Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu FC Perintis Projek Naik Taraf Padang
Hishamuddin Abdul Karim (kanan) ketika meninjau kerja-kerja memotong rumput padang bola sepak baru-baru ini. Foto ihsan - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)KUALA TERENGGANU, 9 April - Terengganu FC (TFC) dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) semalam menyerahkan projek penukaran padang kepada RS Greenmaster di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.Program itu menyaksikan TFC menjadi perintis dalam usaha MFL meningkatkan kualiti padang venue semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, beliau mendedahkan program itu terbuka kepada semua pasukan di mana mereka perlu mengemukakan permohonan kepada MFL sebelum sepak mula Liga Malaysia.Kata Kevin, TFC telah menunjukkan minat dan memohon untuk menjadi perintis projek penukaran padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan program tersebut dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.Jelasnya, komitmen tinggi dan usaha yang ditunjukkan TFC, kerajaan negeri Terengganu dan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di bawah Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu bakal meletakkan pasukan gergasi Pantai Timur itu berada dalam landasan terbaik untuk menjadi contoh sebuah lagi pasukan yang berjaya menstrukturkan diri mereka semula untuk berjaya secara teknikal dan komersial selepas fenomena Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah bermula pada 2013.“TFC sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada inisiatif-inisiatif yang cuba dilakukan oleh MFL dan apa yang kita dapat lihat bahawa mereka melakukan satu usaha yang amat besar untuk struktur TFC bagi menjadi salah satu gergasi bola sepak Malaysia dalam jangka masa panjang.“MFL berbangga dapat menyokong TFC sebagai perintis pada program MFL untuk memastikan kualiti padang bola sepak berada di tahap tertinggi untuk menggalakkan persembahan teknikal atas padang yang lebih baik dan menjadikan persembahan perlawanan Liga Malaysia yang boleh dibanggakan khusus untuk tontonan penyokong.“Dengan kejayaan program ini, MFL dapat melihat proses-proses yang perlu dilaksanakan MFL dengan mengambil kira pemilikan stadium, kerajaan negeri dan lain-lain.“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Jabatan Kerja Raya yang telah memberikan kerjasama baik bagi menjayakan program ini terutama TFC yang sedia menjadi perintis percubaan untuk program ini,” katanya.Buat masa ini, TFC yang bertanding dalam Liga Super menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai gelanggang rasmi mereka dan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu dijangka akan menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkapasiti 50,000 penonton bagi kempen Piala Malaysia selepas projek menaiktaraf padang itu siap.Kevin berharap projek bersama TFC itu dapat membuka mata lebih ramai pihak dalam usaha meningkatkan kualiti padang venue di Liga Malaysia.“Saya berharap bila program ini berjaya, kita boleh perluaskan kejayaan ini kepada banyak lagi padang-padang bola sepak di masa akan datang,” ujarnya.Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim turun bersama Pegawai Eksekutif dan kakitangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) bagi meninjau kerja memotong rumput padang bola sepak baru-baru ini (4 April)."Kerja memotong rumput adalah persediaan sebelum ruang padang stadium ini menerima kehadiran kontraktor pada 8 April nanti untuk kerja-kerja baik pulih padang."Kerja-kerja ini sebagai inisiatif KSNT agar rumput padang sedia ada boleh digunakan di mana-mana padang seperti padang latihan TFC di sekitar kompleks ataupun termasuk pemanfaatan di SSINS."Tenaga kerja yang bertungkus lumus semuanya secara dalaman. Inisiatif ini atas sifat untuk mengelakkan kerugian dan memanfaatkan lagi apa yang boleh digunakan," katanya.Dalam perkembangan sama, menurutnya, beliau diberi peluang mengendalikan mesin."Insya-Allah, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan memiliki padang baru yang lebih sesuai untuk digunakan September 2019. Permulaan kerja akan menumpukan semakan terhadap sistem 'drainage' sedia ada sama ada berfungsi atau tidak."Dan selanjutnya barulah dimulakan kerja-kerja meratakan tanah dan penanaman rumput. Kalau tidak silap, maklumat yang saya terima tempoh hari, jenis rumput yang bakal digunakan adalah rumput Bermuda."Pada asalnya, rumput Paspalum tapi ia agak cerewet untuk diuruskan. Malah memerlukan air masin untuk proses siraman. Insya-Allah padang bola sepak ini akan mendapat kelayakan penggunaannya selepas selesai baik pulih."Baik pulih komponen yang lain, kita serahkan kepada pihak kerajaan negeri untuk memperhalusi cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak. Ia tidak mudah, tapi usaha ke arah memanfaatkan balik stadium ini akan sentiasa dilakukan dengan mengambil kira pebagai aspek."Kita rakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MFL atas peruntukan baik pulih padang ini."Untuk kerja pemantauan, MFL telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau yang dianggotai MFL, JKR, KSNT dan PBSNT. Jawatankuasa ini diketuai oleh Haji Marzuki Sulong," jelasnya.
