Artikel "Sukan" Terkini
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2020 Dibatalkan
KUALA TERENGGANU, 16 September - Acara tahunan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2020 yang sepatutnya diadakan pada November ini dibatalkan.
Perkara itu diumumkan oleh penganjur LAJSM 2020 dalam satu kenyataan semalam.
“Setelah melalui fasa penelitian isu COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini, kerajaan negeri Terengganu dan Persatuan Olahraga Terengganu (POAT) dengan berat hati membatalkan LAJSM 2020.
“Acara yang pada awalanya dijadualkan untuk berlangsung pada bulan ini kemudian ditunda ke November terpaksa dibatalkan atas nasihat pihak berkuasa memandangkan pandemik masih di tahap membimbangkan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember,” ujar kenyataan itu.
Menurut penganjur lagi, pendaftaran peserta bagi acara itu tahun ini akan dibawa secara automatik ke LAJSM 2021.
“Tarikh rasmi bagi LAJSM 2021 akan dimaklumkan secara rasmi lelak.
“Oleh itu, peserta yang sudah mendaftar untuk tahun ini tidak perlu membuat pendaftaran sekali lagi,” tambah kenyataan itu.
16 Sep 20
1581
Skuad Ragbi Terima Suntikan Semangat
KUALA NERUS, 15 September- Skuad ragbi lelaki dan wanita Terengganu yang kini dalam persediaan ke pentas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-20 yang akan berlangsung di Johor Bahru Mac 2021 mendapat suntikan semangat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.
Selaku 'bapa angkat', Alias menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada skuad berkenaan
Menurut Alias, sumbangan tersebut sebagai galakkan dan membantu atlet di dalam membuat persediaan untuk menghadapi saingan di sukan dwi-tahunan itu.
"Saya berharap skuad ragbi ini berjaya menzahirkan pungutan pingat emas sebagai hadiah kepada Pengarah Majlis Sukan Negeri, Ibni Amin Busu yang akan bersara sejurus SUKMA ke-20 ini, berakhir," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Bapa Angkat Bersama Atlet Ragbi SUKMA 2020 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, Amir Amri Mohamad.
Sementara itu Ketua Jurulatih Ragbi Terengganu, Izaimi Zainuddin berterima kasih dengan sumbangan tersebut dan berharap ianya sebagai suntikan motivasi untuk meningkatkan lagi latihan sebagai persediaan menghadapi saingan di sukan tersebut.
"Kita akan menggunakan sumbangan tersebut untuk membeli makanan tambahan (suplemen) dan peralatan asas," tambah Izaimi.
14 Sep 20
392
'Kami Dihukum Kesilapan Kecil'
KUALA TERENGGANU, 11 September-Demikian kata jurulatih Terengganu Football Club (Terengganu FC) setelah tewas 0-1 kepada pendahulu CIMB Liga Super Malaysia 2020 itu, Johor Darul Ta'zim (JDT), sebentar tadi.
Jelasnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
Nafuzi.
"Selepas gol pertama itu, pemain-pemain saya beraksi lebih baik dan pada separuh masa kedua, kami menguasai perlawanan dan penguasaan bola.
Bermain dengan JDT, kita semua tahu bagaimana pasukan mereka, dengan pemain-pemain yang saya ada mungkin kami bermain lebih baik daripada JDT dan saya harus berbangga dengan persembahan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Nafuzi juga tidak menyalahkan sesiapa berikutan kesilapan itu.
"Mungkin di awal perlawanan, pemain terlalu memandang tinggi lawan, kurang keyakinan dan menyebabkan kita dihukum kesilapan sendiri," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, kesilapan pertahanan, Argzim Redzovic yang menghantar bola ke belakang melepasi jangkauan penjaga gol, Sharmiza Yusoff membawa padah kepada tuan rumah.
Penyerang JDT, Syafawi Rasid berjaya memanfaatkan kecuaian tersebut dengan menolak mudah bola ke gol yang terbuka, meletakkan pasukannya di depan seawal minit kelima perlawanan.
