Artikel "Utama" Terkini
Sidang DUN : Enam Projek 'Public Private Partnership' Lebih RM3.2 Bilion
Dr. Mamad ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu KasimTerdapat enam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu dengan konsep 'Public Private Partnership' (PPP) melibatkan kos lebih RM3.2 bilion, kata Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh. Menurut beliau, terdapat dua kaedah pembayaran bagi enam projek PPP tersebut iaitu pembayaran tertangguh dan kaedah bayaran berjadual yang bermula dari 2016 sehingga tahun 2032.Katanya, projek tersebut ialah Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dengan kos RM686.87 juta yang perlu dibayar dalam tempoh enam tahun, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (RM1.3 bilion dalam tempoh 13 tahun) dan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus bernilai RM600 juta dalam tempoh lapan tahun enam bulan.“Muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta dalam tempoh lima tahun), asrama atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.49 juta dalam tempoh lima tahun) dan pembangunan Bandar Baru Kijal fasa dua di Kemaman (RM250 juta dalam tempoh lima tahun)," katanya. Beliau yang juga ADUN Kuala Berang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) dalam persidangan DUN Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini. Dr Mamad berkata, bayaran pada 2016 dan 2017 berjumlah RM70 juta setahun manakala pada tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak RM101.2 juta.“Untuk 2019, kerajaan negeri perlu membayar RM290.8 juta, 2020 (RM348.1 juta), 2021 (RM382.2 juta), 2022 (RM371.4 juta), 2023 (RM339.6 juta), 2024 (RM248.1 juta).“Manakala tahun 2025 hingga 2031, jumlah perlu dibayar ialah RM761.6 juta dalam tempoh tujuh tahun dan bayaran terakhir pada 2032 ialah sebanyak RM45.3 juta," ujarnya menjawab soalan tambahan Hishamuddin berhubung jumlah bayaran yang perlu dibuat secara tahunan.Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan projek menggunakan konsep itu pada masa akan datang terutama yang melibatkan keperluan mendesak rakyat seperti menaiktaraf loji rawatan air."Bagaimanapun, sudah tentu kajian perlu dibuat mengenai kemampuan kewangan negeri agar kita tiada masalah dalam proses pembayaran semula seperti yang ditetapkan," katanya.
02 Jul 18
125
Sidang DUN : Kerajaan Negeri Nafi Hentikan Baucar Komputer Riba Pelajar
Satiful Bahari ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) dalam sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Fotro Oleh: Harish Fadzillah Abu KasimKerajaan negeri menafikan dakwaan pembatalan bantuan baucar RM500 kepada pelajar anak negeri yang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ke atas bagi tujuan pembelian komputer riba.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Yayasan Terengganu sehingga kini, meneruskan pemberian insentif itu seperti biasa. "Selepas ini kita akan maklumkan keputusan yang melibatkan pembelian komputer riba ini. "Kita tidak pernah sebut batal cuma kita buat berperingkat, kita selesaikan dahulu yang melibatkan pelajar yang masuk universiti," ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) dalam sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.Sementara itu, Satiful Bahari memberitahu, tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang mengharumkan nama Malaysia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Korea Selatan baru-baru ini akan menerima insentif daripada kerajaan negeri.Menurut beliau, insentif itu sebagai penghargaan atas kejayaan di luar kelaziman dan majlis penghargaan pada Khamis ini akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar."InsyaAllah pada hari sebelum mereka berangkat ke Rusia, kerajaan negeri juga akan memberikan insentif khas kepada mereka," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahmad Razif.Dalam pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Korea Selatan, pasukan SMK Kuala Besut yang diwakili Muhammad Syazwan Mat Sidik, Muhammad Anuar Abd. Ghani dan Safiyyah Muhammad Nasir berjaya menewaskan peserta dari negara maju antaranya Amerika Syarikat, Jepun dan tuan rumah, Korea Selatan.Pasukan berkenaan dijemput membentangkan projek kesedaran nuklear dalam Kongres Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom) di Saint Petersburg pada 27 dan 28 Ogos ini. Dalam perkembangan lain Satiful Bahari berkata, kerajaan negeri juga sudah membentuk kumpulan pemikir di samping mengenal pasti lokasi bersesuaian sebagai langkah kerajaan untuk mengembalikan institut pendidikan tinggi khusus untuk rakyat negeri ini seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) bagi memenuhi manifesto yang dijanjikan.
