Artikel "Sukan" Terkini
Terengganu FC Menang Mudah
KUALA NERUS, 25 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mudah menewaskan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 4-0 dalam aksi CIMB Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Melayan kunjungan pasukan di tangga terakhir liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sang Penyu tidak menunggu lama untuk mendahului lawan.
Bermula dengan hantaran lintang kapten, Lee Tuck dari sebelah kanan padang ditanduk mudah penyerang, Faris Ramli untuk gol pertama pada minit ke lapan.
Perlawanan terus berlangsung dengan penguasaan bola oleh pasukan tuan rumah walaupun beraksi tanpa penyerang utama, Dominic Da Sylva yang cedera dan digantikan penyerang Terengganu FC II, Bruno Suzuki.
Pada minit ke-24, Faris dijatuhkan pertahanan The Cops, Ahmad Syahmi Shukri dalam kotak penalti, menghadiahkan penalti kepada tuan rumah.
Tendangan tersebut disempurnakan Lee Tuck untuk gol kedua pasukan, seminit kemudian.
Terengganu FC hampir menambah gol pada minit ke-39, tetapi tandukan pertahanan, Argzim Redzovic disahkan offside oleh pengadil.
Memasuki masa tambahan babak pertama, Lee Tuck berjaya memanfaatkan serangan terakhir pasukan apabila melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti melepasi kawalan penjaga gol, Mohamad Farzly Muhammad.
Tamat separuh masa pertama, skor 3-0 memihak kepada Terengganu FC.
Bersambung babak kedua, The Cops mengubah corak permainan dengan lebih banyak menguasai bola dan menyerang Sang Penyu.
Namun, Terengganu FC ampuh bertahan. Sebaliknya, tuan rumah pula berjaya mendapatkan gol keempat menerusi Faris Ramli.
Penyerang kebangsaan Singapura itu menanduk masuk m hantaran cantik Mohamad Arif Fadzillah Abu Bakar pada minit ke-74, melebarkan jurang gol kedua-dua pasukan.
Terengganu FC menoktahkan perlawanan dengan kemenangan dalam aksi kesembilan Liga Super 2020.
25 Sep 20
1451
Terengganu Mara Ke Final
KUALA LUMPUR, 24 September - Pasukan Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Pahang 4-3 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Masih segar dengan kemenangan ke atas Sabah tempoh hari, Terengganu bermula garang dengan melancarkan serangan pantas.
Walau bagaimanapun Terengganu dikejutkan dengan jaringan awal Pahang menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke-3 selepas bola pukulan percuma gagal dikeluarkan penjaga gol.
Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu menambah variasi serangan melalui kiri dan kanan padang.
Foto ihsan - Hokita.
Hasilnya, dua gol berselang satu minit diledak ketua pasukan Terengganu, Fitri Saari masing-masing di minit ke-5 dan 6.
Perlawanan terus rancak berlangsung apabila kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar serangan sehinggalah pada minit ke-20 Terengganu memperoleh pukulan sudut penalti.
Peluang tersebut tidak disia-siakan Faizal Saari apabila dia bijak meletakkan bola ke penjuru kanan gol Pahang untuk kedudukan 3-1, keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu terus menguasai perlawanan namun jentera hadapan gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Pahang yang menerapkan corak serangan balas turut mencemaskan penjaga gol Terengganu dengan beberapa pukulan merbahaya.
Hasilnya pertahanan Terengganu melakukan pada minit ke-57 sekali gus memberikan pukulan sudut penalti kepada Pahang.
Foto ihsan - Hokita.
Muhammad Idris Samad menggunakan kesempatan itu dengan baik apabila menjaringkan gol kedua Pahang sekaligus merapatkan kedudukan 3-2.
Namun, Terengganu memberi tindak balas segera, dua minit kemudian serangan balas mereka sekali lagi menerusi Faizal Saari memerangkap penjaga gol Pahang.
Pahang cuba bangkit, namun masa tidak mencukupi dan hanya sekadar berjaya menambah satu lagi gol seminit sebelum perlawanan tamat
Gol pukulan sudut penalti menerusi Muhammad Idris Samad melengkapkan keputusan 4-3 memihak Terengganu dan kekal hingga wisel penamat.
24 Sep 20
4507
Terengganu Belasah Kelantan 14-0
Foto ihsan - Hokita
KUALA TERENGGANU, 21 September - Skuad hoki lelaki Terengganu terus mempamerkan aksi bertenaga selepas membelasah Kelantan 14-0 pada perlawanan akhir kumpulan dalam Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 sebentar tadi.