Terengganu FC cuba bangkit tetapi pelawat mengekalkan penguasaan bola sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Terengganu FC semakin kerap melakukan serangan dan menguasai bola.
Tuan rumah hampir memperoleh penalti pada minit ke-51 apabila Mauricio Dos Santos melakukan terjahan keras terhadap Dominique Da Sylva, tetapi pengadil meneruskan perlawanan.
Perlawanan berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan diselangi beberapa kekasaran.
Namun, gol tunggal perlawanan hasil kesilapan pasukan mengekang Sang Penyu mengekalkan kedudukan.
Terengganu FC jatuh ke kedudukan keempat CIMB Liga Super Malaysia 2020 dengan sepuluh mata
11 Sep 20
902
Hasrat Jadikan Seni Silat Sukan Rakyat
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 6 September - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan seni silat sebagai suatu aktiviti sukan yang diceburi oleh pelbagai peringkat umur rakyat di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali mengharapkan seni mempertahankan diri itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan anak-anak muda agar mereka tidak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.
“Program seumpama ini adalah sebahagian daripada fokus kerajaan negeri untuk menaikkan seni silat sebagaimana bola sepak yang mana merupakan kegiatan sukan yang diminati semua peringkat umur.
“Saya sangat teruja melihat anak seusia empat tahun sudah pandai dalam dunia persilatan. Apabila meningkat dewasa mereka akan menjadi benih-benih baharu yang akan mengorak langkah dalam dunia seni persilatan.
"Justeru ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan seharusnya diberikan penghargaan,” jelasnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Silat Olahraga Tertutup Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Cawangan Terengganu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini kelmarin.
Turut hadir, Setiausaha PESAKA, Fakhrul Azman Abu Bakar dan Bendahari, Ukasyah Hassan.
Menurutnya, beliau yakin bahawa dunia persilatan menjadi salah satu produk pelancongan di negeri Terengganu dan merupakan warisan budaya bangsa yang mesti dipertahan dan dikembangkan.
“Kita bukan nak tunjuk 'gong' dalam seni silat pada orang tapi skil kemahiran yang ada sekurang-kurangnya dapat mempertahankan diri apabila menghadapi saat kecemasan seperti diserang musuh,” tambah Dato Yahaya.
06 Sep 20
1185
MPX Redline Juara Terengganu E-Sport Challenge 2020
KUALA TERENGGANU, 6 September- Pasukan MPX Redline muncul juara permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile peringkat negeri dalam kejohanan Terengganu E-Sport Challenge, semalam.
Pasukan yang dibarisi Muhammad Rifki Azfar, Muhammad Idham Fitri, Badrul Amin, Azrul Aiman dan Aidil Arifin itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000, piala kejuaraan berserta pingat.
Bermula sebagai naib johan daerah Marang, lima remaja berusia antara 18 hingga 23 tahun itu mengorak langkah mempamerkan aksi terbaik dalam saingan akhir yang berlangsung di Kompleks TD1303.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi mencuba permainan PES2020 sebagai simbolik perasmian penutup Terengganu E-Sport Challenge 2020.
Mewakili pasukannya, Muhammad Idham melahirkan kesyukuran atas kemenangan yang tidak dijangka itu.
Rakan sepasukannya, Aidil Arifin pula menyifatkan PUBG Mobile sebagai permainan yang memerlukan fokus dan komunikasi antara pasukan yang tinggi.
“Sebelum ini kami pernah masuk pertandingan, tetapi dalam pasukan yang berlainan dan masing-masing sudah lebih kurang dua tahun bermain PUBG Mobile.
“Tetapi, PUBG Mobile ini tidak seperti permainan video lain kerana ia lebih bergantung kepada prestasi pasukan semasa pertandingan berbanding konsistensi dalam latihan,” katanya.
Anak-anak muda terbabit turut menyatakan keinginan untuk ke peringkat lebih tinggi dalam sukan berkenaan.
“Insya- Allah sekiranya ada peluang dipanggil mewakili Terengganu, kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” kata Idham.
