lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan Terengganu untuk mengharamkan vape secara total. Katanya, langkah itu sangat tepat dan wajar demi membebaskan generasi hari ini daripada terus terlibat dalam ketagihan vape yang semakin membimbangkan. Menurut beliau, pengharaman vape itu bukan sahaja menyebabkan penjualan, pengiklanan dan sebarang berkaitan vape di seluruh negeri akan terhenti tetapi akan memastikan undang-undang ketat dikuatkuasakan sepenuhnya. "Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Terengganu, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan penggunakan vape. "Dalam masa yang sama, kami juga menggesa supaya premis-premis yang melibatkan penjualan rokok diperketatkan lagi oleh Kerajaan Negeri Terengganu. "Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa penjualan rokok, termasuk rokok elektronik dikawal dengan lebih ketat bagi melindungi generasi muda daripada terus rosak akibat vape dan rokok,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, pihak beliau yakin dan percaya bahawa usaha tersebut akan dapat membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan vape dan rokok. "Marilah kita semua menyokong usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," ujarnya.
03 Mar 25
327
Kerajaan Digesa Pertimbang Peruntukan Khas Jayakan Kad Sejahtera
Kerajaan Digesa Pertimbang Peruntukan Khas Jayakan Kad Sejahtera
KUALA LUMPUR, 3 Mac - Kerajaan Persekutuan digesa untuk mempertimbangkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi membolehkan program Kad Sejahtera Terengganu diteruskan demi manfaat golongan rentan dan B40 di negeri itu. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, skim berkenaan yang pernah diperkenalkan sebelum ini namun terpaksa dihentikan berikutan kekangan berkait pembayaran royalti petroleum. “Sebelum ini, Terengganu ada membuat skim yang hampir sama iaitu Kad Sejahtera, tetapi oleh kerana kekangan kewangan negeri, ia terpaksa dihentikan. “Pihak kerajaan negeri telah memohon secara rasmi kepada Menteri Kesihatan untuk diberi peruntukan khas sekitar RM5 juta setahun bagi skim ini, yang melibatkan 20,000 keluarga golongan rentan dan B40,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu beban kerja tinggi yang menjadi punca ramai jururawat kerajaan berhijrah ke sektor swasta atau berhenti kerja. “Maklumat yang diberikan kepada kita setakat 31 Disember 2024 menunjukkan masih ada 14,731 kekosongan jawatan jururawat yang belum diisi. “Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan pada Julai tahun lepas, seramai 2,445 jururawat telah memohon untuk berhenti kerja, sama ada untuk ke luar negara atau ke sektor swasta,” ujarnya. Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk menambah waktu bekerja jururawat. “Cadangan untuk menambah waktu bekerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu akan menambahkan lagi beban kepada jururawat kita. “Selain itu, kenaikan premium insurans kesihatan serta pelaksanaan sistem copayment akan menyebabkan lebih ramai pesakit beralih ke hospital kerajaan, yang akhirnya akan meningkatkan tekanan kepada sektor awam,” katanya lagi. Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyokong inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani. “Usaha ini sangat baik kerana sebahagian pesakit boleh dialihkan ke sektor swasta. Bila mereka mendapat rawatan awal di sektor swasta, tahap kesihatan primer dapat dipertingkatkan dan bilangan pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital dapat dikurangkan. “Namun, adakah kerajaan bersedia untuk memperluaskan Skim Perubatan Madani ke seluruh negara? Setakat ini, ia hanya melibatkan 10 daerah sahaja,” soalnya.
