Artikel "Utama" Terkini
Lemang Kijal Laris Setiap Kali Menjelang Aidilfitri
KEMAMAN, 30 Mac – Setiap kali menjelang Aidilfitri, Lemang Kijal terus menjadi pilihan utama pencinta makanan tradisional.
Salah satu gerai yang terkenal dengan keenakan Lemang Kijal ialah Lemang Warisan Adik Beradik, yang diusahakan oleh Zainab Yahya, 67, di Kampung Kijal.
Zainab yang telah berniaga selama 32 tahun terus mengekalkan resipi turun-temurun yang menjadikan lemangnya digemari ramai.
katanya, permintaan terhadap lemangnya meningkat setiap kali musim perayaan, dengan pelanggan membanjiri gerainya setiap hari.
“Biasanya menjelang hari raya, saya menerima antara 30 hingga 70 pelanggan sehari.
"Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk membeli lemang kami,” katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal semalam.
Tambah Zainab, Istana Negara turut membuat tempahan sebanyak 500 batang lemang pada musim perayaan ini.
"Ini satu penghormatan besar buat kami dan membuktikan kualiti lemang yang kami hasilkan.
"Selain pelanggan tempatan, ramai perantau yang pulang bercuti turut singgah ke gerai kami untuk membeli lemang dan menikmati rasa Lemang Kijal," katanya.
Zainab menambah, bagi mereka yang ingin merasai sendiri keenakan Lemang Kijal, boleh berkunjung ke gerai Lemang Warisan Adik Beradik di Kampung Kijal sepanjang bulan Ramadan dan hari-hari biasa
30 Mar 25
177
Lemang Popular Kini Boleh Didapati Di R&R Kijal
KEMAMAN, 29 Mac - Lemang kijal yang popular dan laris setiap kali menjelang perayaan kini berpeluang untuk dirasai oleh semua pelancong serta pengunjung yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) apabila ia dijual di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kijal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, semalam menjadi sejarah baru apabila lapan pengusaha telah mula menjual lemang di kawasan rehat itu.
Katanya, kedua-dua arah Timur dan Barat ada dijual lemang popular itu sekali gus ia memudahkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan Lemang Kijal.
"Jadi, hari ini (semalam) merupakan hari pertama dan ia menjadi satu sejarah apabila lemang yang begitu terkenal di Kijal, sebut Kijal sahaja maka lemang mesti nombor satu yang menjadi tumpuan.
"Saya dapat lihat pengunjung dah mula mengetahui lemang dah mula dijual di lebuhraya, maka orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Kampung Darat Kijal untuk membeli lemang dan ini merupakan satu kejayaan kepada kita (kerajaan negeri) dan juga pengusaha,"jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan perasmian Kiosk Lemang Kijal di R&R, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihaknya telah berkerjasama dengan Pengerusia Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman dalam usaha membawa lemang yang sinonim dengan Kijal itu dapat dijual di Lebuhraya Pantai Timur.
"Pihak DUN kijal telah menyumbang kiosk dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyumbang pemanas bagi memastikan orang ramai akan dapat merasai lemang sepertimana di Kampung Darat, kerana ia tidak boleh dibakar di sini tetap kena bakar di kampung.
"Tetapi dimasak dan dibakar di Kampung Darat dan dibawa ke sini menggunakan pemanas yang disumbang oleh YPU.
"Dengan usaha yang kita jalankan ini secara tidak langsung kita telah mengembangkan lagi lemang ini ke peringkat antarabangsa jadi beberapa perkara telah disampaikan kepada pengusaha supaya menjaga kualiti supaya keaslian lemang itu terpelihara serta perlu menggandakan usaha menjaga kebersihan," ujarnya.
29 Mar 25
247
TDM Santuni 200 Asnaf DUN Bukit Besi
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) menyantuni 200 orang asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat DUN Bukit Besi di Dewan Sivik Jerangau Sungai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM telah memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk agihan kepada 200 asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melalui kerjasama strategik antara TDM dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi.
"Program ini adalah manifestasi hasrat kami untuk bersama-sama membangunkan komuniti, khususnya di Bukit Besi, ke arah masa depan yang lebih berkat.
"Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan dan impak positif yang dapat kami kongsi kepada masyarakat," katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi; Ghazali Sulaiman, Pegawai MAIDAM Daerah Zon Selatan; Hamidah Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd; Hamdan Ibrahim.
Tambah beliau, program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan.
"Sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan pembangunan mampan, inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
"Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Mampan, yang bertujuan memastikan kawasan penempatan dan komuniti menjadi lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.
"TDM menyokong matlamat ini demi memperkukuh kesejahteraan komuniti..
"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat.
"Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat jangka panjang," tambah Najman.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan inisiatif yang sama ke kawasan-kawasan lain di Terengganu bagi memastikan lebih ramai golongan mendapat manfaat daripada program seumpama itu.
29 Mar 25
124
Peniaga Lemang Kijal Bersyukur Diberi Peluang Berniaga di RNR Kijal
KEMAMAN, 29 Mac – Peniaga lemang Kijal melahirkan rasa syukur setelah diberi peluang berniaga di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Kijal hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
Salah seorang peniaga, Aini Faizah Botok, 42, yang meneruskan warisan perniagaan keluarganya sejak 35 tahun lalu, terharu sokongan yang diberikan oleh ADUN Kijal.
“Kami peniaga lemang Kijal di Jalan Lama ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk berniaga di RnR Kijal.
“Ini peluang besar untuk kami mengembangkan perniagaan kami," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kiosk Lemang Kijal di Hentian Rehat Kijal, semalam.
Tambah Aini, lokasi yang diberikan jugak sangat strategik kerana tempat ini sering menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negeri.
“Kami menyediakan pelbagai makanan tradisional seperti lemang, serunding, sambal, sata, dan rendang,” katanya.
Sementara itu, Noraini Abdullah, 59, berkata peluang ini sangat bermakna, terutama bagi peniaga muda yang ingin meneruskan legasi keluarga dalam bidang perniagaan,
"Saya berharap inisiatif ini dapat memperkenalkan tradisi lemang Kijal kepada generasi sekarang.
“Bagi anak-anak perantau yang pulang ke kampung, bolehlah singgah ke gerai Lemang Kijal di RnR Kijal ini," ujarnya.
29 Mar 25
173
Tasik Bungkus Bakal Dikenali Kawasan Tanaman Buluh Lemang
KEMAMAN, 29 Mac - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Tasik Bungkus di Kijal, sebagai kawasan untuk dibangunkan industri penanaman buluh dalam usaha memastikan ia dapat menampung keperluan pembuatan lemang yang begitu sinonim dan popular di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali berkata, buluh lemang itu akan diusahakan di atas tanah berkeluasan 150 ekar dan akan bermula tahun hadapan.
"Sekarang ini kita cuba cari benih yang sesuai dan berkualiti serta boleh diambil dengan cepat untuk dijadikan lemang.
"Dengan adanya usaha ini nanti ini saya jangka masalah kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang dihadapi oleh pengusaha tidak akan berlaku lagi," ujarnynya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Peluncuran Kiosk Lemamg Kijal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut , Razali berkata sebelum ini pihaknya menyedari masalah yang berlaku di kalangan pengusaha lemang di daerah ini adalah disebabkan kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang menerima permintaan begitu tinggi terutamanya menjelang perayaan.
"Kesan kekurangan buluh lemang ini menyebabkan beberapa pengusaha tidak boleh lagi berniaga bukan kerana tidak laku tetapi kerana ketiadaan bahan tersebut.
"Oleh itu, perkara ini dianggap serius dan kerajaan telah meneliti dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan mulakan projek ini," jelas beliau.
29 Mar 25
481
Pertandingan Pelita Raya Dun Ajil Meriahkan Sambutan Aidilfitri
HULU TERENGGANU, 29 Mac – Tradisi menyalakan pelita panjut sempena Aidilfitri terus disemarakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil apabila buat pertama kalinya diadakan Pertandingan Pelita Raya peringkat DUN.
