lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Program 'Jom Sedekah' Ramadan Diteruskan Hingga 24 Mac
Program 'Jom Sedekah' Ramadan Diteruskan Hingga 24 Mac
KUALA TERENGGANU, 15  Mac – Program CSR 'JOM SEDEKAH' anjuran GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu  akan diteruskan sehingga seminggu sebelum Hari Raya. Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd, Mohamed Azahari Mohamed Noh,berkata ia susulan berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sepanjang Ramadan 2025. “Kami amat menghargai sambutan luar biasa terhadap program ‘JOM SEDEKAH’ dan berharap lebih ramai masyarakat akan terus menyumbang sebelum program ini berakhir.  “Keprihatinan rakyat Terengganu dalam membantu mereka yang memerlukan amat menginspirasikan, dan kami komited untuk meneruskan inisiatif seperti ini pada masa hadapan,” ujarnya kepada pemberita. Menurutnya, Program Bank Makanan Ramadan “JOM SEDEKAH”, yang dilancarkan di Giant Kuala Terengganu, Giant Jerteh, Giant Dungun, dan TMC Mesra Mall, juga masih berlangsung dan akan diteruskan sehingga seminggu sebelum Hari Raya.  “Pelanggan terus digalakkan untuk menyumbang barangan keperluan asas di Kotak Donasi yang disediakan di pasar raya Giant, dengan semua sumbangan akan diagihkan kepada golongan asnaf, keluarga kurang berkemampuan, dan jemaah masjid di seluruh negeri,”ujarnya lagi. Tambahnya, program khas “JOM SEDEKAH – Pakaian Baharu Aidilfitri” telah berjaya membantu 100 anak yatim mendapatkan pakaian raya baharu, membawakan kegembiraan kepada mereka menjelang Syawal. “GCH Retail turut menyumbangkan 100 kotak kurma serta air mineral kepada Kerajaan Negeri Terengganu, yang kemudiannya diedarkan ke masjid-masjid di seluruh negeri bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah. “Kita juga telah sediakan lebih 1,000 pek bubur lambuk diedarkan kepada masyarakat di beberapa lokasi terpilih di Terengganu baru-baru ini,” jelasnya. Sementara itu,Pengerusi Kebajikan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri , Maliaman Kassim, berkata kerjasama erat antara GCH Retail dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program itu sangat bermakna. “Bantuan yang diberikan telah membawa kegembiraan kepada ramai penerima, dan kami berharap program ini akan menjadi contoh kepada inisiatif kebajikan lain,”katanya. Dalam pada sama, GCH Retail akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan komuniti dalam pelbagai program kebajikan lain di seluruh negara bagi menjayakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. Untuk maklumat lanjut mengenai program CSR GCH Retail dan bagaimana anda boleh turut serta, sila layari giant.com.my serta platform media sosial rasmi kami.  
17 Mar 25
101
Pelita Raya 2025: Satu Kejayaan Walaupun Tersasar Jangkaan Awal
Pelita Raya 2025: Satu Kejayaan Walaupun Tersasar Jangkaan Awal
KUALA  NERUS, 17 Mac - Festival Pelita Raya 2025 mencatat kehadiran lebih 170,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya, satu angka yang masih membanggakan meskipun tidak mencapai sasaran awal lebih 200,000 pengunjung.  Kerajaan negeri melihat kejayaan ini sebagai satu petanda positif dan berazam untuk melakukan penambahbaikan bagi edisi seterusnya. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan jumlah pengunjung yang dicapai adalah sebagai satu pencapaian yang baik disebalik kesuntukan masa dan kos yang terpaksa ditanggung kali ini. “Walaupun sasaran asal kita lebih tinggi, kita tetap bersyukur dengan jumlah kehadiran ini. Ini menunjukkan program ini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat dan pelancong luar.   "Alhamdulillah, pada kali ini kita masih mampu untuk mencapai jumlah pengunjung seramai lebih daripada 170,000 orang dan saya percaya masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh kita guna atau laksanakan untuk penambahbaikan. "Dan salah satu penambahbaikan yang ketara yang kita buat pada tahun ini ialah tempatnya di sini (di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak) yang saya rasa memudahkan pengunjung berbanding dengan tempat yang sebelum ini,” jelasnya. Dalam pada itu, terdapat beberapa pihak meluahkan harapan agar festival itu dipanjangkan bagi memberi lebih peluang kepada mereka untuk hadir dan merasai pengalaman yang ditawarkan. Dr. Samsuri memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan diberi perhatian. "Kami menerima banyak maklum balas mengenai tempoh festival yang agak singkat, empat hari. "Jadi, sudah tentulah ini sesuatu yang kita boleh pertimbangkan, walaupun ada kos tambahan yang perlu ditanggung pada tahun ini.  "Insya-Allah, kita akan bersedia dengan lebih awal tahun depan untuk mengadakan program ini serta mungkin dilanjutkan beberapa hari untuk menangani kekurangan waktu. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah  program Peliter @ KSNT bertempat di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, semalam. Selain mempertimbangkan tempoh penganjuran yang lebih panjang, pihak kerajaan juga akan memastikan penyertaan lebih ramai, termasuklah daripada komuniti setempat dalam festival itu bagi menjadikannya lebih inklusif. "Kita pun sebenarnya kalau boleh kita nak penyertaan daripada kalangan rakyat, daripada komuniti yang tertentu. "Kita akan tengok balik supaya tahun depan lebih meriah dan insya-Allah kita akan perkasakan pada tahun depan," ujarnya.
17 Mar 25
307
Kuala Nerus Bawa Pulang Hadiah Utama Peliter @ KSNT 2025
Kuala Nerus Bawa Pulang Hadiah Utama Peliter @ KSNT 2025
KUALA NERUS, 17 Mac - Tirai Pelita Raya 2025 (PELITER @ KSNT) ditutup meriah dengan kejayaan pihak Pejabat Daerah Kuala Nerus merangkul hadiah utama bagi kategori penyertaan pejabat daerah dalam acara tahunan yang telah bermula sejak 13 Mac yang lalu itu. Bergelar juara, mereka membawa pulang hadiah bernilai RM6,000 berserta plak penghargaan. Manakala, naib johan bagi kategori yang sama pula diduduki oleh mantan johan Peliter @ KBT 2023, pihak Pejabat Daerah Kemaman dan diikuti oleh mantan johan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 dan Peliter @ TTI 2024, Pejabat Daerah Kuala Terengganu di tempat tempat ketiga. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr .Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah menjadi adat bagi setiap pertandingan, ada bergelar pemenang dan ada yang tewas. "Tetapi, pada saya semua pihak yang telah menyertai program ini, termasuklah mereka yang memasang pelita, yang hadir dan termasuklah para peniaga, mereka semua adalah pemenang. "Kerana merekalah yang menjayakan majlis ini sehingga menjadi suatu saat yang bersejarah. Melalui merekalah lebih 170,000 orang pengunjung telah datang ke tapak program dalam beberapa hari ini." Demikian ucapan beliau ketika merasmikan majlis penutup bagi program PELITER@KSNT yang bertempat di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam. Dr Samsuri turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak terlibat bagi menjayakan acara istimewa Calender of Event (COE) tahun 2025 itu. "Tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Razali Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan dan seluruh pihak yang berusaha untuk menjayakan majlis kita pada hari ini," katanya. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu; Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Ahmad Ridzwan Abd Rahman. Sebagai rekod, sebanyak RM36,200 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi empat kategori pertandingan yang telah dipertandingkan untuk acara yang dijalankan pada bulan Ramadan itu.  Antara kategorinya adalah kategori pejabat daerah, kategori agensi dan badan kerajaan, kategori media sosial (Facebook) serta kategori media sosial (TikTok) Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan Anugerah Khas Pencetus Pelita Raya Terengganu kepada Muhammad Ramli Nuh bagi menghargai jasa dan keringat beliau yang telah merealisasikan acara tahunan itu.
