lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
OMAN, 8 November - Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikatnya, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memeterai perjanjian usaha sama pengendalian industri huluan minyak dan gas dengan syarikat Oman. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama turut melibatkan sektor penjagaan kesihatan, perkilangan serta pelancongan.  Katanya, perjanjian bersama MB Holding LLC Group melalui anak syarikatnya, Petrogas Sisma dan Petrogas E&P Oman akan membuka ruang lebih luas dalam ekplorasi tenaga, minyak dan gas serta sektor lain. "Kerjasama strategik ini dijangka mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan baru dalam usaha kerajaan negeri memperbaiki taraf hidup rakyat Terengganu di masa hadapan. "Kedua-dua pihak secara efisien akan melaksanakan pembangunan komersil termasuk sektor minyak dan gas, penjanaan tenaga dan lain-lain industri hulu yang melibatkan di kawasan pengoperasian bagi pembangunan di kawasan terbabit," jelas beliau. Ahmad Samsuri yang juga pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian di Muscat, Oman. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ir. Khairil Nizam Khirudin, Pengurus Besar Invest Terengganu, Mohd Adzhar Mohd Zahari, Pengurusan Tertinggi Terengganu Inc, EPIC Berhad dan Petrogas Sisma. Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) diketuai Samsuri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun. Manakala MB Holding LLC diwakili Pengerusinya, Dr. Mohamed Al Barwani. Terengganu Inc dan Petrogas Sisma diwakili oleh CEO, Dr. Jamal Yusof.  Dalam pada itu, menurut Terengganu Inc, kerjasama tersebut menandakan komitmen pihaknya dalam meneroka potensi sektor huluan minyak dan gas dan juga beberapa bidang lain. "Dua perjanjian persefahaman telah termeterai pada hari ini iaitu, perjanjian pertama yang ditandatangani, adalah antara Terengganu Inc dan anak syarikat milik MB Holding LLC Group, Petrogas E&P Oman melalui Petrogas Sisma Energy yang beroperasi di Malaysia bagi meneroka potensi kerjasama di sektor huluan minyak and gas di negeri Terengganu. "Petrogas E&P mempunyai kekuatan dalam  mengendalikan sektor huluan minyak dan gas termasuk 'Late Life Assets' di Eropah, Timur Tengah dan Afrika dengan pengeluaran sebanyak 100,000 tong sehari.  "Dengan kekukuhan perniagaan dan pengalaman yang dimiliki oleh Petrogas, ekplorasi perniagaan ini dijangka membuka ruang lebih besar untuk hubungan perniagaan jangka panjang di Terengganu secara khususnya dan di Malaysia secara amnya," jelas Terengganu Inc.  
08 Nov 24
9434
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
KEMAMAN, 8 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), semalam. Beliau berkata, pelantikan ini bukanlah suatu anugerah, sebaliknya tanggungjawab dan amanah besar bagi memartabatkan peranan agensi ini dalam menguruskan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana dan sebagainya. "Terima kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan kepercayaan ini kepada saya," katanya kepada pemberita. Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai turut mengharapkan mampu menggalas dan melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya. Sesi Penyerahan Vest dan Watikah Pelantikan Pegawai kehormat itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Majlis itu berlangsung di Hotel Park Royal A'Famosa Melaka Resort, Alor Gajah, Melaka sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB).  