Inisiatif ini digerakkan oleh komuniti setempat dengan penyertaan lebih 15 kampung di sekitar DUN Ajil, yang masing-masing menghiasi kawasan pekan Ajil dengan pelita raya pelbagai reka bentuk dan susunan kreatif.
Sebanyak 3,000 pelita dipasang sepanjang bangunan Ajil Trade Centre ( ATC ), mencetuskan suasana yang memukau dan mengimbau kenangan lama.
Lima Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setiap mukim telah menyertai pertandingan ini, menampilkan kreativiti dan usaha dalam mengekalkan tradisi pelita panjut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, pertandingan itu bukan sahaja bertujuan untuk mengembalikan nostalgia tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat.
Selain itu katanya, program pelita turut diadakan sebagai sambutan penuh mesra kepada para perantau yang pulang ke kampung halaman, menjadikan suasana Aidilfitri lebih bermakna dan berwarna-warni.
“Tradisi pelita panjut ini adalah warisan nenek moyang yang semakin dilupakan.
"Dengan penganjuran pertandingan ini, kita bukan sahaja menghidupkan kembali budaya tersebut tetapi juga memberi ruang kepada anak muda untuk turut serta dalam aktiviti komuniti,” katanya ketika merasmikan pertandingan tersebut.
Pertandingan ini dinilai berdasarkan kreativiti susunan pelita, keunikan reka bentuk, dan elemen tradisional yang diterapkan.
Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi khas sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen mereka dalam mengekalkan warisan tradisi ini.
Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah serta Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato' Rosol Wahid.
Johan pertandingan telah dimenangi oleh pasukan dari Mukim Penghulu Diman yang diwakili oleh JPKK Bukit Apit, Cerang Nibong dan Jaba yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM 700.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
Sementara itu, seorang peserta, Rulasmawi A.Wahab, 48, meluahkan rasa bangga dapat turut serta dalam pertandingan ini dan berharap ia akan menjadi acara tahunan.
29 Mar 25
107
Aidilfitri : Pengguna Perlu Rancang Perbelanjaan Dengan Berhemah
KUALA TERENGGANU, 28 Mac- Orang ramai dinasihatkan fokus kepada keperluan dan tidak mudah terpengaruh dengan taktik promosi jualan murah di musim perayaan Aidilfitri.
Ketua Cawangan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu, Mohd Azizuddin Abdullah berkata, bukan suatu kesalahan untuk berbelanja di musim perayaan tetapi biarlah berpada-pada dan mengikut kemampuan.
"Kebanyakkan pengguna yang terlebih belanja pada musim perayaan disebabkan tidak membuat perancangan perbelanjaan yang rapi selain mudah dipengaruhi dengan tawaran jualan murah.
"Ditambah sekarang ini penggunaan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang semakin popular di platform e-dagang mendorong mereka berbelanja mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko dikemudian hari," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman menerusi segmen Selamat Pagi Terengganu, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, BNPL sepatutnya digunakan untuk keperluan bukan sekadar memenuhi kehendak, terutama dalam musim perayaan.
Susulan itu katanya, AKPK memperkenalkan formula SAHUR bagi membantu pengguna menguruskan kewangan secara berhemah sekali gus dapat membimbing masyarakat dalam membuat keputusan.
"Maksud untuk singkatan bagi formula ini ialah semak keperluan sebelum membeli (S), awasi perbelanjaan dan bandingkan harga BNPL dengan harga asal (A), hadkan pembelian mengikut kemampuan bukan mengikut kredit tersedia (H), usah terburu-buru, fikir alternatif lebih murah (U) dan rancang pembayaran balik dengan teliti (R)," jelasnya.
27 Mar 25
86
Keuzuran Bekas Pengamal Media Dapat Perhatian Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa simpati terhadap bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 41, yang menderita gout kronik sehingga menjejaskan pergerakan dan sumber pendapatannya.
Razali berkata, beliau memahami kesukaran yang dihadapi Azlan selepas kehilangan pekerjaan dan berdepan dengan masalah kesihatan.
“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ini.
"Saya berharap bantuan Aidilfitri dalam bentuk keperluan asas seperti bakul makanan serta sumbangan kewangan dapat meringankan beban keluarga Azlan,” katanya ketika program Ziarah Kasih di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini, hari ini.
