lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Surau Bujal Akhirnya Terima Bekalan Elektrik TNB Setelah 20 Tahun Menanti
Surau Bujal Akhirnya Terima Bekalan Elektrik TNB Setelah 20 Tahun Menanti
KEMAMAN, 26 Mac – Selepas 20 tahun menanti, Surau Bujal, yang dahulunya sebuah masjid, akhirnya menerima bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata sebelum ini surau tersebut hanya bergantung kepada sumber elektrik sementara yang dibekalkan oleh kontraktor.  “Proses permohonan meter TNB telah mengalami kelewatan akibat beberapa masalah teknikal, namun kini isu tersebut telah diselesaikan,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Asnaf TNB Berhad bertempat di Surau Bujal, Kampung Payoh di sini semalam. Turut hadir Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor. Razali berkata, dalam pertemuan bersama wakil TNB, beliau mencadangkan agar bekalan elektrik tidak hanya diberikan kepada surau, tetapi juga kepada seluruh kediaman di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal. “Ketika ini, bekalan elektrik sudah tersedia, namun kapasitinya masih belum mencukupi untuk menampung pertambahan kediaman di kawasan tersebut. “Bagi mengatasi masalah ini, sebuah sub stesen TNB baharu akan dibina dalam masa terdekat bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan mencukupi untuk keperluan penduduk di RTB Bujal," ujarnya.  
26 Mar 25
426
'Buskers' Lega Terima Bantuan Kerajaan Terengganu, Sokong Usaha Tambah Baik
'Buskers' Lega Terima Bantuan Kerajaan Terengganu, Sokong Usaha Tambah Baik
KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Persatuan Buskers Terengganu berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan kepada penghibur jalanan yang terjejas dengan larangan aktiviti 'busking' sepanjang 10 malam terakhir Ramadan. Dalam pertemuan bersama kerajaan Terengganu diwakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah itu, bantuan berjumlah RM600 disampaikan kepada sekitar 30 'buskers' yang hadir. Setiausaha agung persatuan, Mohd Fazli A Rahman berkata, insentif 'one-off ' berkenaan amat dihargai kerana dapat membantu mengurangkan beban mereka terutama bagi yang melakukan aktiviti 'busking' secara sepenuh masa. "Kami semua bersyukur kepada kerajaan negeri kerana telah memberi bantuan untuk menampung perbelanjaan kita yang tidak lagi boleh 'busking' (pada bulan Ramadan). "Ada beberapa perkara yang kita beritahu kepada Yang Berhormat (YB) exco supaya jangan pukul rata dalam isu-isu berkaitan serta tidak bertindak secara drastik pada masa akan datang supaya kita boleh atur untuk buat benda lain selain 'busking'. "Kita juga akan menyokong penuh apa yang akan dibuat kerajaan negeri, cuma kita akan lihat apa yang ingin dibuat menerusi sesi libat urus yang dicadangkan selepas ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas pertemuan di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, komunikasi dua hala antara persatuan dan kerajaan negeri akan terus dijalinkan selepas ini dalam penambahbaikan aktiviti 'busking'. "Bagi kita juga, untuk 'buskers' di negeri Terengganu kami tidak memaksa mereka untuk sertai persatuan, tetapi kami berikan kelonggaran jika rasa ada sesuatu yang kita (persatuan) boleh bantu, sertailah kami. "Kita tidak mahu situasi ini berulang. Apa yang berlaku sekarang ini, memang mereka yang tidak bernaung di bawah kita yang menjadi (punca) masalahnya. Ini kerana, kekurangan informasi, apa-apa maklumat dia tidak terima. Sedangkan, kita sesama ahli sering berhubung dalam menyediakan tema, genre lagu ketika bulan Ramadan atau pada hari biasa, ada tema yang kita tetapkan kepada ahli kita.  "Jadi yang bukan ahli ini dari segi penerimaan itu agak kurang," katanya.  
