Artikel "Utama" Terkini
Ketua Jabatan Diminta Kaji Prosedur Kerja Lapuk
KUALA TERENGGANU, 27 November- Ketua Jabatan di negeri ini diminta untuk mengkaji semula mana-mana prosedur kerja lapuk dan perlu dibuat pengemaskinian.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia berkata, semua Ketua Jabatan perlu membuat sekurang-kurangya satu Reformasi Prosedur Kerja bagi jabatan masing-masing.
“Jika proses-proses atau birokrasi dipermudahkan maka ruang untuk rasuah itu berlaku semakin mengecil dan akan hilang terus apabila tahap integriti pegawai dipertingkatkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, satu panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepatkan perlaksanaan reformasi karenah birokrasi telah digariskan dalam Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan yang telah dilancarkan sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 baru-baru ini.
“Ia bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Ketua Jabatan supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan semua warga kerja jabatan tidak melakukan kesalahan dari segi tatakelakuan dan integriti.
“Ketua Jabatan seharusnya tidak menyembunyikan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh warga kerja jabatan atas dasar untuk menjaga imej jabatan/ketua jabatan.
“Sebarang kesalahan hendaklah dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” ujar beliau.
Sementara itu katanya, penjawat awam perlu berwaspada dan peka dengan sebarang peraturan, pekeliling, garis panduan dan arahan-arahan semasa dalam menjalankan tugas agar tidak melanggar prinsip integriti.
“Selain di peringkat jabatan, amalan integriti seharusnya terlebih dahulu bermula dari diri individu itu sendiri.
“Kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai integriti seharusnya ditanamkan dalam diri kita terlebih dahulu,” ujarnya.
27 Nov 24
144
Ahmad Samsuri Kini Bergelar Brigedier Jeneral
KUALA TERENGGANU, 26 November - Menteri Besar Terengganu kini bergelar Brigedier Jeneral Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau menerima pangkat tersebut atas pelantikannya sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Terengganu.
"Terima kasih kepada pucuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) di atas kepercayaan, pemakaian dan penganugerahan pangkat yang diberikan," ujarnya.
Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, Kem Kementah, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pelantikan ini telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan syor Majlis Angkatan Tentera Ke-580.
26 Nov 24
341
'Royalti Bukan Hak Terengganu?, PAN Jangan Jadi Pengkhianat'
KUALA TERENGGANU, 26 November – Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu diingatkan agar tidak menjadi pengkhianat di negeri sendiri susulan tindakan parti itu menyatakan royalti bukan hak mutlak Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat menegaskan, kenyataan sembrono PAN dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat,memandangkan negeri ini telah menerima royalti minyak sejak sekian lama.
"Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai kerana bertentangan dengan pendirian pemimpin PAN sendiri sebelum ini.
"Ketika di peringkat awal politik mereka, pemimpin PAN lantang menyatakan bahawa royalti minyak adalah hak rakyat Terengganu.
"Namun kini, mereka dilihat 'berpatah arang' dengan menafikan hak rakyat," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Raja Bahrin berdemo di hadapan Wisma Darul Iman menuntut royalti hak Terengganu.
Menurut beliau, royalti minyak adalah hasil bumi Terengganu dan ia menjadi hak negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petronas 1975.
"Pemimpin yang kata ini bukan hak mutlak Terengganu sebenarnya telah mengkhianati negeri sendiri,” ujar beliau.
Jelas Satiful, pengkhianatan terhadap Terengganu ini tidak mustahil akan menyebabkan rakyat terus menolak parti tersebut.
"Bagaimana rakyat hendak beri kepercayaan kepada mereka jika mereka sendiri yang mengkhianati rakyat.
"Ini bukan saja menunjukkan ketidaktelusan, tapi juga hilangnya rasa hormat terhadap hak rakyat,” katanya.
Semalam Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir mengatakan royalti minyak bukan hak mutlak Terengganu.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai kerana sebelum ini PAN Terengganu menerusi ketuanya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata royalti petroleum adalah hak rakyat Terengganu.
26 Nov 24
354
Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya di Terengganu, Pahang Hingga Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 26 November -Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini.
METMalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari tadi memaklumkan, di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu, di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan membabitkan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor
Di Terengganu, empat daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka berdepan cuaca tahap buruk selain Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera).
METMalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari tadi sehingga 30 November depan.
Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (kmsj) hingga 50 kmsj, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.
Selain itu amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60kmsj dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5m dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layang-Layang
METMalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya selain aplikasi mobile myCuaca.
Bagi pertanyaan lanjut, hubungi talian hotline METMalaysia,1-300-22-1638.
26 Nov 24
237
300 Anak Terengganu Sertai Bengkel AI SAiBer 3.0
KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 300 anak muda dari seluruh Terengganu telah menyertai Bengkel Kuasai Artificial Intelligence & Media Baharu (SAiBer 3.0), yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, berkata Artificial Intelligence (AI) adalah ilmu yang perlu dikuasai untuk kekal relevan dalam era digital.
