Artikel "Utama" Terkini
Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu, 340 Mangsa Dipindahkan Ke PPS
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Terengganu mula mengalami banjir gelombang ketiga dengan daerah Marang, Dungun dan Setiu mula terjejas berikutan hujan lebat tanpa henti selama hampir 24 jam sejak pagi semalam.
Setakat pukul 10 pagi ini, seramai 340 mangsa daripada 91 keluarga sudah berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga daerah terbabit.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 303 mangsa daripada 84 keluarga berada di empat PPS di Dungun manakala 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS di Marang.
“PPS pertama dibuka ialah pada pukul 9.30 malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Dungun yang menempatkan 21 mangsa daripada lima keluarga.
“PPS kedua dibuka ialah di Dewan Sivik Wakaf Tapai, daerah Marang iaitu pada pukul 10 malam tadi (12 mangsa daripada tiga keluarga).
“Seterusnya PPS ketiga dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor pada pukul 12 tengah malam yang menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga kemudian diikuti Balairaya Bembam yang menempatkan dua mangsa daripada sebuah keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang menempatkan 84 mangsa daripada 28 keluarga,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PPS terbaru dibuka adalah di Setiu iaitu Balai Raya Kampung Seladang yang menempatkan 25 mangsa daripada empat keluarga.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.
24 Dec 23
424
Andartu Jaga Anak Angkat Tergolong Sebagai Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Andartu (golongan wanita lanjut usia) yang membesarkan anak angkat termasuk golongan ibu tunggal di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata mereka termasuk dalam 43,471 orang bilangan ibu tunggal yang tercatat di Terengganu.
Menurutnya, apabila mereka pelihara anak angkat sekali gus akan didaftarkan sebagai ibu tunggal.
"Penambahan status tersebut antara faktor penambahan jumlah ibu tunggal di negeri ini, bukan kes penceraian sahaja.
"Seramai 36,140 adalah isteri yang kematian suami manakala 7,331 lagi adalah ibu tunggal akibat perceraian," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd.
Tambah Maliaman, dari segi bantuan pihaknya akan melihat pelbagai kategori sama ada melalui asnaf fisabilillah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai had umur namun kebiasaanya dalam kalangan yang berusia 35 tahun atau 40 tahun ke atas.
"Bila sebut perkataan andartu masyarakat kita sensitif sedikit, seeloknya kita istilahkan sebagai wanita lanjut usia sekiranya tidak berkahwin," ujarnya.
24 Dec 23
165
Amaran Banjir di Terengganu, Bermula Esok Hingga 26 Disember
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.
JPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jangkaan banjir tersebut berlaku di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (5km).
Di Daerah Besut, jangkaan banjir adalah pada 2 pagi (24 Disember) hingga 2 pagi 26 Disember dengan Sungai Besut melibatkan sekitar Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Keruak dan Kampung Pengkalan Nangka.
Manakala di Kemaman pula membabitkan Sungai Kijing iaitu di sekitar Kampung Sungai Mas, Kampung Pelantuh, Padang Kubu, Kampung Paman dan Kampung Sungai Pinang.
Jangkaan banjir di daerah sama juga melibatkan Sungai Kemaman iaitu di sekitar Jambatan Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Darat Air Putih, Rumah Pam Paya Paman, Kampung Binjai, Kampung Bukit Mentok, Kampung Kubang Kurus dan Kampung Fikri.
Amaran banjir itu turut melibatkan Sungai Tebak di daerah sama meliputi kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Jambatan Tebak.
Sementara Sungai Tersat di daerah Hulu Terengganu pula, membabitkan kawasan sekitar KM 8 Jalan Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Bukit Gemuruh.
Menurut JPS, banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan dan daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini turut diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.
23 Dec 23
493
SPM Bukan Titik Pengakhiran
Oleh : Safwan Syakir
KUALA NERUS, 22 Disember - Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu pengakhiran buat pelajar tetapi ia adalah titik permulaan kepada dunia sebenar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, justeru itu, ibu bapa perlu memberi dorongan kepada pelajar yang ingin meneruskan pengajian mereka selepas menamatkan SPM.
“Sebagai ibu bapa, kita harus bersifat adil kepada anak-anak. Di usia remaja, mereka masih memerlukan dorongan dan sokongan kita.
“Ini bagi memastikan anak-anak kita sentiasa bersemangat untuk menempuh hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Penutup Tuisyen Rakyat dan Motivasi Pelajar Peringkat Dun Bukit Tunggal yang diadakan selama empat hari bermula 18 sehingga 21 Disember 2023.
Program tersebut melibatkan seramai 141 orang peserta daripada SMK Bukit Tunggal dan SMK Kompleks Tembesu serta pelajar dari DUN Bukit Tunggal membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Sejarah, Bahasa Melayu dan Matematik yang dikendalikan oleh guru-guru pakar.
Zaharudin turut berharap program pecutan akhir persediaan SPM itu dimanfaatkan sebaiknya dan dijadikan rangsangan motivasi untuk menempuh peperiksaan nanti.
