Artikel "Sukan" Terkini
Persaraan Ibni Amin Kehilangan Besar Buat Sukan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Persaraan Ibni Amin Busu daripada jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) disifatkan satu kehilangan besar buat penggiat sukan dan atlet di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persaraan itu akan dirasai warga MSNT berikutan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki Ibni Amin dalam memimpin atlet Terengganu mencapai beberapa kejayaan cemerlang.
“Saya percaya ramai warga MSNT terutama yang pernah berkhidmat di bawah seliaan Ibni Amin akan merindui keperibadian beliau yang tampak bersahaja tetapi tegas ketika menjalankan tugas.
“Kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas menyerlahkan aura kepemimpinan beliau, sekali gus membolehkan visi jabatan di bawah pimpinannya dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Wan Sukairi berkata, antara kejayaan yang pernah dilakukannya ketika memegang jawatan pengarah MSNT adalah membawa Terengganu menjuarai Sukan Malaysia beberapa tahun berturut-turut.
“Cabaran memang berbeza pada setiap tahun, namun ketika beliau komited dengan tugasan hingga melakar banyak kejayaan buat negeri
“Semasa pentadbiran beliau juga, ramai atlet berprofil tinggi berjaya dilahirkan,” katanya.
13 Oct 20
1421
Terengganu FC Daki Tangga Ketiga Liga Super 2020
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020 setelah menang tipis 2-1 kepada Pahang dalam aksi terakhir liga, malam ini.
Beraksi di gelanggang sendiri, Sang Penyu nyata berkelebihan di atas kertas apabila turun dengan lima import berbanding Tok Gajah yang hanya menurunkan Adam Micheal Tull sebagai awang import.
Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan perlawanan dengan serangan awal ke kubu lawan, namun tidak berhasil dengan pelawat lebih banyak bertahan.
Pada minit ke-12, skuad kendalian Dollah Salleh mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk Pahang mendahului 1-0.
Tiga minit berselang, Terengganu FC berjaya menyamakan kedudukan apabila Dominic Da Slyva dijatuhkan oleh Helmi Eliza dalam kotak penalti hasil serangan balas yang digerakkan Lee Tuck.
Penjaring terbanyak pasukan itu tenang menyempurnakannya. ‹Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Penyu menggandakan asakan untuk mengatasi lawan.
Pada minit ke-61, Faris Ramli hampir menjarakkan kedudukan, namun sungkitannya yang melepasi jangkauan Helmi berjaya dikeluarkan Fazly Mazlan.
Terengganu FC akhirnya berjaya mengambil kesempatan atas kekurangan pasukan Pahang yang terpaksa bermain sepuluh pemain setelah Muhammad Hardee Shamsuri yang tercedera pada 10 minit terakhir perlawanan.
Lee Tuck muncul wira Sang Penyu apabila menolak mudah hantaran lintang pemain meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad ke gawang Tok Gajah pada minit ke-82.
Tuan rumah cuba menambah gol, tetapi kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC menamatkan liga dengan mengumpul 19 mata, di belakang Kedah di tangga kedua dan juara liga, Johor Darul Ta'zim.
11 Oct 20
2785
Anak Terengganu Raih Pingat Kejohanan Taekwando Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Seorang lagi anak Terengganu, Zara Habib Haniya Mohd Haizal berjaya mengharumkan nama negeri dan negara, dalam Kejohanan Antarabangsa ‘Virtual KTA Poomsae dan Para Poomsae’ tahun 2020.
Beliau yang mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, berjaya merangkumi pingat gangsa dalam acara kategori poom tali pinggang hitam bawah 11 tahun perempuan, berlangsung secara maya selama tiga hari pada 2 hingga 4 oktober.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan adik Zara bukan sahaja membanggakan Sekolah Kebangsaan Sultran Sulaiman Satu, tetapi juga mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada dunia.
“Penghargaan sebesar-besarnya diberikan kepada Zara. Insya-Allah ia menjadi suatu lonjatan, dan memberi semangat kepadanya supaya terus berjaya pada masa hadapan.
“Tahniah juga buat Jurulatih Kelab Taekwondo Teguh Terengganu, Solihin Abdullah atas kejayaan dan usaha didikan atlet sepanjang kejohanan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, pelajar SK Sultan Sulaiman 1 itu antara lapan atlet yang mewakili negara ke peringkat taraf dunia itu.
Kejohanan atas talian ini dianjurkan oleh Harrogate KTA United Kingdom yang disertai oleh kira-kira 67 buah negara dari segenap benua, melibatkan 566 orang atlet.
09 Oct 20
1946
Terengganu FC II Lebur Rekod Tanpa Kalah Pulau Pinang
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Terengganu Football Club II (TFC II) berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Juara Liga Premier Malaysia 2020, Pulau Pinang apabila menang 1-0 dalam aksi terakhir liga, sebentar tadi.
