Artikel "Sukan" Terkini
THT Mampu Bergelar Juara Liga Esok
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mampu bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) jika berjaya memungut tiga mata dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tewas atau seri dalam perlawanan terakhir esok (Khamis).
THT kini berada di kedudukan kedua liga yang hanya ketinggalan satu mata berbanding pendahulu liga, UniKL dengan 16 mata.
Dalam perlawanan kelima kelmarin, THT terus menghimpit UniKL selepas melakar kemenangan 6-1 ke atas Nurinsafi HT/Sports.
Ketua Jurulatih THT, K Rajan berkata, pasukannya mengharapkan tuah memihak sepenuhnya kepada Maybank bagi perlawanan bertemu pendahulu liga UniKL.
“Keputusan perlawanan penentuan di antara UniKL bertemu Maybank menjadi penentu buat THT.
“Jika kedua-dua pasukan ini terikat seri, kita hanya perlu menang dengan TNB untuk menjadi juara liga. Itu sasaran kita,” ujarnya.
Namun, keupayaan TNB tidak seharusnya dipandang mudah kerana berdasarkan keputusan perlawanan terdahulu pasukan itu mampu mengikat Maybank 1-1 dalam saingan terdahulu.
Perlawanan THT menentang TNB akan bermula pada jam 8 malam dan disiarkan secara langsung di RTM Sport.
Manakala, sebelumnya, pada pukul 6 petang, UniKL dijadualkan bertemu Maybank.
24 Mar 21
1906
Pengadil Perlawanan Terengganu Menentang Sabah Dihukum
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pengadil Liga Super, Khirulazuan Kidam yang mengadili perlawanan Terengganu FC menentang Sabah FC baru-baru ini digantung tugas selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' S. Sivasundaram memaklumkan, pengadil terbabit didapati menunjukkan prestasi kurang memuaskan sepanjang perlawanan Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu.
“Tindakan ini berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut.
“Justeru, pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.
“Khirulazuan juga akan mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah merujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Khairulazuan akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.
Terdaahulu, mutu pengadilannya dikritik ramai selepas dia membatalkan jaringan pertama Jordan Mintah atas alasan penyerang import itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol lawan.
Dalam perlawanan itu, Terengganu FC tewas 1-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama sebelum Mintah meledak jaringan pertama TFC.
Selepas perlawanan itu juga, TFC difahamkan telah menghantar bantahan rasmi kepada FAM.
Berdasarkan rekod pada 2016, Khirulazuan pernah digantung tiga bulan oleh FAM kerana gagal membuat keputusan dengan tepat ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara pasukan kelab T-Team (Terengganu) dengan FELDA United yang diakhiri dengan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.
23 Mar 21
6829
'The Fits Virtual Run' Tawar Hadiah Menarik Untuk Peserta
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan Terengganu menyeru belia dan beliawanis di negeri ini menyertai 'The Fits Virtual Run' yang akan bermula pada 1 April sehingga 31 Mei di mana pendaftarannya kini telah mula dibuka.
Program yang julung-julung kali dianjurkan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO negeri dengan kerjasama Terengganu Runner Club (TRC) itu mempertandingkan dua kategori iaitu larian sejauh 21 kilometer (KM) yang menawarkan hadiah utama wang tunai sebanyak RM500 dan larian 12 KM dengan hadiah wang tunai sehingga RM300.
Selain itu, 500 peserta yang menamatkan larian akan mendapat sijil penyertaan dan juga medal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia ,Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pendaftaran bagi program itu telah dibuka, justeru rakyat negeri ini diharap tidak melepaskan peluang menyertainya.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak UBSNT kerana yang telah melaksanakan program ini,n ia sangat bersesuaian dengan keadaan semasa, .
"Dalam keadaan kita masih berada di dalam fasa-fasa pemulihan untuk memastikan negara dan negeri kita ini bebas daripada pandemik tersebut, fokus terhadap kesihatan tubuh badan masih perlu diteruskan agar sentiasa berada dalam keadaan sihat dan cergas," ujarnya ketika melancarkan program itu melalui siaran langsung di Facebook rasmi UBSNT, semalam.
Untuk keterangan lanjut, rakyat Terengganu boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook rasmi UBSNT.
23 Mar 21
1256
Aksi Babak Kedua Selamatkan Terengganu FC
RABU, 17 Mac- Kecemerlangan aksi separuh masa kedua menyelamatkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) dari kehilangan mata apabila seri 1-1 menentang Melaka United dalam aksi keempat Liga Super Malaysia 2021, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Di atas kertas, skuad kendalian Nafuzi Zain yang merakamkan tiga kemenangan sebelum ini dilihat lebih ampuh berbanding anak buah Zainal Abidin Hassan yang belum mencatatkan sebarang kemenangan pada tiga aksi terawal musim ini.
