Artikel "Utama" Terkini
JPNT Senarai 101 Aktiviti Meriahkan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) buat julung kalinya telah menyenaraikan 101 aktiviti termasuklah Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, Bazar Moreh, Madinah Ramadan serta pelbagai program lain bagi memeriahkan Ramadan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, memaklumkan bahawa kesemua aktiviti yang dianjurkan di setiap daerah telah disenaraikan sebagai acara utama dalam program Indahnya Ramadan @ Terengganu.
"Diharapkan pendekatan baharu ini, yang kini dimasukkan dalam kalendar tahunan pelancongan, akan menjadi daya tarikan baharu bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke Terengganu sepanjang bulan Ramadan.
"Selain menikmati pelbagai variasi makanan tradisional Terengganu, pelancong juga berpeluang menyertai pelbagai program keagamaan yang diadakan di seluruh daerah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media Program Peliter Raya @ KSNT yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), semalam.
Mengulas lebih lanjut, semua aktiviti itu akan dihebahkan secara e-brosur untuk rujukan para pelancong sebelum dan semasa berada di negeri ini.
"Di antara acara utama Indahnya Ramadan @ Terengganu yang disenaraikan adalah Bazar Ramadan Pasar Chabang Tiga, Moreh Ramadan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Carfood Sahur 8.0, Terengganu Drawbridge Moreh Festival, Selepek Sahur Payang Walk.
"Antaranya lagi ialah, program Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Sambutan Nuzul Quran dan Badan Qubra Peringkat Negeri di Kuala Terengganu.
"Selain itu turut tersenarai membabitkan daerah Kula Nerus ialah Bazar Ramadan Teluk Ketapang dan Moreh Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA).
Manakala di Kemaman ialah Bazar Ramadan Persatuan Usahawan Perwira dan Bazar Moreh Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah,"ujarnya.
Tambah beliau lagi antara aktivti yang tersenarai membabitkan Daerah Dungun pula ialah Bazar Ramadan Sura Gate dan D'Moreh.
"Untuk Daerah setiu ialah Bazar Ramadan Rhu 10 dan Program Qiamullail Perdana dan Pahlawan Subuh.
"Di Hulu Terengganu Bazar Aidilfitri Bandar Kuala Berang dan Bazar Ramadan Ajil, turut tersenarai Bazar Ramadan Bandar Marang di Daerah Marang.
"Besut pula yang tersenarai ialah Bazar Ramadan Dataran Limbongan dan Bazar Ramadan di Kampung Raja,"jelasnya.
06 Mar 25
363
DAP Tabur Tuduhan Karut Dakwa JKPK Tidak Pernah Bermesyuarat
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Dakwaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Thiong bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diketuai pembangkang (Perikatan Nasional) tidak penah bermesyuarat merupakan tuduhan yang sangat karut.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya sangat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen itu sedangkan pada waktu itu JKPK sedang bermesyuarat.
Tegasnya, tuduhan itu tidak berasas kerana seluruh rakyat dan orang ramai boleh melihat setiap kali aktiviti mesyuarat yang diadakan kerana ia dimuat turun dalam facebook rasmi Parlimen Malaysia..
"Sebaik selesai mesyuarat saya terus kembali ke Dewan Rakyat dan memohon speaker mengeluarkan petua atas kenyataan menyeleweng daripada ahli parlimen DAP ini.
"Untuk pengetahuan, bagi tahun 2023, JKPK telah mengadakan 10 mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Lynas (manakala) bagi tahun 2024, JKPK telah mengadakan 16 mesyuarat, 5 lawatan kerja ke MCRE Resources, Agensi Angkasa, MGTC, NAHRIM dan Agensi Nuklear, serta telah membentangkan empat penyata dalam dewan.
"Bagi tahun 2025 pula setakat bulan Februari, JKPK telah pun mengadakan dua mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Sarawak. Malah, saya baru sahaja selesai mempengerusikan satu lagi mesyuarat JKPK pada 2.30 petang tadi (semalam),"ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di facebooknya, semalam.
Dalam pada itu beliau mencabar Ahli Parlimen Kota Melaka itu sekiranya dakwaannya itu benar maka keluarkan sekali lagi kenyataan yang sama.
"Jika berani, Ahli Parlimen Kota Melaka boleh mengulangi fitnah ini di luar dewan,"tegas beliau.
Dalam perkembangan yang sama, beliau menyatakan beliau telah mempengerusikan mesyuarat JKPK Untuk Alam Sekitar Sains dan Perladangan dengan menerima kehadiran Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Jelasnya, apa yang menjadi perbincangan selalu berkait dengan kepentingan rakyat sebagaimana minggu lepas pihaknya telah berbincang mengenai Industri Sawit.
"Hari ini (semalam) kami membincangkan Industri Getah,"ujar beliau.
