Artikel "Utama" Terkini
Warga Emas Korban Pertama Banjir Terengganu
BESUT, 28 November - Polis mengesahkan warga emas yang ditemukan lemas ketika memukat ikan dalam kawasan sawah padi di Kampung Amir di sini, hari ini sebagai korban pertama banjir di Terengganu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mayat Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, ditemukan jam 10.10 pagi pada jarak lima meter di dalam kawasan sawah padi yang ketika kejadian dinaiki air sedalam tiga meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Ia kes pertama sebab kawasan kita sahkan sebagai kawasan banjir dan dia merupakan mangsa yang pertama untuk negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Padang Luas di sini hari ini.
Mohd Khairi memaklumkan, Tuan Jusoh sebelum itu dilaporkan pergi ke kawasan sawah padi berkenaan pada jam 8.15 pagi untuk memukat ikan bersama tiga lagi rakannya.
Bagaimanapun, ketika melakukan aktiviti mengangkat pukat di kawasan berkenaan, mangsa dilaporkan hilang sebelum rakan berusaha untuk menyelamatkannya.
Berdasarkan kes itu, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak pergi ke lokasi yang terdedah kepada berlakunya lemas bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Kita tak jangka berapa dalam (kawasan dinaiki air sehingga) boleh menyebabkan jumlah mangsa yang meninggal akan meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, dua balai polis iaitu Balai Polis Kuala Jengal di Dungun dan Pondok Polis Tenang di Besut dinaiki air sedalam 0.3 meter.
Bagaimanapun, katanya, operasi di kedua-dua premis masih berjalan setelah peralatan dan kelengkapan penugasan dipindahkan ke tempat selamat.
28 Nov 24
168
Hulu Terengganu Rekod 3,351 Mangsa, PPS Pengkalan Ajal Tertinggi
HULU TERENGGANU, 28 November -Sejumlah 46 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Hulu Terengganu dengan PPS Pengkalan Ajal yang menempatkan paling ramai mangsa iaitu 316 orang terdiri daripada 96 keluarga.
Tinjauan juga mendapati, penduduk kampung berkenaan mula berpindah awal bagi mengelakkan sebarang musibah demi keselamatan mereka.
Bagi Raja Nur Izzati Raja Besar , 33, dia mula berpindah sejak awal pagi semalam apabila air mula naik di sekitar rumahnya.
"Berdasarkan pengalaman lepas, air cepat naik lebih- lebih lagi hujan lebat tanpa henti sejak dua tiga hari ni.
"Demi keselamatan enam anak saya termasuk bayi yang berusia tujuh bulan lebih baik pindah segera ke PPS sebab kita tak tau bila air naik mendadak," ujarnya yang pernah mengalami saat rumah dinaiki air hampir satu meter pada tahun 2022.
Sementara itu situasi banjir di Terengganu juga terus memburuk dengan jumlah mangsa direkodkan meningkat kepada 14,111 pada jam 4 petang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri memaklumkan daerah paling teruk terjejas iaitu Besut merekodkan 5,076 mangsa daripada 1370 keluarga yang berlindung di 69 PPS; manakala di Setiu, seramai 3,514 mangsa (1,011 keluarga) berada di 41 PPS.
Hulu Terengganu pula mencatatkan 3,351 mangsa (1,103 keluarga) di 46 PPS manakala di Kemaman 1,407 mangsa (407 keluarga) di 18 PPS.
Sementara itu, Dungun merekodkan 446 mangsa (135) keluarga di lapan PPS; manakala di Marang seramai 296 mangsa (84 keluarga) di tujuh PPS.
28 Nov 24
152
Mangsa Banjir di DUN Kuala Besut Dipindahkan ke PPS, Penduduk Diminta Berwaspada
KUALA TERENGGANU, 28 November – Sebanyak sepuluh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, seramai 229 mangsa melibatkan 79 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan setakat ini.
"Antara PPS yang telah dibuka antaranya di Balairaya Lay Out Tok Has, 57 mangsa, 13 KIR, terdiri daripada 18 lelaki dewasa, 20 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki, lapan kanak-kanak perempuan dan tiga bayi lelaki.
"Surau Kampung Pusu Tinggi, 51 mangsa (15 KIR), terdiri daripada 19 lelaki dewasa, 23 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan, dan dua bayi lelaki," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, PPS di Dewan Sivik Kampung Baharu melibatkan 37 mangsa, 21 KIR, terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan, dan seorang bayi perempuan.
"Surau Al-Jannah Kampung Gong Lapang, 17 mangsa
, 3 KIR, terdiri daripada lima lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, dan empat kanak-kanak perempuan," katanya.
