Artikel "Utama" Terkini
Raja Muda Terengganu Mula Bertugas di Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli memulakan tugas rasmi di Wisma Darul Iman hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.55 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Nara Setia, Penasihat Undang-undang negeri, Mohd Nawawi Ismail, serta Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Baginda kemudiannya berangkat ke Pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan barisan pegawai kanan kerajaan.
Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan satu pertemuan rasmi diadakan bagi membincangkan urusan pentadbiran negeri dalam suasana penuh muafakat.
Usai pertemuan tersebut, Yang Di-Pertuan Muda berangkat ke Bilik Gerakan Negeri di Tingkat 17 bagi sesi taklimat berkaitan pentadbiran negeri.
Sesi ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menyentuh pelbagai aspek utama pentadbiran, termasuk Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Jawatankuasa Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, serta hubungan strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Setelah selesai sesi taklimat, baginda berangkat ke Tingkat 13, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bagi memulakan tugas rasmi.
Ketibaan baginda di UPEN disambut dengan penuh adat dan istiadat, dimulai dengan gimik perakam waktu masuk sebagai simbolik permulaan tugas baginda.
Imam Besar Negeri, Engku Omar Amiruddin Engku Ali turut hadir untuk memimpin bacaan doa selamat, memohon keberkatan atas amanah baharu yang dipikul oleh baginda.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) kemudiannya mengambil alih sesi penerangan berkaitan pentadbiran dan cara kerja di UPEN, bertempat di pejabat rasmi Yang Di-Pertuan Muda.
Sesi ini memberi peluang kepada baginda untuk lebih memahami peranan UPEN dalam merangka strategi pembangunan negeri yang lestari dan berdaya saing.
Menariknya, Program Penempatan baginda tidak terhenti di UPEN sahaja.
Mengikut jadual rasmi, baginda akan berkhidmat di UPEN sehingga 31 Julai 2025, sebelum meneruskan penempatan kedua di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026.
Seterusnya, baginda akan ditempatkan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus mulai 1 Februari hingga 31 Julai 2026. Akhir sekali, bagi melengkapkan pengalaman pentadbiran, baginda akan berkhidmat di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Januari 2027.
Program Penempatan di Jabatan-Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu ini juga merupakan langkah strategik dalam memperkasakan pemahaman baginda terhadap sistem pentadbiran negeri secara lebih mendalam sejajar dengan peranan baginda sebagai pewaris pemerintahan Terengganu.
10 Feb 25
43955
Jabatan Amal Hulu Terengganu Ringankan Beban 20 Anak Yatim dan Anak Miskin
HULU TERENGGANU, 10 Februari – Jabatan Amal Hulu Terengganu telah menghulurkan bantuan kebajikan sosial kepada 20 orang anak yatim dan anak miskin dari daerah ini dalam usaha meringankan beban mereka menjelang sesi persekolahan baharu.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT), Ustaz Hamdi Harun, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, program tersebut melibatkan pembelian pakaian sekolah di Pasaraya Sakan, di mana anak-anak yang terlibat diberi peluang memilih kelengkapan persekolahan mereka dengan bantuan sukarelawan Jabatan Amal.
“Kami berharap bantuan ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak ini dan membantu mereka memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat.
“Kami akan terus berusaha menggerakkan program kebajikan seperti ini bagi membantu golongan yang memerlukan. Keprihatinan masyarakat amat penting dalam memastikan mereka tidak terpinggir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa program kebajikan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat perhatian sewajarnya.
Ibu bapa dan penjaga penerima bantuan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jabatan Amal Hulu Terengganu.
09 Feb 25
401
173.5kg Sampah Monsun Dikutip Di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Pemandangan indah Pantai Batu Buruk kini kembali setelah program gotong-royong mega anjuran Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Perak (JkPTG) bersama Geng Plastik Ija (GPI) berjaya mengumpul 173.5kg sampah bawaan Monsun Timur Laut (MTL).
Program yang berlangsung berhampiran KTCC ini menyaksikan penglibatan aktif 75 sukarelawan, terdiri daripada 60 kakitangan JkPTG dan 15 ahli GPI.
Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perak, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman menjelaskan bahawa program CSR ini merupakan sebahagian daripada kursus keselamatan dan pelindungan di DSH Batu Burok Beach Resort.
"Kami seramai 60 orang telah bekerjasama dengan Geng Plastik Ija untuk membersihkan pantai daripada sampah bawaan monsun dan sisa buangan manusia," jelasnya.
Dalam tinjauan di lokasi, beliau melahirkan rasa kagum dengan perubahan sikap masyarakat setempat.
"Saya dapat lihat perubahan yang ketara dalam kesedaran masyarakat Terengganu," ujar beliau dengan yakin.
Tambah beliau, hasil pemantauan berkala di kawasan pantai menunjukkan impak positif daripada usaha berterusan pihak GPI.
"Jumlah sampah di pantai kini jauh berkurangan berbanding dahulu, hasil promosi berterusan oleh Geng Plastik Ija," katanya.
Raja Kamariah juga menekankan kepentingan memelihara keindahan pantai untuk generasi akan datang. "Pantai adalah khazanah yang kita pinjam daripada generasi akan datang.
"Saya menyeru semua pengunjung pantai di Terengganu dan di seluruh Malaysia agar sama-sama menjaga keindahan warisan ini," ujarnya.
09 Feb 25
840
Si Cilik Kelahiran ‘PASTI’ Gegar Dunia, Rangkul Gelaran Juara Pidato
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Meskipun berusia tujuh tahun, seorang murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Furqan, Chendering berjaya melakar sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Juara Dunia pada Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63 baru-baru ini.
Kejayaan luar biasa Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim menjadi bualan ramai bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuka mata dunia terhadap bakat luar biasa kanak-kanak PASTI Malaysia.
Anak sulung daripada dua beradik ini walaupun hanya sempat membuat persiapan dalam tempoh seminggu, namun kepetahannya dalam bersajak berjaya menawan hati juri, dan menewaskan 25 peserta dari enam negara lain.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Global Arts, Sports and Culture dan berlangsung di Hong Kong pada 23 Januari lepas.
Berkongsi cerita, ibunya, Hasmah Darwis, 31, berkata, amalan membaca dan menghafal ayat suci al-Quran pada setiap hari adalah antara resipi kejayaan yang diterapkan sejak kecil.
"Sejak Amatullah Hamidah kecil, saya dan suami, Muhammad Luqman Al-Hakim, 32, sentiasa mengalunkan zikir selain mengajar anak membaca al-Quran bagi mencerdaskan dan memiliki fikiran yang tenang supaya mudah menerima ilmu.
"Menghafal ayat suci al-Quran salah satu kunci kejayaan untuk anak-anak ini memiliki daya ingatan kuat serta mengukuhkan kefahaman tentang sesuatu perkara.
"Alhamdulillah, amalan yang sentiasa diterapkan itu membantu kejayaan anak saya dalam menunjukkan bakat dan potensi berpidato dalam Bahasa Inggeris dengan cemerlang sekali gus mengharumkan nama negara apabila memenangi pertandingan pidato Bahasa Inggeris ini," katanya kepada pemberita.
Menurut Hasmah , Amatullah Hamidah seorang anak yang menunjukkan kesungguhan dan gigih setiap kali berlatih turut menyumbang kepada kejayaannya.
"Saya dan suami sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada Amatullah Hamidah untuk berlatih.Setiap hari dia akan meluangkan masa selama setengah jam untuk berlatih berpidato.
"Malah kami akan belanja dia makan dan membawa ke tempat yang menarik seperti pantai sebagai tanda menghargai kesungguhan dirinya berlatih sekali gus tanda penghargaan dan sokongan ibu bapa kepada anak-anak dalam melakukan sesuatu perkara " jelasnya.
Selain itu, dia dan suami juga menghadkan penggunaan telefon bimbit agar mereka tidak terlalu leka selain menerapkan amalan dan ajaran yang baik kepada Amatullah Hamidah bersama adiknya, Amatullah Habibah, 6, dari sejak kecil.