08 Apr 19
1449
Anak Terengganu Juara Kejohanan WOBLeague Jerman
Oleh: Wan Luqman HakimKuala Terengganu, 8 April- Anak Kuala Terengganu, Engku Mohamad Ikhwan Engku Shamsu memahat rekod tersendiri apabila muncul juara pertandingan sukan lasak, Kejohanan WOBLeague 2019 di Cologne, Jerman anjuran World of Barheroes.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, turut berkongsi kegembiraan itu dan mengucapkan tahniah kepada Ikhwan kerana membawa pulang kejayaan di peringkat antarabangsa sekali gus membanggakan seluruh rakyat Terengganu, khasnya."Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Semoga sukan ekstrem seperti ini akan dapat dimajukan di Terengganu dan lebih banyak lagi bakat baru akan dapat dilahirkan untuk sukan seumpama ini."Semoga Ikhwan dapat mencipta lebih banyak kejayaan dalam kejohanan yang diadakan di seluruh dunia," tambanya lagi. Menurut Sukairi, kejayaan berkenaan juga membuktikan segala penat lelah dan pengorbanan yang diberikan Ikhwan sebagai ikon anak muda menerusi Sukan Streetworkout dan Calisthenics itu berhasil selepas dinobatkan johan Kejohanan WOBLeague 2019.
08 Apr 19
37
MB Terengganu Kongsi Kegembiraan Kejayaan Harrif Di LTdL
Harrif mengangkat tangan sebaik mendahului di garisan penamat untuk mucul juara di pusingan kedua, semalam. Kredit foto : Sprint cycling magazineKejayaan pelumba Terengganu Cycling (TSG), Mohd Harrif Salleh menjuarai peringkat kedua dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 petang semalam, memberi kegembiraan dan membanggakan seluruh rakyat Malaysia serta Terengganu khasnya.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut menzahirkan keterujaan dengan kejayaan anak Terengganu itu, apatah lagi ia mengulangi episod kejayaan Anuar Manan, juga anak jati Terengganu, di Port Dickson pada LTdL 2010.“Tahniah Harrif Salleh dari Terengganu Inc TSG Team menjadi juara peringkat kedua Le Tour De Langkawi 2019 petang tadi (semalam). “Saya difahamkan kali terakhir pelumba berbasikal dari Malaysia menjadi juara peringkat LTDL adalah pada 2010 iaitu Anuar Manan yang juga dari Terengganu. Sejarah tercipta, `kemah keming boh!’,” tulis beliau dalam Instagram yang dimuat naik malam tadi.Semalam, Harrif melakar sejarah muncul sebagai pelumba Malaysia kedua menjuarai salah satu peringkat dalam saingan LTdL 2019 selepas kemarau selama sembilan tahun.Kali terakhir pelumba tempatan muncul juara salah satu peringkat dalam saingan ini menerusi Anuar Manan pada 2010 yang memenangi peringkat kelima dari Muar ke Port Dickson.Harrif yang dibantu rakan sepasukan ketika melakukan asakan di kilometer terakhir, dinobatkan juara peringkat kedua LTdL membabitkan laluan dari Senawang ke Melaka yang meliputi jarak 200.6 km, semalam.Lebih manis beliau berjaya menumbangkan MR LTdL Andrea Guardini, pada saat-saat akhir.
