lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang
YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Yayasan Terengganu (YT) hari ini menandatangani perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Kumpulan Terengganu Inc  (TI) bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik. Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan. “Terengganu Incorporated Sdn.Bhd bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun. Mohd Azmi berkata, YT bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih. “Fungsi tabung ini bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak-anak Terengganu di setiap peringkat. “Sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC ini juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Negeri Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya. Katanya, pemeteraian Perjanjian antara YT bersama Kumpulan Terengganu Inc berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI. Terdahulu, pada majlis sama turut diraikan 10 orang pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 dengan setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun disamping turut menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran. Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa Universiti Awam Dalam Negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Sekitar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian.  
05 Jun 24
271
Syarikat Greenverse Mohon Maaf Tak Guna Bahasa Melayu
Syarikat Greenverse Mohon Maaf Tak Guna Bahasa Melayu
KEMAMAN, 5 Jun - Syarikat Greenverse Holding yang terpalit dengan kontroversi tidak menggunakan bahasa melayu dalam satu majlis perasmian Projek Kilang Pemerolehan Kembali Buangan Berjadual di Kerteh di daerah ini tampil memohon maaf. Pengarah Urusan Greenverse Holding, Dato’ Alex Heng Sia Kwang mengakui kesilapan tersebut kepada semua rakyat Malaysia terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Saiful Azmi Suhaili selaku perasmi majlis berkenaan. “Syarikat kami menzahirkan perasaan dukacita atas isu yang dibangkitkan oleh (orang ramai) di media sosial kerana kesilapan kami tidak mengunakan Bahasa Melayu di paparan sewaktu keterlibatan YB (Ir Saiful Azmi) dalam majlis tersebut.  “Kesilapan ini adalah tidak disengajakan kerana pihak kami sangat teruja untuk meraikan majlis tersebut yang dirancang dalam masa singkat dengan jemputan yang terhad kepada rakan-rakan perniagaan terdekat sahaja,” jelasnya dalam satu kenyataan media. Menurut Alex Heng, pihaknya berjanji perkara itu tidak akan berlaku lagi di masa hadapan dan kesilapan tersebut akan menjadikan mereka lebih matang dalam meraikan sesuatu program syarikat. “Komitmen kami untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan memberikan manfaat kepada masyarakat di Kerteh tidak terkesan dan akan terus dipertingatkan. “Kami mengambil maklum segala komen yang negatif dan positif dalam kami membina hubungan terbaik di dalam perniagaan kami,” jelasnya. Tiga hari lalu, orang ramai mempersoalkan penganjuran majlis tersebut kerana menggunakan bahasa cina sepenuhnya. Netizen menganggap tindakan itu tidak wajar dan menuntut penjelasan penganjur kerana bahasa rasmi di Malaysia adalah bahasa melayu. Dalam pada itu, projek yang mendatangkan pelaburan sebanyak RM247 juta dijangka mampu membuka lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat sekali gus akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan.   
