Artikel "Utama" Terkini
UMT Jalin Kerjasama Dengan NEST
KUALA TERENGGANU, 16 April- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, melalui kerjasama tersebut, IBTPL telah merangka pelbagai program termasuk usaha pembangunan modal insan dalam melahirkan pemandu pelancong (guide) yang terdiri daripada komuniti setempat dan memberi pendedahan berkenaan pengetahuan aktiviti pencerapan burung di beberapa lokasi dalam negara.
Katanya, jalinan kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada penyelidik dan juga komuniti sekitar.
“Pemeteraian MoU ini juga akan membawa pelbagai manfaat khususnya kepada komuniti tempatan melalui program pemindahan ilmu antara penyelidik UMT serta kepakaran daripada pihak NEST berkaitan ilmu biodiversiti serta aktiviti lain seperti pencerapan burung, pengenalan dan pengecaman kepada spesies burung yang terdapat di kawasan tertentu khususnya Tasik Kenyir.
“Usaha ini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dengan kehadiran pelancong sekaligus memberi limpahan rezeki kepada pengusaha rumah inap, resort, pengusaha makanan dan produk makanan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kepakaran yang dimiliki UMT dan kelebihan fasiliti stesen penyelidikan serta sokongan daripada NGO mampu memberi impak besar kepada sektor pembangunan dan pelancongan di Tasik Kenyir.
Sementara itu, penyelidik UMT, Dr. Siti Norasikin Ismail menganggap kolaborasi itu merupakan platform terbaik bagi kerja-kerja penyelidikan selain penghasilan bahan penerbitan berimpak melalui perkongsian sumber serta kepakaran dalam pelbagai bidang seperti pemeliharaan biodiversiti, pembangunan mampan dan kelestarian alam.
16 Apr 24
259
Terengganu Lindung Kepentingan Pengilang Padi Bumiputera
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri ini dijual ke kilang padi di negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau itu melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi negeri.
Azman berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi dari dijual keluar dengan kerjasama Bernas.
“Justifikasi kawalan ini disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam Terengganu.
“Di negeri ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi dan tiga daripadanya adalah milik bumiputera,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, berdasarkan justifikasi tersebut, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera.
“Antaranya melalui arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.
“Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” ujarnya.
Katanya, selain itu Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain.
“Bahagian Kawalselia Padi dan Beras juga menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan.
“Sementara, pihaknya akan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1300/tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan,” ujarnya.
16 Apr 24
309
Mangsa Tragedi Malam Syawal Terima Bantuan Segera
BESUT, 16 April - Kegembiraan jelas terpancar diwajah Mohd Asrol Nizam Mat Hussin, 37 tahun, yang menerima bantuan segera setelah rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pertama syawal, Rabu lalu di Kampung Beris Pak Abu.
Sumbangan wang tunai serta pakaian itu disampaikan oleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Teregganu (MAIDAM), Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai PPD dan Guru Besar Sekolah Kampung Bharu, semalam.
Azbi salleh berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan sebagai tanda prihatin kepada mangsa.
“Hari ini (semalam), kita juga telah menyumbang bantuan kewangan dan baju sekolah baharu kepada anak mangsa dan berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka.
Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mereka sekeluarga” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu.
Dalam pada itu, beliau berharap agar musibah yang dialami Mohd Asrol Nizam Mat Hussin dan berharap mereka sekeluarga tabah meneruskan kehidupan.
15 Apr 24
448
Royalti : Kenyataan MOF Berbeza Dengan Perbincangan Asal
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kenyataan terbaru Kementerian Kewangan (MOF) berkait pembayaran royalti petroleum atau wang ehsan Terengganu tak sama dengan pendirian asal Perdana Menteri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan beberapa minggu lalu berkisar perkara sebaliknya berbanding pengumuman MOF baru-baru ini.
"Tidak sama dengan yang telah dibincang (lain dibincang lain dibuat).
