Artikel "Utama" Terkini
ADUN Air Putih Santuni Mangsa Kebakaran
KEMAMAN, 31 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam hari ini menyantuni mangsa kebakaran rumah, Nor Suriani Mohd Mustafa, 44, di sini hari ini.
Kebakaran yang berlaku sekitar pukul 5 petang semalam mengakibatkan sebahagian dapur namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Mohd Hafiz turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur dan wang tunai untuk meringankan beban keluarga tersebut dan memberikan sedikit ketenangan di saat-saat sukar ini.
"Kami juga akan berusaha untuk menyediakan bantuan keperluan lain yang diperlukan.
"Kejadian ini menjadi bukti keprihatinan wakil rakyat dan komuniti dalam membantu mangsa yang memerlukan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Perasing, Kamarol Razali serta beberapa ahli jawatankuasa.
Sementara itu, Nor Suriani mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan oleh wakil rakyat, pihak JPKK dan masyarakat setempat.
"Saya amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan.
"Sumbangan ini amat bermakna bagi kami sekeluarga dalam menghadapi situasi ini," ujarnya.
31 May 24
987
Pahlawan Subuh 5.0 Tarik Seribu Jemaah
KUALA TERENGGANU, 31 Mei – Kira-kira 1,000 jemaah menghadiri Program Pahlawan Subuh 5.0 yang berlangsung di Masjid Al-Furqan, Chendering, di sini pada Jumaat.
Jemaah yang terdiri daripada warga emas, anak muda, belia, wanita, dan kanak-kanak hadir seawal jam 4.00 pagi untuk mengikuti qiamullail sebelum diteruskan dengan solat subuh berjemaah.
Solat subuh tersebut diimamkan oleh Al-Syeikh Ali Rasyid Al-Yamani, diikuti dengan tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki Wan Ismail.
Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian Program Pahlawan Subuh 5.0 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam ucapannya, Dr Khalil mengucapkan tahniah kepada pihak Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) yang bersungguh-sungguh menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengukuhkan iman dan kefahaman Islam dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Program Pahlawan Subuh ini diubah suai daripada program Subuh macam Jumaat yang popular di negeri-negeri lain.
"Di Terengganu, kita memperkenalkannya sebagai Pahlawan Subuh, yang membawa erti yang tersendiri,” katanya ketika majlis berkenaan.
Dr Khalil turut mengingatkan tentang cabaran akidah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini seperti sekularisme, pluralisme agama, dan Islam liberal.
“Cabaran-cabaran baru ini perlu ditangani dengan meningkatkan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersama pihak I-MiTS akan berusaha untuk memastikan rakyat Terengganu dibina dengan pegangan agama yang kukuh.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak masjid yang menjadi tuan rumah program tersebut dan berharap program Pahlawan Subuh akan terus diadakan di seluruh daerah di Terengganu.
"Bila kita kuatkan pegangan agama, insya-Allah perkara lain akan jadi lebih mudah dan Allah SWT akan tunjukkan jalan hidup yang betul," tambah Dr. Khalil.
Para jemaah yang hadir turut disajikan dengan jamuan makan selepas majlis tersebut.
31 May 24
259
Johan Qariah Gentar Bertemu Kembar
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Johan qariah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, mengakui kehadiran adik kembarnya, Nor Jannah, 33, yang turut bersaing menjadi detik manis yang tidak dilupakannya.
Menurutnya, ia merupakan kali kedua selepas kedua-dua mereka bertemu di peringkat negeri sebelum ini. Dalam MTHQK 2024 kali ini, Nor Hidayah bertanding sebagai johan menunggu dan Nor Jannah mewakili negeri Terengganu.
"Sejujurnya, saya agak gentar juga 'bertemu' dengannya sebab dia boleh dikatakan pencabar terdekat yang tahu kemampuan saya. Namun, Alhamdulillah sebagai ahli keluarga, saya rasa bangga dengan apa yang dicapai oleh kami berdua.
"Terima kasih kepada ibu ayah saya yang tidak jemu mendidik terutama dalam bidang al-Quran. Juga kepada suami yang memberi kekuatan dan keluarga mertua yang menyokong ibarat tulang belakang dalam perkara yang saya lakukan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini semalam.
Pada majlis di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, semalam Nor Hidayah dan Nor Jannah membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Dalam pada itu, naib johan qari turut disandang oleh anak Terengganu apabila diraih oleh bilai Masjid Abidin, Abdul Hadi Che Ab Halim.