26 Mar 25
1390
LAUT Beri Diskaun 50 Peratus Kepada Pemegang Lesen Rumah Bot
LAUT Beri Diskaun 50 Peratus Kepada Pemegang Lesen Rumah Bot
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Negeri melalui Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) bersetuju memberikan potongan sebanyak RM500 daripada harga baharu RM1,000 setahun kepada pemegang lesen rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berkuat kuasa pada 6 Mac lalu. Pengarah Laut, Safura Mad Juhari berkata, harga baharu lesen sebanyak RM1,000 itu ditetapkan setelah Peraturan-Peraturan Sumber Air Terengganu (Caj Pendaftaran Vesel) 2025 diwartakan bagi menggantikan Enakmen Lalulintas 1988. Menurutnya, pewartaan peraturan baharu itu  bertujuan mengawal selia aktiviti navigasi di sumber air dalam negeri Terengganu. “Pembayaran caj ini diharap dapat mencerminkan komitmen dan kesepaduan pemegang taruh dalam mengurangkan risiko kepada sumber air seperti risiko pencemaran, pengurusan sampah pepejal yang kurang efisien, hakisan tebing dan lain-lain. “Antara kawasan tumpuan bagi navigasi di sumber air adalah di Tasik Kenyir, yang merupakan sumber bekalan air utama bagi lima buah daerah di negeri ini, selain kawasan penjanaan kuasa hidroelektrik, dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Kelas 1,”ujar kenyataan itu. Tambahnya, pendekatan itu dirangka melalui beberapa Sesi Libat Urus (SLU) bersama pelbagai pihak berkepentingan sejak tahun 2023 termasuk pengusaha bot, nelayan, NGO, agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan.  Jelas beliau lagi, hasil kutipan caj pendaftaran vesel akan disalurkan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur seperti kemudahan pembuangan sisa dan pemantauan kualiti air, tetapi juga kepada kajian had keupayaan penerimaan beban pencemar di Tasik Kenyir. “Keseluruhan usaha ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kelestarian sumber air dan keseimbangan antara keperluan ekonomi, rekreasi, serta pemeliharaan alam sekitar.  “la juga menekankan tanggungjawab kolektif dalam memastikan pengurusan sumber air yang mampan demi manfaat masyarakat dan alam sekitar secara berterusan,” katanya.
26 Mar 25
175
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU,26 Mac - Pendidikan adalah kunci keluar dari kepompong kemiskinan dan inilah matlamat utama ‘Program Tunas Scholar’ yang diperkenalkan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIKT). Program yang menyediakan tajaan penuh dalam bidang kejururawatan kepada anak-anak asnaf ini bukan sekadar membuka peluang akademik, tetapi juga menjanjikan masa depan yang lebih cerah dengan jaminan kerjaya. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, berkata program dilaksanakan memberi peluang kepada anak-anak asnaf untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan serta menjamin mereka pekerjaan di rangkaian hospital KMI Healthcare. "Kami bukan sekadar menyalurkan zakat dalam bentuk bantuan kewangan, tetapi juga memastikan asnaf mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih cerah.  "Sejak dilancarkan, program ini telah menaja seramai 20 pelajar dengan kos pembelajaran sekitar RM65,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad; Najman Kamaruddin. Beliau menegaskan bahawa program itu bukan hanya satu sumbangan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang lebih berdikari dan berdaya saing.  "Kami berharap lebih ramai dapat menyertai dan menerima manfaat program ini.  "Ini adalah komitmen kami dalam memastikan masyarakat setempat terus dibantu dan dibangunkan," tambahnya. Sementara itu, KMIKT dan TDM Berhad sebelum ini turut menyantuni 150 asnaf menerusi program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu. 
26 Mar 25
138
Sidang Meja Bulat ADUN Belia Platform Pemantapan Kepimpinan Muda
Sidang Meja Bulat ADUN Belia Platform Pemantapan Kepimpinan Muda
KEMAMAN, 26 Mac – Sidang Meja Bulat ADUN Belia yang berlangsung di Safina Resort, Kijal menjadi platform penting dalam memantapkan kepimpinan muda serta memberi ruang kepada belia untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa.   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Kijal, Khairul Anas Harun berkata, sidang itu bukan sahaja memperkasakan daya fikir generasi muda, malah membuka peluang kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan komuniti setempat.   "Perbincangan yang diadakan membolehkan para belia mengutarakan idea serta cadangan demi kemajuan daerah Kemaman masing-masing. "Khususnya dalam aspek pembangunan belia dan kepimpinan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan. Turut hadir, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris yang menyempurnakan perasmian serta penggulungan program berkenaan. Sebanyak tiga ahli panel yang terdiri dari ADUN Kijal, Chukai dan Kemasik iaitu Khairul Anas Harun, Aina Adam, dan Muhammad Fakhruddin Nordin. Razali berkata beliau menyokong inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang berkualiti. "Semoga program ini dapat diteruskan lagi di setiap daerah supaya anak muda lebih berani kehadapan untuk menyuarakan pandangan dan idea mereka," ujarnya.  
