Artikel "Utama" Terkini
Lebih 20,000 Peminat Bola Sepak Bakal Penuhi Kompleks Sukan Negeri
Ahmad Razif (tengah) bakal hadir ke Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail. Lebih 20,000 peminat bola sepak negeri Terengganu dijangka memenuhi perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus sempena Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program yang akan dijalankan selama tiga hari bermula 12 Januari ini membawa kelainan kerana ianya berkonsepkan karnival.Katanya, sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai acara sampingan akan dijalankan bagi menarik peminat bola sepak negeri untuk berkumpul disamping menunjukkan komitmen kerajaan negeri kepada pasukan bola sepak dan hoki Terengganu.“Pelbagai aktiviti bakal diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya gerai jualan dan pameran, jualan jersi, pertandingan memancing, persembahan pentas, cabaran stadium tanggathon serta Kuala Nerus Cycling Ride.“Acara kemuncak bagi program ini adalah pada 14 Januari bermula jam 2.30 petang iaitu Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di hadapan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu,” katanya.Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Rozi Mamat, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.Tambah Ahmad Razif, selain daripada program-program tersebut, turut diadakan perlawanan amal antara Juara Piala Malaysia Terengganu 2001 menentang pemain nostalgia Harimau Malaya serta perlawanan persahabatan antarabangsa antara pasukan Terengganu dan Tampine Rovers dari Singapura pada 14 Januari ini jam 8.00 malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.“Bermula 6 Januari lalu, tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM10 di Kobert Store, Chicken Cottage, Blue Valley Jeans, Hazlan Bistro dan Salaza Bistro. Kutipan hasil jualan tiket ini akan disumbangkan ke Tabung Solidariti Rohingya, Yayasan Diraja Sultan Mizan, Tabung Amanah Anak Yatim Negeri Terengganu, Tabung Darul Iman dan Persatuan Bekas Pemain Terengganu.“Disamping itu, dengan pembelian tiket ini, peminat turut diberikan baucer diskaun sebanyak RM5 di Chicken Cottage,” katanya.Sehingga hari ini, sebanyak lebih 7,000 tiket untuk perlawanan amal serta persahabatan telahpun dijual.
10 Jan 17
166
Banjir: JKR Tanggung Kerugian RM300 Juta
Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu. Foto Oleh: Zulkifli PutraJumlah kerugian akibat kerosakan jalan selepas ditenggelami air dalam kejadian banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini dianggarkan RM300 juta.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengemukakan laporan jumlah kerugian itu kepada Kerajaan Pusat.Katanya, semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini sudah diarahkan mengemukakan jumlah kerugian dialami berikutan kemusnahan harta benda awam untuk dihantar kepada Kerajaan Pusat. Sementara itu Ahmad Razif berkata, keseluruhan pusat pemindahan banjir di Terengganu telah ditutup dan semua mangsa pulang kediaman masing-masing Isnin lalu.“Walaupun banjir sudah pulih sepenuhnya, kita sentiasa ambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat dijangka melanda negeri ini sehingga Mac depan.“Semua pangkalan hadapan yang menempatkan bekalan makanan serta bilik gerakan bencana di peringkat negeri dan daerah diarah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu, semalam.Katanya, pemuafakatan semua pihak memudahkan gerak kerja ketika bencana banjir melanda negeri ini. “Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dengan gerak kerja termasuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh semua agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” ujarnya.
10 Jan 17
153
Mangsa Banjir Terima RM1,000
Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu. Foto Oleh: Zulkifli PutraSetiap keluarga mangsa banjir di negeri ini akan menerima bantuan kerajaan secara ‘one off’ berjumlah RM1,000 bagi membantu meringankan beban mereka akibat bencana itu.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika mengumumkan perkara itu memberitahu, daripada jumlah itu RM500 disalurkan oleh kerajaan negeri manakala sebahagian lagi oleh kerajaan Pusat.Katanya, sumbangan itu akan disalurkan dalam masa terdekat sebaik sahaja pihaknya menerima senarai lengkap mereka yang benar-benar terjejas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).“Sekarang ini kita sedang mengenalpasti mangsa-mangsa banjir yang sebenarnya dan masih menunggu senarai nama dari JKM.“Bila semuanya sudah lengkap kita segerakan bantuan kewangan yang akan diberi oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri kepada satu keluarga setiap rumah yang terlibat bencana banjir.“Komitmen kerajaan negeri akan beri seperti biasa iaitu sebanyak RM500 manakala RM500 lagi pemberian kerajaan Pusat menerusi JKM,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu, semalam.
