Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Kaji Pertambahan Wakil Wanita
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Terengganu mengambil perhatian terhadap gesaan Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) dan Bait Al Amanah agar kerajaan negeri menaikkan bilangan perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 3.1 peratus kepada 13.9 peratus.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat penilaian atas cadangan yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
"Kita akan nilai dan kaji cadangan mereka, bergantunglah jika kita rasa selepas kajian pertimbangan itu perlu dibuat sesuatu pindaan, insya-Allah kita akan buat. Jadi bergantung kepada bagaimana pendapat selepas kita buat kajian nanti.
"Apapun, kita ucapkan terima kasih kepada NGO dan pihak-pihak di luar yang memberikan pandangan, pandangan ini akan dinilai mengikut keperluan semasa, kedudukan struktur masyarakat, budaya dan sebagainya yang ada di negeri Terengganu ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para SUKMA 2024 di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambahnya, sebarang perubahan perlu melihat kepada struktur demografi masyarakat yang ada di negeri Terengganu.
"Saya difahamkan, kajian dilaksanakan NGO ini melihat dari segi nombor, bilangan. Sedangkan kalau kita hendak tengok keseluruhannya, ia perlu dilihat daripada pelbagai aspek dan menilai kedudukan masyarakat di sini, permintaan wanita sendiri. Ini yang kita kata kena lihat A to Z, bukan hanya dari sudut nombor.
"Kita kurang atau lebih, dibandingkan dengan negeri lain, kita kena lihat struktur demografi masyarakat negeri lain tidak sama dan ada keperluan untuk kita kaji secara holistik perkara ini," tambahnya.
Beliau turut menafikan kekurangan perwakilan wanita akan menyebabkan berlakunya pengabaian hak wanita-wanita di negeri itu.
"Hak wanita? tentu kita jaga. (Wakil rakyat) lelaki juga rapat dengan (isu-isu) wanita, saya tidak menafikan ada kepentingannya untuk mempunyai exco wanita secara khusus dan pertambahan adun wanita. Namun, kita perlu melihat banyak aspek sebelum dipertimbangkan," katanya.
20 Mar 25
150
Cuti Raya Tambahan : Dr. Sam Umum Minggu Depan
KUALA TERENGGANU,19 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, sebarang keputusan tentang cuti tambahan Aidilfitri akan dimaklumkan kemudian.
Ketika ditanya pemberita hari ini, beliau berkata bahawa keputusan tentang hari cuti tambahan telah dipertimbangkan dan akan dibawa kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mendapat perkenan.
"Saya akan menghadap ke bawah Duli Tuanku untuk jawapan, dalam waktu terdekat ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis penyampaian Insentif kemenagan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para SUKMA Sarawak 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu turut ditanya tentang pemberian dana raya.
"Itupun kita akan maklumkan kemudian, kita akan cuba dan berusaha.
"Sama ada dapat atau tidak itu saya rasa semua sedia maklum, kewangan kerajaan negeri dipegang oleh Putrajaya jadi kita kena mohon dahulu kerana duit kita di sana. Sekiranya sampai dahulu, baru kita akan beri," katanya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak RM1.082 juta disampaikan kepada 271 atlet yang berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam temasya sukan berkenaan.
19 Mar 25
2347
Terengganu Agih RM1.082 Juta Insentif Kemenangan SUKMA, Para SUKMA
KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Sebanyak RM1.082 juta disampaikan kerajaan negeri hari ini, sebagai insentif kemenangan bagi menghargai sumbangan atlet dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan (Skan Para (Para) SUKMA pada tahun 2024.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri mengagihkan insentif kemenangan pada kadar bersesuaian dengan pencapaian kali ini iaitu sebanyak RM3,000 untuk pemenang pingat emas, RM2,000 untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 bagi pemenang pingat gangsa, sama rata untuk atlet bagi kedua-dua temasya berkenaan.
"Secara keseluruhannya, pencapaian Kontinjen SUKMA Terengganu 2024 masih lagi boleh dibanggakan. Walaupun pencapaian kita ditangga kelima keseluruhan pada kali ini dengan memperolehi 41 Emas, 36 Perak dan 47 Gangsa dibelakang Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
"Pasukan Judo mendapat pingat emas terbanyak dengan kutipan enam emas, diikuti Berbasikal, Pencak Silat dan Memanah yang mendapat lima emas. Keempat-empat sukan ini kita menjadi juara keseluruhan.
"Sukan tempur pula terus menjadi penyumbang utama kepada kontinjen dengan kutipan keseluruhan adalah sebanyak 18 pingat Emas dan bagi sukan berpasukan, pencapaian pada SUKMA kali ini agak baik," jelasnya dalam ucapan perasmian yang disampaikan pada majlis penyampaian insentif kemenangan temasya sukan tersebut di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau menambah, kali ini buat pertama kalinya kontinjen Para SUKMA diberi penghargaan yang sama dengan atlet SUKMA.
"Pencapaian Para SUKMA adalah di tempat kesembilan daripada 15 penyertaan dengan kutipan 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa dan ia adalah pencapaian yang baik berbanding tempat ke 13 pada sukan PARA SUKMA 2022 yang lalu.
