lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Konate 'Makan' KL City
Konate 'Makan' KL City
KUALA NERUS, 16 April- Jaringan pertama Makan Konate bagi musim ini, menghadiahkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) tiga mata dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), sebentar tadi. Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sasaran Terengganu FC untuk melakarkan kemenangan di hadapan hampir 3,000 penyokong yang hadir buat kali pertama ke stadium bagi musim ini, tercapai apabila menang 1-0 ke atas Skuad Kota itu. Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan permainan dengan serangan ke kubu lawan. Dua rembatan deras Hakimi Abdullah pada minit ke 5 dan 8 bagaimanapun berjaya dihadang benteng KL City.  Pelawat kemudian lebih banyak menguasai bola dan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah. Pada minit ke 27, rembatan deras penyerang lawan, Romel Morales hanya singgah di tiang gol Sang Penyu. KL City sekali lagi berpeluang menjaringkan gol awal, namun tandukan Giancarlo Gallifuoco dinafikan palang gol. Kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola, namun keputusan kekal tanoa gol di babak pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan asakan ke kubu lawan, bagaimanapun kedua-dua pasukan buntu mencetak gol. Detik kemenangan Sang Penyu muncul pada minit ke-88, apabila Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol tunggal perlawanan. KL City cuba bangkit menyamakan kedudukan namun keputusan 1-0 kekal sehingg tamat perlawanan. Kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC naik ke tangga kedua Liga Super 2021 dengan 18 mata.    
16 Apr 21
684
Gelanggang Baharu Suntik Semangat Si Perejam
Gelanggang Baharu Suntik Semangat Si Perejam
KEMAMAN, 9 April - Dengan siapnya gelanggang sepak takraw yang baharu di Kampung Pengkalan Cicar, Kijal ianya menaikkan lagi semangat si perejam bola gajah emas untuk meneruskan warisan sukan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Cicar, Razali Awang berterima kasih dan bersyukur kerana apa yang diidam oleh pemain sepak takraw di kampung dibawah pengurusannya akhirnya tercapai. Razali Awang "Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman yang telah menyokong dan meluluskan permohonan kami sebelum ini. "Mungkin kerana kesungguhan dan semangat anak-anak muda yang turut dirasai oleh kami dalam merancang dan mengurus sehingga gelanggang baharu ini dapat disiapkan dalam masa yang agak singkat," katanya. "Sebanyak RM10 ribu telah dibelanjakan bagi menyiapkan gelanggang kedua ini bagi mengurangkan masa menunggu regu takraw yang turun pada setiap petang," ujarnya. Razali ketika ditemui digelanggang tersebut tempohari mengharapkan agar dengan ini dapat mengurangkan kecenderongan anak-anak muda dikampungnya kearah aktiviti yang tidak sihat. Ustaz Hazri Jusoh (tiga dari kiri) menghulurkan bola takraw. Terdahulu, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh turut bersemangat walaupun sentiasa sibuk tapi sempat juga turun padang menjenguk si perejam ini dengan menghulurkan beberapa biji bola sebagai tanda sokongan bagi mereka meneruskan sukan warisan ini.
09 Apr 21
336
Terengganu Lancar Aplikasi Fitsokmo
Terengganu Lancar Aplikasi Fitsokmo
KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebahagian rakyat Terengganu kini mampu menikmati program kecergasan secara atas talian dengan pelancaran Program Kecergasan Terengganu Online Fit Is Sunnah & Aplikasi Fitsokmo hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, aplikasi tersebut berperanan menyampaikan segala maklumat kesihatan dan kecergasan kepada rakyat secara efisien, efektif, berkualiti dan telus. “Alhamdulillah meskipun dengan kekangan wabak Covid-19 yang masih ada, kerajaan negeri melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) komited membentuk rakyat supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat. “Justeru saya begitu yakin dengan semangat kesukanan yang ada pada rakyat negeri Terengganu, program ini sangat bermanfaat untuk kita semua,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Kecergasan Terengganu Online Fit Is Sunnah & Aplikasi Fitsokmo di Wisma Darul Iman, hari ini. Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, Ketua Kontinjen Terengganu Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said. Dalam perkembangan sama, menurut Wan Sukairi, pembinaan aplikasi berkenaan menelan belanja kira-kira lebih RM200,000 bagi membolehkan rakyat Terengganu menerima manfaat itu secara percuma. "Kita menyediakan tenaga-tenaga pakar yang menjadi jurulatih program ini di mana rata-ratanya adalah bekas atlet kebangsaan. Dianggarkan kos bagi setiap peserta yang ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM150 seorang," jelasnya. Seramai 1,500 rakyat Terengganu bakal menerima manfaat program kecergasan secara atas talian tersebut dalam tempoh tiga bulan ia dilaksanakan. Sementara itu, mengulas lanjut, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak berkata, pengguna yang menggunakan Aplikasi Fitsokmo boleh menggunakan aplikasi tersebut di mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. "Khidmat perundingan yang ada dalam aplikasi ini insya-Allah berperanan memberi khidmat kesihatan yang baik kepada pengguna aplikasi ini," jelasnya.