"Tetapi tak apa, kita cari jalan untuk atasi masalah ini, kita sebenarnya jangka penyaluran terus ke kerajaan negeri untuk baki lebih RM700 juta lagi untuk 2023, baki tahun lepas sebagaimana dibincang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sewaktu Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MB Terengganu di Pekarangan Kediaman Seri Iman.
Menurut Ahmad Samsuri, kenyataan itu juga jelas menunjukan bayaran royalti Terengganu tidak akan disalur sebagaimana sebelum ini.
"Tidak sama dengan 10-15 tahun lalu, cara penyaluran ke negeri dan kita akan 'adapt' dengan cara ini.
"Ini kali pertama kita berhadapan dengan situasi ini, sebahagiannya kita akan sebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir bulan ini," katanya.
Ditanya sama ada Kerajaan Negeri berpuas hati atau tidak dengan kenyataan MOF itu, Ahmad Samsuri berkata semuanya akan dijawab dalam persidangan DUN.
Terdahulu, Ahmad Samsuri menghargai penyaluran wang ehsan bernilai RM172.3 juta Mac lalu oleh Kerajaan Persekutuan.
"Merujuk pada kenyataan media Kementerian Kewangan bertarikh 8 April 2024, berkait dengan pemberian wang royalti (disebut wang ehsan oleh Kerajaan Persekutuan) - ucapan terima kasih daripada pihak pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
"Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin," jelasnya yang mengatakan orang ramai bebas untuk membuat apa-apa tafsiran terhadap kenyataan tersebut.
15 Apr 24
5900
Guna Pelbagai Cara Kembalikan Royalti ke Bumi Terengganu
MARANG, 15 April – Kerajaan negeri sedang meneroka segala ruang sama ada melalui agama, politik dan undang-undang bagi mengembalikan semula hak royalti yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Terengganu.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, saluran agama melibatkan solat hajat sebagai ungkapan doa bagi mereka yang dizalimi turut akan dilakukan apabila tiba masanya.
“Baru-baru ini Terengganu ingin melaksanakan manajat namun ditangguhkan kerana kerajaan pusat membayar wang ehsan yang disebut sebagai royalti, walaupun jumlahnya sedikit.
“Bagi tindakan politik, seperti yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu berunding bagi mencari jalan penyelesaian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada perantau pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Perantau Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang di sini baru-baru ini.
Sementara untuk tindakan undang-undang, Abdul Hadi menegaskan bahawa langkah tersebut akan melibatkan urusan Mahkamah.
"(Hingga ke peringkat itu akan diusahakan jika royalti masih tidak dibayar). Bergantung kepada bidang kuasa mahkamah, menunjukkan keputusan yang dilakukan akan berlandaskan keadilan.
Beliau menekankan bahawa langkah-langkah tersebut akan diambil dengan kesabaran.
Namun demikian, Terengganu juga memanfaatkan hasil sumber lain seperti Unsur Nadir Bumi (REE), yang dilihat sebagai satu sumber asli dengan nilai yang tinggi dalam dunia hari ini.
“Terdapat sumber asli tersebut di Malaysia dan paling banyak berada di negeri Terengganu,” katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa hak royalti terang-terangan dilanggar oleh kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, pelanggaran terhadap perjanjian, perlembagaan undang-undang dan demokrasi.
Beliau mengingatkan peristiwa krisis antara kerajaan pusat dengan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Di mana upaya kerajaan pusat untuk mengambil alih hasil bumi tersebut menyebabkan ketegangan yang serius dan akhirnya diputuskan untuk diadakan rundingan bagi mencari penyelesaian.
“Sebagai contoh, Sabah dan Sarawak pada masa itu telah mencabar untuk keluar dari Malaysia sebelum akhirnya dipersetujui untuk mengadakan Akta Petroleum,” katanya.
Beliau berkata, iaitu bahawa hasil petroleum akan diberikan kepada syarikat petroleum tertentu.
“Dengan lima peratus diberikan kepada negeri dan lima peratus kepada kerajaan pusat dan selebihnya diurus oleh syarikat petroleum yang juga dibawah pusat,” ujarnya.