Seorang lagi anak Terengganu, Tuan Nor Syaidah Azhar meraih tempat kedua dalam kategori hafazan.
30 May 24
2749
TDM Bantu 200 Asnaf Jerteh
KUALA TERENGGANU, 30 Mei -TDM Berhad dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh hari ini telah menyantuni 200 asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat Jerteh yang diadakan di Dewan Masjid Hadhari Jerteh, Besut.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, ia merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.
"Kami warga TDM sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.
"Kalau kita lihat dari segi kos sara hidup kini, kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.
"Kali ini kami fokus kepada daerah Besut dalam usaha menjalin hubungan dan memastikan agihan kepada mereka yang memerlukan dirasai oleh semua lapisan masyarakat di peringkat daerah," katanya.
Beliau memaklumkan, objektif utama TDM mengadakan program tersebut adalah untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan, dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan serta membantu kelangsungan hidup penerima.
"TDM juga merupakan salah satu anak syarikat negeri yang sentiasa menyokong usaha baik kerajaan serta program-program kerajaan terutamanya yang melibatkan kebajikan dan sosial masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, inisiatif yang dilakukan pihak TDM itu seharusnya menjadi contoh kepada pihak lain.
"Berbakti kepada masyarakat serta cakna kepada mereka yang memerlukan adalah menjadi tanggungjawab bersama.
"Semoga hubungan silaturahim yang terjalin terus berkekalan dan ukhuwah sesama kita semakin kukuh melalui program TDM Bersama Masyarakat ini," katanya.
30 May 24
221
Terengganu Bakal Wujudkan Garis Sempadan Tukun Dari Kemaman ke Besut
MARANG, 30 Mei - Kerajaan negeri dan agensi persekutuan sedang merancang projek usaha sama untuk mewujudkan garis sempadan tukun daripada Kemaman sehingga ke Besut sepanjang 245 Kilometer.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak lapan hingga unit 10 tukun disasarkan bagi dilabuhkan di setiap kelompok.
Katanya, projek itu merupakan satu usaha besar yang akan memberi manfaat kepada 8,309 nelayan Terengganu.
"Alhamdulillah pada tahun ini kita mendapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang kini dalam proses perolehan sebanyak RM3 juta bagi membolehkan sebanyak 100 unit tukan akan dapat dilabuhkan pada tahun ini.
"Usaha berterusan ini semakin lama semakin membuahkan hasil yang diperkatakan di semua peringkat termasuk usaha kita untuk menyelesaikan tiga isu besar nelayan.
"Iaitu pertama isu ketiadaan sumber, kedua isu perlesenan dan yang ketiga isu pencerobohan nelayan asing." ujarnya.
Beliau demikian berkata demikian semasa sidang media di Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi, di Jeti Pelancongan Marang, di sini, hari ini.
Dr Azman berkata pada hari ini sebanyak 12 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Pulau Kapas dan Pulau Redang, yang berada dalam kawasan taman laut sebagai tukun konservasi.
"Tujuannya adalah untuk memastikan berlaku pembiakan ikan yang kita labuhkan di kawasan larangan menangkap ikan.
"Usaha selama ini menampakkan impak positif yang sangat sangat ketara di mana peningkatan hasil perikanan Terengganu tahun 2023 berbanding tahun 2022 meningkat kira-kira 32 peratus.
"Suatu peningkatan yang sangat ketara dan maklumat ini diberikan secara langsung oleh para nelayan di lapangan," ujarnya.
30 May 24
309
Multaqa Asatizah Platform Bincang Cabaran, Masa Depan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) menganjurkan program Multaqa Asatizah yang menghimpunkan para ulama, pendakwah serta agamawan bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai cabaran, permasalahan serta masa depan umat Islam.
Pengarah DUAT, Mohd Zulkhairi Ngah berkata, gerak kerja para asatizah yang memperjuangkan agama Islam dan berusaha untuk meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi bukan suatu kerja mudah.
“Kita menyaksikan sejarah nabi dan rasul yang menghadapi pelbagai cabaran dan ujian bersama dengan pengikut yang menyokong dan mendokong mereka.
“Menyedari perkara itulah mesti diusahakan sesuatu di Negeri Terengganu ini yang berpegang kepada slogan maju, berkat dan sejahtera.