"Tahniah saya ucapkan," katanya.
Seramai 471 atlet menerima insentif berkenaan melibatkan 414 atlet SUKMA dan 57 atlet Para SUKMA.
Sukan berbasikal menerima insentif tertinggi iaitu sebanyak RM112,000 setelah meraih pencapaian lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.
19 Mar 25
1580
Keuntungan Syarikat Terengganu Disalur Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kerajaan Negeri Terengganu disalurkan terus kepada rakyat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan terutamanya menjelang Aidilfitri.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata usaha tersebut adalah bukti bahawa keuntungan yang diperoleh GLC negeri tidak hanya memberi manfaat kepada syarikat, tetapi turut dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan sumbangan.
"Inilah salah satu manfaat yang dapat dinikmati oleh masyarakat apabila sesebuah syarikat berjaya memperoleh keuntungan, dan kita boleh kembalikan semula dalam bentuk CSR.
"Semoga bantuan yang diberikan ini membawa sinar kegembiraan kepada anak-anak asnaf serta mereka yang memerlukan, sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam meraikan bulan yang penuh keberkatan ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Untuk rekod, antara bentuk bantuan yang diberikan termasuk sumbangan pakaian raya, baucar makanan, serta bantuan kewangan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim di seluruh negeri.
Tambah Ahmad Samsuri, inisiatif itu diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, selain mengeratkan hubungan antara GLC dengan masyarakat setempat.
19 Mar 25
3772
JHEAT Tahan Wanita Jual Makanan Kepada Individu Tidak Berpuasa
KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Ops Supik Hitam menahan seorang wanita selepas disyaki menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa di sebuah rumah di daerah Setiu, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, wanita berusia 48 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 tengah hari oleh sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Setiu dan ibu pejabat (JHEAT).
Katanya, wanita tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual dan membekal makanan kepada orang Islam di siang hari.
"Dia kemudiannya dilepaskan dengan bon jaminan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Setiu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, JHEAT dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan menjalankan tangkapan kepada individu yang terlibat dengan kesalahan jenayah syariah di negeri ini terutamanya melibatkan kesalahan tidak menghormati Ramadan.
"Bagaimana ada pihak yang sanggup bantu membantu dalam buat kemaksiatan dengan menjual kepada orang tidak berpuasa. Sepatutnya, kita jaga bulan yang mulia dengan ketaatan kepada Allah.
“Justeru, tindakan yang diambil JHEAT sebenarnya lebih kepada memberi keinsafan buat mereka (penjual) agar tidak mengulangi perkara sedemikian pada Ramadan akan datang,” ujarnya.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19 tidak menghormati Ramadan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
19 Mar 25
6753
Peranan Wanita Dalam Menyokong Golongan OKU
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Wanita memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan mesra orang kurang upaya (OKU), sama ada sebagai ibu, pendidik, pemimpin, atau penyokong utama dalam kehidupan seharian.
Atlet Parasukma Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed berkata, wanita, khususnya ibu kepada anak-anak OKU, bukan sahaja menjadi penjaga tetapi juga guru dan penghubung utama antara anak mereka dan dunia luar.
“Ramai ibu sanggup mengorbankan kerjaya demi memberi tumpuan penuh kepada anak-anak bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan serta perkembangan yang sepatutnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan wanita kepada OKU di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.
Selain itu, wanita juga sering menjadi penyokong utama kepada suami, anak, atau ahli keluarga yang menjadi OKU akibat kemalangan atau penyakit.
Katanya, golongan wanita berperanan sebagai motivator, membantu OKU menerima keadaan mereka dan meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna.
Dalam bidang profesional, ramai wanita terlibat sebagai pendidik, ahli terapi pertuturan, fisioterapi, dan aktivis hak OKU.
Tambahnya, mereka berjuang untuk memastikan golongan ini mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.
“Jika lebih ramai wanita berada dalam kepimpinan, lebih banyak dasar mesra OKU boleh diperjuangkan.
“Wanita mempunyai empati dan keprihatinan yang tinggi, menjadikan mereka pemimpin yang sesuai untuk membawa perubahan dalam dasar dan perundangan berkaitan OKU," ujarnya.
Selain itu, wanita juga semakin aktif dalam bidang keusahawanan sosial dengan membuka peluang pekerjaan kepada OKU.
"Usaha ini bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap keupayaan golongan ini.
"Sebagaimana kata pepatah, jika ingin berjalan jauh, berjalanlah bersama-sama," tambah beliau.
Justeru itu, katanya, dengan sokongan dan usaha kolektif, masyarakat yang lebih adil dan inklusif dapat direalisasikan.
19 Mar 25
53
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan Terengganu mengajak rakyatnya untuk sama-sama menghayati peristiwa penting Nuzul Al-Quran serta Badar Al-Kubra yang penuh bersejarah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bersempena dengan peristiwa agung itu maka diadakan Majlis Perasmian Nuzul al-Quran Peringkat negeri di Madinah Ramadan, semalam.