08 Nov 24
636
Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 7 November - Dalam usaha melindungi kekayaan biodiversiti negeri, Kerajaan Negeri Terengganu telah membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebuah pulau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan sejarahnya sebagai sebuah Taman Negeri.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan Pulau Bidong yang sebelum ini dikenali sebagai tempat perlindungan dan tapak sejarah bagi pelarian Vietnam, kini akan menjadi permata ekologi yang dilindungi sepenuhnya. “Seiring dengan hasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai sebuah Taman Negeri. “Terletak di Daerah Kuala Nerus dengan keluasan sekitar 231.3 hektar, pewartaan ini juga meliputi kawasan 1 batu nautika dari garis air surut pulau tersebut. “Langkah ini akan memastikan pulau tersebut, dengan flora dan fauna uniknya, berada di bawah pengurusan rapi dan pemantauan berterusan di bawah urustadbir Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penutup sempena Seminar Biodiversiti Terengganu 2024, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, disini, semalam. Menurut Razali, proses pewartaan ini akan diselaraskan dalam masa terdekat dan akan diiringi dengan program-program yang bertujuan untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan biodiversiti di negeri ini. “Dengan menjadikan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri, Terengganu memberi isyarat yang jelas bahawa perlindungan alam sekitar dan kekayaan biodiversiti adalah komitmen yang kukuh dan akan terus diperjuangkan. “Dengan usaha berterusan ini, kami berharap kesedaran individu dan masyarakat akan terus meningkat terhadap pentingnya memelihara biodiversiti, kerana kesedaran adalah asas utama untuk memastikan kelestarian khazanah alam yang sangat bernilai ini. Langkah ini juga selaras dengan kesedaran global yang semakin tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar. Razali juga menyeru untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan struktur pengurusan bagi melindungi kepelbagaian biologi di Terengganu adalah sebuah visi yang bukan hanya menekankan keperluan masa kini, tetapi juga keberlangsungan masa hadapan. “Sebagaimana titah penyempurnaan perasmian oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada sesi pagi tadi, marilah sama-sama kita berusaha yang terbaik untuk memupuk kesedaran, seterusnya meningkatkan struktur pengurusan didalam melindungi kepelbagaian biologi. “Dengan adanya usaha yang holistik dan berterusan, Terengganu mampu menjadi model unggul bagi pengurusan biodiversiti yang mampan. “Menjadi negeri contoh dalam aspek ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada penduduk tempatan dari segi ekonomi melalui ekopelancongan, tetapi juga memberikan faedah tidak ternilai kepada generasi akan datang. Mereka akan mewarisi bumi yang kaya dengan kepelbagaian biologi, menikmati udara bersih, air jernih, dan keindahan semula jadi yang tidak ternilai,” jelasnya.
07 Nov 24
480
Dua Negeri SG4 Terbit Buku Penerangan Dasar Wanita
Dua Negeri SG4 Terbit Buku Penerangan Dasar Wanita
KUALA TERENGGANU, 7 November  - Penerbitan buku adalah satu langkah dalam mendokumentasikan dasar wanita berlandaskan prinsip Islam untuk dijadikan panduan komprehensif. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, kerjasama antara Kelantan dan Terengganu ini tidak hanya melambangkan persefahaman tetapi juga mengangkat martabat dasar wanita dalam konteks negeri-negeri SG4 dan di seluruh Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa. “Satu penerbitan buku dengan kerjasama dua negeri melalui dua urus setia wanita akan dilakukan bagi memberi penerangan lanjut mengenai Dasar Wanita Solehah Kelantan dan Dasar Wanita Terengganu yang penggubalannya berteraskan Al-Quran dan Sunnah.  “Penerbitan buku ini selari dengan dasar pemerintahan Islam yang menunjangi dua buah negeri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media hari ini, mengulas mengenai Bengkel Penulisan dasar Wanita yang diadakan pada 2 November lalu. Menurutnya, usaha itu mencatat sejarah sebagai penerbitan pertama secara khusus mengupas dasar wanita di kedua-dua negeri, di samping mengintegrasikan perundangan Malaysia yang relevan. “Walaupun terdapat banyak penulisan tentang wanita, namun belum ada buku spesifik menerangkan mengenai kedua-dua dasar wanita yang telah digubal dan dilancarkan oleh kedua-dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. “Selain Dasar Wanita ini menjelaskan kedudukan, hak dan tanggungjawab wanita dari perspektif Islam yang merangkumi nilai-nilai sejagat, ia juga mengambil kira dan memastikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkembangan perundangan di Malaysia,” ujarnya. Malah katanya, ia turut memberi panduan bagi negeri Kerajaan Negeri 4 (SG4) dan negeri-negeri lain yang berhasrat mengikuti jejak langkah ini dalam membangunkan dasar wanita Islam. “Buku ini dijangka bukan sahaja menjadi rujukan utama di peringkat kebangsaan, malah turut berpotensi sebagai panduan antarabangsa. “Semoga segala yang dirancang berjalan dengan lancer,” katanya. Justeru itu, Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku Induksi Dasar Wanita dengan harapan buku ini boleh menjadi rujukan dan ikutan sama ada di dalam ataupun luar negara.
