lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rakyat Resah Gelisah Kos Sara Hidup Kian Meningkat
Rakyat Resah Gelisah Kos Sara Hidup Kian Meningkat
KUALA TERENGGANU, 5 November - Rata-rata rakyat di negeri ini meluahkan rasa terbeban dengan kos sara hidup yang kian menghimpit ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Seorang rakyat, Zulfakri Amin Manaf berkata dengan keadaan yang berlaku ini, dia berharap agar kerajaan negeri mencari jalan dan menyediakan inisiatif terbaik bagi memastikan bebanan dapat dikurangkan. Katanya, kerajaan boleh memikirkan alternatif bagi menaikkan ekonomi melalui pelancongan Terengganu. "Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan. "Saya tengok untuk tahun 2024 ini, Alhamdulillah sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi ambil kesempatan dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu. "Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke Terengganu mereka hendak 'healing' lari daripada kesibukan," ujarnya yang juga merupakan peniaga di Pasar Chabang Tiga di sini. Sementara itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan kembimbangan tentang hala tuju Kerajaan Malaysia hari ini apabila dilihat tidak dapat menyelesaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat malah ditambah dengan kenaikan harga barangan. "Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri yang berniaga santan dahulunya santan hanya dijual dengan harga RM10 sekilogram sekarang terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram. "Bayangkan harga kelapa yang dibeli dari pembekal dahulunya RM2.00 sekarang mencecah RM2. 70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pembeli," ujarnya. Tambahnya, seandainya royalti dapat dikembalikan sudah tentu banyak agenda boleh dirancang dan direncanakan kerajaan negeri bagi memastikan inisiatif yang diberikan berupaya mengurangkan bebanan dihadapi. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Chabang Tiga, Marzuki Omar berkata kuasa membeli rakyat yang semakin terbatas kerana himpitan ekonomi dapat dilihat apabila pembeli di pasar itu tidak sebagaimana sebelum ini. Dalam pada itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula mengharapkan agar belanjawan yang akan dibentangkan nanti akan memberi tumpuan dan fokus kepada pembangunan belia dengan memperbanyakkan program serta apa jua aktiviti yang bemanfaat untuk mereka. "Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insna yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya," katanya.  
05 Nov 24
363
Pelihara Seni Khat Selari Hasrat Kerajaan Terengganu
Pelihara Seni Khat Selari Hasrat Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November - Usaha memartabatkan kesenian Islam melalui Festival Kaligrafi Islam adalah selari dengan hasrat kerajaan Terengganu yang serius memastikan negeri ini mencapai kemajuan mengikut acuan Islam dari pelbagai sudut. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata adalah menjadi matlamat bagi memelihara kesenian Islam itu dan mendorong minat generasi muda hari ini mempelajari warisan khat melalui penganjuran program yang diadakan. "Sebenarnya memupuk minat generasi muda terhadap seni khat ini terutama daripada kalangan pelajar ini merupakkan suatu kebanggaan kita. Kerana mereka ini bakal meneruskan kecemerlangan Tamadun Islam, yang boleh kita panggil (istilahkan) bangkit kembali di Terengganu. "Seiring dengan tema kerajaan negeri itu sendiri dan juga dengan seni budaya jawi yang juga menjadi lambang tamadun Terengganu dengan penemuan batu bersurat dan sebagainya kita harap ia dapat diteruskan. "Kerana penuliasan al-Quran itu sendiri dengan nilai seni tersendiri menunjukkan banyak sumber-sumber yang mengambarkan tamadun warisan Islam yang tinggi untuk diterus serta diperkayakan pada masa-masa akan datang dengan melahirkan semula tokoh-tokoh khat yang dahulunya agak terkenal di negeri ini,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas hadir menyempurnakan perasmian penutupan Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. Dalam pada itu, Satiful merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Islam  Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT) atas kejayaan menganjurkan acara berprestij itu yang disertai oleh 250 perserta dari seluruh Malaysia. "Tahniah kerana berjaya mengamit kehadiran peserta yang secara keseluruhan memenuhi segenap ruang malah peserta dari luar Terengganu pun turut hadir bagi sama-sama memeriahkan festival pada kali ini," ucap beliau.  
