lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kibas Panggang Antara 150 Menu Iftar Wajib Rasa di Raia Hotel
Kibas Panggang Antara 150 Menu Iftar Wajib Rasa di Raia Hotel
KUALA NERUS, 6 Februari - Umat Islam mahu mencari kelainan atau menjamah hidangan istimewa untuk berbuka pada Ramadan nanti boleh ke Raia Hotel & Convention Centre Terengganu yang menyediakan lebih 150 jenis makanan bermula  2  Mac hingga 30 Mac ini. Pelbagai juadah berbuka puasa berkonsepkan gerai ‘Ala-Minutes’ ditawarkan di Bufet Selera Ganu Kita yang pasti membuatkan pengunjung rambang mata dan berada dalam ‘dilema’ untuk membuat pilihan. Antara hidangan istimewa yang pastinya lebih membangkitkan selera adalah kibas panggang mengunakan pelbagai rempah istimewa sebagai menu utama. Chef Kasma Abd Halil,49, berkata orang ramai akan berpuas hati menikmati sajian unik kibas golek yang diadun dengan sentuhan gaya tradisional  berbeza dengan daging kambing kerana teksturnya yang lembut seperti tenderloin. “Rasa perapan rempah-ratus yang cukup padu membuatkan setiap hirisan daging cukup rasa. Lagi sedap digandingkan dengan pilihan kuah yang pekat dan likat," ujarnya. Beliau memberi jaminan bahawa menu buffet yang bakal disajikan berbaloi dengan nilai wang dan diluar kebiasaan berbanding dari hotel-hotel lain.  "150 menu yang diketengahkan ini, pastinya menepati selera semua peringkat usia terutamanya yang merindui sajian hasil air tangan orang ibunda  di kampung. "Menu seperti Gulai Kawah(Kambing, Daging, Ayam), Aneka Sup(Tulang, Ekor, Bakso,Paru,Tomyam), cendol & ABC dengan lebih 30 jenis perencah, pelbagai jenis kerabu, kuih muih tradisional antara tarikan utama menanti anda. “Kita juga sediakan ‘Air Balang Viral’, Teh dan Nescaffe Tarik untuk tetamu membuat pilihan  hilangkan rasa dahaga ,” ujarnya lagi. Tambah Chef Kasma, untuk iftar kali ini, mereka juga tampil dengan konsep ‘ open kitchen’ bagi menyediakan hidangan kuih tradisi Ketayap dan Onde-onde. “Konsep open kitchen membolehkan pelanggan melihat sendiri penyediaan hidangan yang dibuat serta pelanggan menikmati hidangan yang masih panas ketika berbuka puasa,”katanya. Iftar Ramadan yang akan bermula 2 Mac sehingga 30 Mac  ini, akan diadakan di Dewan Baiduri, yang boleh memuat lebih kurang 500 orang pada satu masa. Para tetamu digalakkan untuk mengambil kesempatan daripada tawaran “Early Bird’, yang tersedia sehingga 28 Februari 2025, menawarkan bufet pada harga istimewa RM 68.00 bersih bagi setiap dewasa. Manakala, harga yang dikenakan selepas tarikh tersebut adalah sebanyak RM85 dewasa dan RM58 bagi kanak-kanak termasuk warga emas.  
06 Feb 25
316
DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah
DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah
KUALA TERENGGANU, 5 Februari- Program Santai Daei Pasar Payang yang julung kali diadakan di Laman Payang di sini adalah usaha Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mendekati pengunjung pasar berkenaan sekali gus menyampaikan dakwah secara santai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen untuk melihat Pasar Payang sentiasa segar dan dikunjungi orang ramai. “Tahniah kepada pihak DUAT atas penganjuran program yang bagus dan bermakna ini. “Pengunjung yang datang dapat sama-sama menikmati persembahan ‘busking’, bual bicara dan juga diselit dengan nasihat-nasihat agama, sudah tentu selain membeli belah mereka dapat hiburkan hati dan mendapat sesuatu yang bermakna,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Daie Pasar Payang di Laman Payang di sini, hari ini. Mengulas lanjut Ahmad Shah berkata, kaedah menawan orang ramai mengikuti program keagamaan adalah dengan menyelami kegiatan mereka. “Sebab itu program yang kita susun ini sebagai suatu perkara permulaan, bukan setakat berhibur (mematuhi syariah) tetapi dalam masa yang sama memberi manfaat lain kepada pengunjung. “Kita cuba tarik lebih ramai ke Pasar Payang, jadikan sebagai lokasi untuk mereka datang membeli belah, berehat dan dapat faedah ilmu agama,” ujarnya. Justeru katanya, pengunjung mahupun peniaga diharapkan terus memberikan sokongan kepada program Santai Daie Pasar Payang demi kebaikan bersama. “Bukan kali pertama dan terakhir program ini diadakan di sini tetapi jika mendapat sokongan orang ramai ianya akan berterusan,” ujarnya.  