Melayan kunjungan Harimau Kumbang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), penyerang tuan rumah, Jordan Mintah meledak gol tunggal perlawanan sekali gus menafikan penamat terbaik pelawat bagi musim ini.
Selaku tuan rumah, anak buah Roshadi Wahab memulakan perlawanan dengan bermain secara lebih terbuka untuk mendapatkan gol awal.
Namun, Pulau Pinang yang cemerlang sepanjang musim ini lebih banyak mendominasi perlawanan.
Pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid mempamerkan penguasaan dengan empat serangan sepanjang babak pertama, tetapi barisan penyerang mereka jelas terganggu dengan keadaan padang basah akibat hujan lebat.
Terengganu FC II pula berjaya mengawal asakan lawan dengan beberapa serangan balas.
Memasuki babak kedua, Pulau Pinang terus melakukan serangan bertali arus sambil tuan rumah lebih banyak menggerakkan bola melalui hantaran-hantaran jauh ke pasangan penyerang, Jordan dan Darren Lok.
Pada minit ke- 87, lorongan kemas Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob berjaya memecahkan kubu pertahanan lawan membolehkan Jordan berada dalam situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan, Samuel Jacob Somerville.
Peluang itu disempurnakan Jordan dengan sungkitan mudah melepasi kawalan Somerville.
Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan melonjakkan Terengganu FC II ke tangga kedua liga dengan 22 mata.
Kedudukan tempat kedua masih terbuka kerana pesaing, Kuala Lumpur akan bertemu Kuching FA, dalam aksi liga yang ditangguhkan ke minggu depan berikutan sekatan perjalanan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak akibat Covid-19.
09 Oct 20
3472
Gelanggang "Al-Battar" Sinar Baru Khazanah Bani Melayu
KEMAMAN, 8 Oktober - Majlis perasmian pembukaan gelanggang silat seni gayong serantau Al-Battar (Gelanggang Awam Kemasik) yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili menjadi gelanggang baharu sukan silat bagi masyarakat di sini.
Tenaga pengajarnya, Wan Ahmad Faiz Wan Razali berkata, idea untuk mewujudkan gelanggang itu adalah susulan daripada permintaan pemuda-pemuda sekitar Kemasik untuk pempelajari ilmu mempertahankan diri.
"Kerana ilmu ini, semakin tenggelam dan dilupakan oleh anak-anak muda bangsa kita pada zaman sekarang," katanya.
Wan Ahmad Faiz Wan Razali.
Oleh itu, beliau telah mengambil satu inisiatif untuk memperkembangkan lagi dan mengajar ilmu-ilmu yang telah diturunkan oleh guru-gurunya sebelum ini.
"Dengan mempelajari dan mendalami ilmu mempertahankan diri, ianya akan menjadikan diri kita ini semakin utuh jiwa serta dapat mengeratkan silaturahim sesama kita," katanya.
Majlis itu telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kiri Kemasik. Hadir sama, ketua-ketua kelab seni gayong serantau Terengganu dan pertubuhan seni gayong serantau Malaysia serta orang awam.
Sementara itu, Ahli Lembaga Waris Amanah, Ghazali Harun atau dikenali sebagai 'Pok Li' berkata, mereka akan cuba sedaya upaya untuk mengembangkan ilmu bela diri itu di seluruh pelusuk bumi Terengganu.
"Kami dididik bagi menanam dan memberi kefahaman kepada anak-anak didik. Supaya menjadikan junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai idola kita, mereka yakni anak-anak didik diberi pendedahan bahawa Nabi kita adalah seorang panglima perang, seorang pemimpin dan segala-galanya.
"Kami cuba mendidik diri dan anak-anak didik supaya kasih akan risalah langit, kasih kepada ulama dan kasih terhadap umarak.
Ir Saiful Azmi Suhaili (kiri) dan Ghazali Harun (kanan).
"Seseorang akan memiliki bekal untuk menangkis serangan serta mematahkan usaha lawannya sewaktu diacam dengan fizikal, sama-samalah kita berusaha menggali khazanah bani melayu yang sangat tinggi nilainya," ujarnya.
06 Oct 20
1263
Benam Felda 3-0, Terengganu Intai Tiga Teratas
JENGKA, 3 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) mengintai peluang untuk menamatkan saingan Liga Super 2020 di kedudukan tiga teratas selepas berjaya membenam cabaran Felda United 3-0 di Stadium Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebentar tadi.
Jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, bermain menentang Felda bukanlah satu perlawanan yang mudah kerana pasukan itu pastinya mahu bangkit selepas dibelasah Perak minggu lalu.
“Kita tahu mereka juga mahu menang bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super, namun kesungguhan pemain TFC dalam bertahan dan menyerang malam ini memberikan kita tiga mata.
