lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

MBKT Arah Penutupan Pemis Beli Belah 1 Syawal
MBKT Arah Penutupan Pemis Beli Belah 1 Syawal
KUALA TERENGGANU, 9 April – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di kawasan MBKT tutup sepenuhnya pada 1 Syawal. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latiff berkata premis makanan segera, kedai runcit 24 jam, kedai serbaneka seperti 7 Eleven, Trealeaf Mart, DIY, Eco Shop dan berkaitan pula diarah tutup bermula 12 tengah malam menjelang 1 Syawal. “Kebenaran beroperasi semula adalah bermula pada jam 1 tengah hari pada hari raya pertama. “Notis berkaitan arahan itu sudah diedarkan kepada pengurusan dan pemilik gedung perniagaan, selain makluman melalui pelbagai laman sosial termasuk Facebook (FB) (MBKT),” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi MBKT kelmarin. Tambah Rosli, penutupan premis perniagaan ini bertujuan menghormati bulan Syawal dan pekerja Islam.  Beliau memohon kerjasama semua pengusaha dan pemilik pasar raya bagi memastikan tiada sebarang aktiviti perniagaan pada sambutan Aidilfitri. “Pemilik premis dan pengusaha perniagaan beragama Islam yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan, termasuk pembatalan lesen perniagaan,” ujarnya.            
09 Apr 24
157
Polis Terengganu Tumpu 34 Lokasi  'Hotspot' Kemalangan Dalam Op Selamat
Polis Terengganu Tumpu 34 Lokasi  'Hotspot' Kemalangan Dalam Op Selamat
HULU TERENGGANU, 9 April - Polis mengenal pasti 34 kawasan 'hotspot'  berlakunya kemalangan di Terengganu terutama ketika musim perayaan ini. Ketua Polisnya, Datuk Mazli Mazlan berkata ia membabitkan 30 jalan persekutuan dan empat jalan negeri termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2). "Kita telah kenal pasti kawasan hotspot (kawasan kerap berlaku kemalangan) dan kawasan blackspot (kawasan berlaku kemalangan maut) di negeri ini. "Kita akan tempatkan anggota polis trafik di kawasan titik panas berkenaan yang dijangkakan berlaku peningkatan kenderaan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas hadir pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri peringkat negeri di Plaza Tol Ajil, LPT2, di sini hari ini. Tambah Mazli, seramai 41 pegawai dan 454 anggota polis Kontinjen Terengganu digerakkan untuk menjayakan Op Selamat 22 sempena Aidilfitri bermula hari ini sehingga 13 April ini. "Pasukan itu akan menumpukan kepada pencegahan jenayah pecah rumah, mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan kelancaran trafik," ujarnya. Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman supaya memaklumkan kepada polis agar pemantauan boleh dilakukan di kawasan kediaman mereka.  
09 Apr 24
225
Bubur Lambuk Air Tangan Tunku Azizah Buat Penghuni Penjara Marang
Bubur Lambuk Air Tangan Tunku Azizah Buat Penghuni Penjara Marang
MARANG, 8 April - Lebih 3,000 bubur lambuk air tangan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diagihkan kepada penghuni Penjara Marang, di sini, semalam Kelincahan Baginda 'beraksi' memasak bubur lambuk resepi istimewa berjaya menarik perhatian dan telah menceriakan penghuni di penjara itu. Baginda berkata, sebanyak tujuh periuk bubur lambuk disediakan dengan menggunakan pelbagai bahan yang segar dengan kandungan protein yang tinggi dan menjadi kesukaan ramai setiap kali disediakan di luar istana. "Sebenarnya, tiap-tiap tahun sebelum saya jadi Permaisuri pun, memang suka memasak untuk rakyat jelata apatah lagi bubur lambuk memang sinonim dengan kedatangan Ramadan. "Bermula tahun lepas, saya mula menyediakan bubur lambuk ini di Penjara Penor dan Bentong di Pahang. Alhamdulillah, hari ini rezeki penghuni di Penjara Marang pula merasai sendiri air tangan dari Istana Pahang," titah baginda.   Terdahulu, ketibaan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; serta dua puteri Terengganu iaitu Tengku Puteri Utama, Tengku Dato' Seri Nadhirah Zahrah Sultan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra. Titah baginda lagi, bubur lambuk Terengganu dan Pahang tidak banyak beza berbanding resipi bubur lambuk di negeri lain, terutama Kuala Lumpur yang terkenal dengan bubur lambuk Kampung Baru. Baginda memaklumkan, resipi bubur lambuk Pahang dan Terengganu banyak menggunakan ikan, pelbagai pucuk paku merah, lada hitam dan santan. "Namun kali ini, kita bawakan khas resipi bubur lambuk Istana Pahang yang menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam sebagai ramuan utama di samping bahan lain yang biasa digunakan dalam proses pembuatan bubur lambuk. "Penjara Marang sangat dekat di hati saya, kerana ada produk keluarannya yang sangat istimewa iaitu songket tenunan asli Terengganu," titah Baginda. Baginda juga bertitah, sebagai  Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, usaha mereka dalam memartabatkan seni warisan sangat dihargai. "Justeru itu penyediaan bubur lambuk Istana Pahang ini adalah antara inisiatif untuk menceriakan mereka pada Ramadan," kata Baginda.
