lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Da Silva Hampir Jadi 'Hero'
Da Silva Hampir Jadi 'Hero'
KUALA NERUS, 1 Ogos- Penyerang, David Da Silva hampir menjadi 'hero' dalam aksi yang berkesudahan seri 0-0 antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2021, malam ini. Gol jaringan David Da Silva melalui sepakan percuma pada minit ke-88 bagaimanapun dibatalkan pengadil apabila Mohammad Rahmat Makasuf yang berada dalam kedudukan offside dikatakan melakukan gerakan ke arah bola dan menghalang penjaga gol lawan, Rozaimie Rohim. Beraksi di laman sendiri, anak buah Nafuzi Zain turun tanpa pemain tengah, Makan Konate yang digantikan dengan Argzim Redzovic. Seawal minit pertama, Terengganu FC menggasak hebat kubu pelawat dengan corak serangan pantas. Manakala, Sabah FC yang membariskan penyerang Mohd Amri Yahyah dan Saddil Ramdani di bangku simpanan lebih banyak bertahan pada separuh masa pertama. Bagaimanapun, peluang terbaik Sang Penyu hanya hadir pada minit ke-41 apabila lorongan Faisal Halim berjaya menemui Dechi Marcel yang lolos dari kawalan pertahan dalam kotak penalti. Sayang, rembatannya menerjah palang sebelum terbias mengenai David Da Silva dan dikuis keluar Risto Mitrevski. Kedudukan kekal tanpa jaringan di separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Sang Badak mengubah corak permainan dan lebih banyak melakukan serangan dengan kemasukan duo serangannya, Amri dan Saddil. Nafuzi pula memasukkan pasangan Mohamad Hakimi Abdullah dan Mohammad Rahmat Makasuf bagi menggandakan serangan untuk mencari jaringan awal. Pada minit ke-88, hasrat Terengganu FC untuk mendapatkan tiga mata berkecai setelah gol David Da Silva dibatalkan pengadil. Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.      
01 Aug 21
335
Azreen Pecah Rekod Peribadi Dalam Aksi Pertama Di Olimpik
Azreen Pecah Rekod Peribadi Dalam Aksi Pertama Di Olimpik
KUALA TERENGGANU, 30 Julai- Pelari pecut negara, Azreen Nabila Alias memecahkan rekod peribadinya apabila mencatatkan masa 11.77 saat dalam pusingan kelayakan 100m wanita di Sukan Olimpik Tokyo, pagi ini. Pelari kelahiran Terengganu itu berada di tempat kedua, satu saat di belakang pelari Iran, Fasihi Farzaneh untuk layak ke pusingan pertama yang akan berlangsung pada jam 11.55 pagi. Azreen sebelum ini memiliki catatan peribadi terbaik 11.92 saat dan hadir ke Olimpik atas tiket peluang khas.    
30 Jul 21
689
Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
TOKYO, 29 Julai - Jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengekalkan momentum kemenangan setelah menundukkan pesaing dari China, Wang Dapeng dengan keputusan 6-5 di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. Beliau berjaya mengulangi pusingan kalah mati pertama dengan tembakan ‘bulls-eye’ 10 manakala Dapeng hanya membidik 9, dengan keputusan keseluruhan (25-28, 28-28, 27-26, 29-26, 26-27). Kemenangan oleh anak jati Kemaman itu adalah sambungan daripada perlawanan di antara wakil Finland, Antti Vikstrom dalam dua percubaan dramatik setelah terikat pada kedudukan 5-5 dengan pusingan pertama dan kedua di Yumenoshima Final Field. "Alhamdulillah, saya memenangi kedua-dua perlawanan hari ini walaupun diakhiri dengan ‘shoot-offs'. Saya tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana hilang fokus seketika. Untuk perlawanan pusingan ketiga saya, saya akan lebih tumpu. "Saya memang merasakan tekanannya, tetapi saya harus fokus 100 peratus untuk menangani tekanan atau keadaan angin dengan cermat. “Tuah mengikuti saya kerana berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas busur lawan saya dari Finland patah,” katanya seperti mana dilaporkan News Straits Times. Pemain Malaysia berusia 29 tahun itu akan mara menentang pemain Korea Selatan, Kim Woo Jin pada 16 perlawanan terakhir pada hari Sabtu ini.