05 Jun 24
7112
Pembinaan Kilang di Kerteh Cipta Lebih 700 Peluang Pekerjaan
Pembinaan Kilang di Kerteh Cipta Lebih 700 Peluang Pekerjaan
KEMAMAN, 4 Jun – Syarikat Greenverse Holding Sdn Bhd telah mengumumkan rancangan pembinaan kilang 'Pengurusan Kemudahan Bersepadu Sisa Terjadual' di Kerteh Biopolymer Park, yang dijangka mencipta lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Kesihatan negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili, menyatakan bahawa kilang tersebut akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan.  Menurutnya, projek itu mendapat sokongan kuat daripada rakan kongsi utama, China Hyway Group Limited, sebuah syarikat antarabangsa yang berpengalaman dalam pelbagai bidang industri. “Dengan pelaburan sebanyak RM247 juta, kilang ini akan dilaksanakan secara berperingkat.  "Fasa pertama dijadualkan siap pada pertengahan tahun 2025, manakala fasa kedua dijangka siap pada tahun 2028,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini Tambah Saiful, beliau berharap agar Greenverse Holding dapat memastikan segala perjalanan operasi syarikat berjalan lancar dan sempurna dalam mengurus sisa terjadual secara menyeluruh, dengan menumpukan kepada penyelesaian ‘Cradle-to-Cradle’ (C2C).  “Ini selaras dengan prinsip ekonomi kitaran yang dilaksanakan mengikut polisi serta prinsip yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. “Projek ini adalah satu langkah bijak dan inovatif dalam usaha untuk mentakrifkan semula sisa terjadual bukan sebagai ‘produk sampingan’ untuk dilupuskan, tetapi sebagai komoditi yang akan ditukar menjadi sumber berharga untuk industri lain, iaitu dari ‘Waste to Wealth’,” jelasnya. Beliau juga menekankan bahawa kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan institusi pendidikan setempat akan memastikan penghasilan bakat yang berterusan untuk kemudahan dan industri tersebut. “Perjanjian pajakan tanah seluas 50 ekar telah dimeterai antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Greenverse Holding Sdn Bhd, menandakan komitmen jangka panjang dalam pembangunan industri dan ekonomi negeri Terengganu,” ujarnya. Beliau juga berharap agar projek tersebut tidak hanya memberi manfaat kepada industri, tetapi juga kepada rakyat negeri Terengganu.                    
04 Jun 24
4228
'Hiking Santai' Meriahkan Hiking Park Bukit Mentok
'Hiking Santai' Meriahkan Hiking Park Bukit Mentok
KEMAMAN, 4 Jun  – Seramai 150 orang pendaki telah menyertai program "Hiking Santai" di Hiking Park Bukit Mentok dalam usaha mempromosikan eko-pelancongan di kawasan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program 'Hiking Santai' tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan cinta alam, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti setempat. "Kejayaan program ini membuka peluang untuk lebih banyak aktiviti serupa di masa akan datang, demi manfaat bersama dan menekankan kepentingan memelihara alam sekitar dan potensi besar Bukit Mentok sebagai destinasi pelancongan hijau," ujarnya ketika merasmikan Teratak Lebai Saras, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, Program ini dianjurkan dengan kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mentok dan Geng Bukit Mentok Hiking Park. Program dimulakan seawal jam 8:30 pagi dengan para peserta berkumpul di dataran Hiking Park Bukit Mentok. Sesi memanaskan badan yang penuh semangat berlangsung pada jam 8:40 pagi sebelum pendakian sejauh 2.73 kilometer bermula pada jam 9 pagi. Pendakian berakhir pada jam 10:50 pagi dengan para peserta menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan. Setelah penat mendaki, peserta disajikan dengan aktiviti santai berkemah pada jam 11 pagi. Menu istimewa kambing bakar dan udang galah bakar menambah kemeriahan suasana, menjadikan program ini lebih istimewa dan berkesan di hati semua yang hadir.  
04 Jun 24
495
Pemergian Pemilik Sabasun Satu Kehilangan Besar
Pemergian Pemilik Sabasun Satu Kehilangan Besar
KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melahirkan rasa sedih atas pemergian pemilik Pasar Raya Sabasun, Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim yang telah meninggal dunia pagi tadi. “Antara kebaikan terbesar beliau sebelum dijemput Ilahi ialah memutuskan untuk tidak menjual sebarang produk boikot di Pasaraya Sabasun. "Semoga Allahyarham Che Salmi ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Ahmad Samsuri turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas ujian yang dihadapi. Untuk makluman, Allahyarham merupakan seorang yang sangat disayangi dan dihormati oleh masyarakat setempat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat seluruh warga Terengganu.  “Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan dikurniakan keampunan serta rahmat dari Allah SWT.  “Kepada keluarga Allahyarham, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” ujarnya. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Kecil dalam kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim telah meninggal dunia pada jam 4.45 pagi di Kuala Lumpur. “Masa solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Khalifah Jalan Pusara. Jenazah akan dikebumikan di Perkuburan Bukit Kecil,” jelasnya.                  