07 Apr 19
50
Sang Penyu Kalah Tipis Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 6 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memperolehi sebarang mata apabila kalah tipis dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Football Club (PKNP FC) 1-2 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini malam ini. Skuad PKNP FC mengejutkan pasukan tuan rumah apabila berjaya mengatasi 2-1 di stadium tersebut.Sepak separuh masa pertama bermula menyaksikan pasukan PKNP FC terlebih dahulu memberi tekanan kepada skuad Sang Penyu dengan rembatan dari luar kotak penalti dilakukan oleh G. Mugenthiran pada minit ke-13. Namun, sepakan itu berjaya ditepis oleh penjaga gol Terengganu FC.Pasukan tuan rumah berjaya mengasak gawang pasukan pelawat PKNP FC dengan beberapa asakan berbahaya tetapi kegagalan untuk melakukan penyudah yang baik membantutkan usaha Terengganu FC memperoleh gol di babak pertama.Pada lewat aksi babak pertama, PKNP FC berjaya mencuri gol menerusi sepakan penalti Giancarlo Lopes. Jaringan tersebut menyaksikan Giancarlo berjaya mencetak lima gol dalam Liga Super musim ini.Masuk separuh masa kedua, Giancarlo lagi sekali berjaya menjaring gol kedua dalam minit ke-46. Kehampaan pertahanan Terengganu FC, Adib Aizuddin membuatkan Mugenthiran berjaya merampas bola tersebut dan melakukan hantaran ke Giancarlo.Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Irfan Bakti mula perkemaskan permainan dengan melancarkan serangan ke kubu lawan. Terengganu FC berjaya mengurangkan defisit menentang PKNP FC selepas pemain jersi nombor 11, Syamim Yahya menyudahkan jaringan pada minit ke-73.Percubaan demi percubaan dilakukan oleh skuad Sang Penyu selepas jaringan tersebut namun gagal mencari gol penyamaan menyaksikan Terengganu FC terus menimpa kekalahan ketiga dalam Liga Super musim ini.Skuad PKNP FC berjaya melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-0 pada dua minggu lalu dan Terengganu FC pula penyumbang kemenangan tersebut.
06 Apr 19
153
Sasaran Lulus 25 Ribu Pemohon Lesen Motosikal Percuma Hampir Tercapai
Foto oleh: Wan Luqmanul HakimKUALA NERUS, 6 April - Sasaran meluluskan seramai 25 ribu orang pemohon lesen motosikal percuma tahun ini hampir tercapai sejak ia dibuka secara dalam talian dan manual baru-baru ini.Kerajaan negeri hanya memerlukan seramai kira-kira lebih 700 orang pemohon lagi untuk mempercukupkan bilangan tersebut sebelum urusan selanjutnya dilaksanakan.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mengikut angka yang disenarai pendek, kerajaan negeri kekurangan lebih 700 orang lagi pemohon program tersebut."Kita (kerajaan) akan berusaha untuk mencukupkan jumlah 25 ribu orang itu secepat mungkin."Kita sedang usaha untuk jejaki mereka ataupun pilih mana yang layak (dalam senarai sedia ada) untuk mengisi tempat yang masih lagi kosong, " katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Hari Kereta Wira Edisi Ketiga 2019 di Terengganu International Drag Strip Gong Badak di sini hari ini. Turut hadir Da'i Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus.Seterusnya Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menasihatkan kepada peserta yang berjaya agar segera mengambil baucer dan mengikuti ujian dan latihan yang disediakan oleh pihak Institut Memandu (IM)."Hubungi mereka, daftar, ikuti kelas dan sebagainya serta bersiap sedia daripada sekarang supaya tidak berlaku gagal dalam ujian komputer