02 Jul 18
92
Sidang DUN: Cadang Bina Dungun Riverfront Esplanade
Ariffin ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Foto oleh: Harish Fadzillah Abu KasimKerajaan negeri bercadang membina Dungun Riverfront Esplanade dengan kos RM10 juta serta pembinaan jeti pelancongan ke Pulau Tenggol berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah membangunkan kemudahan pelancongan termasuk kos pembinaan jeti kira-kira RM2 juta serta beberapa kemudahan sokongan itu sebagai usaha memajukan kawasan pelancongan di pesisir Sungai Dungun.Menurut Ariffin, lokasi yang dikenalpasti akan dijadikan kawasan tarikan pelancongan ialah bermula daripada jeti LKIM sehingga ke Jambatan Lama Sungai Dungun.“Manakala panjang ke pantai pula untuk pembangunan kawasan tarikan pelancongan melibatkan kawasan sepanjang 5.76 kilometer bermula dari Kampung Tanah Lot ke Kampung Sura Hujung,"katanya.Beliau yang juga ADUN Alur Limbat berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Menjawab soalan tambahan mengenai antara bentuk projek yang akan dilaksanakan di kawasan itu, Ariffin berkata, bagi pembangunan di Sungai Dungun yang pertama sekali ialah menaik taraf tempat meletak kenderaan, arca, dataran, pondok rehat serta laluan pejalan kaki.“Kawasan memancing pula kita akan bangunkan termasuk jeti,tempat meletak kenderaan, restoran, pintu masuk, kawasan sukan dan riadah.“Bagi Rumah Api Teluk Bidara ianya akan dinaik taraf termasuk kawasan rekreasi, perabot taman, kawasan penginapan, arca dan kiosk,” ujarnya.
02 Jul 18
45
Titah Ucapan Sultan Terengganu Sempena Istiadat Pembukaan Persidangan DUN
Sultan Terengganu ketika bertitah pada Persidangan DUN. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail Assalamualaikum Warahmatullahi WabarakatuhYang BerhormatYang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,Yang BerhormatAhli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan rahmat-Nya dapat Beta dan Sultanah hadir untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Keempat Belas Tahun 2018 pada pagi yang bersejarah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Solallahu ’Alaihi Wasallam dan sekalian ahli keluarga, para sahabat serta seluruh umat Baginda. Alhamdulillah, Beta bersyukur kerana pilihanraya ke-14 telah berlangsung dengan aman dan selamat. Rakyat negeri ini telah melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan dalam memilih kerajaan untuk mentadbir Negeri Terengganu bagi penggal ke-14 ini. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi hasrat Beta agar kerajaan ini dapat merangka, merancang dan melaksanakan program-program meningkatkan tahap sosio-ekonomi dan kemakmuran negeri. Kerajaan baru juga diharap dapat meneruskan kesinambungan pentadbiran kerajaan terdahulu dengan penambahbaikan bagi memastikan matlamat untuk menzahirkan negeri maju dan berpendapatan tinggi dicapai selaras dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. Beta dimaklumkan kadar KDNK Negeri Terengganu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2017 berbanding 3.1 peratus pada tahun 2016. Peningkatan KDNK tersebut disokong oleh pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian. Peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi sektor perkhidmatan disumbangkan melalui peningkatan aktiviti perdagangan, borong dan peruncitan serta komunikasi dan perhotelan. Peningkatan sektor pembinaan pula disumbangkan oleh pertambahan pelaburan swasta dalam aktiviti projek perumahan dan perniagaan disamping perbelanjaan kerajaan dalam pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan 2 lorong dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Manakala peningkatan dalam sektor pertanian pula disumbangkan melalui aktiviti komiditi utama dalam perdagangan getah dan kelapa sawit. Beta berharap, dengan iltizam untuk terus maju dan perancangan pembangunan yang lebih jitu. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan utama dalam menarik pelaburan di sektor pembuatan dan perkilangan melalui pelaburan tempatan dan pelaburan langsung asing (FDI). Dengan ini adalah diharapkan senario ekonomi negeri akan terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi tahun-tahun hadapan. Beta berharap pentadbiran Kerajaan Negeri dapat memastikan pengurusan kewangan diuruskan secara berhemat dan perbelanjaan Negeri dipantau dengan teliti. Tumpuan hendaklah dijuruskan kepada program dan projek yang dapat mengatasi masalah rakyat dalam suasana ekonomi yang mencabar pada hari ini. Adalah besar harapan Beta agar anggaran hasil pada tahun 2018 sebanyak RM 1.815 billion dapat dicapai dan mampu urus dengan baik melalui perancangan belanjawan yang memberi impak positif kepada negeri dan rakyat. Keutamaan haruslah diberikan bagi merangka dan merancang program-program bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan seterusnya menyumbang kea rah kesejahteraan hidup rakyat Beta. Projek dan program yang memberi impak secara langsung kepada rakyat mestilah diteruskan dan ditambah baik setelah mengambil kira kemampuan kewangan negeri. Pada pandangan Beta, Kerajaan Negeri juga perlu memberi tumpuan dalam usaha merangka dan merancang program-program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan meningkatkan hasil pendapatan negeri, mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup, menambah peluang-peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran dan membina lebih banyak rumah kediaman terutama kepada golongan B40.Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta dimaklumkan Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Hasil Negeri bagi merancang langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan hasil negeri. Selain itu, ianya juga bagi mencari kaedah untuk mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada royalti minyak dan gas semata-mata kerana disebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia yang bermula pada tahun 2016, jumlah pendapatan hasil negeri telah berkurang sehingga sekitar 40 peratus setiap tahun. Oleh yang demikian, Beta berharap jawatankuasa tersebut membuat kajian dan mengambil langkah-langkah agresif dan inovatif dalam menambah dan meningkatkan kutipan hasil negeri seperti kajian kadar free urusniaga tanah, cukai galian dan batuan, caj air mentah dan caj khusus bagi penginapan di hotel. Jawatankuasa juga boleh mengkaji mekanisma yang telah digunapakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan di negeri ini mengikut kesesuaian ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemat. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga boleh mengeksploitasi keindahan semulajadi , pantai dan pulau seperti Setiu Wetland, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Tasik Kenyir bagi menarik pelancong asing dan tempatan bagi menggiatkan ekonomi setempat. Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) pada Mei 2017 bertujuan untuk memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Semenanjung Malaysia dapat dilindungi hak dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri. Beta berharap dengan penubuhan TPC, Kerajaan Negeri Terengganu dapat menggunakannya sebagai platform dalam menangani urusan yang berkaitan royalti dan tuntutan hak Telaga Minyak Bertam, menambah peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Beta dalam industri minyak dan gas. Adalah menjadi harapan Beta agar Kerajaan Negeri dapat merangka lebih banyak program dan aktiviti bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat disamping mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Beta percaya hubungan yang rapat di antara keduanya dapat mengukuhkan hubungan dua hala, seterusnya memberi banyak manfaat kepada Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan Terengganu. Beta difahamkan Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat miskin dan merancang untuk memperkenalkan Kad Sejahtera yang bernilai RM500 setahun bertujuan untuk memberi kemudahan rawatan di klinik-klinik swasta terpilih. Kerajaan juga telah menghidupkan semula perkhidmatan bas henti-henti menerusi perkhidmatan MyBas disamping beberapa inisiatif lain yang dirancang yang bertujuan bagi meringankan bebanan dalam menangani peningkatan kos sara hidup kepada rakyat terutama kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Alhamdulillah, mudah-mudahan nasib golongan ini terbela dan kita semua diberkati Allah Subhanahu Wata’ala. Beta amat