06 Mar 25
229
Jalan Rosak Akibat ECRL, Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Bertindak
Oleh : Abdul Hafiz
KUALA LUMPUR, 6 Mac - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikaitkan dengan kerosakan jalan persekutuan di Setiu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat semalam, termasuk keadaan jalan mendap di Kampung Air Sejuk yang dikatakan berisiko tinggi kepada pengguna.
"Saya ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan dalam membaik pulih jalan ini.
"Selain itu, banyak jalan persekutuan mengalami kerosakan akibat projek ECRL.
"Apakah langkah kerajaan untuk menangani isu ini?,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan jawapan bertulis berkenaan masalah jalan mendap di Kampung Air Sejuk.
Beliau juga menjelaskan bahawa penyelenggaraan jalan persekutuan dilakukan secara berkala bagi memastikan keselamatan pengguna.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau keadaan jalan di kawasan terjejas dan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya
06 Mar 25
203
FAMA Jangka Terima 60 Mt Kelapa Atasi Kekurangan Bekalan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu dijangka akan menerima sekitar 60 Metrik tan (Mt) kelapa tua bagi memenuhi keperluan orang ramai pada bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.
Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, terkini FAMA telah menerima sebanyak 10 Mt bagi menampung keperluan minggu pertama Ramadan ini.
"Peringkat awal kita telah terima lebih kurang dalam 30 Mt daripada akhir bulan Januari sehingga akhir Februari baru-baru ini. Saya jangka kita akan terima 20 Mt setiap bulan.
"Setakat ini, kita merancang penggunaan sekitar 20 Mt sebulan dan dijangka dua minggu sebelum Aidilfitri ia mungkin berganda kepada 40 Mt.
"Kalau keperluan terdesak kita akan ambil lagilah kerana FAMA telah mengimport sebanyak 650 Mt kelapa tua daripada Indonesia melalui FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACORP)," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau proses penerimaan 10 Mt kelapa tua untuk bulan Ramadandi Pusat Operasi FAMA Kuala Terengganu, semalam.
Menurtnya, kelapa tua yang sampai akan diagihkan melalui pusat pengedaran FAMA iaitu di pusat operasi FAMA Kuala Terengganu dan pusat operasi Besut.
"Pusat operasi ini berperanan mengagihkan bekalan kelapa ini ke outlet-outlet peruncitan FAMA khususnya Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Agrobazaar Rakyat (ABR) di mana mereka membekalkan secara langsung kepada pengguna.
"Terdapat 111 outlet FAMA \di Terengganu termasuk pasar tani, tetapi kita juga akan menumpukan pemborong-pemborong dan penjual santan yang ambil secara langsung.
"Hari ini, harga yang ditawarkan adalah RM3 sekilo dan kelapa ini kalau kita tengok dibekalkan dalam jaring dengan peratus kerosakan terlalu rendah (1 ke 2 peratus), berbanding import secara pukal sebelum ini yang menyebabkan kadar kerosakan sehingga 10 ke 15 peratus," tambahnya.
Jelasnya lagi, bekalan kelapa berkurangan ekoran kemerosotan bekalan dan perubahan iklim serta permintaan yang terlalu tinggi.
"Sebenarnya, permintaan sekarang berbanding sebelum ini sama sahaja, mungkin ada kerisauan di kalangan pengguna menyebabkan pemintaan yang mendorong kenaikan harga kelapa.
"Kekurangan kelapa ini mungkin bersifat sementara, mungkin selepas Aidilfitri nanti mungkin akan stabil kembali," katanya.
06 Mar 25
127
Senator DAP Desak Persekutuan Salur Royalti Terus Kepada Kerajaan Terengganu
KUALA LUMPUR, 5 Mac - Senator DAP, Dato' Kesavadas A. Achyuthan Nair, menegaskan bahawa pembayaran baki royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu perlu dilakukan secara langsung demi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terjamin serta memperkukuh pembangunan ekonomi negara.
Dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, beliau mengakui kepentingan Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas sejak 1978.
Menurutnya, rakyat Terengganu berhak menerima manfaat penuh daripada hasil minyak dan gas yang diperoleh dari perairan negeri tersebut.
“Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak negeri ini sejak 1978.
“Saya juga percaya dengan pembayaran baki royalti itu, kerajaan negeri dapat menambah hasil negeri yang seterusnya membantu menjaga kebajikan rakyat selain memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa wang hasil petroleum tersebut tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya diberikan kepada pihak ketiga.
Baginya, ketelusan dalam pembayaran royalti adalah penting agar hak negeri tidak dinafikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Hussin Ismail menyatakan bahawa isu royalti itu bukan sekadar hak rakyat Terengganu, tetapi telah termaktub dalam perjanjian sah yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas.
"Perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan ketika itu," tegasnya.
Menjawab perkara tersebut, Kesavadas mengesahkan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian berkaitan memang termaktub dalam dokumen rasmi dan beliau tidak menafikan fakta tersebut.
Namun, beliau tetap menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam memastikan ekonomi negara berkembang dengan baik.
“Saya beranggapan sekiranya tiada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, maka amat susah, sukar untuk membangunkan ekonomi negara,” tambahnya.
05 Mar 25
2489
Thailand, Bangladesh, Myanmar, Nepal Sahkan Sertai Pelita Raya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pelita Raya Terengganu 2025 bakal mencipta sejarah baru dengan penyertaan negara luar antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, empat buah negeri itu telah mengesahkan kehadiran bagi menyertai program Pelita Raya Terengganu.
Kata Razali, dengan tema 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam.
"Kita cuba mengangkat program ini ke peringkat antarabangsa dengan menjemput banyak negara untuk menyertai termasuk Singapura, Brunei, Pakistan namun yang mengesahkan untuk hadir ialah empat negara terbabit.
"Namun, kita masih menunggu beberapa negara lagi yang akan sertai, kita sedang menunggu senarai daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat.
"Penyertaan dari luar negara pada peringkat awal mereka tidak akan bertanding, tetapi untuk menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga ada pelita tradisi dengan cara serta budaya yang tersendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Sidang Media Program Peliter Raya @ KSNT, di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut Razali berkata, program itu juga akan turut disertai oleh negeri Kelantan dan Perlis melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK).
"Mereka bertanding dalam kategori Agensi dan Badan Kerajaan yang akan disertai oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, MOTAC/Tourism Malaysia.
"Ia termasuk KETENGAH, Terengganu Inc, Pusat Sains Kreativiti Terengganu (PSKT), Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Lapan daerah di negeri Terengganu ini pula akan menyertai kategori Pejabat Daerah,"ujarnya.
Dalam masa yang sama menurut Razali, bagi memastikan acara berprestij itu lebih meriah, satu rakan strategik telah dibentuk dengan turut menjemput seluruh negeri menyertainya.
"Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pahang, Johor , Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan menyertai Pelita Raya ini," ujarnya.
Sementara itu, katanya kerajaan negeri menjemput khas Persatuan Cina Peranakan Terengganu, Persatuan India dan orang Asli untuk turut sama memeriahkan.
"Apabila kita jemput, mereka sangat gembira untuk menyertai tambahan pula tradisi pelita raya ini telah dikenali dan telah sebati dalam diri mereka kerana tradisi ini telah diadakan turun temurun dan diamalkan oleh masyarakat Islam di negeri ini," katanya.
05 Mar 25
890
200 Bekas Gulai Kawah Diagih Hidupkan Ramadan
BESUT, 5 Mac – Sebanyak 200 bekas gulai kawah telah diagihkan kepada penduduk Kampung Lay Out Tok Has sempena Ramadan ini bagi menghidupkan bulan yang penuh keberkatan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, selain mengambil semangat bulan tersebut ia juga bagi meneruskan tradisi mengagihkan lauk pauk atau juadah berbuka puasa ke setiap rumah penduduk bagi mengeratkan silaturrahim.
Ujarnya, program tersebut dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lay Out Tok Has.
“Bulan Ramadan adalah waktu yang tepat untuk kita saling membantu dan berkongsi rezeki.
"Dengan agihan gulai kawah ini, saya berharap setiap penduduk dapat merasai nikmat berbuka puasa bersama keluarga. Semoga kita semua diberkati dan dipermudahkan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika hadir program berkenaan, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata gulai kawah yang lazat dan berkualiti itu dapat disediakan melalui kerjasama dengan sukarelawan kampung
"Setiap bekas gulai kawah yang diagihkan telah disediakan dengan penuh kasih sayang dan perhatian, memastikan ia sesuai untuk dinikmati oleh semua penduduk.
"Penduduk kampung meluahkan rasa syukur atas inisiatif yang sangat bermakna ini. Mereka berharap agar lebih banyak program seumpama ini dapat diadakan pada masa akan datang, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini,"jelasnya.
Menurutnya, program berkenaan berkahir dengan suasana penuh ceria dengan penduduk ketika ditemui saling bertukar cerita dan pengalaman juga berkongsi pandangan dan memberikan cadangan untuk diadakan aktiviti-aktiviti seterusnya demi kebaiki bersama.
"Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen pihak kita dalam memastikan kesejahteraan dan kehamorniaan masyarakat kampung dalam dikekalkan serta dipereratkan dalam bulan yang penuh bermakna ini,"ujar beliau.
05 Mar 25
190
ADUN Agih 300 Pek Kurma di Bazar Ramadan Kijal
KEMAMAN, 4 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris mengagihkan 300 pek kurma kepada peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Kijal, semalam.
