Ianya melibatkan pengerusi dan ahli JPKK di DUN AJIL ini," ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Watikah Pelantikan JPKK Peringkat Dun Ajil pada malam tadi.   Turut Hadir , Ketua Penolong Pegawai Daerah , Fairul Hisyam Mat , dan diiringi oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) ,  Mohammad Ariff Syahdan Ab. Razak , dan Penghulu Mukim Penghulu Diman ,  Mohd Jefri Din Salleh. Dalam majlis tersebut, seramai 46 orang pengerusi JPKK  menerima watikah perlantikan masing-masing di Dewan Yayasan Salim , Kampung Tok Randok , Ajil .  
20 Dec 23
577
‘Saya Mahu Jaga Ibu’
‘Saya Mahu Jaga Ibu’
MARANG, 20 Disember- “Saya nak jaga ibu saya sebaik keluar dari sini,” itu tekad Adam (bukan nama sebenar), 17, salah seorang daripada 13 penghuni Asrama Akhlak (lelaki) Rusila di sini yang kini insaf atas perbuatan lalu. Kemasukan Adam selama tiga tahun ke asrama berkenaan adalah mengikut Seksyen 46 akta Kanak-kanak 2001 yang mana terdiri daripada kanak-kanak luar kawalan dan dimohon sendiri pihak keluarga melalui mahkamah. “Akibat kelalaian, tidak mendengar kata ibu bapa dan pengaruh rakan-rakan ketika menjejakkan kaki ke tingkatan satu menyebabkan saya berada di sini. “Kalau ikutkan ada hikmah juga. Saya harap apa yang terjadi pada diri saya dapat memberi pengajaran kepada remaja lain untuk sentiasa mendengar nasihat ibu bapa serta tidak mementingkan diri sendiri,” katanya yang merupakan anak kelima dari tujuh beradik. Adam ditemui pemberita di pusat berkenaan sempena Lawatan dan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri Bersama Penghuni Asrama Akhlak Rusila, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Menurut Adam yang bercita-cita untuk menjadi anggota bomba, sepanjang berada di asrama berkenaan, banyak perkara yang dia belajar termasuk kemahiran seperti pertukangan dan kimpalan selain diajar berdikari, displin dan keagamaan. “Saya juga bersekolah seperti biasa di sekolah berhampiran dengan dihantar oleh petugas di asrama ini setiap kali waktu pergi dan balik,” ujarnya yang masih berbaki enam bulan berada di pusat berkenaan sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga. Terdahulu, Pengetua Asrama Akhlak (lelaki) Rusila, Mohamed Abdan Ishak berkata, penghuni yang ditempatkan di asrama berkenaan diajar dengan pelbagai kemahiran dan ada yang dihantar ke sekolah. “Mereka diberi pelbagai latihan disini antaranya kelas kemahiran asas seperti pertukangan kayu, motor mekanik, kelas komputer, kelas agama, bengkel kimpalan dan lain-lain. “Kita ada guru yang mengajar penghuni disini dan apa yang paling membanggakan kami sebagai penjaga mereka disini adalah apabila anak-anak ini kembali menyambung pelajaran di sekolah menengah, pusat kemahiran, selain ada yang bekerja di sektor swasta sebaik pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya. Katanya, beliau turut mengharapkan penghuni di asrama berkenaan dapat menangkis unsur-unsur negatif di luar sana dan berbekalkan ilmu yang dipelajari disini mereka akan menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti.  