bersyukur kerana MAIDAM juga memainkan peranan penting dalam menguruskan tanah-tanah wakaf dan agihan zakat bagi membantu rakyat miskin dalam menangani kos peningkatan sara hidup. Manfaat wakaf dan zakat ini kemudiannya dapat diagihkan kepada golongan asnaf melalui bantuan sara hidup, bantuan bulanan, bantuan bina/ baiki rumah, bantuan perubatan dan lain-lain. Justeru itu, Beta menyeru agar supaya semua pihak sama ada individu mahupun agensi termausk anak syarikat Kerajaan Negeri supaya dapat sama-sama menunaikan tanggungjawab kewajipan berzakat. Ini bagi memastikan asnaf di dalam Negeri Beta mendapat hak dan dijaga kemaslahatan melalui bantuan zakat. Kerajaan Negeri perlulah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat asing dan domestik dalam pelaburan yang berintensifkan modal dan berteknologi tinggi seperti bidang bioteknologi, petrokimia, perindustrian besi keluli serta silika dan pertanian bagi mewujuskan lebih banyak peluang pekrjaan kepada rakyat Beta. Untuk itu, Beta berharap Kerajaan Negeri dapat mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi di pelbagai sektor dengan memperkasa dan memperbanyakkan program latihan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa melalui institusi pendidkian dan latihan di bawah Kerajaan Negeri seperti Terengganu Advanced Technical Institute (TATI), Terengganu Timber Industry Training Centre(TTITC), Terengganu Skills Development Centre (TESDEC), dan Terengganu Safety Training Centre (TSTC). Disamping itu, Kerajaan Negeri juga perlu meningkatkan inisiatif kepada golongan belia untuk menceburi sektor pertanian seperti mengusahakan tanam Melon Manis Terengganu dan “Terengganu Golden Corn (TGC)” serta melibatkan diri dalam industry pengusahaan lebah madu secara komersial. Beta juga menyeru kepada rakyat Beta agar menceburi dan meneroka produk-produk pertanian baharu yang mempunyai potensi pada masa hadapan. Adalah amat baik Kerajaan mempelbagaikan usaha untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sektor yang diminati oleh golongan belia. Selain daripada itu, Beta melihat bahawa dunia keusahawanan moden mendapat permintaan yang semakin meningkat. Sejajar dengan Revolusi Industri 4.0, Beta menyeru kepada rakyat Beta agar meneroka bidang-bidang perniagaan baharu yang berpotensi untuk menjana pendapatan yang lumayan seperti jualan dan perkhidmatan online yang menjadi gaya hidup masa kini. Car boot sale dan food truck juga dilihat semakin popular dikalangan masyarakat.Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta juga berharap Kerajaan Negeri memberi penekanan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menyediakan lebih banyak projek-projek perumahan bagi memastikan setiap rakyat memiliki rumah sendiri. Beta merasa amat gembira kerana pelbagai usaha murni telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah melalui Program Perumahan Terengganuku Sayang (PPTS). Beta dimaklumkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM32 juta untuk membina atau membaikpulih rumah melalui program tersebut. Beta berasa amat sukacita kerana Kerajaan Negeri merancang untuk memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah membuat pinjaman perumahan. Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Projek Menaiktaraf Loji Air Rawatan Bukit Sah, Kemaman yang berkapasiti 225 juta liter sehari dan Projek Membina Loji Bekalan Air Kuala Terengganu Utara dengan kapasiti 120 juta liter sehari. Kedua-dua loji ini bertujuan untuk menampung keperluan bekalan air bagi kegunaan industri dan domestik di Daerah Kemaman dan Daerah Kuala Nerus. Projek ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Negeri Terengganu terutamanya dalam membekalkan air terawatt yang mencukupi serta meningkatkan tekanan air di beberapa kawasan yang terjejas sebelum ini. Dengan terlaksananya dua buah projek utama ini, permintaan bekalan air bersih di Negeri Terengganu akan terjamin sekurang-kurangnya sehingga ke tahun 2050. Di dalam apa jua keadaan, kesejahteraan rakyat adalah keutamaan. Justeru itu, Beta berharap Program Bandar Selamat termasuklah aktiviti meningkatkan keceriaan dan keindahan bandar-bandar diperluaskan ke seluruh kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Tiada