29 Jul 21
1038
Terengganu FC II Kekal Rentak Kemenangan
Terengganu FC II Kekal Rentak Kemenangan
KUALA TERENGGANU, 27 Julai- Gol jaringan Jordan Mintah membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) II terus mengekalkan kemenangan dalam aksi pusingan kedua Liga Premier 2021, malam ini. The Turtle yang melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas pasukan di tangga kedua liga itu. Skuad kendalian Badrul Afzan turun tanpa kehadiran pemain tengah, Masaki Watanabe yang mengalami kecederaan setelah pulang dari Kuching dengan misi mengekalkan rentak kemenangan pusingan pertama. Tempo permainan kedua-dua pasukan bermula perlahan, namun semakin kemas tetapi kurang ancaman ke pintu gol. Separuh masa pertama berakhir dengan skor kekal 0-0. Memasuki babak kedua, Terengganu FC mula mengancam kubu pelawat. Pada minit ke-56, Amirul Syazwan mendapat umpanan kemas Jordan Mintah di dalam kotak penalti, namun rembatannya hanya menggegar palang gol. Terengganu FC II kemudian mendapat sepakan bebas di luar kotak penalti lawan dan Mintah tenang melencongkan bola ke sisi kiri gol menewaskan Damien Chien Khai Lim pada minit ke-66. Ketinggalan satu gol, skuad Hobin Jang Hobin meningkatkan serangan ke kubu tuan rumah, tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan. Terengganu FC II kekal mendahului Negeri Sembilan FC sehingga wisel penamat ditiupkan. The Turtle kini masih di tangga ketiga liga dengan 22 mata, dua mata di belakang pendahulu liga, Sarawak United. Manakala, Jordan Mintah kini mendahului catatan penjaring terbanyak Liga Premier dengan 12 gol.  
27 Jul 21
836
Azreen Bawa Penampilan Patuh Syariah Sukan Ke Olimpik
Azreen Bawa Penampilan Patuh Syariah Sukan Ke Olimpik
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias yang berangkat ke Tokyo, hari ini bukan sekadar tampil untuk meraih kejayaan buat negara dalam Sukan Olimpik 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kehadiran Azreen ke temasya sukan terbesar dunia itu turut mengangkat imej dan konsep patuh syariah dalam sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri ke peringkat tinggi. "Itu yang saya pesan pada Azreen, supaya memperkemaskan tudung dengan maksud beliau akan terus mengekalkan pematuhan syariah tersebut dalam konteks saingian peringkat dunia. "Sepertimana apa yang berjaya beliau tunjukkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh dua tahun lalu, kita mengharapkan penampilan dalam imej yang sama ini dapat memberikan kesan besar kepada dunia dengan apa yang ditunjukkannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat negeri kepada atlet berkenaan secara maya, baru-baru ini. Jelasnya, tinggi harapan kerajaan negeri kepada Azreen untuk mengangkat konsep tersebut dengan peluang yang diperolehinya. "Paling tinggi yang kita mahu adalah untuk menunjukkan kepada semua bahawa dengan berpakaian begitupun masih mampu melayakkan diri ke Olimpik serta membuktikan pemakaian tidak langsung menghalang kita beraksi dengan baik di peringkat tinggi," katanya. Terdahulu, pada hari pertama temasya Olimpik berlangsung dua hari lalu, pasukan gimnastik Jerman, antara negara besar dalam sukan dunia menarik perhatian umum apabila tampil dengan uniform atau jersi pasukan lebih sopan. Perkara itu, sekali gus membuktikan konsep patuh syariah yang cuba diperkenalkan Terengganu bukan idea kuno dan sebaliknya selari dengan zaman.  