05 Nov 24
100
‘Lepas Cukai, Cukai’ - Abdul Hadi Kritik Kerajaan Bebankan Rakyat
‘Lepas Cukai, Cukai’ - Abdul Hadi Kritik Kerajaan Bebankan Rakyat
KUALA LUMPUR, 5 November - Tindakan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan beberapa cukai baharu dan menaikkan kadar cukai semasa dalam Belanjawan Madani 2025 mengundang kritikan pedas Ahli Parlimen Marang yang menganggap ia sangat membebankan rakyat. Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, peruntukan besar tidak memberi apa-apa erti sekiranya para pemerintah gagal menunaikan tanggungjawab dengan betul.  "(Berdasarkan kewangan) Islam, (pemerintah) tidak menambah bebanan rakyat dengan pelbagai jenis cukai, sebaliknya menggalakkan pelaburan dari negara luar dan pengurusan sumber secara adil, contohnya, hasil zakat digunakan untuk membangun masyarakat tanpa perlu membebankan rakyat dengan cukai tambahan. “Dalam Islam ada cukai, bukan tak ada tetapi tidak banyak seperti diamalkan ketika ini yang diajar oleh negara kapitalis, dengan kekayaan hanya berpusing dalam golongan tertentu sahaja. “Dalam Islam ada cukai Jizyah, cukai keselamatan orang bukan Islam, Kharaj, cukai tanah pertanian milik negara yang diusahakan oleh orang bukan Islam dan ‘Ushur, cukai import dan eksport barang dagangan, ini cukai yang dikenakan dalam Islam dengan kedatangan pelabur (musafir khanah) ke negara Islam,” jelas beliau. Presiden PAS itu berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat hari ini.  Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut menyuarakan rasa bimbang tentang sekatan suara terhadap rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan. “Bagi menjamin keadilan berlaku dalam negara, mestilah kebebasan kelompok yang memberi nasihat kepada kerajaan, tetapi sekarang kita ada 3R. 3R tak boleh sentuh, pemimpin kalau salah tak boleh sentuh, agama kalau silap tak boleh sentuh. “Sedangkan Allah berfirman, manusia mesti saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Kita kena sedar kerajaan manusia ini tidak suci, ada silap dan kelemahan, jadi kerajaan mesti ditegur dengan nasihat-nasihat itu. “Tetapi apa yang berlaku sekarang kelemahan-kelemahan tidak boleh ditegur, kalau tegur akan dikenakan macam-macam tindakan termasuk disiasat pihak polis,” jelasnya. Justeru, Abdul Hadi berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan tidak menutup pintu nasihat sebagaimana diamalkan pemimpin Islam terdahulu. “Ketua-ketua negara Islam, Saidina Abu Bakar dalam ucapan ketika dilantik menjadi Ketua Negara berkata ‘kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, tegur saya, taatlah saya kalau saya betul, kalau saya salah, jangan taat saya’. “Saidina Umar mengatakan, ‘kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, tegur saya’. Pernah dalam satu peristiwa  Saidina Umar, menyampaikan ucapan sebagai Ketua Negara, selepas dia berucap ada wanita tegur dia, ‘wahai Amirul Mukminin, ucapan ini salah tak betul, lalu Saidina Umar menarik balik ucapannya, ini cara terbuka yang diajar oleh Islam,” tambah beliau.
05 Nov 24
1615
Kerjasama EPIC, Brunei Hasilkan Pendapatan Tambahan Terengganu
Kerjasama EPIC, Brunei Hasilkan Pendapatan Tambahan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November - Terengganu dijangka akan memperoleh sumber pendapatan tambahan susulan jalinan kerjasama syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), bersama Brunei dalam industri maritim serta minyak dan gas. Terdahulu, pada 1 November lepas EPIC Berhad telah memeterai Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa), sebuah syarikat di bawah Adinin Group of Companies, bagi membuka laluan kerjasama strategik dalam Kluster Maritim Brunei Darussalam, khususnya melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu di negara tersebut. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui pemeteraian LoI itu, ia merupakan peluang pertama untuk EPIC terlibat dalam aktiviti di luar negara. “Kerjasama itu insya-Allah akan menghasilkan sumber pendapatan tambahan kepada negeri dan secara tidak langsung membantu rakyat. “Ini kerana apabila EPIC mendapat hasil yang lebih tentulah ada program-program rakyat yang boleh dilakukan oleh EPIC termasuk dalam bentuk kebajikan dan perkara-perkara lain,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, semalam. Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei. Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd untuk penyelenggaraan marin, dan bagi perkhidmatan penyahtauliahan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd. Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.  
