lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Kompleks Sukan Hulu Terengganu Siap 70 Peratus
Kompleks Sukan Hulu Terengganu Siap 70 Peratus
HULU TERENGGANU, 26 November - Pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong, di sini yang menelan belanja hampir RM5.4 juta kini hampir 70 peratus siap. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek yang dibiayai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mula dibina pada Mac tahun lalu kini dalam fasa terakhir pembinaan. Katanya,  jika dilihat pada fizikal pembinaan kompleks itu ia dijangka siap sepenuhnya April tahun depan. “Apabila siap kelak, kompleks yang mampu menampung muatan 500 sehingga 700 penonton itu turut dilengkapi astaka, padang bola sepak, gelangang futsal, bola tampar, sepak takraw, dewan serbaguna, tandas dan surau. “Saya berharap pihak yang diberi tanggungjawab dapat menyiapkan projek itu dalam tempoh ditetapkan walaupun terpaksa berdepan dengan musim tengkujuh dan penularan wabak COVID-19,” katanya. Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau perkembangan projek kompleks itu di sini hari ini. Terdahulu, Wan Sukairi melawat proses membuat Peralatan Pelindungan Diri (PPE) oleh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, Marang dengan kerjasama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Terengganu. Katanya, beliau berharap apa yang dilaksanakan Haluan itu dapat dicontohi pihak luar, agar bersama-sama tampil membantu barisan hadapan menyalurkan PPE atau kelengkapan berkaitan. “Pihaknya ada dimaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sebanyak mungkin kelengkapan itu, kerana PPE adalah pakaian pakai buang, sentiasa diperlukan selagi adanya Covid-19. “Difahamkan sehingga kini,  pihak haluan sudah menyumbangkan hampir 30,000 PPE melibatkan kos hampir RM100,000 kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan pasukan barisan hadapan di Sabah,” katanya.  
26 Nov 20
6691
Terengganu FC Sah Lepas Semua Pemain Import
Terengganu FC Sah Lepas Semua Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengesahkan semua lima pemain import pasukan itu musim ini tiada lagi dalam senarai bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata semua pemain terbabit dilepaskan selepas dipanggil berbincang bersama walaupun pasukan masih memerlukan khidmat dua daripada mereka. "Ya, kita sudah membuat keputusan tidak menyambung kontrak lima pemain import berkenaan bagi menghadapi saingan Liga M dan Piala AFC musim depan. Keputusan ini dibuat selepas perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan jurulatih. "Sebab utama kontrak mereka tidak disambung adalah berkaitan dengan perancangan pasukan dan faktor kewangan," katanya di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata pihaknya sebenarnya masih berminat menggunakan khidmat bekas kapten pasukan, Lee Tuck dan pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov namun terpaksa dilepaskan akibat kekangan kewangan. "Musim depan kita menyasarkan penjimatan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus. Sebab itu kita perlu mengambil pemain berdasarkan kemampuan kewangan kita bagi mengelak masalah lain timbul," katanya. Dengan perkembangan itu bermakna pemain kelahiran Shaakhmedov dari Uzbekistan dan Babacar Diallo (Senegal) mengikut jejak Tuck (England), Muhammad Faris Ramli (Singapura) dan Dominique Da Sylva (Mauritania) tidak disambung kontrak. Difahamkan Tuck bakal diikat pasukan Pahang selama dua musim manakala Shaakhmedov pula menerima tawaran daripada kelab di Korea Selatan dan tiga lagi belum dikenalpasti. - Berita Harian.
24 Nov 20
2024
Penggiat E-sports Sambut Baik Belanjawan 2021
Penggiat E-sports Sambut Baik Belanjawan 2021
KUALA TERENGGANU, 24 November - Pendukung e-sports di Terengganu menyambut baik Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam. Presiden E-sports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, secara asasnya kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet yang cukup besar bagi menggerakan badan bukan kerajaan (NGO), industri sukan dan belia. “Ini sudah jelas menggambarkan keprihatinan dan kesediaan kerajaan untuk terus mendengar serta menyantuni semua golongan terutamanya anak muda. “Mewakili E-sports Terengganu, kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha ini,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, Belanjawan 2021 juga banyak memberi fokus kepada golongan belia bagi meningkatkan keupayaan mereka khususnya mendapatkan pekerjaan dan sumber pendapatan serta kemahiran yang lebih baik. “Belanjawan 2021 banyak memfokus untuk golongan belia dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan insentif, oleh itu kita harap belia merebut dan memanfaatkan peluang yang disediakan untuk mereka,” tambah beliau.