25 Jul 21
5520
MB Beri Kata Semangat Kepada Atlet Olimpik
MB Beri Kata Semangat Kepada Atlet Olimpik
MARANG, 25 Julai - Menteri Besar Terengganu sempat memberikan kata semangat dalam pertemuan secara maya bersama atlet Olimpik yang berasal dari negeri itu bagi meningkatkan semangat mereka 'berperang' di Tokyo. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa terharu dan keterujaan beliau kerana dapat bersama jaguh sukan negara. "Saya berkesempatan bercakap menerusi talian dengan Azreen Nabila (Olahraga),Khairul Annuar (Memanah), Zuhairie (Paralimpik) dan Dato' Azizul Hasni Awang atau dikenali Jijo (Basikal). "Mereka manusia hebat yang mewakili Malaysia dan Terengganu ke Olimpik Tokyo 2021. "Semangat mereka sangat diperlukan oleh kita semua," ujarnya ketika bersiaran secara talian semalam. Jelas Dr. Samsuri, mereka juga berpeluang menempa nama sebagai atlet unggul negara, sesuatu yang menjadi idaman ahli sukan seperti mereka. "Tugas mereka berat, saya percaya mereka tidak gentar berdepan lawan meskipun lawan berbadan besar dan nampak kuat. "Walau kecil susuk tubuh tetapi jiwa dan semangat nyata kental, ini doa daripada kami semua buat 'The Fantastic Four' dari Terengganu dan semua Olympian dari Malaysia," jelasnya.
25 Jul 21
719
Terengganu FC 'Kenduri' Seladang
Terengganu FC 'Kenduri' Seladang
KUALA NERUS, 24 Julai - Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan kembali aksi ke-14 Liga Super 2021 setelah berehat panjang dengan melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC, sebentar tadi. Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), perlawanan dilangsungkan tanpa penonton berikutan seluruh negara berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sang Penyu yang melayan kunjungan Bos Gaurus mempamerkan aksi bermutu dengan meledak gol pertama pada minit ke-18 menerusi Faisal Halim yang menolak mudah hantaran lintang Faiz Nasir ke gawang lawan. Dua minit berselang, pelawat dikejutkan lagi apabila Faisal Halim dijatuhkan oleh Rafiuddin Roddin dalam kotak D, menghadiahkan penalti kepada tuan rumah. David Da Silva tenang menyempurnakan penalti untuk Terengganu FC terus di depan dengan 2-0 pada minit ke-22. Perak cuba bangkit mencorak serangan ke kubu tuan rumah, tetapi pemain import baru Sang Penyu, Habib Haroon yang berganding bersama Dechi Marcel cemerlang membantu pertahanan. Pada minit ke-41, Perak bolos lagi. Kali ini hasil kesilapan pertahanan import, William Hew yang cuba mengeluarkan bola umpanan Faiz Nasir, tertampan bola ke gol sendiri. David Da Silva yang mendapat umpanan Faisal pada minit ke-44 hampir mendapatkan gol keempat pasukan, tetapi tolakannya yang terlalu kuat selepas menggelecek penjaga gol, Hafizul Hakim menghantar bola ke tepi gawang. Memasuki babak kedua, Perak cuba mencari gol dengan memasukkan penyerang, Ghislain Guessan, tetapi terus buntu memecahkan kubu tuan rumah. Pada minit ke-55, Da Silva sekali lagi mensia-siakan peluang apabila sepakan leretnya tepat menuju tiang gol, sedangkan Hafizul telah tertewas. Mendahului dengan tiga gol, Sang Penyu terus mengekalkan penguasaan bola dan berhasil mendapatkan gol keempat pada minit ke-70 menerusi hantaran lintang Rahmat Makasuf yang disempurnakan cantik oleh Mohd Hakimi Abdullah. Perak cuba bangkit namun gagal memperoleh sebarang gol. Terengganu FC pula terus menambah jaringan apabila pemain gantian, Nik Akif Syahiran dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan. Nik Akif menyempurnakan penalti untuk gol terakhir perlawanan dengan Terengganu FC menang lima gol tanpa bolos. Sang Penyu kini berada di tangga kedua Liga Super dengan 30 mata, sama mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan menentang UiTM FC, esok.        