15 Apr 24
1036
Muhtar Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Mulai 17 April
KUALA TERENGGANU, 15 April – Mantan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC (Group Chief Operating Officer (GCOO), Muhtar Suhaili dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC (Group Chief Executive Officer (GCEO)) yang baharu berkuatkuasa 17 April nanti.
Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (“EPIC Berhad”)dalam satu kenyataan berkata pelantikan Muhtar sebagai menggantikan Ridzuan Ali yang akan menamatkan perkhidmatan beliau pada 16 April 2024.
Muhtar mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam industri minyak dan gas, automotif, komoditi, pengurusan pelabuhan, sektor logistik, dan tenaga boleh diperbaharui.
Sebelum menyertai EPIC Berhad pada Disember 2022, Muhtar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer (CEO)) di Malaysian Timber Council (MTC), dan sebelumnya berkhidmat bersama Shell selama 15 tahun dan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.
Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). Muhtar mempunyai pengalaman bekerja di Malaysia dan luar negara, iaitu di Belanda dan Jerman, dan mendapat pendedahan meluas hasil daripada lawatan ke 39 negara di seluruh dunia.
Dengan pelantikan tersebut, Muhtar berhasrat menggunakan pengalaman mengendalikan pelbagai projek mega dan pengurusan kontrak perniagaan di peringkat tempatan mahupun luar negara untuk membawa EPIC ke peringkat kejayaan yang lebih tinggi.
Misi beliau adalah untuk menjana pertumbuhan perniagaan syarikat di samping memperkasa sumber tenaga modal insan dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian beliau di sektor minyak dan gas.
Dalam masa sama, Kumpulan EPIC, meletakkan kepercayaan dan keyakinan tinggi terhadap Muhtar dengan pengalaman dan kepakaran yang luas yang dimilikinya, prestasi syarikat akan terus meningkat sekaligus menyumbang terhadap ekonomi negeri.
15 Apr 24
999
Majlis Hari Raya DUN Kuala Besut Disambut Meriah
BESUT, 14 April - Keceriaan tujuh stesen makanan dan minuman dengan lebih daripada 15 menu disediakan telah berjaya menarik ribuan pengunjung untuk datang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Besut, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kebiasaanya sebelum ini yang menjadi juadah istimewa sebelum ini adalah gulai kawah namun pada kali ini ditampilkan kelainan dengan mempelbagaikan hidangan dan minuman.
Katanya, majlis sambutan raya pada kali ini juga mendapat kerjasama erat antara DUN Kota Putera, DUN Jerteh, DUN Hulu Besut, Dewan Ulama, PAS Kawasan Besut, Muslimat PAS Kawasan Besut, Pemuda PAS Kawasan tersebut serta Ameerah Kawasan Besut,
"Melalui kerjasama dengan mereka telah berjaya menyediakan pelbagai menu, antaranya gulai kawah, nasi dagang, kambing golek, nasi minyak, sate, locen, apam balik, 10 jenis air balang, kuih-muih dan tidak asing untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan biskut raya.
"Kemeriahan majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu terhormat, antaranya ADUN Kota Putera Nurkhuzaini Ab. Rahman, ADUN Jerteh,Dr. Riduan Mohammad Nor, ADUN Jerteh,ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin sertra turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Terengganu Senator Dato' Haji Husain Awang," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi menceriakan kanak-kanak yang hadir duit raya turut diberikan juga kepada kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah.
"Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKM Kuala Besut, yang diadakan bermula jam 9.30 pagi hingga jam 2.30 petang.
"Alhamdulilla, saya lihat jumlah kehadiran yang sangat luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut dihadiri tetamu dari jabatan-jabatan Kerajaan yang turut serta bagi memeriahkan majlis ini.
"Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah dan AJK Penatia yang bertungkus-lumus bagi menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada Unit Amal berpanas terik menjalankan tugas bagi melancarkan aliran trafik,"ujarnya lagi.