"Kami juga selalu membawa anak-anak ke majlis ilmu seperti ceramah agama bagi memastikan mereka berpeluang mendapat ilmu agama daripada para ulama sekali gus memupuk rasa cinta pada agama dan ibadah," ujarnya.
Justeru, Hasmah berkata, kejayaan anaknya itu dapat menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat dan murid Pasti dari seluruh negara supaya berani mencabar diri dalam menonjolkan bakat masing-masing.
Sebelum ini, kejayaan Amatullah Hamidah turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut memuat naik hantaran ucapan tahniah di laman Facebook rasminya.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda Amatullah Hamidah Muhammad Luqman atas kejayaan gemilang memenangi tempat pertama dalam 63rd GASCA International English Recitation Competition.
"Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Terengganu dan pelajar PASTI dari seluruh Malaysia. Kemampuan anakanda Amatullah untuk bersaing di peringkat antarabangsa menunjukkan bakat dan potensi anak-anak Terengganu yang luar biasa.
"Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak untuk terus berusaha cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited menyokong generasi muda yang berani mencabar diri menonjolkan bakat masing-masing serta membanggakan negeri," katanya.
09 Feb 25
304
Rakyat Terengganu Kecam Keceluparan Trump
MARANG, 7 Februari – Lebih 1,000 rakyat Terengganu berhimpun di perkarangan Masjid Rusila petang tadi dalam satu demonstrasi bagi mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang terus menyokong Israel.
Demonstrasi yang berlangsung dari jam 2 hingga 3 petang itu menyaksikan peserta mengutuk kenyataan celupar bekas Presiden AS, Donald Trump, yang mahu merampas tanah Gaza.
Antara pengisian perhimpunan tersebut adalah ucapan mengecam tindakan Trump dan AS, bacaan ikrar solidariti bersama Palestin, serta seruan untuk terus berjuang mempertahankan hak rakyat Palestin daripada kezaliman Israel.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Harun Esa yang menjadi penceramah himpunan terbabit, berkata demonstrasi itu menunjukkan rakyat Terengganu bersatu hati dalam menentang kezaliman dan mempertahankan Palestin.
"Kami tidak akan berdiam diri. Selagi Israel menindas rakyat Palestin dan AS terus menjadi dalang, kami akan terus bersuara," katanya.
Sementara itu, bagi guru Madrasah Darul Quran, Yusuf Abdul Hadi menegaskan bahawa sebagai umat Islam, perjuangan membela Palestin adalah satu kewajipan.
"Kami di sini mungkin jauh dari Gaza, tetapi hati dan doa kami sentiasa bersama saudara-saudara di sana. Kita mesti terus menyebarkan kesedaran dan mendesak dunia mengambil tindakan," katanya.
Sementara itu, bagi Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan, Mohd Kamal Mohamed yang turut hadir menyatakan solidariti berkata, 26, berkata demonstrasi itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak gentar untuk bersuara menentang kezaliman.
"Kami mahu dunia tahu bahawa rakyat Malaysia, khususnya di sini tetap teguh berdiri bersama Palestin. Ini bukan sekadar isu politik, tetapi isu kemanusiaan," katanya.
Demonstrasi ini adalah sebahagian daripada gelombang sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap Palestin, dengan pelbagai pihak terus mendesak tindakan tegas daripada kerajaan dan masyarakat antarabangsa.
Baru-baru ini Trump berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Tindakan itu mengundang bantahan ramai pihak termasuk Malaysia.
07 Feb 25
291
Perhilitan Tangkap, Pindah Gajah Liar Ceroboh Taman Pertanian Sekayu
HULU TERENGGANU, 6 Februari –Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang berkeliaran di sekitar Kampung Sekayu, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Terengganu (PKGT) Sungai Deka, Mohd Happy Mohd Noor, berkata operasi penangkapan itu dijalankan susulan aduan daripada Taman Pertanian Sekayu yang bimbang dengan kehadiran mamalia berkenaan yang dipercayai keluar dari habitat asalnya di kawasan hutan berhampiran.
"Seramai 19 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut.
"Hasil pemantauan dan kawalan yang dilaksanakan, kami berjaya menangkap seekor gajah jantan dewasa berusia kira-kira 12 tahun dan seberat kira-kira dua tan.
