Artikel "Sukan" Terkini
TFC, UniSZA Jalin Kerjasama Bangunkan Bola Sepak
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi meningkatkan mutu bola sepak negeri ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama tujuh tahun itu akan memberi faedah bersama kepada kedua-dua pihak.
Katanya, usahasama berkenaan membabitkan dalam 10 bidang utama.
“Antaranya kerjasama melalui penggunaan infrastruktur dan fasiliti sukan di kampus UniSZA dan membantu perkembangan para pelatih akademi dari sudut akademik dan penguasaan Bahasa Inggeris.
“Pembangunan bolasepak TFC juga akan disokong menerusi kepakaran dari bidang saintis sukan, kejuruteraan dan perubatan di UniSZA.
“Selain itu beberapa lagi kepakaran yang telah ditawarkan oleh UniSZA adalah dari sudut pemasaran, penjanaan pendapatan, psikologi, nutrisi, fisioterapi dan juga analisis pencapaian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Antara Terengganu Football Club Sdn Bhd Dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Damai Lounge, Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.
Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato' Razali Che Ani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman serta Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh.
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan menyifatkan kerjasama tersebut selari dengan pelan induk 10 tahun Sukan Terengganu.
“Kita beruntung kerana dalam Terengganu paling aktif dari segi kolaborasi sukan dengan dunia akademik seperti bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu sejak tahun 2016.
“Tambah lagi, kita ada pusat kecermelangan sukan dan UniSZA adalah satu-satunya universiti mengalakkan penyelidikan sukan dan pengajian tinggi dalam bidang tersebut,” katanya lagi.
06 Jan 21
590
Hishamuddin Dedah Punca Letak Jawatan Dalam PBSNT
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Hishamuddin Abdul Karim hari ini mendedahkan punca utama beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuatkuasa 1 Januari depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh itu berkata, beliau meletak jawatan bukan kerana pertelingkahan atau persengketaan dengan mana-mana pihak.
“Walaupun telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PBSNT, saya tetap menjadi keluarga PBSNT dan Terengganu Football Club (TFC).
“Hubungan sesama keluarga pasukan ini tetap utuh dan kukuh. Saya bimbang muncul pelbagai spekulasi yang bukan-bukan. Tangan ghaiblah, apalah. Sebenarnya ia pilihan saya sendiri untuk menumpukan kerja yang lain dan lebih utama.
“Selepas menyampaikan pemakluman notis perletakkan jawatan, saya masih lagi akrab dengan pasukan. Rakan-rakan peminat bola sepak usah bimbang. Malah saya berjanji dengan Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan Pengurus TFC, Joe Rozi untuk kekal berdiskusi tentang pasukan jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Peletakan jawatan yang diumum semalam itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak dan tidak kurang juga ramai penyokong tidak bersetuju serta sedih dengan pengunduran Hishamuddin yang telah banyak membawa perubahan dalam PBSNT sejak 2018.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin memberitahu, beliau juga sempat bertemu dengan dua pemain import baharu TFC semalam.
“Kehadiran Petrus Shitembi dan Carli de Murga petang kelmarin, sempat juga saya santuni bersama. Sempatlah tengok Petrus aksikan tarian untuk rakaman video,” jelasnya.
Katanya, ketika Sanjar Shakmedov masih bersama TFC, Petrus Shitembi menjadi antara pemain yang disyorkan Sanjar.
“Malah Sanjar pernah menyebut kepada ketua jurulatih, sama ada dia kekal dalam pasukan atau tidak, TFC perlu dapatkan Petrus Shitembi. Sangat berkebetulan pandangan Sanjar dengan pemerhatian Nafuzi Zain sendiri, akhirnya Petrus Shitembi berjaya diikat TFC.
“Ketua Jurulatih turut menghidu prestasi bekas pertahanan skuad kebangsaan Filipina berkelahiran Sepanyol, Carli de Murga. Sebelum ini sebagai pemain kelab Chonburi FC. Usaha memperkukuhkan pertahanan antara yang disusun oleh Ketua Jurulatih untuk musim depan.
“Kedua-dua pemain import baru ini akan berada di tapak Padang Latihan TFC pada petang ini untuk memulakan latihan pertama bersama pasukan,” tambah beliau.
28 Dec 20
12353
Aiman Kuasai Litar Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020
KUALA NERUS, 28 Disember – Bermula dengan sebagai 'mat rempit' dan kini beralih arah sebagai pelumba pecut litar, Mohd Aiman Izzudin mengungguli kategori ‘sprint test’ 125 OEM di Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020, Litar Permotoran Terengganu, petang kelmarin.