Meskipun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas perlawanan kedua baru-baru ini, Terengganu tetap tampil dengan aksi menyerang seawal minit pertama.
Saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan penyerang berbisa, Faizal Saari terus unggul sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Faizal membuktikan ketajamannya apabila meledak enam gol iaitu masing-masing pada minit ke-2, 5, 14, 17, 43 dan 57.
Lapan lagi gol disumbangkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-19 dan 35, Muhammad Amirul Mirza Rozi (m-30), Muhammad Fakhri Ardillah Saifullah (m-36 dan 54), Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin (m-51), Muhammad Alif Izham Abdullah (m-55) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-59).
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad pantai timur itu menghuni tangga teratas kumpulan dengan rekod bersih tanpa kalah.
Sebelum ini, anak buah Tai Beng Hai juga menang bergaya ke atas ATM 5-1 dan PDRM 5-0.
21 Sep 20
2452
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
KUALA NERUS, 20 September - Kerajaan negeri menyasarkan jumlah pingat emas yang tinggi untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 bagi Pasukan Perahu Layar Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan optimis bahawa skuad atlet perahu layar negeri akan menggondol 10 pingat emas pada Sukma Johor berbanding lapan pingat emas pada Sukma Perak edisi-19 pada 2018 lalu.
“Saya diberi mandat sebagai bapa angkat Pasukan Perahu Layar Terengganu. Oleh itu, kita perlu sasar lebih daripada lapan pingat emas yang dipungut pada Sukma Perak yang lalu.
“Saya yakin kerana sebahagian besar atlet kita pernah mewakili negara dan menang di peringkat antarabangsa, bukan setakat di dalam negara.
“Pihak kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu dalam menetapkan masa dan tempat untuk pemberian sagu hati sebagai penyuntik semangat kepada para atlet,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak atlet atas komitmen menaikkan nama Terengganu di persada kebangsaan dan dunia, semasa menghadiri majlis penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020 di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus, petang semalam.
“Kejohanan sebegini memberikan peluang yang baik kepada atlet untuk memahirkan diri dalam menghadapi saingan pada Sukma akan datang," tambahnya.
Turut Hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin serta Ketua Jurulatih Sukan Pelayaran Negeri Terengganu, Abdul Rani Idris.
Menurut ketua jurulatih, antara cabaran dalam aspek persiapan skuad adalah kehilangan masa latihan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.
“Cabaran ini dapat diatasi melalui kejohanan seperti ini di mana atlet dapat berlatih bersama skuad Sukma negeri lain.
Beliau mengulas, mereka akan menggunakan tempoh sebelum musim tengkujuh untuk berlatih di Tanjung Gelam kerana suasana dan lokasi yang strategik.
"Pada bulan November, kita akan kembali berlatih di perairan berdekatan dengan Duyong Marina, Pulau Duyong," ujarnya.
Menurutnya, senarai panjang skuad atlet terdiri daripada 25 orang, 17 atlet terpilih akan diumumkan dalam sekitar bulan Disember untuk mewakili negeri di Sukma Johor 2020.
“Dua acara yang bakal dianjur dalam negeri iaitu Liga Layar Siri Ketiga dan Kejohanan Tertutup Jemputan Terengganu pada 13 hingga 16 november di Duyong Marina Resort. Acara sebegini adalah di antara proses pemilihan atlet.
“Kejohanan kebangsaan akan dijangka berlaku sekitar bulan Disember, tuan rumah belum diketahui lagi tetapi ia adalah proses terakhir untuk pemilihan skuad atlet perahu layar negeri," jelasnya.
20 Sep 20
640
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
KUALA NERUS, 20 September - Pasukan Perahu Layar Terengganu mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020 di Pantai Tanjung Gelam dengan menguasai kategori terbaik keseluruhan kategori Optimist bagi lelaki dan perempuan.
Atlet lelaki terbaik keseluruhan kelas optimis dijuarai oleh Asmadi Azman dalam tiga acara. Manakala, juara keseluruhan kategori perempuan kelas optimis dimenangi oleh Nur Faarihah Abdul Rani.
Asmadi Azman, yang merupakan anak jati Pulau Duyung Kecil berkata, antara cabaran yang dihadapi seperti isu angin laut perlahan yang memberatkan lagi perahu layarnya.