07 Nov 24
158
Terengganu Cadang Wujud Santuari Atasi Masalah Gajah Liar Pantai Timur
Terengganu Cadang Wujud Santuari Atasi Masalah Gajah Liar Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 7 November - Terengganu dengan kerjasama Pahang dan Kelantan  bercadang untuk membina sebuah santuari gajah di Pantai Timur bagi mengatasi masalah serangan gajah liar yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi menempatkan gajah yang ditangkap selain menjaga keselamatan penduduk dari serangan mamalia tersebut. "Serangan gajah berlaku kerana habitat asalnya semakin berkurangan dan menjejaskan sumber makanan mereka. "Oleh itu, timbul cadangan daripada wakil tiga negeri untuk membina santuari yang mampu menempatkan gajah di tempat yang selamat dan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Razali, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan yang melibatkan tiga negeri serta jabatan berkaitan bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih mendalam termasuk mengenal pasti lokasi santuari tersebut. Dalam pada itu, Razali berkata, ketika ini, dianggarkan terdapat 300 ekor gajah di Terengganu. "Setiap kali kita pindahkan seekor gajah liar yang menyerang kampung serta penduduk menelan kos antara RM50,000 hingga RM70,000 ke habitat asal," ujarnya.   
07 Nov 24
152
Beras Pun Naturalisasi?
Beras Pun Naturalisasi?
KUALA TERENGGANU, 6 November- 'Kehilangan' beras tempatan terus menjadi isu di kalangan rakyat marhaen sehingga mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. Dalam kenyataan di laman Facebooknya pagi ini, beliau menegaskan isu beras tempatan bertukar kepada beras import setelah masuk ke kilang padi sering kali diutarakan, tetapi tiada tindakan yang lebih baik dilaksanakan. "Banyak kali saya bentangkan isu ini kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Antara jawapan yang saya perolehi ialah, kami bekerja ikut peraturan. Apabila kami pergi 'check'  (siasat), didapati ada guni beras import di kilang pembungkusan sebagai bukti. Rupa luaran beras import dan beras tempatan adalah hampir sama. Susah nak dibezakan! Kami tak boleh nak ambil tindakan. "Saya cuba buka minda mereka, apakah mungkin guni beras import itu hanya diletakkan sebagai sample untuk mengelirukan anggota penguatkuasa? Sedangkan yang dibungkus sebagai beras Super Import sebenarnya adalah beras tempatan. Mereka tidak pula berani menafikannya kebenaran fakta ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. Tambahnya, apa yang lebih penting ialah fokus kepada isu pokok yang menjadi punca masalah berkenaan. "Peningkatan kos pengeluaran padi dan kos pembelian padi di kilang sekarang ini sekitar RM1500/tan, beras tempatan dijual kepada pemborong dengan harga RM2650 bagi beg saiz jumbo 1 tan. Maknanya harga kilang sudah RM2.65/kg. Mana mungkin pihak pemborong dan pembungkus boleh jual dengan harga runcit kawalan beras tempatan RM2.60/kg? "Kerana itulah kita perlu berpijak di bumi nyata dan selesaikan masalah dari punca," katanya. Dr Azman menjelaskan, dengan peningkatan kos pengeluaran ekoran dari peningkatan harga diesel, harga lantai belian padi RM1300/tan sudah tak relevan lagi. Ia mesti dinaikkan pada paras antara RM1500-RM1800/tan. Menurut beliau, kenaikan harga belian padi akan membawa kepada kenaikan harga beras. Namun, pengguna masih boleh bertoleransi jika ada sedikit kenaikan harga beras tempatan pada kadar yang munasabah. "Contohnya, antara RM2.80-RM3/kg. Ia sebenarnya lebih murah dari harga beras tempatan yang dijenamakan sebagai beras import sekarang iaitu antara RM3.50-RM3.80/kg. Beras sama saja!," ujarnya.