ataupun gagal dalam latihan motosikal itu."Ini bertujuan supaya peserta tidak perlu membuat bayaran tambahan sebab dalam program ini kita tidak membantu mereka yang gagal, " jelasnya.Ertinya kata beliau, peserta yang gagal perlu membayar sendiri bayaran ujian kali kedua selepas gagal ujian kali pertama sebanyak RM10 sahaja.Sementara itu katanya, bermula 4 April lalu, pemohon yang mengisi borang secara dalam talian atau manual, boleh semak status masing-masing sama ada berjaya atau sebaliknya.Menurut beliau mulai 15 April ini, kelas atau ujian memandu akan bermula."Selepas peserta mendapat maklumat bahawa mereka telah berjaya dalam permohonan itu, mereka boleh mendapatkan baucer daripada pejabat daerah masing-masing."Kemudian baucer itu dibawa ke institut IM yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri."Sehinggalah mereka lulus ujian berkomputer terlebih dahulu dan selepas mereka mendapat lesen 'L', mereka boleh pula pergi ke pejabat daerah untuk menuntut baucer yang kedua," jelasnya.Seterusnya kata Ustaz Wan Sukairi, mereka perlu menjalani ujian dan latihan sehingga mereka dapat lesen penuh.Setakat ini katanya, ada 12 buah IM di seluruh Terengganu yang terlibat dalam program tersebut."Jumlah pemohon program tersebut sehingga 1 Mac baru-baru ini seramai ialah 49,193 orang."Dan daripada jumlah itu, kerajaan negeri memilih hanya 25 ribu orang sahaja pemohon kerana itulah jumlah bajet 2019 yang ditetapkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini," jelasnya lagi.
06 Apr 19
40
Cabaran Bola Sepak Piala YAB ADUN Ru Rendang 2019 Bermula - MB Terengganu
Foto oleh - Media MBMARANG, 5 April - Kejohanan Bola Sepak Piala YAB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang 2019 secara rasminya bermula semalam.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir merasmikan pertandingan itu berkata, aktiviti sukan di daerah Marang akan terus dipergiatkan bagi membolehkan anak muda menunjukkan bakat masing-masing.Beliau yang juga ADUN Ru Rendang berkata, bagi melengkapkan misi tersebut, pembangunan insfrastruktur dan perkembangan sukan dalam daerah itu terus dipertingkatkan."Komitmen kita adalah kita akan merancakkan aktiviti bola dan sukan-sukan lain, supaya daerah Marang ini tidak ketinggalan dan terus maju dari segi sukan."Untuk tahun 2019 ini, insya-Allah kita akan memulakan proses untuk memperoleh kompleks sukan di daerah Marang ini," tambah beliau.Memberi komitmen untuk merancakkan industri sukan Marang.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala YAB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, semalam.Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs), Mohamad Embong serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof.Dalam perlawananan pembukaan yang berlangsung semalam, Rusila FC berjaya membenam cabaran pasukan Kelulut FC dengan jaringan 2-1.Jaringan mata daripada Muhammad Hafizan Talib seawal minit ke-5 menerusi sepakan penalti memberi kelegaan buat pasukan Rusila FC.Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila Mohamad Khairul Nizam Abdul Wahab berjaya menyamakan kedudukan bagi merancakkan lagi perlawanan.Kedudukan 1-1 itu kekal hingga minit ke-30 sebelum Mohd Ismail Mamat menjaringkan gol kemenangan buat Rusila FC untuk mengenepikan saingan pasukan Kelulut FC.Kejohanan itu menyaksikan sebanyak 23 buah pasukan dari seluruh DUN Ru Rendang mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini.