“Tujuan kita menghimpunkan para asatizah adalah untuk membina penyelarasan, atau satu gerak kerja bagi bergerak seiringan dalam membina dan membentuk rakyat Terengganu mengikut acuan Islam untuk mencapai satu matlamat iaitu mendapat rahmat berpanjangan dari Allah S.W.T,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Multaqa Asatizah Bersama YB Exco Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di Dewan Auditorium Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Katanya, para asatizah memainkan peranan penting dalam melaksanakan tujuan tersebut.
“Ia agar kita mampu menghasilkan rakyat Terengganu yang mencapai keimanan dan ketakwaan melalui siri-siri ilmu yang disampaikan oleh para asatizah,” ujarnya.
Terdahulu, dalam sesi dialog para asatizah bersama Muhammad Khalil itu, pelbagai isu, cadangan dan pandangan yang diutarakan dan beliau memberi jaminan akan memberikan perhatian sewajarnya demi untuk memperkasakan agama Islam di negeri ini.
30 May 24
198
Pusat Sains Terengganu Sasar Sistem AI Tarik 200 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 30 Mei – Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 200,000 orang sepanjang tahun 2024 setelah memperkenalkan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, menyatakan bahawa tahun lalu PSKT berjaya menarik 167,000 pengunjung, dan mereka ingin meningkatkan jumlah tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa PSKT akan memperkenalkan lebih banyak teknologi canggih seperti AI dalam program-program dan pameran mereka.
“Ketika kita bercakap mengenai AI, sering kali terdapat kekurangan pemahaman yang mendalam mengenainya.
“Oleh itu, di PSKT, kami bertekad untuk memperkenalkan konsep AI dan 'Big Data' kepada pengunjung kami, terutama kanak-kanak, untuk memastikan mereka mempunyai pemahaman yang tepat mengenai teknologi ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Perasmian dan Menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Bersama Rakan Strategik bertempat di PSKT, Kampung Laut di sini semalam.
Perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Huzairil, PSKT akan bekerjasama dengan agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) , Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan MIMOS untuk menyediakan aktiviti yang menarik dan mudah difahami, terutama untuk kanak-kanak dari semua peringkat sekolah.
“Matlamat utama adalah untuk memberi pengetahuan kepada pengunjung tentang kegunaan dan faedah teknologi AI dalam kehidupan harian.
"Dengan cara yang menyeronokkan dan mendidik, PSKT berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung dan menjadi destinasi utama untuk pembelajaran dan hiburan di Terengganu," ujarnya.
30 May 24
435
Kanak-Kanak Maut Dilanggar Kenderaan Dipandu Bapa
BESUT, 29 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun lapan bulan maut dilanggar kenderaan jenis pacuan empat roda dipandu bapanya di halaman sebuah rumah di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa sedang mengundurkan kenderaannya selepas selesai membasuh kenderaannya di halaman rumah berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh kenderaan di halaman rumah.
"Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan dia telah terlanggar anaknya.
"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa perlu lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman terutamanya yang mempunyai anak kecil serta sentiasa mengawasi mereka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
"Terutama apabila melibatkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil serta tidak membiarkan kanak-kanak di luar rumah tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.
29 May 24
946
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
KUALA TERENGGANU, 29 Mei- Itu kekaguman disuarakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz yang bersama sekitar 50 pegawai Pejabat SUK Negeri Kedah dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu, hari ini.
Berpeluang turut serta ke sebahagian siri lawatan dalam Kunjungan Hormat Menteri Besar dan delegasi Negeri Kedah ke Terengganu, Sunita menyatakan banyak perkara baru dipelajari dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu.
"Ini pengalaman baru bagi kami. Apa yang kami pelajari (hari ini) adalah sejarah negeri dan kehidupan rakyat Terengganu, serta keseniannya yang menarik. Terima kasih pihak kerajaan negeri Terengganu.
Sunita cuba memegang gasing terbang Terengganu.
"Secara peribadi, saya tengok produk-produk pelancongan Terengganu sangat hebat, kita tengok pemasarannya seperti di peringkat antarabangsa, pengunjung yang datang pun boleh belajar perkara baru seperti seni Telepuk yang berusia ratusan tahun, yang dibawa keluar dari istana dan ditunjukkan kepada umum supaya orang ramai menghargai kesenian Melayu yang sangat halus serta berkualiti.