24 Nov 20
446
Apa Nasib Nafuzi?
Apa Nasib Nafuzi?
DUNGUN, 18 November - Desas-desus tentang ramai pemain import dan tempatan bakal melangkah keluar daripada Terengganu Football Club (Terengganu FC) turut mengundang persoalan berkaitan ke mana hala tuju pengendali pasukan itu, Nafuzi Zain pada musim depan. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim ketika ditemui media di Dungun semalam memberi jaminan, bekas pemain kebangsaan itu akan terus mengemudi pasukan bagi musim 2021. "Oleh kerana kita hendak mengekalkan DNA Terengganu, saya boleh jamin Nafuzi akan terus bersama Terengganu FC," katanya. Tambahnya, PBSNT turut berpuas hati apabila Skuad Penyu berjaya menempatkan diri di kedudukan tiga terbaik pada saingan CIMB-Liga Super Malaysia 2020 lalu. "Kita berjaya mencapai sasaran dan kita sudah berada pada landasan yang betul sebenarnya. Pemain tempatan kita, pada saya telah mencapai apa yang PBSNT inginkan daripada 'road map' yang telah kita susun sepanjang tahun ini. "Dari sudut keserasian seumpamanya, sebenarnya kita mampu untuk membentuk mereka dengan cepat. Yang paling penting, mereka sedia untuk dibimbing dan melakukan perubahan. Jadi saya melihat Terenganu tidak kurang bakat cuma mereka mesti sedia untuk belajar dan sedia untuk ditegur, meningkatkan diri sendiri," katanya.  Beliau juga percaya, Terengganu FC akan memberi tumpuan yang baik dalam saingan Piala AFC walaupun dengan berlaku sedikit perubahan pada pasukan di musim hadapan. "Saya percaya pihak jurulatih telah membuat satu keutamaan untuk membentuk pasukan yang mampu beraksi dengan baik untuk AFC," tambah beliau.    
18 Nov 20
1692
Terengganu FC Tidak Sasar Pemain Bintang
Terengganu FC Tidak Sasar Pemain Bintang
DUNGUN, 18 November - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak mengutamakan pemain-pemain bintang untuk menyarung jersi jaguh pantai timur itu meskipun bakal membawa cabaran mewakili negara ke Piala AFC (Asian Football Confederation) pada tahun hadapan. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim sebaliknya meletakkan sasaran untuk mendapatkan pemain yang mahu mencapai kemenangan bersama pasukan sebagai kunci utama. "Saya rasa itu satu kunci yang besar. Kita tak meletakkan nama besar sebagai kaedah untuk mencapai sasaran tetapi kita ingin orang yang mahu mencapai kemenangan dan berkhidmat untuk bola sepak Terengganu. "Yang saya boleh sebut di sini, untuk musim depan kita akan melepaskan boleh dikatakan ramai pemain dan kita juga akan mendapatkan pemain-pemain baru," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belila, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ke tapak pembinaan velodrom di Dungun, semalam. Tambahnya, meskipun begitu, Terengganu FC akan terus mengekalkan DNA Terengganu yang mengutamakan produk anak negeri sebagaimana dilaksanakan pada 2019 dan 2020. "Dalam masa sama, kita akan pastikan DNA Terengganu terus berkembang, jadi penyokong bola sepak Terengganu perlu memberi ruang untuk pasukan kita terus melangkah lebih baik selepas ini. "Kalau kita lihat dari 'roadmap' yang telah kita susun, kita agak gagal pada 2019, tetapi tahun ini kita berjaya mencapai sasaran dan kita sudah berada pada landasan yang betul sebenarnya.  "Kita percaya dan sentiasa lakukan 'post mortem', namun diakui ia perlu penambahbaikan. Walaupun berlaku sedikit perubahan pasukan, tetapi saya percaya pihak jurulatih telah membuat satu keutamaan untuk membentuk pasukan yang mampu beraksi dengan baik untuk Piala AFC," katanya. Hishamuddin turut menyifatkan pemilihan Terengganu FC ke Piala AFC sebagai satu bonus bagi pasukan itu. "Kita tak meletakkan sasaran sebenarnya pada AFC, tahun ini sasaran untuk Liga Super Malaysia pasukan kita adalah berada di kedudukan tiga terbaik dan rezekinya kita dapat tempat ketiga. "Kita perlu akur pasukan kita bukan pasukan yang memiliki bintang-bintang hebat dalam bola sepak kerana faktor kos dengan perbelanjaan agak kecil  jika dibandingkan dengan pasukan lain. Tetapi, pencapaian ini pada saya adalah satu kejayaan yang sudah cukup membanggakan Terengganu," katanya.  