07 Apr 21
564
Terengganu FC Sekadar Kutip Satu Mata
Terengganu FC Sekadar Kutip Satu Mata
KUALA TERENGGANU, 7 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengikat Sri Pahang FC 1-1 untuk membawa pulang satu mata dalam aksi ketujuh Liga Super 2021, semalam. Skuad kendalian Nafuzi Zain berkunjung ke Kuantan menentang pasukan kedua tercorot liga dengan misi memperbaiki persembahan pasukan selepas aksi kurang menyakinkan pada tiga perlawanan terakhir. Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan rentak tinggi. Sri Pahang mendapat peluang mendahului, namun rembatan Lee Tuck berjaya ditepis penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin seawal minit kelima. Pada minit ke-15, Sang Penyu pula memiliki peluang, bagaimanapun rembatan Nik Akif Syahiran hanya menerjah sisi gol. Dua minit kemudian, tuan rumah mengejutkan pelawat selepas tonggak kebangsaan, Azam Azih melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sekali gus meletakkan Tok Gajah di depan. Terengganu FC berpeluang menyamakan kedudukan, namun kapten pasukan, Carlos De Murga mensia-siakan penalti dengan tendangan tinggi melepasi palang pada minit ke-40. Bersambung babak kedua, Terengganu FC menggandakan asakan dan berhasil memperolehi penalti kedua pada minit ke-75. Jordan Mintah menyempurnakan peluang tersebut untuk keputusan 1-1 yang kekal sehingga akhir perlawanan. Sumber foto: Media Terengganu FC.
07 Apr 21
442
Terengganu FC II Impi Kekal Rekod Tanpa Kalah
Terengganu FC II Impi Kekal Rekod Tanpa Kalah
KUALA TERENGGANU, 6 April- Pengendali Terengganu Football Club (Terengganu FC) II, Badrul Afzan Razali berharap pasukannya akan terus mengekalkan rekod tanpa kalah menjelang pertemuan dengan Perak II, petang ini. Beraksi di gelanggang lawan, beliau jelas mahu anak-anak buahnya tetap bersemangat untuk mencari kemenangan dan mengambarkan perubahan kesebelasan utama dalam perlawanan itu. "Kita kehilangan Masaki (Watanabe) dalam perlawanan ini, jadi mungkin kita akan ubah 'line-up' berdepan Perak II," katanya. Terdahulu, Terengganu FC II jatuh ke kedudukan kelima Liga Premier apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, PDRM dalam akis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Sabtu lalu. Dalam perlawanan itu, kelekaan tuan rumah apada awal separuh masa kedua memakan diri sehingga membuka ruang kepada skuad ‘Sang Saka Biru’ menyamakan kedudukan pada minit ke 49 melalui tandukan Alexander Amponsah.  Terengganu FC II sebelum itu menunjukkan aksi yang baik pada separuh masa pertama dengan meledakkan gol pendahuluan pada minit 35 melalui sepakan dalam kotak penalti Mohammad Ramzi Sufian. "Bagi saya, masa pertama pemain bermain dengan baik, tetapi kita hilang kosentrasi pada minit awal masa kedua, menyebabkan kita terkena gol mudah dan mereka menghukum kita dengan hilang mata ditempat sendiri. “Saya selalu ingatkan pemain 10 minit terawal sama ada separuh masa pertama atau kedua, perlu fokus. Kita mempunyai peluang tetapi tidak menyempurnakannya dengan baik," kata Badrul. Skuad 'feeder' itu kini telah merekodkan lima keputusan seri selepas merakam kemenangan 4-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN iaitu bertemu Kuching City FC (1-1), Negeri Sembilan (2-2), Kelantan FC (0-0), Sarawak United (0-0) dan PDRM (1-1). Tidak mahu kelekaan terus menghantui anak-anak buahnya, Badrul mengharapkan aksi lebih baik dalam perlawanan ini. "Harapan saya, Jordan Mintah kembali ke pasukan dan dapat menaikkan semangat pemain lain untuk mencari kemenangan, bagi saya Christopher Herd memberikan motivasi kepada pasukan dengan pengalamannya, tetapi mungkin kerana masalah kecergasan, impaknya tidak ketara pada perlawanan sebelum ini," katanya.