06 Nov 24
111
Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula 1 November
Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula 1 November
KUALA TERENGGANU, 6 November - Terengganu akan menutup sementara semua Taman Eko-Rimba, laluan pendakian termasuk aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpan Kekal di negeri ini bermula 1 November baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, penutupan selama empat bulan berikutan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh. Menurutnya, antara yang terlibat adalah Taman Eko Chemerong dan Rimba Bandar Bukit Bauk di Dungun, Lata Tembakah dan Lata Belatan (Besut), Sekayu (Hulu Terengganu), Lata Payung (Setiu) dan Air Menderu (Kemaman). "Tengkujuh dan kepala air boleh mengancam keselamatan pengunjung, jadi semua kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada kunjungan orang ramai sehingga 28 Februari dan akan dibuka semula pada 1 Mac nanti. "Penutupan itu bermakna tiada aktiviti perkelahan, pendakian dan rekreasi dibenarkan di kawasan terbabit, susulan musim tengkujuh yang dibimbangi boleh menyebabkan kejadian kepala air dan membahayakan pengunjung," katanya kepada pemberita. Tambah Razali, penutupan turut dilakukan di kawasan rekreasi yang berisiko sepanjang musim tengkujuh “Mana-mana individu yang melanggar arahan ini boleh disabitkan kesalahan dibawah Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986. “Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya.
06 Nov 24
309
Berkat Pelajari Seni Khat Daripada Suami, Isteri Muncul Juara
Berkat Pelajari Seni Khat Daripada Suami, Isteri Muncul Juara
KUALA TERENGGANU, 6 November - Dengan minat yang mendalam melalui bakat yang diasah sejak kecil dan menerima tunjuk ajar daripada suami, Mohd Hisyamuddin Ramli yang merupakan penulis khat, Nurul Hidayah Jusof muncul johan kategori batik. Katanya, itu merupakan percubaan pertamanya dalam kategori tersebut dan tidak menyangka akan muncul sebagai juara walaupun sebelum ini banyak kali menyertainya dalam kategori lain. "Saya tidak menyangka percubaan pertama dalam kategori batik ini membawa kemenangan besar, sebelum ini saya hanya pernah mencuba menulis khat di atas kanvas dan sekadar mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan yang disertai sebelum ini. "Kali ini saya cuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ada rezeki," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu ketika ditemui di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam. Tambahnya, minat yang berputik di sekolah terhadap seni khat itu tidak pernah terhenti sehingga bekerja di Yayasan Restu malah bertemu jodoh pula dengan suami yang cukup berkemahiran dalam seni khat secara tidak langsung telah membimbingnya selama ini. "Suami saya yang telah banyak mengajar saya dan menjadi pendorong utama dan menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha dalam bidang yang diminati ini," katanya. Dalam pada itu, suaminya pula mengharapkan agar kerajaan negeri akan terus menganjurkan program seumpama itu kerana ia merupakan salah satu usaha penting dalam memastikan seni itu terus berkembang. "Jika lebih banyak acara seperti ini dianjurkan anak-anak muda akan lebih mudah mengenali dan menghargai seni khat walaupun dalam era media sosial di zaman adanya TikTok kerana seni ini memerlukan pendedahan yang lebih luas dan melalui festival ini ia menjadi peluang yang terbaik bagi mempamerkan bakat," jelasnya. Manakala Johan Kategori Terbuka Spontan, Muin Afnawi Zamri Solihin melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai pertandingan di festival yang diadakan oleh kerajaan Terengganu. "Bila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memartabatkan seni ini, ia memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya," katanya. Menurut peserta dari Kedah itu bagi menghasilkan tulisan khat yang cantik ia memerlukan kesabaran dan kegigihan yang tinggi. "Setiap huruf perlu ditulis dengan teliti dan penuh kesabaran. Saya rasa cabaran paling besar dalam bidang ini ialah kesabaran untuk menguasai setiap gerakan. "Ramai yang mula belajar tetapi putus asa di tengah jalan kerana memerlukan latihan yang berterusan,"katanya.  