18 Nov 20
1956
Velodrom Azizulhasni Dijangka Siap April 2022
Velodrom Azizulhasni Dijangka Siap April 2022
KUALA TERENGGANU, 17 November - Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun dijangka siap dibina pada April 2022. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, proses pembinaan projek bernilai RM11.8 juta itu telah mencapai 34 peratus menepati jadual yang ditetapkan. "Setelah lapan tahun kita menunggu, akhirnya pada tahun lalu kita berjaya memulakan projek ini. "Projek ini sepatutnya siap pada tahun 2021, tetapi disebabkan halangan pandemik COVID-19, ia terpaksa dilanjutkan ke tarikh berikutnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pembinaan projek itu di Dungun, hari ini. Turut hadir, timbalannya, Hishamudddin Abdul Karim, pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya dan pegawai daerah Dungun, Anuar Awang. Jelasnya, kewujudan velodrom diharapkan bakal menjadikan Terengganu lebih berupaya melahirkan atlet-atlet seperti Azizulhasni Awang. "Kita bukannya boleh mengadakan banyak trek seperti ini, alang-alang diwujudkan kita mahu ia bukan sahaja sesuai untuk latihan tetapi juga sesuai untuk diadakan pertandingan pada masa akan datang.  "Harapan kita semua untuk melihat apabila siap terbinanya, ia bakal menjadi satu pusat yang walau tidak canggih tetapi memenuhi keperluan yang ada untuk sukan berbasikal," katanya. Tambah Wan Sukairi, pihak kerajaan negeri turut merancang untuk membangunkan trek berbasikal lasak (BMX) di kawasan sama sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai kompleks berbasikal Terengganu pada masa akan datang.      
17 Nov 20
2025
Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Jabi Bakal Siap Tahun Ini
Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Jabi Bakal Siap Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Kuala Ping dan Jabi, Setiu dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2020 dengan kerja-kerja pembinaan kedua-dua kompleks sukan tersebut, setakat ini berjalan lancar dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek pembinaan kompleks sukan berkenaan merupakan antara beberapa projek yang telah pun dipersetujui untuk dibuat dengan pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. "Antaranya projek pembinaan Kompleks Sukan di Jabi, Setiu yang bersempadanan dengan Besut menelan kos sebanyak RM6.2 juta. Untuk makluman, sehingga sekarang ini, projek pembangunan di Jabi ini telah pun mencapai kemajuan 82 peratus pembinaan fizikalnya. "Insya-Allah kita jangka 7 Disember ini projek ini akan siap sepenuhnya. Di samping itu, projek kedua adalah projek pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong yang menelan belanja sebanyak RM5.39 juta. "Maklumat terkini yang saya dapat pembinaannya juga telah pun siap sebanyak 63 peratus. Dijangka akan siap pada akhir tahun ini juga dalam pertengahan Disember," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini semalam. Justeru itu, menurut Wan Sukairi, banyak kemudahan sukan yang boleh digunakan oleh orang ramai sejurus selepas pembinaan kompleks sukan tersebut siap. Untuk rekod, kompleks itu adalah kemudahan sukan yang kedua dan ketiga untuk rakyat Terengganu selepas Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun diumumkan, sebelum ini.