“Taktikal dan strategi yang kita terapkan juga berjaya memerangkap mereka, kita memanfaatkan kualiti yang ada pada Lee Tuck dan Sanjar Shaakmedov,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan terakhir menentang Pahang minggu depan, Nafuzi mahu para pemainnya terus fokus untuk terus meletakkan TFC di kedudukan terbaik.
“Ia bukan tugas mudah, Pahang ada kelebihan tersendiri, setiap pasukan ada gaya permainan tersendiri tetapi sudah tentu kita mahukan tiga mata apatah lagi beraksi di tempat sendiri,” katanya lagi.
Dalam perlawanan itu, TFC yang hadir sebagai pasukan pelawat bermula baik apabila menemui sentuhan jaringan menerusi tandukan Dominique Da Sylva seawal minit kelima hasil sepakan percuma Lee Tuck.
Beberapa minit kemudian, TFC terus hadir dengan beberapa peluang keemasan tetapi dinafikan oleh penjaga gol Felda, Mohd Muhaimin Mohamad.
Namun, gol kedua TFC hadir pada minit ke-38 selepas rembatan menarik Sanjar dari penjuru kotak penalti menembusi gawang gol Felda dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Felda dilihat lebih banyak menguasai perlawanan bagi mencari gol untuk merapatkan kedudukan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu TFC.
Tetapi, segala-galanya berakhir buat Felda apabila Lee Tuck menjaringkan gol ketiga dan kemenangan TFC melalui sepakan percuma pada minit ke-65, kedudukan 3-0 kekal memihak Terengganu.
Keputusan itu melonjakkan TFC ke tangga ketiga liga berkongsi 16 mata dengan Kedah yang masih kekuragan satu perlawanan.
03 Oct 20
2473
Skuad Bola Jaring Sasar Emas Di SUKMA Johor 2020
KUALA TERENGGANU, 29 September - Skuad bola jaring Terengganu mensasarkan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang akan berlangsung di Johor Bahru April tahun depan.
Bapa angkatnya, Zuraida Md Noor berkata taruhan itu bersandarkan semangat pasukan yang luar biasa dan semangat kesukanan yang tinggi.
"Sebelum ini, pasukan kita dah menentang empat negeri dalam beberapa perlawanan.Walaupun kita menang hanya dua tetapi ia menggambarkan satu strategi kekuatan dan mencari kelemahan pasukan.
"Kita memang target satu sahaja iaitu emas dan menang dengan penuh bergaya, Insya-Allah.
"Kita turunkan pemain terbaik dan berpengalaman dalam sukan ini selain mereka mempunyai kecergasan fizikal yang tinggi untuk menghadapi pihak lawan," katanya.
Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Bola Jaring SUKMA XX Johor 2020.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran negeri, Khairul Azham Mohd Yusoff yang merupakan jabatan angkat sukan berkenaan.
Seramai 16 atlet bola jaring negeri yang bakal beraksi di SUKMA XX Johor telah menjalani pelbagai latihan sejak Januari 2019 termasuk menyertai perlawanan persahabatan dan menyertai kejohanan negeri turut diraikan dalam majlis yang sama.
Sementara itu, Pengurus Pasukan, Wan Sarimah Wan Razak berkata beliau yakin Terengganu berupaya memberi tentangan sengit pada temasya kali ini.
"Saya yakin pasukan bila jaring akan berjaya ke peringkat akhir untuk kejohanan sukma sebab kita sudah berusaha dari sekarang dengan latihan yang lebih intensif.
"Walaupun tidak berjaya sebelum ini dalam kejohanan SUKMA terdahulu, ia bukan salah satu ukuran untuk terus maju dan saya yakin dengan persediaan yang lebih lama dapat membantu dalam temasya kali ini,"ujarnya.
Beliau turut berkata, dengan pemain berpengalaman, pihaknya sudah bersedia untuk turun beraksi bagi mencapai sasaran dalam memburu kejuaraan pada SUKMA XX Johor 2020.
"Saya harap pasukan kami akan mempamerkan aksi yang baik pada kali ini dan sekali gus dapat menyumbang pingat kepada kontinjen negeri," katanya.
29 Sep 20
823
Terengganu Model Terbaik Kerjasama Persatuan Sukan Dan IPTA
KUALA NERUS, 29 September - Kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan badan persatuan sukan dalam pemantapan sektor sukan negeri mampu menjadi contoh kepada negeri lain.
Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dr. Wirdati Md Radzi menyatakan rasa kagum dan bangga terhadap komitmen persatuan-persatuan sukan negeri dan MSNT dalam memperkasakan pembangunan sukan negeri.