08 Apr 24
974
Terengganu Optimis Capai Pelaburan Baharu RM5 Billion
Terengganu Optimis Capai Pelaburan Baharu RM5 Billion
KUALA TERENGGANU, 8 April – Kerajaan negeri optimis dapat mencapai jumlah pelaburan masuk ke Terengganu sebanyak RM5 billion tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan kejayaan Terengganu dalam merealisasikan pelaburan masuk bernilai RM2.4 bilion yang dicatat pada bulan Mac lepas. Katanya, rekod pencapaian tersebut dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). “Insya-Allah, dengan usaha yang berterusan kita boleh melepasi lebih RM5 billion cuma biarlah kita letak target itu dahulu untuk dicapai pada tahun ini. "Di samping, ia juga sebagai pemangkin untuk kita menarik lagi pelabur-pelabur untuk datang ke negeri Terengganu bagi tahun-tahun yang akan datang,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini. Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam pelbagai sektor. Katanya, seperti sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac tahun ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion.  “Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta. “Melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, beliau percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.  “Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” ujarnya.  
08 Apr 24
1062
Aidilfitri:70,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu
Aidilfitri:70,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 April – Polis Terengganu menjangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan. Sehubungan itu, pihaknya sudah menambah anggota khususnya bahagian trafik bagi mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas untuk memastikan kelancaran serta keselamatan trafik terutama di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Katanya, bagi memastikan pengguna tidak terperangkap dalam kesesakan, kita akan menggerakkan elemen-elemen trafik untuk melancarkan semua laluan di Terengganu. "Antara langkah yang akan diambil adalah membuat lencongan jalan atau meletakkan anggota trafik di kawasan lampu isyarat atau kawasan yang mempunyai banyak simpang bagi melancarkan laluan. "Biasanya daerah Setiu dan Besut akan mengalami kesesakan yang teruk kerana ia turut menjadi laluan perantau yang mahu pulang ke Kelantan," ujar beliau. Mazli berkata, seramai 210 pegawai dan anggota trafik ditugaskan dengan dibantu balai-balai berhampiran bagi memastikan kelancaran trafik serta memantau jalan yang sesak seterusnya mengambil tindakan perlu. Katanya, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak berkuasa selain mengikuti perkembangan semasa aliran lalu lintas di Terengganu. Sementara itu, jumlah kenderaan dilihat mula bertali arus memasuki pintu masuk Terengganu sejak semalam berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman. Tinjauan UPDI mendapati, jumlah kenderaan semakin bertambah sejak malam tadi, namun trafik lancar dan dijangka keadaan itu berterusan menjelang malam raya.
07 Apr 24
164
LPT2 Buka 10 Plaza Tol Bantu Elak Kesesakan
LPT2 Buka 10 Plaza Tol Bantu Elak Kesesakan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Bagi melancarkan pergerakan kenderaan serta membantu pelanggan sempena musim perayaan kali ini, pihak Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) membuka 10 plaza tol untuk semua lorong bagi mengelak kesesakan aliran lalulintas. Pengurus  Wilayah LPT2 TS Shuhaimi Samad berkata walaubagaimanapun LPT2 memberi tumpuan di plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu dan Plaza Tol Kuala Terengganu di Bukit Gemuruh. " LPT2 lebih memberi tumpuan kepada plaza tol Kuala Terengganu memandangkan peningkatan trafik yang dijangka meningkat sehingga lewat petang ini,”ujarnya kepada pemberita. Beliau juga memaklumkan dua lorong ditambah di Plaza Tol gemuruh  bagi memudahkan pembayaran menggunakan pidion bagi melancarkan trafik menjadikan keseluruhan penambahan empat kaunter berbanding tiga sebelum ini. Dalam pada itu, dijangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.
07 Apr 24
638
163 Banduan Dilepaskan Secara Berlesen Sempena Aidilfitri
163 Banduan Dilepaskan Secara Berlesen Sempena Aidilfitri
MARANG, 7 April -  Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 membawa makna besar kepada 163 banduan dari Penjara Marang, hari ini. Pengarah Penjara Terengganu,  Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, pembebasan itu bagi mencipta peluang kedua kepada mereka untuk berubah sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir. "Kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan- kesalahan kecil seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah (jumlah yang kecil). "Mereka juga akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak penjara. "Kita berharap kesemua mereka akan memanfaatkan pembebasan ini dengan penuh keinsafan dan kesyukuran untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, salah satu komitmen Jabatan Penjara yang bukan sahaja untuk memberi peluang kepada banduan menyambut perayaan bersama keluarga tetapi membuka ruang bagi mereka mendapatkan pekerjaan. "Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan. "Gaji mereka sama sahaja dengan pekerja di luar iaitu tidak kurang dari RM1,500 sebulan," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, semua banduan yang masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran untuk berjumpa keluarga mereka pada hari raya ketiga Aidilfitri nanti. "Semoga pertemuan itu nanti dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga untuk menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir," katanya. Program PBSL ini merupakan antara komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan Pemulihan Dalam Komuniti dan merupakan langkah untuk pengintegrasian semula penghuni di dalam masyarakat dan kesesakan dalam penjara.