26 Mar 25
110
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Seramai 287 pelajar tingkatan enam dari daerah Kemaman dan Dungun menerima bantuan pendidikan sebanyak RM500 setiap orang daripada Yayasan Terengganu dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun. Seramai 189 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Kemaman serta 98 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Dungun telah menerima bantuan tersebut, semalam.  Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM688,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu bagi membantu seramai 1,376 pelajar STPM di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan terus komited dalam menyediakan insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang.  "Selain bantuan pendidikan, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5 juta setahun sejak tahun 2018 bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak.  "Peruntukan ini telah meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20 juta sehingga kini. "Kita juga memberi keutamaan bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kepada latar belakang pelajar. Pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, terutamanya dalam kategori B40, akan diberikan perhatian khas dalam pemilihan penerima bantuan ini," ujar beliau. Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM500,000 kepada RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 juta setahun. "Kerajaan negeri turut menyediakan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi membantu pelajar yang tidak mendapat pinjaman daripada sumber lain. "Ini kerana, kadang-kadang jika tidak lulus permohonan PTPTN, maka pelajar boleh membuat permohonan pinjaman dengan kerajaan negeri. "Jadi kita berharap pelajar-pelajar kita akan terus berusaha untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Dalam pada itu, pelajar yang telah menerima bantuan ini turut berkongsi rasa syukur dan kegembiraan mereka. Nur Alia Syuhadah Ghazali, 18, dari Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah berkata dia sangat bersyukur kerana wang ini dapat digunakan untuk menyimpan bagi kegunaan ketika memasuki universiti nanti.  Menurut Syuhadah, bantuan ini amat membantunya kerana banyak wang telah digunakan untuk persiapan SPM sebelum ini. Leong Weng Hei, 181, dari Sekolah Menengah Sultan Ismail turut menyatakan kegembiraannya menerima bantuan ini.  "Bantuan ini sangat membantu saya untuk membeli keperluan ketika melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," ucapnya. Sementara itu, Nur Maisarah Amran dari SMK Sultan Omar berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang TESL di Universiti Sains Malaysia (USM).  "Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri. Ia dapat membantu saya menampung kos pengajian kelak," katanya. Bantuan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelajar di Terengganu sentiasa mendapat sokongan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.  
26 Mar 25
144
Pavilion Tourism Terengganu Dianugerah Premier Marine Heritage Destination Award
Pavilion Tourism Terengganu Dianugerah Premier Marine Heritage Destination Award
KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Pavilion Tourism Terengganu telah dianugerahkan Premier Marine Heritage Destination Award pada penganjuran Diving, Resort and Travel (DRT) SHOW Shanghai 2025 sekali gus mengukuhkan status Terengganu sebagai destinasi selaman unggul di rantau ini. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, kejayaan penyertaan pertama kali itu membuktikan Terengganu mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan marin pilihan. "Kami amat berbangga dengan sambutan luar biasa yang diterima di DRT SHOW Shanghai 2025. Penyertaan ini membuka mata banyak pihak terhadap keunikan dan keindahan marin Terengganu.  “Kami yakin ini akan meningkatkan kedatangan pelancong antarabangsa serta memperkukuh hubungan dengan pemain industri global dan optimis bahawa inisiatif ini akan meningkatkan kehadiran pelancong dan menggalakkan lebih banyak kerjasama industri,” ujarnya dalam satu kenyataan. Malah katanya, kehadiran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin secara langsung memberi sokongan moral yang tinggi serta semangat kepada jabatan dan penggiat untuk lebih berusaha mencipta nama Terengganu di peringkat antarabangsa.   DRT SHOW Shanghai 2025 iaitu pameran penyelaman dan pelancongan marin terbesar di Asia Pasifik telah berlangsung dari 21 hingga 23 Mac lalu di Shanghai World Expo Exhibition & Convention Center. Pada pameran tersebut, Terengganu diwakili tujuh penggiat pelancongan yang terdiri daripada hotel serta operator selaman (Coral Redang, Laguna Redang, Tenggol Coral, Summerbay Resort, Nemo Divers, Che Wan Scuba dan NAADHI (Liveaboard) yang diketuai pengarah JPNT. Pavilion Terengganu menawarkan keunikan 128 lokasi selaman terbaik di Terengganu, mempromosi Beautiful Terengganu Malaysia, serta pengenalan Sultan Mizan Underwater Photography Award menjad fokus untuk menarik minat pengunjung, termasuk agensi pelancongan China, jurufoto bawah air profesional, serta penyelam antarabangsa.  