"Buatlah bersungguh-sungguh dan tanamkan azam nak hadiahkan kejayaan SPM untuk ibubapa dan guru-guru sebagai memberikan kegembiraan buat mereka yang selama ini banyak berkorban untuk anak-anak semua.
‘’Pastikan ambil berat tentang solat, jangan tinggal atau lalai walau keadaan apapun, disitu letaknya kunci keberkatan hidup kita disamping usaha yang berterusan dan tidak mengabaikan aspek penjagaan kesihatan diri,’’ ujarnya.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program tersebut termasuk Jabatan Pendidikan Daerah Kuala Nerus, guru-guru, IMITS DUN, Pusat Khidmat, pakar motivasi serta ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha itu.
23 Dec 23
204
Lelaki Goda Isteri Orang Boleh Dipenjara 3 Tahun di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Mana-mana lelaki menggoda perempuan yang telah mempunyai suami boleh disabitkan denda RM5,000 ataupun berdepan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata perbuatan menggoda atau memikat isteri orang adalah satu kesalahan syariah mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.
“Mahkamah syariah juga boleh memerintahkan isteri terbabit supaya kembali patuh kepada suaminya.
“Ini merupakan konsep terdapat dalam syariah sama ada lelaki atau perempuan yang membuat perbuatan tersebut diingatkan sebagai dosa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Tambah Mohd Zakri, di Terengganu tiada sebarang kes suami menggoda isteri orang yang dibawa ke mahkamah syariah negeri inI.
Tambahnya lagi katanya, kes berlaku adalah penceraian kerana isteri mengikut orang lelaki keluar dari rumah.
21 Dec 23
1016
PMINT Dan Anak Syarikat Nadi Penggerak Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - PMINT dan anak-anak syarikat kumpulannya kini diberi kepercayaan tinggi sebagai salah satu nadi penggerak ekonomi negeri.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, anak syarikat kerajaan negeri itu diharap melipatgandakan usaha dan kerja untuk meningkatkan pembangunan negeri.
“Keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu telah memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat.
“Urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan Corporate Social Responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023, di sini hari ini.
Katanya, PMINT dan anak-anak syarikat kumpulan PMINT melalui sektor pembangunan hartanah, perlombongan Mineral dan REE, pertanian, pembuatan, pelancongan, perhotelan dan pengangkutan awam telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif.
“Kali ini kita bergerak dengan misi yang lebih besar. Jika penggal pertama, kita bergerak dengan gear satu, kali ini terus gear tiga...tentunya lebih banyak perkara yang lebih agresif perlu kita laksanakan.
“Saya juga berharap PMINT dan Kumpulan Anak Syarikat akan terus memperkasakan peranan untuk membantu kerajaan negeri dalam usaha mengalakkan pertumbuhan ekonomi, industri dan perdagangan dengan mengendalikan peluang perniagaan dalam industri yang lebih kompetitif,”ujarnya.
21 Dec 23
339
Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023 Sasar Lebih 20 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023 mensasarkan lebih 20,000 pengunjung ke program yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 23 Disember 2023.
Pengarah Programnya, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata penganjuran festival yang julung-julung kalinya diadakan melibatkan sembilan buah anak syarikat Kumpulan PMINT iaitu Pertima, Permint Mineral, Permint Granite, TADC, Taman Tamadun Islam, Cas Ligas, P-EXCELL, PMINT Urus dan Paya Bunga HOTEL.
“Sepanjang tiga hari ini orang ramai akan disajikan dengan pelbagai acara menarik yang telah disusun bagi meriuhkan suasana di tengah bandar dan ianya pasti akan menjadi tumpuan para pengunjung untuk hadir.
“Antara acara yang disusun adalah Hot Wheels Tournament, MonsoonFun Walk, Bicara Murabbi, Foodtruck dan Pesta Makan.
“Kumpulan PMINT sendiri juga akan menawarkan pelbagai pengisian menarik mengikut syarikat masing-masing,“ katanya ketika berucap di majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, di sini hari ini.
Dalam majlis yang sama , turut dilaksanakann pelancaran label baru PERTIMA yang telah lama bertapak sejak penubuhan syarikat pada tahun 1972 .
Beliau yang juga Pengurus Besar PERTIMA Trengganu Sdn Bhd, berkata dengan penglabelan baru tersebut, ia akan memberi nafas baru kepada PERTIMA untuk menjadi peneraju utama dalam sektor pembuatan produk makanan dalam tin di Malaysia dan membina pasaran yang baik di peringkat global.
21 Dec 23
354
Penjawat Awam Perlu Jauhi Perasaan Hasad Dengki
KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja menyeru penjawat awam menjauhi perasaan hasad dengki antara satu sama lain agar tidak terganggu tugas hakiki untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, sifat sedemikian walaupun nampak biasa tetapi sebenarnya adalah gangguan jiwa dan tidak mendatangkan sebarang faedah.
"Dalam kita meraikan kecemerlangan dan kejayaan dikalangan pegawai dan kakitangan, kadang-kadang ada sedikit ketidakpuasan hati dikalangan kita semua.