yang lebih penting bagi sesebuah negeri melainkan diberitakan tentang kehidupan rakyat yang selesa dan sejahtera. Beta turut berbangga dengan pencapaian Pihak Berkuasa Tempatan di peringkat negeri dan nasional. Ini menunjukkan bahawa pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil bagi menyediakan kemudahan asas kepada rakyat. Beta juga berasa amat sukacita atas usaha Kerajaan Negeri yang tidak pernah jemu dalam memastikan syiar Islam sentiasa bersinar di bumi Darul Iman ini. Beta difahamkan pada tahun ini sebanyak 16 buah masjid baharu sedang dalam pembinaan manakala kos penyelenggaraan bagi masjid-masjid sedia ada turut diperuntukkan. Sebagai pusat pengembangan ilmu, Beta penuh yakin bahawa masjid mampu diperkasakan lagi fungsinya dengan lebih berkesan. Pengajian kelas-kelas bersiri melalui program Dai’e Muslim, Takmir, serta penceramah-penceramah jemputan adalah salah satu medium untuk melahirkan masyarakat Islam berilmu dalam melaksanakan amalan seharian mereka. Beta turut berbangga apabila system pengajaran dan pembelajaran, penyampaian khutbah serta hebah-hebahan menggunakan sepenuhnya teknologi dan multimedia yang dibekalkan kepada masjid. Dengan cara itu, ilmu dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tepat selari dengan peredaran dunia tanpa sempadan. Satu lagi platform ilmu yang melonjjakkan fungsi masjid adalah pengwujudan kelas-kelas Sijil Pengajian Islam Terengganu dalam bidang-bidang pengajian Tauhid, Feqah, Tasawuf dan yang berkaitan dengannya secara sistematik dan strategik m,engikut tempoh-tempoh pengajian yang telah ditetapkan. Inisiatif perlu sentiasa dikekalkan di Negeri Terengganu bagi memastikan masjid dan surau sebagai tempat yang paling relevan dalam penyatuan ummah. Semoga usaha-usaha yang dijalankan ini akan diberkati Allahu Subhanahu Wata’ala dan seterusnya mengekalkan Terengganu Darul Iman sehingga sebuah Negeri yang maju berteraskan Islam. Beta juga difahamkan Kerajaan Negeri telah menubuhkan Madrasah Moden bagi menampung ketidakmampuan sekolah-sekolah agama arus perdana dalam menyediakan peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang keagamaan. Beta dimaklumkan, pelajar-pelajar yang sedang menuntut ini telah pun mendapat kepercayaan masyarakat setempat untuk mengetuai majlis-majlis keagamaan seperti tahlil, marhabn, khatam Al-Quran, berzanji aqiqah dan lain-lain. Beta menaruh harapan yang tinggi kepada lepasan madrasah moden ini nanti agar menjadi golongan muda dan pelapis yang dapat memberi manfaat secara lebih berkesan kepada institusi masjid atau surau disamping menjadi tempat rujukan masyarakat setempat. Beta berbangga dengan usaha Kerajaan Negeri dalam meneruskan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan di Terengganu. Legasi kecemerlangan ini diteruskan melalui pencapaian cemerlang UPSR 2017 yang telah mencatatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan. Jumalh murid yang mendapat 6A ialah 560 orang berbanding tahun 2016 seramai 271 orang. Terengganu sekali lagi mencipta sejarahnya tersendiri melalui Keputusan SPM 2017 dengan Gred Purata Negeri 4.90. Beta juga maklum akan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri melalui pemberian Dana Bantuan Persekolahan, Saguhati Kecemerlangan dan Bantuan Persediaan Melanjutkan Pelajaran setiap tahun bagi meringankan beban para ibu bapa dari golongan berpendapatan rendah. Begitu juga langkah membangunkan I-Kelas dan Program Tuisyen Online diharap dapat memberi kemudahan kepada pelajar untuk mengulangkaji pelajaran tanpa had waktu dan tempat. Kerjasama erat daripada pelbagai jabatan, agensi negeri, Institusi Pengajian Tinggi Awam Dan Swasta serta lain-lain amat penting bagi memastikan agenda kecemerlangan tercapai. Semoga lebih banyak lagi program-program sedemikian dapat dirancang agar generasi masa depan menjadi insan cemerlang duniawi dan ukhrawi. Mereka telah dinobatkan sebagai Juara Program Pembangunan Sumber manusia untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Gyeongju, Korea Selatan pada 29 Mei 2018 yang lalu. Lebih membanggakan apabila pasukan ini telah Berjaya menewaskan 520 murid mewakili 188 pasukan dari 30 negara termasuk Negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan. Tahniah dan syabas Beta ucapkan kepada para pelajar dan guru-guru yang terlibat. Beta menyeru kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi dan badan berkanun dipereratkan lagi, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara. Beta berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat tanpa mengira fahaman politik akan bekerjasama dan bersatu hati dalam memajukan Negeri yang tercinta ke arah Terengganu Maju dalam segala bidang serta diberi keberkatan agar rakyat hidup sejahtera. Beta juga menyeru agar semua anggota perkghidmatan awam agar senantiasa berpegang teguh dengan Piagam Perkhidmatan Awam dan melakasanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, berintegriti, neutral dan bersikap professional dalam segala tindakan. Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar sentiasa memberi rahmat dan hidayah-Nya kepada rakyat dan Kerajaan Beta di bawah pimpinan Memanda Menteri Besar, Doktor Ahmad Samuri bin Mokhtar. Beta juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan yang telah memberi perkhidmatan cemerlang dalam menegakkan Amar Ma’aruf Nahi Munkar, bagi menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Beta. Semoga semua usaha murni ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Keempat Belas Tahun 2018.Selamat Bersidang,Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
01 Jul 18
235
Sultan Mizan Sempurnakan Istiadat Pembukaan DUN Ke-14
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail dan Abu Ubaidah Mohd NoorSultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Muaáz.Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’A. Rahman Yahya, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.Ketibaan baginda disambut dengan kawalan kehormatan mempersembahkan `Hormat DiRaja’, diikuti lagu Selamat Sultan serta pengibaran Bendera DiRaja.Sultan Mizan kemudiannya memberi perkenan kepada ketua kawalan kehormatan untuk berangkat memeriksa barisan kawalan kehormatan diiringi Ketua Barisan Kehormatan dan Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail.Serentak dengan itu juga, barisan kawalan kehormatan mempersembahkan `Hormat DiRaja’ dan lagu Selamat Sultan.Sejurus kemudian, baginda berangkat masuk ke Majlis Dewan Undangan Negeri dan berkenan menyampaikan Titah Ucapan sebelum istiadat berakhir kira-kira sejam kemudian.
01 Jul 18
715
Mohd Soud Mulakan Tugas Pengarah UPDI
Oleh : Abu Ubaidah Mohd NoorBekas Timbalan Pengarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI), Ustaz Mohd Soud Said@Mat Ali, 47, dilantik sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) (sebelum ini Unit Komunikasi Negeri Terengganu) berkuatkuasa hari ini.Beliau yang juga bekas guru di Maahad Darul Quran, Rusila turut aktif dalam kegiatan kemasyarakatan termasuk dilantik sebagai Pengerusi Batu Buruk Care dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu,Berasal dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Mohd Soud yang berpendidikan agama dari Maahad Darul Quran, Rusila juga pemilik Ijazah Pertama Usuluddin Jabatan Tafsir dari Universiti Al-Azhar, Mesir (1996).Dalam pada itu, beliau amat berterima kasih kepada pentadbiran negeri yang memberi kepercayaan untuk beliau menerajui UPDI serta bersedia memikulnya selaras dengan kehendak pucuk pimpinan.Pemegang Sarjana (Sejarah & Tamadun Islam) dari Universiti Malaya (2000) itu juga mahu memastikan UPDI selaku komponen penting di bawah Pejabat Menteri Besar dapat membantu menterjemahkan hasrat pentadbiran negeri menerusi slogan 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera' supaya mampu difahami serta dihayati oleh rakyat sedalam-dalamnya."Saya dan semua pegawai di UPDI berhasrat untuk memperkasakan dan menambah nilai setiap inisiatif serta agenda pembangunan kerajaan menerusi medium komunikasi seperti media cetak, elektronik selain media sosial masa kini supaya 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’ dapat diterjemahkan,"katanya lagi.Menurutnya lagi, UPDI bermatlamat menjadi sebuah agensi kerajaan yang benar-benar berkesan dalam menyebarkan maklumat dan penghubung antara kerajaan dengan rakyat selaras slogan yang diuar-uarkan itu.