Dalam kejohanan berkenaan, pasukan Hiluminate King dari Dungun dinobatkan sebagai naib juara dan The Farang Vendetta dari Kemaman muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan yang dihadiri sekitar 100 peserta dari seluruh daerah.
Kejohanan anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Esports Malaysia Terengganu dan Kuppy Station itu berlangsung selama sebulan dan diadakan di peringkat daerah sebelum peringkat akhir yang tamat semalam.Anak-anak muda terbabit turut menyatakan keinginan untuk ke peringkat lebih tinggi dalam sukan berkenaan.
“Insya- Allah sekiranya ada peluang dipanggil mewakili Terengganu, kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” kata Idham.
Dalam kejohanan berkenaan, pasukan Hiluminate King dari Dungun dinobatkan sebagai naib juara dan The Farang Vendetta dari Kemaman muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan yang dihadiri sekitar 100 peserta dari seluruh daerah.
Kejohanan anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Esports Malaysia Terengganu dan Kuppy Station itu berlangsung selama sebulan dan diadakan di peringkat daerah sebelum peringkat akhir yang tamat semalam.
TD1303 jadi platform terbaik penganjuran E-Sports.
06 Sep 20
1272
Terengganu FC II Akur Tewas Kelebihan Fizikal
KUALA TERENGGANU, 5 September- Sekalipun Terengganu Football Club (Terengganu FC II) tewas kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dengan keputusan 2-3, tetapi semangat yang ditunjukkan anak buah Roshadi Wahab malam malam ini boleh dibanggakan.
Bermain di laman sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelebihan jelas memihak pelawat apabila The Turtle tidak dapat menggunakan khidmat Argzim Redzovic yang dipinjam skuad 'abang'.
Terengganu FC II bermula baik apabila meledak gol pertama seawal minit pertama melalui rembatan Zuasyraf Zulkiefle dari sisi kiri kotak penalti.
Tersentak dengan gol tersebut, JDT II mula menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 melalui Francisco Insa yang menanduk kencang sepakan sudut kapten pasukan, Alberto Fernandez.
Minit ke-27 perlawanan, pemain naturalisasi yang dikenali sebagai Kiko Insa itu sekali lagi berjaya mencetak gol hasil sepakan sudut Fernandez dengan rembatan rendah membolosi gawang Terengganu FC II.
Kedudukan kekal 1-2 sehingga tamat separuh masa.
Memasuki babak kedua, tuan rumah memperkemaskan pertahanan dengan 'high pressing', sesekali dengan serangan balas ke kubu lawan.
Pada minit ke-54, Terengganu FC II berjaya bangkit menerusi pemain sayap, Engku Muhammad Nur Shakir yang memanfaatkan peluang dengan rembatan dari jarak 25 meter ke gawang JDT II yang terdedah.
Bagaimanapun, pelawat terus menghukum tuan rumah dengan gol ketiga 10 minit kemudian, juga melalui situasi bola mati.
Kali ini, sepakan percuma Fernandez ditanduk penyerang, Fernando Rodriguez tepat ke gawang yang dikawal Mohd Suhaimi Husin.
Perlawanan berkesudahan dengan JDT II membawa pulang tiga mata dari kubu The Turtle.
Jurulatih Terengganu FC, Roshadi menyifatkan ketiadaan Argzim menjadi satu kekurangan dalam skuadnya.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pasukan, walaubagaimanapun, memang kami terasa kehilangan Argzim.
"Ini kerana tiga gol yang dijaringkan JDT II adaah melalui situasi bola mati dan kami kalah dari segi fizikal," katanya.
Bertemu Kuala Lumpur selepas ini, beliau menjelaskan mereka perlu lebih bersedia.
"Kami perlu menggandakan latihan menghadapi 'set piece' pihak lawan supaya situasi ini tidak merugikan kita dalam perlawanan," jelasnya.
05 Sep 20
531
Gelanggang Futsal Penuhi Hasrat Pemuda Batangan
MARANG, 4 September - Gelanggang futsal yang sedang dibina bakal memenuhi hasrat dan impian golongan belia Kampung Batangan untuk memiliki kemudahan dalam aktiviti sukan.