“Berkat doa ibu bapa dan tidak meninggalkan latihan secara berterusan adalah strategi saya dalam menghadapi cabaran dalam persaingan ini,” katanya petang semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu Siri 2/2020 yang berlangsung pada jam 5 petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin.
Kejohanan itu disertai oleh 59 orang atlet. Terengganu diwakili oleh 17 orang atlet Sukan Malaysia (Sukma) manakala 31 orang lagi adalah atlet pelapis, manakala 10 orang atlet Sukma mewakili Kedah dan seorang mewakili Pulau Pinang.
Ketua jurulatih sukan pelayaran negeri Terengganu, Abdul Rani Idris berkata, kejohanan ini adalah aksi kali pertama atlet selepas terpaksa ditangguhkan atas sebab pandemik Covid-19.
Beliau mengulas, di antara fungsi kejohanan itu adalah untuk memperkasakan atlet selain mengenal pasti kelemahan dan ruang untuk penambahbaikan.
“Lokasi di Pantai Tanjung Gelam ini membantu dalam persiapan untuk Sukma Johor 2020 kerana lokasi perairan yang terbuka.
“Kita akan berlatih di sini dalam tempoh sebelum musim tengkujuh pada bulan November, kemudian latihan akan disambung di kawasan Duyong Marina,” ulasnya lagi.
Untuk rekod, kejohanan tersebut melibatkan empat kategori kelas iaitu Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing yang berlangsung di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus selama empat hari bermula pada 16 hingga 20 september.
20 Sep 20
1891
Terengganu FC Kalah Lagi
SHAH ALAM, 20 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengalami kekalahan buat kali ketiga berturut-turut apabila tumpas 1-2 di tangan UITM FC, semalam.
Beraksi di gelanggang lawan, anak buah Nafuzi Zain dikejutkan dengan gol tuan rumah seawal minit keempat perlawanan.
Penyerang UITM FC, Muhamad Arif Mohamed Anwar berjaya melakukan tindakan susulan dengan menolak bola muntah yang ditampan Sharmiza Yusoff hasil sepakan deras pemain import, Mark Hartmann.
Terengganu FC cuba bangkit dengan menggasak tetapi penjaga gawang UITM FC, Azfar Arif Mohd Sukri ampuh menahan serangan.
Sanjar Shaakhmedov akhirnya berjaya memperoleh sepakan penalti dan disempurnakan dengan baik oleh Lee Tuck pada minit ke-38.
Pada babak kedua perlawanan, Sang Penyu cuba mencari tiga mata untuk dibawa pulang.
Sayangnya, perjuangan itu dinoktahkan kapten yang juga pertahanan tuan rumah, Victor Nirennold dengan rembatan 'half volley' setelah mendapat umpanan cantik Mark Hartmann pada minit ke-60.
Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC menjadi mangsa ketiga 'dikuliahkan' skuad budak universiti selepas Pahang dan Felda United sebelum ini.
20 Sep 20
1145
Nabil Kembali Gagah Di Halaman Sendiri
KUALA NERUS, 19 September- Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, Rahimi Nabil Razu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mencatat masa terpantas pada saingan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia 2020 di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Dalam perlumbaan akhir saingan kelas Wira KBS sebentar tadi, Nabil mencatatkan masa 10 minit 47.161 saat mengatasi pelumba di tempat kedua, Md Haziq Rosmaza dengan perbezaan 1.219 saat.
Anak Kampung Pak Madah, Bukit Payong itu menyatakan kegembiraannya merekodkan kemenangan di halaman sendiri.
"Alhamdulillah saya amat bersyukur. Selepas menguasai podium di pusingan pertama, saya menghadapi kesukaran di Johor akibat hujan.
"Kali ini, saya kembali mengekalkan nombor satu dan saya akan berusaha lebih lagi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perlumbaan tadi.
Nabil kini terus menguasai carta kedudukan keseluruhan selepas pusingan keempat dengan 78 mata.
"Saya hendak mengekalkan kedudukan ini sehingga habis musim," tambahnya bersemangat.
Dalam pada itu, pada saingan kelas CP 125, seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Md Hafiza Rofa yang mewakili ONEXOX TKKR SAG TEAM turut berjaya menduduki podium di tempat ketiga.
19 Sep 20
903
Anak Bukit Payong Kuasai Podium Cub Prix
KUALA NERUS, 19 September- Pelumba kelahiran Bukit Payong, Md Danish Aiman Zamrul, 15, mengekalkan kedudukan teratas keseluruhan apabila memenangi saingan pusingan keempat Kejuaraan Malaysia Cub Prix PETRONAS di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Pelumba pasukan MH Racing itu muncul pelumba terpantas pada perlumbaan akhir kelas PETRONAS Super Series dengan catatan 9 minit 52.767 saat.