04 Jun 24
586
PB Hotel Sasar Peroleh Pendapatan RM24 Juta Tahun Ini
PB Hotel Sasar Peroleh Pendapatan RM24 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Paya Bunga (PB) Hotel, anak syarikat Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM24 juta tahun ini. Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata, sasaran tersebut berdasarkan peningkatan hampir RM4 juta berbanding perolehan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu RM19.8 juta. Katanya, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan selain memfokuskan kepada pakej jualan bilik penginapan, sewaan ballroom dan dewan seminar,termasuk memperhebatkan lagi promosi pakej restoran mereka. "PB Hotel juga meneroka cabang perniagaan baharu iaitu perkhidmatan katering untuk penyediaan makanan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dan beberapa acara jamuan besar melibatkan Istana Syarqiyyah. "Perniagaan baharu ini akan turut menyumbang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada peningkatan perolehan dan keuntungan PB Hotel pada akhir Disember tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Dalam masa sama, Abdul Hadi berkata, PB Hotel kini dalam perancangan untuk mengadakan pakej perkahwinan di atas bumbung bangunan (rooftop) dan muncul hotel yang pertama memperkenalkannya di Terengganu. "Konsep sebegini sudah banyak dibuat di sekitar Lembah Klang dan kita sedang berbincang untuk merealisasikannya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi," katanya. PB Hotel pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih oleh International Travel Award sebagai pemenang bagi kategori 'Best City Hotel' yang telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 Jun 2023. “Ini termasuk memenangi anugerah antarabangsa daripada Universal Crescent Standard Centre (UCSC) sebagai Pengiktirafan Standard Kualiti Islam Bagi Kategori Hotel untuk tahun 2021 hingga 2023. "Kita juga berjaya mengekalkan 'rating' melebihi 8 daripada maksima 10 oleh Hotels.com iaitu 8.2 dan Agoda iaitu 8.7 pada tahun ini," katanya.
04 Jun 24
264
Terengganu Benar Hiburan, Tapi Ada Syarat
Terengganu Benar Hiburan, Tapi Ada Syarat
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Dakwaan mengatakan bahawa Terengganu tidak membenarkan sebarang hiburan dianjurkan di negeri ini adalah tidak tepat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif itu sengaja dimainkan setelah kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap satu penganjuran parti oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini. "Islam tidak haramkan hiburan, sebaliknya memberi garis panduan mengenai hiburan yang sesuai. "Naratif yang dibawa terhadap isu yang terjadi di Terengganu seolah-olah kerajaan negeri Terengganu hendak mengharamkan semua hiburan. "Naratif yang sebenarnya ialah kita nak bawa (hiburan patuh syariah), kita tidak menghalang tetapi mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik ; Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, Islam tidak menghalang apa yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. "Begitu juga dengan fitrah manusia kasih kepada harta benda, islam tidak melarang manusia mencari harta benda tetapi pada harta benda itu ada kewajipan seperti mengeluarkan zakat. "Berbeza dengan dunia barat yang ditegak tidak mengikut fitrah menyebabkan jiwa masyarakatnya kosong walaupun maju dan mencipta pelbagai alatan yang canggih, kerana itu banyak berlakunya kes bunuh diri. "Di sebelah Timur di Korea, Jepun antara negara yang menunjukkan peratusan paling tinggi golongan belia dan anak mudanya terlibat dalam kes bunuh diri, ini kerana tekanan jiwa dengan pelbagai masalah yang dihadapi kerana mereka melihat manusia hanya dari sudut jasad dan fizikal semata-mata, " katanya. Ujarnya, Islam telah melalui sejarah panjang yang manis dengan dakwah hari ini semakin tersebar luas dan diterima oleh dunia. "Kini masyarakat mula sedar dengan islam sehingga dapat menerima sistem yang ada dalam islam mencakupi ekonomi, perundangan dan politik tanpa memaksa bukan Islam menganutinya. "Apabila mereka menerima Islam maka akan dapat melihat sistem Islam yang begitu adil kerana itu ia tersebar dengan begitu cepat," katanya.