"Sebagai manusia kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, sekiranya ada ketidakpuasan hati dikalangan kita semua, saya lebih terbuka untuk mendengar secara berdepan, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2023.
Pada majlis tersebut seramai 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman bagi bulan Oktober, November dan Disember menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan Penyerahan Sijil Penarafan Lima Bintang Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia (SKPPSM) Tahun 2023 kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Katanya, memendam perasaan dan perasaan hasad dengki, suka adu domba, "dok leh selih", berahi ngadu antara penyakit mental yang perlu diberikan perhatian segera.
Dalam perkembangan lain, Tengku Seri Bijaya Raja mengingatkan warga kerja Wisma Darul Iman untuk mengambil langkah berjaga- jaga bagi mengekang penularan virus COVID-19.
"Jalankan penilaian kendiri sekiranya mempunyai gejala serta amalkan langkah pencegahan kesihatan awam untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan di tempat kerja.
"Bagi kes-kes kontak rapat, dinasihatkan untuk mengambil langkah- langkah yang perlu bagi mengekang penularan virus ini, " ujarnya.
21 Dec 23
494
Kerajaan Bina Culvert Tambahan Tangani Banjir
KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan negeri menyambung pemasangan 'culvert' sepanjang 15.24 meter (50 kaki) lagi sebagai langkah jangka pendek untuk mengurangkan risiko banjir termenung di Kampung Rawai, Marang dekat sini beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahwanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arrifin Deraman berkata 'culvert' berkenaan selesai dipasang kelmarin dan air mengalir keluar dengan baik dari kawasan takungan di kampung tersebut.
"Air hujan termenung telah mengalir keluar dengan pemasangan 'culvert' berkenaan walaupun masalah banjir termenung di kampung itu masih tidak dapat diatasi sepenuhnya.
"Sekurang-kurangnya sebahagian masalah air hujan bertakung di kampung Rawai itu sedikit sebanyak segera diatasi dan masalah penduduk di situ dapat dikurangkan," katanya dalam kenyataan media hari ini mengulas lanjut kejadian air hujan termenung di Kampung Rawai Marang baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, turut berlaku kejadian yang sama di Kampung Pak Madah, Kampung Alur Limbat, Kampung Tebakang dan Kampung Surau Titian Tok Hawa Marang apabila hujan turun dengan lebat dalam masa dua jam tanpa henti.
Katanya, tidak dinafikan antara punca kejadian adalah akibat dari kerja-kerja pembinaan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) yang masih berjalan dan memberi kesan sedikit sebanyak kepada pengaliran air banjir keluar dari kampung-kampung berkenaan.
"Jika pembinaan landasan kereta api selesai, kita akan dapat melihat permasalahan secara menyeluruh," ujarnya.
Kerajaan negeri katanya akan berbincang dengan ECRL bagi mengatasi masalah tersebut dan pihak pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat telah mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah penduduk di kampung-kampung terbabit.
Beliau berkata kerajaan juga telah berbicang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Penghulu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung terbabit untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.
21 Dec 23
423
PPS Terengganu Sedia Tampung 147,590 Mangsa Sekiranya Banjir Besar
MARANG, 20 Disember - Sebanyak 590 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini telah dikenal pasti untuk menampung sebanyak 147,590 mangsa banjir pada satu-satu masa.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata dalam aspek penyimpanan barangan keperluan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mempunyai satu buah depoh, 14 mini depoh dan 162 pangkalan hadapan.
“Bagi pengoperasian di PPS, sebanyak 7,310 'collapsible tent' telah disediakan untuk memberikan keselesaan kepada mangsa-mangsa bencana.
“JKM juga memperuntukan sebanyak RM3.98 juta melibatkan peruntukan persekutuan sebanyak RM2.14 juta dan peruntukan negeri sebanyak RM1.84 juta bagi menghadapi bencana di negeri Terengganu pada tahun 2023,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan kerja Depoh Simpanan Keperluan bencana dan Asrama Rusila bertempat di Marang di sini semalam.
Lawatan disertai oleh Menteri Pembangunan Wanita ,Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Hadir sama, Ketua Pengarah JKM, Norazman Othman dan Pengarah JKM Negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd. Manan.
Tambah Maliaman, sebagai langkah kesiap siagaan menghadapi bencana, sebanyak lapan program latih amal dan simulasi pengurusan bencana telah dijalankan di seluruh daerah di negeri ini.
Untuk rekod, JKM dalam pengurusan bencana menyedia dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas kepada mangsa dan memberi bimbingan nasihat dan kaunseling kepada mereka.
Katanya, ia terdiri daripada premis sekolah, balai raya, masjid dan sebagainya.
Dalam aspek logistik, sebanyak 26 kenderaan disediakan merangkumi kenderaan jenis lori, van, 4x4, MPV dan kereta akan akan digunakan semasa operasi bencana.
Jelasnya lagi katanya, dalam memastikan kelancaran operasi semasa bencana, JKM mempunyai beberapa rakan strategik seperti daripada agensi kerajaan dan swasta yang bersedia menyumbang dari segi logistik, barangan keperluan kepada mangsa terlibat.
20 Dec 23
268