lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Debaran Kian Terasa, Nafuzi Anggap Ibarat Perlawanan Akhir
Debaran Kian Terasa, Nafuzi Anggap Ibarat Perlawanan Akhir
KUALA TERENGGANU, 7 November- Menjelang beberapa jam sebelum sepak mula aksi Piala Malaysia 2020 antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Petaling Jaya City (PJ City) malam ini, debaran kedua-dua pasukan semakin memuncak. Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menyifatkan pertemuan pusingan pertama ini ibarat perlawanan akhir dan pasukannya akan memberikan sepenuh komitmen untuk memperagakan aksi terbaik. "Walaupun kita menang dalam pertemuan semasa Liga Super, tetapi Piala Malaysia ini berbeza sama sekali. Bukan laluan mudah untuk dihadapi dengan PJ City sering membuat kejutan bertemu pasukan besar. "Bagi saya, mungkin kelebihan kita biasa beraksi di tempat sendiri, tetapi sekarang kita beraksi tanpa penonton dan dari segi sokongan moral oleh penyokong tidak jauh berbeza," katanya ketika ditemui pemberita di padang latihan Terengganu FC, baru-baru ini. Di atas kertas, Sang Penyu memiliki kelebihan dari segi pemilihan pemain import yang lebih ramai selain majoriti pemain tidak berdepan kecederaan. "Bagi saya, saya fokus dengan kemenangan perlawanan pertama dan selepas itu baru kita akan fikirkan dengan siapa kita bertemu," katanya yang amat mengharapkan doa daripada semua penyokong kepada seluruh pasukan.    
07 Nov 20
658
Liga Bola Sepak MAKSAK Kuala Terengganu Buka Tirai
Liga Bola Sepak MAKSAK Kuala Terengganu Buka Tirai
KUALA TERENGGANU, 3 November - Liga Bola Sepak Friendly Majlis Kebajikan dan Sukan Aggota Kerajaan (MAKSAK) Kuala Terengganu membuka tirai kejohanan, Ahad lalu dengan perlawanan pertama antara Ibu Pejabat Kontijen Terengganu (IPKT) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ FC). Pengerusi Persatuan Pengadil Daerah Kuala Terengganu, Hamdan Awang yang bertindak sebagai penganjur liga memaklumkan, pertandingan berkenaan diadakan buat pertama kali bagi engeratkan hubungan antara kakitangan kerajaan di daerah terbabit bertempat di padang bola sepak Lagoon, Chendering. "Jadi, untuk kali pertama ini hanya melibatkan lapan pasukan sahaja iaitu pasukan IPKT, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPDKT), Jabatan Hal Ehwal Agama Kuala Terengganu, HSNZ, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Perhutanan Terengganu dan Bank Simpanan Nasional (BSN). "Pertandingan ini mungkin akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan MAKSAK dan berkemungkinan akan membuka Division kedua sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak," katanya. Perlawanan pembukaan antara kedua pasukan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul hadi dan berkesudahan HSNZ FC menewaskan IPKT FC dengan jaringan 4-2.  