20 Dec 23
627
Tambah Baik Program Kukuh Institusi Keluarga
Tambah Baik Program Kukuh Institusi Keluarga
MARANG, 20 Disember- Kerajaan negeri akan menambah baik program sedia ada sebagai usaha memastikan institusi keluarga diperkukuh selari dengan hasrat supaya keharmonian dan nilai kasih sayang dapat dinikmati oleh setiap ahli di dalam keluarga. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat menjadi benteng kepada anak-anak dari terjerumus dengan perkara yang tidak berfaedah. “Ini merupakan satu cabaran untuk kita. Bagaimana hendak bentuk keluarga ini supaya menjadi institusi keluarga yang mantap dan kukuh sekali gus dapat menghindar anak-anak dari terbiar dan terjebak dengan masalah sosial. “Antara yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk program-program pasca perkahwinan seperti ‘second honeymoon’ dan sebagainya.  “Usaha-usaha pengukuhan institusi kekeluargaan ini dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain istitusi seperti sekolah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Lawatan dan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri Bersama Penghuni Asrama Akhlak Rusila di sini, semalam. Menurut Maliaman, pihaknya ketika ini dalam proses menubuhkan jawatankuasa tindakan sosial untuk menggabungkan semua institusi yang melibatkan sosialisasi ini dalam satu ‘task force’ kearah pembentukan masyarakat sejahtera. Sementara itu katanya, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak. “Kalau kita lihat, masalah sosial di kalangan remaja ini kebiasaannya berpunca daripada intitusi keluarga yang berpecah belah selain ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak. “Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka,” ujarnya.  
20 Dec 23
338
Penduduk Diminta Waspada Banjir Gelombang Ketiga
Penduduk Diminta Waspada Banjir Gelombang Ketiga
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Penduduk Terengganu diminta berwaspada dengan banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku bermula 22 hingga 26 Disember nanti susulan ramalan hujan lebat. Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat susulan daripada kejadian ribut tropika Jelawat yang melanda di tenggara Filipina. Menurutnya, hujan lebat tersebut boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai. "Banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini baharu saja pulih apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya pada 2 petang, semalam dan kita menjangkakan hujan lebat serta angin kencang kemungkinan dijangka berlaku mulai Jumaat ini. "(Ia dijangka) membawa kesan agak serius, kita akan mengalami hujan yang agak 'berat' sikit, jadi kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati terutama yang duduk di persisir pantai. "Ini baru ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia, namun dalam masa sama kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut,”ujarnya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kit Bantuan Mangsa Banjir daripada Petronas di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini hari ini. Justeru itu, Tengku Seri BIjaya Raja  menasihatkan semua penduduk di kawasan terlibat dapat membuat persediaan lebih awal dan sentiasa waspada dengan amaran dikeluarkan pihak berkuasa. "Orang ramai di sekitar kawasan yang dikeluarkan amaran dinasihatkan untuk berwaspada terutamanya penduduk yang duduk di persisiran pantai, kawasan rendah dan tempat yang kerap banjir,” katanya. Dalam masa sama, semua jabatan dan agensi berkaitan pengurusan bencana di Terengganu terus bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam banjir gelombang ketiga nanti.
20 Dec 23
182
Petronas Sumbang 1,500 Kit Keperluan Asas Banjir
Petronas Sumbang 1,500 Kit Keperluan Asas Banjir
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Prihatin dengan situasi banjir yang telah melanda  di Terengganu baru-baru, PETRONAS mengambil langkah proaktif membantu mangsa bencana tersebut dengan menyumbangkan 1,500 kit keperluan asas menerusi program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023. Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, setiap kit bernilai RM300 akan diberikan kepada setiap ketua keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) . Katanya, program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023 adalah salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha membantu mangsa banjir yang terjejas. “Setiap keluarga menerima sumbangan Pakej Prihatin merangkumi keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral. "Saya berharap sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Beliau berkata, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan. "Sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk kad hadiah Petronas itu disampaikan kepada Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Terengganu. "Sejak 2019, Yayasan PETRONAS sudah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta kepada isi rumah yang terjejas oleh banjir. Sumbangan ini dijalankan setiap tahun dan disampaikan berdasarkan keperluan semasa," katanya.  