Justeru itu, beliau menasihati penduduk di kawasan rendah yang sering dilanda banjir supaya sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke PPS apabila diarah pihak berkuasa.
"Saya ingin mengingatkan penduduk agar membawa bersama dokumen penting, mengikuti perkembangan terkini keadaan banjir, dan memastikan keselamatan anak-anak, terutama dengan tidak membenarkan mereka bermain air banjir tanpa pengawasan.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan keadaan semasa dan membuat persediaan rapi untuk menghadapi situasi banjir yang tidak menentu ini," tambah Azbi lagi.
28 Nov 24
177
12,038 Mangsa Banjir Berlindung Di 171 PPS
KUALA TERENGGANU, 28 November- Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan ketara iaitu seramai 12,038 orang daripada 3,509 keluarga setakat pukul 2 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan, terdapat 171 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah seluruh negeri ketika ini.
Enam daerah terjejas adalah Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.
Daerah Besut merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 4,648 mangsa daripada 1,262 keluarga ditempatkan di 64 PPS di daerah tersebut.
Bagi daerah Hulu Terengganu, seramai 2,809 mangsa daripada 928 keluarga dipindahkan ke 41 PPS.
Daerah Setiu pula membabitkan 3,052 mangsa banjir daripada 882 keluarga dipindahkan ke 38 PPS.
Di Kemaman, seramai 868 mangsa banjir daripada 244 keluarga berlindung di 15 PPS.
Sementara di Dungun melibatkan 446 mangsa daripada 135 keluarga berada di lapan PPS.
Dan Marang pula membabitkan 215 mangsa daripada 58 keluarga yang ketikan ini berada di lima PPS di daerah terbabit.
28 Nov 24
146
34 PPS Diaktifkan Di Hulu Terengganu, Tempatkan 2,155 Mangsa
HULU TERENGGANU, 28 November - Mangsa banjir di Hulu Terengganu terus meningkat kepada 2,155 orang setakat pukul 10 pagi ini susulan hujan berterusan sejak semalam.
Ketika ini, semua mangsa membabitkan 737 keluarga itu ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS).
Enam mukim di daerah ini terjejas banjir iaitu Hulu Telemong,Tersat,Hulu Berang,Tanggol,Kuala Telemong dan Penghulu Diman.
Sementara itu, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, dua sungai di daerah ini melepasi paras bahaya, satu berada di tahap waspada dan dua sungai lepasi tahap menurun.
Dua sungai melepasi paras bahaya adalah Sungai Kuala Ping iaitu 21.48 meter (m) dan Sungai Kampung Menerong (25.08m ).
Dua sungai melepasi tahap menurun iaitu Sungai Kampung Tanggol iaitu 6.66m dan Sungai Kampung Dura 9.32m.
28 Nov 24
241
Banjir Di Terengganu Semakin Memburuk, Rakyat Diminta Lebih Berwaspada
KUALA TERENGGANU, 28 November- Rakyat Terengganu yang berada di kawasan berisiko dan terjejas banjir diminta supaya tidak panik dan sentiasa peka dengan amaran serta arahan pihak berkuasa.
Mneteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan termasuk Jerantut dan Kuantan di Pahang serta bahagian utama Negeri Terengganu sehingga 29 November ini.
“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Terengganu untuk sentiasa berjaga-jaga dengan risiko banjir yang bakal berlaku.
“Ikut arahan pihak berkuasa seperti agensi keselamatan dan penyelamat jika terdapat keperluan untuk berpindah,” ujar Ahmad Samsuri dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dengan menjauhi kawasan berisiko seperti tebing sungai, kawasan pantai, dan tempat rendah yang mudah dinaiki air.
“Sentiasa peka dengan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi seperti MET Malaysia dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Disarankan untuk simpan nombor talian Bilik Gerakan Bencana Banjir berikut: 09-623 6655. Moga semua berada dalam lindungan-Nya,” ujar beliau.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sebanyak 138 PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 9,005 mangsa banjir daripada 2,651 keluarga yang terjejas di enam daerah di Terengganu setakat pukul 10 pagi ini.
28 Nov 24
348
Tiga Sekolah di Kuala Berang Tutup Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 28 November -Tiga sekolah di Kuala Berang, di sini, ditutup berikutan banjir yang melanda.
Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, mula digenangi air sedalam lebih dua meter sejak awal pagi tadi.
Manakala, jalan utama ke Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, digenangi air.