Disebabkan kampung Batangan terletak agak jauh dari jalan utama dan kawasan membangun, anak muda kampung terbabit yang ingin bersukan mengalami kesukaran apabila ketiadaan kemudahan gelanggang futsal.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batangan, Abdul Rahman Abdullah berkata, dengan adanya kemudahan berkenaan nanti, ia memberi peluang kepada golongan belia untuk terus aktif dalam aktiviti sukan.
"Pembinaan gelanggang futsal di Kampung Batangan ini bukan sahaja dapat dijadikan tempat untuk bermain futsal malah menjadi tempat riadah masyarakat setempat khususnya generasi muda bagi mengelak mereka terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat kunjungan bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di lokasi gelanggang futsal tersebut hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Pemuda Pas DUN Rhu Rendang, Ziyad Zakaria dan AJK MPKK Kampung Batangan.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, gelanggang itu dibina di bawah peruntukan Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.
"Di awal pemerintahan kerajaan negeri, kita mendapat maklumat tentang hasrat golongan belia yang mengharapkan sebuah gelanggang futsal.
"Pihak pengurusan DUN telah berusaha membawa hasrat ini kepada jabatan berkenaan, selari dengan keutamaan permohonan yang dipohon oleh setiap MPKK di dalam kawasan Rhu Rendang," katanya.
Menurut beliau, pihaknya memandang berat keperluan rakyat setempat kerana gelanggang tersebut bukan sahaja dijadikan tempat untuk bermain, malah sebagai tempat kemudahan bagi segenap lapisan masyarakat.
"Bagi belia dan penduduk kampung pula, jagalah kemudahan yang ada di kampung sebaiknya, gunakan dengan betul dan ikut peraturan supaya kerajaan boleh menyediakan lebih banyak kemudahan di kampung masing-masing," tambahnya.
03 Sep 20
772
Tepoh Lancar Kelab Basikal TCCT & Kembara Merdeka
KUALA NERUS, 1 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh melancarkan sebuah kelab berbasikal Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) di perkarangan Dewan Serbaguna Tepoh semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kelab basikal itu meletakkan paksi ‘cakna’ dengan menganjurkan program berkebajikan melalui aktiviti berbasikal.
"Terasnya kebajikan dan keprihatinan selain gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan basikal. Kami berhasrat dapat menelusuri jalan-jalan di pendalaman untuk mendekati warga yang memerlukan secara lebih dekat. Itulah hasratnya," jelas beliau ketika dihubungi media selepas pelancaran kelab itu semalam.
Dalam program terbabit, satu program Kembara Merdeka TCCT sejauah 21 kilometer telah dianjurkan pada hari yang sama dengan melibatkan 250 peserta.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu diberikan penghormatan untuk menyempurnakan acara pelepasan Kembara Merdeka TCCT.
Turut hadir bagi memeriahkan lagi program Konvoi Kembara Merdeka dan pelancaran kelab, Syed Ahmad Saifuddin Syed Muhammad, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, pelumba basikal termuka TSG, Mohd Hariff Salleh, Nur Amirul Fakhruddin dan beberapa lagi pelumba lain.
Hishamuddin yang juga Penaung Kelab TCCT juga memaklumkan, penubuhan kelab turut memberi peluang kepada belia untuk mengasah bakat dalam sukan berbasikal.
“Penubuhan kelab ini bagi memberi ruang kepada anak muda meningkatkan nilai tambah untuk diri masing-masing selain hanya tertumpu aktiviti kayuhan semata-mata. Kelab ini akan membimbing penganjuran ‘fun ride’ secara profesional, kepelbagaian aktiviti berbasikal dan membina jaringan hubungan dengan pelbagai pihak,” tambah beliau.
01 Sep 20
488
Terengganu Rai Kejayaan Pelumba Cilik Saingan SIC MiniGP
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan negeri berbesar hati dengan kejayaan mengujakan oleh tiga pelumba cilik yang 'menawan' Pusingan 1 Kejohanan SIC MiniGP 2020 yang berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC), baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dua pelumba cilik dari Terengganu, Qabil Irfan Azlan dan Muhammad Hakim Danish Ramli memberikan harapan apabila kedua-duanya memenangi perlumbaan dalam kelas tersendiri.