20 Dec 23
185
13 Rumah Terlibat Banjir Lumpur Terima Bantuan
13 Rumah Terlibat Banjir Lumpur Terima Bantuan
DUNGUN, 20 Disember - Pihak perlombongan kuari Tebing Tembah iaitu TI Properties, dan Persona Venture Sdn Bhd mengambil inisiatif memberikan bantuan kepada 13 buah rumah mangsa banjir lumpur di Tebing Tembah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihak tersebut telah menyampaikan sumbangan keperluan harian serta wang tunai kepada keluarga yang terkesan akibat bencana alam itu. "Usaha ini diharapkan dapat membantu mereka yang kehilangan harta benda dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya. Salah satu keadaan sebuah rumah mangsa ditimpa banjir lumpur. Terdahulu, pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat daripada terjadi lagi kejadian banjir lumpur. Masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun dan menyebabkan 13 buah rumah mangsa ditimpa musibah banjir lumpur. Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa banjir. "Kerjasama dan sokongan dari pihak swasta adalah penting dalam bersama-sama membantu komuniti yang terjejas oleh bencana alam. "Selain itu, usaha ini turut mencerminkan tanggungjawab sosial korporat yang dipegang oleh syarikat-syarikat terlibat," ujarnya. Katanya, orang ramai juga diminta untuk terus bersatu padu dan memberikan pertolongan dan sokongan kepada pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir lumpur.
19 Dec 23
183
Terengganu Fokus Jaga Rakyat Berbanding Bermain Politik
Terengganu Fokus Jaga Rakyat Berbanding Bermain Politik
KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau lebih mengutamakan penyelesaian kepada apa jua masalah dalam isu rakyat dan urusan pentadbiran negeri. Justeru itu katanya, beliau tidak akan membongkar kegagalan kerajaan terdahulu atau berterusan menyalahkan pihak lain dalam isu dan urusan pentadbiran negeri apabila menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu pada penggal pertama “Ketika ditanya oleh wartawan tentang keutamaan saya, saya ada dua pilihan iaitu sama ada merobohkan semuanya dan membina dari awal atau membuat penstrukturan semula dan melihat apa yang boleh diselamatkan. “Saya memilih jalan yang kedua dan jalan ini memerlukan kepada melakukan sesuatu mengikut keutamaan seperti adakah memilih untuk membaiki atap dahulu atau membaiki dapur dahulu?. “Boleh saja kami memilih untuk membongkar kegagalan kerajaan terdahulu tetapi ianya tidaklah membantu apa-apa. “Witch hunting” atau berterusan menyalahkan sesuatu pihak bukanlah jalannya. Keperluan pada masa tersebut adalah mencari penyelesaian kepada apa masalah yang ada mengikut keutamaan," katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi facebook beliau hari ini. Justeru itu, pada penggal kedua, beliau  menggesa kesemua Exco dan ketua agensi Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus mengorak langkah dengan pantas mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum dan royalti. “Pada penggal kedua, saya kumpulkan semua EXCO dan ketua agensi Kerajaan Negeri dalam satu program dan memberitahu mereka untuk terus masuk ke gear tiga bukannya lagi gear satu mahupun gear dua. “Kami perlu terus bertindak dengan mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan kepada negeri bagi mengurangkan kebergantungan negeri kepada sumber petroleum dan royaltinya,” ujarnya lagi. Tambah Ahmad Samsuri, pada penggal pertama, kerajaan negeri dapat mengurangkan kebergantungan dalam 3 hingga 4 peratus walaupun tidak banyak tetapi ada perubahan.  “Sekarang, kami cuba mengoptimumkan kutipan cukai dan hasil daripada sumber mineral lain bagi mendapatkan pulangan kepada kerajaan negeri. “Kami ingin mendapatkan lebih banyak pendapatan dalam sektor inisiatif hijau seperti menjalinkan kerjasama hidrogen dengan PETRONAS,”kata beliau. Dalam masa sama, pihaknya juga telah melawat Sarawak untuk melihat dan mempelajari mengenai inisiatif hijau untuk diimplementasi di Terengganu. "Harapan kami juga, segala hasil usaha daripada keputusan yang diambil dapat dilihat akan datang," ujarnya.  
19 Dec 23
169