03 Nov 20
1424
TFC Rangka Strategi Kembalikan Kegemilangan Pasukan
TFC Rangka Strategi Kembalikan Kegemilangan Pasukan
KUALA NERUS, 31 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sudah merangka beberapa strategi bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri dan menjana pendapatan kukuh untuk kelab. Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ab Rasid Jusoh berkata menjadi hasrat utama pihak pengurusan untuk meletakkan TFC sebagai pasukan nombor satu di persada bola sepak negara, sekali gus mengulangi semula kejayaan Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001. Justeru bagi mencapai objektif berkenaan, fokus juga akan diberi kepada aspek pengukuhan pemain dan barisan kejurulatihan supaya mereka menjadi aset bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan kepada pasukan. "Untuk tahun ini di bawah pengurusan baharu TFC Sdn Bhd, kita tetapkan misi 'Win Back Mission' bagi menjadikan TFC pasukan nombor satu negara dan pengurusan (pasukan) terbaik di rantau ini. "Kita ada beberapa perancangan..antaranya menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai tempat himpunan anak muda dengan pelbagai penganjuran acara yang boleh menjana pendapatan kepada kelab," katanya ketika ditemui pada program Jalinan Kasih Legenda Bola Sepak Terengganu bersama CEO TFC Sdn Bhd, di sini hari ini. Lebih 70 bekas pemain bola sepak Terengganu dari era 70-an hingga 90-an menghadiri program yang bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan berkongsi pandangan serta pengalaman dalam arena bola sepak. - BERNAMA
31 Oct 20
1072
Terengganu Lancar Program Mencari Safawi 2.0
Terengganu Lancar Program Mencari Safawi 2.0
SETIU, 27 Oktober - Sebuah program pencarian bakat-bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi yang dinamakan Mencari Safawi 2.0 dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, hari ini. Mengambil inspirasi kejayaan pemain kelahiran Dungun, Safawi Rasid yang kini berjaya melebarkan bakatnya di Eropah, Wan Sukairi menzahirkan matlamat untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu sebagaimana pemain tersebut di bawah satu program yang dirancang oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT). "Program ini akan bermula hujung tahun ini di mana pihak JPNT akan melakukan pencarian bakat berumur 12 tahun di setiap daerah yang akan dikumpulkan sebagai sebuah pasukan. "Matlamat kita adalah melahirkan seberapa ramai atlet dan membekalkan negeri serta negara dengan atlet berbakat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas, hari ini. Turut hadir, Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani dan Timbalan Pengarah MSNT, Noor Zatil Aqmar Mohamad Nor. Tambahnya lagi, biarpun kejayaan Safawi lebih dilihat hasil daripada pembangunan juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) ia tetap membanggakan. "Apa yang penting kita telah memulakan sesuatu yang baik untuk rakyat kita dan negeri. Soal masa depan, soal mereka mencari tempat dan berkembang di luar, itu soal lain seperti Safawi yang mendapat pendedahan lebih baik dan peluang lebih besar di tempat lain. Itu bergantung kepada kelebihan masing masing. "Program ini akan ada nilai tambah berbanding program sedia ada. Kita tengok dulu hasilnya dari masa ke masa di mana ada keperluan untuk diperbaiki, dinilai dan di tambah baik," katanya.    
27 Oct 20
1402
Tohmahan Terhadap Marzuki Tidak Benar