Azlan kehilangan pekerjaan pada 2019 selepas syarikat akhbar tempatnya bekerja ditutup.
Kini, pergerakannya semakin terbatas akibat kelemahan sendi kaki dan tangan, memaksanya bergantung kepada tongkat dan kerusi roda. Keadaan ini menyukarkannya untuk bekerja dan menampung kehidupan.
Menurut Azlan, dia terpaksa menolak tawaran kerja kerana ketidakpastian terhadap serangan penyakitnya.
“Bukan saya tak mahu bekerja, tetapi saya tidak tahu bila gout akan menyerang.
"Jika saya tidak dapat menyiapkan kerja, pelanggan pasti kecewa,” katanya.
Kini, dia bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Norhaspida Yatim, 39, yang bekerja sebagai wartawan untuk menyara keluarga dan menguruskan keperluan harian.
Pasangan itu mempunyai tiga anak, Muhammad Aqif Rayyan, 12, Awatif Nur Adawiyah, 11, dan Awfiyah Nur Umairah, 9.
27 Mar 25
543
Jual Makanan Kepada Orang Tidak Berpuasa, Wanita Dipenjara
SETIU, 27 Mac – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Setiu selepas mengaku bersalah atas kesalahan menjual makanan kepada individu yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Mahkamah Syariah Setiu selepas wanita terbabit mengaku bersalah mengikut Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.
Mengikut keputusan mahkamah, sekiranya pesalah gagal membayar denda RM2,000, hukuman penjara akan ditambah selama 15 hari, menjadikan jumlah keseluruhan 20 hari penjara.
Bagaimanapun, pesalah berjaya membayar denda yang dikenakan dan kini menjalani hukuman penjara selama lima hari di Pusat Tahanan Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan, bermula 24 Mac 2025 sehingga 28 Mac 2025.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustaffa.
27 Mar 25
198
Akhirnya, Kerajaan Terengganu Bantu 'Buskers' Terjejas
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif 'one-off' sebanyak RM600 seorang, kepada penghibur-penghibur jalanan (buskers) yang terjejas akibat larangan persembahan jalanan bagi 10 malam terakhir Ramadan yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif itu merupakan pelan sokongan terhadap keputusan yang dibuat.
"Saya tahu jumlah itu tidak besar sangat tetapi, sekurang-kurangnya ia dapat menampung kehilangan daripada pendapatan bagi 10 hari tersebut.
"Sebenarnya, kami ada dua pilihan (ketika itu) sama ada pejam mata dan biarkan, atau bertindak terus dan dalam masa sama menyediakan pelan sokongan (back-up) kerana mengambil kira sebahagian 'busker' yang menjadikan aktiviti ini sebagai punca pendapatan mereka, cuma kita tidak sebutkan dalam pekeliling yang diedarkan.
"Kita sama sekali tidak akan lakukan kezaliman, penganiayaan khususnya kepada rakyat kita dalam sebarang tindakan yang diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan dengan para penghibur jalanan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, asas kepada tindakan adalah aduan daripada orang ramai yang mengaitkan dengan negeri Terengganu yang meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
"Kerajaan negeri perlu sangat berhati-hati dalam semua tindakan termasuk reaksi kepada setiap aduan dan komen daripada umum.
"Kerajaan ini, semua orang kita kena fikir dan lihat dari semua sudut dan semua segi.
"Jadi, saya bagi pihak kerajaan negeri mengambil kesempatan sekiranya saudara saudari marah dengan keputusan itu, memohon maaflah dalam tindakan yang diambil.
"Seperti saya maklumkan tadi, dalam setiap keputusan kita telah letak 'back-up plan' sebab kita sama sekali tidak akan menganiaya rakyat kita kerana mereka adalah rakyat yang kami kena bantu," tambahnya.
Pertemuan tersebut dihadiri sekitar 30 penghibur jalanan, sebahagian daripada 41 orang 'busker' yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan untuk persembahan sepanjang bulan Ramadan ini.
26 Mar 25
255