10 Jan 17
30
Pusat Boling PB Sentral Di Buka Februari Ini
Pusat Boling di Paya Bunga (PB) Sentral Kuala Terengganu bakal dibuka kepada orang awam Februari ini.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini pembinaan pusat boling 36 lorong itu sudah mencapai peringkat akhir."Kita menjangkakan awal Februari ini dapat buka pusat boling kepada orang awam."Sekarang ini adalah masa untuk membuat percubaan bagi melihat ada atau tidak dari segi kecacatan dan sebagainya," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu, hari ini.Sementara itu, Ahmad Razif berkata pembinaan Hotel PB Square mengalami sedikit masalah teknikal yang mungkin melewatkan sedikit masa mula operasinya."Dijangkakan hotel ini dapat beroperasi sepenuhnya bulan April ini dan kita harapkan segala kesulitan dapat diselesaikan sebelum tempoh tersebut," ujarnya.Bagaimanapun, beliau mengharapkan operasi untuk tempahan dan promosi hotel akan mula dibuka kepada orang ramai juga bermula bulan Februari ini.
10 Jan 17
1474
Dungun Terima Peruntukan Segera RM1.9 Juta Baiki Sistem Perparitan
Wan Junaidi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di SK Durian Mentangau, Dungun, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1.9 juta bagi menaik taraf sistem perparitan di sekitar daerah Dungun. Menterinya, Dato’ Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di tiga kawasan yang biasa dinaiki air iaitu Kampung Durian Mentangau, Kampung Tanjung Hutan dan Kampung Binjai.“Berdasarkan jumlah itu, Kampung Durian Mentangau menerima peruntukan sebanyak RM200,000, Tanjung Hutan (RM1.2 juta) manakala Kampung Binjai sebanyak RM500,000.“Tiga kawasan ini sudah diluluskan peruntukannya untuk dinaiktaraf sistem perparitannya dan ianya akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, Dungun, hari ini.Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Dato Ir Zulkefli Hassan, Pegawai Daerah Dungun, Dato’ Mohd Yasim Awang dan Pegawai Pembangunan Dungun, Dato’ Din Adam.Banjir di Dungun telah menjejaskan 29 kampung dengan melibatkan 1,098 mangsa manakala Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau mencatatkan pusat pemindahan paling lama dibuka sejak banjir berlaku iaitu selama lapan hari.
09 Jan 17
82
Banjir: Kian Pulih, Mangsa Berkurangan
Keadaan banjir di Terengganu terus bertambah baik dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan semakin berkurangan.Sehingga pukul 10 pagi ini, seramai 204 orang mangsa masih berada pusat pemindahan di negeri ini berbanding 1,386 orang tengahari semalam.Menurut kenyataan banjir dalam portal etindakan.terengganu.gov.my, di Kuala Terengganu terdapat 126 orang dan Dungun (78).Dua buah pusat pemindahan masih lagi beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan kampung Gemuroh, Kuala Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, Dungun.
08 Jan 17
27
Banjir : Empat Sekolah Masih Ditutup Esok
Empat sekolah masih ditutup sesi persekolahan esok, disebabkan banjir yang masih melanda di beberapa daerah khususnya Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.Sekolah yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Las kerana masalah pendawaian elektrik yang tidak selamat, dua sekolah di Kuala Nerus masing-masing SK Kompleks Gong Badak dan SK Bukit Guntong pula menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir.Manakala SK Banggol Peradong, Kuala Terengganu juga menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, penutupan empat sekolah berkenaan melibatkan 509 murid dan 42 guru."Alhamdulillah, cuaca di Terengganu semakin baik. Ini adalah kerana doa semua dan berharap semua pihak khususnya ibu bapa serta pelajar sentiasa berada dalam situasi berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya kepada Teganukita, hari ini.Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sukarelawan dan agensi serta jabatan yang membantu membersih sekolah terlibat dalam pasca banjir.Dalam pada itu, A.Latiff juga mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan pengurusan sekolah membuat penilaian terhadap kerosakan prasarana akibat banjir di sekolah terlibat.