Namun, tuan rumah dikejutkan seawal minit kedua apabila serangan balas pelawat menghasilkan penalti setelah terkena tangan pertahanan, Muhamad Hafizal Mohamad.
Penyerang import Melaka, Alex Dos Santos cemerlang menyempurnakan tendangan tersebut dan memastikan pelawat selesa di depan.
Sang Kancil terus menguasai perlawanan dan selesa melakukan asakan ke kubu Sang Penyu sehingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Nafuzi melakukan perubahan drastik dengan memasukkan Faiz Nasir, Azalinullah dan Arif Fadzilah bagi menguasai perlawanan.
Namun, percaturannya hampir terganggu apabila Azalinullah terpaksa digantikan dengan Shahril Sapien pada minit ke-54 akibat kecederaan.
Tuan rumah mula banyak mengatur serangan bagi menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-65, Marcel yang mendapat bola daripada Arif Fazilah melorongkan bola kepada Jordan yang mudah menewaskan pertahanan lawan sebelum merembat rendah bola melepasi jangkauan Khairul Fahmi.
Kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat perlawanan.
17 Mar 21
3375
TFC Cemerlang Jinakkan Perak 2-0
IPOH, 15 Mac - Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menundukkan Perak FC di Stadium Perak, di sini, sebentar tadi.
Penyerang muda, Mohamad Faisal Abdul Halim membuktikan penyudahnya semakin berbisa apabila meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain di depan pada minit ke-23 dengan menyudahkan hantaran Makan Konate.
Perlawanan babak pertama menyaksikan skuad Penyu mendominasi permainan dengan tiga asakan garang dalam tempoh 10 minit perlawanan menerusi serangan ke kubu tuan rumah yang diselamatkan penjaga gawang, Muhammad Hafizul Hakim.
Pemain Perak FC kendalian Chong Yee Fatt terpaksa berkampung di kubu sendiri bagi menyerap asakan pemain pelawat menerusi penyerang mereka yang diketuai Jordan Mintah.
Sepakan Jordan Mintah dihalang Shakir Hamzah.
Peluang terbaik Perak FC hanya hadir bermula minit ke-14 menerusi percubaan Muhammad Rafiuddin Roddin.
Namun ia dibalas semula pasukan lawan melalui percubaan jarak jauh Muhammad Azalinullah Mohammed Alias pada minit ke-18.
Percubaan itu kemudian dibalas pasukan tuan rumah melalui tandukan pemain tengah, Leandro Dos Santos Oliveira tapi diselamatkan penjaga gawang skuad Penyu, Muhammad Rahadiazli Rahalim.
Seperti perlawanan sebelumnya, gerakan menyerang Perak FC lebih menyerlah memasuki separuh masa kedua namun penyudahnya masih tumpul bagi mencari gol penyamaan.
Kurang lima minit sebelum perlawanan berakhir, skuad Bos Gaurus hampir menyamakan kedudukan melalui penyerangnya, Guilherme De Paula Lucrecio.
Agak mengejutkan apabila tiga minit masa tambahan babak kedua yang diberikan pengadil dimanfaatkan TFC apabila jaringan kedua berjaya dihasilkan menerusi Dechi Marcel N'Guessan untuk keputusan muktamad 2-0. - BH Online.
Gol berkelas dunia Marcel di hujung permainan melenyapkan impian Perak untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata.
14 Mar 21
1210
Terengganu FC Teruskan Rentak Kemenangan
KUALA NERUS, 9 Mac- Terengganu Football Club (Terengganu FC) meneruskan aksi cemerlang dalam saingan kedua Liga Super Malaysia 2021, malam ini apabila menang mudah dengan skor 3-1 ke atas pendahulu liga, Selangor FC.
Tanpa kelibat David da Silva yang cedera, Nafuzi Zain membariskan Jordan Mintah dan Dechi Marcel yang dinaikkan dari Terengganu FC II untuk perlawanan ini.
Beraksi di gelanggang laman sendiri, Sang Penyu mempamerkan ancaman seawal minit pertama permainan.
Bagaimanapun, hantaran lintang rendah Faisal Halim ke kubu pelawat pada minit pertama tidak berjaya disudahkan Faiz Nasir.