01 Jul 18
420
Yahaya Akui Gementar Galas Tanggungjawab Speaker DUN
Yahaya ketika mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri. Foto Tengku Syamim Tengku IsmailYang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali mengakui gementar menggalas tanggungjawab baharu itu, walaupun sebelum ini pernah menjawat Exco Kerajaan Negeri sewaktu pentadbiran PAS (1999 -2004).Menurutnya, kelebihan terlibat dalam pelbagai program dan memegang jawatan utama dalam PAS negeri serta Pusat memberinya pengalaman sekali gus mampu mengurangkan rasa gementar bagi mengendalikan persidangan DUN yang akan bermula esok. “Saya seboleh-bolehnya mahu melihat perjalanan Persidangan Dewan Undangan Terengganu yang akan dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin esok berlangsung secara tenang.“InshaAllah dengan izin Allah, saya akan melakukan tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini secara professional,” katanya kepada pemberita selepas Majlis mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Yang Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Yahaya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu juga berharap semua ADUN termasuk pihak pembangkang memberi kerjasama yang baik dan memainkan peranan yang cukup penting sebagai ahli dewan negeri.“Ada beberapa perkara yang mahu ditekankan antara mahu melihat ADUN yang berwibawa, berpengetahuan luas, membuat kajian secara teratur berhubung perkara yang mahu dibangkitkan. Saya juga mahu melihat ADUN dapat memainkan peranan dengan seimbang (semak dan seimbang) serta berkesan,”katanya.
30 Jun 18
78
Yahaya Speaker DUN Terengganu
Yahaya mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Yang Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Yahaya Ali mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Yang Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Yahaya, 60, Yang Dipertua PAS Marang dan bekas ADUN Alur Limbat (1999-2004) mengangkat sumpah jawatan itu, kira-kira jam 9.40 pagi.Pemilihan Yahaya sebagai Yang Dipertua DUN baharu dicadangkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.Jawatan Yang Dipertua DUN Terengganu pada penggal lalu dipegang oleh Dato' Mohd Zubir Embong.Selepas pelantikan itu, semua 32 ADUN didahului ADUN Rhu Rendang yang juga Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar termasuk 10 wakil pembangkang mengangkat sumpah ADUN.Yahaya yang menetap di Kampung Gelugor Kedai pemegang Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat.
30 Jun 18
659
Pelawa Orang Bukan Islam Sertai Perkahwinan Perdana
Ahmad Samsuri menyampaikan Sijil Simpanan Premium kepada pasangan pengantin. Foto Harish Fadzillah KasimKerajaan negeri mempelawa pasangan bukan Islam dan Orang Asli di Terengganu menyertai Perkahwinan Perdana bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan antara pelbagai kaum.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata program yang diperkenalkan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu tidak menetapkan syarat hanya dibuka kepada pasangan Melayu sebaliknya turut dibuka kepada pelbagai kaum.Katanya, pelbagai manfaat diperoleh sekiranya terpilih menyertai program itu, antaranya menerima Sijil Simpanan Premium RM 1,000, pakej bulan madu, skim pinjaman perniagaan RM20,000 dan berpeluang memiliki rumah dalam tempoh 5 tahun perkahwinan."Pada pgram kali ini, sejumlah RM975,000 diperuntukan bagi membiayai 183 pasangan di seluruh Terengganu." Program sama akan diteruskan pada November ini, jumlah pasangan masih dalam perbincangan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walimatulurus Perdana 2018 di Stadium Tertutup, Kuala Nerus, hari ini.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, A Rahman Yahya dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.Sementara itu, Mohd Shafarudfin berkata, maklum balas yang diterima sangat positif kerana program itu dapat mempercepatkan proses pernikahan bakal pengantin yang berpendapatan bawah RM3,000 dan mengurangkan beban kewangan keluarga untuk mengadakan kenduri.Katanya syarat untuk program tahun ini juga sama seperti tahun lalu antaranya pasangan atau seorang daripada mereka adalah anak Terengganu dan perkahwinan itu adalah kali pertama."Pasangan juga tiada rekod jenayah dan tiada masalah kesihatan yang kritikal seperti HIV, AIDS atau penyakit kelamin yang boleh mendatangkan masalah kepada pasangan, " katanya.
30 Jun 18
52
Sultan Mizan Imarah Masjid Bukit Payung
Sultan Mizan berkenan menyampaikan duit raya dan bersalaman dengan jemaah kanak-kanan sejurus selesai menunaikan solat Jumaat. Foto oleh Abu Ubaidah Mohd NoorSultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Besar Bukit Payung, Marang, semalam.Baginda yang diiringi anakanda, Tengku Muhammad Mua'az disambut Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama sekitar 500 rakyat di qariah itu.Baginda turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir selepas solat.Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri. (ADUN) Bukit Payung, Mohd Noor Hamzah, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah, Mat Azmi Arshad.
29 Jun 18
113