17 Mar 25
1999
Cabaran OKU : Masyarakat Perlu Ubah Persepsi
Cabaran OKU : Masyarakat Perlu Ubah Persepsi
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masih berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian, termasuk stigma masyarakat yang agak negatif kepada golongan ini. Menurut Atlet Parasukma Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed berkata, stigma dan persepsi yang salah terhadap golongan OKU masih menebal dalam masyarakat.  “Ada yang menganggap mereka sebagai beban dan tidak mampu berdikari, walhal realitinya ramai dalam kalangan mereka mempunyai pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi serta sosial negara.  “OKU bukan beban tetapi anugerah yang perlu dihargai," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan wanita kepada OKU di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini. Selain itu, akses kepada pendidikan dan pekerjaan juga menjadi cabaran utama yang mana tidak semua sekolah dan universiti di Malaysia menyediakan kemudahan pembelajaran inklusif untuk OKU.  Katanya, di dunia pekerjaan, masih ada majikan yang takut untuk mengambil pekerja OKU kerana beranggapan mereka memerlukan bantuan khas dan hakikatnya, ramai pekerja OKU menunjukkan prestasi lebih tekun dan cekap berbanding pekerja biasa. ”Dari segi infrastruktur, kemudahan awam yang tidak mesra OKU turut menyukarkan pergerakan mereka.  “Bayangkan berjalan di kaki lima yang tidak rata atau menaiki pengangkutan awam dengan tongkat. "Jika orang biasa pun boleh jatuh, apatah lagi individu yang bergantung kepada kerusi roda,” ujarnya. Selain itujelasnya, cabaran lain dihadapi oleh golongan ini ialah kurangnya sokongan sosial, terutamanya dalam kalangan keluarga sendiri di mana ada ibu bapa yang malu untuk mengakui bahawa anak mereka adalah OKU.  “Kesedaran dan pendidikan masyarakat juga perlu dipertingkatkan. Ramai yang masih kurang ilmu mengenai keperluan dan hak OKU serta menganggap semua OKU memerlukan bantuan sama, sedangkan keperluan mereka berbeza mengikut kategori,” kata Norhaslina. Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat dapat membina sebuah komuniti lebih inklusif dan prihatin dengan menghargai keunikan serta bakat yang dimiliki oleh golongan ini. “Golongan OKU bukan untuk dikasihani, tetapi mahu difahami dan diberikan peluang yang adil dalam kehidupan.  “Dengan kesedaran dan empati yang lebih tinggi, masyarakat boleh memainkan peranan dalam memperkaya kehidupan semua lapisan dengan kepelbagaian bakat dan potensi,” tambahnya lagi.
17 Mar 25
139
Pelita Raya: Terima Kasih Pilih Seberang Takir
Pelita Raya: Terima Kasih Pilih Seberang Takir
KUALA NERUS, 14 Mac -  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat menzahirkan kegembiraan dalam pemilihan perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak sebagai tuan rumah Pelita Raya 2025. "Saya ucap terima kasih apabila pihak Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) yang pilih Seberang Takir sebagai tuan rumah Pelita Raya kali ini. "Secara peribadi, saya lihat kawasan ini sesuai sebagaimana exco maklumkan, kawasannya luas dengan parkir yang banyak. "Saya rasa ini menyenangkan pengunjung dan memudah mereka ke sini," katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan program berkenaan bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, malam tadi. Hadir sama ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu), Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abdul Ghani. Beliau yang turut berharap lebih ramai pengunjung akan hadir sepanjang empat hari program tersebut yang akan berakhir pada Ahad. Sebagai rekod, pertandingan pelita raya ini hanya diadakan di kampung-kampung tertentu. Kemudian, ia dibawa ke Kampung Budaya Terengganu (KBT) dan seterusnya Taman Tamadun Islam (TTI) dengan diperluaskan skop dengan pertandingan antara daerah. Pelita Raya 2025 turut disertai negeri Perlis dan Kelantan serta pameran pelbagai kaum di Terengganu selain penglibatan kali pertama negara luar iaitu Myanmar, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.