05 Feb 25
106
Terengganu Inc Peruntuk RM12.02 Juta Laksana CSR Tahun 2024
Terengganu Inc Peruntuk RM12.02 Juta Laksana CSR Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Syarikat pelaburan utama negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan sebanyak RM12.02 juta sepanjang  program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2024. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata, jumlah tersebut meliputi sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama dan alam sekitar di Terengganu. "Kumpulan ini tetap teguh dalam misinya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha CSR yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan rakyat Terengganu. “Inisiatif-inisiatif ini sejajar dengan misi syarikat untuk menyokong inisiatif yang mampan yang sejajar dengan prinsip-prinsip agenda prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menerusi slogan, "Memanfaatkan Pelaburan kepada Rakyat," katanya. Tambah Burhanuddin Hilmi, Terengganu Inc turut menawarkan bantuan pendidikan seperti biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship yang diperkenalkan mulai tahun 2022. Menurut beliau, sehingga kini sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan dalam tempoh tersebut melalui kerjasama antara Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu.  “Terengganu Inc juga menawarkan Biasiswa Tunas Scholar dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Maidam, Kolej Universiti Bestari (UCB) serta KMI Medical Centre dengan peruntukan sebanyak RM1.3 pada tahun 2024.   “Biasiswa ini dikhususkan kepada mereka yang terdiri daripada kerluarga asnaf dan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejururawatan di UCB dan sekiranya layak mendapat penempatan pekerjaan di KMI Medical Centre,” ujarnya.   
04 Feb 25
494
Terengganu Inc Santuni 150 Pelajar Asnaf dan Kurang Berkemampuan
Terengganu Inc Santuni 150 Pelajar Asnaf dan Kurang Berkemampuan
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menyantuni 150 pelajar asnaf dan kurang berkemampuan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Back to School 2025’ di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang tanpa terbeban dengan kekangan kewangan. Menurutnya, sebagai syarikat pelaburan utama negeri, pihaknya menyedari kepentingan pendidikan dalam membentuk masa depan yang lebih cerah. ” Program ’Back to School 2025’ ini menzahirkan keprihatinan Terengganu Inc terhadap keperluan persekolahan anak-anak daripada keluarga asnaf, malah turut mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah serta komuniti setempat. “Inisiatif ini menjadi platform bagi Terengganu Inc untuk mendekati komuniti setempat secara lebih dekat dan memahami keperluan sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, Terengganu Inc akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu komuniti dengan tujuan membantu mereka membuat persediaan bagi sesi persekolahan yang akan datang. “Pelajar-pelajar akan menerima kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah, tudung, beg sekolah serta wang saku bagi membuat persiapan persekolahan bagi sesi persekolah 2025. “Kami berharap sumbangan ini dapat memberikan mereka semangat untuk menimba ilmu dengan lebih yakin dan selesa,”ujar beliau.   
04 Feb 25
395
Pembangunan Tasik Kenyir Tidak Terhenti Walau KETENGAH Enggan Bekerjasama
Pembangunan Tasik Kenyir Tidak Terhenti Walau KETENGAH Enggan Bekerjasama
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu tetap komited meneruskan pembangunan Tasik Kenyir walaupun tanpa sokongan KETENGAH, yang sehingga kini enggan bekerjasama dalam usaha memajukan destinasi pelancongan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata bahawa keengganan KETENGAH untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama telah menyekat potensi penuh Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Menurutnya, pihaknya juga telah menghantar surat rasmi bagi mengadakan perbincangan serta kunjung hormat dengan pihak KETENGAH, namun sehingga kini tiada maklum balas diberikan. “Walaupun berdepan cabaran, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pelancong serta merancakkan ekonomi setempat. “Antara inisiatif utama yang sedang berjalan ialah pembinaan sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Pulau Poh yang dijangka siap pada pertengahan 2025. Hotel ini diharap dapat menyediakan penginapan selesa dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Terengganu International Paramotor Challenge 2025 oleh Pronto Prima bertempat di Primula Beach Hotel pada hari ini. Razali berkata, projek pembesaran Kenyir Waterpark turut dilaksanakan bagi meningkatkan daya tarikan taman tema air tersebut.  "Inisiatif Kenyir Island Hopping juga diperkenalkan dengan pembinaan sebuah jambatan ikonik yang menghubungkan beberapa pulau utama di Tasik Kenyir, sekali gus memudahkan akses pelancong ke pelbagai lokasi menarik di sekitar tasik. "Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada langkah-langkah pemuliharaan berikutan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Geopark. Ini bagi memastikan kelestarian flora dan fauna di kawasan tersebut terus terjaga untuk generasi akan datang," ujarnya. Tambahnya lagi, bagi memastikan Tasik Kenyir terus dikenali sebagai destinasi pelancongan utama, kerajaan negeri akan mempergiatkan usaha promosi melalui pelbagai saluran, termasuk platform digital dan penganjuran acara khas.