03 Jun 24
665
'Two State Solution' Tak Selesai Masalah
'Two State Solution' Tak Selesai Masalah
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Tidak wajar jika masih ada umat Islam yang berpandangan bahawa pendekatan dua negara merupakan penyelesaian terbaik dalam menamatkan konflik Palestin dan negara haram Israel. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, zionis sendiri menolak idea 'two state solution' tersebut. Katanya, selama ini perjuangan rejim zionis adalah memperluaskan negara haram yang mereka bina. "'Two state solution' ini kita kena faham bahawa yang memerintah Israel hari ini adalah gerakan zionis, akidah dan falsafah zionisme ialah strategi memperluaskan negara haram. "Tidak ada dalam akidah zionisme 'two state solution' satu negara untuk Israel manakala satu negara lagi untuk Palestin. "Jadi sesiapa yang mengajak kepada pelaksanaan idea berkenaan adalah salah kerana dalam akidah zionisme negara haram Israel bukan sahaja Palestin, tetapi merangkumi sebagai besar negara timur (seluruh Iraq, Jordan, Lubnan, Sebahagian bedar dari Mesir, Arab Saudi, Yaman, Ethiopia termasuk juga Sudan)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik : Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini. Mengulas mengenai 145 negara daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB) yang kini mengiktiraf kenegaraan Palestin, Muhammad Khalil berkata itu merupakan satu perkembangan yang menarik "Perkembangan terbaru ini (menunjukkan) semakin hari semakin pecah benteng yang dibina oleh zionisme (melalui) sistem imperialisme, dengan zionisme yang sebenarnya diusahakan untuk halang kebangkitan islam, benteng ini semakin hari semakin rapuh. "Hari ini kita dapat melihat rakyat dan juga kalangan mahasiswa di Amerika dan Eropah termasuklah dalam United Nation sendiri bangkit (menyokong Palestin) ini merupakan satu perkembangan positif," ujarnya.
02 Jun 24
363
Cipta Kenangan di Jambatan Angkat
Cipta Kenangan di Jambatan Angkat
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Setiap pengunjung atau pelancong yang datang ke Terengganu tidak cukup hanya melalui Jambatan Angkat sebaliknya perlu singgah bagi menikmati dan merasai sendiri pengalaman berada di tempat tinggi dan menyaksikan pemandangan dari tingkat atas mercu tanda negeri Terengganu itu. Rugi seandainya hanya berswafoto di Jambatan Angkat dari luar, kerana didalamnya menyediakan suasana hebat yang pastinya tidak terdapat di tempat lain dalam negara ini. Ketua Pengawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, orang ramai boleh melawati galeri manakala untuk 'Hydraulic Tour' RM15 bagi kanak-kanak dan RM22 bagi dewasa berpeluang mencipta kenangan yang akan diabadikan sepanjang hayat. "Dua panorama akan dapat disaksikan apabila berada di tingkat atas sama ada melihat ke arah laut ataupun ke arah sungai, adanya lantai kaca yang akan dilalui. "Dimana satunya ditempatkan galeri pameran, manakala di sebelah menara Elysiun dibuka untuk dibuat tempahan untuk makan, mesyuarat dan juga perkahwinan dengan menyediakan pakej hebat pada harga yang berpatutan. "'Hydraulic Tour' pula menyediakan kenangan serta pengalaman yang akan sentiasa dikenang sepanjang hayat, dimana pengunjung akan berpeluang melihat sendiri dan mendapat penerangan tetang operasi jambatan dan sistem yang digunakan serta akan berada di 'Pilecap' tingkat bawah dalam suasana berada tengah sungai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini. Ujarnya, sejak ia mula dibuka hingga kini, jumlah kehadiran pengunjung setiap tahun adalah