“AI, atau Kecerdasan Buatan, adalah teknologi yang boleh belajar dan berfikir seperti manusia kini digunakan di seluruh dunia, dan anak muda kita tidak boleh ketinggalan.
“Bengkel ini memberi peluang kepada anda semua untuk memahami asas AI dan meneroka potensi teknologi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SAiBer 3.0 di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahmad Shah turut menjelaskan mengapa penting untuk mempelajari teknologi ini.
“Majikan sekarang mencari tenaga kerja yang mahir dalam AI yang mana industri seperti kesihatan, kewangan, dan e-dagang semakin bergantung kepada teknologi ini.
“Dengan kemahiran dalam AI, peluang kerjaya anak muda akan lebih terbuka,” jelasnya.
Namun begitu, beliau juga menekankan cabaran etika dan keselamatan yang datang bersama penggunaan AI.
“Teknologi ini ada risikonya, terutama dalam soal privasi. Oleh itu, kita harus menggunakan AI dengan bertanggungjawab, selaras dengan nilai agama dan etika,” katanya.
Ahmad Shah turut mengumumkan bahawa i-MITS akan menganjurkan Bengkel Volcano Advanced AI untuk peserta yang telah menyelesaikan salah satu siri SAiBer tahun ini.
“Ini adalah peluang keemasan untuk mendalami ilmu AI ke tahap seterusnya.Saya harap peserta semua ambil peluang ini, belajar bersungguh-sungguh, dan gunakan ilmu ini untuk manfaat masyarakat,” ujarnya.
26 Nov 24
205
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
KUALA TERENGGANU, 25 November- Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu masih berada dalam tindakan pemaju dan kini sedang dalam proses kajian semula.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak pemaju, kajian awal mendapati bahawa pasaran jualan dan permintaan rumah di kawasan tersebut tidak memuaskan, mengakibatkan keputusan untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan di tapak.
“Tindakan ini mungkin bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek sejalan dengan permintaan pasaran yang sebenar bagi mengelakkan lebihan rumah yang tidak terjual.
“Keputusan ini juga memberi ruang kepada pihak pemaju untuk mempertimbangkan strategi yang lebih sesuai, termasuk potensi perubahan dalam perancangan projek atau penyesuaian harga jualan mengikut kemampuan dan permintaan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Katanya, pihak SPNB mungkin akan mengkaji pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi, kemampuan pembeli di kawasan tersebut, serta prospek pembangunan lain yang dapat menarik minat pembeli.
26 Nov 24
340
Wan Hassan Kecewa MRSM Dungun Gagal Siap Ikut Jadual
KUALA LUMPUR, 26 November - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli melahirkan rasa kecewa atas kegagalan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun disiapkan mengikut jadual Lanjutan Masa Ketiga (EOT 3) iaitu pada 25 Ogos 2024.
Wan Hassan berkata, setakat Julai 2024 pembinaannya telah mengalami kelewatan dengan peratus pencapaian kemajuan fizikal semasa baru mencapai 79.03 peratus, berbanding 97.24 peratus yang dijadualkan.
"Lanjutan masa terkini iaitu kali ke-4 adalah pada 14 Julai 2025, iaitu tidak sampai setahun dari sekarang," ujarnya.
Rasa kecewa itu disampaikannya ketika membahas Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini.
Beliau juga memohon penjelasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan perkara berkenaan.
"Sejak Julai ketika peratus kemajuan fizikal yang disebutkan tadi diumumkan, apakah terdapat sebarang kemajuan terhadap peratus berkenaan dan adakah sudah ada cadangan supaya diberikan kuota khusus juga kepada pelajar-pelajar di Dungun yang ingin memasuki MRSM Dungun ini?," soalnya lagi.
Berdasarkan rekod Lawatan Pemantauan Healthcheck oleh Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu ke tapak MRSM Dungun pada Julai lalu, antara punca yang dikenalpasti menyebabkan kelewatan adalah kesukaran daripada pihak kontraktor untuk mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi kerja-kerja pembinaan di tapak dan isu kelewatan kelulusan pengalihan kabel daripada pihak TNB.
Walaubagaimanapun, pihak kontraktor sentiasa komited untuk meningkatkan jumlah pekerja dan memastikan kemajuan projek kembali mengikut jadual. PPNT juga telah mencadangkan supaya satu sesi libat urus dilaksanakan bersama pihak TNB bagi membincangkan tentang isu pengalihan utiliti.
26 Nov 24
357
Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak mengkhianati amanah dengan mengembalikan royalti petroleum kepada Terengganu sepenuhnya.
Menerusi Usul Tergempar yang dikemukakan ADUN Belia Pengkalan Berangan, Azim Razak, beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan jelas menetapkan bahawa urusan kewangan antara negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu berasaskan perundingan dan persetujuan bersama.
Malangnya kata beliau, prinsip itu telah dilanggar secara terang-terangan dalam isu royalti Terengganu.
“Tatakelola yang ada sekarang mencerminkan pendekatan unilateral Kerajaan Persekutuan, yang tidak menghormati semangat kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.
“Undang-undang dan dokumen perjanjian yang ada memberi kelebihan yang jelas kepada kerajaan negeri Terengganu. Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) menetapkan bahawa pembayaran tunai mesti diberikan kepada negeri pengeluar petroleum.