Tohmahan Terhadap Marzuki Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Beberapa dakwaan terhadap Timbalan Presiden (II) Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong berkait pengurusan entiti itu disifatkan sebagai tidak benar. Sekretariat Agung PBSNT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tohmahan itu termasuk laporan marzuki mencampuri urusan pemilihan pegawai dan pemain Terengganu Football Club (TFC). “Ketua jurulatih pasukan masing-masing TFC, TFC II, TFC III dan TFC IV telah diberi kuasa penuh untuk memilih pegawai dan pemain yang diinginkan seterusnya dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan bagi mendapatkan persetujuan terutamanya isu kewangan. “Kuasa penuh yang diberikan memperlihatkan Terengganu FC di bawah bimbingan Irfan Bakti sebelum ini berjaya menamatkan saingan selaku naib juara Liga Premier 2017 dan layak ke Liga Super 2018, berada di pentas akhir Piala Malaysia, manakala TFC II menjuarai Piala Cabaran Edisi Pertama, TFC III juara Piala Presiden dan TFC IV naib juara Piala Belia 2018,” jelas PBSNT. Menurut kenyataan itu, pelantikan Marzuki sebagai salah seorang daripada enam orang Ahli Lembaga TFC Sdn.Bhd adalah merupakan persetujuan ketetapan Kongres PBSNT yang dicapai secara kolektif pada 2017.  “TFC Sdn.Bhd merupakan anak syarikat PBSNT yang memiliki 10 peratus pegangan saham dan Kongres bersetuju Ahli Lembaga Pengarah adalah berdasarkan jawatan yang disandang seperti seorang Presiden PBSNT, dua orang Timbalan Presiden PBSNT, seorang Setiausaha Agung PBSNT, seorang Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan Negeri dan seorang Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi peringkat permulaan penubuhan.  “Oleh yang demikian, Marzuki adalah merupakan Timbalan Presiden PBSNT pada masa ini dan beliau secara automatik menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah TFC,” kata kenyataan itu.  Tambah PBSNT, pengalaman beliau dalam arena bola sepak negeri dan negara banyak membantu TFC menempa beberapa kejayaan.  “Hubungan baik dengan Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi MFL (sebelum ini) dan pengurusan tertinggi MFL, projek perintis menaiktaraf padang yang diperkenalkan MFL tersebut dan TFC adalah salah sebuah pasukan yang terpilih. Akhirnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah berwajah baru dan mempunyai padang yang berkualiti tinggi yang siap sepenuhnya pada awal tahun 2020. “Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang juga banyak membantu dalam pembangunan pemain muda di peringkat Piala Presiden dan Belia. “Marzuki tidak pernah menerima apa-apa bayaran atau elaun sebagai Timbalan Presiden PBSNT dan sejak 2017 beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam pasukan. Beliau telah memberikan khidmat bakti yang tinggi demi melihat kemajuan bolasepak Terengganu berada dipuncak kecemerlangan,” ujar PBSNT
27 Oct 20
3015
Pasukan Besut Juara Takraw Burung Baru
Pasukan Besut Juara Takraw Burung Baru
DUNGUN, 27 Oktober - Pasukan Besut mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Burung Baru sekaligus dinobatkan sebagai juara dan membolot hadiah RM200 beserta pingat dan hamper. Kejohanan yang dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Burung Baru itu telah disertai lapan pasukan yang menggunakan nama daerah-daerah di Terengganu. Ketika berucap di majlis penutup kejohanan yang diadakan di Gelanggang Takraw kampung tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun memuji penglibatan yang dimainkan oleh MPKK, pengusaha dan komuniti setempat di dalam memupuk semangat kerjasama untuk menjayakan program kemasyarakatan. "Tahniah juga kepada penganjur yang berjaya mengadakan kejohanan ini dalam suasana budaya norma baharu dengan bukan sahaja mematuhi Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) tetapi juga patuh syariah," katanya. Pada majlisc tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kejuaraan kepada kumpulan Besut, naib juara kumpulan Dungun, Kumpulan Hulu Terengganu dan Setiu di tempat ketiga.  Dalam pada itu, Alias turut mengingatkan peserta agar tidak meninggalkan solat yang merupakan tiang agama ketika bersukan, beriadah dan sebagainya. "Main sukan, main sukan jugak tapi bila masuk waktu Maghrib tu balik rumah, tunaikan solat, yang lebih baik lagi solat berjemaah di masjid atau surau, mati tidak mengira umur," ujarnya.