05 Apr 19
184
Pasukan MB Juara Kejohanan Menembak ADUN Terengganu
Barisan pemenang kategori individu, Amairudin (berbaju hijau) juara dengan mengutip 82 mata.SETIU, 4 April - Pasukan yang diwakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dinobatkan juara bagi kategori jatuhan piring dalam Kejohanan Menembak Antara Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, hari ini.Pasukan yang turut diwakili Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Ketua Polis negeri, Dato' Aidi Ismail, Timbalan Mufti negeri, A. Hadi Othman serta Ketua Polis Daerah Setiu, Zulkifli Mat Deris itu melakukan jatuhan piring dalam masa 22.65 saat sekali gus menewaskan 10 pasukan lain.Kejohanan anjuran DUN dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu diadakan di Lapang Sasar Lembah Bidong, di sini, sempena Penggal Kedua Persidangan DUN Terengganu Keempat Belas yang berakhir hari ini.Hadir sama menyertai kejohanan ialah ADUN-ADUN, pegawai-pegawai kanan PDRM, MSNT dan Persatuan Menembak Negeri Terengganu.Turut mencuri tumpuan, mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang bersaing dalam acara tersebut, namun pasukannya hanya menduduki tempat ketiga setelah tewas tipis kepada pasukan Dr. Samsuri.Dr. Samsuri antara pembidik dengan jatuhan piring tertinggi dalam pasukannya.Dr. Samsuri dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas penganjuran kejohanan tersebut dan menyifatkan ia mencapai objektif sebenar ia diadakan. “Tujuan utama kita ialah untuk merapatkan silaturrahim antara pemimpin-pemimpin dalam negeri dan objektif ini berjaya dengan aktiviti santai ini.“Terima kasih juga kepada kaum wanita yang turut menyertai kejohanan hari ini,” katanya.Dalam pada itu, Yahaya sebagai penganjur kejohanan turut memaklumkan, kejohanan tersebut bakal diadakan setiap kali sidang DUN bagi tahun ini.“Bukan soal juara yang kita utamakan. Program ini diadakan bagi meningkatkan hubungan ukhuwah sesama kita selepas bersidang. “Selain kejohanan boling yang diadakan tahun lalu, acara menembak ini menjadi salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak DUN,” katanya. Exco Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut ambil peluang sertai kejohanan.Kejohanan tersebut disertai oleh 59 peserta lelaki dan 28 peserta perempuan dalam dua kategori iaitu acara berpasukan jatuhan piring dan individu Central Fire (target).Bagi kategori lelaki, individu Central Fire dimenangi oleh ahli Persatuan Menembak negeri, Amairuddin Alias.Manakala, kategori perempuan dimenangi oleh isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, To’ Puan Aida Tengah.
04 Apr 19
899
MB Terengganu Lancar Misi MAKSAK Daki Gunung Kinabalu
Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyerahkan bendera negeri Terengganu kepada Che Adam (tengah) untuk Misi Mendaki Gunung Kinabalu, Sabah, 10 hingga 13 April ini.KUALA TERENGGANU, 4 April - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melancarkan Misi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Terengganu Untuk Pendakian Solo, Gunung Kinabalu, Sabah, di Tingkat U2 Wisma Darul Iman, di sini, semalam.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman. Misi MAKSAK TRG dè Kinabalu Peak 2019 yang julung-julung kali diadakan itu bakal dilaksanakan oleh Che Adam pada 12 April ini. Beliau akan menbawa Panji Terengganu Maju Berkat Sejahtera, sebagai simbolik bakal menyambut setahun pentadbiran Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Terengganu serta akan membawa Panji APM, bersempena Ulangtahun Pertahanan Awam Malaysia yang ke 67.Beliau akan turut mengibarkan panji MAKSAK Terengganu di Puncak Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi Malaysia dengan ketinggian 4,052 meter, pada pagi hari tersebut. Dato' A Rahman (kiri) ketika diwawancara media sempena Misi Mendaki Gunung Kinabalu, Sabah 10 hingga 13 April ini.Projek akan bermula 10 hingga 13 April ini diilhamkan oleh A. Rahman yang berhasrat mahu melihat satu dimensi cabaran baharu kepada seorang pegawai kanan Kerajaan Terengganu berupaya mendaki puncak tertinggi negara itu. Katanya, sebelum ini belum pernah ada pegawai kanan jabatan atau agensi kerajaan yang melakukan misi MAKSAK seumpama itu, sama ada dari MAKSAK negeri mahupun dari MAKSAK Malaysia.Menurut beliau, perancangan serta latihan bermula sejak awal Januari tahun ini, dengan latihan kecergasan fizikal, pendakian bukit, gunung dan denai serta latihan gym telah dilalui dengan konsisten oleh Che Adam. Kos projek sebahagian besar ditaja oleh pihak MAKSAK Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM4,500, meliputi kos tempahan pakej pendakian, makan minum, kos latihan, pengurusan dan sebagianya, manakala sebahagiannya ditanggung oleh peserta projek itu sendiri.Dalam misi itu nanti, Che Adam akan diiringi oleh seorang rakan media yang bertindak sebagai rekod dokmentasi serta hebahan kepada umum.