05 Nov 24
355
Banjir : Pesawah Perlu Patuh Jadual Penanaman Padi Elak Kerugian
Banjir : Pesawah Perlu Patuh Jadual Penanaman Padi Elak Kerugian
KUALA TERENGGANU, 5 November - Pesawah di Terengganu disaran mengikuti perkembangan cuaca semasa serta jadual penanaman tanaman padi yang ditetapkan bagi mengelakkan kerugian besar dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata Terengganu kini berada dalam  tempoh MTL yang dijangka berakhir hujung Mac tahun hadapan dan boleh menyebabkan kawasan padi berisiko ditenggelami air. Menurutnya, di Terengganu terdapat lebih 6,000 orang pesawah aktif  yang mengusahakan 11,000 hektar sawah padi yang mampu menghasilkan 56 tan metrik untuk semusim. “Kita telahpun membuat persediaan awal ataupun pencegahan bagi mengelakkan pesawah mengalami kerugian besar akibat bencana kerana memang kita tidak dapat nafikan sawah padi kita ini berada di kawasan berisiko banjir dan ditenggelami air. “Apa yang kita buat, ialah petani perlu menepati tempoh masa tanaman khususnya untuk musim kedua. Maknanya, dalam sekitar sebelum daripada pertengahan bulan November ini, sepatutnya padi semua sudah dituai,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Padi Terengganu 2024  'Pengurusan Tepat, Hasil Berlipat' di Dewan Perpustakaan Awam Negeri, di sini semalam. Tambahnya, jika pesawah lewat menabur benih maka penuaian akan lambat dilakukan dan tidak mustahil ia akan memasuki 'edah' banjir. “Jika sebelum daripada ini, kita berhadapan dengan isu kelewatan bekalan benih, jadi ini bukan salah petani kita, tapi lewat dari segi bekalan benih yang menyebabkan mereka terpaksa tunggu benih. “Dan isu-isu yang dihadapi oleh petani kita ni berada di bawah bidang kuasa persekutuan. Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu petani kita,” ujar Azman lagi.  Sementara itu, mengulas kerugian yang dialami pesawah ketika kejadian ribut yang melanda Kemaman baru-baru ini, beliau ada menerima laporan tentang kerosakan tersebut di kawasan terbabit. “Ada sikit dan kita telah keluarkan pemakluman supaya petani-petani yang terlibat membuat laporan polis dan seterusnya laporan kepada Jabatan Pertanian. “Setakat ini Jawatankuasa Bencana Padi negeri  belum bersidang lagi untuk kita tengok jumlah sebenar. Dalam konteks padi, bantuan bencana padi datang daripada kerajaan  Persekutuan  manakala untuk tanaman lain daripada kerajaan negeri,” jelasnya.
05 Nov 24
160
Raja Muda Kurnia Bintang, Pingat Pergerakan Pengakap Kepada 179 Penerima
Raja Muda Kurnia Bintang, Pingat Pergerakan Pengakap Kepada 179 Penerima
KUALA TERENGGANU, 4 November - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Terengganu 2024 kepada 179 penerima di Wisma Darul Iman, semalam. Baginda menyampaikan pengiktirafan kepada 157 orang pemimpin pengakap semua peringkat yang dianugerahkan bintang dan pingat PPM termasuk beberapa pemimpin pengakap dari Brunei, Indonesia dan Thailand. Tengku Muhammad Ismail juga menyampaikan pengiktirafan Pengakap Raja iaitu sijil paling bernilai dalam pergerakan pengakap kepada 22 ahli pengakap Terengganu. Terdahulu, keberangkatan tiba Tengku Muhammad Ismail di majlis penganugerahan itu disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pengakap Negara,  Prof Dato’ Dr Mohd Zin Bidin. Hadir sama pada majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Dato’ Abdullah Taib.  