27 Oct 20
1439
Bukan Biasa-Biasa, 10 '4X4' Berjaya Tawan Bukit Besar
Bukan Biasa-Biasa, 10 '4X4' Berjaya Tawan Bukit Besar
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Sukar untuk dibayangi apabila mendengar 10 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) berjaya meredah hujan, laluan trek hutan berbonggol dan berlumpur dalam menawan Bukit Besar. Namun begitu, sekumpulan belia daripada Kelab Kole Ganu Crawler (KGC), berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, menempuh cabaran bersama jentera RC Crawler (4x4) kawalan jauh dikuasai bateri dan berskala 1/10, 10 kali lebih kecil berbanding kenderaan sebenar. Jangan terpedaya dengan saiz kecil kerana ‘Crawler’ tersebut mampu mendaki bukit dengan darjah kecerunan sehingga 70 darjah, memerlukan kemahiran pengendalian yang tinggi. Wakil KGC, Hadi Syafiq, 33, berkata, aktiviti tersebut bukan sekadar hobi, malah ia gabungan cabaran mengendali jentera melalui selok-belok bukit belukar bersama riadah ‘hiking’, kepuasan hobi bersama nilai kesihatan. “Contohnya seperti hari ini kita telah sampai ke puncak Bukit Besar (ketinggian 800 meter dari aras laut). Lokasi berbukit ini adalah diantara kawasan paling mencabar dari segi kecerunan bukit dan halangan semulajadi,” katanya ketika ditemubual pemberita baru-baru ini Seiras dengan model berjenama seperti Range Rover, Land Rover dan Ford Bronco, Saiz kecil kenderaan kawalan jauh itu tidak bermakna harganya juga kecil. Meneliti bersama pemiliknya tentang harga gabungan 10 jentera tersebut, dianggarkan sehingga RM15,000. Mengulas lanjut mengenai ‘kenderaannya’, Hadi berkata, model Ford Bronco skala 1/10 dibeli ‘second-hand’ dengan harga RM2,200 daripada harga pasaran asal iaitu RM2,600. “Kami juga ubah suai dengan alat ganti lain seperti tayar, replica peralatan perkhemahan dan lain-lain lagi. Aktiviti jual dan beli aksesori lain juga bersama peminat lain dari semasa ke semasa ada," katanya lagi. Menyentuh tentang kit permulaan bagi yang mahu berjinak,“Hobi ini juga ada kategori ekonomi seperti jenama RGT, harga dalam linkungan RM1,000 dan jika yang terpakai harganya kurang lagi daripada Shopee dan penjual di Kuala Lumpur. “Harga berbaloi dengan kualiti kerana tahan lasak dan penyelenggaran tidak perlu kerap. Hadi yang juga seorang peniaga ‘bundle’, turut menyatakan hasrat kelab dalam mengumpul ahli baharu. “Kita suka apabila ada yang mahu sertai sekali hiking bersama jentera masing-masing. Kelab kami biasanya beraksi pada hari cuti waktu tengah hari lepas zuhur (1.30 petang) di Bukit Besar dan bermain santai di kawasan landai yang berbatu seperti di Batu Buruk dan Bukit Payung. “Manakala mereka yang mahu lebih ‘hardcore’ dengan laluan berbatu di Bukit Tepu pada hari ahad atau selasa waktu petang lepas asar," ujarnya. Ketahui lebih lanjut mengenai aksi lasak mereka dan lain-lain di Kumpulan Facebook, ‘Kole Ganu Crawler (KGC)’.  
26 Oct 20
2191
Wechat Ungguli Kejohanan 8 Sebelah
Wechat Ungguli Kejohanan 8 Sebelah
MARANG, 24 Oktober - Usaha untuk mengadakan pertandingan bola sepak  secara tertutup ianjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Kubur, Bukit Payong mendapat sambutan menggalakkan. Pertandingan itu  disertai 8 pasukan dan  menawarkan hadiah berupa hamper dan medal kepada pemenang serta saguhati juga disediakan kepada pasukan yang kalah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, program sebegini sangat memberi kesan kepada masyarakat terutama orang muda dalam memupuk aktiviti yang sihat di kampung. "Anjuran sebegini sememangnya mampu memupukkan lagi aktiviti yang berfaedah selain dapat menyatukan lagi hubungan yang erat antara penduduk. "Selain itu, dengan adanya pertandingan sebegini pada setiap tahun akan membolehkan kita mengasah bakat yang ada pada orang-orang muda terutamanya untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,"katanya Ujar beliau ketika merasmikan Program Pelancaran Pertandingan Bola Sepak 8 Sebelah Peringkat MPKK Kampung Gong Kubur, Bukit Payong, baru-baru ini yang mana, pasukan wechat telah menjadi johan dan pasukan twitter sebagai naib johan dengan kemenangan ditentukan oleh sepakan penalti 5 - 3. Turut hadir, Pengerusi MPKK Kampung Gong Kubur, Mohamad Arifin Ibrahim, Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh dan Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki.