26 Mar 25
1269
Dugaan Ramadan, Mangsa Rumah Terbakar Sebak Anak-Anak Dapat Baju Raya
Dugaan Ramadan, Mangsa Rumah Terbakar Sebak Anak-Anak Dapat Baju Raya
HULU TERENGGANU, 26 Mac – Seorang ibu tunggal yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran baru-baru ini terharu selepas dibawa membeli pakaian raya di sebuah pasar raya oleh Exco Kerajaan Negeri. Zuraidah Muhammad, 40, yang menetap di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong bersama empat anaknya, tidak dapat menahan sebak apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, yang sebelum itu turun padang melihat sendiri kemusnahan rumahnya akibat kebakaran. “Selepas rumah kami musnah dalam kebakaran isnin lalu, saya buntu memikirkan bagaimana mahu menyediakan kelengkapan raya buat anak-anak. "Sumbangan ini amat bermakna buat kami sekeluarga,” kata Zuraidah dengan nada sebak. Menurut Maliaman, bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif beliau untuk membantu keluarga yang ditimpa musibah, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri yang bakal tiba. “Kami prihatin dengan nasib yang menimpa Puan Zuraidah dan anak-anaknya. "Selain membawa mereka membeli pakaian raya, kami juga sedang mengusahakan bantuan rumah sementara serta keperluan lain untuk memastikan mereka dapat menyambut Syawal dengan lebih selesa,” katanya. Dalam kejadian kebakaran yang berlaku Isnin lalu, rumah Zuraida hangus dijilat api dipercayai akibat litar pintas. Walaupun tidak mengalami kecederaan, beliau dan anak-anaknya kini menumpang di ibunya sementara menunggu bantuan perumahan daripada pihak berkuasa. Turut hadir dalam sesi membeli baju raya Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Telemong, Zawawi Ismail dan Pengerusi NGO SCM Hulu Terengganu, Safari Abu. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Zuraida dan keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Khidmat Adun Telemong.
26 Mar 25
364
Iftar Perdana DUN Kijal Himpun Ribuan Penduduk
Iftar Perdana DUN Kijal Himpun Ribuan Penduduk
KEMAMAN, 26 Mac – Majlis Iftar Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal mencatat kehadiran hampir 3,000 orang apabila diadakan secara berperingkat di empat zon berbeza.   Pengarah program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata penganjuran di empat lokasi utama bertujuan memastikan keselesaan dan penyertaan lebih meluas dalam kalangan penduduk.   “Iftar Perdana bermula di Masjid Titian Berayun dengan kehadiran sekitar 700 orang, diikuti Masjid Kampung Ibok yang mencatat jumlah tertinggi seramai 900 orang.   "Seterusnya, Masjid Bukit Kuang menerima 700 orang, manakala Masjid Seri Bandi merekodkan 500 orang yang turut serta dalam majlis berbuka puasa ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Perdana bertempat di Masjid Seri Bandi semalam. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program yang bukan sahaja mengeratkan hubungan penduduk, tetapi juga menyemarakkan semangat perpaduan.   “Alhamdulillah, kita telah menyempurnakan Iftar Perdana di keempat-empat zon seperti dirancang.   "Sambutan yang diterima amat menggalakkan, membuktikan semangat kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat Kijal masih utuh.   "Insya-Allah, kita akan meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang," katanya.  
25 Mar 25
54
Ibu Tunggal Hiba Lihat Rumah Hangus Sebelum 1 Syawal
Ibu Tunggal Hiba Lihat Rumah Hangus Sebelum 1 Syawal
HULU TERENGGANU, 26 Mac - "Saya kena kuat dan reda dengan ketentuan Illahi walaupun rumah dan barangan kelengkapan persiapan Aidilfitri musnah terbakar," kata tukang jahit, Zuraidah Muhammad, 40, dari Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, dekat sini, selepas rumahnya musnah terbakar dalam kejadian malam tadi. Lebih menyedihkan, lebih 200 helai pakaian pelanggan turut musnah tanpa dapat diselamatkan. Menurutnya, dia berhasrat untuk memasuki rumah yang terbakar bagi menyelamatkan pakaian tersebut, namun usahanya dihalang oleh jirannya, Norsiah Sharif, 40, yang tinggal berhadapan rumahnya. "Ada pakaian yang baru siap dijahit dan ada juga yang sedang dibaiki. Saya hanya menyedari kebakaran setelah pulang dari rumah jiran untuk mengambil pakaian yang perlu dibaiki. "Setibanya di perkarangan rumah, saya melihat api sudah marak dan terus menjerit meminta pertolongan. Saya cuba untuk menyelamatkan pakaian pelanggan, tetapi jiran segera menarik saya ke kawasan rumahnya," katanya. Sementara itu, anaknya, Muhammad Muqri Mat Rahim, 15, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.25 malam ketika dia sedang menonton televisyen manakala adiknya, Muhammad Aiman Hakimi, 12, berada di dapur. "Dua adik lain, Muhammad Amiruddin Harullah, 9, dan Zara Delisha, 5, berada di luar rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi dari bilik ibu dan api terus marak sebelum beberapa letupan kedengaran. "Saya segera menjerit meminta Muhammad Aiman keluar dari rumah, dan ketika itu ibu tiba di tempat kejadian," katanya. Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, PBK 1 Mohd. Zaharim Yusof, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian sekitar jam 8.30 malam. "Seramai 14 anggota, termasuk bantuan dari BBP Wakaf Tapai, Marang, telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separa kekal yang didiami lima sekeluarga. "Kejadian ini menyebabkan rumah tersebut musnah sepenuhnya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi.  
25 Mar 25
126