Anak kelahiran Rasau, Dungun itu berjaya memenangi pusingan final dengan tempat pertama mewakili pasukan MSB Garage bersama jentera lumba Yamaha 125, dengan masa 7.4 saat menewaskan lawannya daripada Team Pak Tam Speed dengan kemenangan tipis 7.5 saat 201 meter.
Berat badannya yang ringan dan keupayaan dalam mengawal pecutan menyebabkan bakatnya diburu tiga pasukan lain untuk mewakili jentera mereka dalam empat kategori lain.
“Saiz saya sesuai untuk kelajuan dan walaupun sekeliling amat sengit, tapi kepercayaan saya adalah kepada jentera dan diri sendiri kerana 'rider' itu sendiri amat penting dalam menentukan kemenangan malah dalam pertandingan sebelum ini pun pernah dapat kedudukan podium.
“Minat saya dalam permotoran ini bermula sewaktu umur 15 tahun tapi dulu jadi pelumba haram, tapi apabila mencecah usia 17 tahun, saya mula menceburi bidang permotoran dalam litar pula," katanya.
Mengulas tentang reaksi keluarganya, Aiman berkata kedua ibu bapa sentiasa memberi sokongan dan datang menyaksikannya beraksi di pertandingan dalam negeri sehingga ke Melaka dan Perak.
Kejohanan seterusnya buat anak sulung kepada empat beradik itu adalah bertanding di Litar Antarabangsa Sepang dalam Musc-Sic Sepang Drag Battle 2020 pada awal Januari tahun hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran sukan permotoran tersebut mengumpulkan lebih 100 orang pelumba majoriti anak Terengganu.
“Pasukan daripada negeri lain seperti Perlis, Kedah, Johor dan Kelantan turut terlibat menunjukkan sambutan cukup hebat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Penutup Program Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020 anjuran Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Koperasi Permotoran Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, Timbalan Pengarah Jabatan Belia Sukan (JBSNT) Negeri, Mohmad Embong dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan negeri dalam memajukan lagi industri sukan permotoran, Sukairi berkata, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan kira-kira RM500,000 khusus pada peringkat akar umbi
“Ini khusus bagi mendidik dan membimbing minat anak muda kepada pembangunan sukan permotoran dalam negeri,” katanya.
28 Dec 20
2456
Lebih 300 Peserta Meriahkan Kalang Warisan Explore Ride
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Lebih 300 peminat sukan berbasikal menyertai Kalang Warisan Explore Ride anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Belia Pemanis bersama TAC Outdoor bertemakan ‘Go Healthy Go Heritage’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, kayuhan 40 kilometer yang bermula di Kalang Warisan itu menjadi satu lagi tarikan dalam mengetengahkan destinasi terbabit yang semakin dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, ia juga mampu mempromosikan produk-produk pelancongan sedia ada di Kampung Pulau Manis, Serada.
"Kawasan ini bukan sahaja mempunyai keunikan warisan seperti kraftangan batik, malah kaya dengan penceritaan sejarah berkaitan dengan produk islamik seperti makam Tok Pulau Manis atau Syeikh Abdul Malik Abdullah dan pelbagai produk berasaskan pelancongan agro seperti kebun duku asli Terengganu.
"Musim tengkujuh di Terengganu tidak merencatkan aktiviti pelancongan di negeri ini, kerana pelbagai program pelancongan masih boleh dianjurkan dan dilawati pada musim monsun seperti Program Kalang Warisan Explore Ride ini.
"Program ini hanya sebahagian daripada usaha yang digerakkan oleh komuniti sendiri untuk memajukan lagi kawasan ini, selain daripada melakukan riadah berbasikal secara sihat, peserta juga secara tidak langsung berpeluang menikmati keunikan produk pelancongan serta keindahan Kalang Warisan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kejayaan menaikkan Kalang Warisan sebagai sebuah lagi destinasi baharu bagi percutian keluarga juga adalah hasil kerjasama dan kreativiti penduduk kampung.
"Ini secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi buat penduduk setempat menerusi aktiviti pelancongan yang berasaskan komuniti," tambah beliau.
27 Dec 20
808
Azizul Raih Emas Di Australia
KUALA LUMPUR, 21 Disember- Azizulhasni Awang membuktikan dia berada di kelas tersendiri biarpun sembilan bulan tanpa pertandingan kompetitif apabila berjaya menyumbangkan emas di Kejohanan Kebangsaan Australia dalam acara keirin.