03 Feb 25
4638
Terengganu Bukan Negeri Kebajikan Tetapi Berkebajikan
Terengganu Bukan Negeri Kebajikan Tetapi Berkebajikan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Konsep negeri berkebajikan terus diperjuangkan di Terengganu dengan penekanan bahawa bantuan kepada golongan memerlukan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, rakyat perlu memahami bahawa Terengganu bukanlah sebuah 'negeri kebajikan' di mana segala keperluan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya sebuah negeri 'berkebajikan' yang menuntut penglibatan aktif masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan. "Kita kena ubah minda dan persepsi masyarakat kerajaan bantu rakyat, rakyat bantu kerajaan. "Kita juga perlu mengambil cakna terhadap jiran sekeliling. Jika ada orang susah, adakah kita hanya mengharapkan kerajaan menyelesaikannya? Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab bersama," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu bilangan 1 tahun 2025 di Dewan Sinar Harapan, pada hari ini. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan keikhlasan dalam bekerja serta integriti yang bukan hanya berdasarkan pemerhatian pihak atasan tetapi lahir daripada nilai amanah dan tanggungjawab. Dalam konteks kesihatan mental, fizikal, dan rohani keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan individu. "Kesihatan rohani sangat penting dalam kehidupan kita. "Rohani perlukan kepada pemakanan dan bagaimana kesihatan rohani kita menyebabkan kehidupan menjadi tenang.  "Suasana yang berlaku sekarang ini ialah berkaitan dengan kesihatan mental, spiritual, banyak berlaku berkaitan kecelaruan minda menyebabkan satu suasana yang boleh menyebabkan kekerasan dan penghinaan. "Jadi apa yang kita tekan di sini ialah kita persiapkan diri dengan persiapan mental dan juga perasaan spritual suapaya kita ada kekuatan berdepan dengan kecelaruan masyarakat yang berlaku sekarang ini. "Dengan suasasana tekanan hidup meningkat , ekonomi, boleh menyebabkan kita tak terkawal, boleh jadi stress," ujar Maliaman. Justeru itu, beliau turut mengharapkan agar tenaga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai kekuatan mental dan semangat juang yang tinggi untuk menangani tekanan kerja dalam membantu golongan memerlukan. Selain itu, kita harapkan kakitangan J akan membantu ahli masyarakat untuk menjadi sukarelawan dalam membantu masyarakat supaya bebanan dan tanggungjawab ini tidak dipikul oleh ahli JKM sahaja tetapi itu adalah tanggungjawab bersama. "Kakitangan JKM memang dibayar gaji untuk menjalankan tugas, tetapi anggota masyarakat juga tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.  "Kita semua perlu bersama-sama menjaga kestabilan dan keharmonian, seperti yang dapat kita lihat dalam insiden di Chukai baru-baru ini.  "Tanpa kehadiran pegawai JKM, masyarakatlah yang perlu bertindak," tambahnya. Beliau berharap konsep negeri berkebajikan ini terus diterapkan dalam jiwa rakyat Terengganu agar kebajikan bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi juga seluruh masyarakat.