17 Nov 20
2485
Lapan Pelumba TSG Terima Geran Tanah
Lapan Pelumba TSG Terima Geran Tanah
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan Terengganu telah menganugerahkan geran tanah kepada lapan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sebagai menghargai jasa mereka mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa. Penerima pemberian tersebut ialah Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Mohd Harrif Saleh, Muhd Shaiful Anuar Azis,Mohd Nor Umardi Rosdi, Muhamad Adeq Husainie Othman, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan kapten pasukan, Mohd Zamri Saleh. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, sumbangan tersebut adalah penghargaan kepada kejayaan TSG secara umumnya dalam melonjakkan nama Terengganu ke mata dunia.   "Penganugerahan tanah itu merupakan satu komitmen sedia ada kerajaan negeri yang memang sudah lama diberi sebelum ini, bukan baru lagi. "Para pelumba ini telah begitu lama membawa naik nama Terengganu ke peringkat antarabangsa dan kesannya sedikit sebanyak turut memperkenalkan Terengganu kepada pelabur-pelabur daripada luar untuk datang," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba dan Barisan Penaja Pasukan TSG di Primula Beach Hotel, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah, timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim serta Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Roslee Chik. Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Terengganu merangkap Pengarah Eksekutif TSG serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, YM Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. Dr. Samsuri turut berpandangan, pelaburan kerajaan negeri kepada TSG sepanjang 10 tahun penubuhan pasukan itu merupakan sesuatu yang berbaloi. "Pada saya, ia telah melonjakkan nama Terengganu di peringkat antarabangsa. Ia berkait dengan perkara-perkara lain seperti pelaburan asing yang datang telah mengenali negeri kerana TSG dan kaitan ini kadangkala sukar diukur dengan cara yang mudah tetapi, pada saya ia satu pelaburan yang berbaloi. "Itu adalah jasa mereka yang saya rasa wajar dihargai oleh kerajaan kerana ia berkait dengan memperkenalkan nama negeri ke peringkat antarabangsa," katanya. Setiap pelumba yang terpilih diambil kira daripada pencapaian mereka sejak tahun 2016 hingga tahun 2020 ketika mewakili TSG di persada dunia. Para pelumba terbabit masing-masing menerima satu lot tanah kediaman Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh negeri.    
11 Nov 20
313
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi
SETIU, 8 November – Sukan lasak motocross bakal mengegarkan bumi Jabi selepas litar sukan terbabit yang bernilai RM10,000 siap dibina di Kuala Kubang di sini dalam beberapa masa lagi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran sukan itu turut mampu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar. "Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ialah sebuah pekan kecil dengan kuasa beli penduduknya yang terhad. Kedai makan, restoran, kedai runcit, kedai sate dan lain-lain lagi dah banyak wujud di Jabi.  "Dengan jumlah pelanggan tempatan yang terhad, kita merancang pelbagai program supaya Jabi menjadi tumpuan pengunjung dari luar. "Sebelum ini kita buat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu, Himpunan Lembu Sado Pantai Timur, Karnival Dun Jabi dan beberapa program lagi. Dengan wujudnya program bersaiz mega sebegini, Pekan Jabi dilimpahi pengunjung.  "Kesan ekonomi sangat ketara. Kedai satay dan kedai makan penuh orang. Stesen minyak penuh kereta. Homestay dan hotel bajet tak cukup bilik dan macam-macam lagi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melakukan lawatan ke tapak litar motocross yang masih dalam penyelenggaran semalam.  Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid.   Dalam masa yang sama, Dr Azman turut bercadang untuk menghidupkan kembali acara Tebu Mountain Challenge dan mensasarkan dijadikan ia suatu acara bertaraf antarabangsa.
08 Nov 20
528
Gol Sanjar Bawa Terengganu FC Ke Suku Akhir
Gol Sanjar Bawa Terengganu FC Ke Suku Akhir
KUALA TERENGGANU, 7 November- Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan saingan TM Piala Malaysia 2020 dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) di laman sendiri, semalam. Gol tunggal perlawanan berpunca daripada kesilapan pertahanan import The Phoneix, Kim Bong Jin yang menolak lemah bola kepada Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36. Penyerang Khazakhstan itu mudah menyempurnakan peluang satu lawan satu berhadapan penjaga gol lawan, Kalamullah Alhafiz sekaligus menyaksikan Terengganu FC muncul pasukan terakhir layak ke suku akhir. Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, perlawanan dimulakan lewat hampir setengah jam apabila Malaysian Football League (MFL) tidak berpuas hati dengan garisan padang tersebut dan terpaksa menunggu sehingga dicat semula. Dalam cuaca hujan, skuad kendalian Nafuzi Zain memulakan permainan dengan menguasai bola seawal minit pertama wisel ditiupkan. Tuan rumah yang nyata dahagakan gol awal melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan. Bermula pada minit ke-17, Faris Ramli sempat melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun hanya melepasi gawang pelawat. PJ City mula mengorak langkah dengan serangan balas dan pemain tengah, Gurusamy berpeluang meledakkan gol awal pada minit ke-23, tetapi pantas dinafikan Rahadiazli Rahalim yang cemerlang di gawang tuan rumah. Seminit kemudian, Lee Tuck pula cuba melepaskan rembatan dari sisi kiri kotak penalti sayangnya ditepis keluar. Kedua-dua pasukan saling merebut penguasaan bola namun sukar menembusi kubu pertahanan masing-masing. Bersambung babak kedua, Terengganu FC dan PJ City terus buntu mencipta gol dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.          
08 Nov 20
795