Malah bukan satu, rakan sepelatih, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut cemerlang mengiringi Azizul dengan merangkul gangsa dalam acara yang sama.
Kejayaan dua pelumba negara yang kini berpangkalan di Melbourne itu turut menerima ucapan tahniah daripada Menteri Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman sosial Facebook rasmi beliau.
Reezal mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua atlet negara itu kerana biarpun sudah agak lama tidak beraksi di kejohanan besar, mereka berjaya membuktikan kemampuan masing-masing apabila muncul sebagai juara di kejohanan antarabangsa.
"Ini satu lagi kejayaan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
"Saya yakin kejayaan seperti ini bakal menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet negara untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa yang lain," katanya.
Sumber: Harian Metro
21 Dec 20
345
Gelanggang Ping Pong Pekan Kedai Buloh Mula Beroperasi
MARANG, 21 Januari - Hasrat golongan belia Pekan Kedai Buloh, Kampung Tanjung dan kawasan sekitarnya untuk memiliki gelanggang ping pong sejak sekian lama kini menjadi kenyataan apabila gelanggang itu dapat digunakan sepenuhnya awal bulan ini.
Pengerusi Kelab Ping Pong Bukit Payong, Mohd Nor Abdullah berkata, pihaknya bersetuju mengubahsuai tapak badminton kepada gelanggang badminton membabitkan peruntukan RM19,000 bagi memenuhi permintaan golongon belia yang mahu mempamerkan aksi masing-masing dalam sukan itu.
Katanya, oleh itu, dia menwakili penduduk setempat mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang di atas pemberian peruntukan itu.
"Perasaan gembira yang tidak terkata dengan pemberian gelanggang ini. Mungkin selepas ini gelanggang ini akan menjadi sempadan untuk semua penggemar sukan ping pong dapat mengembangkan lagi bakat yang ada,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Gelanggang Ping Pong, di Pekan Kedai Buloh, di sini malam tadi.
Majlis telah dirasmikan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Jusoh itu turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tanjung Kedai Buloh, Mazlan Ibrahim dan para tetamu semua.
20 Dec 20
1326
Amal Hidup Gaya Sihat, Dorong Ibadah Sempurna
MARANG, 12 Disember - Golongan belia sewajarnya perlu merebut peluang mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten dengan aktiviti bersukan, selain perlu menjaga kesihatan diri.
Langkah itu pastinya membantu seseorang itu berupaya menunaikan ibadah solat dengan sempurna dan khusyuk
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, pada masa sama, usaha itu mampu mencungkil bakat golongan muda yang sememangnya gemar bersukan
"Kita sebagai orang muda mesti 'gagah' semuanya, tidak hanya jaguh di gelanggang futsal sebaliknya gagah juga ke masjid dan surau untuk beribadah dan mendengar kuliah terutama sekali pada waktu subuh.
"Niatkanlah bersukan ini untuk menguatkan badan dan mencergaskan badan untuk beribadah kepadaNya, insya-Allah mendapat pahala," katanya ketika merasmikan Perlawanan Futsal Peringkat MPKK Kampung Tanjung Kedai Buloh di Padang Futsal Kampung Kubang Ikan, Chendering, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah Dan Penerangan Negeri turut berkata, program sebegini mampu menyemarakkan gaya hidup sihat di samping dapat menguatkan lagi ukhuwah di antara satu sama lain.
Tambahnya lagi, akal yang sihat datangnya daripada badan yang sihat. Gunakan masa muda sebelum masa tua.
"Al aqlu salim fil jismi salim. Akal yang cergas datangnya daripada badan yang sihat. Yang paling baik sekali ialah hati yang baik (qolbin salim). Datang menghadap Tuhan dengan hati yang sejahtera," jelasnya.
Turut hadir dalam perlawanan tersebut, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mazlan Ibrahim dan para penyokong semua.
13 Dec 20
567
‘Mickey’ Sah Perkuat Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim sah bakal memperkuatkan jentera pasukan Terengganu Football Club (TFC) musim depan.
Faisal, 22, yang sebelum ini bermain bersama pasukan Pahang telah diumumkan sebagai pemain baharu TFC sebentar tadi dengan kontrak 2 tahun.