07 Jan 17
37
Banjir : PM Lawat Mangsa Banjir Di SK Banggol Peradong
Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir, hari ini.Dalam lawatan tersebut, Mohd Najib yang tiba kira-kira jam 3 petang menyerahkan kit makanan tambahan kepada 112 keluarga membabitkan 461 mangsa banjir.Najib yang dikerumuni orang ramai turut meluangkan masa selama kira-kira 30 minit beramah mesra dan bertanya khabar kepada mangsa-mangsa banjir di pusat itu.Pusat pemindahan banjir yang dibuka sejak 5 Januari lalu itu menempatkan penduduk dari 13 kampung antaranya Kampung Banggol Peradong, Jeram, Bukit Seraman, Kampung Baru Tetambah dan Lapan Sira.Terdahulu, Mohd Najib turut diberi Taklimat Pengurusan Banjir oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.Selepas itu, Perdana Menteri menuju ke Pusat Pemindahan Banjir SK Bukit Guntong, Tepoh, Kuala Nerus untuk melawat mangsa banjir kira-kira jam 3.30 petang.Turut mengiringi beliau dalam kedua-dua lawatan tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri , Dato' Seri Shahidan Kasim, dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari.
07 Jan 17
897
Banjir : PM Lawat Mangsa Banjir Di SK Bukit Guntong
Najib bersama Ahmad Razif sempat beramah mesra dengan mangsa banjir di SK Bukit Guntong, Kuala Nerus. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Kuala Nerus, petang ini.Ketibaan Perdana Menteri dan Menteri Besar serta ketua-ketua jabatan kira-kira jam 3.30 petang disambut ceria oleh mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ.Dalam lawatan selama hampir 30 minit tersebut, Najib sempat beramah mesra dengan orang ramai di pusat pemindahan itu di samping menyampaikan bantuan kepada mereka.Seramai 422 mangsa daripada 96 keluarga ditempatkan di SK Bukit Guntong.
07 Jan 17
83
Banjir : Tubuh Jawatankuasa Pembersihan Tandas Di Pusat Pemindahan Banjir
Jawatankuasa pembersihan tandas di semua pusat pemindahan banjir akan ditubuhkan bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir terutama mereka yang uzur dan warga emas.Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kasim berkata kemudahan itu penting kerana bilik air dan tandas adalah keperluan utama mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan."Jadi pihak kami akan mengenalpasti lokasi atau sekolah yang dijadikan pusat ini bagi memenuhi keperluan itu yang mana kita akan menempatkan beberapa sukarelawan khas bagi menjalankan kerja pembersihan bilik air kerana selain dijadikan tempat mandi, ia juga dijadikan tempat berwuduk,"katanya ketika ditemui media di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Manir, hari ini.Sekolah yang dijadikan pusat permindahan banjir mendapat kunjungan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak bagi menyerahkan bantuan kit makanan tambahan kepada mangsa banjir.Shahidan turut memberitahu semua pihak perlu memberi kerjasama kepada media terutama dalam membuat laporan berkenaan banjir."Buat masa ini, semua media utama giat melaporkan perkembangan semasa banjir termasuklah media sosial."Bagaimanapun semua berita yang dimaklumkan di media sosial tidak begitu tepat berbanding berita daripada arus perdana berhubung dengan banjir, " katanya.Katanya, oleh itu, semua agensi kerajaan dan mana-mana pihak perlu memberi kemudahan kepada penggiat media untuk membuat laporan dari masa ke masa."Kalau terdapat perkara yang tidak elok kita boleh cerita kerana dunia sekarang adalah dunia yang terbuka. Sekiranya media tidak lapor orang lain akan lapor,"katanya.
07 Jan 17
179