03 Mar 25
170
Chef Terengganu Dinobat Chef Of The Year
Chef Terengganu Dinobat Chef Of The Year
KUALA TERENGGANU, 3 Mac- Nazrul Hazel Mohd Nor berjaya mengharumkan nama Terengganu apabila merangkul gelaran Chef Of The Year 2025 (Masakan Warisan) bagi Festival Anugerah Asean Food & Travel (AFT) 2025 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Anugerah AFT dianjurkan bertujuan mempamer dan mempromosikan ASEAN dalam arena makanan dan pelancongan serta memberi pengiktirafan kepada personaliti atau organisasi yang cemerlang dalam industri makanan, pelancongan dan hospitaliti di rantau ini. Menurut kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu, beliau amat bersyukur dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij tersebut yang merupakan pencapaian tertingginya selepas 24 tahun berkecimpung dalam dunia masakan. “Gelaran Chef Of The Year 2025 dinilai berdasarkan pencapaian-pencapaian kita sebelum ini, memang saya selalui sertai pertandingan masakan tetapi tak sangka terpilih sebagai penerima anugerah ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Ditanya mengenai rahsia kejayaannya itu, Nazrul Hazel berkata, selain minat, keikhlasan adalah sesuatu yang penting dalam bidang masakan. “Dalam menyediakan hidangan, kita perlu tenang dan ikhlas seperti memasak untuk diri sendiri agar orang yang rasa masakan kita berpuas hati,” katanya. Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan tidak berbelah bahagi. “Terima kasih juga kepada keluarga tersayang yang sentiasa mendoakan dan menyokong,” ujar beliau. Sebelum ini, Nazrul Hazel pernah memenangi pingat gangsa dalam Kategori Masakan Warisan Malaysia di Festival Culinare Malaysia 2023 dan pingat emas dalam Pertandingan Pasta di World Chefs Championship 2023. Beliau yang bertugas di Unit Korporat dan Promosi JPNT, pernah menimba ilmu di 'Institute International Flamingo Malaysia' dan turut memiliki pengalaman luas dalam bidang masakan seperti Ketua Juri Karnival Makanan Rentas Negeri Terengganu 2024 dan Juri Masakan Program Pemuliharaan Makanan Terengganu 2024.  
03 Mar 25
3819
'Jom Meriahkan Madinah Ramadan Bersama Keluarga' - Dr Sam
'Jom Meriahkan Madinah Ramadan Bersama Keluarga' - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk memeriahkan Madinah Ramadan bersama ahli keluarga dan menikmati suasana berbuka beramai-ramai. Katanya, lokasi dipilih kali ini adalah Masjid Tengku Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai. Jelas beliau, Madinah Ramadan juga menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma setiap hari ini. "Sejak 2018 lagi Madinah Ramadan diadakan di Negeri Terengganu untuk mengajak rakyat bersama-sama menghidupkan bulan mulia, Ramadan yang hanya datang setahun sekali," ujarnya melalui satu kenyataan, di facebooknya, di sini, semalam. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pemilihan Masjid Tengku Tengah Zaharah kerana ia kawasan tumpuan orang ramai dan mempunyai akses yang mudah. "Orang ramai yang berbuka puasa di Lagun Kuala Ibai digalakkan untuk turut serta dalam aktiviti di Masjid. "Kita berharap ia menjadi satu trend seperti di Masjid Kuantan, di mana masyarakat berama-ramai berbuka di kawasan lapang berhampiran masjid kemudian bersama-sama menunaikan ibadah di masjid," ujarnya.