16 Mar 25
1402
'Sekelip Mata Ia Hilang'
'Sekelip Mata Ia Hilang'
DUNGUN, 17 Mac- Pemilik Derak Cafe, Wan Akmall Izzat Wan Ahmad Kamal mengakui masih terkejut dengan kejadian hiba yang menimpanya pagi semalam apabila kedai yang menjadi punca rezeki utamanya, musnah dijilat api dalam sekelip mata menyebabkan segala-galanya musnah akibat kebakaran yang berlaku pada awal pagi tersebut. Wan Akmall Izzat memaklumkan, dianggarkan kerugian yang dialaminya berjumlah sekitar RM 130,000. Kerugian tersebut merangkumi harta benda kedai yang musnah serta sebahagian daripada rumahnya yang turut terbakar dalam insiden itu. Kejadian ini tentunya meninggalkan kesan yang mendalam, bukan sahaja kerana kerugian material, tetapi juga kerana ia melibatkan sumber pendapatan utama keluarganya. Kunjungan Mohd Fadhli Rahmi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang untuk melihat keadaan kedai selepas kejadian tersebut, menyatakan bahawa beliau akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pemilik kedai yang terjejas. "Bantuan dari segi kewangan dan sokongan akan diusahakan agar meringankan beban yang ditanggung oleh beliau dan keluarganya," katanya yang turut menzahirkan simpati dengan nasihat agar terus bersabar serta tabah menghadapi ujian yang diberikan.  
16 Mar 25
558
Sumbangan Di Dunia 'Ikat' Pahala Berterusan Di Akhirat
Sumbangan Di Dunia 'Ikat' Pahala Berterusan Di Akhirat
DUNGUN, 16 Mac – Setiap sumbangan yang diberikan untuk perjuangan agama dan pendidikan Islam bukan sahaja memberi manfaat di dunia, tetapi juga menjanjikan pahala yang berterusan di akhirat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat menekankan tentang kepentingan membantu agama Allah SWT dan yakin bahawa setiap usaha ini akan dipermudahkan oleh-Nya. “Kita nak tolong agama Allah SWT ni, Insya-Allah Allah  SWT akan tolong kita. Allah SWT akan buka ruang peluang dan permudahkan sehingga berjaya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Dana Kolej Islam Darul Iman (KIDI) yang berlangsung di Tapak KIDI, disini semalam. Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan membangunkan institusi pendidikan Islam mungkin tidak dapat disempurnakan dalam waktu terdekat, tetapi generasi akan datang pasti akan meneruskan usaha ini. “Walaupun tidak boleh siap masa sekarang, generasi-generasi lainlah yang akan sambung perjuangan ini hingga wujudnya kompleks pendidikan yang beri manfaat kepada masyarakat. “Terima kasih kepada para pewakaf yang menyumbang sebahagian harta dan wang ringgit untuk kolej ini." "Semoga pahala berterusan sentiasa mengalir dan inilah bekalan kita di hari akhirat akan datang,” katanya turut merakamkan penghargaan kepada para pewakaf yang telah menyumbangkan harta dan wang ringgit untuk pembangunan KIDI. Di samping itu juga, beliau turut menyatakan harapan agar lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan demi memastikan perkembangan pendidikan Islam yang lebih kukuh. “Harapan kita agar mendapat sokongan dan dokongan semua sehingga suatu hari nanti kita dapat menyaksikan para ilmuan akan bertambah di negeri kita khususnya,” tambahnya.  
16 Mar 25
80
Bantuan Pemulihan Rumah Terbakar Akan Disegerakan
Bantuan Pemulihan Rumah Terbakar Akan Disegerakan
KEMAMAN, 16 Mac - Bantuan bagi  membaiki tujuh rumah mangsa kebakaran di Rumah Taman Alam Perdana, Binjai di sini akan disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, terdahulu sumbangan awal bencana kebakaran buat keluarga mangsa telah disampaikan dalam ziarah baru-baru ini. "Penilaian kerosakan rumah-rumah yang terlibat sedang diproses oleh Pejabat Daerah Kemaman dan permohonan baiki rumah melalui Tabung Darul Iman akan dihantar selesai sahaja nilaian tersebut," katanya ketika ditemui media semasa aktiviti gotong-royong membersihkan rumah terbakar terbabit kelmarin. Menurutnya, Program Gorong-Royong Bersih Tapak Kebakaran merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Air Putih melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk setempat yang turut hadir. “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong hari ini antaranya pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang menyediakan peralatan dan membantu dalam urusan kerja-kerja pembersihan. “Terima kasih juga buat JPKK, Lujnah Kebajikan PAS DUN Air Putih, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan penduduk setempat yang hadir membantu," tambah beliau lagi. Mohd Hafiz berkata, sehingga kini punca kebakaran rumah itu belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih berjalan. Katanya, kejadian yang berlaku pada 8 Mac itu telah mengakibatkan sebanyak tujuh buah rumah telah terbakar.