Ujarnya, tema Madinah Ramadan pada tahun ini amat bertepatan dengan kedua peristiwa besar tersebut iaitu 'Ramadan Bulan Kemenangan'.
"Maka hari ini teramat patut untuk setiap umat Islam mengingati peristiwa ini terutama apabila kita melihat apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam di serata dunia.
"Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, mereka diuji dengan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT," ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyempurnakan Majlis Perasmian Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia
Dalam pada itu, Muhammad Khalil turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri yang sebelumnya telah menyampaikan ceramah perdana bersempena sambutan Nuzul Al-Quran itu.
"Akhirnya, saya mendoakan agar seluruh rakyat Terengganu dikuniakan rahmat pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," ucap beliau.
18 Mar 25
275
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 1446H Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Menyambut keberangkatan tiba Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof.
Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai RM500 selain hamper barangan keperluan harian bernilai RM250.
Di samping itu, seramai 240 pelajar daripada keluarga miskin dari lapan buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai RM250 setiap seorang termasuk 30 pelajar bagi setiap dua buah madrasah atau pusat pengajian tinggi telah dipilih khas bagi menerima kurniaan yang sama.
Dalam masa sama, Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) turut memberi kurniaan kepada 300 fakir miskin wanita bagi persediaan menyambut Aidilfitri yang terdiri dari kalangan pengusaha dan penenun songket yang bernaung di bawahnya.
YDSM pada kali ini membelanjakan RM277,500 untuk meringankan beban golongan fakir dan pelajar miskin membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
17 Mar 25
1648
Terengganu Menuju Era Bandar Pintar & Ekonomi Digital
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Terengganu kini bersedia untuk melonjak sebagai pusat bandar pintar dan ekonomi digital, hasil daripada kerjasama strategik antara syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID) Corporation Sdn. Bhd. dan tiga syarikat teknologi terkemuka.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama dengan syarikat Kiwitech Sdn. Bhd., Digital Dagang Sdn. Bhd., serta Mieruka Sdn. Bhd. itu dijangka mempercepatkan transformasi bandar pintar, e-dagang, dan industri perkilangan digital negeri.
"Kiwitech komited untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pintar yang lebih selamat dan efisien.
"Dengan teknologi canggih, kita dapat membangunkan bandar yang lebih lestari dan mesra rakyat serta mengubah landskap pembangunan negeri.
"Kita mahu Terengganu menjadi contoh dalam penggunaan teknologi bandar pintar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandantangani perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Industri, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Husaimi Hussin, Pengarah Eksekutif TAJDID Corporation Sdn. Bhd.; Azih Yusof.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, inisiatif ekonomi digital terus diperluaskan melalui platform e-dagang Cartsini oleh Digital Dagang Sdn. Bhd. yang bakal membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran global.
"Platform e-dagang akan menjadi pemacu utama kepada usahawan digital negeri ini, kita mahu melihat lebih banyak produk tempatan menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.
“Kemajuan teknologi membuka pintu baharu kepada perniagaan kita, kita yakin, dengan sokongan penuh, PMKS Terengganu mampu bersaing di peringkat global," jelasnya.
Sementara itu dalam sektor perkilangan, Mieruka Sdn. Bhd. akan memperkenalkan teknologi perkilangan pintar yang bakal meningkatkan daya saing industri tempatan.
"Teknologi ini akan merevolusikan sektor perkilangan di Terengganu.
"Automasi dan digitalisasi industri akan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi, lebih banyak syarikat tempatan perlu mengadaptasi teknologi baharu untuk kekal relevan.
"Kita mahu melihat industri tempatan berkembang ke peringkat lebih tinggi dengan teknologi moden," ujarnya.
17 Mar 25
287
Pelita Raya: Terima Kasih Atas Teguran Rakyat
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menzahirkan rasa terima kasih atas teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat Terengganu berkaitan program Pelita Raya dan Pesta Moreh di negeri tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara.
"Pelita Raya, yang bertujuan untuk memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia, menerima aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini.
"Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat. Ini juga seiring dengan usaha kerajaan negeri yang sedang dalam proses menambah baik garis panduan kebudayaan dan hiburan.
"Bagi Pesta Moreh pula, kami menyedari peranannya dalam membantu ekonomi peniaga serta menambah pendapatan rakyat. Walau bagaimanapun, aduan mengenai lambakan lokasi moreh yang menimbulkan kegusaran sehingga ada yang merasakan Ramadan lebih dilihat sebagai pesta makanan berbanding pesta ibadah.
"Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik pengisian di kawasan moreh," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook miliknya, sebentar tadi.
Dr. Khalil menjelaskan, antara cadangan yang sedang diteliti adalah menambah slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh agar keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual dapat dicapai.
"Ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa lokasi moreh di Terengganu. Kami komited untuk memastikan setiap program yang dianjurkan sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi rakyat tetapi juga memperkukuh nilai-nilai Islam dalam masyarakat.
"Di kesempatan ini, saya mengajak seluruh rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan yang sedang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu.
"Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna buat semua. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan seluruh masyarakat," tambahnya.
17 Mar 25
178