06 Apr 21
781
Sang Penyu Tetap Waspada Ancaman Tok Gajah
Sang Penyu Tetap Waspada Ancaman Tok Gajah
KUALA TERENGGANU, 6 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memandang rendah kemampuan Sri Pahang FC, sekalipun pasukan lawannya itu berada dalam prestasi merudum ketika ini. Pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain menyifatkan tentangan Tok Gajah tidak harus dipandang remeh dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu di Stadium Darul Makmur, malam ini.  "Sri Pahang walaupun tewas kepada Kedah Darul Aman FC tetapi mereka bermain dengan baik, mungkin keputusan perlawanan sahaja tidak memihak mereka," katanya. Sekalipun kehilangan ramai tonggak akibat kecederaan, dengan Rahadiazli memasuki senarai terbaru, Nafuzi tetap percaya pasukannya mampu bersaing pada kedudukan teratas liga dengan baki perlawanan yang ada. "Itu bukan alasan, saya percaya dengan semua pemain saya. Sesiapa yang saya letak bermain, saya tahu mereka boleh melakukan yang terbaik," katanya. Jumaat lalu, Terengganu FC jatuh ke kedudukan ketiga Liga Super 2021 apabila seri 0-0 dengan PJ City di laman sendiri.  Kemenangan ke atas Sri Pahang malam ini dijangka mampu melonjakkan kembali semangat pasukan itu yang mencatatkan dua seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
06 Apr 21
167
Terengganu Juara, ‘Bedal’ Ego UniKL
Terengganu Juara, ‘Bedal’ Ego UniKL
KUALA LUMPUR, 3 April - Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menjuarai Piala TNB 2021 tercapai selepas membenam cabaran UniKL dalam penentuan penalti ‘shoot-out’ 2-0 sebentar tadi. Penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman muncul wira THT selepas menafikan semua pukulan penalti UniKL di samping Terengganu berjaya meledak dua gol daripada empat pukulan. Lebih manis Mohd Faizal Saari serta Shahrun Nabil Abdullah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan pemain terbaik perlawanan. Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta itu, UniKL terlebih dahulu meledak gol pada minit ke-9 menerusi biasan menarik Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dalam kotak penalti THT. Berselang empat minit kemudian, Tengku Ahmad Tajuddin sekali lagi menjadi duri dalam daging Terengganu apabila menyempurnakan pukulan penalti ‘stroke’ untuk kedudukan menjadi 2-0. Tersentak dengan dua gol awal itu, THT memperkemaskan jentera pasukan dan membuahkan hasil apabila pada minit ke-15 Faizal Saari bijak memanfaatkan kelekaan penjaga gol UnikL. Luqman mudah melepasi halangan pemain UniKL. Jaringan terbabit ternyata menyuntik semangat pemain THT, hasil serangan bertali arus pada minit ke-17 pasukan pantai timur itu dihadiahkan pukulan sudut penalti dan Muhammad Arif Syafie Ishak tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menyamakan kedudukan 2-2. Perlawanan terus berlangsung rancak apabila kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan, namun tuah lebih memihak THT. Pada minit ke-21, gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook menutup tirai separuh masa pertama untuk kelebihan satu jaringan kepada Terengganu. Bersambung babak kedua, UniKL menukar strategi apabila membuat penguasaan di bahagian tengah, hasilnya mereka mendapat pukulan sudut penalti dan ia disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim di minit 35. Gol itu tidak melemahkan semangat THT untuk menjulang piala TNB buat kali ke-6 apabila Faizal Saari sekali lagi mencetak gol selepas berjaya memperdayakan pertahanan UniKL. Namun, kelekaan pemain THT Sembilan minit sebelum perlawanan tamat membawa padah apabila gerakan solo Mohamad Ashran Hamsani dari luar kotak penalty berjaya disudahkan pemain itu bagi mengikat keputusan 4-4 dan membawa ke penentuan penalti 'shoot-out'. Foto ihsan - Hokita. Faizal Saari dikawal ketat pemain UniKL.  
03 Apr 21
1311
Seri Lagi...
Seri Lagi...