Terengganu FC menguasai bola lebih 10 minit pertama perlawanan sebelum pemain import Selangor, Oliver Buff mengejutkan tuan rumah dengan rembatan deras dari luar kotak penalti yang mengenai palang gol pada minit ke-14.
Bermula dari itu, Selangor mula menggasak tuan rumah dengan corak permainan pantas.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari gol pendahuluan.
Namun, pada minit ke-35, Makan Konate yang mendapat peluang, bijak melakukan hantaran lintang yang mudah disempurnakan Jordan Mintah untuk gol pertama perlawanan.
Tempo permainan rancak sehingga tamat separuh masa pertama dengan keputusan kekal 1-0.
Memasuki babak kedua, Gergasi Merah lebih banyak menahan asakan tuan rumah di kawasan sendiri.
Rahmat Makasuf yang dimasukkan pada minit ke-60 menambah derita anak buah Neitzel apabila rembatan derasnya membolosi gawang Selangor seminit selepas itu.
Tersentak dengan gol tersebut, pelawat kembali mengatur serangan.
Usaha itu berhasil pada minit ke-74 apabila Muhamad Shahrul Nizam tertampan bola ke gawang sendiri apabila cuba mengeluarkan hantaran lintang Ahmad Danial Ahmad Asri.
Selangor FC terus menggasak, tetapi sang gergasi akhirnya dikejutkan dengan gol ketiga Terengganu FC hasil serangan balas pada minit terakhir perlawanan yang berjaya dijaringkan Mohamad Hakimi Abdullah.
Terengganu FC kini berada di tangga kedua Liga Super 2021 dengan enam mata.
09 Mar 21
1069
THT Sasar Kedudukan Terbaik Liga Hoki Malaysia 2021
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Meskipun berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19, Pasukan Hoki Terengganu (THT) tetap meletakkan sasaran mencapai kedudukan terbaik dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2021.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, walaupun tidak dibarisi pemain import dalam saingan kali ini, pasukan tersebut tetap berazam menawarkan aksi terbaik sebaik tirai kejohanan dibuka 11 Mac ini.
"Sememangnya kita mahukan yang terbaik kerana bukan kita sahaja yang berdepan dengan isu pemain import, semua pasukan terjejas dan ini merupakan kelebihan kepada pasukan kita.
"Kepada para pemain dan pegawai yang turut bersama dalam gelembung sukan Liga Hoki Malaysia, diharap dapat megikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya tidak menjejaskan permainan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.
Jelasnya, disebabkan pendemik, THT turut berdepan cabaran dalam mempersiapkan pasukan untuk kejohanan tersebut.
"Sebagai kerajaan, kita masih berharap pada sukan ini yang menjadi antara teras kepada sukan Terengganu dalam usaha menjadi negeri yang menguasai sukan hoki pada peringkat lebih tinggi.
"Saya akui, kita berdepan cabaran terutama jumlah tajaan berkurang berbanding tahun lepas dan paling ketara apabila kita tidak dapat menghantar pasukan Hoki Wanita Terengganu (LTHT). Tetapi, apa yang perlu dilakukan oleh pasukan ialah memberi lebih komitmen," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun optimis dengan pasukan yang dibentuk bagi kejohanan berkenaan.
"Dengan ketiadaan pemain import, ini menjadi peluang pemain tempatan untuk menyerlahkan bakat masing-masing.
"Kita juga telah panggil dua pemain Terengganu yang bermain dengan pasukan TNB sebelum ini iaitu Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee, serta beberapa pemain kita yang mewakili negara dalam Olimpik remaja, jadi kita yakin boleh bersaing lebih jauh," katanya.
Persatuan Hoki Terengganu turut menyasarkan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala berikutan saingan yang kian terbuka pada kali ini.
"Kekuatan semua pasukan kali ini agak seimbang, namun berdepan jadual yang padat kita merangka pelbagai pelan untuk meminimumkan kecederaan pemain.
"Lebih menarik, sebanyak enam pemain Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu turut dipanggil mewakili THT kali ini. Ia sebagai langkah awal kepada impian negeri Terengganu yang menyasarkan untuk menggunakan 100 peratus tenaga muda SUKMA pada masa akan datang," katanya.
Untuk Makluman, Persatuan Hoki Terengganu akan memperkenalkan pemain dan penaja pasukan THT bagi saingan Liga Hoki Malaysia 2021 secara langsung di laman Facebook TV Darul Iman, pada jam 9.00 malam ini.