seramai 100,000 yang memberikan maklum balas yang sangat baik. "Pada tahun ini serta tahun seterusnya kita menyasarkan pertambahan pengunjung melalui beberapa strategi yang akan dilakukan bagi memeriahkannya lagi antaranya ialah akan membuka kafetaria yang kini sedang dalam perbincangan dengan 'vendor' untuk dibuka di dataran tepi sungai dan akan mempelbagaikan lagi produk. "Dalam bulan Jun ini juga kita akan buka permainan yang akan menggunakan sistem 'virtual reality' yang akan ditempatkan di tingkat dua galeri. "Kita berharap agar pengunjung dari dalam Terengganu ataupun luar supaya datang ke Terengganu sila naik ke tingkat atas ini bukan lalu sahaja untuk cipta kenangan lebih indah untuk dibadikan kerana keunikan yang ada di sini tidak akan diperolehi di tempat lain," ujarnya. Katanya waktu yang dibuka pada setiap hari biasa adalah jam 10 pagi hingga 7 malam pada hari cuti pula akan berlarutan sehingga jam 10 malam.  
02 Jun 24
3678
Newwor @ KBT Angkat Nilai Warisan Terengganu di Persada Antarabangsa
Newwor @ KBT Angkat Nilai Warisan Terengganu di Persada Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Program 'Newwor @ KBT' yang diadakan bermula 30 Mei sehingga 2 Jun di Kampung Budaya Terengganu mampu memartabat dan menyemarakkan nilai warisan Terengganu ke persada antarabangsa. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, melalui program tersebut ia juga memberi galakan kepada generasi muda bagi mengenali, mempelajari serta mewarisi kebudayaan tersebut. "Seterusnya menjalinkan kesinambungan warisan supaya tidak lapuk ditelan zaman dalam arus pemodenan hari ini. "Kanak-kanak dan remaja adalah penerus legasi kita. Jika kita tidak mengembangkan minat dalam kalangan anak muda terutamanya kanak-kanak, mereka akan menjadu dewasa yang tidak terdedah kepada seni budaya mereka sendiri. "Justeru, saya menyeru kepada semua masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain tanpa mengira peringkat umur untuk hadir ke sini bagi mempelajari, merasai dan mencuba sendiri segala aktiviti seni dan budaya yang ada di sini antaranya permainan gasing, kaki hantu, gamelan dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan, di Kampung Budaya Terengganu, di sini, semalam.  Turut hadir, Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Palms Garden Resort Sdn. Bhd, Alex Lee Yun Ping dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Azrul Hussein.  Mengulas lebih lanjut katanya, penganjuran program berkenaan juga merupakan pakatan strategik antara agensi kerajaan negeri dan kerajaaan persekutuan serta pihak swasta.  "Tahniah diucapkan kepada pihak Kampung Budaya Terengganu dan Palms Garden Resort Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaydia (MOTAC) dan Lembaga Muzium Negeri atas kejayaan menganjurkan program ini.  "Ini akan mempromosikan lagi Kampung Budaya Terengganu sebagai sebuah muzium hidup bagi seni budaya dan warisan Negeri Terengganu.  "Secara tidak langsung, program ini menjadi pemangkin bagi meransang perkembangan industri pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu," ujarnya.  Menjelaskan penggunaan perkataan 'newwor' pada program itu katanya, ia merupakan dialek Teregganu yang membawa maksud bersiar-siar ataupun jalan-jalan.  "Newwor @ KBT ini merupakan cara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun lepas yang menjadi sebuah acara bersiar-siar dari satu stesen ke stesen.  "Terdiri daripada pelbagai jenis pameran, permainan, demonstrasi, persembahan dan jualan yang berlangsung di tapak program," katanya.   
01 Jun 24
490