"Saya amat berharap kami dapat belajar serta bawa pulang apa yang dipelajari untuk meningkatkan upaya dan tambah baik terutama dalam industri pelancongan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengiringi delegasi berkenaan, berbesar hati dapat berkongsi produk-produk yang ada di Kampung Budaya Terengganu.
"Hari ini, kita berpeluang berkongsi dengan sahabat dari Kedah tentang cara kita menggerakkan agenda pelancongan di negeri Terengganu ini. Kedua-dua negeri sebenarnya berkongsi, tetapi memiliki kelainan dan produk tersendiri.
"Di Terengganu ini kita kaya dengan budaya, jadi kita mempromosikan bagaimana menjadikan Kampung Budaya sebagai teras untuk para pelancong yang datang, sebelum bergerak ke tempat lain bagi mengenali dan mempelajari budaya Terengganu.
"Daripada kita bersaing dan rugi, sebaliknya kita boleh berkongsi mempromosikan kelebihan produk masing-masing. Kalau orang ke Kedah mereka dapat menyaksikan sesuatu produk hebat, mereka juga boleh datang ke Terengganu dan menyaksikan produk berlainan. Apa yang penting kita boleh berkongsi pengalaman, pengetahuan dalam memperkaya dan mengembangkan agenda pelancongan negeri," katanya.
Turut hadir dalam program terbabit ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Manusia dan Integriti), Dato' Hadi Hassan dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
29 May 24
4168
Karnival Tech Com Semai Keusahawanan Digital di Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Karnival Tech Com 2024 yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) menjadi platform utama untuk menyemai semangat keusahawanan digital dalam kalangan generasi muda negeri itu.
Acara yang dianjurkan bersama Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat itu bertujuan memperkasakan pelajar dan usahawan muda dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam ucapannya, menyatakan bahawa karnival tersebut sangat penting untuk memastikan generasi muda Terengganu tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi global.
“Karnival Tech Com ini diharapkan dapat menyemai semangat keusahawanan digital di kalangan generasi muda.
“Mereka adalah aset negara yang perlu kita persiapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi masa depan yang semakin berteknologi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Bersama Rakan Strategik bertempat di PSKT, Kampung Laut di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, dengan bimbingan dan sokongan yang betul, anak-anak muda Terengganu mampu menjadi peneraju dalam bidang teknologi dan inovasi, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu anak-anak muda kita berani mencuba, berinovasi dan akhirnya menjadi usahawan digital yang berjaya. Karnival ini menyediakan peluang untuk mereka belajar dan berinteraksi dengan teknologi seperti robotik, AI, dan drone.
“Selain itu, karnival ini turut menampilkan pelbagai program dan bengkel seperti Bengkel Robotik, Forum Jenayah Siber, dan Drone Challenge, yang direka khusus untuk memberi pendedahan langsung kepada peserta tentang teknologi-teknologi terkini,” jelasnya.
Ahmad Samsuri turut menekankan pentingnya integriti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam untuk memastikan perkhidmatan awam di Terengganu terus cekap dan berkesan.
Beliau merujuk kepada Belanjawan Negeri 2024 yang menekankan keperluan untuk menjunjung tinggi nilai integriti, mengamalkan konsep ‘walk the talk’ dan berhubung baik dengan semua pihak.
“Kita perlu pastikan bahawa kemajuan teknologi yang kita capai tidak hanya membawa manfaat material tetapi juga memberi impak positif kepada nilai dan moral masyarakat,” katanya.
Jelasnya, karnival tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan keselamatan siber dan meningkatkan kesedaran tentang jenayah siber, yang semakin meningkat di era digital sekarang.
“Melalui forum dan sesi perkongsian, peserta diajar cara-cara untuk melindungi diri mereka daripada ancaman dalam talian. Kita harus memperkukuhkan keselamatan siber dan memastikan bahawa kita mempunyai perlindungan yang mencukupi untuk menghadapi ancaman ini.
"Selain jenayah siber, kita juga harus berhati-hati dengan gejala negatif media sosial yang boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mental dan sosial masyarakat,” ujar beliau.
Beliau berharap, dengan penganjuran Karnival Tech Com, Terengganu berhasrat untuk tidak hanya memajukan teknologi dan inovasi sahaja tetapi juga membentuk generasi muda yang berdaya saing dan berfikiran maju, seiring dengan slogan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.
29 May 24
146