08 Mar 21
626
Manfaat Peluang Maksimumkan Prestasi - Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menggesa atlet-atlet Terengganu memanfaatkan peluang berlatih untuk meningkatkan prestasi mereka dengan kelonggaran yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Alhamdulillah, negeri Terengganu kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kita telah mendapat kelonggaran untuk memulakan latihan.
"Jadi, kita berharap para atlet dapat memaksimumkan prestasi mereka dalam semua sukan yang akan dipertandingkan terutama di Sukan Malaysia (SUKMA) nanti," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas melawat pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sultan Ahmad, di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut menyampaikan bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan 207 pelajar itu sepanjang peperiksaan berlangsung.
Terdahulu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya memaklumkan, para atlet telah mula melaporkan diri secara berperingkat di dua asrama MSNT Kuala Nerus sejak Ahad lalu.
Menurutnya, latihan turut dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan secara 'kuarantin di kem' serta pematuhan latihan kumpulan maksimum 10 orang bagi latihan 'indoor'.
23 Feb 21
373
Anak Terengganu Azizulhasni, Harrif Gegar Dunia
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Dua pelumba basikal kelahiran Terengganu, Azizulhasni Awang dan Harrif Salleh mencipta nama di pentas dunia hari ini (Sabtu).
Di sebelah siang (waktu Malaysia), Azizul atau Jijoe memenangi pingat emas di Kejohanan Trek Elit Victoria, Australia.
Azizulhasni mencatat 10.126 saat dalam kelayakan pecut individu sekali gus meletakkan dirinya mengungguli kedudukan carta dalam saingan yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne itu.
Manakala sebentar tadi, Harrif meraih kedudukan pertama di siri perlumbaan UCI, Grand Prix Velo Manavgat di Turki.
Harrif, 32, yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) membuktikan kayuhannya masih berbisa walaupun hampir setahun tidak menyertai kejohanan besar akibat penularan COVID-19.
Kemenangan Harrif pada perlumbaan sejauh 147.5 kilometer itu menjadi tonik terbaik buatnya dan TSG untuk beraksi dalam saingan seterusnya di Grand Prix Alanya esok.
20 Feb 21
2373
MSNT Mulakan Proses Sanitasi Kawasan Kemudahan Sukan
KUALA NERUS, 18 Februari - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini memulakan kerja-kerja sanitasi di semua kemudahan sukan seluruh negeri Terengganu berikutan pembukaan sektor sukan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula di negeri ini, esok.
Penolong Pengarah (Pengurusan Kompleks Sukan) MSNT, A. Zulkefli Mohammad memaklumkan, tugasan itu dimulakan di lapan kemudahan sukan utama di bawah pengurusan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak iaitu Stadium Sultan Mizan, Stadium Tertutup, Arena Lawnbowls padang latihan bola sepak dan ragbi, padang hoki, mini stadium serta litar permotoran.
"Proses sanitasi yang kita lakukan pada hari ini melibatkan anggota seramai 10 orang terdiri daripada kakitangan yang telah mahir dan mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.
"Bahan yang digunakan juga merupakan bahan yang disyorkan Bomba serta menepati spesifikasi diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu program sanitasi di kemudahan sukan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.
Jelasnya, program sanitasi itu merupakan proses kali keempat dilakukakn MSNT sejak pandemik Covid-19 lalu.
"Kita masih lagi berhati-hati menguruskan kemudahan sukan di Terengganu ini terutama di sini kerana ia menjadi tumpuan ahli-ahli sukan terutama pemain bola sepak dan atlet yang melakukan persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.
"Jadi, kawasan-kawasan yang kita jangka didekati atlet secara menyeluruh kita akan sanitasi. Selepas program hari ini, kita akan bergerak ke daerah-daerah contohnya asrama atlet, pusat latihan tinju di Besut dan dewan gimnastik di Marang. Kami berharap dengan adanya program sanitasi ini, kita dapat mengawal penularan di semua pusat sukan di negeri Terengganu," katanya.
Tambah A. Zulkefli lagi, usaha tersebut sebagai menyambut baik pembukaan semula sektor sukan dengan norma baharu yang diumumkan Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini.
"Proses ini akan berjalan secara berkala, manakala bagi kemudahan yang bersaiz kecil, kita buat setiap hari contohnya kawasan gim akan dilakukan setiap sebelum dan selepas digunakan.
"Kalau pertandingan bola sepak pula, sehari sebelum pasukan bola sepak masuk stadium kita telah buat sanitasi dan selepas mereka keluar, keesokan harinya kita akan buat lagi sanitasi lokasi tersebut," katanya.
18 Feb 21
499