07 Apr 24
480
63 Orang Asnaf Terima Sumbangan Komuniti
63 Orang Asnaf Terima Sumbangan Komuniti
Oleh : Abdul Fattah Kamarudin MARANG, 7 April - Seramai 63 orang golongan asnaf di Dewan Undangan Negeri Pengkalan menjadi penerima sumbangan tajaan pihak komuniti Sungai Serai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong  berkata, bantuan-bantuan yang diberi sebelum tahun lalu seperti i-fitri tidak dapat diberikan.  "Kerana duit royalti hak milik kerajaan Negeri Terengganu telah pun disekat,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan sumbangan tersebut  Kedai Runcit Kak Ma, Sungai Serai baru-baru ini.
07 Apr 24
81
Bekas Pekerja i-MiTS Terima Pampasan RM44, 499
Bekas Pekerja i-MiTS Terima Pampasan RM44, 499
Kuala Terengganu, 8 April- Bekas Pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Samiah @ Azizah Awang, 59,telah menerima faedah hilang upaya kekal oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan pampasan diterima sebanyak RM44, 499.00 secara keseluruhan.  Pengarah PERKESO, Che Farihah Husin berkata bekas kakitangan i-MiTS itu telah dicarumkan di bawah Akta 4 PERKESO oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Pengurusan).  *Pada 16 Mac 2020 Orang Berinsurans ( OB ) Samiah telah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya ketika perjalanan pulang ke pejabat dalam waktu rehat yang dibenarkan majikan. "Akibat kemalangan tersebut OB telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan dan telah disahkan mengalami kecederaan pada di kepala dan luka di bahagian kiri badan. "Pejabat ADUN Alur Limbat telah melaporkan kemalangan tersebut kepada PERKESO dan hasil daripada siasatan yang dijalankan ole Pegawai Faedah, kes disahkan sebagai Bencana Pekerjaan. "OB telah mendapat Cuti Sakit selama 151 hari dan telah menerima bayaran pampasan Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dengan keseluruhan berjumlah RM7046.00, " ujarnya.  Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Faedah Hilang Upaya Kekal tersebut bersama ADUN Alur Limbat kepada penerima terbabit, di sini, semalam.  Mengulas lebih lanjut, Farihah berkata Samiah  telah menghantar permohonan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) ke Pejabat PERKESO Negeri Terengganu pada 19 Jun tahun lalu dan telah dirujuk ke Sidang Jemaah Doktor PERKESO pada 30 Mac 2023 dangan taksiran hilang upaya sebanyak 20%. "Peratus keputusan tersebut telah melayakkan OB menerima pampasan bayaran Faedah HUK berjumlah RM44,499.00 yang telah dikreditkan ke akaun OB. Dalam pada itu, Pengarah PEKESO Negeri Terengganu telah mengumumkan Pejabat ADUN Alur Limbat sebagai Rakan Skuad Prihatin PERKESO. "Dengan pengikhtirafan ini, diharapkan pejabat DUN ini akan menjadi rujukan dan tempat untuk masyarakat setempat tuju bagi mendapatkan maklumat serta persoalan," katanya.  Sementara itu Ariffin  berharap dengan hubungan baik yang terjalin itu akan membantu lebih ramai pencarum untuk menuntut faedah-faedah yang ditawarkan oleh PERKESO serta menjadi hub rujukan.
07 Apr 24
310
560 Fakir Miskin Dan Anak Yatim Ceria Terima Sumbangan
560 Fakir Miskin Dan Anak Yatim Ceria Terima Sumbangan
DUNGUN, 7 April- Seramai 560 keluarga fakir miskin dan 171 anak yatim diraikan dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Peringkat Dun Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, Alor Mak Bah semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli memaklumkan, agihan itu melibatkan 28 kampung dalam Dun Rantau Abang. “Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan keluarga fakir miskin dan anak yatim untuk menyambut lebaran yang bakal disambut tidak lama lagi,"  katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Fakir Miskin dan Anak Yatim Dun Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, di sini. Mengulas lanjut katanya, program berkenaan bukan program julung kali diadakan bahkan ia merupakan program tahunan yang diadakan setiap tahun bagi menyalurkan sumbangan kepada fakir miskin dan meraikan anak-anak yatim di dalam DUN Rantau Abang untuk mereka menyambut aidilfitri dengan penuh kecerian. “Sumbangan yang diberikan ini mungkin tidak besar tetapi saya yakin ia cukup bermakna kepada mereka yang memerlukan. Ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban penerima untuk menyambut lebaran yang akan menjelang,” katanya.
07 Apr 24
198