06 Nov 24
253
Kerjasama Khas Antara Negeri dan Persekutuan Perkasakan Biodiversiti
Kerjasama Khas Antara Negeri dan Persekutuan Perkasakan Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 6 November – Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengadakan kerjasama khas dari segi kepakaran saintifik dan teknikal, data yang komprehensif, sumber kewangan dan juga penyelarasan dasar agar dapat memperkasakan lagi biodiversiti di Terengganu.  Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin  bertitah ia sekali gus membuka satu bentuk kerjasama dengan pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, masyarakat setempat, pencinta alam dan entiti lain untuk bersama-sama memenuhi kewajipan menjaga kepelbagaian biologi, untuk kelangsungan hidup masa depan untuk manfaat seluruh negara. “Saya berharap pemantauan dan penambahbaikan yang berterusan khususnya kepada struktur pengurusan biodiversiti di peringkat Negeri dapat diperkasakan dan sentiasa bersedia untuk menghadapi segala keperluan biodiversiti. “Dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kelestarian biodiversiti, ia turut memainkan peranan dalam menjayakan agenda negara melalui Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2022-2030.  “Dengan cara ini, kita juga boleh memastikan bahawa pengalaman seperti yang diceritakan oleh Sir Hugh Clifford, masih kekal dan ia berterusan untuk warisan generasi akan datang,”titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Seminar Biodiversiti Terengganu 2024: Safeguarding Biodiversity For A Sustainable Future di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tengku Muhammad Ismail juga bertitah, inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan menubuhkan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu dan mewartakan beberapa tapak sebagai Taman Negeri, adalah sangat positif. “Momentum dalam memastikan kepelbagaian biologi termasuk genetik aspek, spesies dan ekosistem dapat diurus dengan lebih baik dan inisiatif itu perlu diteruskan. “Kita tidak boleh leka kerana biodiversiti masih berdepan dengan pelbagai krisis yang boleh menyumbang kepada kemerosotan dan kehilangannya. “Terdapat beberapa elemen yang memerlukan perhatian, yang boleh mengancam biodiversiti seperti perubahan iklim, kemusnahan habitat, pencerobohan spesies, pencemaran kimia, pencemaran atmosfera dan lain-lain,” titah baginda. Baginda juga menzahirkan harapan bahawa semua pihak akan memberi perhatian dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu biodiversiti, bukan sahaja di negeri Terengganu malah di seluruh Malaysia.
06 Nov 24
128
Tengku Seri Bijaya Raja Bersara Sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu
Tengku Seri Bijaya Raja Bersara Sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November -Tengku Seri Bijaya Raja, Dato' Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu, semalam. Diberi amanah mengemudi penjawat awam Negeri Terengganu sejak 2021, Tengku Seri Bijaya Raja melaksanakan tugas selama tiga tahun selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ke-26. Beliau yang memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada Februari 1991, meletakkan ibu jari pada sistem kehadiran biometrik tepat jam 5.00 petang menamatkan 33 tahun khidmatnya sebagai penjawat awam. Melengkapkan hari terakhirnya di Wisma Darul Iman, Tengku Seri Bijaya Raja melawat setiap jabatan dan bahagian bertemu mata buat kali terakhir. Beliau ditemani isteri, To' Puan Seri Nor Zaini Abd Latif juga sempat merakamkan kenangan dan menitipkan pesan kepada staf-staf sebelum meninggalkan Wisma Darul Iman diiringi konvoi motosikal. Pegawai Kewangan Negeri sebelum ini, Dato' Nara Setia, Dato' Zulkifli Ali dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berkuatkuasa secara rasmi, hari ini.          
06 Nov 24
294