Beraksi di 'kampung' sendiri, Aiman membuktikan kesungguhan untuk terus menguasai podium selepas kejayaan di pusingan pertama dan ketiga, baru-baru ini.
"Saya sebenarnya berdebar beraksi di litar ini sebab 'hometown', tetapi saya bangga dapat juara di sini.
Aiman bersama bapanya, Zamrul.
"Kemenangan ini memberi lebih semangat buat saya. Impian saya adalah untuk menjadi juara keseluruhan tahun ini bagi memperbaiki persembahan musim lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perlumbaan hari ini.
Bapanya, Zamrul Hamid menyifatkan keberanian Aiman pada musim kedua di Cub Prix semakin meningkat.
"Tahun ini, alhamdulillah. Kemahiran, semangat dia semakin tinggi. Semoga dia boleh mencipta kejayaan musim ini," katanya.
Aiman kini mendahului carta perlumbaan kelas PETRONAS Super Series dengan 85 mata keseluruhan.
19 Sep 20
8850
Terengganu Pertaruh Gandingan Terbaik Cabar Piala Tun Abdul Razak
KUALA TERENGGANU, 17 September – Pasukan Hoki lelaki Terengganu menyasarkan kedudukan podium dalam Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 yang membuka tirainya esok.
Pemangku Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun berkata, gandingan pemain berpengalaman dan bakat baru Sukan Malaysia (SUKMA) diharapkan dapat mencabar kejuaraan antara negeri itu.
"Dengan gabungan enam pemain Malaysia, tiga bekas pemain kebangsaan dan satu pemain remaja kebangsaan, kita memiliki gandingan yang lebih ampuh berbanding tahun-tahun lalu.
"Ini ditambah dengan pemilihan jurulatih melalui kriteria dan kredibiliti iaitu jurulatih Tai Beng Hai yangb berpengalaman lebih 20 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis meraikan pemain dan penyerahan tajaan jersi Pasukan Hoki Terengganu Piala Razak 2020 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, baru-baru ini.
Jelasnya, bagi pasukan wanita pula, Terengganu menampilkan semua pemain daripada team SUKMA sebagai pendedahan kejohanan kepada wirawati-wirawati baru negeri yang dipimpin jurulatih, Muhammad Sabran Mohd Sharif dibantu pemain berpengalaman, Mohamed Shahrun Nabil Abdullah.
Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 akan berlangsung bermula 18 September hingga 26 September ini menjadi kejohanan pertama yang akan dilangsungkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pasca pandemik Covid-19.
Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita akan berentap merebut piala berkenaan di venue rasmi kejohanan, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Pasukan Terengganu masih berusaha mencari kejuaraan ketiga selepas menjuarainya pada tahun 2012 dan 2016. Skuad Sang Penyu pernah mara ke perlawanan akhir pada 2017 dan 2018 namun kedua-duanya tewas kepada pasukan Perak.
17 Sep 20
719
Fun Ride : Bina Budaya Sihat Dan Cintai Alam
KUALA NERUS, 17 September - Seramai 350 peserta telah menyertai program kayuhan Malaysia Day Ride 2020 sejauh 33 Kilometer bermula di Kompleks Sukan Negeri Terengganu semalam.
Aktiviti berkenaan dianjurkan Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Inc. TSG.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merupakan usaha memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.
"Di samping itu, ini jua adalah peluang untuk peserta menikmati alam dan suasana persekitaran menerusi jelajah perkayuhan ini," ujarnya semasa program berlangsung.
Beliau yang juga Penaung Kelab TCCT berkata, penganjuran program itu juga bagi menyuntik dan menimbulkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
"Seawal kayuhan sehingga ke garisan penamat, kita akan melihat persekitaran laluan kita. Sudah tertentu kita akan berfikir sesuatu apabila melihat persekitaran kita dipenuhi dengan sampah sarap.
"Pastinya apa yang kita lihat dengan tanggungjawab akan mencetus satu rasa semangat untuk lebih bertanggungjawab selepas ini.
"Kita perlu membentuk masyarakat supaya menjadi golongan yang lebih prihatin menjaga alam sekitar dan menerapkan budaya berdisiplin, khususnya ketika berada di jalanraya," jelasnya.
Terdahulu, acara perlepasan peserta kayuhan disempurnakan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.
17 Sep 20
197