Beliau memaklumkan, program edaran kurma itu merupakan inisiatif tahunan bagi meraikan kehadiran bulan Ramadan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Tambahnya, pengagihan kurma ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada para peniaga yang bertungkus-lumus mencari rezeki sepanjang Ramadan, tetapi juga sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Kijal.
“Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, dan kita mahu berkongsi rezeki serta kebahagiaan dengan semua. Semoga amalan ini membawa keberkatan kepada kita semua,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.
Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada peniaga dan pengunjung yang menghargai keprihatinan wakil rakyat mereka.
Seorang pengunjung bazaar, Iskandar Alias, 25, yang juga pelajar Kolej Universiti TATI, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran ADUN Kijal ke tapak bazar tersebut.
“Terima kasih kepada Tok Li atas sumbangan pek kurma ini. Saya berharap program seperti ini dapat diadakan di setiap bazar agar lebih ramai yang memperoleh manfaat.
“Semoga bulan Ramadan tahun ini membawa kita ke arah yang lebih baik dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT,” ujarnya.
04 Mar 25
145
Anak Syarikat Terengganu Bantu Jayakan Wad Kelas Ketiga Percuma
SETIU, 4 Mac - Meskipun bukan secara langsung, anak-anak syarikat kerajaan negeri turut menyumbang kepada kelancaran program Wad Kelas Ketiga Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu semenjak tahun 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sumbangan mereka diperolehi melalui pelbagai program lain yang dilaksanakan.
"Secara langsung tidak, tetapi melalui akaun disatukan, sumbangan mereka dikira ada dalam menjayakan program wad kelas ketiga percuma.
"Untuk membiayai program itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebahagian kewangan yang ada.
"Sumbangan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri memang ada, tetapi disumbangkan melalui pelbagai program lain yang diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, petang semalam.
Hadir sama meninjau pelaksanaan bazar Ramadan ialah timbalannya, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama ADUN Langkap, Azmi Maarof dan ADUN Permaisuri, Mohd Yusof Majid.
Wan Sukairi memaklumkan, program wad kelas ketiga percuma telah memberi manfaat kepada seramai 224,000 orang dengan peruntukan lebih RM12 juta semenjak dimulakan pada tahun 2019.
"Program ini kita telah sambung sehingga tiga tahun (sehingga 2028) memandangkan keberkesanan yang ada dan sambutan luar biasa ke atas program ini yang memberikan kemudahan kepada rakyat," katanya.
04 Mar 25
501
Peniaga Kotor Akan Diambil Tindakan
SETIU, 4 Mac- Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menasihati peniaga-peniaga bazar Ramadan di negeri itu supaya terus mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan isu kesihatan dan kebersihan sentiasa terjamin.
"Sekiranya didapati peniaga atau penganjur bazar itu melanggar syarat ditetapkan pihak PBT dan majlis daerah, tindakan akan diambil.
"Tindakan atau denda memang tidak boleh dielakkan kerana ia sebagai satu pengajaran kepada peniaga atau penganjur supaya mereka menjadikan isu keselamatan makanan sesuatu yang paling utama untuk manfaat pembeli," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, petang semalam.
Tegasnya lagi, tindakan sehingga tarik lesen tidak mustahil dilakukan sekiranya peniaga atau penganjur bazar masih lagi ingkar dalam mematuhi perkara tersebut.
"Sekiranya ingkar, kita akan buat termasuk yang itu (tarik lesen).
"Sebab itu juga kita berharap kepada komen dan aduan orang ramai jika mereka mendapati makanan yang dibeli tercemar, kotor dan berlaku keracunan makanan maka boleh buat aduan segera di PBT masing-masing.
"Setiap bazar Ramadan juga ada pegawai bertugas untuk kita lapor secara langsung bagi memastikan kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pihak Jabatan Kesihatan negeri Terengganu dan pihak Majlis Daerah supaya sekurang-kurangnya sekali dalam bulan ini melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan yang ada.
Menurutnya, ia sebagai satu langkah pencegahan isu keracunan makanan, penipuan dan keselamatan yang sepatutnya dijaga pengusaha bazar daripada berulang.
"Saya (juga) menasihati supaya semua pembeli dan peniaga supaya memberikan keutamaan kepada isu kesihatan dari segi kebersihan, kita juga sangat menggalakkan pembayaran oleh pembeli dengan sistem tanpa tunai untuk memastikan aspek kebersihan berlaku.
"Kadang-kadang penjual memegang makanan, kemudian dia pegang pula duit dan di situ kita bimbang berlaku (penyebaran)kuman dan jangkitan, lebih selamat pembayaran tanpa tunai," ujarnya.
04 Mar 25
178