Artikel "Sukan" Terkini
Latihan 'Online' Atlet Turut Berdepan Cabaran
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Cadangan pembukaan sektor sukan dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam program Gelembung Sukan disambut baik semua penggiat sukan.
Menurut Ketua Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Afiqi Afendi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu, pihak MSNT telah melaksanakan kaedah latihan secara dalam talian namun, mengakui berdepan cabaran dalam memastikan atlet-atlet negeri itu kekal cergas dan bersedia.
"Kita sedia maklum, cabarannya sama seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di mana tidak semua atlet tinggal di kawasan yang ada akses internet yang baik, ada yang duduk di pedalaman dan ada juga dari keluarga yang susah tidak mampu untuk melanggan data banyak. Bagi yang yang tidak dapat bersama secara 'live', kita berikan program untuk diikuti dari masa ke masa.
"Latihan kita juga ada tiga kategori iaitu teknikal, taktikal dan fizikal. Bagaimanapun setakat ini, kita hanya dapat pantau secara langsung dari segi latihan fizikal sahaja. Tetapi, ia juga terhad kerana tidak semua rumah ada ruang yang sesuai untuk sesi latihan.
"Cuma, apa yang penting mereka dapat sentiasa bersedia supaya boleh meneruskan latihan apabila PKP tamat nanti," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Latihan Kecergasan Persediaan SUKMA 2022 Secara Dalam Talian di pejabat MSNT, semalam.
Tambahnya, latihan dari segi taktikal dan teknikal agak bermasalah kerana memerlukan peralatan tertentu dan sesi bersemuka.
"Setakat ini, kita jalankan kaedah 'online monitoring' serta 'online training' menggunakan aplikasi Google Zoom secara live bersama atlet-atlet dan jurulatih sepanjang PKP, selebihnya melalui video latihan daripada atlet sendiri sebagaimana yang dilakukan atlet-atlet pada peringkat dunia,' katanya.
Pegawai Suaian Fizikal MSNT, Mohd Hafizuddin Ramli sedang memantau latihan kecergasan atlet Badminton dan Bola Jaring Terengganu.
11 Feb 21
467
Velodrom Azizulhasni Dijangka Siap April Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Velodrom Azizulhasni dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan memandangkan negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan kerja-kerja pembinaannya tergendala.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sehingga kini, lebih daripada separuh projek tersebut telah pun siap iaitu mencapai 51 peratus.
"Walaupun mengikut jadualnya hanya 44 peratus, tetapi sudah nampak, tempat pengurusan ataupun pejabat termasuklah balai pengawal dan sebagainya telah pun nampak rupalah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Belanjawan Terengganu 2021 yang disiarkan secara langsung di TV Darul Iman di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, selain daripada velodrom yang menggunakan peruntukan daripada kerajaan pusat, ada tiga lagi projek yang menggunakan peruntukan daripada negeri iaitu projek pembinaan pusat futsal, Kompleks Sukan Squash dan juga membaik pulih lapang sasar menembak.
"Namun begitu, seperti yang kita tahu apabila berlaku COVID-19 ini memberi impak kepada kewangan kerajaan yang agak ketara juga, maka ketiga-tiga projek ini turut terkesan," katanya.
10 Feb 21
278
Jijoe Rampas Gelaran Nombor 1 Dunia Pecut Individu
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang mendapat tonik berharga menjelang temasya Olimpik Tokyo apabila berjaya merampas ranking pertama dunia dalam acara pecut individu.
Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam, anak kelahiran Terengganu itu berjaya mengumpul 1,600 mata sekali gus berjaya menghuni ranking pertama.
Menerusi ciapan di laman facebooknya tengahari tadi, 'The Pocket Rocketman' ternyata gembira dengan kedudukan ranking semasa tersebut.
"Sudah tentu ia menjadi pembakar semangat buat saya yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo nanti.
"Bagi saya, ia juga adalah berita gembira buat arena sukan negara kita juga, diharap agar sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet muda di tanah air kita.
"Di samping itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan saya berjaya memenangi pingat Emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti Insya-Allah," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016.
Pengumuman UCI itu juga turut menyaksikan Azizulhasni atau Jijoe menduduki tempat kedua dunia bagi acara keirin setelah meraih 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan setinggi-setinggi penghargaan atas kejayaan berkenaan
"Ranking tertinggi dalam dua kategori tersebut diharapkan akan memberi semangat lebih besar untuk memberi aksi terbaik di Tokyo.
"Semoga kejayaan ini juga memberi semangat kepada atlet lain seperti atlet memanah negara, Khairul Anwar Mohamad dan atlet-atlet lain dalam mengharumi nama negeri dan negara.
"Seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia akan mendoakan kejayaaan buat mereka Insya-Allah," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sokongan atlet sukan olimpik Tokyo sebanyak RM200,000 kepada Jijoe dan atlet memanah negara, Khairul Anwar Mohamad, sebagai usaha menjayakan persiapan atlet tersebut dalam temasya berkenaan..
10 Feb 21
7333
Terengganu Sokong Pembukaan Sektor Sukan, Laung Komitmen Patuhi SOP
KUALA NERUS, 6 Februari- Kerajaan Terengganu menyokong penuh dan menyambut baik usaha yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, yang telah membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berharap, cadangan tersebut diteliti sebaik mungkin Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
"Kita telah biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) dan malan norma baharu ini hampir setahun. Kita telah melalui fasa-fasa kedegilan dam semua telah tahu akibat yang berlaku jika tidak patuh SOP dari sudut jangkitan serta kita tidak akan dapat beraksi.
"Pengajaran sebelum ini sudah cukup memberikan sesuatu sebab yang kuat untuk kita patuhi SOP, katanya.
Beliau berkata demikian ketika di sidang media di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.
Jelasnya, kelonggaran itu perlu memandangkan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) akan berlangsung tidak sampai setahun lagi.
"Di sini sekarang ini, paling dekat adalah Sukan Terengganu (SUTERA) yang akan diadakan Oktober ini dan kita cuma ada masa dalam sembilan bulan untuk atlet di semua daerah melakukan persiapan.
"Kita juga di MSNT sangat perlu kepada kelonggaran ini kerana SUKMA untuk memastikan atlet kita dapat latihan yang maksimum. Ini termasuk antara sebab kita berikan sokongan atas cadangan ini," katanya.
Wan Sukairi turut menyokong penuh pelaksanaan SOP norma baharu dalam setiap latihan dan penganjuran kejohanan sukan yang akan diadakan.
"Sebab itu, antara yang dimohon ialah supaya diberikan garis panduan tertentu apa yang dibenarkan serta apa yang tidak dibenarkan. Bagi penggiat sukan, kita memberikan komitmen bukan sahaja untuk membiasakan tetapi untuk bersungguh-sungguh mengikuti apa sahaja SOP yang diberikan nanti kerana kita telah ambil pengajaran akibat pelanggaran SOP itu selama hampir setahun melaluinya," jelasnya.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah membentangkan kepada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi permohonan kelonggaran pembukaan sektor sukan dan rekreasi sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
06 Feb 21
1262
Kerajaan Negeri Tidak Abai Pesara Sukan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk tidak mengabaikan keperluan bekas atlet selepas bersara atau tidak lagi aktif dalam karier mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau memberi perhatian kepada keperluan tersebut seawal memegang jawatannya kerana umur atlet aktif kebanyakannya antara 15 hingga 35 tahun.
“Mereka masih muda jika bersara selepas itu, maka kita mengambil inisiatf tertentu untuk memberi kelegaan kepada atlet-atlet serta ibu bapa yang mungkin runsing untuk menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan.
“Kita memperkenalkan kerjasama dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Universiti TATI (UC TATI) bagi mengalakkan dan memberi peluang mudah untuk atlet menyambung pelajaran.
“Kemasukan dan syarat kemasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan lebih mudah sekiranya mereka melalui program ini,” katanya katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Tambahnya, usaha itu dilakukan agar mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran dan sebagai persiapan mendapat sijil bersesuaian dengan kelayakan.
“Paling kurang pesara terlibat dapat meraih sijil atau diploma untuk menempatkan kerjaya meneruskan kehidupan mereka selepas gantung kasut,” katanya lagi.
Sementara itu, Sukairi turut menjelaskan usaha seterusnya dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan IPT.
“Pihak-pihak berkaitan dengan pekerjaan seperti T-JOB, Sumber Manusia, Pegawai Daerah, IPT, TEKUN, TESDEC dan sebagainya akan bekerjasama dan berbincang penyelesaian bagi atlet yang bersara atau tidak aktif.
“Jawatankuasa ini berperanan memudahkan cara mereka yang ingin menjurus kepada satu bidang pekerjaan, contohnya mereka berminat meniaga, jadi kita akan beri latihan sehingga mereka bergelar usahawan.
“Kita bukan sahaja memberi jalan tetapi juga mengusahakan keperluan mereka dalam apa jua bidang selepas tempoh beraksi selepas bergelar atlet, kita akan jaga kebajikan mereka,” jelasnya.