03 Mar 25
167
TDM Catat Hasil Tertinggi Sepanjang Masa, Untung Naik 23 Peratus
TDM Catat Hasil Tertinggi Sepanjang Masa, Untung Naik 23 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad sekali lagi mencatat rekod baharu dengan pendapatan tertinggi sepanjang masa sebanyak RM645 juta bagi tahun kewangan 2024. TDM dalam satu kenyataan berkata, pendapatan itu meningkat 9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jelas kenyataan itu lagi, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan juga meningkat kepada RM29.5 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024. "Melonjak 23 peratus berbanding RM24.0 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. "Sepanjang tahun kewangan 2024, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak RM51.1 juta atau 9 peratus, didorong oleh pertumbuhan hasil daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM29.6 juta (+11 peratus) dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM21.5 juta (+6 peratus)," ujar TDM. Tambah TDM lagi, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam PBT tahunan kepada RM11.3 juta berbanding RM14.8 juta tahun sebelumnya, EBITDA masih mencatat jumlah kukuh sebanyak RM110.1 juta. "Prestasi Bahagian Perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM37.1 juta (+3 peratus) berbanding RM33.9 juta tahun sebelumnya, dengan PBT sebanyak RM19.7 juta bagi suku ini.  "Prestasi Bahagian Penjagaan Kesihatan Bahagian Penjagaan Kesihatan juga mencatat prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak 3 peratus, daripada RM93.8 juta kepada RM96.9 juta sepanjang suku ini. "Bagi tahun kewangan penuh, pendapatan meningkat 6 peratus kepada RM354.3 juta berbanding RM332.8 juta tahun sebelumnya. EBITDA meningkat kepada RM53.9 juta, manakala PBT turut meningkat kepada RM31.8 juta berbanding RM31.0 juta tahun sebelumnya," kata TDM.    
02 Mar 25
2165
50,000 Botol Air Mineral Untuk Lebih 40 Masjid
50,000 Botol Air Mineral Untuk Lebih 40 Masjid
KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memperuntukkan 50,000 botol air mineral untuk diagihkan kepada lebih 40 buah masjid-masjid utama di seluruh negeri  sempena Ramadan kali ini.  Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, ia merupakan salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyokong perlaksanaan aktiviti masjid untuk mengimarahkan bulan yang mulia itu. “Tahun 2025 merupakan tahun kedua SATU meneruskan inisiatif ini yang mana pada tahun lepas hanya melibatkan 30 buah masjid. “Sumbangan air mineral kepada masjid ini adalah salah satu cara yang bermakna untuk meyokong kegiatan ibadah dan sosial di masjid pada bulan yang mulia ini,”katanya. Menurut beliau, air mineral tersebut mula diagihkan bermula minggu lepas  ke  masjid-masjid di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun, Marang, Kemaman, Setiu dan Besut.  Tambahnya, selain meringankan beban kewangan masjid, sumbangan ini juga membantu meningkatkan kesejahteraan Jemaah dan memperkukuhkan hubungan sosial SATU dengan masyarakat. Abdul Karim juga berkata, selain sumbangan itu, pihaknya juga tidak akan sesekali melupakan golongan asnaf dan fakir miskin sepanjang Ramadan ini. Katanya, beberapa program penyampaian sumbangan akan diadakan bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan menjelang ketibaan Aidilfitri bulan depan.
01 Mar 25
203
'King of Subuh Warrior' Kijal Dapat Hadiah Basikal
'King of Subuh Warrior' Kijal Dapat Hadiah Basikal
KEMAMAN, 1 Mac – Program ‘King Of Subuh Warrior’ atau galakan solat Subuh berjemaah yang dianjurkan oleh Masjid Titian Berayun, Kijal berjaya menarik penyertaan ramai kanak-kanak, dengan beberapa peserta berjaya menamatkan cabaran solat berjemaah selama 40, 30, 20, dan 10 hari berturut-turut. Dalam majlis penghargaan yang diadakan semalam, tiga peserta utama yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari tanpa gagal telah menerima penghargaan khas. Mereka ialah Muhammad Aiman Khaiyiza bin Mohammad Khairul Azan (13), Muhammad Ukail Uwais bin Mohd Khairuddin (13), dan Muhammad Zakir Hadi bin Mohd (9). Menurut Muhammad Zakir Hadi, 9 berkata dia sudah biasa ke masjid sejak kecil dan seronok meneruskan rutin itu sepanjang program berlangsung. “Saya memang suka ke masjid ikut ayah, walaupun keluarga ada urusan di Kuala Lumpur, saya tetap tinggal di Kemaman dengan ahli keluarga lain supaya boleh terus solat Subuh berjemaah. “Terima kasih kepada pengurusan masjid yang menganjurkan program dan juga kepada ibubapa saya yang setiap hari hantar saya ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ di Masjid Titian Berayun, Kijal semalam. Selain kategori 40 hari, peserta yang berjaya mengekalkan solat Subuh berjemaah selama 30, 20, dan 10 hari turut menerima penghargaan sebagai dorongan untuk terus beristiqamah. Pengarah Program ‘King Of Subuh Warrior’, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata program tersebut menerima sambutan luar biasa sekali gus membuktikan bahawa kanak-kanak boleh dilatih untuk mencintai ibadah sejak kecil. “Alhamdulillah, program ini juga mendapat sokongan padu daripada ibu bapa dan masyarakat. Kita berharap ia dapat diteruskan setiap tahun untuk membentuk generasi yang mencintai solat berjemaah. “Sebagai ganjaran atas komitmen mereka, setiap peserta yang berjaya menamatkan cabaran 40 hari menerima sijil penghargaan, sebuah basikal, hamper, piala, dan voucher penginapan sebagai tanda penghormatan atas usaha mereka dan hadiah-hadiah lumayan juga untuk kategori lain,” ujarnya..                    