24 Jul 21
1311
Terengganu FC Waspada Ancaman Perak
Terengganu FC Waspada Ancaman Perak
KUALA NERUS, 23 Julai - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memandang ringan tentangan Perak FC apabila bakal melayan kunjungan skuad Seladang itu di laman sendiri, malam esok. Pengurus Terengganu FC, Zulfadhli Rozi berkata, kemenangan pasukannya dalam pertemuan di pusingan pertama lalu bukan tiket untuk mengambil mudah pertembungan kali ini. "Kita sambung balik perlawanan Liga Super setelah rehat panjang, rasanya persiapan kita sama sahaja seperti pasukan lain. "Cuma, kita sentiasa anggap Perak pasukan yang perlu diberi perhatian dan dihormati kerana prestasi mereka dalam empat ke lima tahun terakhir ini agak konsisten," katanya ketika dihubungi media, semalam. Namun menurutnya, pemain-pemain lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan tersebut berikutan pembatalan saingan Piala AFC. "Ini satu perkara positif yang dapat saya lihat. Semoga perlawanan ini jadi 'booster' untuk pemain dapatkan pencapaian yang terbaik buat pasukan. "Kita ambil cabaran untuk layak lagi ke saingan AFC musim depan," katanya. Zulfadhli menjangkakan jurulatih, Nafuzi Zain akan meletakkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan itu berikutan semua pemain berada dalam keadaan cergas.
23 Jul 21
479
Menjunjung Kasih Tuanku! - Azizulhasni
Menjunjung Kasih Tuanku! - Azizulhasni
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin atas kurniaan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato'. Jelasnya ketika dihubungi pemberita semalam, beliau masih terkejut dengan berita yang diterima. "Saya juga gembira dan amat terharu kerana ini adalah penganugerahan yang terbesar dalam kariear saya dan juga diri saya sebagai atlet negara. "Saya ingin mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak istana Terengganu, patik menjunjung kasih Tuanku!," katanya. Azizulhasni juga menyatakan, anugerah tersebut menjadi sumber motivasi tambahan kepadanya untuk beraksi cemerlang di temasya Sukan Olimpik di Tokyo nanti. "Insya-Allah, dengan berkat doa seluruh rakyat Malaysia saya dapat merealisasikan impian pingat emas nanti.  "Insya-Allah, terima kasih semua," katanya.
19 Jul 21
483
Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf
Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf
KEMAMAN, 18 Julai - Kelab Bola Sepak Chukai turut memainkan peranan dalam membantu golongan asnaf atau mereka yang memerlukan apabila turun menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul makanan, semalam. Penaung Kelab Bola Sepak Chukai, Dato' Dr Leom Joo deck berkata, sumbangan yang mereka lakukan ini adalah hasil kutipan daripada dermawan-dermawan ahli kelab itu.  "Kami amat berbangga dapat mengadakan program seperti hari ini. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka yang memerlukan ketika ini. "Saya juga berharap semua penduduk khasnya di Kemaman, Terengganu dan Malaysia agar mematuhi "Standard Operating Procedures (SOP)" yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Jagalah SOP seperti pakai pelitup muka, cuci tangan dan jaga jarak 1 meter," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui selepas selesai agihan barang-barang kepada penerima. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan oleh pihak kelab itu. "Terima kasih kepada mereka yang sedia menyampaikan bantuan di dalam keadaan kehidupan rakyat yang mengalami kesusahan waktu ini akibat daripada pandemik Covid-19. "Jadi saya juga mengharapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang ingin menyampaikan sumbangan juga boleh berjumpa dengan saya. "Hari ini penerima-penerima kelihatan gembira menerima bakul makanan. Sekurang-kurangnya ia mampu bertahan selama satu hingga dua minggu dan saya yakin selepas ini ada lagi sumbangan- sumbangan yang akan diberikan bukan sahaja daripada kerajaan dan NGO tetapi daripada individu-individu yang mempunyai kewangan yang lebih. "Inilah masa yang terbaik untuk mereka memberikan sumbangan ini kepada orang-orang yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri. Dalam program itu, sebanyak 100 bakul makanan yang mengandungi beras dan barangan dapur telah diagihkan di mana mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di Kampung Geliga Jambatan, Kampung Mak Lagam, Kampung Paya Berenjut dan Kampung Geliga. Turut hadir, Pengerusi Kelab Bola Sepak Chukai, Tan Kwang Ming, ahli jawatankuasa kelab, Jimmy Tan Chun Hiang dan Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.    
18 Jul 21
404