04 Nov 24
158
Bapa Lega Anak Lelaki, Perempuan Tidak Lagi Tidur Sebilik
Bapa Lega Anak Lelaki, Perempuan Tidak Lagi Tidur Sebilik
MARANG, 4 November - "Akhirnya saya dapat rumah baru termasuk menyediakan bilik berasingan untuk anak-anak yang semakin membesar," ujar Mohd Faizal Sapai, 41, bapa kepada tiga orang anak. Dia yang bekerja sebagai nelayan, berkata selama 15 tahun, anak perempuannya terpaksa berkongsi bilik dengan anak lelaki kerana rumah lama yang diduduki mereka sekeluarga cuma mempunyai satu bilik tidur sahaja. "Sebaik sahaja saya mendengar tentang rumah dibawah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah siap, saya mencuba nasib dengan membuat permohonan di Pejabat Daerah. "Alhamdulillah, rezeki anak-anak kami, setelah setahun lebih menunggu akhirnya Allah makbulkan untuk memiliki rumah yang lebih selesa, terima kasih Kerajaan Negeri," ujarnya yang turut ditemani isteri, Nurhana Mohd Nawi, 36, ketika menerima kunci rumah. Mohd Faizal merupakan salah seorang dari lapan penerima bertuah yang menerima kunci rumah PPTS daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Rahmat Fasa 3 di Pulau Kerengga di sini semalam. Bagi Fatimah Deris, 75, yang buta kedua-dua matanya sejak usia tiga tahun turut melahirkan rasa terharu apabila terpilih sebagai salah seorang penerima rumah PPTS fasa 3 tersebut. Ibu kepada tujuh anak itu telah mendiami rumah asal di Taman Rahmat lebih 40 tahun bersama anak lelakinya Abdul Rafar Kassim, 35, menantu dan tiga orang cucu. Abdul Rafar berkata ibunya akan ditemani oleh kakaknya, Kazila Kassim,43, bersama suami  dan seorang anak mereka di rumah baru nanti. "Rumah baru lebih selesa untuk mak yang semakin uzur dan keadaan bentuk rumah pun memudahkan pergerakan mak, tidak perlu lagi menaiki tangga dan sebagainya yang boleh mudaratkannya," ujarnya. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata projek di Taman Rahmat Fasa ke 3 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2020 dengan peruntukan RM700 ribu. Dalam masa sama, beliau turut meminta kepada penerima-penerima rumah PPTS  dapat menjaga rumah berkenaan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang turut mengumumkan bahawa Pusat Khidmat DUN Ru Rendang akan membantu menyediakan tikar getah kepada kesemua lapan buah rumah tersebut.  
04 Nov 24
449
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
KUALA TERENGGANU, 4 November – Festival kaligrafi Islam yang diadakan di Terengganu mampu mengembalikan martabatkan seni khat di negara ini. Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Lothman Awang berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat  warisan khat terus diperkasakan di Terengganu. Katanya, ia juga memberi ruang kepada orang ramai menonjolkan bakat serta menyemarakkan minat generasi muda terhadap seni tulisan Islam yang kian dilupakan. “Objektif utama festival ini ialah memberi ruang dan peluang kepada murid-murid sekolah untuk menyerlahkan bakat serta kemampuan mereka melalui pertandingan yang dianjurkan. “Di samping menghargai kesenian Islam iaitu tulisan khat supaya tidak luput ditinggal zaman dan mengenalpasti pelapis yang setaraf dengan penulis-penulis antarabangsa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, pada hari ini. Menurutnya program tersebut merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT). Katanya, seramai 245 orang penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menyertai festival itu. Ujarnya, pertandingan berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu penulisan khat spontan terbuka dewasa, penulisan khat spontan rendah dan menengah serta penulisan karya siap khat kanvas dan khat batik. “Cetusan idea festival ini pada tahun ini adalah dicetuskan oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat sendiri supaya diadakan bagi kita menghidupkan kembali aktiviti ataupun penghayatan seni khat terutama di kalangan masyarakat di seluruh Malaysia. “Pengisian program kali ini ialah kita jemput pakar dari Arab Saudi dalam slot Bengkel Khat Thuluth yang disampaikan oleh Al Mukarram Tn. Abd. Abd Al-Majid Muhammad Abdullah Al-Ahdal dan sebelah petang kita ada bengkel iaitu kaligrafi khat Arab-China,” ujarnya. Beliau menambah, karnival ini merupakan kali ketiga diadakan di peringkat kebangsaan dan selepas 2012 dan pada tahun 2014. Negeri Terengganu juga jelasnya pernah menjadi tuan rumah di peringkat antarabangsa.  Lothman menambah, bagi menarik minat generasi muda terhadap seni khat, JPINT dalam usaha menubuhkan kelab kaligrafi di Sekolah Rendah dan Menengah di bawah pentadbiran mereka, termasuk di 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).  “Sekarang ini kita ada lebih kurang 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan memperkenalkan di kalangan  anak-anak pelajar  yang masih di sekolah rendah untuk tanam  minat mereka dari segi khat," katanya. Tambah Lothman lagi, JPINT akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Muzium Negeri Terengganu, SUK, dan jabatan-jabatan berkaitan untuk memperkenalkan seni khat kepada masyarakat umum. “Mungkin selepas daripada ini perancangan JPINT akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi luar terutama dengan pihak sekolah melalui pejabat Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga melalui agensi-agensi yang melibatkan masyarakat luar," katanya.