KUALA NERUS, 2 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berkongsi satu mata dengan PJ City apabila seri satu sama dalam aksi keenam Liga Super 2021, sebentar tadi. Tanpa kelibat Rahadiazli, Sang Penyu meletakkan tonggak Terengganu FC II, Mohd Suhaimi Husin bagi mengawal gawang tuan rumah. Nafuzi juga dilihat mengekalkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini. Melayan kunjungan PJ City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu FC cuba mendapatkan kelebihan awal, namun sepakan leret Jordan pada minit ketiga, lemah ke dakapan penjaga gol lawan. Pada minit kesembilan, pelawat mendapat peluang menjaringkan gol apabila hantaran lintang Gurusamy muntah dari dakapan Suhaimi, namun penjaga gol muda itu berjaya menghadang bola rembatan Kugan Dhevarajan dari menerjah jaring. Perlawanan berlangsung hambar kerana anak-anak buah P. Maniam menerapkan corak bertahan menyukarkan tuan rumah menyerang. Keputusan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Sang Penyu cuba meningkatkan serangan ke kubu lawan. Pada minit ke-77, Makan Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz cemerlang menepis keluar bola tersebut. Konate sekali lagi mendapat peluang, kali ini rembatannya turut ditepis keluar Al-Hafiz pada minit ke-89 membolehkan Terengganu FC mendapat sepakan sudut. Sepakan yang dilakukan Konate berjaya mencari Jordan, namun tandukan penyerang itu dinafikan tiang gol. Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan. PJ City berjaya mencuri satu mata untuk di bawa pulang. Terengganu FC kini berada di tangga ketiga liga dengan 12 mata.            
02 Apr 21
633
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Empat daerah dinobatkan juara bersama Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu 2019 setelah perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada April 2020 tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19. Kemenangan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM4,500. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2019 telah bermula seawal Julai dan berakhir November. “Manakala bagi peringkat parlimen kejohanan ini telah bermula seawal bulan Oktober 2019 dan berakhir pada bulan Februari 2020 sebelum disambung untuk kejohanan di peringkat negeri pada bulan Mac tahun lepas namun terpaksa dibatalkan. “Untuk makluman semua, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM300 ribu bagi membantu pelaksanaan ini bermula di peringkat DUN, Parlimen dan Negeri. “Jika diizinkan pada tahun 2021 kita akan kembali melaksanakannya namun masih menunggu perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu di Paya Bunga Hotel hari ini.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Rashdi Hamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak. Tambahnya, cadangan tarikh Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman seterusnya adalah pada bulan Julai 2021 jika kelonggaran diberikan. Sementara itu, Wan Sukairi turut mengulas mengenai peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan 2021 bagi menjayakan program sukan komuniti melibatkan beberapa sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring. “Berdasarkan potensi dan perkembangan sukan bola sepak yang ada, saya percaya Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada program ini dan lain-lain lagi kejohanan yang dianjurkan. Program ini akan diselaras melalui UBSNT,” jelasnya.
30 Mar 21
904
Litar Motocross Tambah Koleksi Sukan DUN Buluh Gading
Litar Motocross Tambah Koleksi Sukan DUN Buluh Gading
KUALA NERUS, 28 Mac - Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bakal menjadi tumpuan peminat sukan motocross berikutan wujudnya litar baharu di sini. Litar yang panjangnya lebih satu kilometer itu merupakan yang kedua terpanjang dalam negeri Terengganu selepas litar di Teluk Mak Nik, Kemaman. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, litar yang baharu siap ini diselenggara sepenuhnya oleh Kampung Baru Motocross Club (KBMCC). Ustaz Ridzuan Hashim bergambar dengan para pemenang. “Alhamdulillah, tambah satu lagi koleksi sukan dalam DUN Buluh Gading, sukan motosikal lasak yang sangat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah KBMCC Fun Race, Kampung Kuala Belara, 26 Mac lepas. “Saya difahamkan seramai 160 penyertaan diterima kali ini dalam lima kategori, sangat menggalakkan walaupun julung kali diadakan. Pengunjung memenuhi kawasan litar membuktikan sukan ini diminati ramai. “Penganjuran program seperti ini juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan pemotoran lasak, di samping dapat juga mengelakkan mereka merempit di jalan raya yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," tambah beliau lagi. Beliau juga berharap agar litar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai alternatif sukan seperti panjat bukit dan juga kayuh basikal. Program dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Tetambah dan KBMCC.
28 Mar 21
1155