Pemain yang mesra dipanggil Mickey itu berkata, beliau sangat teruja untuk bersama Sang Penyu bagi saingan musim depan dan menjangkakan saingan sengit untuk posisinya nanti.
“Perpindahan ini adalah untuk memastikan karier saya terus berkembang di samping apa yang diterapkan oleh pengendali TFC, Nafuzi Zain sesuai dengan cara permainan saya,” katanya sebagaimana dilaporkan TFC.
Mickey sebelum ini turut menarik minat Selangor untuk mengukuhkan pasukan itu bagi kancah Liga Super musim depan
Namun beliau akhirnya memilih untuk bersama Terengganu yang bakal bersaing di saingan Piala AFC 2021.
Dikhabarkan pemain muda meningkat naik tersebut bakal diberikan jersi nombor 7 yang sebelum ini dipakai Lee Andrew Tuck.
Ia sekali gus menjadikan pemain di posisi sayap kanan itu sebagai tulang belakang TFC.
06 Dec 20
1303
Marzuki Kekal!
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Marzuki Sulong sekali lagi dipilih memegang tampuk Timbalan Presiden II Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) apabila memperoleh 32 undian berbanding pesaingnya, Mohd Sekanther Abdul Hamid yang memperoleh 24 undian.
Pemilihan tersebut menjadikan Marzuki melebarkan kepimpinannya sejak tahun 2000 dalam PBSNT.
Beliau yang ditemui selepas Kongres Tahunan PBSNT 2020, hari ini menegaskan dirinya akan berusaha sebaik mungkin untuk memajukan bola sepak Terengganu bagi penggal baru ini.
"Alhamdulillah ini mandat baru yang diberikan dan kita akan berkerja secara berpasukan kita saling mengingati dan menghormati demi memartabatkan bola sepak negeri. Pada hari ini, kita boleh tengok kesinambungan bakat dalam Terengganu dengan ramai pemain anak negeri yang diserap ke pasukan lebih tinggi.
"Sejujurnya dalam bertanding ini, saya hanya meletakkan apa yang telah saya buat untuk pasukan Terengganu, saya telah cuba buat yang terbaik dan saya tiada niat menyakitkan hati sesiapa," katanya kepada media di Hotel Permai, di sini.
Jelasnya, persatuan turut sentiasa memartabatkan bekas-bekas pemain dalam pembangunan bakat-bakat baru bola sepak dan beliau menafikan dakwaan meminggirkan pemain-pemain lama.
"Kita memartabatkan bekas pemain, itu matlamat kita nombor satu. Sebab itu, kalau kita tengok daripada jurulatih yang dipilih bagi Terengganu FC 2, 3, dan 4 terdiri daripada semua bekas pemain kita. Tetapi, kerana ramai, bukan semua dapat diberi peluang.
"Saya tiada niat lain, saya akan buat yang terbaik dan saya minta maaf jika ada salah silap. Jika berjaya, anggaplah kejayaan ini kejayaan kita bersama," katanya.
03 Dec 20
1090
Terengganu FC 2 Hanya Ambil Tiga Import
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Terengganu Football Club II (TFC II) bakal mendapatkan hanya tiga pemain import bagi saingan 2021 berbanding empat pemain pada musim ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, keputusan itu selaras dengan tujuan Terengganu FC II diwujudkan iaitu sebagai pasukan pembangunan kepada skuad elit Terengganu FC.
"Kenapa kita kurangkan pemain import? Ini kerana kita mahu optimumkan pemain-pemain tempatan sesuai dengan skuad pembangunan yang dibina.
"Pemain import yang diambil pula lebih bertindak sebagai sokongan kepada Terengganu FC serta pembimbing kepada pemain-pemain muda dalam pasukan," katanya kepada pemberita selepas Dialog hala Tuju Bola Sepak Terengganu di Hotel Permai, semalam.
Jelasnya, kehadiran beliau sebagai wakil PBSNT sebagai memberi sokongan kepada peminat Skuad Penyu tersebut sebagai menghargai jasa mereka.
"Alhamdulillah program ini berjalan lancar. Sebahagian cadangan yang diberikan akan dijadikan sebagai satu perkara serius untuk dilihat ke depan. Manakala, teguran dan kritikan yang diterima, kami akan muhasabah.
"Harapan saya, kita sama-sama sokong pasukan kita dengan lebih berkualiti dan jangan fokus mencari salah sesiapa. Kita perlu saling memperkuatkan dan kalau kita bersatu insya-Allah kita akan lebih kuat," katanya.
02 Dec 20
634