03 Feb 25
196
'Two-Year Exit Program' Perkasa Penerima Bantuan
'Two-Year Exit Program' Perkasa Penerima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan negeri berusaha memperkasakan penerima bantuan supaya mereka dapat berdikari melalui program 'Two-Year Exit Program'. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mazura Ngah Abd Manan berkata, penerima bantuan akan diberikan latihan dan bantuan ekonomi dalam tempoh dua tahun bagi membantu mereka keluar daripada kebergantungan kepada bantuan kerajaan. "Kalau boleh, kita ingin membantu golongan yang masih produktif dengan menyediakan bantuan khas dalam bentuk sokongan ekonomi bagi mereka meningkatkan taraf ekonomi sendiri dan seterusnya keluar daripada senarai penerima bantuan. "Ini yang kita nak memperkukuhkan setiap tahun, memang kita ada beberapa orang yang kita pilih untuk diberi bantuan, bantuan 'Two Year Exit Program' (bantuan penyelesaian dua tahun) supaya dia tak jadi penerima dah selepas itu dan kita dapat manfaat penerima lain pula," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu bilangan 1 tahun 2025 di Dewan Sinar Harapan, pada hari ini. Menurutnya, seramai 41, 450 orang penerima bantuan dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM166 juta  pada tahun lalu. "Merangkumi juga penerima bantuan daripada kerajaan negeri 16,662 penerima dibawah tanggungan Kerajaan negeri dan selebihnya penerima Bantuan Persekutuan. "Sehingga 31 Disember 2024, 38, 533 telah berdaftar sebagai OKU di Terengganu dan setakat hari ini terdapat 47 buah pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK) di seluruh Terengganu," ujar beliau.  Beliau menambah, Kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) negeri Terengganu pada tahun lepas Mac 2024.  Katanya lagi, usaha untuk memperkukuhkan kebajikan OKU kini menjadi keutamaan, termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyantuni golongan tersebut. “Kita melihat kejadian di Kemaman sebagai peringatan bahawa kesedaran masyarakat terhadap OKU masih perlu dipertingkatkan. "Kita nak memperkukuhkan untuk memberi pendedehan kepada masyarakat betapa penting kita menyantuni OKU," katanya. Sementara itu, program Ziarah Kasih yang telah dijalankan tahun lalu akan diteruskan tahun ini bagi menyantuni golongan sasar di setiap daerah.
03 Feb 25
94
MBKT Sedia Tiga Tapak Perkampungan Moreh Sempena Ramadan
MBKT Sedia Tiga Tapak Perkampungan Moreh Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyediakan tiga perkampungan moreh sepanjang Ramadan tahun ini.  Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, lokasi yang ditetapkan adalah kawasan tempat letak kereta di Jalan Persinggahan, tapak Payang Walk dan di Pulau Warisan. Menurut Rosli, perkampungan moreh berkenaan akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja atau Pertubuhan Kebajikan. "Kita menyediakan perkampungan moreh yang mengetengahkan konsep kekeluargaan bagi memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri suasana berbuka, bermoreh dan bersahur," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Medan Selera Muara Utara di Kampung Hulu Takir, di sini, hari ini. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai medan selera terbabit, beliau memaklumkan, ia akan dibuka selewat-lewatnya Khamis depan. "Medan Selera Muara Utara yang membabitkan kos pembinaan kira-kira RM4 juta, menyediakan 72 ruang niaga termasuk 36 gerai makanan dan minuman, manakala bakinya adalah gerai pelbagai," ujarnya. Dalam pada itu, Rosli berkata, MBKT menyediakan kira-kira 3,000 lot tapak bazar Ramadan di dua daerah iaitu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Katanya, sebanyak 12 tapak bazar Ramadan disediakan di daerah Kuala Terengganu, manakala tujuh di daerah Kuala Nerus. "Kita juga turut menyediakan empat tapak bazar Aidilfitri di kawasan bandaraya Kuala Terengganu dan satu di daerah Kuala Nerus. "Tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja serta Persatuan Kebajikan," katanya. Mengenai kadar sewa tapak bazar Ramadan dan tapak bazar Aidilfitri pula, Rosli berkata, MBKT mengeluarkan garis panduan kadar sewaan tapak bazar ramadan dan bazar Aidilfitri.