01 Mar 25
753
Terengganu Rancang Bina Gelanggang Futsal di Kompleks Sukan Negeri
Terengganu Rancang Bina Gelanggang Futsal di Kompleks Sukan Negeri
KUANTAN, 28 Februari - Kerajaan Terengganu sedang meneliti untuk membina sebuah gelanggang futsal baharu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam usaha memperkasa pembangunan sukan futsal di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berkait rancangan itu pihaknya mengambil kesempatan membuat lawatan ke gelanggang futsal Sergio Aguero Arena di Semambu, Kuantan. “Kesempatan ini bagi meneliti model arena ini untuk memulakan langkah pembinaan sebuah gelanggang futsal di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. “Terima kasih Mr Sergio Aguero dan Mr Lucas Casco atas sambutan mesra sebentar tadi,” katanya. Menurut Hishamuddin, sukan futsal di Terengganu kurang rancak ekoran kekurangan gelanggang dan kekurangan pertandingan di pelbagai peringkat. “Tentunya, ia memberikan kesan kepada pembangunan sukan futsal di peringkat akar umbi. Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandang serius perkara ini,” ujarnya. Katanya lagi, dengan kerjasama pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu, beliau berhasrat untuk menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang futsal untuk ditempatkan di dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam tempoh terdekat. “Beberapa model gelanggang futsal dalam negara ini akan ditinjau dan diteliti terlebih dahulu sebelum memulakan langkah pembinaan.” “Keazaman ini cukup tinggi untuk melihat agenda pembangunan sukan futsal di kalangan anak-anak muda Terengganu akan terus berkembang maju dan memperkukuhkan penglibatan pasukan Terengganu di peringkat kebangsaan,” Doakan usaha kami dipermudahkan.  