04 Nov 24
404
Sistem Rawatan Kumbahan Bakal Atasi Masalah Longkang Busuk
Sistem Rawatan Kumbahan Bakal Atasi Masalah Longkang Busuk
KUALA TERENGGANU, 4 November - Sistem rawatan kumbahan yang akan diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dijangka mampu menyelesaikan masalah longkang busuk di semua restoran dan kedai makan. Datuk Bandar, Dato' Rosli Latif, memaklumkan sebagai projek permulaan, semua restoran dan kedai makan di Jalan Sultan Zainal Abidin yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara diminta menaik taraf sistem rawatan kumbahan. "Sistem itu akan diperkenalkan bagi mengelak pelbagai sisa makanan dan kumbahan mengalir ke dalam longkang dan parit sehingga mengeluarkan bau busuk. "Sistem rawatan kumbahan di semua restoran dan kedai makan itu juga akan diperluaskan di seluruh kawasan pentadbiran MBKT," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Mengulas lanjut, Rosli berkata, projek berkenaan merupakan antara proses naik taraf di bawah peruntukan RM100 juta bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, yang diumumkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu. Tambahnya, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas pengusaha restoran dan kedai makan terutama di tepi jalan yang enggan menggunakan kaedah sistem rawatan kumbahan. "Setakat ini MBKT sudah melakukan kerja menaik taraf infrastruktur restoran dan kedai makan di tepi jalan termasuk di Batu Burok dan di Teluk Ketapang. "MBKT juga sedang melakukan kerja menaik taraf serta memindahkan gerai makan di Kampung Tanjung ke muara utara," katanya. Rosli turut menasihati pengusaha restoran dan kedai makan agar lebih berdisiplin terutama menjaga kebersihan premis masing-masing termasuk tidak menaikkan harga jualan makanan serta minuman.  
04 Nov 24
168
Terengganu Salur RM4.2 Juta Baik Pulih Rumah Rosak Akibat Ribut
Terengganu Salur RM4.2 Juta Baik Pulih Rumah Rosak Akibat Ribut
KUALA TERENGGANU, 3 November - Peruntukan sebanyak RM4.2 juta disalurkan kerajaan negeri bagi kos baik pulih 1,177 rumah yang rosak akibat kejadian ribut pada akhir bulan lalu. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja baik pulih rumah penduduk terjejas di seluruh Terengganu masih berjalan dengan kemajuan antara 70 hingga 80 peratus, ketika ini. Menurutnya, kebanyakan kerosakan yang dilaporkan adalah melibatkan bumbung dan atap rumah yang tercabut. "Baik pulih bumbung ini tidak mengambil masa yang lama seperti kerosakan yang melibatkan struktur bangunan. "Kejadian ribut yang berlaku itu memang melibatkan semua daerah namun dua daerah iaitu Dungun dan Kuala Nerus menerima kesan kerosakan yang minimum sahaja," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, hari ini. Difahamkan, selain rumah kediaman, beberapa sekolah turut mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku kesan tempias Ribut Tropika Trami itu terutama di daerah Kemaman. Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Bukit Mentok, SMK Sultan Ismail, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Agama Al Falah dan SK Seri Kemaman.   
03 Nov 24
329