Pelumba termuda dalam saingan, Qabil yang berusia lapan tahun memenangi kedua-dua perlumbaan dalam kelas 110cc manakala rakan senegeri, Hakim, 13, mengikuti jejak sama dalam kelas lebih tinggi, 160cc.
Qabil melengkapkan 15 pusingan Perlumbaan 1 dengan catatan keseluruhan terpantas, 15 minit 39.347 saat (s) sebelum mengulangi kejayaan sama pada Perlumbaan 2, menemui garisan penamat dengan 15:20.696s.
Hakim pula mencatatkan catatan keseluruhan terpantas Perlumbaan 1 dengan 14:44.554s sebelum melakukan catatan yang lebih baik pada Perlumbaan 2, 14:16.463s sekali gus memberi bayangan mampu menguasai Pusingan 2 yang dijadual berlangsung di litar sama, 6 September ini.
Sementara itu, Adam Danial Abdul Fattah selesa di tempat ketiga dalam kelas 110cc dengan catatan keseluruhan, 15:36.061s pada Perlumbaan 2 di belakang pelumba cilik dari Johor, Arif Anaqi.
Mengulas mengenai kejayaan ketiga-tiga pelumba cilik tersebut, ujar Wan Sukairi, beliau amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Terengganu dalam kejohanan sulung itu.
"Hari ini kita raikan adik Qabil Irfan, Hakim Danish dan Adam Danial bersama keluarga mereka dalam jamuan makan tengah hari. Dalam usia yang begitu muda, mereka sudah mampu mencungkil bakat yang dimiliki.
"Kerajaan negeri berbesar hati menghadiahkan helmet yang ditempah khas untuk mereka pakai ketika perlumbaan berserta sijil penghargaan. Kita juga akan mempertimbangkan projek pembangunan khas untuk adik-adik cilik ini," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan ketiga-tiga pelumba Kejohanan SIC MiniGP itu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak.
Untuk rekod, Kejohanan SIC MiniGP adalah sebahagian daripada MAM SpeedWeek yang akan berlangsung sebanyak lima pusingan di SIKC sehingga Disember membabitkan 21 peserta muda daripada lingkungan umur lapan hingga 13 tahun berentap merebut gelaran.
Inisiatif dilakukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing kendalian ikon dua roda negara, Zulfahmi Khairuddin ini menggunakan jentera BucciMoto BR-10 GP yang berkapasiti 110cc dan 160cc.
Kejohanan ini juga menjadi platform asas untuk peserta membuktikan kemampuan mereka sebelum diberikan peluang menyertai saingan lebih tinggi seperti Asia Talent Cup, European Talent Cup, Kejuaraan CEV di Eropah dan seterusnya ke perlumbaan berprestij, Kejuaraan Motosikal Dunia.
01 Sep 20
1072
MB Teruja Bersama 250 Komuniti Basikal Semarak Merdeka Rhu Rendang
MARANG, 31 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak melepaskan peluang bersama-sama hampir 250 orang peserta kayuhan basikal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rhu Rendang, hadir pada jam 7.30 pagi bagi bersama-sama komuniti dari seluruh daerah Terengganu dalam acara 'Fun Ride' Semarak Kemerdekaan Dun Rhu Rendang 2020.
"Kemeriahan bulan merdeka diisi dengan pelbagai program diantaranya aktiviti sihat yang dapat dilakukan secara bersama-sama.
"Seronok dapat bersama komuniti sambil dapat melakukan aktiviti fizikal beramai-ramai," katanya.
Beliau berkata melalui perkongsian status di laman rasmi facebook miliknya.
Acara berbasikal itu disempurnakan oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hassan Awang diiringi oleh Ketua Balai Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris.
Program perasmian penutup Semarak Merdeka disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
30 Aug 20
912