28 Feb 25
390
33 Premis Dalam Pantauan Ops Supik Hitam
33 Premis Dalam Pantauan Ops Supik Hitam
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal melakukan pemantauan yang lebih tegas terhadap 33 buah premis perniagaan makanan menjelang Ramadan ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya telah meletakkan beberapa buah premis di seluruh negeri itu kerana dikenal pasti menjalankan aktiviti bertentangan syariah Islam. “Setakat ini kita dapat mengenal pasti terdapat 33 premis di seluruh negeri dan tindakan yang kita telah ambil pada masa ini ialah kita beri nasihat dahulu sebagai amaran awal. “Selepas itu, kita akan membuat pemantauan berterusan terutamanya di premis-premis ini di sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Ops Supik Hitam’ di Dewan Auditorium, JHEAT, semalam. Muhammad Khalil turut mengingatkan, pemilik premis berkenaan bahawa kegagalan mematuhi undang-undang yang khusus pada bulan Ramadan boleh dikenakan denda sepertimana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, di bawah Seksyen 19: Tidak Menghormati Ramadan. Menurutnya, operasi yang telah dilancarkan akan dianggotai oleh pasukan penguatkuasa daripada JHEAT dan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). “Jumlah keanggotaan untuk operasi di bulan Ramadan ini terdiri daripada 91 orang anggota.  “Dan Insya-Allah usaha kerajaan negeri bersama pihak JHEAT ini akan dibantu bersama pihak PBT dalam menjalankan ‘Ops Supik Hitam’ ini. Menurutnya, kerjasama dan penyelarasan agensi serta jabatan-jabatan yang terlibat seperti penglibatan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melalui PBT merupakan salah satu komponen penting bagi pelaksanaan operasi tersebut. “Kesungguhan kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan syariah ini, kita perkasakan juga dari sudut pelarasan bersama agensi dan juga jabatan lain yang berkaitan. “Khususnya MBKT kerana PBT ini di bawah MBKT. Contohnya, kita nak ambil tindakan kepada peniaga yang menjual makanan di siang hari pada bulan Ramadan, jadi penguatkuasa agama hanya boleh menangkap orang yang tidak berpuasa manakala tindakan terhadap premis di bawah PBT. “Oleh kerana itu, pentingnya kita selaraskan pelaksanaan ini (disebabkan oleh bidang kuasa yang berlainan),” katanya. 
28 Feb 25
115
Remaja Selamatkan Lima Kanak-Kanak Lemas Terima Anugerah Wira Remaja
Remaja Selamatkan Lima Kanak-Kanak Lemas Terima Anugerah Wira Remaja
HULU TERENGGANU, 28 Februari - Seorang remaja berusia 17 tahun menerima Anugerah Wira Remaja selepas tindakan beraninya menyelamatkan lima kanak-kanak yang hampir lemas di Sungai Lerek, Ajil tahun lalu. Erfan Mohd Zamri, pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil, tidak teragak-agak terjun ke dalam sungai apabila melihat lima kanak-kanak berusia antara enam hingga sepuluh tahun bergelut untuk menyelamatkan diri selepas dihanyutkan arus deras. “Sewaktu kejadian itu saya berada didalam rumah mendengar kakak saya memanggil  untuk mendapatkan bantuan jadi saya berlari dan terjun ke sungai untuk membantu mangsa tersebut. "Saya kebetulan berada rumah dan mendengar jeritan kakak yang menjerit memberitahu ada kanak kanak lemas. "Saya terus berlari dan terjun ke dalam sungai tanpa berfikir panjang dan hanya fikir mahu menyelamatkan mereka," kata Erfan ketika ditemui pemberita. Menurut Nur Ainul Erisha, kakak kepada Erfan, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika kanak-kanak tersebut sedang bermain di tebing sungai sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir ke dalam air. Panik dengan keadaan itu, empat lagi rakannya cuba membantu tetapi turut dihanyutkan arus sungai. Keberanian dan tindakan pantas Erfan mendapat pengiktirafan daripada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN AJIL serta pelbagai lapisan masyarakat. Beliau diraikan dalam Program Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK malam tadi yang diadakan di Dewan Serbaguna Yayasan Salim Tok Randok, baru-baru ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu itu, Maliaman Kassim yang menyampaikan anugerah tersebut turut memuji keberanian Erfan. "Keberanian yang ditunjukkan oleh Erfan adalah sesuatu yang luar biasa. Kita memerlukan lebih ramai anak muda yang berjiwa besar dan sanggup berkorban untuk membantu orang lain. "Saya berharap tindakan beliau menjadi inspirasi kepada rakan sebaya dan masyarakat secara keseluruhannya. "Tindakan pantas dan keberanian Erfan telah menyelamatkan lima nyawa. Ini adalah contoh keberanian dan nilai kemanusiaan yang tinggi yang patut dicontohi oleh generasi muda," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah tersebut. Dalam kejadian pukul 4.30 petang pada 12 Disember lalu, lima mangsa terselamat daripada lemas ketika bermain dan mandi di sungai Lerek, Kampung Tok Randok.  
28 Feb 25
298