15 Apr 24
404
Iran Serang Israel
KUALA TERENGGANU, 14 April - Tentera Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu balistik ke atas sasaran-sasaran utama di negara haram Zionis Israel sebagai tindakbalas terhadap pengeboman bangunan Kedutaan Iran di Damsyik, Syria pada minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata berikutan serangan tersebut, sebanyak 726 amaran merah dikeluarkan oleh pihak keselamatan negara haram Israel yang meliputi hampir separuh negara haram tersebut dengan siren amaran dibunyikan dihampir keseluruhan negara haram Israel.
Katanya, dipercayai lebih daripada 100 buah dron dan puluhan peluru berpandu balistik dilancarkan IRGC ke atas negara haram Israel dengan kebanyakkan daripada mengenai sasaran walaupun dilaporkan sistem anti peluru berpandu regim Zionis Israel “Iron Dome” berjaya memintas majoriti daripadanya.
"Media Isreal dan kemudiannya pihak berkuasa regim Zionis Israel melaporkan sekurang-kurangnya tujuh peluru berpandu balistik IRGC telah mengenai sasarannya ke atas pengkalan tentera udara utama tentera udara regim zionis Israel iaitu pengkalan udara Ramon yang terletak di Negev.
"Beberapa buah sasaran utama lagi seperti pengkalan tentera Nevatim Israel di Al-Naqab turut menerima nasib sama dihujani peluru berpandu balistik IRGC," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Dr Khalil, serangan tersebut juga menyebabkan banyak kawasan di negara haram Israel berhadapan dengan kemusnahan yang menyebabkan pendatang haram yahudi panik dan berpusu-pusu keluar ketakutan untuk mencari perlindungan di tempat perlindungan bom ( bomb shelter ) khususnya dikawasan bandar seperti Tel Aviv.
Menurutnya, berikutan serangan tersebut juga menyebabkan berlaku pertempuran sengit antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera regim Zionis Israel di kebanyyakan tempat di sekitar Tebing Barat.
"Wakil tetap negara haram Israel di PBB telah menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya mengadakan sidang tergempar berikutan serangan Iran ke atas negara haram Israel dengan Setiausaha Agung PBB segera mengeluarkan kenyataan mengecam keras serangan tersebut.
"Dilaporkan masih terdapat ratusan buah dron lagi yang dalam perjalanan ke arah sasarannya di negara haram Zionis Israel," ujarnya.
14 Apr 24
278
20,000 Orang Serbu Rumah Terbuka MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 April - Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Terengganu berlangsung meriah dengan kehadiran sekitar 20,000 pengunjung di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk di sini.
Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi hingga jam 2.00 petang itu bukan sahaja dihadiri kalangan rakyat beragama Islam malah turut dimeriahkan dengan kehadiran komuniti bukan Islam.
Pelbagai juadah disediakan kepada orang ramai yang hadir seperti sate ikan, nasi impit, ketupat, pulut, tapai, rendang ayam dan daging, lemang serta pelbagai jenis minuman.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang beramah mesra serta berswafoto dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isterinya Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.
Dalam majlis itu, kanak-kanak yang hadir turut diraikan apabila menerima sumbangan duit raya daripada pemimpin nombor satu negeri Terengganu itu.
Kehadiran pengunjung dilihat amat menggalakkan apabila ada diantara mereka terpaksa memakirkan kenderaan sejauh kira-kira lima kilometer dan berjalan kaki menuju ke majlis tersebut.
10 Apr 24
1820
Sultan Mizan Solat Hari Raya Bersama Lebih 3,000 Jemaah Ladang
KUALA TERENGGANU, 10 April – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bersama lebih 3,000 jemaah di sini.
Baginda tiba jam 8.10 pagi diiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Solat Sunat Aidilfitri itu telah diimamkan oleh Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron yang turut menyampaikan khutbah Aidilfitri yang bertajuk Aidilfitri Hari Bersyukur.
Khutbah menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya dengan penuh ketaqwaan dan mengeratkan silaturrahim sesama manusia.
Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakandanya, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.
Sultan Mizan dan anakandanya turut berkenan meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dengan jemaah.
10 Apr 24
494