“MSNT membuka ruang jalan dalam pemantapan kerjasama pendidikan sukan. Kerjasama rapat antara persatuan sukan negeri bersama IPTA di Terengganu seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan kolaborasi pertama kali yang saya lihat.
“Bentuk kerjasama ini boleh menjadikan Terengganu sebagai ‘role model’ atau contoh kepada negeri lain. Ini kerana usaha sebegini sedang dirancang pihak kami tetapi ia sudah wujud di Terengganu.
“Kolaborasi ini perlu dikekalkan dari segi momentumnya supaya peningkatan kemahiran dan pengetahuan pengurusan sukan dapat membantu dalam memantapkan sektor tersebut," ulasnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemubual pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Tadbir Urus Badan Sukan Yang Cekap Dan Berkesan Negeri Terengganu di Dewan Auditorium 1, Stadium Tertutup Negeri Terengganu, Gong Badak, petang semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Timbalan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahya, Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Siti Nazariah Abd Razak dan Penolong Pengarah MSNT, Nasree Najmi.
Seminar tersebut melibatkan lebih 100 kakitangan daripada 40 persatuan sukan negeri, semua majlis sukan daerah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) dan Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT).
Sementara itu, Hishamuddin berkata, seminar itu merupakan sambungan daripada tahun-tahun lepas sebagai tanda pengiktirafan kepada sektor sukan Negeri Terengganu. MSNT terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus sejajar dengan ‘roadmap’ tahun 2030 yang dirangka.
“Agenda individu serta pertelingkahan perlu diketepikan atau diselesaikan. Kita perlu mengutamakan sifat kebersamaan supaya mencapai objektif serta pembangunan sektor sukan negeri.
“Kita boleh berbangga dengan sukan basikal, layar dan seumpamanya, tetapi kita juga ingin terus melakar kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang sukan lain bersama anak-anak Terengganu,” katanya.
29 Sep 20
871
Pasukan Hoki Terengganu Wajar Dipuji- Saiful Azmi
KUALA LUMPUR, 27 September- Sekalipun tidak berjaya membawa pulang Piala Tun Abdul Razak ke bumi Terengganu, keputusan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) meletakkan gabungan pemain baharu dan lama dalam kejohanan itu, wajar dipuji.
Penaung PHT, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, barisan pemain yang dipilih juga mempamerkan permainan yang bagus sepanjang kejohanan sehingga dapat mencapai kedudukan naib juara.
"Kita melihat pemain-pemain muda kita perlu diberikan pendedahan supaya mereka lebih kuat dan bersedia untuk Sukan Malaysia (SUKMA).
"Insya-Allah, sasaran pasukan SUKMA lelaki untuk menaiki podium. Kita membuat perancangan untuk itu dan semoga mendapat apa yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2020, semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu tumpas 2-4 di tangan Perak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik itu turut meletakkan harapan kepada skuad hoki wanita negeri dalam SUKMA di Johor nanti.
"Pasukan wanita pula, kita harap mampu wujudkan satu keganjilan (keajaiban) walaupun kita tahu mereka masih baru dan perlu ditambah baik," katanya.
Dalam kejohanan yang berakhir semalam, Terengganu membariskan majoriti pemain SUKMA dalam pasukan lelaki.
Manakala, 100 peratus pemain SUKMA ditampilkan dalam pasukan wanita Terengganu.
27 Sep 20
1271
Perak Lebur Impian Juara Terengganu
KUALA LUMPUR, 26 September- Perak sekali lagi berjaya meleburkan impian pasukan Terengganu untuk bergelar juara TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 apabila menumpaskan pasukan Pantai Timur itu dengan jaringan 4-2.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu garang mendahului lawan seawal minit pertama melalui gol sudut penalti yang dijaringkan Faizal Saari.
Namun, Perak dapat menyamakan kedudukan melalui gol padang pada minit ke-17 hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Selepas itu, segalanya tampak sukar buat anak buah Tai Beng Hai. Terengganu lebih banyak menahan asakan Sang Seladang yang mempamerkan corak serangan pantas.
Penggempur Perak yang merupakan tonggak kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul berjaya meledak dua gol padang pada minit ke-30' dan 32' membolehkan lawan mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Haziq yang terpilih sebagai 'player of the match' malam ini meledak satu lagi gol padang pada minit ke-46 menyentak semangat Terengganu.
Ketinggalan 4-1 di awal babak kedua, Terengganu cuba bangkit merapatkan jurang.
Pada minit ke-59, Faizal Saari berjaya meledakkan gol melalui sudut penalti, tetapi sayang kebangkitan tersebut tidak dapat diteruskan.
Keputusan kekal 4-2 sehingga tamat perlawanan.
Untuk rekod, Terengganu tewas buat kali ketiga kepada Perak dalam perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak, setelah tumpas kepada lawan sama pada tahun 2017 dan 2018.
26 Sep 20
1897