03 Feb 21
343
TSG Terbang Ke Turki Esok
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Terengganu Cycling Team (TSG) kini dalam fasa akhir persiapan sebelum pasukan itu berlepas ke Turki, esok.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood menjelaskan, hanya empat pelumba tempatan yang akan menyertai sesi latihan di Turki iaitu Mohd Harrif Saleh, Irwandie Lakasek, Mohammad Nur Aiman Mohd Zariff dan Wan Abdul Rahman Hamdan.
"Sebelum ini, kita maklumkan semua rider akan turut serta, tetapi barisan kejurulatihan telah memutuskan bahawa seramai empat pelumba tempatan sahaja akan berlatih di sana. Manakala, kelima-lima pelumba import akan terlibat dalam sesi tersebut. Ini adalah keputusan pihak kejurulatihan dan antara sebabnya mungkin akibat penundaan perlumbaan Tour du Rwanda yang dijadualkan pada 21 Februari ini ke bulan Mei.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu TSG dalam proses untuk ke Turki terutamanya Kerajaan Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan paling utama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana membenarkan kita untuk menjalani latihan seterusnya memungut sebanyak mana mata yang boleh sekali gus mempersiapkan atlet untuk Sukan SEA dan Sukan Olimpik 2021," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat TSG, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, sepanjang sebulan di sana, pasukan TSG akan turut menyertai enam perlumbaan dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun berdepan kekangan pandemik Covid-19 buat masa ini.
Bagi pelumba yang berlatih dalam negara pula, TSG memaklumkan latihan tetap diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan MKN.
"Oleh kerana situasi masa ini, kita juga telah mendapatkan kebenaran PDRM untuk menjalankan latihan berbasikal melebihi jarak 10KM daripada yang ditetapkan dan Alhamdulillah telah diluluskan, saya juga mengucapkan terima kasih kerana memahami situasi TSG.
"Tahun 2020, kita dapat menyertai beberapa kejohanan sahaja. Jadi tahun ini, kita akan cuba yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.
Menurut Che Ku Izmuddin, TSG ingin membuktikan kemampuan pasukan sebagaimana tahun 2019 lalu apabila berjaya berada di kedudukan pertama UCI Tour dan menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang berada dalam ranking dunia di kedudukan ke-28.
Namun, masih ada kekangan yang perlu diatasi terutama dalam pandemik ini kerana ia bukan sahaja melibatkan kesihatan awam tetapi terkesan juga pada ekonomi.
"Buat masa ini, seluruh pasukan TSG bersih dari jangkitan covid-19. Kami sentiasa meminta kakitangan dan pengurusan mengamalkan SOP secara konsisten. Tambahan pula, pada peringkat dunia juga mengikut SOP yang sama," katanya.
01 Feb 21
1641
Kami Akur Keputusan MFL- Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 28 Januari- Berhubung penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia yang diumumkan Malaysian Football League (MFL), Ketua Pegawai Eksekutif (TFC) Ab Rasid Jusoh memaklumkan, pihaknya akur dengan keputusan tersebut.
"Tetapi, apabila mendapat perkhabaran pembatalan Piala FA, kita sendiri merasa terkesan kerana kehilangan saingan untuk satu lagi piala bagi tahun 2021.
Perkara ini berulang seperti tahun lepas apabila MFL turut membatalkan saingan piala FA 2020. Ia akan memberi kesan kepada pemain-pemain yang ada, apabila jumlah perlawanan menjadi berkurangan terutamanya pemain muda," katanya melalui satu kenyataan yang diberikan kepada media-media Terengganu.
Jelasnya, ini kerana dalam bola sepak setiap perlawanan menjana pendapatan hasil daripada jualan tiket dan akan dikongsi dengan pemain.
Namun, menurut Ab Rasid, keputusan berkenaan tidak menjadi masalah besar setelah Terengganu FC berjaya memasuki saingan piala AFC tahun ini.
"Ini mungkin menjadi kelebihan kepada kita yang dapat bersaing pada peringkat Asia," katanya.
Nafuzi (berbaju hitam) ketika sesi latihan pasukannya pada PKPP lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, menyifatkan tindakan MFL melakukan penundaan liga Malaysia ini adalah tindakan tepat.
"Pasukan dapat melakukan persediaan yang lebih lagi serta memberi fokus untuk liga. Ini kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain tidak dapat turun sepenuhnya untuk melakukan latihan dan pada masa sama kami masih lagi mencari keserasian apabila hari ini Terengganu FC mengesahkan kehadiran Makan Konate, pemain yang berasal daripada Mali yang melengkapkan kuota pemain import kelima," katanya.