Ketika tinjauan dibuat, anggota bomba balai Kuala Berang sedang giat membantu membawa keluar pelajar-pelajar sekolah tersebut dan ditempatkan di Surau Batu 24 sebelum diserahkan kepada ibu bapa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Berang, Zulhisham Mohd Yusof, keadaan masih terkawal dan semua pelajar selamat.
"Kami menerima panggilan memintan bantuan untuk mengambil pelajar yang terkandas di kawasan sekolah dan pihak kami telah menyerahkan pelajar-pelajar terbabit kepada ibu bapa",katanya.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, ZidniMohd Shahrul, 16 tahun, berkata air mula menggenangi sekolahnya sejak semalam.
"Air dekat pagar sekolah dekat paras pinggang dan guru minta semua pulang ke rumah, Alhamdulillah dengan bantuan pihak bomba semuanya berjalan lancar",katanya.
Manakala salah seorang bapa pelajar yang terkandas, Alias Ismail, dia datang mengambil anaknya yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Mahmudiah selepas dihubungi anaknya.
"Anak saya telefon minta datang ambil sebab air makin naik jadi bimbang perkara tidak diingini berlaku saya terus bergegas ke sini dan mengambil anaklah," ujarnya.
Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari menyebabkan banyak kawasan di Hulu Terengganu di naiki air.
Setakat jam 10.00 pagi tadi, seramai 2,155 mangsa banjir dipindahkan di daerah terbabit dan ditempatkan di 34 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
28 Nov 24
476
Taman Awam, Padang Bola di Kuala Nerus Perlu Ditambah
KUALA LUMPUR, 28 November - Pembangunan Taman Awam dan padang bola perlu ditambah di kawasan di sekitar Kuala Nerus, ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak.
Beliau berkata, di bawah butiran Landskap Negara, hanya terdapat satu taman awam di daerah Kuala Nerus iaitu di Bandar Baharu Kuala Nerus.
Oleh itu katanya, pihak Persekutuan diminta untuk menjalankan kajian lapangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan pembinaan taman awam dan juga padang bola supaya dapat dinikmati oleh penduduk Parlimen Kuala Nerus.
"Langkah ini adalah sebagai usaha memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat supaya terhindar daripada terjebak daripada pekara-pekera yang negatif.
"Antara kawasan yang dicadangkan pembinaan taman awam ini adalah di kawasan Bukit Tunggal," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa jawatankuasa Belanjawan bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Jelasnya lagi, pertambahan jumlah penduduk juga salah satu sebab keperluan ruang hijau sebagai medium interaksi sosial, terapi dan ketenangan serta untuk tujuan rekreasi.
"Taman awam bukan sahaja tempat orang ramai beriadah tetapi platform untuk kita berinteraksi dan memupuk hubungan yang lebih erat bagi menggalakkan keharmonian sosial," katanya.
27 Nov 24
171
Empat Daerah Kembali Dilanda Banjir, Besut Catat Mangsa Tertinggi
TERENGGANU, 27 November- Empat daerah di Terengganu kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 795 mangsa banjir dipindahkan setakat jam 12.00 tengah hari tadi.
Ia membabitkan 207 keluarga dengan 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Daerah Besut paling ramai dipindahkan iaitu 504 mangsa yang membabitkan 129 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
Diikuti Daerah Hulu Terengganu 135 mangsa, membabitkan 40 keluarga yang kini berada di lapan PPS, daerah Setiu membabitkan 113 mangsa dengan lima PPS dibuka.
Manakala daerah Marang pula menjejaskan 43 mangsa dengan satu PPS dibuka.
27 Nov 24
834
Lapan Sungai Terengganu Lepasi Aras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 27 November - Sebanyak lapan sungai di Terengganu kini melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan yang dijangka sehingga Sabtu ini.
Berdasarkan kemaskini publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lapan sungai tersebut melepasi paras amaran bahaya.
Sungai Besut di Jambatan Keruak kini berada di paras 37.55 meter (bahaya 35.00 meter), Sungai Besut di Kampung La di paras 23.44 meter (bahaya 21.80 meter), Sungai Setiu di Kampung Besut di paras 17.89 meter (bahaya 17.50 meter).
Manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap di paras 22.00 meter (bahaya 21.00 meter), Sungai Telemong di Kuala Ping di paras 20.57 meter (bahaya 19.70 meter) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak di paras 18.51 meter (bahaya 18.50 meter).
Sementara itu, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja di paras 39.10 meter(bahaya 38.70 meter)dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok di paras 9.19 meter (bahaya 8.40 meter).
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut yang telah bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
27 Nov 24
1519