“Perjanjian Royalti 1975 memeterai komitmen pembayaran 5 peratus (kepada Kerajaan Negeri) daripada hasil petroleum yang diekstrak,” jelasnya ketika membahaskan usul terbabit di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurut Azim yang juga mahasiswa jurusan Undang-undang Universiti Taylor, pelanggaran prinsip undang-undang itu tidak hanya menimbulkan persoalan moral, tetapi juga memberikan peluang kepada pihak berkepentingan untuk mencabar keabsahan tatakelola yang diamalkan.
“Mengapa wang royalti ini tidak disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri untuk memastikan perancangan lebih efisien? Adakah kerana ketakutan terhadap kebangkitan negeri yang lebih maju daripada pusat?.
“Jika perjanjian royalti ini dilaksanakan melalui proses sah, mengapa terdapat penangguhan yang berulang? Apakah ini mencerminkan kelemahan sistem atau kebobrokan politik?,” soal beliau.
Jelas Azim lagi, sekatan royalti petroleum dengam mekanisme dan birokrasi berlebihan dilihat ‘menyeksa’ rakyat Terengganu.
“Perancangan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai pusat ekopelancongan serantau terhenti akibat ketiadaan dana kesinambungan.
“Program seperti i-Belia dan i-Perantau, yang dijangka memperkasakan anak muda Terengganu dengan bantuan kewangan dan sokongan untuk perantau, turut tergendala, menafikan peluang kepada belia untuk berkembang dan menyumbang kepada negeri.
“Projek Pusat Autisme Terengganu, yang dirancang sebagai pusat pembangunan holistik untuk kanak-kanak autisme, kini tergendala akibat kekangan dana royalti,” tegasnya.
Justeru, beliau dan majoriti Adun Belia lain sepakat mendesak Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa penuh pengurusan royalti kepada Kerajaan Negeri.
25 Nov 24
534
Kena Penjara Sebab Tak Solat Jumaat
KUALA TERENGGANU, 25 November - Seorang penjual buah yang ditangkap kerana tidak menunaikan solat Jumaat dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan akibat kelalaiannya melaksanakan kewajipan itu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu, Mat Ropi Busu selepas tertuduh, Amar (bukan nama sebenar), 44 tahun gagal membayar denda sebanyak RM3,000 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 (Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, hari ini.
Tiga lagi rakan tertuduh yang ditangkap dalam kejadian sama, masing-masing berusia 54 tahun, 17 tahun dan 48 tahun membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, keputusan dan hukuman yang diputuskan mahkamah seharusnya menjadi pengajaran kepada orang ramai.
“Jangan disebabkan kita inginkan keuntungan yang sedikit dari jualan sehingga kita sanggup dapat kemurkaan Allah SWT. Saya menyeru kepada semua lelaki yang mukallaf, khususnya penjaja/peniaga yang menjual pada waktu solat Jumaat, kembalilah pada Allah SWT untuk solat dahulu, kemudian teruskan perniagaan dan aktiviti lain.
“Kami (Bahagian Penguatkuasaan, JHEAT) juga mengalu-alukan aduan berkaitan mana-mana peniaga lelaki yang menjual pada waktu solat Jumaat, supaya pihak kami dapat ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Amar bersama-sama tiga lagi rakannya ditangkap oleh penguatkuasa JHEAT ketika sedang berniaga di sebuah gerai buah di Sungai Tong kira-kira jam 2.00 petang pada pertengahan Julai lalu.
25 Nov 24
4834
PMINT Peroleh 18 Kelulusan Tapak Berkait Silika
KUALA TERENGGANU, 25 November- PMINT dan anak syarikatnya, Permint Granite Sdn. Bhd telah memperoleh 18 kelulusan tapak (lesen pengambilan pasir atau lombong silika) secara keseluruhan sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 18 kelulusan itu merangkumi 16 kelulusan pasir silika dan dua kawasan batuan silika.
“Daripada 18 kawasan ini juga empat kawasan sedang beroperasi dan 14 kawasan yang lain di peringkat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan lain-lain kelulusan agensi teknikal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Khazan ingin tahu berapakah lesen pengambilan pasir silika atau lombong silika yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dan adakah kerajaan negeri bercadang membina pusat penapisan atau kilang memprosesnya.
Dalam pada itu menurut beliau, secara asasnya, kilang sedia ada PMINT di kawasan Bukit Senyamok, Dungun telah mematuhi kehendak pasaran dengan kualiti pasir yang dikeluarkan melalui pengeluaran mineral lombong yang konsisten.
“Kawasan Perlombongan di kawasan Bukit Senyamok ini juga dirancang untuk dijadikan kawasan pembangunan perlombongan yang lestari dan mampan.
“PMINT kini merancang untuk membangunkan kawasan perlombongan mampan merangkumi aspek pematuhan kepada garis panduan alam sekitar dan pembangunan kilang yang berteknologi tinggi serta berdaya saing bagi pembangunan produk hiliran,” jelasnya.
25 Nov 24
457