25 Oct 20
279
Padang Bola Bukit Gasing Siap Mac Depan
Padang Bola Bukit Gasing Siap Mac Depan
MARANG, 23 Oktober - Padang Bola baru dilengkapi astaka dan dataran yang kini sedang giat dibina di Kampung Bukit Gasing dijangka siap menjelang Mac depan. Padang itu merupakan projek pembangunan di bawah peruntukan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria berkata, pembinaan kemudahan prasarana tersebut mendapat perhatian daripada Ahmad Samsuri setelah beliau sendiri turun melihat kawasan padang yang ketika itu berada dalam keadaan yang agak teruk. "Melihat kepada keperluan berkenaan, beliau telah bersetuju menaik taraf padang Bukit Gasing di samping menjadikannya sebagai Akademi Bola Sepak DUN Rhu Rendang yang bakal menjadi pusat latihan bola sepak bagi mencungkil bakat anak muda untuk peringkat yang lebih tinggi. "Dengan pembangunan yang dijalankan, penggunaan padang ini boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat di seluruh DUN Rhu Rendang, bukan sahaja hanya tertumpu untuk penduduk Bukit Gasing," katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika meninjau keadaan padang semalam. Sementara itu, seorang pemuda berasal kampung Bukit Gasing, Abd Rahman Awang, 30, menyatakan perasaan yang sangat gembira dan bersyukur atas pembinaan padang tersebut. “Mewakili anak muda di sini, yang telah lama mengharapkan kemudahan lengkap seperti ini, ianya adalah satu hadiah yang cukup besar dan bermakna. "Penduduk sekitar juga boleh menggunakan padang yang serba lengkap ini kerana di sini tiada dewan serbaguna lain sebagai tempat melakukan aktiviti besar seperti acara tahunan iaitu Hari Keluarga. "Sebelum ini, padang sedia ada tidak rata, berlopak, menyebabkan timbul pelbagai kekangan untuk melakukan aktiviti dan riadah," tambahnya lagi.
23 Oct 20
4858
Pawi Pamer Aksi Di Portugal
Pawi Pamer Aksi Di Portugal
DUNGUN,17 Oktober - Penyerang sayap skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid bakal mempamerkan aksi sulung bersama kelab baharu Portimonense SC di Portugal.  Perkara itu menjadi bualan ramai apabila laporan portal bola sepak Portugal, A Bola melaporkan pemain berusia 23 tahun itu menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika sesi latihan.  "Safawi Rasid yang dipinjamkan daripada Johor FC menunjukkan sesuatu yang mengagumkan pada sesi latihan dan dijangka menjadi pertaruhan jurulatih, Paulo Sergio untuk aksi bertemu CS Maritimo di tempat lawan. "Dia nampak senang menyesuaikan diri dan gigih memburu peluang untuk bersama pasukan," ujar portal bola sepak tempatan itu. Sebagai rekod, Safawi kemungkinan besar akan diberi peluang membuat penampilan pertama di bumi Eropah selepas Sergio mengesahkan semua pemain tidak berdepan masalah untuk diturunkan kecuali dua bintangnya yang mengalami kecederaan. Sementara itu,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik mengucapkan tahniah kepada Safawi yang turun dikenali dengan pangggilan Pawi. “Safawi adalah anak jati Dungun, saya turut rasa bangga dengan pencapaian beliau.  "Dengan umur yang masih muda, jauh dan panjang lagi perjalanan karier beliau. Tahniah Saya ucapkan dan teruskan menempa kejayaan demi kejayaan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ujarnya. 
17 Oct 20
28427