"Gajah ini dipercayai sebahagian daripada kumpulan gajah yang semakin kerap memasuki kawasan perkampungan dalam usaha mencari makanan," berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Menurut Mohd Happy , pihaknya akan segera memindahkan gajah berkenaan ke habitat yang lebih selamat bagi mengelakkan konflik dengan manusia.
Tambahnya, operasi pemindahan dijangka dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan pasukan khas daripada Pusat Konservasi Gajah Terengganu.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar tidak bertindak sendiri atau melakukan provokasi terhadap haiwan liar tersebut kerana ia boleh menjadi agresif dan berbahaya.
"Orang ramai dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya terserempak dengan gajah liar supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," tambahnya.
Pihak Perhilitan juga akan terus melakukan pemantauan dan kawalan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta harta benda dan kelestarian hidupan liar di negeri ini terjamin.
06 Feb 25
213
Terengganu Bantu Pesawah Terjejas Serah Nama Kepada PM
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Kerajaan negeri akan berusaha membantu pesawah di negeri ini yang terkesan dengan kenaikan kos input pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan membantu memudahkan urusan menghantar senarai nama pesawah yang terjejas dengan peningkatan kos pengeluaran termasuk kos harga bahan input dan jentera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, tindakan itu dibuat sebagaimana diminta Anwar dalam sesi Parlimen baru-baru ini.
"Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pesawah di negeri ini terbela dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam mencari penyelesaian terbaik.
"Kami telah mengenal pasti semua pesawah yang mengalami kesan langsung akibat kenaikan harga baja, racun, benih, dan jentera pertanian. Insya-Allah, nama-nama mereka akan dihantar kepada PM dalam masa terdekat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha membantu golongan pesawah termasuk melalui insentif khas dan usaha menstabilkan kos input pertanian.
“Di Terengganu ada seramai 4,714 orang pesawah yang berdaftar. Semuanya terkesan kerana kenaikan kos baja, racun, benih dan pelbagai jentera pertanian.
“Insya-Allah nama-nama mereka akan sampai kepada PM sebagaimana diminta dan kita akan bantu untuk permudahkan,” ujarnya.
Sementara itu, para pesawah di Terengganu berharap agar langkah ini akan membawa penyelesaian segera terhadap bebanan kos pengeluaran yang semakin meningkat.
Terdahulu dalam sesi Parlimen, PM telah meminta agar nama pesawah yang terkesan diserahkan kepadanya bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
06 Feb 25
286
Dua Anak Syarikat EPIC Berhad Terima Anugerah Pencapaian Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Dua anak syarikat EPIC Berhad iaitu Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) dan EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) telah menerima anugerah Star Excellence Recognition Award daripada ExxonMobil Explorattion and Production Malaysia Inc. (EMEPMI).
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua anak syarikat itu memperolehi anugerah tersebut sempena EMEPMI 2025 Senior Contractor Management Forum.
"Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen tinggi dan kecemerlangan syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
"Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus maju dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," ujarnya melalui suatu kenyataan rasmi di facebooknya, hari ini.
Atas kejayaan yang dicapai itu, Samsuri mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan yang membabitkan kedua-dua anak syarikat EPIC Berhad atas kesungguhan serta komitmen yang dilakukan selama ini sehingga mendapat anugerah berprestij itu.
"Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan PBKSB dan EOGSB di atas pencapaian cemerlang yang diterima,"ujarnya.
06 Feb 25
267
Pesalah Khalwat Berulang Sokong Sebatan Di Khalayak Ramai
MARANG, 6 Februari - Pesalah khalwat berulang yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai pada penghujung Disember tahun lalu, menyokong hukuman tersebut terus dilaksanakan kepada pesalah-pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di negeri Terengganu.
Buruh binaan berusia 43 tahun itu menyifatkan, kelainan pelaksanaan hukuman tersebut benar-benar memberikan kesan kepada dirinya.
"Memang betul-betul mendatangkan keinsafan, saya tidak mahu buat lagi biarlah ini kali terkahir. Sewaktu kena? rasa macam tiada perasaan, tidak tahu hendak kata benda, sakit campur malu ada belaka.