03 Feb 25
1693
Kerajaan Persekutuan Digesa Naikkan Harga Lantai Padi, Lindung Pengilang Bumiputera
Kerajaan Persekutuan Digesa Naikkan Harga Lantai Padi, Lindung Pengilang Bumiputera
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan pusat khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu mengambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang padi bumiputera berikutan tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi di sebalik harga beras masih rendah. Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan seiring dengan peningkatan kos pengeluaran sekarang. Menurutnya, harga lantai sekitar RM1,500 hingga RM1,800 adalah munasabah dan dalam masa yang sama, harga beras tempatan RM2.60 sejak 16 tahun lalu perlu dinaikkan sedikit kepada paras sekitar RM3 satu kilogram (kg). “Ia lebih baik dari situasi sekarang di mana beras tempatan dijenamakan sebagai beras import dan dijual melebihi RM4/kg. “Isu ini berlaku kerana kerajaan hanya tentukan harga lantai padi RM1,300/tan tapi harga siling tak ditetapkan.  “Maknanya pengilang hanya disyaratkan beli padi tak kurang dari harga minima RM1,300. Terpulanglah nak beli berapa mahal sekalipun, ia dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, dalam persaingan bagi mendapatkan bekalan padi, kilang-kilang bukan bumiputera menawarkan harga belian padi yang tinggi sehingga mencecah RM2,000 per tan. “Dengan harga belian padi ini, beras tak akan mampu dijual dengan harga RM2.60/kg. Maka bagaimana kilang nak untung? “Bila beli padi dengan harga tinggi, kilang-kilang ini mendapatkan keuntungan dengan cara menjenamakan beras tempatan keluaran mereka sebagai beras import samada dengan mencampurkan beras import atau memang beras tempatan sepenuhnya tapi dilabelkan sebagai import.  “Oleh itu, mereka boleh jual dengan harga tinggi tanpa kawalan. Kilang-kilang bumiputera yang nak berlaku jujur akan tersepit.Kalau mereka beli padi dengan harga rendah maka mereka tak akan dapat bekalan padi.  “Untuk bersaing dengan kilang-kikang besar bukan bumiputera, mereka juga perlu menawarkan harga belian padi yang tinggi. Tapi beras tempatan keluaran mereka perlu dijual dengan harga kawalan RM2.60/kg yang sudah tentu akan merugikan,” katanya. Susulan itu, Dr Azman berkata, Kerajaan Persekutuan khususnya KPKM perlu ambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera yang bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian sejak beberapa tahun ini. Sebelum ini, sebuah media tempatan  melaporkan, pengilang-pengilang padi mendakwa sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian mencecah sehingga RM900 juta setahun ekoran harga belian padi tinggi disebalik harga beras pula masih rendah. Beras tempatan masih kekal pada harga RM26 bagi 10 kilogram yang tidak pernah dise¬mak sejak 16 tahun lalu iaitu harga belian padi sekitar RM950 per tan metrik ketika itu. Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, daripada 127 kilang bumiputera yang aktif sejak 1998 namun kini hanya tinggal sembilan masih bertahan dan menunggu masa gulung tikar. Katanya, kilang-kilang bumiputera yang tinggal itu hanya menunggu masa ‘bungkus’ sekiranya tiada langkah diambil dalam menangani dasar yang sudah tidak relevan iaitu kawalan harga beras putih tempatan, manakala beras putih import tidak dikawal harga siling.  
02 Feb 25
190
RMK13 : Peluang Terengganu Jangkau Pasaran ASEAN
RMK13 : Peluang Terengganu Jangkau Pasaran ASEAN
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Terengganu kini bersiap sedia untuk mengharungi revolusi ekonomi melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bukan sahaja menawarkan peluang baru bagi negeri ini, tetapi juga membuka pintu kepada pasaran ASEAN yang besar, dengan lebih 700 juta penduduk. Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, menegaskan bahawa Terengganu perlu melangkah lebih jauh daripada pasaran domestik.  "Kita tidak boleh hanya melihat pasaran 30 juta penduduk di Malaysia.  "Produk dan perkhidmatan kita perlu merentasi pasaran ASEAN yang besar,” katanya dalam Sesi Libat Urus RMK13 di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut Nor Azmie, RMK13 membawa pendekatan baru dalam meningkatkan daya saing Terengganu dengan menumpukan perhatian kepada eksport dan pasaran luar negara.  "Dengan sokongan infrastruktur moden seperti East Coast Rail Link (ECRL), Terengganu kini mempunyai akses lebih mudah ke pasaran ASEAN dan dunia," tambahnya. Tambah beliau, ECRL memberi kelebihan dalam pengangkutan barangan dari Terengganu ke pelabuhan tempatan dan antarabangsa, menjadikan eksport lebih efisien dan lancar.  "Infrastruktur ini adalah asas utama untuk membuka peluang besar dalam eksport ke negara ASEAN dan seterusnya,” jelasnya. Nor Amie turut menegaskan bahawa selain sektor pembuatan, peluang besar juga terbuka dalam pertanian, makanan, dan perkhidmatan.  "RMK13 bertujuan untuk menjadikan Terengganu sebagai hab ekonomi utama Pantai Timur yang berdaya saing di peringkat global. "RMK13 dijangka akan memberi impak besar dalam pembangunan ekonomi negeri, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Terengganu, seiring matlamat mencapai kemakmuran yang lebih inklusif dan berdaya saing," ujarnya.
02 Feb 25
282