03 Apr 19
188
Sidang DUN : SUTERA Platform Lahirkan Atlet Terkemuka
KUALA TERENGGANU, 3 April - Sukan Terengganu (SUTERA) bakal menjadi acara berprestij dalam melahirkan atlet-atlet sukan berwibawa di negeri ini .Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, SUTERA akan menjadi acara dwi tahunan sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) berlangsung."Untuk tahun ini, ia akan berlangsung pada 5 hingga 9 September dan merupakan pertandingan sukan dwi tahunan yang kita buat untuk Terengganu. Ini bermakna pada 2019 kita akan jayakan untuk SUTERA dan tahun 2020 bagi SUKMA. Begitulah seterusnya, ia akan bergilir."SUTERA 2019 juga akan menjadi sukan patuh syariah pertama yang diadakan dan kita akan berusaha untuk menjayakannya sebaik mungkin," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Tambah Wan Sukairi, dalam mesyuarat kali pertama, pihaknya juga bercadang untuk menjemput negeri jiran iaitu Pahang dan Kelantan untuk turut sama menyertainya.Dalam masa terdekat, kertas panduan berkenaan dan sebagainya akan dibentangkan oleh Mufti Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Zulkifly Muda, pada mesyuarat berikutnya.Katanya lagi, pemilihan atlet untuk SUTERA akan diserahkan kepada Majlis Sukan Daerah masing-masing yang dipengerusikan Pegawai Daerah untuk membuat keputusan.
03 Apr 19
35
Terengganu FC Mudah Atasi Ultimate FC
Pemain TFC meraikan kemenangan mereka dalam saingan Piala FA.KUALA TERENGGANU, 3 April - Terengganu Football Club (TFC) mencatat kemenangan mudah menewaskan pasukan Liga M3, Ultimate FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA Malaysia, semalam.Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), TFC nyata mendominasi perlawanan dan menunjukkan belangnya mengatasi lawan dengan kedudukan 5-0.Meski tanpa kelibat Lee Andrew Tuck dan Tchetche Kipre, pasukan tuan rumah bermula selesa apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi Mohamad Ashari Samsudin yang menolak mudah hantaran leret Mohd Khairul Izuan Rosli.Namun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Ultimate FC untuk mengatur serangan.Bagaimanapun, keputusan perlawanan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.'The Silent Killer' ledak gol pertama perlawanan.Memasuki babak kedua, TFC menggandakan asakan dengan memasukkan Muhamad Sharin Sapien pada minit ke-56'.Namun, dia digantikan dengan Ahmad Syamim Yahya seminit kemudian kerana kecederaan di kepala.Kebuntuan Sang Penyu mencari gol kedua berakhir apabila Igor Zonjic menanduk padu bola lambungan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke 73'.Empat minit kemudian, Sanjar menambah jaringan dengan menanduk bola muntah untuk gol ketiga.Pasukan pelawat yang mula tertekan cuba melengahkan permainan, tetapi TFC mula berpesta gol setelah Khairul Anwar Saharudin dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke 84'.Nasrullah Hanif Johan kemudiannya tenang menyempurnakan sepakan penalti sekaligus melenyapkan harapan Ultimate FC.Menjelang minit-minit akhir perlawanan, Khairul Izuan Rosli menambah luka pelawat apabila menolak masuk bola ke gawang dalam keadaan kelam kabut di depan melengkapkan kemenangan besar tuan rumah.Mengulas persembahan pemain TFCketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan anak buahnya terlalu berhati-hati semasa separuh masa pertama."Aspek ini kita ubah pada babak kedua dan berhasil menambah jaringan."Bagi aksi bertemu PKNP FC selepas ini, saya tidak boleh membuat andaian lagi tetapi kehadiran Lee Tuck yang telah pulih dijangka akan memperkuatkan bahagian tengah kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.Irfan puji aksi Ultimate FC.TFC akan melayan kunjungan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam aksi Liga Super Malaysia, Sabtu ini.
02 Apr 19
164