"Sakit itu tidak mengapa boleh hadap lagi. Sepuluh boleh hadap lagi 20 boleh hadap lagi, tetapi malu itu.
"(Tetapi) cara dia itu moleklah, saya sokong. Ia boleh beri pengajaran kepada orang lain sebab saya tahu betapa peritnya malu itu, datangnya keinsafan, bukan peritnya sakit. Kena (sebat) memang sakit, kalau kita 'piat' (rotan) lembu pun lembu lari, tetapi jika dibandingkan dengan sebatan dadah (sivil) yang itu lebih teruk lagi," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dibebaskan bersama 47 banduan lain menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Marang, semalam.
Mengimbas kembali ketika hukuman diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu, bapa kepada lima orang anak itu menyatakan, dia reda dan cuma memohon hukuman dilaksanakan segera bagi membuktikan keinsafannya.
"Cuma, saya tidak fikir, sebab tidak pernah kena (sebatan di khalayak ramai), tanya orang pun tidak tahu. Biasalah dipermain orang itu 'kena piat tengah padang bolalah' dan sebagainya, semua itu saya tidak tahu.
"Selepas kena (dilaksanakan) itu saya reda lah. Sangkaan dan khabar angin jauh beza (dengan pelaksanaannya)," ujarnya.
Menerima pembebasan secara PBSL setelah kira-kira tiga bulan ditahan, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah itu berhasrat kembali bekerja semula.
"Insya-Allah tauke percaya pada kita. Semasa kes pertama dan kedua pun tauke bantu sebab dia tahu kita tidak main benda lain, barang dia pun kita tidak khianat, kerja kita buat comel.
"Tidak pandai mana nak beri nasihat, sebab kita rasa macam nak beri nasihat kita ini tidak berapa molek lagi, tidak betul lagi.
"Kepada budak-budak muda sekarang ini, sudahlah buat-buat berkhalwat, sakit tidak balas (setara) mana, tetapi malunya lebih. Sedap sekejap saja, sakit sekejap saja tetapi malu lama. Habis malu anak keluarga kita, tak payah buatlah," nasihatnya.
06 Feb 25
2814
RXZ Member 7.0 Sasar 100 Ribu Peserta
KUALA NERUS, 6 Februari – Program himpunan motosikal RXZ Member 7.0 yang akan diteruskan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 23 Ogos depan mensasarkan penyertaan seramai 100,000 peserta dari seluruh negara.
Penganjurnya, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, pihaknya akan mengadakan acara tersebut di lokasi sama disebabkan mendapat permintaan tinggi daripada orang luar yang mahu perhimpunan itu tetap diadakan di Terengganu.
"Alhamdulillah, tahun lepas acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara. Sebelum ini lebih 90,000 peserta yang datang ke Terengganu.
"Jadi kita sasarkan penyertaan kira-kira 100,000 peserta dari seluruh negara untuk sertai RXZ Members 7.0 pada tahun ini," katanya kepada pemberita.
Mohamad Faizal juga berkata, program himpunan motosikal RXZ Members 7.0 dijangka memberi banyak kelebihan buat Terengganu sendiri, terutamanya dari segi ekonomi.
"Ramai penduduk setempat mendapat manfaat dengan adanya penganjuran himpunan seperti ini terutama pengusaha inap desa dan kedai makan.
"Acara ini dapat memberi limpahan ekonomi kepada Terengganu, sekali gus menjadikan himpunan ini antara program tarikan pelancongan di Terengganu serta dinantikan setiap tahun terutamanya oleh peminat motosikal," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Faizal menasihati peserta himpunan itu diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan selain tidak melakukan kesalahan ekstrem sepanjang perjalanan mereka untuk menyertai RXZ Members 7.0.
"Sebelum program diadakan, kita akan berbincang dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dari segi aspek keselamatan, garis panduan dan sebagainya.
"Kita juga membuat hebahan menerusi media sosial kepada peserta supaya supaya menitikberatkan pematuhan jalan raya dan mematuhi undang-undang sedia ada," jelasnya.
06 Feb 25
1123