16 Mar 25
356
'Selalunya Saya Pakai Baju Raya Lama, Kini Dapat Baju Baru' - Anak Yatim
'Selalunya Saya Pakai Baju Raya Lama, Kini Dapat Baju Baru' - Anak Yatim
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – “Selalunya saya hanya pakai baju lama, tapi kali ini saya dapat pakaian baru,” luah Alya Maizara Wan Saifulizan, 11, dengan wajah penuh keceriaan selepas memilih sendiri busana raya dalam program 'Masih Ada Yang Sayang' anjuran Pertubuhan Skuad Amal Ajil (Amal Care). Program itu meraikan 100 anak yatim dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dalam usaha membawa kegembiraan kepada mereka menjelang Aidilfitri. Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi membeli baju raya serta majlis berbuka puasa bersama sukarelawan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program seperti itu sangat bermakna kerana memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal seperti kanak-kanak lain. "Kami amat menghargai usaha penganjur yang memastikan anak-anak yatim ini tidak terpinggir dalam menikmati keindahan bulan Ramadan serta kegembiraan menyambut Aidilfitri. "Kerajaan negeri sentiasa menyokong program kebajikan seperti ini dan menggalakkan lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan," katanya. Beliau turut menegaskan bahawa program sebegini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan sifat prihatin dan kasih sayang terhadap golongan kurang bernasib baik. "Kita mahu masyarakat lebih peka terhadap kebajikan anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan. Semangat memberi dan berkongsi amat digalakkan dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," tambahnya. Jelas Maliaman, pada sebelah pagi, anak-anak yatim ini dibawa ke pasar raya besar Giant dan Mydin Mall untuk memilih sendiri pakaian raya mereka. Katanya, senyuman jelas terpancar di wajah mereka apabila dapat mengenakan busana baharu di Aidilfitri nanti. "Seperti Alya Maizara, ramai lagi anak yatim yang teruja kerana dapat merasai pengalaman memilih baju sendiri buat pertama kali. Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Duit Raya. "Program 'Masih Ada Yang Sayang' DUN Ajil ini mendapat sambutan hangat dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terus terbela serta memberi mereka kegembiraan menyambut Syawal," ujarnya.
16 Mar 25
152
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda pluralisme agama yang semakin merebak kebelakangan ini. Menurutnya, terdapat segelintir pihak sedang giat mempromosikan konsep kesamarataan agama dengan menyatakan bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan. "Jangan fikir sifir agama sama seperti sifir Matematik. Sebaliknya, sifir agama mestilah berpandukan petunjuk Allah, bukan sekadar akal semata-mata. "Walaupun semua agama menyeru kepada kebaikan, hakikatnya hanya agama Islam yang diterima oleh Allah sebagai agama yang benar, yang dibawa oleh semua nabi-nabi. "Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau menjelaskan bahawa semua agama yang wujud pada hari ini pada asalnya adalah agama Islam yang dibawa oleh para nabi dalam zaman yang berbeza, namun telah diselewengkan oleh manusia sehingga Islam diperbetulkan kembali melalui ajaran Nabi Muhammad SAW. "Walaupun begitu, Islam tetap menyeru penganutnya untuk menghormati agama lain dan berhujah dengan cara yang baik. "Namun, menghormati agama lain tidak bermakna kita boleh terbabas sehingga melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam," tegasnya. Beliau turut menekankan bahawa toleransi dalam beragama tidak bermaksud umat Islam harus menggadaikan prinsip-prinsip Islam yang telah ditetapkan.
16 Mar 25
129