28 Jan 21
475
Konate Sertai Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Pemain kelahiran Mali, Makan Konate menjadi pemain import kelima yang menyertai pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan pantai timur itu, hari ini.
Bekas pemain tengah Persebaya Surabaya itu sebelum ini pernah beraksi di liga tempatan menerusi penampilan sulung bersama T-Team pada tahun 2016-2017.
Sepanjang berkelana di Indonesia, Konate meraih prestasi terbaiknya di Arema FC dengan menjaringkan 29 gol daripada 51 penampilan sepanjang dua musim bersama kelab tersebut.
Bersama Sang Penyu musim ini, Konate bakal kembali berganding bersama rakan sepasukannya dari Persebaya, David da Silva mengemudi barisan utama Terengganu FC.
Kehadiran Makan Konate yang menandatangani kontrak selama 1 tahun, skuad kendalian Nafuzi Zain itu hanya menanti lampu hijau daripada Malaysian Football League (MFL) untuk kembali ke padang latihan.
Dalam pada itu, MFL semalam mengumumkan bahawa Liga Malaysia musim ini yang dijadualkan bermula 26 Februari ini akan ditunda kepada 5 Mac 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.
27 Jan 21
410
Yakult Sasar Bawa Pemain Terengganu FC Ke Jepun
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya seorang pemain muda Terengganu Football Club (Terengganu FC) berkelana ke Jepun musim ini.
Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada memaklumkan, hasrat itu merupakan antara misi syarikat dalam kerjasama strategik dengan kelab-kelab bola sepak di Malaysia iaitu mengembangkan bakat-bakat muda.
"Walaupun berdepan kekangan Covid-19, kita menyasarkan untuk sekurang-kurangnya dapat membawa seorang pemain muda dari Terengganu FC bagi berlatih atau bermain di sana.
"Saya akui jumlah penajaan syarikat mungkin dilihat kecil tetapi hasil perbincangan bersama pengurusan Terengganu FC, mereka setuju dengan kerjasama strategik untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda mengembangkan bakat ke liga Jepun seperti Muhammad Hadi Fayyadh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Kerjasama antara Yakult dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.
Usahasama itu menyaksikan penajaan Yakult bernilai RM380 ribu disamping perancangan program-program pembangunan akar umbi secara bersama.
Selain membawa pemain-pemain ke Jepun, program pembangunan akar umbi akan turut melibatkan jurulatih-jurulatih dari Jepun untuk melatih bakat-bakat tempatan.
23 Jan 21
521
Pacuan Empat Roda Pamer Aksi Cabaran Sukan Lasak
MARANG, 11 Januari - Cuaca mendung dan hujan tidak mematahkan semangat 30 pemandu pacuan empat roda untuk beraksi dalam pertandingan Cabaran Sukan Lasak di Kampung Tertak Batu, di sini, semalam.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, ia dapat dilihat melalui penyertaan ramai para peserta meskipun keadaan merisikokan diri mereka.
"Dalam masa yang sama, kami sangat menyokong aktiviti seperti ini dijalankan lebih-lebih lagi ia dapat menarik minat belia di Terengganu.
"Saya juga teruja melihat kesungguhan pihak penganjur yang sanggup mengeluarkan wang terlebih dahulu bagi menghidupkan dan membersihkan kawasan ini supaya boleh dijadikan litar," katanya ketika merasmikan majlis penutup.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tertak Batu, Zulkifli Taha berkata, pertandingan kali ini agak berjaya walaupun dirancang dalam tempoh yang agak singkat.
"Tujuan kita mengadakan pertandingan ini di sini, untuk menyuarakan cadangan lokasi ini sebagai tempat khusus bagi masyarakat atau ahli sukan ini melakukan aktiviti secara lebih baik," tambahnya.
Beliau yang juga pengarah program juga berhasrat untuk mengadakan pertandingan melibatkan Motocross pada masa akan datang.
Mengulas mengenai tapak sukan permotoran, Wahad berkata sebelum ini cadangan permohonan telah diangkat kepada pihak pentadbir tanah untuk menjadikan kawasan di sini sebagai litar rasmi untuk aktiviti itu.
"Walau bagaimanapun, ia akan melibatkan sedikit proses dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan hasrat ini di peringkat seterusnya.
Katanya, cadangan bagi membina litar di Kampung Gong Tepah terpaksa dibatalkan ekoran ia telah digazetkan untuk rakyat setempat.
"Namun, Tertak Batu ini berpotensi besar untuk dihidupkan bagi menggantikan lokasi yang dibatalkan itu," jelasnya.
11 Jan 21
523